Kenangan Final Exam 2009

Assalamualaikum wbt

Sepanjang malam tadi, saya membuang masa membaca semula entri-entri lama di blog lama dan yang ini. Juga di sebuah blog rahsia saya yang saya muatkan perjalanan kehidupan saya sebagai pelajar ketika di Moscow dulu. Saya terjumpa semula entri ini. Sengaja hendak saya kongsikan di sini. Biar adik-adik yang sedang belajar sedar, untuk berjaya itu bukannya satu jalan yang senang.

“Assalamualaikum wbt

Esok exam. Kecut perut sangat. Tapi di saat ni otak dah terlalu tepu. Dan saya dah tak makan selama 3 hari. In fact, hari ni memang tak makan apa-apa lagi. Baru minum semug nescafe je pagi tadi. (-_-)

Kalau timbang berat badan sekarang ni mesti dah cecah 48-49 je kot. Boleh melayang ni. Hehe. Tak sabar nak habiskan paper hari esok (MCQ). Lepas tu bolehlah saya pergi bank, keluar duit yang memang dah zero dalam tangan dan lepas tu pergi makan.

Rabbi yassir wala tu’assir. Amin.

Sarah
4.45 pm
4 Jun 2009″

Entri ini ditulis sehari sebelum final exam bahagian MCQ yang 100 soalan tu. Dan pada 11 Jun pula, di awal pagi final exam bahagian oral pula, saya mencoretkan yang ini:

“Assalamualaikum wbt

Tiba juga hari yang ditunggu-tunggu. Siang nanti saya akan menduduki exam saya yang terakhir. Oral dengan 5 orang professor. Saya tak tahu apa yang saya rasa sekarang ni. Yang saya tahu, lepas solat Isya’ ni saya nak tidur terus.

Dah 4 hari saya hanya makan mee segera je. Doshirak nama mee tu. Setiap kali nak buat mee tu, saya terfikir macam ni: Macam nama rasaksa dalam cerita Ultraman. Huhu. Ok ok. Kisahnya, 4 hari berderet makan mee Doshirak ni je. Hari tu lepas habis exam yang pertama tu, saya timbang berat dah. Saya ingatkan mungkin 49 kg kan? Tapi sebenarnya 46 kg je. Tapi dua hari lepas tu naik 49 semula dah. Hehe.

Dan hari ni tadi (Rabu), saya bangun pukul 4 untuk solat Subuh dan dari pukul 4.30 pagi sampailah pukul 11.30 malam ni tadi, saya memang duduk atas kerusi ni je. Serius sakit belakang, sakit mata, sakit badan. 19 jam! Ini rekod paling lama, paling tekun dan paling fokus saya pernah rasakan. Kalau tengok muka saya sekarang, macam muka minah drug addict tu aje.

Doakan saya ye. Alang-alang dah bersusah payah 6 tahun, saya harap yang penyudah ini saya dapat buat yang terbaik dan lengkapkan markah excellent tu. Amin.

Sarah
12.26 am
11 Jun 2009″

Penuh kenangan. Betapa makan minum tak terurus, tidur memang sah-sah tidak cukup. Yang ada dalam kepala, hanya final exam saja. Tapi semua tu dah berlalu. Kenangan hidup terseksa pada waktu itu akan saya ingat sampai bila-bila.

Buat junior-junior di Moscow yang akan menduduki final exam tidak lama lagi, Selamat Bermujahadah! Jangan lambat bermula. Padah menanti. Semoga mujahadah terakhir ini memberi pulangan yang bermakna untuk masa depan kamu semua, insya Allah.

Salam sayang,
KS.

(Errr…. Kalau tak sayang KS pun tak apa. KS tetap sayang kamu semua. Hihi)

Nota 1: Tak sempatlah nak jenguk blog selalu. Macam sudah hilang mood. Tapi banyak pending entries yang tak publish lagi. Sorry ye.

Nota 2: Sekarang tengah sibuk bercinta di internet. Boleh tak gitu? HAHAHAHA. :lol:

Nota 3: Ok serius. Sekarang tengah sibuk siapkan projek dan presentation.  Banyak masa saya gunakan di internet untuk cari bahan-bahan je. Nanti-nantilah ye baru update pasal lain. ;-)

Posted on April 11th, 2010 by Sarah  |  4 Comments »

Moscow Tetap Di Hati

Assalamualaikum wbt

Hari ini hati sangat merindui kehidupan di Moscow dulu. Tidak dapat tidak, saya membelek-belek album lama dan gambar-gambar yang ditag oleh kawan-kawan di Facebook. Rindunya pada Moscow, dunianya dan kawan-kawan. Terutamanya ahli rumah saya dulu. KS rindu sangat pada kamu semua!

mos7

Ini waktu di tahun dua. Kami singgah di zoo sebelah kelas kami.

mos6

Ini pula di tahun empat. Posting Obstetric di Kashirskaya.

mos9

Ini ketika bermain-main di atas tasik beku berhampiran dengan hostel.

mos2

Ketika berjalan-jalan dengan emak dan ayah Aizat di Kremlin.

mos1

Ini di dalam Kremlin ketika menyaksikan perarakan sejarah.

mos10

Ini pasukan Pingpong saya untuk tahun 2009. The best!

mos3

Ini Auyun dan Faiz. Dah kahwin dah mereka berdua baru-baru ni.

mos4

Ini sebahagian kawan-kawan se-batch. Waktu ini kami baru selesai bermain tuju selipar beramai-ramai beberapa hari sebelum balik ke Malaysia for good.

mos5

Juga bersama mereka. Waktu ini baru saja habis hari pertama final exam.

mos8

Bersama sebahagian daripada groupmates saya ketika di rumah pegawai JPA di Moscow. Sekarang ni, Thines pun bekerja di hospital yang sama dengan saya.

mos11

Ini antara budak perempuan Melayu se-batch dengan saya. Ehem. Kecuali Che Nab tu yang tiba-tiba je termasuk sekali. Huhu. Cantik-cantik kan kawan-kawan saya ni.

mos12

Ini siapa? Ini Pena!!! Budak yang paling saya rapat di bilik. KS rindu kamu banyak sangat!

mos13

Inilah angels of my heart sepanjang berada di sana. Tanpa ahli rumah saya, saya rasa hidup saya kosong dan tidak ceria. Sumpah!

mos14

Kami suka ke rumah Kak Zah. Kak Zah baru-baru ini pun sudah pulang ke Malaysia. Agaknya, dengan siapalah budak-budak ni nak bermanja-manja lepas ni ya.

mos18

Ini ketika tahun baru 2009. Kami pergi meluncur di Taman Tema Gorky Park. Luas Ya Rabbi tempat ni. Semput nak habiskan satu pusingan.

mos17

Rumah Hansel and Gratel yang menjadi tempat saya duduk berteleku di hadapannya sambil menyiapkan beberapa buah sajak. Inilah tempatnya! The St. Basil Cathedral.

mos16

Ini ketika kemuncak musim sejuk tahun lalu. Di pertengahan Januari.

Rindunya…

Nota: Jiran bawah bukit belakang rumah saya akan mendirikan rumah tangga. Emak dan Kaklong sibuk di sana. Saya balik kerja tiada orang di rumah. Bosannya. Itu yang buat hati ni jadi semakin rindu pada kawan-kawan dan kenangan di Moscow.

Posted on December 18th, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Hari Terakhir Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Duduk seorang diri di rumah ni buat saya rasa mati kutu. Hendak keluar, saya masih belum menghidupkan semula lesen memandu saya. Hendak membaca novel, saya rasa bilik ini masih serabut. Tak sesuai untuk duduk bersenang lenang membaca novel.  Hendak makan, ada lauk ayam pula. Saya sudah jadi kurang gemar dengan ayam. Setahun di Moscow, ayam saja yang dimakan. Balik rumah, saya mesti hendak makan ikan pula. Tapi adik-adik tidak makan ikan pula. Aduhai.

Saya mahu letak gambar sajalah untuk kali ini. Ini ketika dalam perjalanan balik ke Malaysia Sabtu dan Ahad lalu. Pagi Sabtu itu, Auntie Zah menjamu kami pelajar-pelajar JPA yang bertujuh ini di rumahnya. Kemudian di Domodedovo Airport, Kak Zah pula membelanja kami bertujuh minum di Coffee House. Kak Zah dan Auntie Zah sangat baik. Sebelum berpisah dengan mereka pun, mereka menangis. Sedihnya.

DSC_0007

Banyak hidangan yang Auntie Zah sediakan. Katanya, dia hendak bagi kami semua kenyang dulu sebelum berlepas. Kebetulan ada Auntie Bie dan anaknya, Amir, sekali. Lama juga kami di sana sebelum bertolak ke Domodedovo Airport.

DSC_0012

Sebelum masuk ke van, kami semua bergambar kenangan buat kali terakhir di depan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow. Dan kemudian bersalaman tanda perpisahan antara kami semua dengan Auntie Zah dan Auntie Bie. Kak Zah pula menghantar kami hingga ke lapangan terbang.

DSC_0022

Inilah Kak Zah. Kak Zah merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Moscow. Dialah bos pertama saya. Saya pernah bekerja dengannya sebagai translator dan tourist guide ketika di tahun empat dulu. Banyak benda baru yang saya belajar daripadanya. Juga tentang etika dan semangat bekerja bersungguh-sungguh. Saya juga belajar menjadi perfectionist daripadanya.

DSC_0058

Dan sebaik sampai di KLIA, keluarga saya sudahpun menunggu. Ok. Saya tidak boleh menerima kenyataan adik saya yang darjah lima tu, Aiman, sudah sama tinggi dengan saya! Tapi yang seronoknya, saya ada ramai bodyguard sekarang ni. Dalam perjalanan balik, kami singgah solat di BP Gombak (highway). Tandasnya jauh ke belakang. Saya ditemani oleh tiga orang askar hanya kerana tandas itu tersorok dan mereka risau apa-apa terjadi pada kakaknya yang seorang ini. :mrgreen:

Nota: Mendung betul hari ni. Mata pun rasa mengantuk.

Posted on July 16th, 2009 by Sarah  |  31 Comments »

Selamat Tinggal Moscow (Finale)

DSC_0681

Assalamualaikum wbt

Semalam ketika saya menaiki teksi menuju ke kedutaan, saya sebak sendirian. Kerana saya terfikir, inilah teksi terakhir yang akan saya naiki di Moscow.

Kemudian saya ke Universitetsky Mall untuk membeli barang. Dari situ, saya menaiki metro ke stesyen Krapotkinskaya. Saya diam saja ketika berada di dalam metro walaupun ada Baiz dan Eza bersama. Saya tahu, kalau saya banyak bersuara, nanti air mata saya jatuh. Kerana saya terfikir, inilah metro terakhir yang akan saya naiki. Jadi, saya mahu menikmati metro itu sepuas-puasnya. Saya tenung lampu, pintu, tempat duduk, palang tangan dan peta metro yang tertampal di dindingnya. Memang saya tidak menangis tapi air mata sudahpun bergenang-genang.

Selesai urusan di Krapotkinskaya, saya melintasi Coffee House. Saya berpatah semula untuk singgah ke sana. Saya amat menggemari Cappucino Iced di situ. Saya singgah semata-mata untuk memesan air itu. Kerana saya fikir, inilah kali terakhir saya dapat menikmatinya.

Saya terus menunggu bas untuk balik ke rumah. Menaiki bas adalah lebih dekat dan memudahkan dari situ. Sebaik saja bas sampai, saya terus duduk di bahagian paling belakang untuk menikmati pemandangan bas itu secara luas. Juga dapat melihat ke luar dengan jelas. Kerana saya fikir, inilah kali terakhir saya akan menaiki bas di Moscow dan melalui jalan rutin ulang-alik menggunakan bas.

Setibanya di rumah, saya terduduk sebentar. Barang-barang saya biarkan di tepi beg. Stokin pun masih belum ditanggal. Saya duduk di tepi katil. Saya terasa sunyi. Rasa terasing. Rasa jauh. Kerana semua yang dekat di hati saya selama enam tahun di sini akan mula meninggalkan rumah kami yang satu ini.

Dan sekarang, rasa sedih itu berganda-ganda. Kerana pada hari ini, saya akan meninggalkan Bumi Rusia ini untuk pulang ke Malaysia. Terima kasih Moscow atas permukiman yang penuh makna ini. Terima kasih atas segalanya. Terima kasih kerana mendidik saya dalam tempoh enam tahun yang berharga ini. Terima kasih kerana menjadi rumah yang sangat manis untuk saya kenang selamanya.

Selamat tinggal Moscow. Semoga terus menjadi rumah agung untuk insan yang bertandang mencari ilmu dan tauladan. Semoga saya dapat bertandang lagi jika diizinkan Tuhan.

Dari Moscow dengan cinta. Kembara saya di Tanah Tsar berakhir di sini. Wassalam.

Nota: Sedih yang teramat sedih…

Posted on July 11th, 2009 by Sarah  |  48 Comments »

Selamat Tinggal Moscow (Episod 2)

sabor

Assalamualaikum wbt

Di saat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Sheremetevo 2 dulu, hanya satu tanggapan mudah saya tentang Moscow pada ketika itu. Kunonya! Tapi disebabkan sudah diingatkan oleh para senior yang melawat ke INTEC dulu supaya tidak meletakkan harapan yang tinggi tentang Rusia, jadi saya tidaklah terlalu terkejut. Masa berlalu. Sekarang, kompleks Sheremetevo 2 Airport adalah sangat luas dan moden. Dilengkapi dengan aerotrain untuk menghubung terus kawasan itu ke pusat bandar.

Dalam perjalanan menuju ke Hostel Pushkin, hostel pertama kami semua, kami dibawa menaiki bas khas. Ketika di dalam bas, saya duduk diam saja memerhati ke luar tingkap. Dalam hati saya, ada beberapa soalan berlegar. Kenapalah pokok di Rusia ni nampak tak sihat saja. Daun tak hijau sangat. Macam penuh debu saja gayanya. Kereta pun sama. Memang berdebu sungguh. Selepas beberapa hari dan sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan di hostel dan laluan ulang-alik ke kelas, barulah saya tahu di mana kebodohan saya. Waktu itu hampir masuk ke musim luruh. Daun sudah mula hendak menguning. Memanglah begitu warnanya! Cuaca pula kering-panas kerana berada di antara musim panas dan luruh. Disebabkan itu udara berdebu dan adalah tidak berguna jika kereta dibasuh selalu. Pasti akan kotor semula. Aduhai. Tergelak seorang bila teringatkan hal ini. Lama kelamaan, saya dapat menerima kenyataan ini. Bukannya mereka sengaja, tapi cuaca dan udara yang menyebabkan segalanya jadi begitu.

Ketika mula tiba di sini dulu, saya cukup tidak suka akan bunyi alat penggera kereta milik jiran tetangga di sekitar Hostel Pushkin yang berbunyi di waktu malam. Bising itu satu hal. Berbeza-beza pula bunyinya itu. Ada siren polis. Bunyi bomba. Bunyi ambulan. Kalaulah ada bunyi roket, agaknya, mungkin ada yang menggunakannya. Saya suka tidur yang senyap sunyi. Biar terang tidak mengapa. Asalkan jangan ada bunyi. Perkara kecil begitu pun boleh menjadi sebab saya tidak ada mood apabila bangun keesokan paginya. Tetapi, lama kelamaan, saya sudah terbiasa dengan suasana itu. Sampaikan kadang-kadang saya terfikir, kenapa kereta yang selalu berbunyi siren polis itu senyap sunyi malam ini?

Saya juga kurang gemar akan musim peralihan di antara musim sejuk ke musim bunga. Pertamanya kerana jalan penuh lecah. Salji mula mencair. Habis kotor hujung seluar. Kalau pakai seluar jeans, bukannya setiap hari kita basuh seluar pun kan. Tapi kalau dah kotor, nak tak nak memang terpaksa dibasuh jugalah. Kotornya bukan sedikit. Habis terpercik sampai ke betis. Jenuh hendak membasuh. Keduanya kerana dalam keadaan lembap begitu, laluan tar untuk pejalan kaki di tepi-tepi jalan dipenuhi dengan cacing. Bukan sekadar cacing biasa. Tapi datuk kepada segala cacing! Warna merah pudar, besar, lembah-sejuk badannya dan bertebaran di atas jalan. Gelilah tengok. Naik bulu roma bila cacing-cacing ini berlonggok beramai-ramai di satu tempat yang sama. Tapi semakin lama di sini, semakin alah dengan hujung seluar yang kotor dan cacing di atas jalan. Mungkin kalau tiada cacing, itu yang lebih memelikkan.

Di saat awal-awal menggunakan metro dulu, saya rasa pening bila metro berayun-ayun kerana terlalu laju. Hendak membaca tidak boleh. Inikan pula hendak melelapkan mata. Tapi itu semua tidak lama. Selang dua bulan selepas itu, metrolah tempat paling selesa untuk tidur dalam perjalanan ke kelas mahupun pulang ke hostel. Dan kalau hendak studi pun, apa yang dibaca pun sangat cepat masuk bila berada di dalam metro. Terus jatuh suka pada metro. Dahlah efisyen. Berjasa pula tu.

Dulu-dulu kalau ke kafe di dalam bangunan akademik, tiada benda sangat yang dijual. Paling habis ada salad, potato puree dan pizza. Kalau mahu pirazhok (pai berinti), kena beli di kedai luar. Kedai Nyum Nyum warna merah. Bila pandang saja kepada salad, saya sudah rasa semacam. Tak mengenyangkan langsung. Sudahnya, hampir setiap hari kami pergi beli pai berinti epal, ceri, aprikot atau buah-buahan yang lain di kedai luar. Kadang-kala, kami turun makan pizza segera di kafe yang satu lagi. Tapi sekarang, bila singgah untuk makan di mana-mana, salad menjadi menu wajib. Sedap makan salad rupanya ya. Tambahan pula, di Livan House (kedai halal), ada menyediakan pelbagai salad yang halal dimakan. Serius saya suka.

Orang kata, kalau mula-mula benci, nanti lama-lama jatuh cinta. Ya. Saya akui hal ini dalam ruang lingkup hubungan saya dan Moscow. Saya geram itu, tak suka ini, benci begitu, tak mahu begini tentang Moscow. Tapi sudahnya, saya jatuh cinta dengan segala yang saya lalui dan hidupi di sini.

Kerana itu, Moscow punya tempat yang istimewa dalam hati saya. Kerana itu saya sebak untuk meninggal rumah saya ini.

Nota 1: Sekejap lagi, pelajar tajaan MARA batch saya akan berangkat balik. Sedihnya. Ya Allah, satukanlah hati-hati kami dan rahmatilah persahabatan kami selama ini. Untuk semua kawan-kawan (Auyun, Shima, Rodo, Krun, Krin, Glid, Asrul, Aizat, Mubin, Faiz, Lutfi, Posto, Israfil dan Nazlin), terima kasih atas segala perkongsian kita selama ini. Maafkan saya atas semua salah silap selama kita hidup bersama di sini. Kita jumpa nanti di Malaysia. 😥

Nota 2: Maghrib tadi Auntie Arfah dan Uncle Suhaimi datang melawat kami semua buat kali terakhir. Ya Rabbi. Sedihnya. Terima kasih Auntie dan Uncle. Both of you have been a great mom and dad to all of us here. Kami akan rindukan Auntie dan Uncle! 😥

Posted on July 11th, 2009 by Sarah  |  20 Comments »