3 Minggu 3 Hari

Assalamualaikum wbt

Baca tajuk saja pun dah tahu apa maknanya, kan.

Begitulah lebih kurang. Insya Allah walimah saya tinggal 3 minggu 3 hari saja lagi dari hari ini. Serius, rasa seriau dada. Memikirkan jadual oncall yang padat, stress yang tak sudah-sudah disebabkan saya kini memegang jawatan Ketua Houseman di jabatan saya, persiapan majlis lagi. Kalau ikutkan, rasa nak tunda dulu majlisnya. Huhu. Tapi tak boleh. Memang kena selesaikan semuanya. Nanti langsung sudah tidak ada cuti untuk saya. ;-)

Alhamdulillah. Apa yang boleh saya katakan, bermula daripada bagaimana saya dan tunang bertemu, keluarganya datang berziarah dan merisik, betunang dan seterusnya membuat persiapan untuk majlis ini nanti, semuanya dipermudahkan Allah. Semuanya berlaku sekelip mata dan semuanya tanpa disangka-sangka.

Sejujurnya untuk tahun 2010 tu langsung saya tidak berniat untuk berkahwin lagi. Ada orang datang meminang, saya tolak dengan alasan belum terfikir untuk berkahwin lagi. Dan sebaik saja saya berniat, siapa yang datang ke rumah lepas ini dengan cara yang baik, cukup syarat-syarat asas yang saya cari, insya Allah saya akan terima. Siapa sangka, aturan Allah itu sangat cantik dan tepat pada masanya. Apa kisahnya, itu kita cerita-cerita di lain entri ya. ;-)

Ingat tak dalam entri-entri merepek saya ketika zaman masih bergelar seorang pelajar, saya selalu saja sebut bahawa saya menunggu Mr. Right yang ada ciri-ciri seorang computer geek, juga seorang photographer dan ada Master? Agak-agak saya dapat tak semua ni? ;-)

Oh ya. Saya masih belum memberitahu tarikh majlisnya. Insya Allah, akad nikah akan berlangsung pada 12 Mac dan kenduri pada 13 Mac di rumah saya. Kepada semua rakan pembaca yang sudah bertahun-tahun bersama saya, jemput datang ke Temerloh ya. Nanti saya letakkan plan ke rumah saya, insya Allah.

Nota 1: Dah lama tak bercuti. Kerja nonstop. Semata-mata nak cuti kawin punya pasal, semuanya sanggup aje. :grin:

Nota 2: Terima kasih atas titipan doa daripada semua. 🙂

Nota 3: Kewujudan blog ini ada signifikannya yang tersendiri. Terima kasih, Dunia Sarah! ;-)

Posted on February 16th, 2011 by Sarah  |  76 Comments »

Duit, Infaq Dan Nikah

Assalamualaikum wbt

Tiba-tiba saya teringat suatu insiden di kafe hospital lebih kurang sebulan lebih yang lalu. Ketika itu saya masih di Jabatan O&G. Saya masih lagi bersama Nisa, sepupu saya, di wad antenatal. Jika Nisa ada masa, dia yang akan turun membelikan makanan tengahari untuk saya. Sekiranya dia oncall dan saya pula yang berpeluang turun ke kafe, saya akan membelikan untuknya pula.

Jadi pada suatu hari itu, saya tidak oncall, Nisa oncall dan kami sama-sama kelaparan. Saya menawarkan diri untuk turun ke kafe membelikan makanan untuknya. Seperti biasa, rutin air kami adalah sama. Nescafe ais. Saya memilih sejenis lauk untuknya dan sejenis sayur. Begitu juga saya. Saya bajet, harganya sekitar RM7.50 saja. Tiada masalah tu. Insya Allah memang cukup duit yang saya ada dalam poket. Oh ya. Saya jenis yang tidak membawa dompet ke hospital. Maksud saya, saya tidak akan mengusung dompet di dalam beg mahupun poket sebab sudah serik dicuri orang tahun 2009 dulu. Jadi, saya lagi selesa membawa sejumlah wang yang secukupnya saja di dalam poket. Biasanya kalau saya bawa RM10 di dalam poket, saya boleh bertahan selama tiga hari.

Begitu juga kesnya dengan hari itu. Saya yakin pada hari sebelumnya itu, saya ada memasukkan RM10 ke dalam poket. Jadi sebaik saja sampai di kaunter, harga makanan yang saya beli ialah RM7.50. Saya menyeluk poket. Alamak! Yang ada hanyalah helaian duit seringgit dan beberapa keping duit syiling saja. Terkial-kial saya mengira helai demi helai duit yang ada. Dan jumlah yang saya dapat ialah RM7 sahaja. Sebenarnya orang kafe itu sudah kata tidak mengapalah jika saya tidak cukup duit dulu kerana saya agak rapat dengannya. Tapi saya segan untuk berhutang dengan pihak kafe. Tiba-tiba, orang seterusnya yang beratur di sebelah saya untuk membayar di kaunter itu menegur:

“Eh, Kak Sarah! Takpe. Nah guna duit saya dulu. Tak cukup 50 sen ye?”

Ooo. Rupa-rupanya, itu adalah junior saya ketika bersekolah di Al-Mukmin dulu. Najwa namanya. Kakaknya merupakan rakan sekelas saya sehingga tamat darjah 6 dan tiga tahun bersama-sama di Al-Khairiah. Najwa sedang menjalani latihan praktikal Dietitian di Hospital Temerloh.

“Alamak. Terima kasih banyak-banyak ye, Najwa. Tak sangka jumpa kamu kat kafe ni.”

Begitulah kisahnya. Kesimpulannya, doktor ni bukannya banyak duit pun. Huhu. Cuba tengok saya. Duit pun tak cukup nak bayar makanan di kafe. Cemas-cemas lagi nak kena berhutang dengan orang kafe. Insiden ni sebenarnya mengetuk hati saya seketika. Baru saya tersedar. Allah nak bagi peringatan pada saya, sudah membersihkan harta dengan berinfaq ke belum. Sama ada sedar atau tak, selain zakat, infaq juga merupakan cara kita membersihkan harta, hati dan nafsu kita. Dan yang paling jelas maksudnya, infaq ni dapat membantu meringankan beban saudara seagama kita. Inilah salah satu sumbangan kita di jalan dakwah.

Sebelum berpisah dengan Najwa, dia bertanya:

“Eh, Kak Sarah dah nak kawin ye?”

Saya tersenyum padanya.

“Insya Allah. Jemput datang bulan tiga nanti ye.”

Iya. Insya Allah, saya akan mendirikan rumah tangga kurang sebulan dari sekarang. Kita cerita-cerita di lain entri ya. Mohon didoakan semuanya berjalan lancar ya =)

Nota: Asyik stress je saya di Surgical ni. Oncall selang sehari. Habis hilang seri muka. :mrgreen:

Posted on February 15th, 2011 by Sarah  |  37 Comments »

Kehidupan

Assalamualaikum wbt

1. Selamat pengantin baru buat senior di Al-Mukmin dulu, Kak Tikah dan suami. Juga buat bekas rakan sekelas dan sebilik dengan saya di KISAS yang turut bersama-sama ke Russia dulu, Dyana Nizar dan suami. Dan buat adik sebilik dengan saya di Moscow dulu, Emy dan Firdaus. Barakallahulakum! Semoga perkahwinan kalian menjadi pelengkap agama dan semakin memantapkan lagi diri dan iman masing-masing. 🙂

2. Sejak berada di Jabatan Pembedahan Am ni, kadang-kadang rasa tertekan tu macam tak terkawal. Sampai ada rasa nak menangis. Tapi memang kena bersabar banyak-banyak. Hidup memang tak terurus. Dalam seminggu yang ada tujuh hari tu, saya oncall selang sehari sebanyak empat kali. Tarikh pun saya dah tertukar-tukar. Badan dan otak tak bergerak seiring lagi sebab terlalu penat. Sampai saja rumah bila post call, selesai saja isyak saya mesti sudah tidur. Tapi tekanan tu bukan setakat datang daripada beban kerja yang menimbun. Tapi dari segi layanan kita sebagai manusia. Hmm. Nanti saya kupas dalam entri seterusnya kalau ada masa.

3. Pagi tadi saya menghantar seorang pesakit yang ventilated pulang ke rumahnya untuk di extubate di rumahnya. Pesakit ini sudahpun diisytiharkan brain death. Ahli keluarga ingin membawanya pulang untuk melihat arwah menghembuskan nafas terakhir di rumah. Ketika melihat seorang demi seorang ahli keluarga datang mencium dahi dan pipi arwah, saya yang sedang membuat manual bagging di sisi kepala arwah terasa sangat sebak. Terkebil-kebil mata saya pada waktu itu. Dan selepas semua anak dan ahli keluarga terdekat selesai mencium dahi dan membisikkan syahadah kepada arwah, saya pun melepaskan tiub oksigen daripada tekaknya dan memberhentikan segala jenis infusion pump yang terpasang di badannya. Setengah jam selepas itu, pesakit itu pun meninggal dunia. Saya meninggalkan rumah pesakit itu dengan seribu satu perasaan. Yang paling jelas saya pelajari, mati itu adalah pasti.

Nota: Err… Makin serba tak kena je rasa sekarang ni. ;-)

Posted on February 8th, 2011 by Sarah  |  6 Comments »

Sekadar Di Situ: Dia Ke Hilir, Saya Ke Hulu

Assalamualaikum wbt

Err… Ramai pula yang mesej, kenapa ceritanya tergantung untuk entri yang lepas. Mana ada apa-apa yang tergantung pun. Ceritanya memang pendek. Setakat darjah enam saja kerana kami hanya sekelas selama tiga tahun saja. Darjah empat ke darjah enam. Itu saja.

Sewaktu darjah enam, cikgu membuat kumpulan-kumpulan belajar yang diasingkan mengikut prestasi pelajaran. Satu kumpulan sekitar empat ke lima orang pelajar. Tetapi, kami berdua diasingkan. Err… Menurut cikgu-cikgu, prestasi kami berdua melebihi rakan-rakan yang lain. Untuk mengelakkan rakan-rakan tercicir, kami berdua ditempatkan di bilik guru sementara rakan-rakan yang lain di dewan sekolah yang berhawa dingin. Kami hanya berkongsi satu meja guru dan berkongsi kertas soalan yang disediakan. Berbulan-bulan kami menjalani latih tubi begitu, di meja cikgu, di bilik guru. Saya rasa saya pernah cerita kan bahawa saya bersekolah di sekolah agama swasta di bandar ini. Itu sebabnya sistem pembelajaran kami berbeza.

Waktu itu saya semakin yakin dengan Bahasa Inggeris saya. Adalah juga beberapa peristiwa saya dibantu oleh kawan saya itu. Penguasaannya dalam subjek itu memang tak boleh dipertikaikan. Saya pula membantunya dalam subjek Matematik dan Sains. Oh ya. Tahun itu merupakan tahun pertama subjek Sains diperkenalkan untuk UPSR. Tahun 1997; zaman jerebu teruk dan tahun kegawatan ekonomi.

Di penghujung tahun itu, pada hari keputusan UPSR diumumkan, hanya kami berdua yang mendapat 5A pada tahun itu di sekolah kami. Pada hari itu, saya datang ditemani ayah. Sebaik selesai mengambil keputusan, saya terus berjalan keluar dari dewan. Terserempak sebentar dengannya. Tak sempat bertegur sapa untuk mengucapkan tahniah. Dan tidak lama selepas itu, saya nampak dia bersama ayahnya sudahpun berangkat menuju ke kereta untuk pulang.

Dan sejak daripada itu, saya sudah tidak mendengar khabarnya lagi apatah pula bersua muka. Memori bersama kawan itu setakat di sekolah rendah. Itu saja. Yang kuat terpahat di ingatan saya ialah matanya yang sepet dan jemarinya yang runcing. Juga namanya yang istimewa petikan daripada surah Al-Quran.

Saya ada mendengar khabar dia menyambung persekolahannya di sebuah sekolah agama swasta di Kuala Lumpur. Saya pula meneruskan persekolahan di Temerloh ini saja. Bukan tidak merisik khabar mencari semula kawan saya ni. Tapi pelbagai limitasi yang ada pada waktu itu. Jadi, segalanya hanya sekadar di situ. Dia ke hilir, saya ke hulu.

Semua ini sekitar 13 tahun yang lalu. Mungkin waktu itu kami belum tahu apa itu takdir dan apa seterusnya yang akan berlaku. Hanya Allah yang Maha Tahu. Maha Menemukan. Maha Memisahkan. Dan tiada apa yang boleh menghalang-Nya untuk menemukan semula, insya Allah.

Nota 1: Sebenarnya ada banyak perkara yang saya ingat tentang kawan saya ni. Daripada tarikh lahirnya, plat keretanya sampailah alamat rumah lamanya yang saya tak pernah pergi tu pun. Huhuhu. :mrgreen:

Nota 2: 6 minggu 6 hari. Novel baru akan menjelma, insya Allah~ 😉

Nota 3: Mari peka dan peduli dengan isu dan revolusi kebangkitan di negara Arab. Jom jadi Peduli Islam! :cool:

Posted on January 30th, 2011 by Sarah  |  42 Comments »

Kenangan Dan Angan-Angan

Assalamualaikum wbt

Pernah tak terasa hendak menjadi yang paling pandai, disayangi cikgu-cikgu dan disenangi oleh kawan-kawan yang lain semasa di zaman persekolahan? Owh. Dulu saya pernah mendapat posisi yang diimpikan itu. Tapi hanya pada tiga tahun pertama di sekolah rendah.

Sehinggalah ketika menginjak ke tahun empat, status itu sedikit tergugat. Seorang pelajar baru mendaftar masuk ke sekolah saya. Hanya ada sebuah kelas tahun empat. Di saat itulah segalanya bermula. Saya selalu rasa cemburu kerana pelajar itu selalu mendapat pujian cikgu-cikgu kerana prestasinya dalam Bahasa Inggeris yang jauh mengatasi yang lain. Maklum sajalah. Dia baru pulang dari luar negara. Bahasa Inggerisnya masih pekat di lidah. Dia juga menjadi saingan saya untuk subjek-subjek teras yang lainnya.

Sedangkan saya? Saya hanyalah budak kampung yang berbahasa Inggeris di rumah dengan emak ayah saja. Tidak pernah tinggal di Kuala Lumpur apatah lagi di luar negara. Maka bermulalah episod cemburu melihat kelebihannya. Sejak itu juga, bermulalah episod saya mengkaji diri kawan saya itu dan berusaha untuk menjadi sehebatnya. Hanya kerana Bahasa Inggeris.

Iya. Hanya kerana Bahasa Inggeris. Kuat betul cemburu saya dulu-dulu ya. :razz:

Dalam pada cemburu akan kelebihannya itu, dalam hati saya selalu terdetik, tak rugi kalau dapat berkawan baik dengannya walaupun luarannya dia seperti dingin dan kurang menyenangi sekolah itu. Atau mungkin juga bandar Temerloh yang kecil itu. Tapi mesti ada sebabnya. Saya yakin itu.

Dalam kedinginan yang ditunjukkannya itu, ada dua perkara yang saya suka padanya. Dia adalah si sepet yang berkaca mata dan jari-jemarinya runcing. Owh. Entah apa-apa signifikannya dua perkara itu. Yang pasti, dua perkara itu menjadi sebab kenapa dirinya diingati sehingga ke hari ini. Tapi yang utama, dialah pemangkin saya berusaha untuk menjadi lebih baik, lebih baik dan lebih baik daripada sebelumnya.

Kawan, kalau kamu tak muncul di sekolah itu dulu dan menjadi pesaing saya, mungkin kini Bahasa Inggeris saya masih berhabuk, UPSR saya tak cemerlang, saya tidak menjadi English debater sewaktu menengah rendah dulu dan mungkin 10 doa dalam wishlist yang saya kemas kinikan setiap tahun sejak 13 tahun yang lalu sudah berubah. Semua yang terjadi pasti ada sebabnya. Terima kasih kerana menjadi pemangkin itu.

Saya pernah berangan-angan. Kalaulah saya bertemu dengannya semula, saya berharap, dia masih mengingati saya, mengenali saya, masih sepet, bercermin mata dan jari jemarinya masih runcing seperti dulu juga. Hehe 😉

Hai kamu. Di mana kamu berada ya?

Nota: Retorik~

Posted on January 25th, 2011 by Sarah  |  30 Comments »