Dari Moscow Dengan Cinta (vii)
Assalamualaikum wbt
Sehari sebelum Dyana dan Farhana bersama keluarga mereka tiba untuk melawat Moscow, saya keluar besama Shema, Krin, Baiz, Siti beserta Kak Yan dan dua orang anaknya, Adam dan Damia, juga adik Kak Yan, Tina. Destinasi kami ialah ke Exhibition of Achievment of the National Economy. Saya rasa mesti orang Moscow sendiri pun tak tahu apakah ini, kan. Jangan risau. Kita rasa pelik sebab ini namanya dalam Bahasa Inggeris. Kalau saya sebut VDNKh, mesti tahu, kan? Hehe. Ya. Nama lainnya ialah VDNKh, sempena akronim daripada nama penuhnya dalam Bahasa Rusia.
Ia merupakan sebuah taman terbuka yang menempatkan banyak rumah-rumah dagangan, pavillion, teater, Muzium Astronaut dan pameran terbuka kapal selam dan alatan tentera laut di bahagian belakangnya. Taman ini dipenuhi dengan air pancut dan taman bunga buatan yang membawa tema-tema tertentu.
Kebetulan hari sangat panas pada hari itu. Saya pun sudah tidak ingat apa lagi yang saya buat di sana selain berjalan-jalan dan bermain dengan Damia. Serius penat berlari-lari dengan dia. Balik saja malam tu, terus saya tidur. Tak sempat mandi dah. Penat yang teramat sangat. Huhu.
Setelah semua tetamu yang datang balik, saya mula menguruskan rumah. Saya kemas segala apa yang patut dan seterusnya mengasingkan apa yang patut untuk disedekahkan. Jadi, pada hari Ahad lepas, saya memang sudah lapang dari segala kerja. Petang Ahad itu, saya bersama Auyun, Faiz, Aizat dan Nazlin pergi menonton sesuatu. Tonton apa? Alif tendang wau, sarkas daaa….
Mesti ada yang kata, apa kerja pergi tengok sarkas. Hoho. Kamu silap besar. Rusia sangat terkenal dengan sarkasnya yang unik dan gah. Zolotoi Buff. Inilah nama pasukan sarkas yang masyhur itu. Bila saya menyebut sarkas, mesti tergambar dalam fikiran masing-masing ada haiwan lompat-lompat buat persembahan, ada silap mata, ada badut buat lawak bodoh, ada singa jinak, ada harimau buat-buat comel. Hahaha. Silap. Silap. Russian Circus menawarkan lebih daripada itu! Tepuk tangan. Tepuk tangan.
Kali pertama saya menonton sarkas ialah ketika di tahun pertama. Dan kali ini adalah yang kedua kalinya. Kebetulan ada antara kami berlima ini yang belum pernah menonton sarkas di sini sebelum ini, jadi kami layankan saja untuk pergi menonton pada hari itu.
Istimewanya Moscow ini, mereka mempunyai sebuah bangunan khas untuk persembahan sarkas. Letaknya di Prospekt Vernadskava. Persembahan hanya berlangsung tiga kali seminggu. Dalam bangunan itu, pentasnya boleh berubah-berubah. Ada enam jenis pentas yang disediakan. Ada lantai lampu, papan, kolam air, kandang haiwan, ais dan lantai biasa. Lantai akan bertukar-tukar mengikut sesi dan keperluan persembahan.
Persembahan sarkasnya berbentuk muzikal-akrobatik. Zolotoi Buff menggabungkan ramai peserta dari negara-negara yang berbeza untuk membuat persembahan. Kebetulan ketika kami pergi itu, ia merupakan hari Ahad pertama untuk cuti sekolah musim panas kali ini. Persembahannya sangat istimewa. Dimulakan dengan persembahan dari Kenya yang sangat hebat ber-paranawe dan melompat-lompat ni. Juga ada persembahan dari Latvia, menari-nari dengan kotak-kotak yang bagaikan melekat-lekat di tangan. Dalam banyak-banyak persembahan, saya paling suka persembahan daripada Rusia. Mereka menggunakan teknik glow in the dark beserta pancaran laser untuk melakonkan pekerjaan seorang Astronaut di angkasa lepas. Hebat sungguh. Teruja saya dibuatnya. Terbang sana. Terbang sini. Tercampak sana. Tercampak sini. Fuh. Gambar agak blur. Tapi masih boleh nampak orang yang bergayutan itu dan suasana dewan depenuhi dengan pantulan glow in the dark saja. Sampaikan, baju kami semua pun jadi glow in the dark. Teknik apakah? Huhu. Sebenarnya mana boleh ambil gambar pun. Tapi kedudukan saya strategik. Saya bahan saja ambil gambar dari awal sampailah ke sudah. Huhu.
Saya juga suka akan persembahan daripada Azerbaijan. Tariannya memang dramatik sungguh. Bila si penari lelaki membuat terjunan bebas (free fall) dan akhirnya kakinya melekat pada tali yang disediakan, berderau darah saya dibuatnya. Tapi serius. Memang hebat. Dahsyat sungguh Zolotoi Buff ini. Mereka mengumpulkan yang terbaik saja untuk setiap persembahan mereka.
Dan pada hari Selasa lepas, saya keluar lagi. Dari pagi sehingga ke petang. Pergi cruising di Sungai Moscow dan melawat ke Gorky Park, taman tema tertua di Rusia. Kali ini saya tidak bermain apapun di Gorky Park. Cuma berjalan-jalan saja di dalamnya. Paling habis pun saya naik beca air di tasiknya. Itu saja. Kali pertama ke sana dulu, saya datang dengan Abang Khairil. Haa. Waktu tu saya banyak main. Seharian menjadi budak kecil bersama Abang Khairil. Huhuhu.
Inilah saja kisah pengembaraan saya menjelajah Moscow. Ikutkan ada lagi tempat-tempat lain yang saya pergi tapi tidak larat pula hendak cerita. Jadi saya kongsikan tempat-tempat utama sajalah ya dalam siri Dari Moscow Dengan Cinta di Dunia Sarah ini. 😉
Aik aik aik. Tiba-tiba terasa sedih pula.
Nota: Hari ini hari Jumaat terakhir di Moscow. 😥









































