Pasar Tani

Assalamualaikum wbt

Bukan sengaja saya tidak mengemaskinikan blog. Bukan juga malas hendak membalas komen-komen di entri lalu. Sebetulnya, saya sibuk ke hulu ke hilir di Putrajaya menguruskan prosedur pendaftaran kerja dan kesihatan diri yang tidak memuaskan. Semakin melepeklah saya di rumah ini sebaik pulang dari Putrajaya. Cuma kali ini, saya langsung tidak boleh menjamah makanan. Tekak saya sakit amat.

Semalam emak membawa saya, Azizi dan Aiman ke Pasar Tani. Sampai saja di sana, saya rasakan suasananya seperti di Pasar Ramadhan. Mungkin kerana saya terlihatkan ayam golek kot. Tak sabarnya hendak tunggu Ramadhan tiba. Nanti dapatlah pergi mencari juadah di Pasar Ramadhan. Wuhuu. Sudah enam tahun lebih saya tidak ke Pasar Ramadhan. Syurganya dapat berbuka dengan air tebu dan kacang soya segar. Fuh.

Sedang berjalan-jalan dengan emak dan Aiman (Azizi singgah di satu kedai untuk membeli sesuatu), emak bertemu dengan seorang kawan lamanya. Seorang pesara guru. Emak memperkenalkan saya dan Aiman sebagai anaknya. Lalu, pakcik itu bertanya semula: Sekolah lagi ni? Hahaha. Kembang-kempis saya di situ. Emak pun menjawab semula: Eh, tak dah ni. Ni dah habis belajar dah baru ni. Tunggu kerja pulak. Hahaha. Aiman yang ada di situ pun tersengih-sengih mendengarkan soalan pakcik itu. Emak bercerita, dulu pun Kaklong pernah ditanya soalan yang seumpama itu. Itulah. Nak buat macam mana. Kami dua beradik ni jenis yang renek-renek saja. Hihi.

Sebetulnya, saya ni mengalami sakit tekak yang amat teruk. Tiada batuk. Tiada demam. Cuma saya mengalami tonsilitis, erosion dan ulcer di tekak. Sudah dua hari saya tidak makan nasi. Sudahnya semalam di Pasar Tani, buat pertama kalinya, saya tidak berahi langsung mahu membeli juadah-juadah yang ada. Saya hanya membeli secawan cendol. Emak saya berpuasa. Jadi, saya mengikut emak membeli beberapa juadah berbuka yang lain. Kebetulan di kedai itu ada sesuatu yang membuka selera saya.

Tidak pernah hayat lagi saya membeli benda tu. Bubur nasi! Huuu. Sadisnya rasa. Datang ke Pasar Tani hanya membeli bubur nasi saja. Tapi bubur nasi itu habis sebekas saya makan Maghrib semalam. Nampak sangat yang saya lapar.

Berahi (longat Temerloh) = Berhajat/teringin

Nota 1: Hari ini adik saya Adnan dan Adi balik rumah. Yeay!!!

Nota 2: Kemungkinan besar juga hari ini saya akan bertemu dengan seseorang.

Posted on July 24th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »

Dato’ Bahaman

Assalamualaikum wbt

Ada sesiapa yang menonton Majalah Tiga malam tadi? Malam tadi memang episod terbaiklah. Bukan pasal Tengku Mahkota Johor tu. Tapi kisah Dato’ Bahaman yang disiarkan. Ya. Itu moyang saya. Dan segala yang diceritakan  dalam episod itu adalah benar. Saya ternanti-nanti juga kalau-kalau ada fakta yang kurang benar. Alhamdulillah semuanya benar belaka. Saya hendak menyambung sedikit kisahnya di sini. Mungkin ini kesinabungan yang mungkin tiada siapa pun pernah tahu.

Saya masih ingat Tok saya (Hajjah Halimah Imam Yusof) bercerita kepada saya suatu masa dulu. Sewaktu Orang Tua Peramu yang dipercayai merupakan Dato’ Bahaman yang tinggal di Peramu, Pekan ditemui kembali, semua yang mengenalinya percaya bahawa itulah beliau. Tapi beliau tidak mahu mengakui dirinya adalah Dato’ Bahaman. Tapi kerabatnya, kenalan terdekatnya yang masih hidup tahu bahawa itulah beliau. Ketika Dato’ Bahaman meninggal dunia, seperti yang dilaporkan di dalam Majalah Tiga, tiada siapa pun tahu di manakah beliau dikebumikan.

Tok saya memberitahu, ketika itu, dia dan Tok Abah saya (arwah Kamaruddin Bin Jantan, cucu Dato’ Bahaman) serta beberapa orang lagi saudara telah ke Peramu untuk menuntut jenazah supaya dapat diuruskan dengan sempurna. Tetapi sebaik sampai di sana, orang kampung memberitahu baru sekejap tadi sebuah van datang dan mengambil jenazah orang tua itu untuk diuruskan.

Menurut orang kampung, semua yang datang menaiki van itu memakai jubah hitam. Jubah berkabung istana. Menurut mereka, itu orang istana yang datang mengambilnya. Tetapi persoalannya, mengapa mereka berbuat begitu dan di manakah arwah disemadikan masih belum dapat saya jawab sehingga hari ini.

Sekarang Tok saya sudah kurang ingat akan peristiwa lama. Tok saya menghidap Alzheimer sejak tiga tahun lalu. Dia masih lagi boleh bercerita tentang sejarah lampau tetapi kadang-kala laluan masanya (timeline) berterabur. Kita yang mendengar ni kena pandai-pandai sendirilah untuk menyusun kronologi cerita tersebut.

Bila saya sudah dalam tingkatan 4 dulu, arwah ayah saudara saya, Chik Joe, pernah memberitahu sesuatu tentang rahsia di sebalik kenapa jenazah arwah dilarikan oleh orang istana dan dikebumikan secara rahsia di tempat rahsia. Menurut Chik Joe, hal ini terjadi kerana jika benar itulah Dato’ Bahaman yang sebenar, pihak istana perlu membayar ganti rugi pada jumlah yang besar kepada waris beliau. Ini kerana, beliau sudah tidak lagi menerima bayaran sebagai pembantu Sultan yang menjaga hasil dan tanah di kawasan Sungai Semantan ini walaupun pada ketika itu beliau masih berkhidmat sebagai Orang Kaya Semantan (orang yang menjaga wilayah dan keamanan kawasan Semantan).

Chik Joe pernah mengumpulkan bukti-bukti ini suatu ketika dahulu. Tapi saya kira usahanya terkubur bergitu sahaja kerana Chik Joe meninggal dunia pada usia yang muda dua tahun yang lalu. Namun begitu, beg berisi bahan kajiannya dulu masih ada cuma saya kurang pasti siapa yang menyimpannya kini.

Bagi saya, segalanya masih tersimpan sebagai rahsia. Kenapa pihak istana hendak sangat menyembunyikan hal ini? Bukannya kami hendak menuntut apa-apa. Paling kurang, beritakanlah kepada mana-mana waris beliau yang masih ada (adik beradik arwah Tok Abah saya masih ada yang hidup, Tok Cik Zan di Durian Tawar, Tok Teh di Kuantan, Tok Lang juga di Durian Tawar dan beberapa orang lagi termasuklah dua pupu emak yang diwawancara malam tadi). Harta benda semua ni sedikitpun tidak menjadi isu. Yang menjadi isu, beliau itu tokoh bangsa, negara dan agama. Kalau mati biarlah ada nisannya. Dan biarlah saudara-mara dapat menziarahinya.

Dan kebetulan, dalam bahagian ketiga episod malam tadi di Majalah Tiga, seorang kenalan baik ayah saya diwawancara pula. Uncle Wan. Ini kawan lama zaman persekolahan ayah (pernah saya sebutkan dalam entri Reunion 070707 ini). Petang semalam ayah dimaklumkannya suruh menonton Majalah Tiga malam tadi. Ada dia, katanya. Uncle Wan ini ada signifikannya yang tersendiri untuk saya. Selain Abang Khairil, Uncle Wan lah orangnya yang membuatkan saya semakin berminat dalam bidang fotografi. Mari kita jenguk Flickr-nya. Mantap!

Nota 1: Saya sangat sukakan sejarah. Dulu sayalah yang paling rajin bertanya itu ini kepada Tok tentang perang, Jepun, komunis dan segala cerita yang berlaku di zaman penjajahan.

Nota 2: Dulu saya reti menyanyi lagu Matahari Terbit, lagu Jepun yang dinyanyikan oleh budak sekolah zaman Jepun dahulu. Tok yang ajar. Tapi sekarang sudah lupa. Nantilah akan belajar semula kalau Tok masih ingat.

Nota 3: Kalau arwah Tok Abah pula, dia sangat anti-komunis. Keluarganya ramai yang diseksa komunis dan ayahnya sendiri (Tok Jantan) ditanam hidup-hidup oleh komunis. Dia sendiri juga terpaksa menyorok di dalam sungai, bernafas menggunakan batang keladi yang ditimbulkan di permukaan air, menyorok bawah jeti, perahu dan macam-macam lagi.

Nota 4: Pernah ada yang menghubungi saya secara personal bertanyakan apa hubungan saya dengan Dato’ Bahaman. Jadi inilah jawapannya.

Persoalannya, adakah anak muda zaman sekarang menghargai kemerdekaan yang didapati hasil derita orang lama?

Posted on July 19th, 2009 by Sarah  |  55 Comments »

Otak Budak

Assalamukingkong wbt

Ah-ha! Tahu tak bagaimana untuk menjawab salam yang seumpama itu? Caranya ialah: Waalaikingkongsalam wbt.

Hahaha.

Inilah bunyinya bila Iman memberi salam setiap kali dia masuk ke rumah. Mahu pecah perut dibuatnya. Lebih-lebih lagi di sebelah petang bila dia datang sekadar hendak bermain-main. Entah apa entah bunyinya salam yang dilafazkan.

Tengahari semalam, dia dipakaikan Beju Melayu hijau. Dari jauh saya sudah nampak dia segak berpakaian begitu. Saya melaung bertanya: Ni hensem-hensem ni nak pergi mana ni Dik Man?

Dia terus berkata “Allah babat”, sambil membuat gaya mengangkat takbir. Tahu dia ya orang pergi solat Jumaat pada hari semalam. Dan apabila emak balik ke rumah tengahari semalam, dia terus meluru ke bilik emak. Hendak mengambil bantal peluk. Ingatkan mahu dibuat golek-golek tidur di depan TV. Rupanya untuk dijadikan motor! Apa punya otaklah budak kecil ni. Adeh.

Dan saya akan separuh gila bila diajaknya bermain pusing-pusing sampai pening. Ini permainan zaman sebelum tadika dulu kot!

Oklah. Kita akhiri entri ini dengan salam yang sempurna. Salam itukan salah satu cara kita menzahirkan perdamaian dan mendoakan kesejahteraan ke atas orang lain. Jadi kenalah dilafazkan dengan sebaiknya.

Assalamualaikum wbt.

Nota: Di Temerloh ada dibuka Galeri Tokoh. Macam menarik, kan? Saya hendak pergi satu hari nanti.

Posted on July 18th, 2009 by Sarah  |  24 Comments »

Rumahku Syurgaku

Assalamualaikum wbt

Tidak banyak yang sempat saya lakukan semalam. Bangun tidur pun sudah agak lambat. Masih mengalami jet lag. Sebaik bangun, mestilah menikmati sarapan yang emak sediakan. Tapi di rumah tiada sesiapun kecuali Adam. Dia tidak sihat, jadi tidak ke sekolah. Yang lain semuanya sudah keluar.

Sekitar 11 pagi saya memulakan operasi mengemas kotak-kotak. Banyaknya. Tak terdaya hendak mengangkat seorang diri. Ada Adik Iman datang ke rumah. Konon-konon hendak menolong saya. Sudahnya lagi disepahkannya barang saya. Aduhai. Suruh pegang sampah pun, dia sumbat semula sampah ke dalam kotak saya. Huhu. Iman comel yang teramat sangat. Nasib baik dia tidak takut dengan saya sebab dia masih tidak cam saya. Oh ya. Iman ni adik sepupu saya. Cucu terbongsu dalam keluarga sebelah Pahang, setakat ini.

DSC_0071

Sebelum Zohor masuk, saya berhenti mengemas. Kena mandi. Badan dah berlengas. Panasnya hari semalam. Sambil mengemas itupun, saya sempat online Plurk dan Facebook. Huhu. Sempat melihat perkembangan terkini kawan-kawan yang berderet-deret hendak kahwin tidak lama lagi.

Sementara menunggu emak balik bersama adik-adik, saya keluar rumah, ke bahagian belakang rumah. Ayah ada membuat stor baru dan ditambah di bahagian luar rumah. Saya menjenguk ke sana. Yang saya hairankan, apa kena ada kawasan lapang bersinki di sebelah stor itu? Siap bersimen cantik. Macam tempat basuh pinggan orang kenduri-kendara saja. Jawapan saya terjawab di sebelah malamnya.

Bila emak balik, saya pun ada teman bercerita. Dari A sampai Z saya bercerita dengan emak. Tapi belum sempat bergosip lagi. Ini baru cerita sipi-sipi saja. Nanti sampai masanya, barulah cerita versi penuh. Dari siapa makan anggur terbanyak sampailah siapa takut dengan imigresen. Uishh. Ni gosip hangat ni. Emak kena kenal watak-watak dalam hidup saya ini. Hehe.

DSC_0078

Di sebelah petang, saya dan adik-adik ke rumah Tok Chik. Sengaja mahu melawat Tok Chik. Sambil tu, dapatlah mengebas rambutan gading yang sudah menguning di pokok rambutan Tok Chik tu. Saya bawa Iman sekali. Cuba tengok beza warna Aiman dan Iman. Aiman sudah gelap sungguh. Dia kuat main bola budak ni.

Di sebelah malamnya, emak masuk ke bilik saya. Bercerita anak beranaklah pula, kan. Emak memberitahu tentang kecurian yang berlaku di rumah (jangan tanya, saya tak nak cerita). Juga menjawab persoalan kenapa ada sinki di tapak lapang bersimen itu. Kata emak: Senang nanti. Nak kenduri-kendara, dah siap ada tempat basuh pinggan. Mana tahu dekat-dekat ni nanti dah nak ada kenduri.

Gulp! Mak aih. Emak ayah saya sudah bersiap sedia nampaknya ya. Siaplah Kaklong dan Nan. Hahaha. Saya tak apa. Selamat lagi rasanya daripada dihujani soalan-soalan ‘siapa, darimana dan bila’.

Kata emak: Tak kisahlah siapa dulu. Ada, jalan terus. Tak payah tangguh.

Mari, mari kekandaku, adindaku. Mari buat kenduri. Hahaha. Atau mungkin sepupu-sepupuku? Mari, mari. Jangan malu, jangan segan. Mak Ngah dengan Ayah Ngah sponsor tempat basuh pinggan bersama hulubalangnya. Ada enam anak bujang menanti di rumah ni untuk jadi askar. :mrgreen:

DSC_0162

Sebelum menjelang tengah malam, saya bersesi fotografi. I love the photographer. He makes me look sweet. Hahaha. Ayah sayalah! Ups. Terpaksa guna bilik tetamu untuk dijadikan studio. Bilik sendiri penuh dengan barang lagi. Kotak bersusun tinggi, luggages masih di atas lantai. 😀

Nota 1: Percaya atau tidak, saya sedang makan nasi ni. Dah pukul 1.30 pagi waktu saya memanaskan lauk tadi. Duduk di rumah sangatlah menggembirakan hati dan perut. 😆 😆 😆

Nota 2: Internet slow ni. Saya balas komen pagi esoklah ya. Insya Allah laju.

Posted on July 14th, 2009 by Sarah  |  40 Comments »