Izz Dan Zayd

Assalamualaikum wbt

Coretan untuk kenangan mama.

Teruk betul traffic jam petang semalam. Saya ambil masa 2 jam 45 minit dari Jalan Raja Laut KL untuk balik ke Putrajaya. Hujan lebat. Badan dah terlalu penat. Perut pula dyspepsia. Betis kiri pula kejang. Dan sakit belakang tak usah katalah macam mana.

Tapi sebaik sampai ke rumah pada pukul 8 malam, suami dan anak-anak menyambut saya dengan ceria. Saya pun menceria dan melaratkan diri menjawab soalan anak-anak dan mendengar mereka bercerita perihal hari masing-masing di sekolah hari ini.

Izz melaporkan aktivitinya dengan kawan-kawan. Zayd menceritakan tentang makanan dan aktivitinya hari ini.

Saya sudah terlalu penat. Saya minta izin mereka untuk masuk ke bilik sekejap. Nak berlunjur badan hajatnya. Tetapi macam biasalah. Mereka mengekor di belakang. Izz nak mengaji dengan mama, katanya. Jadi kami mengaji di atas katil saya. Tamat satu muka. Datang Zayd pula membawa Iqra’nya. Mengaji dengan penuh disiplin pada malam ini. Tapi macam biasa, proses mengaji dengan Zayd ni penuh dengan penerangan kenapa huruf bentuk macam tu, kenapa macam ni, kenapa bengkok dan lain-lain. Haha. Tamat juga satu muka surat.

Selesai mengaji, Izz bercerita kepada saya:

Izz: Mama tau tak anatomi perut macam mana?
Mama: Hah. Anatomi? (Dalam hati terkejut dengan pilihan perkataan yang digunakan). Izz agak-agak macam mana? Izz ceritalah pada mama.
Izz: Perut ni dia duduk bawah dari jantung kat sini (sambil menunjukkan ke rusuk kiri dada). Shape dia mama tau macam mana? Shape dia bengkok, bukan lurus. Dia turun dari fagus (yang sebetulnya esofagus) terus sambung kat perut. Mula-mula kecik, besar, kecik. Macam huruf S. Lepas tu perut sambung dengan usus belit-belit. Kalau nak berak, nanti keluar kat hujung usus. Mama tau tak air liur keluar kat mana?
Mama: Dalam mulut kitalah.
Izz: Salah. Bawah lidah ni. (Sambil menunjukkan lokasinya) Kat sini ada lubang keluar dari tangki air liur.
Mama: Masya Allah. Tabarakallah. Kenapa hebat sangat Izz tau semua ni sekarang. Mama bacakan proses digestion tu sekali je dulu. (Mama in excited mode). Yang tangki air liur tu nama betulnya kelenjar tau, Izz. Gland.
Izz: Ooo. Ke-len-jar.
Mama: Yes. Well done.

Tiba-tiba, Zayd yang menumpang dengar penerangan abangnya tadi turut menyampuk:

Zayd: Baby jadi dalam perut. Mula-mula ulat laki masuk kat sini (sambil menunjukkan penumbuk kanan yang digenggam kemas. Mama blur apa itu ulat laki). 😂
Mama: Ni apa ni? (Sambil menunjukkan ke tangan yang digenggam).
Zayd: Ni telur pumpuan (perempuan). Ulat laki swim swim swim. Dia sampai kat telur, dia masuk laju-laju. Ekor dia pun tercabut. BOOOOM! Lepas tu telur pumpuan jadi baby. Mula-mula dia belah banyak-banyak (meiosis), jadi besar. Lepas tu jadi jantung. Dia besar, besar, besar, ada kepala, tangan, kaki, akhir sekali baby bukak mata. Nanti dia keluar.
Mama: Perghhhhhhhh. Masya Allah! Awak ingat ye, Zayd! Mama cerita sekali je dulu dari buku tu.
Zayd: Haah. Zayd baca buku dengan mama.
Mama: Semua Zayd cerita tu betul. Cuma yang ulat laki tu bukan ulat. (Dia sebut begitu mungkin kerana bentuk yang dilihatnya dalam buku). Nama dia sperma. Apa dia, Zayd?
Zayd: Syerma. (Pelat)
Mama: Well done, Zayd!

Macam manalah nak rasa penat dah apabila Allah hadiahkan anak-anak yang sebegini sekali keletahnya.

What did mama and ayah do to deserve both of you.

😊

Leave a Reply

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.