Kari Portugis Emak
Apabila melihat keadaan rakan-rakan serumah yang demam, saya teringat ketika beberapa hari sebelum pulang ke Moscow semula di penghujung Ogos lepas. Saya demam panas ketika itu. Pada hari hendak bertolak balik, emak saya bercuti sehari. Ketika itu hari Rabu. Emak membawa saya ke Pekan Sari Rabu di Durian Tawar. Punyalah semangat emak hari itu, bersungguh-sungguh emak menyuruh saya membeli apa saja yang saya teringin hendak makan.
Yang saya ingat, saya membeli Nasi Lemak daun pisang, Kuih Tepung Gomok, Tepung Pelita, Dodol Kukus dan Kuih Cara Manis. Semua ini antara kuih tradisional yang saya suka. Emak membeli ayam. Kata emak, emak hendak masak Kari Portugis. Emak tahu, saya memang sangat suka lauk istimewa emak ini.
Sebaik tiba dari Pekan Sari Rabu itu, saya terus melepek di depan TV saja. Demam saya makin teruk. Apa yang saya beli di pasar tadi hanya sedikit yang saya jamah. Separuh bungkus Nasi Lemak dan Dodol Kukus. Tepung Gomok hanya saya cubit sikit-sikit, Kuih Cara hanya satu yang saya makan dan Tepung Pelita yang paling saya suka pula tak sedap langsung yang saya beli pagi itu. Tapi sekitar 11.30 pagi, emak sudah siap memasak lauk. Saya pun apa lagi. Terus menjamah nasi. Dalam pada demam itu, bertambah saya makan lauk Kari Portugis yang emak masak.
Selesai makan, saya tertidur. Selepas Zohor baru bangun dan bersiap-siap untuk kali terakhir. Ayah sampai di rumah sekitar pukul 3. Selepas siap memasukkan beg ke dalam kereta, kami pun bertolak menuju ke KLIA. Dalam perjalanan, kami singgah mengambil Kaklong di rumah sewanya. Sampai di KL, jalan sangat sesak. Hujan pula tengah lebat. Sepanjang perjalanan, saya tidur saja. Pada mulanya, saya berhajat untuk berborak panjang dengan Kaklong. Sangat jarang kami dapat meluangkan masa bersama di sepanjang cuti lepas tapi lain pula jadinya. Emak ada membawa bekal nasi berlaukkan Kari Portugis yang dimasaknya. Emak tak mahu saya kempunan agaknya.
Selepas mengambil Adnan di Seri Kembangan, kami terus ke KLIA. Kami sudah terlewat waktu itu. Ayah memecut laju. Kami di belakang pula buka bekal yang emak bawa dan kami adik beradik makan bersama-sama di dalam kereta. Tak perlu berhenti makan di mana-mana dah kerana memang kami kesuntukan waktu. Kami suap menyuap antara satu sama lain. Sambil itu, puji-puji emak kerana resepi emak ini memang tiada tandingannya. Yang lagi lucu, kami siap bawa bekal kicap kerana kami adik beradik wajib makan kari dengan kicap. Huhu.
Selesai makan, saya menelan ubat. Ini ubat demam Adnan sebenarnya. Seminggu sebelum itu dia pulang ke rumah dalam keadaan demam teruk. Saya pun kebas saja ubatnya. Tak payah ke klinik. Sebaik saya selamat boarding dan menelefon ayah menyatakan saya sudah selamat di atas kapal terbang, saya mematikan telefon dan terus tidur. Demam saya kali itu berlanjutan sehingga seminggu selepas sampai di sini.
Hari ini saya isytiharkan sebagai hari melepek di atas katil saja. Sebenarnya saya demam sejak malam tadi. Disebabkan saya ni selalu sangat sakitnya, bekalan ubat memang sudah ada. Saya tak sukalah batuk. Sakitnya rasa tekak. Rasa nak cabut sekejap tekak ni. Dah sihat nanti pasang semula. Hehe.
Yang pasti, setiap kali demam, saya teringin makan Kari Portugis. Wahai perut dan tekak, sila bersabar menunggu esok ya. Walaupun tak dapat yang emak masak, esok saya akan cuba penuhi hajat awak ya.