Dari Mata Di Sebalik Rak

Assalamualaikum wbt

Tiba-tiba saya berperasaan hendak menulis dengan panjang lebar. Sudah lama saya meninggalkan aktiviti menulis sehingga letih jari dan jenuh orang hendak membacanya. Kali ini pun kisah benar. Kalau hari itu ditakdirkan saya dapat mengisahkan semula kisah anak muda yang gigih, kali ini lain pula versi yang terjadi. Manis atau tidak, anda tentukan. Cewah! Eh, tidaklah. Ini kisah harmoni hidup bermasyarakat yang terjadi dalam kehidupan seorang penulis blog. Fuh. Penulis blog ni bunyinya macam satu profesyen pula. Padahal satu sen pun saya tidak dapat dengan menulis blog ini. Ayat sadis seorang penganggur terhormat. =___=

Pada hari Jumaat minggu lepas, saya membawa Tok saya ke pasaraya untuk membeli sedikit barang. Kebetulan sebelum itu, saya ada temujanji dengan Fizi, groupmate saya selama enam tahun di Moscow dulu, yang kebetulan berada di Temerloh pada waktu itu. Saya berjanji hendak membawanya pergi sarapan nasi lemak panas. Jadi, saya membawa Tok saya sekali kerana Tok saya terus hendak membeli barangnya selepas itu. Kebetulan, saya juga hendak ke pasar membeli barang-barang basah yang dipesan oleh emak. Selesai di pasar, baru saya berpatah balik ke Pasaraya KS (tak tipu, nama supermarket tu KS, sama dengan nama timangan saya di Moscow!). Oh ya. Kehidupan seorang penulis blog adalah normal dan waras seperti orang biasa. Itu sebab penulis blog juga ada masa hendak keluar pergi makan dengan kawan (padahal bila kawan tu tiada, blog sajalah yang dia hadap), masuk pasar macam makcik-makcik dan pergi pasaraya membawa Toknya mencari barang-barang. =___=

Saya mengikut Tok ke bahagian tepung-tepung di sudut belakang sana. Tok sedang membelek-belek barang yang hendak dibelinya. Saya pula ke bahagian rak yang menempatkan tepung kastard, serbuk kari, serbuk cili dan yang seumpama dengannya. Kata Tok, dia tidak berhajat untuk berada lama di situ. Jadi, saya membiarkan Tok memilih apa yang hendak dibelinya.

Di rak barang itu, saya terasa seperti diperhatikan dari sebelah sana rak itu. Bukan CCTV. Tapi ada sepasang mata yang memerhati. Kali pertama saya buat biasa saja. Mungkin kebetulan pelanggan itu turut mengangkat kepalanya memandang ke arah pelanggan di sebelah sana rak juga. Saya menunduk mahu melihat paket agar-agar di situ. Apabila saya tegak kembali, saya nampak wajah pemilik mata itu tadi dan dia masih memandang ke arah saya. Saya jadi segan kerana sudah dua kali saya mencuri pandang semula ke arahnya dan pada masa itu si pemilik mata kebetulan memang sedang melihat ke arah saya. Saya menuju ke arah Tok. Saya bawakan barang-barang Tok dan terus ke tempat minuman. Kelibat pemilik mata tadi pun hilang begitu saja.

Sesudah Tok memilih sekotak susu segar, kami menuju ke kaunter. Elok saja selesai membayar, sedang kami menuju ke pintu keluar, tiba-tiba saya disapa. “Ini Sarah kan?” Saya kaget sekejap di situ. Yang menegur itu ialah si pemilik mata tadi. Dia tersenyum saja. Ada sebuah beg plastik di tangan kirinya. Saya tidak menjawab sebaliknya membalas soalannya tadi dengan sebuah pandangan yang penuh persoalan. Eh, iyalah. Saya tidak mengenali orang itu. Takkan sewenang-wenangnya saya hendak mengaku siapa saya.

Lalu si pemilik mata meneruskan ayatnya. “Saya baca blog Sarah.” Dan selepas itu dia ketawa kecil. “Oh! Baca blog. Ok ok.” Itu saja respon saya atas intro yang diberikannya itu dengan sengihan kecil. Saya segan sebenarnya untuk terus berada di hadapan orang itu. Sebenarnya, seawal terpandangkan wajah pemilik mata yang saya ternampak di sebalik rak barang di belakang tadi, saya terasa seperti pernah melihat wajahnya. Di mana, itu yang saya tidak pasti. Ketika itu saya sudah memegang kunci kereta. Tok sudah mendahului saya sedikit menuju ke arah kereta.

Lalu saya terus berkata, “Saya kerna pergi dulu ni. Nak hantar Tok balik dah ni.” Dan dia pun terus memberikan saya laluan dan hanya menyebut “Ye, silakan. Silakan. Setakat itulah saja kisahnya saya dengan orang itu.

Di dalam kereta, saya ligat berfikir. Di mana saya pernah bertemu dengannya. Mukanya seperti pernah saya lihat sebelum ini. Terutama matanya. Tapi saya tidak ingat juga. Sudah hampir mendekati Kampung Tengah dalam perjalanan hendak balik ke rumah, baru saya dapat mengecam wajah itu. “Haaaaa! Patutlah macam pernah nampak! Muka dia macam Akif!”

Masih ingat tak suatu masa dulu, sekitar Mac dan April, saya sangat menggilai drama bersiri Dari Mata Arissa. Watak heronya bernama Akif Zamani yang sering saya sebut-sebutkan di sini. Watak Akif adalah lakonan Syed Aiman atau nama betulnya Syed Kamarulzaman. Ya. Wajah si pemilik mata tadi sangat mirip dengan Syed Aiman itu. Memang mirip sungguh.

Berhemah orangnya pembaca blog saya yang seorang ini ya. Bila difikir-fikir, aduhai, macam saya melihat Akif Zamani di depan mata pula. Dia pun kelihatannya sedang mengejar masa ketika itu. Sebaik saya laju menuju ke kereta, saya lihat dia juga laju menuju ke keretanya yang diparkir betul-betul di pintu masuk pasaraya itu.

Jadi, buat kawan-kawan yang ada terlihatkan status bernama Syed di Facebook saya tu, jangan macam-macam ya. Itu hanya sempena mengingati insiden ini dan pelakon Syed Aiman ini. Nama pemilik mata itu pula? Ahaa. Itu yang kita tidak tahu sehingga ke hari ini.

Terima kasih ya sebab menegur si penulis blog ini pada hari itu. Saya ingatkan, apalah yang dipandang-pandang dari celah rak itu. Selagi tidak tahu nama, saya namakan kamu sebagai Syed sajalah ya.

Ya. Bila sudah namapun bekerja tanpa gaji sebagai penulis blog peribadi dan pada masa yang sama menjalani kehidupan yang normal dan waras sebagai orang biasa, janganlah buat muka batu pula bila ada yang mengenali anda di luar sana. Biasakan amalan harmoni hidup bermasyarakat. Beramah mesra asas kekuatan semangat kejiranan dan mengukuhkan kerukunan. Ewah. Pesanan khidmat masyarakat ini dibawakan khas secara percuma di Dunia Sarah. (menangis air mata darah sekalipun kau takkan dapat komisyen, Sarah!) T__T

Nota 1: Baik Syed Aiman ataupun Akif Zamani, mereka ini adalah suami orang. Hati-hati bila menyebutnya. Tak pasal-pasal nanti diserang isteri mereka pula. Huhu. ๐Ÿ˜†

Nota 2: Tajuk tak menahan betullah budak Sarah ni. Sekali baca macam seram je ceritanya. :mrgreen:

Nota 3: Saya rasa saya tahu kamu kerja di mana. ๐Ÿ˜‰

Nota 4: Tunggu entri tawaran istimewa yang akan menyusul sekejap nanti!

Posted on August 19th, 2009 by Sarah  |  6 Comments »

Entri Emosi

Assalamualaikum wbt

Saya tak faham kenapa bila saya tulis entri yang berbunyi negatif sikit je, mulalah saya terima komen yang saya tak berminat nak baca. Tak kiralah, pasal malas ke, bosan ke, tertekan ke, sedih ke.

Saya tak maksudkan langsung yang saya tak hargai cuti dan masa lapang yang saya ada. Saya bukan maksudkan yang saya bosan dengan cuti saya ni. Saya maksudkan yang saya bosan sebab tiada kawan. Tanya emak saya. Berkali-kali dah saya katakan padanya yang saya sedih sebab kawan-kawan saya semuanya jauh. Saya bosan sebab saya tiada kawan yang tinggal berdekatan. Saya tak faham kenapa senang sangat nak salah tafsir benda yang mudah tu. Pasal aktiviti waktu cuti, takkanlah semuanya saya nak cerita di sini kot. Kalau setakat meneruskan hobi saya di waktu cuti ni, tu memang dah buat pun. Setakat nak menulis sajak, yang tu tak perlu ada kawan pun. Tapi ada situasinya memang kita nak bersama kawan. Tapi itu yang mustahil. Mungkin ada yang tak bosan 24 jam duduk sendiri-sendiri.

Tak payah mesej-mesej saya secara personal nak tegur-tegur tentang kenegatifan isi kandungan entri saya. Contact form yang saya sediakan di atas tu bukannya dikhaskan untuk tujuan itu. Maaf. Saya tidak suka. Saya cakap terus terang sebab saya rimas.

Saya ni bukannya pakar motivasi ke apa yang bersemangat sepanjang masa. Saya ni orang biasa. Apa tak boleh ke saya ada mood yang turun naik? Apa saya ni tak boleh rasa bosan ke? Tolonglah jangan salah faham dengan apa saya maksudkan dengan bosan tu. Saya bukan bosan dengan masa lapang yang saya ada. Bapaklah saya sukanya dengan cuti saya ni. Tapi saya bosan sebab tiada kawan-kawan tinggal berdekatan dengan saya. Dua perkara tu amatlah jauh berbeza maksudnya.

Patutnya saya tak payahpun nak emosional ke apa tentang hal ini. Tapi saya ni pun manusia biasa juga. Bengang betul saya bila disalahertikan pada perkara yang senang begini apatah lagi hal ni lumrah. Kalau nak baca cerita-cerita yang bermotivasi tinggi ke apa, bacalah laman web pakar motivasi. Anda pun senang hati.

Sekian.

Nota: Dan saya pun orang biasa yang boleh bengang bila-bila masa je.

Posted on August 3rd, 2009 by Sarah  |  No Comments »

Tentang Blog

Assalamualaikum wbt

Sekarang sudah jadi buntu tidak tahu apa yang hendak dituliskan di sini. Cuma satu saja yang seronok. Domain blog saya ni sudah dibayar oleh adik saya sampai ke tahun depan. Ada hampir dua tahun lagi baru akan tamat tempoh. Maksudnya apa? Tak bolehlah saya membazirkan blog ini begitu saja. Sedangkan saya baru saja berniat, bila sudah mula kerja nanti, mungkin akan dihapuskan blog ini. (Sudahlah berbayar setiap tahun, agak kerek pula tu blog ni. Blogspot dulu lagi fun, kan.) :mrgreen:

Kerana dengan menulis blog ini sebenarnya mendatangkan kekusutan yang teramat sangat kepada jiwa. Daripada fungsi utamanya sebagai tempat lepak secara sihat dengan menulis perkhabaran terkini dan mencatat sesuatu untuk kenangan, tapi dalam sekelip mata boleh menjadi tempat yang mendatangkan seribu satu tensi.

Apa tidaknya. Melalui blog ni sebenarnya ada pelbagai jenis gangguan makhluk halus telah saya terima. Yang tak halus pun ada juga. Yang halusnya sebab gangguan diterima secara tidak langsung. Melalui orang lain yang kemudian sampai juga kepada saya. Meletup kejap kepala bila terpaksa berhadapan dengan hal ini. Gangguan makhluk tak halus pula diterima secara terus kepada saya. Yang ini lagi sakit jiwa. Kalau dulu di Moscow, bila ada saja gangguan-gangguan begini timbul, saya akan terus mengadu pada Fareena. Itu penyimpan mohor-mohor besar saya tu. Maka, untuk mengurangkan tensi gangguan-gangguan makhluk ini, kami akan menganyam segugus dua ketupat bersama-sama. Apabila rasa geram, kusut dan separa menyampah sudah hilang, maka akan kembalilah kami menjalankan aktivitiย  hidup secara normal.

Jadi sebenarnya menulis blog ini ada baik dan ada buruknya. Tapi bagi saya, sampai masanya saya akan berhenti juga. Cuma persoalannya kenapa dan bila tu, hanya Allah yang tahu.

Wah. Entri bercirikan begini tak tulis pun tak mengapa, kan. Hehe. Tujuan menulis di awal tadi sekadar hendak beritahu, kepada makhluk-makhluk yang bersifat halus atau tidak (Ha.. Ha.. Tak tahu. Siapa makan cili, dia rasa pedas), janganlah kacau saya banyak sangat. Saya tak suka. Haha. Kan senang begini. Saya cakap terus terang saja. Tak payah nak selindung-selindung.

Nota 1: Tapi saya suka dikacau oleh seseorang. Hahaha. Siapa? Siapa? Siapa?

Nota 2: Saya kepenatan tapi tidak boleh lelap lagi. Mendengar zikir Ustaz Badrul Amin sangat menenangkan jiwa dalam gelap-gelap begini.

Posted on July 16th, 2009 by Sarah  |  46 Comments »

Tutup

Assalamualaikum wbt

Tadi saya membelek-belek blog lama saya. Ada beberapa entri yang buat saya tersenyum dan ketawa sendirian. Juga ada entri yang berjaya membuatkan air mata saya bergenang. Entri yang buat rasa marah meluap-luap pun ada juga.

Tetapi saya sudahpun mengambil keputusan, blog lama itu akan ditutup kepada umum secara mutlak. Biar cerita lama saya menjadi hak saya. Biar saya yang simpan semuanya.

ds

Nota 1: Ada banyak benda dalam hidup ni yang perlu kita bertegas dalam menghadapinya. Takpun, jadi saja pengabai yang tegar.

Nota 2: DMA episod hari ini masih belum keluar. Penantian itu satu penyeksaan!

Nota 3: Malam tadi tak boleh tidur. Sakit-sakit badan. Sehinggalah ke hari ini.

Posted on March 30th, 2009 by Sarah  |  32 Comments »

Kisah Buku

Assalamualaikum wbt

Disebabkan semalam tidak dapat langsung untuk menghubungi keluarga, maka tadi terus saya menelefon emak di rumah. Tidak banyak yang dicelotehkan dengan emak kali ini. Topik hari ini berkisar tentang perkembangan adik-adik dan buku cerita.

Emak bertanya sama ada saya masih mahukan koleksi buku-buku cerita sewaktu kecil-kecil dulu. Saya bertanya apa yang hendak emak buat dengan buku-buku itu. Kata emak, emak hendak berikan kepala sekolah rendah saya dulu kerana banyak buku yang rosak ketika banjir yang lalu. Saya terus bersetuju saja. Tetapi kemudian, emak bercerita bahawa Kaklong ada menyuruh emak menyimpan beberapa buah buku yang dia sayang. Contohnya Maniam The Rubber Tapper.

Lalu emak bertanya sekali lagi, dalam banyak-banyak buku koleksi Enid Blyton yang ada di rumah, masih adakah buku yang saya mahu simpan. Baru saya teringat, saya ada beberapa buah buku yang sangat bermakna untuk saya. Saiznya hampir sama seperti buku-buku Enid Blyton cuma ini versi Bahasa Melayu. Saya mengingatkan emak supaya mengasingkan kesemua buku yang berkisar tentang Sekolah Seri Melur. Dari Tingkatan Satu di Seri Melur sehinggalah Tingkatan Lima.

Koleksi ini bermula dengan sebuah buku yang dihadiahkan oleh Makde saya sempena hari lahir saya yang ke tujuh pada 1992. Saya dalam darjah satu. Saya tahu buku itu ada sambungannya pada siri-siri yang seterusnya tetapi saya tidak meminta ayah belikan. Sudahnya, saya hanya mampu untuk memiliki tujuh buah lagi sambungan untuk siri itu ketika tahun 1997 (darjah enam).

Kebetulan saja ketika itu saya terjumpa buku-buku untuk siri itu dijual murah (kerana buku lama yang sudah tidak diminati) dengan harga RM1 sebuah. Beberapa tahun sebelum itu, saya ada menjumpai siri ini dijual di kedai buku di bandar saya itu. Tetapi harganya RM5.50 untuk sebuah buku. Saya tetap tidak mahu meminta ayah belikan. Jadi saya diamkan saja. Sehinggalah ketika darjah enam, saya ke sebuah kedai untuk menempah tanda nama baru untuk sekolah. Di sana, saya terlihat buku itu di rak buku. Harganya cuma RM1. Saya punyalah gembira.

Esoknya saya datang lagi ke situ untuk mengambil tanda nama yang telah siap dibuat. Saya membawa RM10. Untuk tanda nama itu, saya perlu membayar RM1.50. Dengan baki RM8.50 itu, saya memborong tujuh buah buku siri tersebut. Dengan baki RM1.50, saya pulang menaiki bas. RM10 yang saya bawa itu adalah hasil tabungan sendiri. Nekad saya sejak darjah satu itu akhirnya tercapai iaitu untuk membeli buku-buku sambungan yang saya miliki hadiah daripada Makde itu dengan duit sendiri. Saya puas hati walaupun mengambil masa bertahun-tahun untuk memilikinya. Oh. Sebak pula.

Tiba-tiba saya teringatkan dua buah buku cerita yang emak hadiahkan kepada saya dan Kaklong ketika kami darjah satu dan dua. Hadiah hari lahir. Ketika itu emak mengajar di Mentakab dan seingat saya emak membeli buku tersebut melalui promosi buku yang datang ke sekolah emak. Tajuknya ialah Anjing Yang Malang dan Rumput Di Tepi Pagar. Saya dan Kaklong selalu bergaduh buku mana satukah milik masing-masing. Saya menyuruh emak menyimpan juga dua buah buku ini kerana nilai sentimental yang dimilikinya.

Menurut emak, kesemua edisi Sesame Street dan The Owl Family (koleksi ensiklopedia kanak-kanak seperti Sesame Street yang berkulit keras) tidak akan diberikan kerana sudah uzur benar keadaannya. Mana tidaknya. Dulu-dulu waktu kami kecil-kecil, kami dipaksa membaca buku-buku ini. Kalau hari Sabtu emak terpaksa ke sekolah, balik dari sekolah emak akan bertanya buku mana yang kami sudah baca. Sudah habis pun, kami akan ulang baca lagi. Inilah latihan kami dulu-dulu untuk memahirkan Bahasa Inggeris. Adik-adik sekarang sudah lain. Bukan macam zaman kami tiga beradik yang teratas. Punyalah kena kawal, kena paksa baca macam-macam. Tapi seronok sungguh kenangan itu.

Dan yang terakhirnya, saya menyuruh emak menyimpan buku bertajuk Ito The Green Alien. Inilah buku yang paling bersejarah dalam hidup saya. Kalau Kaklong menyuruh emak menyimpan buku Maniam The Rubber Tapper kerana dulu dia menangis-nangis ketika dipaksa membaca buku itu, saya lain pula ceritanya. Dulu saya lebih suka membaca buku Sherlock Homes. Waktu itu baru tadika atau darjah satu. Tak padan dengan umur. Buku budak-budak yang nipis-nipis saya ketepikan. Jadi saya dipaksa membaca buku Ito The Green Alien. Saya memberontak. Nak tahu apa yang saya buat sebagai tanda protes?

Saya lari dari rumah. Saya lari ke rumah Tok saya. Dan sebenarnya, rumah Tok saya cuma terletak 200 meter saja dari rumah saya. Hahaha.

Apa-apapun, saya sangat sayang kesemua koleksi buku yang pernah Kaklong, saya dan Nan miliki sejak kecil dulu. Termasuklah koleksi buku sirah yang ayah belikan dulu-dulu. Zaman adik-adik di bawah kami, koleksi mereka sudah sedikit lain. Sudah ada ensiklopedia sains yang lebih cantik dan canggih. Tapi persoalannya, adakah adik-adik saya yang lain betul-betul memanfaatkan apa yang mereka miliki itu? Setiap kali balik bercuti, saya mesti tarik Aiman dan Azizi duduk di ruang tamu bersama saya semata-mata untuk mengajak mereka membelek-belek buku-buku yang emak ayah belikan untuk mereka. Sudahnya, tinggal saya seorang saja yang ralit dengan segala info menarik yang terdapat di dalamnya. Tentang pelbagai eksperimen. Memanglah menarik, kan. Mereka pula sudah ke depan TV menonton Sponge Bob dan The Blue’s Clue.

Adoi. Dilema susahnya kanak-kanak zaman dulu dan sekarang berbeza, kan? Emak, sila suruh Adam, Azizi dan Aiman baca apa yang Ngah ceritakan ni. Biar mereka sedar sikit susah senang kami ni dulu-dulu macam mana. Bukan sesenang hati boleh meminta itu ini dan sanggup bersusah menyimpan duit belanja semata-mata untuk memiliki sesuatu buku itu dengan duit sendiri. Ngah ingat lagi. Nan dulu-dulu pun menyimpan duit belanja sendiri untuk membeli siri Detektif Conannya tu.

Oh ya. Selamat bertemu kembali untuk kawan-kawan dari blog lama saya. Maaf lambat memaklumkan. Semoga kita dapat menyambung ukhwah di sini pula ya. Mari berkenalan semula.

Hai. Saya Sarah. Siti Sarah Mohd Shukor. Saya masih saya yang sama cuma telah berpindah rumah dan berjiwa lebih gagah. Jangan harapkan apa-apa daripada saya. Saya menulis sebagai teguran dan kenangan untuk diri sendiri. Apa yang baik harap dapat dikongsi bersama dan apa yang tidak baik diteguri. Oh ya. Sekarang saya seorang pengabai yang tegar. Jika ada yang cari pasal dengan saya seperti dulu, saya tidak teragak-agak untuk membela diri. Kan saya dah kata. Saya kini berjiwa gagah kerana saya adalah Sarah. Marilah perkenalkan diri kamu pula ya.

Nota 1: Saya teringat-ingat kenangan dipaksa membaca buku-buku Bahasa Inggeris dengan kuat oleh emak dulu-dulu. Kalau salah, kena tegur. Huhu. Malu seh kalau salah. ๐Ÿ˜›

Nota 2: Gembira akhirnya saya tidak perlu merahsiakan lagi tentang blog ini. Selamatlah untuk semuanya ya! ๐Ÿ™‚

Posted on February 15th, 2009 by Sarah  |  43 Comments »