Kehidupan Baru

Assalamualaikum wbt

Selamat seminggu berkursus. Selesai sudah semuanya. Banyak yang terjadi di sana tapi episod cuti-cuti, jalan-jalan, makan-makan memang tidak ada sangatlah. Tapi, ada satu petang ketika di Pangkor, saya berkesempatan pergi berbasikal mengelilingi kawasan pulau, masuk kampung Cina dan main air sekejap di pantai bersama Nadia dan Baiz.

Selebihnya hanya program di dalam dewan, taklimat dan sebelah senjanya berbuka puasa bersama kawan-kawan. Malam, sebaik selesai program, masuk bilik terus tidur. Penat. Tidak sempat hendak buat apa-apa pun.

Dan esok, satu kehidupan baru akan bermula. Saya akan melapor diri di Jabatan Kesihatan Negeri dan kemudian terus melapor diri di hospital.

Jangan sebut pasal raya depan saya. Saya tidak akan beraya, tidak ada cuti raya dan tidak ada masa lapang langsung pun raya ini walaupun saya ditempatkan dekat saja dengan rumah.

Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat beribadah di hari-hari terakhir Ramadhan dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maafkan segala silap dan salah saya selama ini. Semoga kamu semua bergembira di pagi Syawal nanti tanda kemenangan kita melawan hawa nafsu selama sebulan ini.

Insya Allah, kalau ada masa, saya akan menulis cerita-cerita terbaru saya sepanjang menjalani housemanship nanti. Didoakan semuanya baik-baik saja ya sama ada di pihak saya mahupun kamu semua.

Nota 1: Terima kasih kepada semua yang ada berkongsi pendapat, pengalaman dan segalanya untuk dua entri sebelum ini. Saya tak ada masa hendak membalas semuanya.

Nota 2: Dunia saya ni akan menjadi dunia terbengkalai untuk sementara waktu. Tak payah jenguk sini pun tak apalah ye.

Posted on September 15th, 2009 by Sarah  |  24 Comments »

Barang Lepas Usah Dikenang

Assalamualaikum wbt

“Asal kapas jadi benang
Benang dipintal dibuat kain
Barang lepas usah dikenang
Sudah menjadi hak orang lain”

Pernah dengar lagu ini? Sangat mengalun jiwa. Rugi siapa yang tidak tahu. Saya suka betul lagu ini. Sudahlah pantun dinyanyi-nyanyikan. Dendangannya pula sungguh merdu. Memang terbaik!

Apa kaitannya lagu ini dengan entri ini? Tiada apapun. Saya cuma hendak kata kepada diri saya dan kawan-kawan semua, janganlah kita terkurung dan mengurung diri kita dalam lipatan sejarah. Apa yang sudah lepas, kita lepaskan. Memang bukan rezeki kita untuk memiliki sesuatu itu, kan. Mesti ada hikmah mengapa kita terpilih untuk berhadapan dengan kehilangan.

Jawapannya, kerana Allah hendak menggantikan yang hilang itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Logiknya, pernah tak kita kehilangan sesuatu, kasut misalnya, yang dikebas orang. Tak terjejak lagi ke mana perginya kasut itu. Kita menangis selaut air mata darah sekalipun, takkan kita temui semula kasut itu, kan? Jadi adalah lebih baik kita meredhakan kehilangan itu. Pergi kedai kasut, beli sepasang yang baru. Mungkin tidak semahal, secantik mahupun berkualiti seperti yang hilang itu. Tapi pasti ada hikmahnya.

Akhirnya, kita berkasut semula. Bukankah ini jauh lebih baik daripada tidak berkasut? Kita menjadi lebih menghargai apa yang kita ada walaupun dalam serba sederhana. Dan lama kelamaan, kita sedar bahawa kisah kasut yang hilang itu adalah platform untuk kita mendapat sepasang kasut baru.

Dapat kasut baru, tidak gembirakah kita? Pastilah gembira, bukan? Paling kurang, kita ada satu kehidupan yang baru dengan kasut yang serba sederhana itu. Kehidupan dengan kasut itulah yang menggerakkan kita untuk meneruskan perjalanan ke hadapan.

Ada hikmahnya. Itu pasti. Benang yang sudah dipintal menjadi kain pun sudah tidak boleh kita undurkan untuk mendapatkan kapas kembali. Dicarik, koyak. Dibakar, hangus. Jadi, biarkan yang hilang itu hilang. Hargai apa yang ada seadanya. Sebelum ia juga turut hilang. Dan kita merana sekali lagi kerananya.

Sepatutnya pada hari ini, 9 september 2009, saya sudahpun bergelar isteri orang. Hahahahahahaha. Ini adalah ayat penyata yang paling kelakar pernah saya buat. Nak percaya, percayalah. Tak nak percaya pun tak mengapa. Sebab saya pun tak berapa nak percaya sangat dengan ayat penyata saya tu.

Tapi saya bersyukur, saya mengalami kehilangan. Maka saya masih belum berkahwin lagi. Maka saya boleh menulis entri berdoa kepada Allah yang lalu. Maka saya boleh bercerita tentang pertemuan dengan anak muda yang gigih tanpa ada yang perlu cemburu buta. Maka saya masih boleh menyebut-nyebut tentang Encik Anggur yang istimewa. Hahahaha. Banyak sungguh hikmah selepas kehilangan itu, kan.

Penutupnya sudah cukup menceritakan kesemuanya, kan? Jadi mari kita semua tidur.

Esok saya akan berkelana jauh. Kursus Induksi dan Kenegaraan untuk Pegawai Perubatan menanti saya di Pulau Pangkor. Maka saya dengan rasminya sudah kehilangan masa lapang saya. Ada hikmahnya.

Hikmahnya, saya akan menjadi sibuk dan hidup saya akan terisi. Kembali. Sekali lagi. Seperti dulu.

Sebelum masuk tidur, selamat hari lahir bekas Abang Pujaanku. Cewah! Hahahaha. Pergi tidurlah, Sarah. Merepek je tak sudah-sudah budak ni.

Kamu semua jangan layan sangat otak saya yang tak ketat skru sangat ni. Hehe. Apapun, saya ikhlas menujukan ucapan itu untuknya. Ruginya, dia tidak tahu kewujudan diri saya di alam maya ini. [Dengan harapan dia tidak pernah Google nama saya macam yang kamu-kamu semua pernah buat] :mrgreen:

Nota: Check list Ramadhan – Tadarus dah jauh mana? Tarawikh ada tinggal tak? Ada buat Qiamullail tak? Yang wajib berzakat dah berzakat ke belum? Ada bersedekah tak? Kita tanda mana-mana yang dah selesai ye. Alhamdulillah.

Posted on September 9th, 2009 by Sarah  |  41 Comments »

Ya Allah, Permudahkanlah Jodoh Kami!

Assalamualaikum wbt

Tahun 2009 ini umur saya sudah pun 24 tahun. Tapi sejak mula mencecah 24, sedikit pun saya tidak ambil pusing sangat soal-soal berteman, nikah kahwin apatah lagi beranak pinak. Tambahan pula saya lahir di awal tahun. Fokus kita semua sudah semestinya adalah untuk menyempurnakan azam kita untuk tahun itu dulu. Jadi, soal-soal peribadi ini memang tidak termasuk langsung dalam agenda utama.

Sehinggalah tadi, saya berbual lama dengan Wahida, satu-satunya kawan yang saya ada di Temerloh ini. Panas cuping telinga saya rasakan dan lenguh rahang ni asyik terkekek-kekek dengannya. Oh ya. Pejam celik, pejam celik, sudah 11 tahun saya berkawan dengannya. Banyak kejadian aneh, ceria, suka dan tawa kami lalui bersama. Yang duka-duka mana? Oh. Kami tak layan yang sedih-sedih ni. Kami buang jauh-jauh. Hidup mesti ceria. Itu tagline kami suatu masa dulu.

Wida: Eh, macam mana ni Sarah. Orang lain baya-baya kita ni dah kawin dah. Yang kita ni tercongok la macam ni lagi.

Sarah: Nak buat macam mana. Bukannya kita ni jumpa orang pun. Hari-hari hidup ulang-alik buat benda yang sama je.

Wida: Haaa. Tu la pasalnya. Saya ni pergi kerja, kat ofis semuanya Cina je. Petang balik kerja, terus balik rumah. Mana nak jumpa orangnya.

Sarah: Yang saya ni, haram nampak muka orang lain pun. Terperuk kat rumah je. Jumpa orang dalam internet ada la.

Wida: Kita kena berusaha ni Sarah. Jodoh ni pun kita kena usaha cari, kan. Mana boleh tunggu datang bergolek je.

Sarah: Haa. Awak ingat Zaiti? Dia dah kawin tahun lepas. Saya pergi kenduri dia sebab kebetulan saya balik waktu tu. Sharifah Faizah pun ada datang waktu tu. Nabila adik kat Nasuha pun dah kawin. Grand je majlis dia weh.

Wida: Haaaa. Yeke… Waaa… Kawin dah diorang yek. Bell tu tak sangka sungguh dah kawin. Nampak gaya macam brutal. Awal pulak kawinnya yek.

Sarah: Azhari Razzli ingat tak? Yang Jana selalu kutuk-kutuk dia dulu dalam kelas. Dia pun dah kawin dah Jun lepas. Zaidi kelas kita tu yang bagitau saya baru-baru ni kat Facebook.

Wida: Waaaa. Azhari pun dah kawin dah! Ni tak boleh jadi ni. Dulu diam je dalam kelas. Tengok-tengok yang paling diam tu la yang kawin dulu. Apa kes ni Sarah. Hahaha.

Sarah: Hari tu kat Pasar Ramadhan, saya terserempak dengah Fadilah Norin dengan Taufek. Mentang-mentang dah kawin kan. Jalan pimpin tangan tak lepas-lepas. Hahaha.

Wida: Yang ni lagilah saya terkejut tau. Tak tahu apa-apa pun yang diorang nak kawin hari tu. Tau-tau je dah selamat dah. Aduhai. Apa kita nak buat ni Sarah. Umur dah makin naik ni. Sekarang ni saya nak berusaha la. Berusaha meminta tolong kawan mengusahakan caranya. Hahaha.

Sarah: Ceh. Ingatkan apa tadi. Entah la Wida. Tak reti la nak cakap pasal ni. Saya tak nampak masa depan lagi dalam bab ni. Kadang-kadang saya rasa saya ni tak layak nak bahagia.Pasrah je bunyinya kan. Hahaha.

Wida: Alaaa. Kenapa pulak macam tu? Kalau awak fikir macam tu, sama la jugak macam saya ni.

Sarah: Entah. Tak reti nak kata. Bila kita ada suka orang, tunggu orang, orang tu pulak tak suka kita. Payah la. Tapi bila kita tak nak, tak ready lagi waktu tengah belajar dulu, ramai la pulak yang menjelma.

Wida: Eh eh. Macam sama la pulak. Apa kata kita memasrahkan diri je la. Umur 28 nanti kalau takde jugak baru kita berusaha keras. Sekarang ni pasrah je la. Tapi tu la kan. Kita yang belajar tinggi-tinggi ni, payah betul nak jumpa jodoh. Yang tak habis belajar tu atau tak sambung belajar langsung tu, cepat pulak bertemu jodohnya. Apa lelaki sekarang ni tak nak perempuan yang educated ke? Diorang tak nak ke ada anak-anak yang lahir dari emak-emak yang berilmu?

Sarah: Tak reti nak komen pasal ni, Wida. Apa awak nak saya tolong ke? Hehe.

Wida: Ececece. Awak pulak nak saya tolong tak?

Sarah: Tolong doa sudah. Hahaha.

Saya pun rasa perbualan malam ini banyak benarnya. Di saat sibuk mengejar kejayaan peribadi dalam pelajaran dan kerjaya, saya rasa saya terlepas pandang akan hal yang satu ini.

Mungkin, saya patut belajar memberi dan menerima sekali lagi. Moga-moga Allah perkenankan doa saya, Wahida dan rakan-rakan yang seperti kami ini.  Saya yakin, ramai yang berada dalam situasi yang sama seperti kami berdua ini. Jadi, tak salah kita berdoa, kan? 😉

Nota 1: Kami berempat berkawan baik dari tingkatan 1 hingga 3. Saya, Wahida, Fauzana dan Rabiul. Tapi hari ini, hanya saya dan Wahida yang masih berhubungan sesama kami. Wahida merupakan teman semeja saya selama tiga tahun. Sekarang dia merupakan seorang Junior Accountant di Temerloh ini.

Nota 2: Dah lama tak menulis entri begini. Melankolika hati dan jiwa. Dah habis belajar ni kira aci lah ye nak menulis pasal ni.

Posted on September 8th, 2009 by Sarah  |  68 Comments »

Selamat Mengembara Ke Syurga

Assalamualaikum wbt

Sebelum masuk waktu Zohor tengahari tadi, saya sudah tidak sanggup mendengar anak kucing sakit itu berbunyi-bunyi. Saya keluar melalui pintu belakang dan menjenguk anak kucing itu di bahagian belakang dapur. Saya lihat, ia terjelepuk saja di atas lantai. Saya tidak sampai hati melihatnya begitu. Terus saya angkat dan memindahkannya ke beranda depan, menghadap ke garaj kereta.

Tetapi, sebaik saja hendak meletakkannya, saya ternampak luka di bahagian belakangnya berhampiran dengan ekor. Besar! Nampak daging! Dan ada ulat! Ulat dan telur lalat. Saya jatuh kasihan lagi. Terus saya usung anak kucing itu ke tepi paip air luar rumah. Saya buka air dan nekad hendak membasuh bahagian luka anak kucing itu.

Kalau kita yang manusia ni pun menjerit-jerit kesakitan jika luka terkena air, begitu jugalah haiwan. Anak kucing itu bergerak menuju ke arah kaki saya untuk mengelakkan air yang saya sembur ke badannya. Saya tidak membasahkan keseluruhan badannya. Hanya bahagian luka itu saja. Saya nekad hendak membasuh telur dan ulat lalat yang mula memenuhi lukanya.

Sebenarnya, ibu kucing ini  (apa entah namanya, saya lupa) mempunyai seekor lagi anak kucing yang lahir setahun yang lalu. Kiranya, muda remajalah anaknya yang itu. Namanya Nanau. Nanau ini ganas. Habis keempat-empat ekor adiknya yang baru lahir sebulan lebih yang lalu digigit tengkuknya, dicakar-cakar badannya. Itulah yang terjadi kepada adiknya Hitam yang mati beberapa hari lalu. Dan kini nasib si tompok-tompok ini pula.

Bula roma saya meremang melihatkan ulat-ulat lalat yang banyak itu. Sumpah meremang. Geli saya melihatnya. Saya rasa, mesti ada yang membaca coretan ini turut meremang bulu roma kerana dapat membayangkan ulat lalat yang banyak itu. Jadi saya ke rumah Tok saya untuk bertemu Mak Tam. Sengaja saya buat bergerak ke sana sini untuk mengurangkan rasa meremang yang ada di badan saya ni. Saya bertanyakan di mana pencakar sampah. Bila telah mendapat pencakar sampah, saya pergi mencakar ala kadar di halaman rumah.

Sebelum itu, saya masuk untuk menggaulkan nasi dengan sardin dan mengisi susu ke dalam bekas minumannya. Saya letakkan di tepinya. Waktu itu tenghari buta. Panas terik. Tapi saya teruskan bergerak-gerak untuk menghilangkan rasa meremang itu. Tapi ketika mencakar sampah itu, saya masih terbayang-bayang ulat-ulat dan telur yang masih tidak dapat dibersihkan sepenuhnya pada luka anak kucing itu tadi. Saya turut mendengar bunyi anak kucing itu tadi. Tidak berhenti ia mengiau. Saya jatuh kasihan lagi!

Saya nekad. Saya mesti membersihkan luka anak kucing itu walau macam mana sekali pun. Saya menyandarkan pencakar di perdu pokok manggis dan terus berlari ke dalam rumah. Saya pergi mengambil Dettol di tepi mesin basuh. Saya bawa ia ke tepi paip air di luar rumah dan terus menuang sedikit demi sedikit Dettol itu ke badan anak kucing itu. Ia mengiau tidak berhenti-henti sambil cuba berjalan ke arah kaki saya. Saya tahu ia sakit. Tapi apa lagi yang boleh saya lakukan. Beginilah juga realiti bekerja sebagai seorang doktor. Kadang-kala, bila berhadapan dengan situasi begini, hendak tak hendak, prinsip ‘no mercy’ itu perlu diteruskan demi kebaikan pesakit.

Selepas dua tutup penuh Dettol saya curahkan pada bahagian belakangnya, saya masuk semula ke rumah untuk menyimpan Dettol dan mengambil berpuluh-puluh putik kapas. Saya usung keluar. Saya mendapatkan anak kucing itu dan mula membersihkan segala ulat dan telur lalat yang bersarang pada bahagian belakangnya berhampiran dengan ekor. Dan sebenarnya, di bahagian belakangnya itu, bulu sudah mula luruh dan dagingnya sudah kelihatan! Ulat sudah masuk sehingga ke dalam dagingnya. Sayunya saya melihat keadaan anak kucing itu! Saya hampir menitiskan air mata!

Saya nekad. Saya nekad. Saya nekad! Saya mesti membuat yang terbaik untuk membantunya. Saya meneruskan proses membersihkan luka besar itu dengan menggunakan putik kapas. Peluh tak usah ceritalah. Mengalir satu badan. Lama saya menekun di tepi anak kucing itu untuk memastikan ke semua ulat dapat dihilangkan daripada badannya. Sepanjang saya membersihkannya itu, anak kucing itu tidak berhenti-henti mengiau. Sedihnya saya.

Waktu itu, mata saya bergenang. Betapa saya terbayangkan kesakitan yang dialaminya dan ajal yang sangat hampir dengannya. Itu yang saya fikirkan. Waktu itu saya bayangkan, nyawa anak kucing itu hanya berada di separuh hadapan saja. Separuh badan yang ke belakang sudah tidak bernyawa lagi. Itulah yang saya asyik fikirkan. Dan saya terfikir, mesti seksa kalau ini adalah manusia. Separuh badan sudah berulat, berkudis, bernanah atau gangren. Mungkin beginilah keadaanya!

Kebetulan, ayah saya ada pulang ke rumah tengahari tadi sebelum pergi ke bandar Triang. Sebaik ayah selesai solat Zohor dan sudah hendak bertolak pergi, saya menceritakan padanya apa yang terjadi kepada anak kucing itu dan apa yang telah saya lakukan. Respon ayah saya “Lailahaillallah…” dengan muka penuh kerisauan. Tapi saya menjelaskan bahawa lukanya sudah bersih. Tapi kasihan. Dagingnya kelihatan. Jelas saya lagi, kalaulah ada iodin, pasti lebih bagus.

Lalu ayah berkata: Eh, iodin ada. Semua barang ada. Ayah masuk ke dalam dan mengambil set pertolongan cemas. Saya mengeluarkan iodin, kapas, gauze (kain kasa) dan surgical plaster. Saya terus menyapukan iodin ke badan anak kucing itu. Sebelum membuat dressing (apa istilahnya dalam Bahasa Melayu ya? Bukannya saya memakaikan baju padanya [muahaha] tapi saya membalut lukanya), saya pastikan lukanya sudah betul-betul bersih. Kemudian saya ambil gauze, membuat full dressing dan menyudahinya dengan surgical plaster.

DSC_0135

Sepanjang bekerja, saya sangat-sangat berdoa agar ia dapat diselamatkan. Saya memang tidak berapa menyukai kucing. Pertama kerana baunya. Kedua kerana saya alah berada lama-lama berhampiran dengan kucing. Saya mudah bersin dan gatal hidung. Di rumah ini, penyembur wangian automatik berfungsi 24 jam. Kalau tiada pewangi ini, saya rasa sudah lama saya buang ke semua kucing yang ada. Rumah juga saya akan mop hampir setiap hari (kalau rajn). Saya tidak mahu alahan saya semakin teruk. Cukuplah makan daging sudah boleh membuatkan saya sengsara. Tapi, walaupun tidak suka, saya menyayangi mereka. Mereka makhluk Tuhan yang paling comel! Erk, khususnya mata kucing. Cantik!

Selesai solat Zohor, sepupu saya Nisa ada singgah di rumah Tok sebelum meneruskan perjalanan untuk pulang ke UIA Kuantan. Saya pergi bertemunya. Kemudian keluar menghantar Tok ke klinik, membawanya pergi membeli barang dan menyinggah di Pasar Ramadhan. Penat tak usah ceritalah. Sebaik tiba di rumah, saya menukar dressing anak kucing itu. Saya membawa susu dan saya gunakan putik kapas untuk memberinya minum. Ia memberikan respon yang baik. Saya sangat lega. Adam ada di tepi saya waktu itu. Kata Adam: Kalau kitorang, kucing macam ni kitorang dah biar je dah. Biar mati sendiri je la. Uishh. Saya tidak boleh tengok begitu saja. Paling habis, kena usahakan sesuatu untuk membantu. Selesai menukar dressing itu, si Butbut datang bermain di tepinya. Siap berbaring di sebelah adiknya itu. Sayunya hati melihat mereka.

DSC_0145

Selesai berbuka, saya menjenguknya lagi. Dia masih terbaring di atas hamparan yang kami sediakan untuknya. Saya ambil susu dan menyuapkannya lagi. Saya memeriksa refleks anak mata dan nadinya. Semuanya baik-baik saja. Seluruh keluarga gembira dengan perkembangan positif yang ditunjukkannya sejak petang tadi. Saya sangat gembira. Sewaktu membersihkan lukanya untuk kali ketiga tadi, air mata saya bergenang lagi. Saya rasa, ini kali pertama saya betul-betul mengambil berat tentang kucing di rumah saya.

DSC_0154

Sehinggalah selepas Tarawikh tadi, ketika saya sedang menulis entri ini, anak kucing itu sudahpun dibawa masuk ke dalam rumah dan diletakkan di dalam sebuah bakul khas. Sekejap-sekejap, saya menjenguk bakul itu untuk memastikan ia dalam keadaan baik. Tetapi, sekitar 10.30 malam begitu, saya melihat posisi anak kucing itu sudah berubah. Saya rasa gembira sangat kerana melihat ia tiba-tiba menggerakkan badannya dan mengangkat kepalanya.

Tetapi, sejurus selepas itu, saya melihat badannya langsung tiada pergerakan nafas. Saya cuak. Mata saya ni kurang jelas di waktu malam. Saya memanggil Aiman kerana dia lebih cekap untuk melihat pergerakan pernafasan anak kucing itu. Kata Aiman: Haah la. Dah tak gerak dah. Aaaaa… Sedihnya. Saya sangat sedih. Tak tahu macam mana hendak dinyatakan tapi saya memang sangat sedih.

Saya tiba-tiba membayangkan, ketika dia mengangkat kepalanya buat kali terakhir yang sempat saya lihat itu, mungkin waktu itu adalah hembusan nafasnya yang terakhir. Betapa seekor kucing yang tidak berbuat dosa pun dapat kita lihat azabnya hendak mati, apatah lagi kita manusia yang banyak berbuat salah dan dosa ini.

Sebenarnya, anak kucing yang ini memang tiada nama lagi kerana ada dua ekor yang serupa coraknya. Tompok-tompok oren-hitam-putih. Susah hendak dibezakan. Dari siang tadi saya dan adik-adik memikirkan nama yang sesuai untuknya kerana kami lihat ia ada potensi untuk kembali sembuh dan terus hidup. Tapi, belum sempat kami memanggilnya secara rasmi dengan namanya yang kami pilih, ia sudah pergi. Tuah. Itu nama pilihan kami.

Selamat mengembara ke syurga, Tuah. Semoga semangat juangmu yang tak menyerah kalah di awal pertempuran menjadi inspirasi buat kami kaum manusia.

Sekarang, tinggallah Butbut bermain bersama-sama Wira saja.

DSC_0160

Nota 1: Si tompok yang seekor lagi tu kami namakan Wira. Butbut pula ialah kucing kelabu dalam entri sebelum ini. Yang mati bukan Butbut. Nama Butbut diberi kerana menurut adik-adik saya, kakinya seperti memakai but tinggi berwarna putih. Stylo gitu deh. :cool:

Nota 2: Kisah ini mengingatkan saya kepada Mickey yang mati ketika saya di Moscow dulu. :cry:

Nota 3: Saya baru saja mendapat berita terkejut yang penuh mendebarkan Maghrib tadi. Juga sedikit mengecewakan. :roll:

Nota 4: Yasir kata, hari ni lama betul saya online. Dari awal pagi sampailah ke tengah malam. Heh. Memang pun. :mrgreen:

Nota 5: Terima kasih kerana sanggup membaca entri panjang lebar ni sehingga ke noktah yang terakhir ini.

Posted on September 3rd, 2009 by Sarah  |  48 Comments »

Syahdu

Assalamualaikum wbt

Rajin betul saya menghadap PC di pagi hari ni. Inilah salah satu cara untuk mengelakkan daripada tertidur semula selepas Subuh. Sebenarnya malam tadi saya tidur sangat awal. Pukul 10 lebih saya sudah lelap. Bila bangun saja untuk bersahur tadi, saya mengira-ngira dengan jari. Eh, sudah hampir tujuh jam saya tidur. Jadi, saya tidak boleh tidur lagi. Cukup untuk hari ini.

Saya ada dua azam untuk hari ini. Hendak bersenam dengan banyaknya sementelah saya berseorangan di rumah pada hari ini dan menyambung ulangkaji saya yang tertangguh. Harapnya, kedua-duanya berjalan seperti yang dirancang dan bukannya setakat niat di hati saja.

Semalam Temerloh dibasahi hujan dari tengahari sehinggalah tengah malam. Bila hujan-hujan begini, terasa syahdu saja di hati. Tambahan pula bila duduk berseorangan di dalam bilik. Mendengar bunyi hujan di luar betul-betul mengundang rasa melankoli memenuhi hati. Ditambah pula dengan bunyi syahdu salah seekor anak kucing di rumah ini yang sedang sakit. Bunyinya macam sudah hendak mati saja. Setiap kali ia berbunyi, saya rasakan seperti ia menyebut: Mak, mak, mak.

Tiba-tiba saya teringat akan cerita ayah minggu lalu. Ketika itu kawan ayah, Pakcik Mail dan keluarganya bertandang ke rumah. Mereka datang dari Pulau Pinang. Kebetulan, Pakcik Mail juga merupakan pencinta kucing seperti ayah. Jadi ayah menceritakan bagaimana perasaannya ketika pernah menghantar kucingnya ke sebuah kedai makan untuk ditinggalkan di sana.

Kata ayah, ayah meletakkan kucingnya itu di dalam kotak. Bila tiba di sana, ayah meletakkan kotak itu di atas lantai. Kucingnya di dalam kotak itu mendongak memandang ayah kembali. Kata ayah, waktu itu susah betul hendak diceritakan perasaannya apabila melihat kucing itu seperti bertanya kenapa ia dihantar ke situ. Dan sejak hari itu, ayah tidak pernah membuang kucing lagi. Sebak saya mendengar cerita itu.

Sebenarnya, kisah ini mengajar saya satu tips. Kalau hendak membuang kucing, jangan dilihat matanya. Nanti kita akan sayu dan tersentuh hati. Kucing pandai berlakon melalui matanya. Uish. Zalim betul bunyinya konklusi saya ini. Baiklah. Mari kita memuliakan konklusinya. Marilah menjadi seperti Abu Hurairah. Beliau mencintai kucing sehinggakan di dalam lengan baju jubahnya pun ada kucing yang dikendongnya kita berjalan-jalan.

Tapi memang betul pun bahawa mata kucing penuh godaan. Orang yang bermata kucing pun saya suka juga. Hikss. Ok. Melalut sudah. Kalau tak percaya, cuba tengok gambar Butbut di bawah ini. Matanya saja sudah boleh buat saya kasihan padanya. Maka terpaksalah saya menjadi tuan yang baik kepadanya. =___=

DSC_0072

Buat adik saya Adnan, selamat hari lahir! Semoga menjadi lelaki yang budiman, teman yang setia dan anak yang soleh.

Nota: Sepi, sendiri, aku benci.

Posted on September 2nd, 2009 by Sarah  |  6 Comments »