Belajar Daripada Kehidupan (ii)
Assalamualaikum wbt
(I)
Setiap pagi, ada seorang tukang cuci yang akan datang ke rumah untuk membersihkan dapur. Seorang wanita pertengahan usia. Ikutkan hati, malas rasanya hendak ada hubungan langsung dengan makcik itu kerana dia suka marah-marah. Pasti ada saja yang tidak kena. Agak kasar juga orangnya. Kalau pagi-pagi sudah dimarah, habis mood satu hari akan rosak.
Habit saya, bila dia masuk ke dapur, saya tidak akan menyapanya. Biasanya pada waktu itu saya berada di dalam bilik sedang bersiap-siap. Tapi sewaktu dia hendak keluar, saya akan berada di hadapan cermin di ruang tengah rumah. Sama ada sedang memakai tudung atau membersihkan kasut. Yang saya lakukan ialah mengucapkan terima kasih. Terima kasih di atas khidmatnya membersihkan dapur dan koridor kami.
Saya masih ingat akan pesan seseorang kepada saya tujuh tahun lalu. Katanya, ucaplah terima kasih kepada siapa saja walau di mana pun kita waktu itu jika kita tahu ia perlu. Dan bagi saya, apa yang makcik itu kerjakan, layak dianugerahkan dengan ucapan terima kasih. Saya kaji perubahan mood baik pada diri saya mahupun makcik itu. Sejujurnya, saya merasakan pagi saya berkualiti dan bermanfaat apabila berkesempatan mengucapkan terima kasih kepadanya. Untuk makcik itu pula, saya lihat dia ceria bila dihargai walau hanya dengan ucapan seringkas itu.
Minggu lepas, saya keluar dari rumah pada pukul 8.10 pagi. Sedang saya melalui koridor untuk turun ke pintu keluar, saya melalui lif tengah bangunan ini. Saya terberpaling melihat ke arah lif itu ketika melaluinya kerana ternampak seseorang sedang berdiri di situ. Rupa-rupanya makcik itu yang sedang berdiri di sudut dinding itu. Saya haya tersenyum saja padanya. Dalam hati, saya sebenarnya sangat tersentuh dengan apa yang saya lihat tadi.
Makcik itu sebenarnya sudah berumur. Sekitar 50-an. Dalam umur seperti itu, dia masih bekerja kasar untuk menyara dirinya. Air mukanya ketika saya lihat itu sangat menyedihkan. Mungkin dia berdiri di situ untuk mengambil rehat. Dia buat saya terasa sayu dengan khidmatnya setiap pagi yang membersihkan dapur dan koridor untuk tingkat satu hingga tiga.
Pelajaran kehidupan pada hari itu, janganlah melayani tukang cuci, tukang sapu atau siapa saja yang kita rasa tidak penting ini dengan layanan yang hina. Mereka juga manusia dan jasa mereka sangat besar untuk keselesaan hidup kita. Dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka mungkin membawa makna yang besar untuk hati dan jiwa mereka.
(II)
Saya sedang berlari menuruni tangga escalator yang sedang bergerak. Dek kerana hendak mengejar waktu, saya terus berlari turun menuju ke bawah tanah. Sedang berlari, ada seorang perempuan dengan beg tangannya yang besar menghalang laluan saya dengan tiba-tiba. Saya terlanggar begnya. Laju saya mengucapkan: Izvinite. Maksudnya: Maafkan saya. Saya mendengar perempuan itu merengus kasar. Tapi itu bukan silap saya. Dia yang tiba-tiba menghalang laluan turun (bukan laluan berdiri) di atas escalator itu.
Sampai saja di tepi landasan, sedang menunggu metro sampai, perempuan itu tadi menunggu berhampiran dengan saya. Dia menjeling saya dari atas ke bawah. Macamlah saya ini tiada hidung, mata saya juling atau bibir saya sumbing. Saya membiarkan saja. Seminit kemudian, metro pun sampai. Kami menunggu di pintu masuk yang sama dan berdiri berdekatan saja di dalam gerabak itu.
Sampai di satu stesyen, ramai orang yang hendak turun di situ. Saya dari awal lagi sudah berdiri ke tepi, sambil memegang tiang supaya tidak jatuh dan supaya tidak menghalang laluan orang keluar masuk. Perempuan berbeg besar itu dimarah oleh seorang lelaki kerana menghalang laluan keluar orang ramai. Dia menjawab sedikit dan kemudian seorang lagi wanita di belakang lelaki itu pula yang marah kepadanya.
Sebetulnya, Stesyen Park Kultury memang sangat sibuk di waktu pagi. Orang berkejaran hendak keluar-masuk. Jika laluan terhalang, ini akan melambatkan perjalanan. Saya nampak perempuan itu tadi masih buat tidak kisah. Dua stesyen selepas itu, saya hendak turun. Saya mula bergerak menuju ke depan pintu. Perempuan itu tadi masih berdiri di tempatnya tadi. Tiba-tiba lelaki yang berdiri di sebelah kiri perempuan itu menegurnya. Lelaki itu menyuruhnya berpegang di palang di laluan tengah dalam metro itu supaya tidak menghalang orang menuju ke pintu. Perempuan itu akhirnya menurut.
Pelajaran kehidupan pada hari itu, cubalah berfikir untuk keselesaan dan kesenangan orang lain juga. Jangan rasa hendak ikut kepala sendiri saja. Tidak semestinya kepala kita ni sentiasa betul.
Nota 1: Adam sudah tukar aliran. Dia mengambil Lukisan Kejuruteraan. Semoga Adam boleh mengharunginya. Adam, ingat tawaran Ngah 2 tahun lagi ok.
Nota 2: Semalam saya mesej semua sepupu-sepupu saya sebelah Pahang. Saya tiba-tiba rindu sangat kepada arwah Chik saya. Saya mengajak mereka semua menyedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Saya teringat pesan Makde. Makde kata, Chik tiada anak untuk sedekahkan dia Al-Fatihah. Tapi Chik ada ramai anak saudara. Jadi, anak-anak saudara Chiklah yang bertanggungjawab untuk menyedekahkan Chik doa dari dunia.
Sebenarnya Rasulullah s.a.w. mengajar kita untuk berebut menunaikan hak orang lain sambil menjaga hak kita sendiri.
Tapi sikap memaafkan penting kerana sebagai manusia, kadangkala jangkaan dan keupayaan kita berbeza pada masa-masanya.
Reply
Salam Sarah,
bagus entri ni.. ermmm setiap ayat dan perkataan amat mudah difahami dan jelas… he he…
send my regards tu makcik tu ek.. he he
Reply
Kehidupan adalah pelajaran, pelajaran jua mengajar kita erti kehidupan.
Tanpa pelajaran hidup pasti sia-sia. Apa yang dilihat ,apa yang dirasa mengajar erti kehidupan sebenarnya.
Pasti kita berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Amin.
Salam.
Reply
assalamualaikum k.sarah…
sehat??
lama xjengah kat sini…nmpknya dh ketinggalan byk entry nih, hu3.
tapa2…nnt sy update bc sumer 😀
rindu2 😳
selamat maju jaya
Reply
LK seronok belajar. Membuat Lukisan Tangen paling seronok. Tapi saya hanya dapat B.
Reply
KS, Nad suka yang ni.
Senyum sorang-sorang. Mengiyakan.
Kisah yang satu ingatkan Nad kat pakcik tukang kebun sekolah menengah masa ziarah sekolah dua minggu lepas. Mata dia merah masa kami bersembang dengan dia. Pakcik tu cakap, dia terharu sebab ramai bekas pelajar yang masih perasankan dia. Huhu.
Kisah dua tu – Nad nak seeenyum 😀
Reply
dahulu sewaktu arwah mak masih ada, setiap kali terlihat perempuan yang sebaya dengannya perlu kerja keras, menyapu ke,kena jalan kaki jauh-jauh ke, apa-apa sahajalah yang tidak sesuai lagi untuk orang seusia begitu, di hati akan berkata alhamdulillah tuhan berikan rezeki dan keupayaan pada diri agar mak tak perlu susah begitu, boleh duduk di rumah tanpa risau memikirkan soal belanja dan sebagainya..boleh duduk dengan aman melayan cucu..alhamdulillah.
Reply