Sebulan Di Pediatrik

Assalamualaikum wbt

Saya ada sebut kan yang saya kini di Jabatan Pediatrik? Saya sangat suka berada di sini dan memang sangat kena dengan jiwa saya. Kerja memang sangat teruk. Round tiga kali sehari. Tak sempat makan, minum, tidur, rehat mahupun hendak ke tandas. Huhu. Tapi saya selesa berada di dalam dunia kanak-kanak. Sedahsyat manapun kerja saya sampai tak sempat hendak mandi jika post call, tapi bebannya tidak sama seperti yang saya lalui ketika di Medical dulu.

Saya teringat ketika musim sejuk tahun dua di Moscow dulu, saya dan Abang Khairil (Masih ingat pada entiti bernama Abang Khairil kan? Tak payah saya hendak perkenalkan lagi. Hehe) keluar mencari hadiah untuk kawan-kawan yang bakal diziarahi Abang Khairil di UK, di dalam metro kami disapa ramah oleh seorang makcik. Dia bertanya apa yang kami buat di Moscow itu. Apabila diterangkan oleh Abang Khairil bahawa kami pelajar perubatan, dia kelihatan teruja. Dia bertanya, apa bidang yang kami pilih. Kedua-duanya menjawab kami belum membuat keputusan lagi. Lantas makcik itu memberi cadangan. Katanya: “Jadilah pakar kanak-kanak. Banyak pahala (Dia tak lah sebut perkataan pahala. Maksud lebih kurang ayat dia macam tu lah) yang kamu akan buat. Kamu tolong dia dari kecil. Dia sihat. Dia jadi orang berguna. Dia buat baik pada orang lain pula. Kamu pun dapat pahala juga.” Sampai sekarang saya masih ingat apa yang diperkatakannya. Abang Khairil ingat tak? Hehe.

Dua minggu selepas melapor diri di jabatan ini, Ketua Jabatan saya membuat round mengejut di cubicle saya. Ada hampir 30 pesakit yang berada di situ pada waktu itu. Saya membentangkan kesemua kes di situ sendirian kerana dua lagi HO yang sepatutnya berada di situ juga telah MIA. Huh. Benci nak sebut. Sakit hati bekerja dengan bangsa tu. Asyik buat hal saja. Ok. Tukar mood. Baca dengan hati yang lapang semula. Apabila sampai saja ke pesakit yang terakhir, Ketua Jabatan saya bertanya: “Sarah, would you consider to become my MO in Paeds?” Dan saya pun tak semena-mena telah bertukar menjadi orang gagap. Huhuhu. Saya senyum-senyum dan membalas semula: “Tengoklah dulu boss ye. Insya Allah kalau ada rezeki.”

Dalam hati sebenarnya nak saja saya jawab: “Saya nak kawin. Saya nak ikut suami saya.” Hahahaha. Wah. Warna merah. Tu tandanya ayat serius. Hahaha~  :lol:

Nota 1: MIA = Missing in action.

Nota 2: Selepas sebulan berada di Pediatrik, seperti biasa, saya menghadiahi diri sendiri dengan buku sebagai tanda ‘Sarah, awak patut berehat’. Dan saya memilih ‘Tidak Secantik Husna’. Tak jemu saya membacanya.

Nota 3: Bulan Rejab ni. Jom puasa sunat semampu mungkin ye kawan-kawan.

Posted on June 17th, 2010 by Sarah  |  14 Comments »

Sebak Di Klinik

Assalamualaikum wbt

Seingat saya, saya belum menyebut bahawa sekarang saya bertugas di bahagian periferi untuk Orthopedic, kan? Ya Allah… Tak tahu macam mana hendak saya terangkan. Saya sangat tidak berminat bertugas di bahagian periferi. Hidup saya macam terpekung dalam satu kitaran yang statik. Dan kerja pun sangatlah kurang. Hekhekhek.

Pada hari Isnin baru-baru ini, selepas selesai membuat morning round melihat pesakit-pesakit di bawah unit Ortopedic di wad kelas 1, saya terus turun ke Morning Pass Over di wad bawah. Di pertengahan sesi itu, tiba-tiba muncul seorang specialist saya di muka pintu.

“Siapa HO yang tak oncall hari ni dan tak juga postcall?” tanyanya.

Saya dan beberapa orang lagi mengangkat tangan. Specialist itu terus menuding jari ke arah saya dan saya memandang seorang lagi kawan yang bertentangan dengan saya.

“Cepat turun klinik. Tolong saya di klinik. Hari ni Paeds Clinic,” kata specialist itu tadi. Saya bangun dan terus menuju ke klinik bersama kawan yang seorang lagi tadi. Paeds Clinic (Paediatrics Clinic) ialah hari klinik Orthopedic khas untuk kes kanak-kanak yang berumur sejak hari pertama kelahiran sehingga 12 tahun.

Sampai di klinik, saya terus mengambil fail pertama yang sudah sedia tersusun. Waktu itu, baru ada tiga orang pesakit yang sampai. Saya melihat kad biru termujanji pada fail itu. Saya meninjau masalah pesakit itu. CTEV. Alamak. Saya tak berapa ingat pasal CTEV. Pirani Score pun saya tak mantap lagi ni. Berapa markah untuk crease yang normal dan abnormal. Uish… Masalah ni. Saya berkira-kira hendak meletakkan saja fail itu dan mengambil fail yang seterusnya. Tapi hati saya berkata, kalau saya tidak mengambil cabaran itu, sampai bila pun saya akan merasakan kes-kes CTEV adalah susah. I mind you, CTEV is a very simple topic by fact. Hahaha.

Maka, bermulalah sesi berjumpa pesakit yang datang untuk temujanji pada hari itu. Comelnyalah budak-budak ni. Buat rasa hendak ada anak sendiri pun iya. Huhuhu. Tapi kasihan. Sungguhpun mereka comel, tetapi Allah kurniakan mereka kekurangan sedikit pada pembentukan kaki mereka.

Sekitar 12 tengahari, specialist dan MO saya ajak berhenti rehat minum air di pantri klinik untuk seketika. Saya tidak turut serta kerana saya berpuasa. Saya teruskan sesi bertemu pesakit dan sebolehnya saya tidak mahu mereka menunggu lama. Dalam sejam lebih selepas itu, saya mengambil fail terakhir yang berada di atas troli. Waktu itu, letihnya hanya Allah saja yang tahu.

Specialist saya bertanya sama ada itu kes terakhir atau ada lagi pesakit yang baru saja tiba. Saya menerangkan bahawa itulah yang terakhir untuk hari itu. Specialist saya bertanya lagi, kes apakah itu. Nampaknya, untuk hari itu, saya bermula dengan kes Cerebral Palsy with Postural CTEV dan berakhir juga dengan kes yang sama.

Cuma, kes terakhir ini agak unik. Lagi menyedihkan. Kanak-kanak itu berusia 8 tahun, Melayu dan kini bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas. Dia kini dijaga oleh nenek dan datuknya. Specialist saya sudah amat mengenali pesakit itu kerana sudah biasa bertemunya di klinik untuk temujanji. Selain menjaganya, nenek dan datuknya juga menjaga empat orang cucu yang lain. Alhamdulillah empat orang lagi semuanya sihat-sihat dan boleh berdikari. Yang memerlukan perhatian penuh dan penjagaan rapi ialah pesakit ini saja kerana masalah pertumbuhannya yang perlahan dan juga masalah tulang kakinya itu.

Yang lebih menyedihkan, emak pesakit itu sudah meninggal dunia akibat barah otak. Ayahnya pula meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini. Sudah takdir, anak kecil itu tadi hidup sebagai yatim piatu pada usia yang sangat muda. Dan sehingga kini, dia memanggil datuknya dengan gelaran ‘abah’ kerana menyangka datuknya itu ialah ayahnya yang sudah meninggal dunia.

Sebaik mengetahui kisah hidupnya itu, hati saya rasa seperti dicucuk-cucuk. Tekak saya rasa perit. Itu memang petanda saya sedih dan hendak menangis. Saya cuba melawan tangis. Specialist saya juga sudah mula berbual santai saja dengan si nenek mengenai perkembangan anak itu di sekolah dan apakah sudah dicari rumah kebajikan yang sesuai jika ada apa-apa terjadi di hari muka. Menurut si nenek, kesemua ibu dan bapa saudaranya tidak mahu menyerahkan anak itu tadi ke rumah kebajikan dan sebaliknya sanggup hendak memeliharanya jika terjadi apa-apa suatu hari nanti.

Hati saya tersentuh lagi. Memang sebak betul saya yang berdiri di tepi si nenek. Tiba-tiba saya melihat specialist saya itu menyelukkan duit sedekah untuk anak itu yang sedang duduk di atas kerusi rodanya. Anak itu memang tidak faham apa-apa. Tapi dia tersenyum saja. Specialist saya berkata padanya: Hidup baik-baik ye. Rezeki untuk awak ada kat syurga nanti.

Oh oh oh. Saya terus berjalan keluar daripada bilik itu. Saya berdiri di koridor. Saya rasa mata saya berkaca. Dan dada saya sangat sebak. Ya Allah, semoga untuk semua orang yang dilahirkan dengan kekurangan dan kecacatan ini Kau limpah dan gantikan dengan nikmat yang lebih besar buat mereka di syurga nanti.

Amin.

Nota 1: Waktu berbuka tu, saya sebak sekali lagi. Tapi sebak yang menggembirakan. 😉

Nota 2: Happy birthday Chika! Semoga selamat melahirkan anak tidak lama lagi.

Nota 3: Ramainya pengunjung yang tiba dari blog Acai. Terima kasih daun keladi, lain kali datang lagi, walaupun blog ni jarang dikemas kini. Hihi. :mrgreen:

Posted on April 21st, 2010 by Sarah  |  15 Comments »

Senior HO

Assalamualaikum wbt

Seminggu berlalu begitu saja. Saya sudah semakin hampir ke penghujung posting yang pertama ini. Saya sudah selesai bertugas di ketiga-tiga buah wad medical, Klinik Pakar dan periferi. Sekarang saya kembali semula ke wad pertama saya dulu. Wad yang selalu membuatkan saya rasa macam separuh gila tu. Tapi yang pastinya sekarang, ada dua perkara yang membuatkan saya gembira berada di sana semula.

Dr. P sudah tiada di situ. Dan sekarang saya bekerja bersama dengan Dr. F.

Dr. F ini kawan lama yang saya kenali hampir tiga tahun lalu ketika masing-masing masih bergelar pelajar. Entah macm mana, sekarang ini kami bekerja di tempat yang sama pula. Memang ngam habis bekerja dengan dia. Sebab hanya kami berdua saja Melayu di wad itu. Kalau saya banyak kerja, dia tolong cover-kan. Kalau dia banyak kerja, saya tolong cover-kan. Hendak pergi rehat pun kami boleh bergilir-gilir.

Kalau dulu, hendak pergi kerja pagi-pagi tu, saya akan terasa berat hati sungguh. Terasa seperti satu paksaan saja. Sebab mengenangkan apalah pula kritikan atau beban kerja yang saya bakal terima. Huhu. Sampai macam tu sekali! Awal-awal lagi sudah berfikir tentang kebarangkalian yang mungkin ada. Tapi sekarang lain sama sekali. Kerana apa?

Kerana sekarang sayalah antara empat orang the most senior HO dalam jabatan saya. Hahahahhaha. Takde faedah betul awak ni, Sarah!

Saya sudah banyak berbeza berbanding saya yang dulu. Dulu saya jarang makan. Sekarang ni, sempat atau tidak, tengahari saya mesti akan menyempatkan juga diri untuk turun makan sekejap. Kalau tidak sempat, saya akan bungkus nasi bawa naik ke wad dan makan laju-laju di pantri wad saja. Hasilnya, sekarang saya sudah gemuk semula. -___-

Tentang gaji pula, Alhamdulillah memang puas hati rasanya bila dapat memberi emak dan ayah duit hasil titik peluh kita sendiri. Tapi selain daripada tu, saya hanya gunakan duit untuk membayar kereta, bil telefon dan Astro. Saya tiada masa hendak keluar berbelanja atau apa. Jadi duit gaji saya berkepuk sajalah tersimpan di dalam bank. Bagus juga hidup penuh kesibukan ni. Sebab kita tidak terdedah kepada risiko berbelanja sakan. Huhu. Tapi saya memang bukan jenis yang begitu pun. Daripada saya beli barang-barang atau baju yang belum tentu saya suka 100%, baik saya beli makanan. Hahahaha.

Tapi satu amalan saya yang masih kekal sampai sekarang ialah setiap bulan saya akan membeli sepasang baju kurung baru untuk menambah stok baju bekerja. Saya tak reti hendak pakai baju glamour-glamour ni. Semuanya baju kurung biasa saja. Bukan yang jenis berlabuci bagai tu. Tak reti saya macam mana hendak pakai. Huhu. Sebab saya pergi kerja memang berbaju kurung. Hatta keluar santai-santai dengan adik-adik pun saya berbaju kurung. Jadi mestilah saya mahu ada koleksi yang lebih sikit. Kalau tidak, ulang pakai baju yang sama sajalah dek non oi.

Oh ya. Hari ni sambutan Hari Natal. Kamu cuti? Eleh. Saya pun cuti juga! Hahahaha. Tapi cuti kamu semua memang sah-sahlah cuti percuma sebab ini cuti umum, kan. Saya pula terpaksa mengambil cuti untuk bercuti pada hari ini. Ops. Bukan hari ini saja. Saya bercuti sampai Ahad!

Insya Allah esok saya hendak menghadiri majlis perkahwinan kawan saya di Perak. Hey hey hey oghang Peghok, ate ni Yong dah maghi dah ni! =p

Nota: Happy! :mrgreen:

Posted on December 25th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »

Isikan Biar Terisi

Assalamualaikum wbt

Akhir-akhir ini, di saat hidup orang lain di sekeliling saya semakin terisi, saya rasa hidup saya semakin kosong. Sangat kosong. Balik dari kerja, saya makan nasi sambil menghadap TV dan kemudian terus menuju ke bilik dan tidur. Komunikasi hampir zero. Fantasi lebih aktif berbanding aktiviti lisan. Diam memang teman saya.

Tertekan dengan kawan-kawan yang kuat membuli di tempat kerja pun satu lagi halnya. Tak pernah-pernah saya mengamuk, baru-baru ini habis saya hentak-hentak steering kereta kerana marahkan seseorang. Tapi bila berhadapan, semua itu tak terluahkan. Terpaksalah saya menjadi mangsa buli di tempat kerja. Dikerah melakukan apa yang tak perlu dilakukan pun. Cuti sayapun lebur begitu saja. Sehingga saya terlepas mengikuti perkara-perkara penting dalam keluarga. Termasuklah sebuah episod istimewa untuk emak dan ayah.

Tak apalah. Hidup ini, ada ubi ada batas. Tiba suatu hari nanti, semua ini pasti terbalas.

Cara saya menghiburkan hati, saya mendengar Radio Klasik Nasional setiap pagi. Saya boleh tersenyum seorang mendengar lirik lagu dulu-dulu. Ada satu lagu yang hari-hari menitir di bibir saya. Gurindam. Datin Rafeah Buang. Selalunya, saya turut bergurindam sama seiring dengan dendangan radio.

“Langit cerah awan membiru, di dinihari embun pun jatuh, sakit menanggung rindu, di dalam air, di dalam air badan berpeluh.”

Gurindam lama memang dahsyat. Metafora berganda-ganda. Sampaikan di dalam air pun badan boleh berpeluh, ya. Indahnya, indahnya.

Kalau ada caranya, saya mahu jalan cerita hidup ini berubah. Menjadi penuh semula. Menjadi ada daripada tiada apa-apa. Jangan kosong. Isikan biar terisi. Yang kosong mudah dibisiki syaitan dan nafsu. Yang kosong mudah dibelenggu sadis dan jemu.

Nota: Saya post call. Wajib tidur sekarang walaupun baru pukul 9 lebih. Menguap tak sudah-sudah dah ni. Hmm… Inilah hidup saya setiap hari. Selamat malam Malaya.

Posted on December 7th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Comel

Assalamualaikum wbt

Sebenarnya, seronok bekerja di klinik. Saya menikmati masa bekerja seperti orang pejabat. Boleh bertolak lambat dari rumah. Sempat bersarapan bersama kakak dan ayah. Di sebelah petangnya boleh pulang awal ke rumah. Cuma waktu sesi bertemu pesakit, memang kepenatanlah. Dalam sehari, hampir 70 orang pesakit yang datang untuk temujanji.

Balik saja dari kerja petang semalam, saya keluar makan bersama keluarga. Memang makan besarlah. Ayah yang memilih tempat makan. Malam tadi, kami menyuruh Lan yang membaca doa makan. Elok saja dia selesai membaca doa makan, habis semua orang mengucapkan syukur sambil tergelak-gelak. Huishhh. Kalau nak tahu, inilah adik yang paling keras kepala. Jadi, bila dia boleh mengetuai baca doa untuk kami semua, semua pun berkata: Sejuk perut emak mengandung. Hahahaha. Selesai makan, habis semua orang tersandar kekenyangan. Tapi emak dan Nan tiadalah bersama untuk kali ini. Kami hantar MMS sajalah kepada mereka.

Selesai makan, saya bersama Kaklong, Adi dan Adam pergi ke Lurah Semantan. Mulanya sekadar berhajat hendak mengisi minyak kereta. Tapi ternampak ada Bazar Raya pula. Kami pun singgah. Dan tak semena-mena saya telah membeli beberapa bekas kuih raya. Hahaha. Nampak sangat saya kemaruk tak beraya dulu.

Baru sekejap tadi, emak baru sampai dari Kuala Lumpur. Kursusnya sudah tamat. Nan yang membawa emak pulang. Nan sudah mula bercuti. Dan, mulai petang ini, saya juga mula bercuti raya sehingga Ahad ini! Kami sekeluarga akan pulang ke Pulang Pinang untuk Raya Haji kali ini. Tak sabarnya hendak balik kampung. Dan saya sangat gembira sebab saya akhirnya dapat bercuti dengan senang hati selama empat hari.

Oh ya. Alhamdulillah. Gaji saya sudah masuk. Bolehlah buat saya tersenyum dan terharu. Kalau dulu setiap tiga bulan saya menerima duit biasiswa JPA. Kali ini, bila saya melihat nilai yang tertera pada buku bank saya yang dikemaskinikan, saya betul-betul terharu. Saya perlu bekerja susah-payah selama tiga bulan ini, dan apabila melihat jumlah yang ada, siapalah yang tak terharu, kan.

Ok. Malam ini hendak berbual-bual dengan puas bersama emak dan Kaklong. Esok pagi kami sekeluarga akan bertolak balik. Kalau ada sesiapa yang terserempak dengan saya di mana-mana, tegur-tegulah ya. Nanti kita bersiaran dari Penang pula dengan entri bergambar berlatarkan bendang dan kampung nan permai.

Aik. Kenapa tajuk entri ni comel? Sebab Dr. A kata, muka saya ni macam orang yang blur sikit tapi comel. Ngeheee~ Ok ok. Tak menarik pun. Tak menarik pun. Mari pergi makan kuih raya ramai-ramai.

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua. 🙂

Nota: Baru je dapat gaji, spect pula patah. Melebur duit. Power pun makin naik. Huhu. :cool:

Posted on November 25th, 2009 by Sarah  |  40 Comments »