Setapak Demi Setapak

Assalamualaikum wbt

Kelmarin saya menyelongkar akaun Friendster saya. Rupanya, saya ni memang selalu ketinggalan zaman dengan mesej daripada kawan-kawan. Ada banyak juga mesej berbentuk peribadi dan bukannya jenis yang sesedap hati memanjangkan mesej yang entah apa-apa. Selepas membersihkan kotak inbox, saya tergerak hati untuk menjenguk blog pertama saya yang bertapak di atas platform Friendster.

Saya melihat tarikh entri pertama saya. 16 Mei 2005. Lama dah tu. Hampir empat tahun. Saya baca semula beberapa entri di situ. Baru saya sedar, konsep saya yang suka meletakkan nota 1, 2, 3 dan seterusnya itu sudah lama bermula. Aktiviti membelek blog lama ini saya lakukan ketika senggang rehat dua malam lepas.

Semalam pula, saya mengambil keputusan untuk terus menutup blog lama Dunia Sarah itu daripada umum. Berkira-kira seminit dua. Kemudian terus saja saya lancarkan niat itu. Wow. Ada sedikit sedih. Tapi ada juga sedikit lega. Sedih kerana hubungan dua hala dengan kawan-kawan di blog lama sudah terputus 100% (jika mereka masih belum menjumpai blog ini). Lega kerana saya tak perlu berfikir tentang kebarangkalian ada tangan-tangan yang masih tak tahu menghormati erti privasi orang lain dengan sengaja meninggalkan URL blog baru ini di entri terakhir itu dan hanya bergelar anonymous saja. Pening ya nak berurusan dengan karenah manusia.

Dan siang tadi, pulang saja dari hospital, saya dan Fatt menekun di meja masing-masing dengan misi yang sama. Qadha’ internet. Muehehe. Kalau hari-hari lain masing-masing menekun dengan buku masing-masing, hari ni kita enjoy. Eceh. Macam slot drama Puteri pula. Gedik je.

Jadi, misi saya siang tadi ialah menghapuskan blog pertama saya di Friendster itu. Puas saya mencari di mana letaknya setting untuk blog itu. Akhirnya jumpa juga dan terus saya hapuskan blog itu. Kali ini tiada rasa terkilan pun. Ke semua entri lama di sana saya telah pindahkan ke blogspot saya sejak mula menulis di sana lagi. Kiranya kenangan menulis sebagai kanak-kanak pada umur 20 tahun masih tersimpan rapi.

Saya dah tutup blog lama saya kepada umum. Blog di Friendster pula dah dihapuskan untuk selamanya. Sekarang tinggal blog ini saja. Langkah seterusnya yang akan saya ambil ialah untuk memberitahu kepada kawan-kawan di blog lama tentang blog ini. Tapi buat masa ini, biar tutup dulu blog itu. Tunggulah esok atau Ahad nanti baru saya buka semula dan beritahu tentang hal ini.

Kenapa saya terfikir untuk mengambil keputusan ini kerana saya tersentuh dengan komen-komen yang ditinggalkan. Ada 81 komen kesemuanya. Orang kata apa, cair sekejap hati ni. Saya tahu isu seperti di blog lama mungkin akan timbul lagi. Dalam hidup, kita takkan selamanya dapat memuaskan hati setiap orang. Setiap orang ada cara berfikir yang tersendiri. Ada pendapat dan pendirian yang tersendiri. Jadi, untuk kali ini kalau ada apa-apa yang terjadi lagi, pendirian saya macam yang dah biasa saya sebutkan, menjadi pengabai. Pengabai tegar. Ignorance is bliss. Huhu.

Ok. Saya hendak kongsikan sebuah nasyid. Sudah sangat teramat lama Ya Allah Ya Rabbul Izzati (melampau metaforanya) saya mencari nasyid ini. Kebetulan salah seorang pembaca yang meninggalkan komen di entri lepas memiliki nasyid ini. Dulu, bila saya cari untuk muat turun, saya tak pernah jumpa. Nama penyanyinya pun saya tak tahu, macam mana nak jumpa kan. Bila dia hantarkan saya nasyid ini lewat email tadi, saya terus muat naikkan di Imeem saya. Tapi di Imeem saya, nasyid ini bukan versi penuh. Tapi bila dengar di WMP, penuh pula. Ajaib rasanya. Jadi saya ambil saja yang telah dimuatnaikkan oleh orang lain. Nasyid Rinduku nyanyian BPM. Apa-apapun, terima kasih Syazana. KS memang dah lama sangat teramat lama Ya Allah Ya Rabbul Izzati mencari nasyid ni. Tak sangka kamu membaca blog ni rupanya. Terima kasih sekali lagi.

Nota: Dua tahun sudah saya ada memenangi pertandingan sajak sempena Maulidul Rasul. Tajuknya Rindu Dengan Sangat. Sumber inspirasi yang membuak-buakkan rasa rindu dan syahdu cinta buat Rasulullah ialah nasyid ini.

Posted on February 13th, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Yang Berakhir

Assalamualaikum wbt

Saya baru saja menulis entri penutup di blog lama. Saya tak sangka saya menangis menulis entri tu. Banyak sungguh kenangan dan pelajaran hidup yang saya belajar di situ.

Saya sedih terpaksa meninggalkan kelompok kawan-kawan dan pembaca yang sudi membaca di situ. Sedangkan apa yang saya tulis itu sebenarnya untuk diri saya sendiri. Kalau boleh saya masih mahu terus mendengar khabar mereka tapi sengaja saya tidak memaklumkan tentang blog ini supaya privasi saya terjaga. Kalau ada rezeki kawan-kawan yang jumpa, alhamdulillah, saya gembira. Cuma, saya mengambil langkah untuk tidak membiarkan kelompok yang saya elakkan daripada tahu dan muncul di sini.

Sebenarnya ada banyak sebab kenapa saya akhirnya berpindah ke sini. Saya tak mahu ceritakan. Cukuplah saya dan keluarga saja yang tahu. Dan sebab itu saya sangat terharu dengan hadiah daripada adik saya ini.

Semasa sedang menulis entri ini, beberapa komen sudah mula masuk ke entri penutup itu. Saya menangis membaca komen-komen itu. Tambahan pula saya sedang memasang nasyid Fatamorgana nyanyian Hijjaz itu. Sebaknya rasa. Kalau ikut fe’el saya yang suka melambangkan perasaan saya pada apa tekak saya rasa, sekarang ini saya rasa sangat pedih tekak dan terasa seperti bergetar jiwa. Sebak dan sedih.

Saya sangat memaksudkan tanda apresiasi saya buat kawan-kawan di situ. Dan saya juga sangat memaksudkan apologi dari hati saya atas segala ketegasan, kedegilan dan kelantangan saya dalam menyuarakan apa yang saya rasa.

Terima kasih buat kawan-kawan di blog itu. Maafkan saya atas segala keburukan dan kelemahan diri saya kalau-kalau saya dah membuat kamu semua terasa.

Kalau-kalau ada yang sudah jumpa blog ini, saya ucapkan selamat datang dan semoga ukhwah kita dapat diteruskan di sini pula. Jangan risau. Saya masih saya yang sama.

Hai. Assalamualaikum. Nama saya Sarah. Sarah Mohd Shukor. Saya masih saya yang sama. Cuma saya sudah berjiwa baru, insya Allah.

Yang berakhir adalah di sana. Yang bermula adalah di sini.

Posted on January 24th, 2009 by Sarah  |  36 Comments »

Cadangan Untuk Blog

Assalamualaikum wbt

Saya rasa, untuk memeriahkan blog ni nanti, saya bercadang untuk memperbanyakkan gambar. Tapi masih ada tapisanlah kan. Saya nak kongsikan keindahan musim sejuk terakhir saya ni, juga musim bunga terakhir saya nanti dan tak ketinggalan musim panas terakhir nanti juga.

Dulu saya pernah rasa pissed off bila ada yang mengkaji, belek sana, belek sini bila saya letakkan gambar saya sendiri. Hey, bila seseorang tu berblog, itu hak peribadi dia hendak buat apapun. Gambar-gambar yang saya letakkan dulu pun bukannya gambar melampau cam-whoring tak ingat dunia. Sampaikan gambar jari semata-mata pun hendak dikomen. Manusia, manusia.

Jadi disebabkan ini blog rasmi saya, domain saya, saya lebih berhak menentukan apa yang saya mahu. Kalau masih ada lagi yang mahu cari pasal tentang hal-hal remeh yang boleh buat saya piss off, saya akan spam dia. Beranilah tempah maut. Oh. Mentang-mentang dah reti pasal hal ni, sudah naik tocang pula saya. Haha. 😀

Saya yakin, Faiq dan Nadia bersetuju dengan saya. Mari, mari. Kita give-me-five bertiga. Kuasa tiga wanita adalah lebih kuat daripada kuasa Barack Obama. Kan? Sungguh merepek saya tengah malam ni 😀

Nota: Entri yang bermanfaat pasti akan menyusul juga nanti.

Posted on January 22nd, 2009 by Sarah  |  9 Comments »

Dunia Baru Sarah

Assalamualaikum wbt

Akhirnya impian saya menjadi kenyataan. Sudah lama saya berhajat untuk memiliki domain sendiri. Sejak tahun 2006 saya menulis menggunakan platform Blogspot. Hanya pada hari semalam, saya mula mempunyai domain sendiri ini kejutan daripada adik saya sebagai hadiah hari lahir buat saya. Gembira tidak terkata. Terima kasih buat adik saya, Adnan, kerana memenuhi hajat saya yang satu ini.

Semoga dengan menulis menggunakan domain sendiri ini lebih mendekatkan saya dengan keluarga dan kawan-kawan. Topik saya mungkin pelbagai. Tentang hidup di Moscow, studi, keluarga, kupasan topik ilmiah dan semestinya entri-entri merepek saya ketika kebosanan. Saya berharap agar dapat mengekalkan cara penulisan saya sepertimana saya menulis di blog lama.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya berdoa semoga blog saya kali ini kekal lama, terhindar daripada fitnah dan dapat membawa ilmu dan keceriaan buat pembaca.

Blog ini masih dalam tempoh penyelenggaraan. Tema utama adalah ungu. Wajiblah ungu, kan. Mana boleh saya dipisahkan dengan ungu 🙂 Maaf kalau ada sebarang kesulitan atau lambat hendak load blog ni. Saya masih belajar-belajar lagi semuanya tentang blog ini.

Kemas kini: Tema ungu tidak sesuai pula. Ada masalah. Kita berubah ke warna kedua kesukaan saya. Hijau pucuk pisang 😉

Nota 1: Saya tak berniat untuk memberitahu kepada ramai tentang blog ini.

Nota 2: Tahniah kepada yang jumpa! 😀

Nota 3: Rasa mahu lompat-lompat gembira kerana sudah mempunyai domain sendiri 😉

Posted on January 20th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »