Senior HO

Assalamualaikum wbt

Seminggu berlalu begitu saja. Saya sudah semakin hampir ke penghujung posting yang pertama ini. Saya sudah selesai bertugas di ketiga-tiga buah wad medical, Klinik Pakar dan periferi. Sekarang saya kembali semula ke wad pertama saya dulu. Wad yang selalu membuatkan saya rasa macam separuh gila tu. Tapi yang pastinya sekarang, ada dua perkara yang membuatkan saya gembira berada di sana semula.

Dr. P sudah tiada di situ. Dan sekarang saya bekerja bersama dengan Dr. F.

Dr. F ini kawan lama yang saya kenali hampir tiga tahun lalu ketika masing-masing masih bergelar pelajar. Entah macm mana, sekarang ini kami bekerja di tempat yang sama pula. Memang ngam habis bekerja dengan dia. Sebab hanya kami berdua saja Melayu di wad itu. Kalau saya banyak kerja, dia tolong cover-kan. Kalau dia banyak kerja, saya tolong cover-kan. Hendak pergi rehat pun kami boleh bergilir-gilir.

Kalau dulu, hendak pergi kerja pagi-pagi tu, saya akan terasa berat hati sungguh. Terasa seperti satu paksaan saja. Sebab mengenangkan apalah pula kritikan atau beban kerja yang saya bakal terima. Huhu. Sampai macam tu sekali! Awal-awal lagi sudah berfikir tentang kebarangkalian yang mungkin ada. Tapi sekarang lain sama sekali. Kerana apa?

Kerana sekarang sayalah antara empat orang the most senior HO dalam jabatan saya. Hahahahhaha. Takde faedah betul awak ni, Sarah!

Saya sudah banyak berbeza berbanding saya yang dulu. Dulu saya jarang makan. Sekarang ni, sempat atau tidak, tengahari saya mesti akan menyempatkan juga diri untuk turun makan sekejap. Kalau tidak sempat, saya akan bungkus nasi bawa naik ke wad dan makan laju-laju di pantri wad saja. Hasilnya, sekarang saya sudah gemuk semula. -___-

Tentang gaji pula, Alhamdulillah memang puas hati rasanya bila dapat memberi emak dan ayah duit hasil titik peluh kita sendiri. Tapi selain daripada tu, saya hanya gunakan duit untuk membayar kereta, bil telefon dan Astro. Saya tiada masa hendak keluar berbelanja atau apa. Jadi duit gaji saya berkepuk sajalah tersimpan di dalam bank. Bagus juga hidup penuh kesibukan ni. Sebab kita tidak terdedah kepada risiko berbelanja sakan. Huhu. Tapi saya memang bukan jenis yang begitu pun. Daripada saya beli barang-barang atau baju yang belum tentu saya suka 100%, baik saya beli makanan. Hahahaha.

Tapi satu amalan saya yang masih kekal sampai sekarang ialah setiap bulan saya akan membeli sepasang baju kurung baru untuk menambah stok baju bekerja. Saya tak reti hendak pakai baju glamour-glamour ni. Semuanya baju kurung biasa saja. Bukan yang jenis berlabuci bagai tu. Tak reti saya macam mana hendak pakai. Huhu. Sebab saya pergi kerja memang berbaju kurung. Hatta keluar santai-santai dengan adik-adik pun saya berbaju kurung. Jadi mestilah saya mahu ada koleksi yang lebih sikit. Kalau tidak, ulang pakai baju yang sama sajalah dek non oi.

Oh ya. Hari ni sambutan Hari Natal. Kamu cuti? Eleh. Saya pun cuti juga! Hahahaha. Tapi cuti kamu semua memang sah-sahlah cuti percuma sebab ini cuti umum, kan. Saya pula terpaksa mengambil cuti untuk bercuti pada hari ini. Ops. Bukan hari ini saja. Saya bercuti sampai Ahad!

Insya Allah esok saya hendak menghadiri majlis perkahwinan kawan saya di Perak. Hey hey hey oghang Peghok, ate ni Yong dah maghi dah ni! =p

Nota: Happy! :mrgreen:

Posted on December 25th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »

“I’m kinda out of proper pace”

Assalamualaikum wbt

Habis saja kerja sekitar 6.15 petang tadi, saya keluar bersama Michele untuk menemaninya mencari baju kurung. Selepas itu, kami terus menuju ke sebuah restoran. Hari hujan. Kebetulan, memang sejak pagi saya tidak makan apa-apa. Memang berbunyi-bunyi perut saya. Michele pun sedang lapar. Kalau boleh, secepat mungkin kami mahu memasuki restoran itu.

Baru saja kami duduk di situ, pelayan baru saja datang menghantar menu, saya rasa ada orang berdiri di sisi kanan saya. Dalam hati saya berkata, kenapalah pelayan ini tidak mahu beredar dulu sementara menanti kami membelek-belek menu. Saya agak kurang selesa pula dengan pelayan yang begitu. Dari ekor mata, jelas saya nampak ada susuk berbaju biru nila berdiri di sebelah kanan saya. Saya berfikir seketika. Unifom pekerja restoran itu berwarna merah. Mana pula datangnya baju biru ini. Saya berpaling.

Ya Allah.

Dia. Berdiri. Di. Situ.

Anak Muda Yang Gigih.

Saya bermuka terkejut. Dia bermuka tersenyum. Aaaaaaaa… Mana datangnya dia ni? Saya yakin sangat mata saya memang bulat mencerlang waktu itu. Saya tidak menyangka langsung dia yang berdiri di situ tadi.

Dia menyapa, bertanya khabar. Dia tidak duduk. Dia menghormati privasi yang saya dan Michele mahukan agaknya. Saya bertanya kenapa dia boleh berada di Temerloh pada hari ini. Katanya, dia saja datang menjenguk pejabatnya di sini. Kebetulan dia singgah di Public Bank untuk mengeluarkan duit dan tiba-tiba ternampak saya keluar dari kereta Michele tadi. Memang kebetulan Michele meletakkan keretanya di hadapan Public Bank tadi. Ah. Semuanya penuh dengan kebetulan.

Tidak lama dia di situ tadi. Selepas menerangkan bagaimana dia ternampak saya, dia pun meminta diri. Tidak sampai lima minit pun. Sedang saya menunggu pesanan tiba, saya menerima mesej daripadanya.

“It’s good to see you again. Unexpected. I’m kinda out of proper pace. May Allah bless you and us.”

Saya terdiam sekejap membaca mesej itu. Sekali baca macam biasa-biasa saja. Dua kali baca macam terharu pula. Tapi mesej itu saya biarkan tidak berbalas. Saya rasa dia faham. Saya memang bukan seorang pembalas mesej yang baik.

Dan Michele pula, kerjanya mengejek tak sudah-sudah. Sudah jadi macam budak sekolah rendah saja gayanya. Nasib baiklah saya memang kenal awak macam mana, Michele. Kalau tak, siaplah saya tak nak tolong waktu awak on call nanti. Huhu.

Anak Muda Yang Gigih, saya yakin awak mesti terasa lucu dengan ekspresi muka saya tadi. Jujur, saya sangat sangat sangat terkejut. Lain kali sila jangan berdiri macam pelayan di tepi meja saya dah ya. :mrgreen:

Nota 1: Setiap kali terserempak dengannya, mesti hari sedang hujan renyai.

Nota 2: Saya suka akan ayat yang dituliskannya itu.

Posted on December 16th, 2009 by Sarah  |  43 Comments »

Rindu

Assalamualaikum wbt

Setiap kali membaca status Facebook junior-junior di Moscow bercerita tentang kesejukan melampau di sana untuk musim sejuk kali ini, hati saya menjadi sangat rindu pada kehidupan di sana suatu masa dulu.

Antara yang saya rindukan ialah kawan-kawan. Sekarang semuanya sudah tercampak bertugas di seluruh Malaysia. Rindunya pada mereka. Apabila melihat gambar di bawah ini, saya teringat-ingat semula gelagat kami semua selepas menduduki final exam dulu. Dengan mengusung beg dan buku selepas exam, kami singgah makan di Mac Donald di Frunzenskaya sebelum balik berjalan kaki ke hostel. Dan gambar ini diambil ketika kami sedang menghampiri Bangunan Dekan. Waktu ini, kami semua terasa amat lega kerana sudahpun melepasi exam penting itu. Dan exam itulah yang menjadi titik pemisah yang menjadikan kami bukan lagi pelajar.

Rindunya pada Moscow dan seluruh isinya…

we

Nota 1: Yeay! Esok emak, ayah dan adik-adik akan balik dari Sarawak. Rumah akan riuh semula! ^___^

Nota 2: Bengang saya kembali menjelma petang tadi. Sabtu ni saya on call lagi. Kan dah kata. Benganglah. Siapa tak bengang. Asyik kena weekend call je. Bengang ok. Bengang. :evil:

Posted on December 15th, 2009 by Sarah  |  10 Comments »

Januari

Assalamulaikum wbt

Tadi terbuat benda alah ni. Dulu pun sudah buat. Tapi kali ini terbuat lagi. Erm. Fadzilah Kamsah ni buat kajian yang macam mana ya untuk mengklasifikasikan orang mengikut bulan kelahiran? *ketuk-ketuk dagu*

JANUARI

1) Bercita-cita tinggi dan orangnya serius. –> Sangat betul. Dan garang. 😀

2) Suka mendidik dan dididik. –> Betul.

3) Sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik. –> Ye eh?

4) Rajin dan setiap yang dibuat nampak keuntungan. –> Kadang-kadang malas juga.

5) Suka smart, kemas dan teratur. –> Sangat betul!

6) Bersifat sensitif, berfikiran mendalam. –> Betul.

7) Pandai mengambil hati orang lain. –> Entah. Macam tak je.

8 ) Pendiam kecuali telah dirangsang. –> Ya betul!

9) Agak pemalu. –> Ehem ehem.

10) Daya tumpuan yang sangat tinggi. –> Kadang-kadang tak dapat fokus juga.

11) Mudah mendisiplinkan diri sendiri. –> Saya rasa iya.

12) Badannya sihat tetapi mudah diserang selsema. –> Sangat sangat betul.

13) Bersikap romantik tetapi tidak pandai mempamerkannya. –> Belum tahu lagi. Haha.

14) Cukup sayang pada kanak-kanak. –> Yang comel saja. Huahuahua.

15) Suka duduk di rumah. –> Sangat sangat sangat betul!

16) Setia pada segala-galanya. –> Saya rasa iya.

17) Perlu belajar kemahiran sosial. –> Ya betul.

18) Cukup cemburu yang sangat tinggi. –> Ye eh?

Apalah agaknya yang kamu fikirkan tentang saya, ya? Apapun, setiap hari saya cuba mencari sesuatu yang baru untuk diri saya. Paling kurang tiga perkara. Tiga darab tiga ratus enam puluh lima  sama dengan seribu sembilan puluh lima. Banyak tu. Boleh mencipta seorang yang berjiwa baru.

Nota: Sebenarnya nak cerita tentang hal lain. Tapi macam bosan, jadi main-main dengan FB dulu. :mrgreen:

Posted on December 13th, 2009 by Sarah  |  8 Comments »

Bengang (ii)

Assalamualaikumw bt

Saya pernah beritahu dulu. Jangan nasihat-nasihat saya bab kahwin dan cari pasangan ni. Saya pantang sikit bab-bab ni. Boleh naik marah jadinya. Jadi bengang sangat. Siapa yang betul-betul kenal saya, tahulah macam mana saya boleh naik angin kalau dinasihatkan banyak-banyak tentang hal ini. Saya memang cukup pantang. Kalau sedang berdepan, bila-bila masa saja saya boleh tinggalkan orang itu bercakap seorang diri.

Kosong tu ada banyak maknanya. Kenapalah erti kosong tu selalu diinterpretasikan sebagai ‘keseorangan’? Kosong yang saya maksudkan memang kosong. Lifeless. Tiada kaitan dengan berteman, berdua atau yang seumpama dengannya.

Lagi satu. Saya memang peminat lagu-lagu Melayu lama. Lagu klasik. Siapa yang mengenali saya tahu akan hal itu. Lirik lagu Gurindam tu tiada kena mengena dengan saya merindu dendam pada seseorang. Tak ada masa untuk itu. Saya memang kagum dengan indahnya kiasan, metafora dan perumpamaan yang sarat dalam lagu-lagu Melayu lama. Kalau sedar, lagu menimbang rasa di sisi blog ini tak bertukar sudah berbulan-bulan. Sebab apa? Sebab saya suka. Alunan telefon bimbit saya lagu apa? Lagu Dara Pujaan. Sebab apa? Sebab saya memang suka sangat yang teramat sangat. Lagu yang saya simpan dalam telefon bimbit saya lagu apa? Lagu Suka Sama Suka nyanyian Rafeah Buang dan Omar Suwito. Sebab apa? Sebab saya memang suka liriknya.

Habis sesi saya melepaskan kebengangan saya. Sepanjang hari ini saya memang bengang saja. MO saya cari pasallah. HO partner saya ni pun sama saja. Semua kerja diserahkan kepada saya. Semuanya saja mahu buat saya bengang. Entah apa pasal saya bersabar sangat dengan mereka semua ni. Sudah sampai rumah, staff nurse pula cari pasal. Baru nak bagitahu ada discharge summary hendak dibuat. Apa pasal tidak bagitahu saya awal-awal? Bila Surgical sudah discharge, bagitahulah Medical awal-awal. Ini tak. Orang sudah sampai rumah pukul 6.30 petang, baru terhegeh-hegeh hendak bagitahu. Memang bengang. Ingat saya ni tak payah rehat ke apa? Seharian saya tak makan apa-apa dari pagi melainkan air nescafe sacawan dan air masak segelas. Sampai pening-pening kepala. Apa saya ni tak perlu rehatkah?

Bengang. Memang bengang. Siapa cari pasal lagi dengan saya malam ni, memang sajalah tu. Esok pula on call lagi. Sampai Sabtu. Apasal bila hujung minggu saja, saya on call? Apasal? Apasal? Apasal? Ini tak aci! Bengang ok. Bengang!

Nota 1: Saya memang tengah bengang secara serius. Jangan harap nak tengok saya senyum hatta di rumah sekalipun.

Nota 2: Ini kali kedua saya menulis entri bengang. Saya menulis begini bila kebengangan berada di tahap kemuncak.

:evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil:

Posted on December 10th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »