Kompilasi Mnemonik

mnemonics1

Assalamualaikum wbt

KOMPILASI MNEMONIK UNTUK PELAJAR PERUBATAN

  • Sukar menghafal clinical features of ankylosing spondylitis?
  • Keliru dengan nama-nama metacarpal bones?

Usah resah lagi. Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) kini mengambil inisiatif untuk mengumpul dan mengkompilasikan senarai mnemonik dan tips-tips ringkas menghafal fakta-fakta berkaitan dengan jurusan perubatan. Kompilasi ini akan dibukukan dengan harapan membantu semua pelajar (dan pengamal) perubatan memudahkan pembelajaran dan rujukan.

Read the rest of this entry »

Posted on April 6th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »

Diari Ahad

Assalamualaikum wbt

Petang semalam, saya ada latihan pingpong seperti biasa. Tak tahulah nak kata macam mana. Prestasi hari semalam macam mengecewakan sungguh. Inilah padahnya bila sudah dua tahun berhibernasi. Tapi prestasi hari semalam amat mengecewakan saya. Rasa hendak menangis pun ada. Tapi buat apa. Simpan air mata untuk episod kehidupan yang seterusnya lagi baik. Harapnya, saya dapat mencari rentak permainan saya yang dulu. Hayyak!

Otot bahu dan belakang saya juga sedikit cedera petang semalam. Ketegangan otot. Hendak bermain pun terasa sakit. Tapi tetap main juga. Bila sampai saja di bilik, hendak baring meluruskan badan pun terasa sakit. Positif. Positif. Insya Allah siang esok mesti sudah elok.

Hari ini posting baru akan bermula. Jadual saya tidaklah sepadat mana. Tapi seperti biasa, perlu menjelajah ke Tenggara Moscow di pagi hari. Nasib baik Subuh masuk awal sekarang ini. Jadi, termotivasilah untuk bangun awal tanpa ada alasan sampingan. Tapi sekarang ini sudah pukul 2 pagi. Apa yang saya buat masih berjaga ni?

Saya baru siap menyapu bilik, melipat dan menggosok baju serta mengemas dapur. Sudah selesai semuanya, barulah lega hendak tidur. Hah. Siapa kata ni macam tabiat murni-tapi-sebenarnya-separa-terpaksa makcik-makcik sebelum tidur, jagalah dia.

Nota 1: Hari ini sudah hari Isnin. Maknanya apa? Jeng jeng jeng. Oh. Cepatlah siang. 😉

Nota 2: Sekali demam Facebook datang, menggila jadinya kami serumah. 😆

Nota 3: Izu, terima kasih atas panggilan jauh untuk kawan awak yang serba kecomelan ini dan sekalung TAHNIAH saya ucapkan! <—- (Sila lihat bahasa saya. Sah-sah awak kalah, Izu) :mrgreen:

Posted on April 6th, 2009 by Sarah  |  6 Comments »

Belajar Daripada Kehidupan (ii)

Assalamualaikum wbt

(I)

Setiap pagi, ada seorang tukang cuci yang akan datang ke rumah untuk membersihkan dapur. Seorang wanita pertengahan usia. Ikutkan hati, malas rasanya hendak ada hubungan langsung dengan makcik itu kerana dia suka marah-marah. Pasti ada saja yang tidak kena. Agak kasar juga orangnya. Kalau pagi-pagi sudah dimarah, habis mood satu hari akan rosak.

Habit saya, bila dia masuk ke dapur, saya tidak akan menyapanya. Biasanya pada waktu itu saya berada di dalam bilik sedang bersiap-siap. Tapi sewaktu dia hendak keluar, saya akan berada di hadapan cermin di ruang tengah rumah. Sama ada sedang memakai tudung atau membersihkan kasut. Yang saya lakukan ialah mengucapkan terima kasih. Terima kasih di atas khidmatnya membersihkan dapur dan koridor kami.

Saya masih ingat akan pesan seseorang kepada saya tujuh tahun lalu. Katanya, ucaplah terima kasih kepada siapa saja walau di mana pun kita waktu itu jika kita tahu ia perlu. Dan bagi saya, apa yang makcik itu kerjakan, layak dianugerahkan dengan ucapan terima kasih. Saya kaji perubahan mood baik pada diri saya mahupun makcik itu. Sejujurnya, saya merasakan pagi saya berkualiti dan bermanfaat apabila berkesempatan mengucapkan terima kasih kepadanya. Untuk makcik itu pula, saya lihat dia ceria bila dihargai walau hanya dengan ucapan seringkas itu.

Minggu lepas, saya keluar dari rumah pada pukul 8.10 pagi. Sedang saya melalui koridor untuk turun ke pintu keluar, saya melalui lif tengah bangunan ini. Saya terberpaling melihat ke arah lif itu ketika melaluinya kerana ternampak seseorang sedang berdiri di situ. Rupa-rupanya makcik itu yang sedang berdiri di sudut dinding itu. Saya haya tersenyum saja padanya. Dalam hati, saya sebenarnya sangat tersentuh dengan apa yang saya lihat tadi.

Makcik itu sebenarnya sudah berumur. Sekitar 50-an. Dalam umur seperti itu, dia masih bekerja kasar untuk menyara dirinya. Air mukanya ketika saya lihat itu sangat menyedihkan. Mungkin dia berdiri di situ untuk mengambil rehat. Dia buat saya terasa sayu dengan khidmatnya setiap pagi yang membersihkan dapur dan koridor untuk tingkat satu hingga tiga.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, janganlah melayani tukang cuci, tukang sapu atau siapa saja yang kita rasa tidak penting ini dengan layanan yang hina. Mereka juga manusia dan jasa mereka sangat besar untuk keselesaan hidup kita. Dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka mungkin membawa makna yang besar untuk hati dan jiwa mereka.

(II)

Saya sedang berlari menuruni tangga escalator yang sedang bergerak. Dek kerana hendak mengejar waktu, saya terus berlari turun menuju ke bawah tanah. Sedang berlari, ada seorang perempuan dengan beg tangannya yang besar menghalang laluan saya dengan tiba-tiba. Saya terlanggar begnya. Laju saya mengucapkan: Izvinite. Maksudnya: Maafkan saya. Saya mendengar perempuan itu merengus kasar. Tapi itu bukan silap saya. Dia yang tiba-tiba menghalang laluan turun (bukan laluan berdiri) di atas escalator itu.

Sampai saja di tepi landasan, sedang menunggu metro sampai, perempuan itu tadi menunggu berhampiran dengan saya. Dia menjeling saya dari atas ke bawah. Macamlah saya ini tiada hidung, mata saya juling atau bibir saya sumbing. Saya membiarkan saja. Seminit kemudian, metro pun sampai. Kami menunggu di pintu masuk yang sama dan berdiri berdekatan saja di dalam gerabak itu.

Sampai di satu stesyen, ramai orang yang hendak turun di situ. Saya dari awal lagi sudah berdiri ke tepi, sambil memegang tiang supaya tidak jatuh dan supaya tidak menghalang laluan orang keluar masuk. Perempuan berbeg besar itu dimarah oleh seorang lelaki kerana menghalang laluan keluar orang ramai. Dia menjawab sedikit dan kemudian seorang lagi wanita di belakang lelaki itu pula yang marah kepadanya.

Sebetulnya, Stesyen Park Kultury memang sangat sibuk di waktu pagi. Orang berkejaran hendak keluar-masuk. Jika laluan terhalang, ini akan melambatkan perjalanan. Saya nampak perempuan itu tadi masih buat tidak kisah. Dua stesyen selepas itu, saya hendak turun. Saya mula bergerak menuju ke depan pintu. Perempuan itu tadi masih berdiri di tempatnya tadi. Tiba-tiba lelaki yang berdiri di sebelah kiri perempuan itu menegurnya. Lelaki itu menyuruhnya berpegang di palang di laluan tengah dalam metro itu supaya tidak menghalang orang menuju ke pintu. Perempuan itu akhirnya menurut.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, cubalah berfikir untuk keselesaan dan kesenangan orang lain juga. Jangan rasa hendak ikut kepala sendiri saja. Tidak semestinya kepala kita ni sentiasa betul.

Nota 1: Adam sudah tukar aliran. Dia mengambil Lukisan Kejuruteraan. Semoga Adam boleh mengharunginya. Adam, ingat tawaran Ngah 2 tahun lagi ok.

Nota 2: Semalam saya mesej semua sepupu-sepupu saya sebelah Pahang. Saya tiba-tiba rindu sangat kepada arwah Chik saya. Saya mengajak mereka semua menyedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Saya teringat pesan Makde. Makde kata, Chik tiada anak untuk sedekahkan dia Al-Fatihah. Tapi Chik ada ramai anak saudara. Jadi, anak-anak saudara Chiklah yang bertanggungjawab untuk menyedekahkan Chik doa dari dunia.

Posted on April 5th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »

Belajar Daripada Kehidupan

Assalamualaikum wbt

Ulang-alik saya ke hospital setiap hari sentiasa dipenuhi dengan gelagat manusia. Saya suka memerhati dan berfikir. Insiden yang terkesan di hati, saya akan teladani. Apa yang kurang memberangsangkan, saya akan cuba jauhi. Ini cara saya belajar daripada kehidupan.

(I)

Ketika lalu di hadapan bangunan pentadbiran di sebelah bangunan hostel ini, kelihatan beberapa orang berpangkat besar sedang merokok secara berjemaah di hadapan muka pintu utama. Mereka semuanya muda-muda dan masih tegap bergaya. Saya yakin, mereka bukan calang-calang orangnya. Bangunan di sebelah ini sentiasa dikunjungi oleh bangsa asing dari seluruh dunia atas urusan kerja.

Apa yang buat saya melihat ke arah mereka bukanlah kepulan asap rokok yang bulat-bulat keluar dari mulut mereka. Bukan juga gelak tawa berdekah-dekah itu. Tetapi saya melihat ke arah dua orang daripada mereka yang secara sengaja membaling puntung rokok itu ke atas lantai di hadapan mereka. Mungkin itu perkara biasa kerana tukang sapu akan membersihkan semula kawasan merokok itu. Tetapi, apa yang buat saya terus memandang tingkah empat orang lelaki muda itu ialah, dengan kewujudan seorang pakcik tua yang bekerja sebagai tukang sapu di situ, perbuatan itu adalah sangat tidak sopan. Pakcik itu mengaut puntung rokok yang dicampakkan tadi dan sejurus selepas itu, seorang lagi lelaki membaling puntung rokoknya pula. Saya terdiam. Saya berjalan perlahan saja ketika itu sambil memandang ke arah lelaki-lelaki itu dan juga pakcik tua yang memegang pengaut sampah itu.

Empat orang lelaki itu terus berbual dan pakcik itu masih diam saja. Saya akui, memang itu kerja pakcik itu. Tetapi tindakan mereka semua dengan sengaja membuang puntung rokok itu sedang pakcik itu berada di hadapan mereka adalah sangat tidak sopan. Saya merasakan keadaannya sangat ironi waktu itu. Antara persoalan usia dan adab. Juga kemanusiaan dan belas kasihan. Ketika betul-betul melintas di hadapan pakcik itu, yang saya mampu lakukan untuk menyejukkan hatinya ialah senyum. Moga-moga dia tidak terasa dirinya dihinakan kerana masih ada orang biasa ini yang memberi senyum padanya.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, setiap orang ada harga diri dan hak untuk dihormati.

(II)

Ketika sedang menunggu tram di tepi jalan dalam perjalanan balik dari hospital, ada seorang lelaki mabuk jatuh di atas jalan raya. Saya dan kawan-kawan dapat melihat kejadian itu. Lalu lintas agak terganggu semata-mata untuk menunggu lelaki itu dipindahkan ke tepi. Yang nyata, lelaki itu mengalami transient alcoholic paralysis akibat pengambilan alkohol yang berlebihan. Saya pasti, kalau kami semua mendekatinya, baunya adalah sangat busuk.

Kawan lelaki tadi (mungkin juga abangnya) cuba mengangkatnya bangun dan membawanya ke tapi. Tetapi dia terlalu berat dan lembik untuk dipaksa berdiri. Kakinya sudah hilang deria rasa dan ototnya juga lemah (paresis) yang bersifat sementara. Dia memang terkulai saja di situ. Kepalanya saja yang terangguk-angguk. Tiba-tiba, datang seorang lelaki muda yang menyeberang ke tengah jalan itu dan menolong lelaki seorang lagi tadi untuk mengangkat si mabuk itu. Dia menggunakan pendekatan yang garang dan memaksa. Dia paksa lelaki mabuk itu untuk berdiri. Dia papah dan mengusung lelaki itu ke pondok bas di tepi jalan.

Di pondok bas itu, lelaki itu didudukkan dan lelaki yang segar itu terus menyalami si lelaki muda yang datang menolong. Lelaki muda itu kemudiannya ke kiosk menjual air di tepi pondok bas itu. Dia membeli sebotol air mineral dan membawanya kepada lelaki mabuk itu. Saya kira dia hendak memberi lelaki itu minum. Sebaliknya, dia membasuh muka lelaki mabuk itu dan berkata: Kalaupun kau tak malu pada diri sendiri, tapi malulah pada negara. Semua orang tu (sambil menunjuk kepada kami pelajar-pelajar antarabangsa yang berdiri berhampiran dengan mereka) tengok kau. Buat malu negara sendiri je. Ubahlah diri tu biar orang hormat sikit.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, jangan kita malukan diri sendiri. Maruah diri, bangsa, negara dan agama adalah amanah yang kita kena jaga.

(III)

AA: Tahu tak kita dah ada PM baru?
ZZ: PM baru? Bila nak ganti?
AA: Eh, dah tukar dah pagi tadi. Tak tahu ke?
ZZ: Ooo. Yeke. Diorang ada buat pihanraya ke untuk lantik PM baru?
AA: (Apakah manusia ini?) Mana ada pilihanraya. Ni kan sistem lepas kuasa terbaru yang dah jadi tradisi dah kat Malaysia. Dulu Mahathir lepaskan pada Paklah. Ni Paklah lepaskan pada Najib pulaklah.
ZZ: Najib la yang jadi PM kita ni?
AA: Aduh! Ye la. Habis tu siapa?
ZZ: (Senyum busuk)
AA: Ikutlah sikit perkembangan negara. Benda penting yang jadi sejarah negara pun tak tau, ni payah ni.
ZZ: (Terus tersenyum busuk)

Pelajaran kehidupan hari itu, walau di bumi manapun kita berpijak, walau langit apapun yang dijungjung, ingatlah asal usul dan hargailah negara. Perkara bersejarah beginipun tak dihiraukan. Tarik kewarganegaraan nanti, baru tahu.

Nota 1: Kehidupan adalah sesi persekolahan yang sarat dengan pengajaran.

Nota 2: Semoga ada perubahan demi perubahan yang DS Najib boleh bawakan untuk Malaysia. Kerja kita, berdoa sajalah. Buat masa ini saya masih positif. Sudah termaktub dengan rasminya itulah PM kita yang ke-6. Semua ini mesti ada hikmahnya.

Posted on April 4th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »

Ketika Cinta Memanggil

Ada tiada rasa dalam jiwa
Rindu akan memanggil Mu
Karna setiap jiwa tlah bersumpah setia
Hanyalah pada Mu

Bila cinta ada di dalam jiwa
Wangi bunga dunia tanpa nestapa
Sgala yang dirasa hanyalah Dia
Hatikan memuja hanya padaNya

Ketika cinta memanggil
Gemetar tubuhku
Ketika cinta memanggil
Hangatnya nafasku
Ketika cinta memanggil
Sang rindu
Ketika cinta memanggil

Rindu…rindu…rindu kalbu
memanggil-manggil nama Mu
Seperti terbang di langit Mu
tenggelam di lautan cinta Mu

Bertabur kalbu yang rindu
Melebur menjadi satu
Bagai menari diiringi pelangi
Ketika cinta memanggil

Nota 1: Yang saya kongsikan ini versi Siti Nurhaliza. Saya sebenarnya lebih sukakan versi Opick. Tapi video klip untuk lagu nyanyian Opick tiada yang rasmi. Kurang sesuai pula untuk dikongsikan.

Nota 2: Kamu pandai menyanyi? Saya tidak pandai tetapi saya ialah penyanyi ketiga untuk lagu ini selain Siti dan Opick. Tetapi hanya ketika di dalam bilik air. :mrgreen:

Posted on April 3rd, 2009 by Sarah  |  16 Comments »