Say No To Racism!

Assalamualaikum wbt

2 Januari 2016

Petang semalam, saya dan suami membawa anak-anak ke Rabbit Fun Land di kaki Bukit Broga. Cuaca tidak panas dan orang juga agak ramai pada waktu itu. Apa yang nyata, memang ramai keluarga berbangsa Cina berkunjung ke sana. Cuma ada 3 buah keluarga Melayu saja termasuk kami. Anak-anak saya bermain di kawasan arnab bersama-sama dengan anak-anak sebuah keluarga Cina yang kerap beriringan dengan kami ketika di bahagian kambing, kuda, lembu mahupun rusa. Saya juga berbual-bual dengan ibu berbangsa Cina itu. Fasih dia berbahasa Melayu. Anak-anaknya juga boleh berbahasa Melayu walaupun baru berumur 2 dan 6 tahun.

Sewaktu saya membawa Izz ke buaian gergasi, terdapat sebuah keluarga Melayu sedang bermain di situ. Sebaik Izz tiba dan hendak menaiki buaian tersebut bersama yang lain, salah seorang kanak-kanak di situ berkata kepada Izz “Ish, ada budak Cina pulak. Susah la ada orang Cina ni.” Nadanya merengus, seakan sangat tidak senang dengan kehadiran “budak Cina” ini.

Memang ketika itu saya agak kebelakang daripada Izz. Tersentap hati saya mendengar ucapan budak itu. Ibu ayahnya turut ada di situ tetapi langsung tidak menegur pertuturan anaknya yang berbaur perkauman itu.

Sengaja saya merapati Izz dan saya sebutkan, “Ni anak Melayu ni, dik. Kalau anak Cina pun, apa salahnya bermain bersama.”

Di belakang saya, telah tiba sebuah lagi keluarga Cina lain untuk menaiki buaian tersebut. Saya membantu anak-anak mereka untuk menaiki buaian tersebut dan si ibu yang membawa tiga orang anak itu tersenyum kepada saya.

Kalaulah saja mereka mendengar apa yang dituturkan oleh budak lelaki Melayu itu, pastinya boleh berkecil hati. Walaupun anak saya Melayu tetapi berwajah Cina, saya pun berkecil hati mendengar persepsi “racist” budak lelaki Melayu tersebut.

Saya tidak menyalahkan budak itu sepenuhnya. Peranan ibu bapa sangat penting untuk mencorakkan dasar yang baik dalam membentuk keharmonian dan penerimaan pada perbedaan yang ada. Kita memang berbeza warna kulit, phenotype wajah dan juga bahasa. Tetapi kita semua adalah sewarga negara dan sewajibnya menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara keharmonian itu. Saya agak kecewa dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut yang langsung tidak berbuat apa-apa sama ada menegur perlakuan anaknya apatah lagi memohon maaf kepada yang terlibat agar dapat memulihkan suasana.

Jika kita tidak boleh menjadi orang yang memercikkan momentum keharmonian di permulaannya, jangan pula kita menjadi segolongan yang memercikkan kebencian dan perkauman sesama kita.

Kerana bagi saya, Malaysia adalah unik kerana adanya kita semua warga negara yang berbilang bangsa.

#koleksistatussarah

Leave a Reply