Episod Dini Hari (ii)

Assalamualaikum wbt

Saya mendapat pelepasan untuk Sabtu dan Ahad ini. Kebetulan, seorang sepupu saya, Liyana, akan bertolak ke Australia pada pagi Sabtu dan ayah saudara saya, Ayah Andak, hendak bertolak balik ke Egypt. Di awal pagi Sabtu, saya bertolak ke KLIA bersama Hidayah dan Mak Tam. Jadi, dapatlah saya bertemu dengan sepupu dan ayah saudara saya ini sebelum mereka berlepas.

Dan di pagi hari Ahad pula, saya pergi ke Pekan Sehari di bandar Temerloh untuk mencari barang dapur bersama adik saya, Adnan dan Azizi. Insya Allah, hari esok ada tetamu hendak bertandang ke rumah. Emak mahu menyediakan juadah orang Temerloh.

Dan selebihnya, saya hanya tidur. Tidak tahulah kenapa, bila ada saja masa terluang, saya akan tidur. Petang tadi, saya hanya terjaga setelah dikejutkan oleh Nan. Katanya, emak dan ayah mahu mengajak saya pergi mencari persediaan barang hantaran. Eh eh, siapa punya??? Tapi disebabkan kedai itu tutup, kami terus lajak untuk pergi melihat kedai baru ayah. Cawangan baru di bandar Mentakab. Cantik dan strategik. Walaupun saya tidak berkesempatan untuk masuk ke kedai itu lagi, tapi saya berpuas hati dengan warnanya setakat ini. Memang jelas ayah orang Keadilan. Hahaha. Dan kami sempat singgah makan cendol sebelum balik. Di kedai cendol, kami berbincang soal lauk kenduri dan sekitar majlis itu nanti. Masih banyak yang belum sepakat nampaknya. Perlu berbincang lagi nanti.

Dan satu-satunya aktiviti berfaedah yang berjaya saya sempurnakan untuk istirehat kali ini ialah mengemas bilik dengan tiptop. Dari lantai ke atap. Serba-serbi saya bersihkan. Dan pewangi bilik yang sebelum ini terletak di atas kabinet buku saya pindahkan ke hadapan kipas. Haruman merata ke seluruh bilik. Dan saya semburkan permaidani yang ada dengan Febreeze. Terasa sangat segar.

Dan haruman kesegaran inilah yang akan menemani tidur saya malam ini. Harap-harapnya saya akan terjaga dengan mudah di awal pagi esok. UNTUK PERGI KERJA! Blerghhhh.

Nota: Saya rasa saya sudah jumpa apa yang saya mahu secara teorinya. Saya yakin memang itu yang saya mahu.

Posted on February 15th, 2010 by Sarah  |  5 Comments »

Tulang Belulang

Assalamualaikum wbt

Pertamanya, terima kasih yang tak terhingga atas ucapan hari lahir seminggu yang lalu. Tak kiralah. Baik di blog, Facebook, panggilan telefon dan juga SMS. Maaf sangat. Saya tak berkesempatan hendak membalas kesemuanya.

Yang saya sedar, hampir semua orang mendoakan pasal jodoh supaya cepat sempurna tahun ni. Haiyooooh… Saya ni belum nak kahwin lagilah. Tak terfikir pun lagi nak kahwin. Dan tak kemaruk langsung nak berkahwin ke apa. Ok. tak boleh cakap lama-lama pasal kahwin ni. Jadi Hot.fm nanti. Berapi dan membara. Kalau sampai masa nanti, kahwinlah saya. Kalau tak kahwin-kahwin juga, jadi specialist andartulah saya. Tapi… Memang majoriti pakar perempuan masih belum berkahwin. Kasihan saya tengok. Nanti kalau saya sudah bergelar pakar dan masih juga belum berkahwin, janganlah kasihankan saya pula. Memang dah nasib kot. Tapi kalau saya sudah berkahwin, maknanya saya tak jadi pakar perubatanlah. Sebaliknya jadi pakar rumahtangga saja. Hahaha.

Apapun, terima kasih sekali lagi atas kesemua ucapan daripada kamu semua. Setiap ucapan saya balasi dengan doa kesejahteraan untuk kalian juga.

Tapi sebenarnya, ulangtahun kali ni tidak berapa menggembirakan. Tagging sehingga 12 malam berderet selama seminggu. Macam-macam jugalah yang terjadi di saat sibuk-sibuk ni. Malas betul hendak difikirkan. Ada perkara pula yang bila difikirkan, seakan logik untuk ditangisi. Tapi sikitpun saya tidak sedekahkan air mata. Buat apa. Sumpah macam budak-budak kalau hal-hal remeh pun hendak menangis. Hidup memanglah penuh ujian. Setiap yang terjadi itu mesti ada hikmahnya. Apapun, memori yang ini telah saya buang secara kekal dari ingatan. Secara kekal. Kalau ditanya semula satu hari nanti, jawapan saya: Aik aik. Pernah jadi ke semua ni?

Yang menjadi kenangan ialah, pada 21 Januari lepas, kesemua HO, beberapa MO dan specialist jabatan saya (Orthopedic) meraikan hari lahir saya di pantri wad. Makan kek bersama-sama sambil beramah mesra. Alhamdulillah. Rakan-rakan untuk posting ini baik-baik kesemuanya.

Dan yang paling menyeronokkan, posting kali ini sangat lapang dan tidak sesibuk seperti sebelum ini. Pukul 5 petang, saya sudah boleh balik. Sentiasa ada masa untuk turun makan baik sarapan mahupun makan tengahari. Huhu. Boleh gemuk jadinya! Yang menyeramkan ialah Morning Pass Over. Oh. Warna merah. Amaran zon bahaya. Sesi inilah yang membolehkan sesiapa saja dihentam secara bertubi-tubi oleh pakar. Bersiap-sedialah untuk menjawab soalan yang bukan-bukan daripada mereka.

Cumanya, setelah seminggu bertugas di jabatan ini, saya sudah tidak bertemu dengan kes-kes kematian. Saya seakan rindu pula hendar resusc patient. Huhuhu. Kemaruk ke apa budak Sarah ni. Yang saya jumpa setiap hari ialah kaki bernanah, luka berulat,  tulang patah dan segala sesuatu yang berkaitan dengan tulang. Tapi kan, selepas selesai membuat disloughing (membuang tisu mati pada bahagian luka terbuka) atau I&D (Incision and Drainage), saya dengan santainya masih lalu untuk makan di kafeteria! Sedangkan sebelum itu saya baru saja melihat dan bermain-main dengan nanah yang membuak-buak keluar, tisu luka mulai mengering ataupun daging atau kulit yang sudah busuk berbau seakan-akan daging salai basi. Fuh… Mesti ada yang loya tekak mebaca perenggan ini, kan. Hik hik hik.

Akhirnya, selamat hari lahir buat Shazwani Adnan, ex-housemate yang sangat disayangi dan dirindui. Jaga diri baik. Semoga Allah permudahkan segala urusan kamu di sana. Semoga tamat belajar dengan cemerlang dan semoga Allah perkenankan doa kamu yang satu itu. KS sayang kamu!

Nota 1: Dunia ni nampak gayanya semakin penuh dengan orang yang suka berselindung dan menipu.:|

Nota 2: Untuk kawan-kawan dan pelajar-pelajar perubatan yang ada mengirim mesej bertanyakan tentang etika bekerja sebagai seorang doktor Muslim dan skop yang sangat penting bagi seorang pelajar perubatan kuasai untuk menghadapi dunia pekerjaan, insya Allah saya akan kupas satu hari nanti. Draf sudah ada. Tak ada masa nak edit je lagi. Tunggu dululah ye. ;-)

Nota 3: Setiap kali melihat X-Ray, saya selalu teringat bahawa tulang itu adalah benda asas yang paling awal diciptakan Allah untuk tubuh kita. Adakah kita mensyukurinya? Dapatkah kita merasakan kebesaran Allah dengan hanya melihat tubuh kita? Tanyalah diri masing-masing ye. Saya sendiri pun sedang belajar memuhasabah diri kembali. :roll:

Posted on January 26th, 2010 by Sarah  |  14 Comments »

Hero Jalanan

Assalamualaikum wbt

Macam tidak percaya saja. Saya memulakan tahun baru saya ini dengan sesuatu yang sangat bersejarah. Saya beraksi di sebuah kemalangan jalan raya. Sepuluh tahun yang lalu saya tidak pernah terbayang akan bertindak seperti tadi. Sama sekali tidak pernah saya jangkakan.

Apalah agaknya yang menanti saya sepuluh tahun dari sekarang ya?

Nota: Pagi tadi asyik tersasul tulis tahun 2009 lagi dalam BHT patient.

Posted on January 2nd, 2010 by Sarah  |  11 Comments »

Erti Setahun

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam, kita sudah pun menempuh tahun baru 1431 Hijrah dan dalam beberapa jam lagi, kita akan mencecah tahun 2010 pula. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Tahun lepas di waktu ini, saya bertidur-tiduran saja di atas katil. Melihat bunga api warna-warni di langit sempena menyambut kedatangan tahun baru. Saya tidak ke mana-mana. Bagi saya, duduk di rumah diam-diam dan berehat-rehat saja jauh lebih berguna dan membahagiakan.

Rupa-rupanya tahun baru kali ini juga saya pun begitu. Saya jamin, sekejap lagi selepas Isyak saya akan terdampar di atas katil sambil membaca buku. Sebelum pukul 10 malam, saya pasti sudah terlelap. Tambahan pula, saya sedikit demam. Baru menerima vaksin H1N1 pada hari semalam. Habis sakit-sakit satu badan.

Ini konklusi pencapaian diri saya untuk tahun ini. Banyak sungguh rezeki yang Allah kurniakan untuk saya tahun ini. Yang terbesar, saya telah tamat belajar dengan baik, tepat pada masanya. Ada satu rahsia yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapun tentang peristiwa sebelum hari graduasi saya. Petang itu, saya keluar bersama kawan-kawan yang tidak mempunyai ahli keluarga yang bertandang untuk majlis konvokesyen kami. Kami ke sebuah coffee house di Arbat Street. Minum kopi sambil bercerita tentang kisah enam tahun kami mengembara bersama di Tanah Tsar itu. Penuh suka duka. Sebelum ke situ, saya bersama tiga orang kawan yang lain ke Manezh Shopping Complex untuk menemani dua orang kawan lelaki kami hendak membeli kemeja untuk majlis itu.

Ketika di dalam sebuah premis di situ, saya menerima mesej daripada emak bertanyakan aktiviti saya ketika itu. Saya menjawab sedang menemani kawan mencari baju untuk konvokesyen. Emak membalas:

“Sorry. Mak tak datang tengok Ngah konvo.”

Pendek saja balasan emak. Tapi dengan balasan yang pendek itu, air mata saya tak berhenti-henti mengalir. Habis satu pusat beli-belah itu dapat melihat saya berjalan sambil tersedu-sedan. Apabila ditanya oleh kawan-kawan saya yang bertiga itu apa sebabnya saya menangis, suara saya tidak keluar langsung. Saya sebak yang teramat sangat. Perit rasa tekak saya ketika itu. Yang saya tahu, saya sedih. Itu saja. Tapi saya tidak memberitahu kepada emak dan ayah langsung.

Alhamdulillah juga, kesemua azam saya untuk tahun 2009 telah tercapai. Semuanya! Hendak cemerlang dalam pelajaran. Hendak memulakan kerjaya. Hendak mula merasa memberi emak dan ayah duit hasil titik peluh sendiri. Dan walaupun baru mula bekerja, Alhamdulillah saya sudah mempunyai tabungan hasil titik peluh sendiri yang sangat memuaskan hati.

Insya Allah, untuk tahun baru 1431 dan 2010 ini, saya juga ada azam yang sudah tersenarai. Yang boleh diringkaskan, semestinya mahu yang terbaik dalam kerjaya, dipermudahkan untuk melalui ujian dan susah payah sepanjang zaman HO ini, semakin stabil ekonomi dan juga emosi.

Sejak masuk 1431 Hijrah, saya berazam untuk cuba solat seawal yang boleh walau sedang sibuk yang macam mana sekalipun. Saya cuba sehabis boleh. Setiap kali seakan teralpa dengan tugasan yang memang tidak berkesudahan, saya cuba alih tumpuan saya. Saya larikan diri sekejap. Bukan susah untuk solat dengan cepat. Saya solat seadanya dengan pakaian yang saya ada. Tidak perlu berlari ke surau tempat saya menempatkan beg telekung saya. Cukup pakaian saya sempurna menutup aurat, ada wudhuk, saya sudah boleh solat. Tambahan pula, dengan adanya rakan sekerja yang saling mengingatkan tentang solat, saya rasa makin terjaga waktu solat saya. Dan sumpah saya katakan. Apabila dalam keadaan tertekan dan tegang dengan bebanan kerja yang berlambak, dengan melarikan diri pergi bertemu Tuhan adalah waktu yang sangat menenangkan jiwa. Sampai boleh tersedu-sedu menangis mengenangkan betapa tenang dan damainya rasa hati dan jiwa pada waktu itu. Agungnya hikmah solat itu ya.

Konklusi teringkas tentang 2009, inilah tahun yang telah menjadi pemisah saya yang remaja dengan saya yang dewasa. Terlalu banyak pengajaran hidup yang telah saya tempuhi ketika di Rusia dan semua itulah yang telah mendidik dan membentuk saya dalam dan luar.

Oh ya. Tentang kahwin, sila jangan tanya saya lagi. Memang belum terfikir untuk ke arah itu lagi tapi saya akui saya kena belajar untuk kembali membuka hati. Hey hey hey. Ini fitrahlah, bukan. ;-)

Salam Maal Hijrah 1431 dan Selamat Tahun Baru 2010.

Nota: Banyak juga kisah duka sepanjang 2009 ini. Susah-payah hidup ketika di Moscow dan ketidakstabilan emosi. Tapi saya pemendam orangnya. Walau terpaksa berikat perut dan menangis air mata darah sekali pun, saya sanggup asalkan saya tidak menyusahkan orang lain.

Posted on December 31st, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Pertama Kali

Assalamualaikum wbt

Wah! Macam tak percaya saja. Buat pertama kalinya saya menjadi macam perempuan sikit. Bukan sikit tapi macam banyak jugalah. Saya pergi buat rawatan muka tadi! Kahkahkah. Tapi disebabkan terlalu nyaman dalam bilik tu, dengan setting ala-ala Bali, tidak sampai setengah jam saya di situ, saya sudah terlena. Huhuhu.

Bila saya terjaga, waaaaaa… Saya rasa macam pengantin. Ewah. Macamlah saya pernah jadi pengantin. Tapi serius. Memang terasa macam kulit bayi. Huhuhu. Jadi macam merah jambu saja warna kulit muka. Huhuhu. Sudahlah pakai baju dan tudung merah jambu, lagilah terasa semakin jambu. Huhuhuhu.

Kita undur cerita ke belakang sikit. Sebelum keluar rumah selepas Zohor tadi, saya ke rumah Tok dulu untuk menyuruh adik saudara saya cepat bersiap. Saya mengajaknya keluar bersama saya. Bila saya masuk semula ke rumah, saya menyanyi-nyanyi lagu Malam Ku Bermimpi dendangan P. Ramlee dan Saloma. Tiba-tiba emak menyampuk:

“Amboi amboi amboi orang tu. Dapat cuti tiga hari pun dah seronok sampai macam tu sekali.”

Lepas tu Kaklong tumpang gelak besar bersama emak. Adoi. Macam apa sajalah mereka ni. Mestilah gembira bila cuti, kan. Tambah-tambah pula untuk orang yang di hari cuti umum pun perlu meminta cuti yang sememangnya hanya berbaki lagi dua hari saja ni. Punyalah berjimat. Lapan hari untuk empat bulan. Kenalah hargai dan nikmati cuti sepuas-puasnya!!!!

Tapi, pertengahan bulan depan apabila sudah bertukar ke posting baru, kehidupan saya akan menjadi bencana semula. Bencinya. Sangat tak suka. T____T

Malam ini kalau ada masa saya akan publish kan entri azam tahun baru, Maal Hijrah mahupun Tahun Masihi. Sudah seminggu terperam dalam draf tapi belum diedit lagi. Tapi malam ni ada temujanji dengan si dia di Astro Ria jam 10 malam. Oh Farid Kamil!

Posted on December 25th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »