Assalamualaikum wbt
Beberapa hari lepas, saya on call sebagai 2nd call. Saya perlu menjaga dua buah wad medical yang pasif. Wad pasif bermaksud wad yang tidak menerima kemasukan kes baru untuk hari itu. Dan saya juga terpaksa menjaga kes-kes periferi di wad-wad lain yang memerlukan medical review.
Pukul 5 petang tu saya ke kafe sekejap. Haus yang teramat sangat. Jadi saya turun untuk membeli air. Tak sampai 15 minit lesap dari wad, saya sudah mula menerima panggilan telefon. Saya berlari naik. SPO2 seorang ventilated patient turun mendadak. Keadaan dapat distabilkan. Jenuh buah suction dan bagging. Waktu tu dah lah waktu melawat. Wad penuh denagn pelawat. Saya rasa sesak nafas dan berpeluh sakan waktu itu.
Baru saja duduk hendak menulis retrospective entry tentang apa yang terjadi, telefon berbunyi lagi. Waktu itu, belum pun pukul 7 malam. Sudah ada dua kes. Kali ini fitting. Sawan. Pesakit tu ada barah otak. Perkara ini memang sudah biasa terjadi. Cuma masalahnya, wad kedua ini terletak di tingkat lain! Berlari saya menuju ke lif dan berlari dari lif menuju ke wad. Buat itu ini, pesakit kembali stabil, saya pun duduk menulis retrospctive entry untuk kes itu pula.
Selesai menulis, waktu Maghrib sudah hampir habis. Saya berlari masuk ke bilik HO on call. Saya solat di situ. Sehelai sepinggang dengan baju kurung yang saya pakai saja. Saya terus menunggu Isyak, terus solat dan kemudian keluar ke wad semula. Saya terus menyelesaikan segala review yang perlu dibuat di situ untuk 40 orang pesakit. Dalam pada membuat review itu, ada beberapa kes yang terjadi. Tiba-tiba baru saya teringat, saya tidak makan langsung lagi sepanjang hari itu. Tengok jam, sudahpun pukul 12.40 malam. Lapar Ya Rabbi kot waktu tu.
Saya berpesan kepada staff nurse. Kalau ada apa-apa kes, telefon saya terus. Saya perlu naik ke wad lagi satu. Saya meredah koridor gelap seorang diri. Tiba-tiba teringat Kimah. Huhu. Saya ni memang penakut tahap gaban. Tapi sejak mula bekerja ni, semua tu dah tak kisah langsung dah. Gelap ke, terasa seram sejuk ke, redah sajalah. Bila pintu lif terbuka untuk saya masuk, saya akan rasa berdebar ada siapa di dalam. Begitu juga bila pintu lif baru hendak terbuka. Lagilah berdebar. Sebab saya sudah mula terbayang-bayang ada apa-apa yang pelik-pelik di luarnya. Hahaha.
Di wad yang satu lagi, saya menyelesaikan review di bahagian acute male dan juga female. Ada juga terganggu sikit apabila ada kes periferi. Terpaksa turun ke wad Ortho dan Surgical untuk review case. Ada kes active bleeding di tempat femoral catheter dimasukkan. Jujur saya katakan, nak masukkan benda alah tu saya retilah. Nak cabut keluar pun lagilah saya reti. Senang sangat nak tanggalkan semula. Huhu. Tapi bila bleeding terjadi dan patient pula memang sedang anemia, saya gelabah kejap. Sudahnya, saya buat pandai-pandai sendiri sajalah. Huhu. Mesti ada yang kata: Aik. Takkan tak tau kot? Meh sini saya nak jawab. Ada banyak benda dalam bidang perubatan ni yang perlu dipelajari berdasarkan pengalaman. Jadi, inilah antara pengalaman yang mengajar saya untuk tahu.
Selesai menguruskan patient itu, saya berjalan di koridor bercahaya suram itu menuju ke lif. Naik ke wad atas semula. Tengok aja jam, wah, sudah pukul 3.15 pagi! Dan perut saya masih kosong. Saya teringatkan roti Gardenia berkrim yang perisa coklat tu. Saya singgah di bilik HO on call wad saya. Di situ adanya beg saya. Saya usung roti itu keluar, meneruskan review sambil makan roti. Huhu.
Tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan telefon daripada wad bawah. Ambik kau. Patient asystole. Berlari macam ribut saya turun ke bawah. Saya sudah menelefon MO saya terlebih dahulu. Sampai-sampai saja, saya terus ambil ABG, dah suruh stat ECG, cardiac monitor, stat Atropine dan CPR. Tapi tak sempat mana dah pun. Patient itu LO. Meninggallah maksudnya tu.
Down betul saya waktu itu. Bukannya down sebab tak dapat selamatkannya. Memang patient itu statusnya sudah dijangka begitu. Tapi saya down sebab apasallah banyak sangat nak terjadi dalam satu malam ni. Sampai semput saya dibuatnya. Sebenarnya ini semua memang bergantung kepada nasib HO yang on call tu. Kadang-kadang tu, menjadi 2nd call adalah sangat santai dan tenang kerana tiada kes-kes mengejut terjadi. Kalau silap haribulan, sampai tiga LO kes dalam satu malam. Jawablah kau di depan MO kau nanti. Huhu.
Malam tu, saya bengang betul dengan seorang waris pesakit ni. Anaknya memang sudah collapse. On ventilator lagi tu. Anaknya ini dirawat kerana Meningoencephalitis dan mempunyai latar belakang HIV dan Hepatitis B +ve. Saya berusaha hendak membetulkan Ryle’s tube (salur makan yang masuk melalui hidung) dan memasukkan Branula (Line atau laluan untuk dimasukkan air/ubat terus ke dalam salur darah) baru di tangannya. Tiba-tiba emaknya seakan meninggi suara kepada saya. Katanya, buat apalah nak cucuk-cucuk benda alah tu untuk masukkan air ke apa. Kan dah cukup dah boleh bagi susu menggunakan tiub makan tu saja.
Eiii. Berapi juga saya waktu tu. Saya ni dah lah nak tolong anak dia. Nak bagi anak dia bertenaga dan tidak dehidrasi (tidak cukup air). Dia nak marah-marah tengking-tengking pula. Saya terangkan sekali lagi itu ini. Dia buat-buat muka pula. Bayangkanlah. Waktu itu sudah pukul 4.50 am. Saya sepicing pun tidak tidur lagi. Anaknya pula tiba-tiba menyentak Branula yang sedia terpasang. Salahkanlah anaknya itu. Kami di hospital ni nak menolong yang terbaik nak selamatkan anaknya itu. Tapi si emaknya pula tak puas hati dengan Branula, cucuk-cucuk amik darah semua ni. Dia tahu tak, ini sudah kira bernasib baik tahap petala langit ke tujuh dah ni yang negara kita merawat penyakit berjangkit secara percuma. Lagi nak marah-marah orang. Adoi. Hangin tau, hangin. Tapi kena bersabar banyak-banyak.
Dari pukul 5 sehingga 7 pagi, saya menyudahkan semua urusan ambil darah yang sudah di pass over oleh kawan-kawan untuk diselesaikan sebelum saya memulakan review saya untuk pesakit-pesakit saya sendiri di wad saya. Sekitar 7.15 pagi, barulah selesai segalanya. Sumpah mata saya sangat lebam keesokan paginya itu. Dan, apa yang lebih mencabar, pagi itu saya bukannya bertugas di wad. Saya bertugas di Mobile Clinic untuk Blood Bank. Saya perlu mengikuti gerakan kempen derma darah. DAN TIADA DOKTOR LAIN YANG BERTUGAS BERSAMA SAYA PADA HARI ITU. Uwaaaa. Semestinya akan penat!
Sebaik saja saya menghubungi MO unit Tabung Darah, dia berkata: Oh. So you’re the lucky HO. Mobile clinic takde hari ni. So hari ni day off lah untuk you ye. Dah, dah. Pergi balik tidur.
Saya pun apa lagi. Pecut kereta, balik rumahlah! Sampai rumah, saya menghantar adik saya ke tuisyen, pandu pulang ke rumah, hampir-hampir terbabas sebab tertidur sambil bawa kereta, dan terus tertidur di sofa dapur di saat semua yang lain sedang makan nasi lemak. Hahaha. Sehari suntuk lebih saya tidak mandi, tidak makan benda berat dan tidak sempat berfikir tentang hal lain melainkan kerja, kerja dan kerja.
Bila terbangun dari tidur, makan nasi lemak dan kemudian saya mendapat panggilan telefon daripada adik saya Adam. Sebetulnya dia keluar sekejap pagi itu. Bila menjawab panggilannya, dia bertanya sama ada saya berada di hospital atau tak. Saya jawablah yang saya sudah berada di rumah sejak pagi tadi lagi. Ni sah-sah kes dia tak nampak saya terbaring di sofa dapur. Tiba-tiba dia memecahkan cerita: Adam kemalangan. Dengan Hafiz (sepupu). Waktu naik motor tadi. Sekarang kat hospital. Adam takde apa sangat. Hafiz yang teruk.
Panik sekejap saya. Kebetulan Nan ada balik. Dengan tak mandinya, saya cuma menukar baju dan terus berkejar ke hospital bersama Nan. Nasib baik ada Nan yang boleh membawa kereta. Kalau nak harapkan saya, serius saya masih mamai dan pening sebab tidak cukup tidur. Di sana, ayah telah sedia menunggu. Adam cedera ringan saja. Hafiz pula cedera agak teruk. Berlaku pendarahan dalaman dan retak tulang pinggul.
Ok. Mari pendekkan entri. Ini tak. Sekali menulis, macam dah tak reti-reti nak berhenti. Hafiz sudah menjalani pembedahan. Dia selamat. Adam juga semakin baik. Saya pula dah semakin stabil dari segala aspek. Sekarang ni, nak keluar jalan-jalan bila ada masa lapang di petang hari pun bersama emak ayah saja.
What a life, right? Huhu. Adios.
Nota 1: Saya bazirkan masa tidur saya untuk menulis entri pasal on call. Aishh. Tak bermakna langsung. Huhu.
Nota 2: Selamat pengantin baru. Salam.