Hari Terakhir Di Moscow
Assalamualaikum wbt
Duduk seorang diri di rumah ni buat saya rasa mati kutu. Hendak keluar, saya masih belum menghidupkan semula lesen memandu saya. Hendak membaca novel, saya rasa bilik ini masih serabut. Tak sesuai untuk duduk bersenang lenang membaca novel.ย Hendak makan, ada lauk ayam pula. Saya sudah jadi kurang gemar dengan ayam. Setahun di Moscow, ayam saja yang dimakan. Balik rumah, saya mesti hendak makan ikan pula. Tapi adik-adik tidak makan ikan pula. Aduhai.
Saya mahu letak gambar sajalah untuk kali ini. Ini ketika dalam perjalanan balik ke Malaysia Sabtu dan Ahad lalu. Pagi Sabtu itu, Auntie Zah menjamu kami pelajar-pelajar JPA yang bertujuh ini di rumahnya. Kemudian di Domodedovo Airport, Kak Zah pula membelanja kami bertujuh minum di Coffee House. Kak Zah dan Auntie Zah sangat baik. Sebelum berpisah dengan mereka pun, mereka menangis. Sedihnya.
Banyak hidangan yang Auntie Zah sediakan. Katanya, dia hendak bagi kami semua kenyang dulu sebelum berlepas. Kebetulan ada Auntie Bie dan anaknya, Amir, sekali. Lama juga kami di sana sebelum bertolak ke Domodedovo Airport.
Sebelum masuk ke van, kami semua bergambar kenangan buat kali terakhir di depan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow. Dan kemudian bersalaman tanda perpisahan antara kami semua dengan Auntie Zah dan Auntie Bie. Kak Zah pula menghantar kami hingga ke lapangan terbang.
Inilah Kak Zah. Kak Zah merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Moscow. Dialah bos pertama saya. Saya pernah bekerja dengannya sebagai translator dan tourist guide ketika di tahun empat dulu. Banyak benda baru yang saya belajar daripadanya. Juga tentang etika dan semangat bekerja bersungguh-sungguh. Saya juga belajar menjadi perfectionist daripadanya.
Dan sebaik sampai di KLIA, keluarga saya sudahpun menunggu. Ok. Saya tidak boleh menerima kenyataan adik saya yang darjah lima tu, Aiman, sudah sama tinggi dengan saya! Tapi yang seronoknya, saya ada ramai bodyguard sekarang ni. Dalam perjalanan balik, kami singgah solat di BP Gombak (highway). Tandasnya jauh ke belakang. Saya ditemani oleh tiga orang askar hanya kerana tandas itu tersorok dan mereka risau apa-apa terjadi pada kakaknya yang seorang ini.
Nota: Mendung betul hari ni. Mata pun rasa mengantuk.