Kisah Si Naga-Naga

Assalamualaikum wbt

12 November 2015

Dua minggu lepas, ketika kami sekeluarga dalam perjalanan menuju ke farmasi untuk membeli sesuatu, kami berselisih dengan sebuah kereta yang memandu dengan kelajuan sederhana. Ketika berselisih di jalanan, saya terlihat kelibat pemandunya seorang perempuan dan pada waktu itu turut kelihatan kepulan asap kecil-kecil keluar melalui tingkap keretanya. Hati saya terdetik, gayanya pemandu itu sedang merokok. Saya abaikan kerana kereta kami sudahpun jauh ke hadapan dan saya pula tidak betul-betul pasti sama ada benar atau tidak pemandu itu sedang merokok.

Sebaik tiba di lampu isyarat, ianya bertukar merah. Kami berhenti di hadapan sekali. Selang beberapa saat, kereta yang kami pintasi tadi berhenti di sebelah kiri kami. Saya memandang ke kiri dan melihat memang benar pemandunya seorang perempuan muda dan di tangan kirinya terdapat sebuah vape. Saya cepat-cepat mengalihkan pandangan supaya si pemandu tidak berfikir yang bukan-bukan seperti saya ini sedang menilai luarannya. Sebolehnya, saya tidak mahu dia rasa ‘offended‘ dengan apa yang saya lihat. Tetapi, tidak lama kemudian, Izz yang berada di carseat nya di tempat duduk belakang berkata, “Mama, orang tu merokok!”

Secara automatik, saya dan suami menoleh ke arah kereta di sebelah kami itu. Pada ketika itu, perempuan muda itu memang sedang menjeling tajam ke arah kami berdua. Dia seolah-oleh memberi isyarat badan yang membawa maksud “sila jaga tepi kain sendiri”. Saya bertanya kepada suami, para wanita yang merokok atau vaping ni tak merasa malukah kepada khalayak dan apakah diabaikan saja persepsi orang terhadap mereka. Pada ketika itu jugalah, sebaik terpandang semula muka pemandu tersebut, dengan matanya yang sengaja ditenungkan ke arah saya, dia menghembuskan asap vape berkepul-kepul ke udara melalui tingkap yang memang diturunkan sejak awal tadi.

Waktu itu saya tidak lagi memikirkan isu di manakah nilai malu pada diri mereka. Yang saya fikirkan pada waktu itu, mereka itu bukan wanita. Mereka adalah NAGA.

Sebab Izz selalu bercerita. “Mama, dragon can breath out fire and smoke”.

Ya Allah Ya Tuhanku, malu dan adab kat mana, dik?

:sad:

Arakian kisahnya Si Naga-Naga.

#koleksistatussarah

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  1 Comment »

Say No To Racism!

Assalamualaikum wbt

2 Januari 2016

Petang semalam, saya dan suami membawa anak-anak ke Rabbit Fun Land di kaki Bukit Broga. Cuaca tidak panas dan orang juga agak ramai pada waktu itu. Apa yang nyata, memang ramai keluarga berbangsa Cina berkunjung ke sana. Cuma ada 3 buah keluarga Melayu saja termasuk kami. Anak-anak saya bermain di kawasan arnab bersama-sama dengan anak-anak sebuah keluarga Cina yang kerap beriringan dengan kami ketika di bahagian kambing, kuda, lembu mahupun rusa. Saya juga berbual-bual dengan ibu berbangsa Cina itu. Fasih dia berbahasa Melayu. Anak-anaknya juga boleh berbahasa Melayu walaupun baru berumur 2 dan 6 tahun.

Sewaktu saya membawa Izz ke buaian gergasi, terdapat sebuah keluarga Melayu sedang bermain di situ. Sebaik Izz tiba dan hendak menaiki buaian tersebut bersama yang lain, salah seorang kanak-kanak di situ berkata kepada Izz “Ish, ada budak Cina pulak. Susah la ada orang Cina ni.” Nadanya merengus, seakan sangat tidak senang dengan kehadiran “budak Cina” ini.

Memang ketika itu saya agak kebelakang daripada Izz. Tersentap hati saya mendengar ucapan budak itu. Ibu ayahnya turut ada di situ tetapi langsung tidak menegur pertuturan anaknya yang berbaur perkauman itu.

Sengaja saya merapati Izz dan saya sebutkan, “Ni anak Melayu ni, dik. Kalau anak Cina pun, apa salahnya bermain bersama.”

Di belakang saya, telah tiba sebuah lagi keluarga Cina lain untuk menaiki buaian tersebut. Saya membantu anak-anak mereka untuk menaiki buaian tersebut dan si ibu yang membawa tiga orang anak itu tersenyum kepada saya.

Kalaulah saja mereka mendengar apa yang dituturkan oleh budak lelaki Melayu itu, pastinya boleh berkecil hati. Walaupun anak saya Melayu tetapi berwajah Cina, saya pun berkecil hati mendengar persepsi “racist” budak lelaki Melayu tersebut.

Saya tidak menyalahkan budak itu sepenuhnya. Peranan ibu bapa sangat penting untuk mencorakkan dasar yang baik dalam membentuk keharmonian dan penerimaan pada perbedaan yang ada. Kita memang berbeza warna kulit, phenotype wajah dan juga bahasa. Tetapi kita semua adalah sewarga negara dan sewajibnya menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara keharmonian itu. Saya agak kecewa dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut yang langsung tidak berbuat apa-apa sama ada menegur perlakuan anaknya apatah lagi memohon maaf kepada yang terlibat agar dapat memulihkan suasana.

Jika kita tidak boleh menjadi orang yang memercikkan momentum keharmonian di permulaannya, jangan pula kita menjadi segolongan yang memercikkan kebencian dan perkauman sesama kita.

Kerana bagi saya, Malaysia adalah unik kerana adanya kita semua warga negara yang berbilang bangsa.

#koleksistatussarah

Posted on January 17th, 2016 by Sarah  |  No Comments »

Ramadhan Di Malaysia

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam sudah sepuluh hari kita semua berpuasa. Dan itu bermakna selama itu jugalah saya tidak mengemaskinikan blog ini. Ikutkan hati hari-hari saya mahu menulis tapi disebabkan saya tidak dapat online dari laptop saya di dalam bilik, maka perasaan hendak menulis dan bercerita itupun terbantut.

Apa nikmatnya berpuasa kali ini? Bagi saya ada dua nikmat yang paling utama. Pertamanya, sepanjang sepuluh hari ini, baru hari semalam saya menyentuh dapur. Mana tidaknya, hari-hari emak memasak untuk berbuka dan bersahur. Sedikitpun saya tidak memasak sepanjang cuti sekolah seminggu ini. Hari semalamlah merupakan hari pertama saya masuk ke dapur semula untuk memasak sepanjang Ramadhan ini. Itupun sekadar hendak menyediakan puding karamel. Menu utama tetaplah juga dimasak oleh emak.

Kalau dulu di Moscow, balik saja dari hospital setiap petang, siapa yang bertugas memasak pada hari itu akan kelam kabutlah memasak di dapur supaya dapat menyempatkan menu utama siap dimasak sebelum waktu berbuka tiba. Menu pun sangat sederhana. Sejenis lauk, sejenis sayur, buah tembikai dan kurma. Kalau ada yang rajin dan berkesempatan, barulah ada pencuci mulut seperti kuih-muih tradisional, bubur atau pai.

Keduanya, Ramadhan kali ini saya berada dalam keadaan lapang. Jadi, waktu untuk bertadarus dapat diperuntukkan dengan banyaknya. Selepas sahur mengaji. Selepas Subuh mengaji. Selepas Zohor pun mengaji. Selepas Maghrib mengaji lagi bergitu juga selepas selesai Tarawikh. Pendek cerita, laju betul dapat membaca kali ini. Dalam masa lima hari sudah tamat sepuluh juzuk.

Kalau di Moscow dulu, hanya selepas sahur, Maghrib dan di tengah malam sebelum tidur saja sempat mengaji. Keterikatan dengan jadual hospital, tanggung jawab di rumah dan ulangkaji serta persediaan sendiri di bilik membataskan segalanya. Bila sudah di hujung-hujung Ramadhan, kadang-kadang tu masih berbaki sepuluh juzuk. Maklum sajalah. Orang perempuan ada fitrah daruratnya yang tersendiri. Jadi akan ada beberapa hari yang tertinggal untuk bertadarus. Maka di saat akhir itulah, sanggup bersengkang mata bangun sahur awal dan tidur lewat semata-mata untuk menamatkan bacaan Al-Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan. Alhamdulillah. Kelapangan kali ini sangat bermakna rupa-rupanya.

Bercerita tentang makanan pula, saya makan apa saja yang emak saya masak. Apa saja. Kalau emak masak telur dadar sajapun mungkin saya akan makan padahal saya tidak suka telur pun. Tapi sebab emak yang masak, mesti sedap punyalah. Pasar Ramadhan pun setiap selang sehari saya akan jengah. Saya sudah dapat makan semua kuih yang saya teringin kecuali dua. Badak berendam dan Puteri Mandi. Jenuh saya mencari di tempat saya ni, tiada pula yang menjualnya. Mungkin kurang mendapat sambutan jadi tiada yang menjualnya kali ini. Oh ya. Sebenarnya sudah hampir tujuh tahun saya tidak ke Pasar Ramadhan. Kali terakhir saya ke Pasar Ramadhan ialah ketika musim SPM di penghujung tingkatan lima di Klang dulu. Nostalgia sungguh.

Tapi setiap kali ke Pasar Ramdhan, saya akan pergi bersama adik-adik dan Kaklong. Jadi saya akan mengutamakan apa yang adik-adik selerakan. Biasanya mereka lebih berhajatkan air daripada kuih-muih. Apa tidaknya. Kalau beli kuih sekali pun, yang dijamah mereka hanya seketul seorang dari seringgit setiap jenis kuih. Bukankah membazir? Sudahnya, baki kuih akan kami bungkus dan bawa ke masjid untuk moreh. Sejak itu, adik-adik pun kurang gemar hendak membeli kuih lagi dan hanya mencari sesuatu yang mereka hajati saja. Conothnya kebab atau tau fu fa.

Dan pada hari ini, negara kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-52. Besar maknanya sambutan kali ini buat saya. Mana tidaknya. Sudah lima tahun saya tidak berada di Malaysia pada tarikh ini. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas nikmat keamanan dan keharmonian yang masih dikekalkan-Nya buat kita semua. Moga-moga Malaysia kekal berdiri atas nama Malaysia berdaulat, rakyat berbilang kaum masih tetap bersatu dan saling menghormati antara satu sama lain, agama Islam dijunjung di samping tidak menghina dan mengabaikan hak agama lain. Semoga Allah terus memelihara negara kita.

Nota: Ada lagi cerita-cerita lain akan menyusul. Apapun sekarang nak kena keluar isi minyak kereta dulu. Nak kasi penuh tangki. Harga minyak naik lagilah. Dan-danlah nak naik masa ni kan. =__=

Posted on August 31st, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Dato’ Bahaman

Assalamualaikum wbt

Ada sesiapa yang menonton Majalah Tiga malam tadi? Malam tadi memang episod terbaiklah. Bukan pasal Tengku Mahkota Johor tu. Tapi kisah Dato’ Bahaman yang disiarkan. Ya. Itu moyang saya. Dan segala yang diceritakan¬† dalam episod itu adalah benar. Saya ternanti-nanti juga kalau-kalau ada fakta yang kurang benar. Alhamdulillah semuanya benar belaka. Saya hendak menyambung sedikit kisahnya di sini. Mungkin ini kesinabungan yang mungkin tiada siapa pun pernah tahu.

Saya masih ingat Tok saya (Hajjah Halimah Imam Yusof) bercerita kepada saya suatu masa dulu. Sewaktu Orang Tua Peramu yang dipercayai merupakan Dato’ Bahaman yang tinggal di Peramu, Pekan ditemui kembali, semua yang mengenalinya percaya bahawa itulah beliau. Tapi beliau tidak mahu mengakui dirinya adalah Dato’ Bahaman. Tapi kerabatnya, kenalan terdekatnya yang masih hidup tahu bahawa itulah beliau. Ketika Dato’ Bahaman meninggal dunia, seperti yang dilaporkan di dalam Majalah Tiga, tiada siapa pun tahu di manakah beliau dikebumikan.

Tok saya memberitahu, ketika itu, dia dan Tok Abah saya (arwah Kamaruddin Bin Jantan, cucu Dato’ Bahaman) serta beberapa orang lagi saudara telah ke Peramu untuk menuntut jenazah supaya dapat diuruskan dengan sempurna. Tetapi sebaik sampai di sana, orang kampung memberitahu baru sekejap tadi sebuah van datang dan mengambil jenazah orang tua itu untuk diuruskan.

Menurut orang kampung, semua yang datang menaiki van itu memakai jubah hitam. Jubah berkabung istana. Menurut mereka, itu orang istana yang datang mengambilnya. Tetapi persoalannya, mengapa mereka berbuat begitu dan di manakah arwah disemadikan masih belum dapat saya jawab sehingga hari ini.

Sekarang Tok saya sudah kurang ingat akan peristiwa lama. Tok saya menghidap Alzheimer sejak tiga tahun lalu. Dia masih lagi boleh bercerita tentang sejarah lampau tetapi kadang-kala laluan masanya (timeline) berterabur. Kita yang mendengar ni kena pandai-pandai sendirilah untuk menyusun kronologi cerita tersebut.

Bila saya sudah dalam tingkatan 4 dulu, arwah ayah saudara saya, Chik Joe, pernah memberitahu sesuatu tentang rahsia di sebalik kenapa jenazah arwah dilarikan oleh orang istana dan dikebumikan secara rahsia di tempat rahsia. Menurut Chik Joe, hal ini terjadi kerana jika benar itulah Dato’ Bahaman yang sebenar, pihak istana perlu membayar ganti rugi pada jumlah yang besar kepada waris beliau. Ini kerana, beliau sudah tidak lagi menerima bayaran sebagai pembantu Sultan yang menjaga hasil dan tanah di kawasan Sungai Semantan ini walaupun pada ketika itu beliau masih berkhidmat sebagai Orang Kaya Semantan (orang yang menjaga wilayah dan keamanan kawasan Semantan).

Chik Joe pernah mengumpulkan bukti-bukti ini suatu ketika dahulu. Tapi saya kira usahanya terkubur bergitu sahaja kerana Chik Joe meninggal dunia pada usia yang muda dua tahun yang lalu. Namun begitu, beg berisi bahan kajiannya dulu masih ada cuma saya kurang pasti siapa yang menyimpannya kini.

Bagi saya, segalanya masih tersimpan sebagai rahsia. Kenapa pihak istana hendak sangat menyembunyikan hal ini? Bukannya kami hendak menuntut apa-apa. Paling kurang, beritakanlah kepada mana-mana waris beliau yang masih ada (adik beradik arwah Tok Abah saya masih ada yang hidup, Tok Cik Zan di Durian Tawar, Tok Teh di Kuantan, Tok Lang juga di Durian Tawar dan beberapa orang lagi termasuklah dua pupu emak yang diwawancara malam tadi). Harta benda semua ni sedikitpun tidak menjadi isu. Yang menjadi isu, beliau itu tokoh bangsa, negara dan agama. Kalau mati biarlah ada nisannya. Dan biarlah saudara-mara dapat menziarahinya.

Dan kebetulan, dalam bahagian ketiga episod malam tadi di Majalah Tiga, seorang kenalan baik ayah saya diwawancara pula. Uncle Wan. Ini kawan lama zaman persekolahan ayah (pernah saya sebutkan dalam entri Reunion 070707 ini). Petang semalam ayah dimaklumkannya suruh menonton Majalah Tiga malam tadi. Ada dia, katanya. Uncle Wan ini ada signifikannya yang tersendiri untuk saya. Selain Abang Khairil, Uncle Wan lah orangnya yang membuatkan saya semakin berminat dalam bidang fotografi. Mari kita jenguk Flickr-nya. Mantap!

Nota 1: Saya sangat sukakan sejarah. Dulu sayalah yang paling rajin bertanya itu ini kepada Tok tentang perang, Jepun, komunis dan segala cerita yang berlaku di zaman penjajahan.

Nota 2: Dulu saya reti menyanyi lagu Matahari Terbit, lagu Jepun yang dinyanyikan oleh budak sekolah zaman Jepun dahulu. Tok yang ajar. Tapi sekarang sudah lupa. Nantilah akan belajar semula kalau Tok masih ingat.

Nota 3: Kalau arwah Tok Abah pula, dia sangat anti-komunis. Keluarganya ramai yang diseksa komunis dan ayahnya sendiri (Tok Jantan) ditanam hidup-hidup oleh komunis. Dia sendiri juga terpaksa menyorok di dalam sungai, bernafas menggunakan batang keladi yang ditimbulkan di permukaan air, menyorok bawah jeti, perahu dan macam-macam lagi.

Nota 4: Pernah ada yang menghubungi saya secara personal bertanyakan apa hubungan saya dengan Dato’ Bahaman. Jadi inilah jawapannya.

Persoalannya, adakah anak muda zaman sekarang menghargai kemerdekaan yang didapati hasil derita orang lama?

Posted on July 19th, 2009 by Sarah  |  55 Comments »

Hari Terakhir Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Duduk seorang diri di rumah ni buat saya rasa mati kutu. Hendak keluar, saya masih belum menghidupkan semula lesen memandu saya. Hendak membaca novel, saya rasa bilik ini masih serabut. Tak sesuai untuk duduk bersenang lenang membaca novel.  Hendak makan, ada lauk ayam pula. Saya sudah jadi kurang gemar dengan ayam. Setahun di Moscow, ayam saja yang dimakan. Balik rumah, saya mesti hendak makan ikan pula. Tapi adik-adik tidak makan ikan pula. Aduhai.

Saya mahu letak gambar sajalah untuk kali ini. Ini ketika dalam perjalanan balik ke Malaysia Sabtu dan Ahad lalu. Pagi Sabtu itu, Auntie Zah menjamu kami pelajar-pelajar JPA yang bertujuh ini di rumahnya. Kemudian di Domodedovo Airport, Kak Zah pula membelanja kami bertujuh minum di Coffee House. Kak Zah dan Auntie Zah sangat baik. Sebelum berpisah dengan mereka pun, mereka menangis. Sedihnya.

DSC_0007

Banyak hidangan yang Auntie Zah sediakan. Katanya, dia hendak bagi kami semua kenyang dulu sebelum berlepas. Kebetulan ada Auntie Bie dan anaknya, Amir, sekali. Lama juga kami di sana sebelum bertolak ke Domodedovo Airport.

DSC_0012

Sebelum masuk ke van, kami semua bergambar kenangan buat kali terakhir di depan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow. Dan kemudian bersalaman tanda perpisahan antara kami semua dengan Auntie Zah dan Auntie Bie. Kak Zah pula menghantar kami hingga ke lapangan terbang.

DSC_0022

Inilah Kak Zah. Kak Zah merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Moscow. Dialah bos pertama saya. Saya pernah bekerja dengannya sebagai translator dan tourist guide ketika di tahun empat dulu. Banyak benda baru yang saya belajar daripadanya. Juga tentang etika dan semangat bekerja bersungguh-sungguh. Saya juga belajar menjadi perfectionist daripadanya.

DSC_0058

Dan sebaik sampai di KLIA, keluarga saya sudahpun menunggu. Ok. Saya tidak boleh menerima kenyataan adik saya yang darjah lima tu, Aiman, sudah sama tinggi dengan saya! Tapi yang seronoknya, saya ada ramai bodyguard sekarang ni. Dalam perjalanan balik, kami singgah solat di BP Gombak (highway). Tandasnya jauh ke belakang. Saya ditemani oleh tiga orang askar hanya kerana tandas itu tersorok dan mereka risau apa-apa terjadi pada kakaknya yang seorang ini. :mrgreen:

Nota: Mendung betul hari ni. Mata pun rasa mengantuk.

Posted on July 16th, 2009 by Sarah  |  31 Comments »