Untuk Yom

Assalamualaikum wbt

Sudah dua kali Kaklong menyuruh saya menulis sesuatu tentang Iman. Katanya, Kaklong rindu sangat pada Iman. Jadi, entri ini khas untuk Kaklong yang dah tak sabar nak balik rumah pada cuti sekolah ni.

iman1

Yom, ini muka Iman yang sekarang. Iman comel, kan? Comel macam Yom Dayah. Bukan Yom Siti. Tapi Yom Dayah gelap. Jadi, Iman ada comel sikit-sikit macam Yom Siti sebab Iman putih. Hihi. Gambar ni waktu Iman tengah makan rambutan di rumah Tok Cik. Padan muka dua-dua Yom. Dua-dua Yom tak dapat makan rambutan kat rumah Tok Cik. Hari-hari Iman makan dengan mak dan Abang Aiman.

iman2

Yom, sekarang Iman dah ada gaya baru. Tak mainlah gaya tunjal-tunjal hidung yang Yom ajar Iman. Macam orang tak sekolah je walaupun memang Iman tak sekolah lagi. Hihi. Sekarang Iman suka angkat tangan macam ni bila nak bergambar. Sebab bila Yong yang baru balik tu ada kat rumah, Abang Adam dengan Abang Aiman suka melompat angkat-angkat tangan bila nak bergambar. Jadi, Iman tiru jelah. Iman lompat cukup syarat buat gaya je. Tu sebab gambar Iman semua macam tu je Yom. Nanti Yom balik, Iman buatlah semula gaya tunjal hidung tu. Khas untuk Yom Siti dengan Yom Dayah je. Haa. Yom nampak tak rumah Tok kat belakang tu? Lain tak? Yom jangan terkejut ye bila Yom balik nanti.

iman3

Yom, gambar ni pula waktu Iman tengah main-main kat bukit. Iman tak tahu mana sebelah lagi selipar Iman. Yong sorok kot. Tengok Iman pakai selipar. Bijak tak? Kanan lepas ke kiri. Ni siapa ajar ni? Err… Iman reka sendiri. Hihi.

iman4

Yom Siti dan Yom Dayah, sekarang buai ni dah jadi port Iman tau. Yom dua-dua tak boleh ambil. Ni Iman punya dah. Iman dah reti panjat buai sendiri walaupun akhirnya Iman akan jatuh tergolek semula. Iman tak nangis pun kalau jatuh. Sebab nanti Yong akan naikkan Iman semula. Abang Azizi pun selalu layan Iman main petang-petang kat buai. Kalau dua-dua Yom tak ada pun tak apa. Ada ramai lagi yang nak kawan dengan Iman yang comel ni. Mesti Yom Siti dengan Yom Dayah berbulu tekak baca ni kan. Hihi.

iman5

Yom yang dah ada gaji tu, Yom tak nak belikan Iman motor baru ke? Motor Iman dah tak comel macam dulu. Bolehlah, Yom. Yom kan cantik, baik, mulus dan gebu. Iman pun tak comel macam Yom. Ni Iman dah habis bodek dah ni. Yom fikir-fikirkanlah ye. Iman sayang Yom. Hihi. Nanti Yom balik sini Yom bawa kek lapis ye. Iman nak kek. Ayah Ngah reti buat kek coklat je. Tiap-tiap minggu Iman makan kek coklat je. Bilalah Ayah Ngah nak reti buat kek lapis pula ni. =___=

Huhu. Kaklong dan Hidayah, awak berdua lihatlah betapa banyaknya kerenah Iman ni. Hari tu Ngah bawa dia ke Pasar Tani. Sekali dia nampak sate. Tak sangka pula dia tahu benda alah tu namanya sate. Siapalah yang ajar dia makan sate kecil-kecil ni. Huhu.

Yom = Long (Merujuk kepada Kaklong Siti dan kakak Iman, Kaklong Hidayah)

Yong = Merujuk kepada saya sebab pada mulanya dia ingat saya adalah Kaklong tapi dia ubah sikit nama saya jadi Yong, bukan Yom.

Nota 1: Memang setiap minggu ayah saya akan buat kek. Tapi sejenis kek sajalah yang dia reti buat. Kek coklat. Dah tak larat nak makan dah. Pernah satu pagi minggu lepas, sebelum ayah pergi kerja, dia sempat buat kek dulu. Tercengang-cengang saya mendengar bunyi mixer dari dalam bilik. Haha. Tapi sedap. Very the very moist you know. 😎

Nota 2: Nak dekat seminggu tak menulis di sini. Ada banyak yang terjadi dan malas Ya Rabbi nak update…

Posted on August 17th, 2009 by Sarah  |  4 Comments »

Tempat Jatuh Lagikan Dikenang

Assalamualaikum wbt

Minggu lepas dua orang adik saudara saya yang menuntut di UiTM Shah Alam bercuti selama seminggu kerana UiTM dikuarantin. Sudah lama kami tidak berpeluang mengunjungi jeti tempat kami selalu berkumpul sewaktu kecil-kecil dulu.

DSC_0194

Jadi sehari sebelum mereka pulang semula ke Shah Alam, saya dan Hidayah ditemani dua orang adik saya, Azizi dan Aiman, kami ke jeti kampung kami, berjalan-jalan di tepi jalan bawah bukit rumah kami dan sekitar kawasan sekolah di sebelah rumah kami.

DSC_0203

Suatu masa dulu, kanak-kanak di seberang sana sungai kawasan ini akan bersekolah di sekolah di sebelah rumah kami ini. Pengangkutan ke sekolah ialah bot. Disebabkan itu, jeti di hadapan sekolah itu sangat terjaga dan berjasa besar untuk anak kampung seberang itu.

DSC_0207

Tapi sekarang mereka tidak perlu menggunakan bot lagi. Bukan kerana sudah adanya jambatan. Mustahil tu. Nak letak berapa banyak jambatan pula kan untuk merentas Sungai Pahang di Temerloh ini saja. Tapi sebuah sekolah rendah baru sudah dibuka di seberang sana. Jadi, perkhidmatan bot sekolah juga sudah ditamatkan. Dan faktor ini, bagi saya, menjadi punca mengapa jeti itu kini terbiar dan penuh dengan semak.

Sayang sungguh saya melihatnya. Sebenarnya, jeti kampung saya ini sangat cantik. Dari jeti, kami dapat melihat pulau yang terletak betul-betul di tengah-tengah Sungai Pahang. Pulau Lebak namanya. Dari atas bukit rumah saya pun sudah boleh melihat pulau ini. Tapi dari jeti, permandangannya lebih jelas. Di tebing jeti juga ada didirikan tembok batu untuk mengelakkan tanah runtuh. Sekali lihat, rupanya seakan-akan pemecah ombak di kawasan pantai atau dinding empangan. Sayangnya sekarang ni, dengan segala semak samun yang ada, tembok batu itu langsung tidak kelihatan lagi.

DSC_0216

Kemudian kami mendaki bukit sekolah rendah di sebelah rumah kami itu pula untuk pergi melawat tadika kami dulu. Bagi Hidayah, di situlah juga letaknya sekolah rendahnya. Sebaik tiba di hadapan tadika, sayunya hati melihat keadaan Tadika Kemas Lebak itu. Rupa-rupanya bangunan kayu lama itu sudah tidak digunakan sebagai tadika. Bangunannya sudah uzur benar. Tadika pula sudah berpindah ke bangunan Pejabat Penghulu di sebelahnya. Nampaknya, tiada proses baik pulih dijalankan selama ini sehingga akhirnya bangunan kayu itu reput dimakan anai-anai. Tapi memang baguslah dipindahkan tadika itu ke bangunan baru. Demi keselamatan anak-anak yang belajar.

Kami balik ke rumah dengan menggunakan jalan belakang. Kami merentas kawasan rumah dan kebun orang. Sebaik sampai di depan rumah Tok, kami pun duduk makan rambutan gula batu sehinggalah kedengaran azan Maghrib berkumandang.

Indahnya bila dikenangkan semula zaman kanak-kanak saya membesar di kampung ini. Kenangan saya bersekolah di kampung hanyalah ketika tadika dulu. Sekarang, saya sudah tidak jumpa kawan-kawan tadika saya dulu. Tapi saya masih ingat nama-nama mereka semua. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat dan rakan-rakan bermain. Apa khabarlah kamu semua ya.

Nota 1: Dulu-dulu kalau kami tujuh orang perempuan ni turun ke jeti, mesti akan ada yang nak mengorat. Tahu-tahu sajalah perangai budak lelaki macam mana kan. Tapi sekarang ni, sumpah saya kata, orang kampung saya tak kenal saya dan kalau yang lelaki memang tak berani nak tegur-tegur saya tak memasal. Ngahaha. Adik saya report, dia kata ada kawan dia kata muka saya garang. Saya memang garang apa. 😎

Nota 2: Saya teruja bila tahu ada salah seorang kawan lama zaman tadika (dan sekolah menengah) saya dulu membaca blog ini. :o

Posted on August 7th, 2009 by Sarah  |  8 Comments »

Bubur Liar Bukit Angin Kedai Khaidir

Assalamualaikum wbt

Ada sesiapa yang pernah makan bubur liar tak? Saya rasa mesti ada yang tidak tahu apakah itu bubur liar. Mungkin ada yang membayangkan rupanya seperti bubur lambuk tapi rasanya manis seperti bubur asyura. Mungkin juga ada yang fikir saya ni tersalah eja kot. Bubur liat jadi liar pula. Atau mungkin ada yang fikir, apa pelik sangat nama. Liar sangatkah buburnya? Kena dijinakkankah kalau hendak makan? Tambat dulu? Baca doa penambat hati dulu supaya kurang sikit liarnya? Huhu. Tidak tidak tidak. Tidak sama sekali.

Rupanya sekali lihat hampir sama seperti bubur chacha. Tetapi untuk menghasilkan ‘mee’ bubur itu, kita menggunakan tepung beras yang dilenyekkan pada acuannya dan jaluran-jaluran pendek seakan-akan mee itu akan jatuh ke dalam air rebusan. Maka terhasillah isi utama bubur ini.

Kuahnya pula dibuat menggunakan gula melaka bersantan. Jadi kuahnya berwarna coklat gelap. Sebagai penambah rasa, seperti biasa, santan segar bergaram disajikan berasingan. Siapa mahu boleh tambah sendiri. Siapa tak mahu, tak payah isi. Kalau saya, saya memang akan isi. Baru ada umph!

Kisahnya, dua hari lepas saya keluar ke bandar dengan emak untuk menguruskan hal-hal saya. Kemudian emak mengajak minum petang di R&R Bukit Angin. Sebelum tu mari nak cerita tentang R&R ini dulu. Sebelum wujudnya Lebuhraya Pantai Timur KL-Kuantan, jalan utama untuk ke Kuantan semestinya akan merentasi Temerloh terchenta ini. Hehe. Jika melalui jalan lama ke Kuantan, sudah pasti akan melalui simpang keluar ke bandar Temerloh. Jalan lama ini pun digelar masyarakat tempatan sebagai highway kerana dulu-dulu inilah highway yang digunakan untuk ke Kuala Lumpur mahupun ke Kuantan.

R&R Bukit Angin ini letaknya betul-betul di persimpangan jalan utama sama ada mahu menuju ke Kuala Lumpur, Kuantan atau turun ke pusat bandar dan simpang menuju ke Jalan Triang yang menjadi jalan utama menuju ke Serting, Gemas dan Muadzam Shah. Kedudukan R&R ini memang strategik suatu masa dulu ketika LPT masih belum ada. Sekarang ini, R&R ini masih beroperasi dan kebanyakan pengunjungnya ialah penduduk tempatan dan orang ramai yang masih berulang-alik KL-Kuantan menggunakan jalan lama.

Emak membawa saya ke sana untuk minum-minum dan membeli kuih untuk dibawa pulang. Kami terus menuju ke kedai kedua dari arah jalan masuk ke R&R tersebut. Nampak banyak kuih dan bubur disajikan. Sebaik ternampakkan bubur liar itu, saya melonjak gembira. Sudah bertahun-tahun saya tidak makan! Emak juga teringin sama. Kami pesan dua mangkuk bubur liar bersama dua ketul cucur udang. Apabila mula saja menyuap bubur liar itu ke mulut, fulamak, serius tak terkata sedapnya! Sangat sedap! Saya boleh beri markah penuh untuk bubur itu!

Saya tidak boleh makan benda manis sangat. Mudah sakit kepala. Tetapi bubur di kedai itu memang secukup rasa saja manisnya. Saya tak sudah-sudah memuji-muji bubur itu. Emak pun bersetuju dengan saya. Kata emak, memang payah hendak jumpa orang buat bubur liar dengan rasa yang molek begitu.

Kebiasaannya di tempat saya ini, bubur liar disajikan ketika majlis cukur jambul. Ada seorang orang kampung saya ni, terkenal dengan panggilan Mak Tam Limah. Kalau kenduri di rumahnya, mesti ada bubur ini. Mak Tam Limah ni kiranya pakarlah bab-bab bubur liar ni. Buat pula secara tradisional menggunakan acuan besar untuk mee bubur itu, kawah air panas untuk merebusnya dan guna santan perah hasil pokok-pokok kelapa keliling rumah. Memang hebatlah Mak Tam Limah ni. Adik beradik Mak Tam Limah ni pun hebat bab-bab bubur ni termasuklah Mak Andak Peah. Mereka ni ketua-ketua bubur di kampung inilah kiranya. Yang lagi istimewanya, kalau kenduri di rumahnya, bubur liar ini mesti dipadankan dengan sirap selasih sejuk. Memang gabungan mantaplah. Aduh. Makan mesti bertambah punyalah. Buat kenduri orang macam kenduri sendiri pula. Nasib baik saudara-mara sendiri juga. Hehe.

Jadi petang tadi, saya mengikut emak ke sekolah adik saya di Temerloh Jaya. Dalam perjalanan balik, emak hendak membeli kuih dulu kerana ada tetamu hendak datang ke rumah petang tadi. Kami singgah di R&R itu sekali lagi kerana rumah kami dalam arah yang sama. Emak menyuruh saya turun dan pergi ke kedai hari tu. Beli kuih-muih serba sedikit dan bubur liar. Hehe. Sebenarnya saya yang mahu bubur itu. Beri saya makan tiap-tiap hari pun tak mengapa. Memang saya akan telan punyalah. Sedap!

Kebetulan pula, kedai kedua itu adalah kedai keluarga junior saya ketika di sekolah rendah dulu, Khaidir. Sejak hari tu lagi saya mencuri pandang budak tu [err, sila jangan amalkan perbuatan menjeling anak bujang orang]. Saya rasa macam kenal. Saya tahu dia tu satu sekolah rendah dengan saya. Sehinggalah tadi ketika hendak membeli itu, kami berteguran. Sah. Memang sah. Dia junior saya zaman sekolah dulu-dulu. Memang itu kedai makan milik keluarganya.

Jadi apa lagi. Sesiapa yang melalui jalan lama KL-Kuantan, marilah singgah ke R&R Bukit Angin, Temerloh. Simpangnya betul-betul selepas Jambatan Temerloh dari arah Kuantan. Cari kedai kedua dari jalan masuk. Kalau tak jumpa juga kedainya, tanya orang, kedai mana ada budak nama Khaidir bekerja. Hahaha. Kita kasi popular sikit Khaidir ni hari ni ya. Ada pelbagai bubur disediakan di situ. Tapi tolonglah cuba bubur liarnya. Percayalah. Memang enak, sedap, lazat sehingga anda rasa mahu datang lagi! Err, datang untuk makan bubur liarlah. Bukannya datang sebab hendak mencuri pandang wajah Khaidir ya.

Sampai saja di rumah, saya mengisi bubur ke dalam mangkuk besar. Maghrib tadi, masih berbaki sedikit lagi. Saya pun apa lagi. Macam biasalah, kan. Jadi tong sampah yang menghabiskan apa yang ada. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Hihik. Jadi, mari kita berkenalan dengan bubur liar.

DSC_0246

Inilah rupanya. Saya rasa kenapa namanya bubur liar kerana ketika adunan tepung beras yang separa pejal itu dilenyek di dalam acuan supaya turun ke dalam kawah air panas untuk direbus, ia turun secara terjunan bebas yang liar dan buas. Seakan-akan harimau jantan menerkam mangsanya. Aik. Apakah?

Nota 1: Selepas makan, kamu juga akan menjadi liar. Aummmm. :mrgreen:

Nota 2: Sudah lama saya tidak ucapkan ayat ini: Hari ini hari Jumaat. Hati saya wardah. Heheh. Ok sudahlah tu, Sarah. Dah tengah malam dah ni. Nak masuk Sabtu dah pun ok. :roll:

Nota 3: Tajuk tu diedit lepas mendapat cadangan daripada AKAK!

Posted on July 31st, 2009 by Sarah  |  23 Comments »

Kenduri-kendara

Assalamualaikum wbt

Sabtu minggu lepas, saya ke kenduri kahwin seorang penduduk kampung saya ini. Pusing-pusing, kait-kait, ini juga saudara mara kami. Waktu di kenduri itu, ada dua perkara berlaku. Pertama, saya rasa asing sungguh dengan muka-muka yang saya jumpa. Anak-anak muda yang sekitar umur saya semuanya hampir tidak saya kenali. Semuanya sudah berubah. Keduanya, ramai yang saya jumpa di kenduri itu. Saya jumpa Abang Jamil dan keluarganya. Mereka ini pembaca blog ini. Tak sangka sungguh boleh bertemu di kenduri itu. Saya sudah mengenali Abang Jamil dan keluarga sejak kecil lagi.

Saya juga bertemu dengan cikgu tadika saya dulu, Cikgu Izumi. Cikgu Izu masih sama seperti dulu. Rumah cikgu tidak jauh dari rumah saya. Di bawah bukit belakang rumah saya saja. Raya nanti boleh berjumpa lagi. Eceh. Dah sebut pasal raya pula. Ramadhan pun belum lagi. Aishh tak sabarnya nak tunggu Ramadhan. Puasa di Malaysia saya tahun ni. Haha. Jauhnya saya lari topik ni. Saya juga bertemu dengan Ustazah Zaidah, ustazah saya ketika di SMA Al-Khairiah. Tak sangka ustazah masih mengenali saya.

Kebetulan pada hari itu internet down sepanjang hari sehingga Maghrib. Disebabkan itu saya keluar mengikut emak saya ke bandar untuk mencari barang. Sumpah emak saya sangat hebat tawar menawar ketika membeli barang. Barang yang hampir Rm2000 pun boleh jadi murah sehingga RM1300 saja. Tabik hormat sungguhlah kepada emak. Hidayah sepupu saya pun ikut sekali. Sampaikan dia berkata begini: Bankrup Cina tu kalau semua pelanggan dia macam Mak Ngah. Hahaha. Ini ilmu ni. Kena belajar dengan emak. Ilmu emak-emak untuk hidup di hari muka. Hehe.

DSC_0216

Sabtu baru-baru ini pula, saya menghadiri walimah Kak Nurul Haida Mohd Salleh dan suaminya Muhammad Syairuz Zamri. Tepatnya, Kak Haida ini ialah rakan sekelas kakak saya sejak darjah satu dan masih rapat sehingga kini. Kakak saya tidak dapat pulang dari Sarawak. Jadi, saya dan adik saya mewakili kami sekeluarga ke sana. Ramai betul kawan-kawan lama yang saya jumpa. Termasuklah juga ustaz ustazah zaman sekolah rendah dulu.

DSC_0208

DSC_0176

Yang paling utama, saya bertemu dengan Ustaz Aris dan Ustazah Hamdah. Mereka merupakan antara tenaga pengajar pelopor di Pusat Pengajian Al-Mukmin. Kini mereka tidak lagi mengajar di sana. Ustaz Aris kini berkhidmat sebagai Qadhi. Saya juga bertemu dengan Ustaz Osman dan Ustazah Zainab. Mereka berdua masih bertugas di Pusat Pengajian Al-Mukmin sehingga kini.

DSC_0233

DSC_0240

Antara kawan-kawan lama yang saya temui termasuklah Kak Nawwar, Kak Fisha, Kak Husna, Aainaa, Farah, Herman, Ikmal Azwar, Erry Shahriman, Shahrizat, Shubhi Asyir, Ikhwan Hafiz, Chot, Salehuddin dan Fadhlillah. Yang paling tak tahannya, bila kisah cinta monyet zaman sekolah dulu diungkit-ungkit sampai panas muka, telinga, tekak! Eh… Cinta monyetkah? Tak juga rasanya. Dah waras dah rasanya waktu tu. Huhu. Yang pasti, saya bersyukur melihat kawan-kawan semuanya sudah berjaya dalam bidang masing-masing dan ada yang sudahpun mendirikan rumah tangga.

Nota 1: Bila sebut berulang kali, sedap-sedap juga ya nama-nama kawan lama saya ni (mereka ni majoritinya satu batch dengan Kaklong). Boleh pilih buat nama anak ni nanti. Bagus-bagus maksudnya. Kan kan kan. 😀

Nota 2: Punyalah hot kisah cinta zaman sekolah dulu-dulu. Sampai sekarang semua orang masih ingat. Nyampah ah. Kah kah kah. 😆

Posted on July 28th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Berkumpul

Assalamualaikum wbt

Rumah penuh! Oh tidak. Cuma Kaklong yang tidak balik. Yang lain semuanya ada. Sebelum Maghrib tadi, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Emak berbuka puasa di dalam gelap. Sebaik selepas semua yang lain menunaikan solat Maghrib, kami pula makan beramai-ramai. Emak buat mee sup. Hihi. Permintaan budak bertuah inilah.

Selesai makan, saya mengemas meja dan membasuh pinggan mangkuk. Saya meminta Adi tolong menyimpan semula segala botol sos dan lada sulah ke tempatnya. Tetapi sebaik saya berpaling ke belakang, meja semua sudah siap berkemas. Mangkuk berisi bawang goreng dan daun bawang juga sudah siap disimpan di bawah tudung saji. Sejuk hati betul dengan adik saya yang seorang ini. Ringan betul tangannya.

Kami duduk berbual-bual dengan ayah sementara menanti Isyak masuk. Disebabkan malam ini ada cerita Nur Kasih, saya mengajak adik-adik saya ke mapley Old Town untuk menonton TV di luar. Sudahnya, kami bertujuh keluar selepas siap menunaikan Isyak. Pergi dua buah kereta, guna dua buah meja, untuk enam lelaki dan seorang perempuan. Fuh. Terasa selamat sungguhlah. Sejam kami di sana. Selesai drama, kami pun balik. Adik-adik saya ni layankan saja saya ni semata-mata kerana hendak menonton drama itu. Eh, Adam pun layan drama tu juga. Saya tidak akan ke mapley tanpa adik-adik lelaki saya. Berdua dengan Kaklong juga tidak. Disebabkan itu, saya bersyukur mempunyai adik-adik lelaki yang bertanggung jawab ini walaupun saya tiada adik perempuan. Jadi perempuan yang bongsu kan best. Kekeke.

Sampai di rumah, bekalan elektrik sudah ada kembali. Dalam seminggu ini, sudah beberapa kali bekalan di kawasan saya ini terganggu. Mana Encik TNB yang seorang tu? Sila jelaskan sedikit. Hehe. Setiap kali menghubungi TNB, jawapannya sama saja: We are having some major failures at the moment. Ok. Saya acah je, Encik. Encik sudah bekerja dengan bagus. :mrgreen:

Nota 1: Makanan pertama yang masuk ke perut saya hari ini ialah mee sup emak.

Nota 2: Kisah dua tahun kami telah membuka lembaran baru petang tadi.

Nota 3: Terima kasih Ruhana kerana sudi berkunjung ke rumah saya.

Posted on July 25th, 2009 by Sarah  |  6 Comments »