Archive for the ‘Love’ Category

My Little Caliph

Assalamualaikum wbt

Ehem ehem. Alhamdulillah. Saya kini bergelar ibu hamil 22 minggu. Sudah melepasi separuh perjalanan untuk kembara my little caliph. Alhamdulillah yang boleh saya ucapkan.

Sewaktu disahkan mengandung, waktu itu jugalah saya masih dalam tempoh sakit-sakit tengkuk akibat patah tulang tengkuk ketika kemalangan. Tidak lama selepas itu, saya mengalami komplikasi threatened abortion pula (Ugutan keguguran? Hahaha. Serius, serius. Amaran tanda-tanda hampir keguguran) disebabkan terlalu sibuk dan aktif ketika oncall. Saya mengalami pendarahan yang agak lama. Dalam hati, hampir-hampir saya berputus asa bahawa saya dan suami mungkin akan kehilangan anak ini. Waktu itu, hampir semua rakan sekerja mengatakan bahawa saya sudah keguguran. Remuk redam rasanya ketika itu.

Tapi, saya nekad dalam hati. Selagi tiada sakit yang teruk dan saya tidak nampak apa-apa ketulan yang keluar, saya yakin my little caliph masih ada lagi. Saya meneruskan ubat hormon (Duphaston) yang saya ambil selama dua minggu dan selepas di scan semula, Alhamdulillah, my little caliph masih berdenyut jantungnya! :lol:

Bermula pada usia kandungan mencecah 7 minggu, sebaik saya dan suami dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang menziarahi saudara-mara di sana, maka bermulalah episod kisah lembik seorang ibu mengandung. Tragisnya. Saya mengalami hyperemesis gravidarum (mabuk akibat perubahan hormon ketika mengandung) yang maha dahsyat. Saya mengalami muntah-muntah yang terlalu teruk sehingga mencecah lebih 20 kali sehari.

Saya bukan setakat muntah biasa yang keluar habis semua makanan dan air yang masuk ke perut. Lebih teruk daripada itu, saya turut muntah darah akibat mengalami muntah-muntah secara berterusan (Mallory-Weiss Tear). Keadaan saya memang sangat lembik. Tapi disebabkan sekarang saya sudah pun berkerja secara sistem syif di hospital, saya tidak dapat mengambil cuti. Saya hanya pernah MC selama 3 hari saja. Lagi wow (ini ayat suami saya ya), saya juga tidak pernah dimasukkan ke wad. Saya hanya setakat menerima drip (masuk air) di kecemasan sekali dan selebihnya hanya memasang branula di tangan sendiri dan masuk drip di dewan bedah (OT) selepas tamat kerja.

Selama hampir 3 bulan saya begitu. Sudahlah berjauhan dengan suami, kena bekerja tanpa cuti, badan lembik tak terkata, jadi, emak dan ayahlah yang menjaga saya. Di awal episod kelembikan bermula, setiap kali hujung minggu tiba dan sebelum suami saya pulang semula ke Putrajaya, saya akan menangis sebab sedih ditinggalkan. Di awal pagi setiap hari Isnin, akan kelihatanlah drama saya di luar rumah. Huhu. Saya jadi seorang yang cengeng. Asyik nak nangis saja. Sampaikan suami pun berat hati hendak meninggalkan saya di Temerloh. :cry:

Di awal kehamilan itu, disebabkan tidak boleh makan dan minum langsung, kadang-kadang apabila sudah tersangat lapar, saya akan meminta suami saya membelikan air oren Mirinda dan maggi dalam cawan perisa tomyam. Tak nak yang dalam bungkus. Nak yang dalam cawan saja. Tank nak perisa lain. Nak tomyam saja. Kalau stok air oren Mirinda habis, saya sanggup untuk tidak minum apa-apa yang lain sehinggalah stok air seterusnya tiba. Jika suami saya tiada, adik saya Adi yang belajar di Shah Alam kebetulan sedang bercuti ketika itu. Jadi, dialah yang menolong saya memberlikan stok air oren Mirinda, menghantar dan menjemput saya di hospital, membelikan apa-apa saja keperluan saya termasuklah mengeluarkan duit gaji, bayarkan kereta dan segala bil saya.

Jika di rumah pula, bagi hari-hari yang saya bekerja malam, emak akan menyapukan minyak di badan saya dan mengurut-ngurut tengkuk saya. Ayah pula, setiap kali dia melihat saya sudah muntah-muntah dengan teruknya selepas balik kerja terutamanya di tengah malam, dia akan bertanyakan apa yang saya teringin makan. Semestinya hanya satu permintaan saya pada ayah. Maggi ayah. Huhu. Ayah memang pandai masak maggi dengan caranya sendiri. Tak guna perencah segala bagai tu. Maggi ayah penuh dengan sayuran dan kuahnya pekat. Tapi sebaik sudah makan 3 ke 4 sudu, saya pasti akan muntah juga. Tapi setidak-tidaknya, saya rasa puas sebab dapat makan sesuatu yang tekak saya mahu. Paling mengada, saya pernah meminta maggi sup. Huhu. Apa punya resepi entah. Tapi ayah buatkan juga. Iya. Ayah memang turutkan saja apa yang saya minta itu. :lol:

Jika saya rasa sedikit segar dan terasa hendak makan nasi, satu-satunya yang boleh diterima oleh tekak saya ialah nasi goreng ikan bilis dan udang kering yang emak masak. Iya. Saya boleh makan semangkuk kalau mahu. Tapi lepas itu akan muntah semulalah. Tapi setidak-tidaknya, saya rasa puas sebab dapat makan nasi. Ada pada suatu hujung minggu itu, emak dan ayah pulang ke Penang dengan adik-adik. Tinggallah suami saya saja. Disebabkan sehari sebelum itu saya muntah darah yang terlalu teruk sehingga selepas itu langsung tidak boleh menelan hatta air masak sekali pun, dia telah memasakkan saya nasi goreng ikan bilis. Bertungkus lumus dia di dapur untuk menyediakan hidangan itu. Sebaik selesai, haaa, sampai 3 pinggan saya makan! Tapi pada sebelah malamnya, saya muntah kembali semua yang saya makan tadi dan tersadai kelembikan semula.

Yang lebih dahsyat, dalam tempoh ini juga, saya tidak boleh tidur di dalam bilik saya. Jadi, di mana saya tidur? Hehe. Saya bentangkan tilam dan merempat di depan TV di dapur rumah saya. Kawasan dapur tu luas. Bukanlah di sebelah dapur tempat tungtang-tungtang memasak tu. Kadang-kadang, apabila balik kerja, saya hanya menyuruh adik saya yang membawa masuk labcoat, tudung dan barang-barang lain ke dalam bilik. Saya pula akan terus terbaring di tilam saya. Jika suami saya balik, dengan dia-dia sekali turut kena tidur di luar. Dia pun pasrah saja mengikut saja kehendak saya. Tapi nak buat macam mana. Kalau saya masuk ke bilik, tak sampai 30 saat, saya sudah berlari ke bilik air. Memang saya tidak boleh berada dalam ruangan yang tertutup. :lol:

Begitu juga ketika di hospital. Jika berada di dalam OT, ruangan bilik untuk satu pembedahan dilakukan itu tidaklah besar mana. Jadi, hampir setiap setengah jam saya akan ke tandas untuk muntah. Allah saja yang tahu betapa sengsaranya ketika itu. Dan apabila menimbang berat, secara total berat saya turun sebanyak 6 kg! Muka saya juga mengalami perubahan teruk. Saya mengalami alahan sehingga habis merah-merah muka saya terutama di bahagian hidung dan pipi. Kalau baru lepas muntah, sampai ada keluar bintik-bintik pecah darah di muka. Semua orang pun tanya. Saya sampai dah tak larat nak jawab kenapa. Hehe.

Tetapi, pada malam Anis Tasnim dilahirkan, itulah detik transformasi untuk diri saya. Alhamdulillah. Sejak dari itu, saya sudah boleh makan, minum dan agak bertenaga untuk bekerja. Dan sebaik masuk ke bulan Ramadhan, Alhamdulillah, saya sangat berselera ketika bersahur dan berbuka. Boleh kata, sayalah orang terakhir yang akan meninggalkan meja makan setiap kali berbuka. Haha. Dan sejak sudah boleh makan dan minum ini, saya hanya boleh minum air susu saja.

Setiap minggu saya akan memastikan saya ada makan hati, kerang atau daging untuk menambah darah. Dan setiap kali bersahur, saya akan makan sayur dengan banyaknya. Entahlah. Bukannya saya paksa-paksa. Tapi memang jadi tersangat suka akan susu rendah lemak Dutch Lady, makan sayur dan hati atau kerang. Walaupun saya tidak makan ubat tambah darah langsung (saya muntah jika menelan Obimin), Alhamdulillah, hemoglobin saya tetap kekal tinggi disebabkan nutrisi saya seimbang. Terima kasih kepada emak yang rajin memasakkan sayur-sayur segar untuk saya dan terima kasih kepada suami dan ayah yang rajin membelikan stok susu saya. Jangan tak percaya ya. Sehari habis 1 liter susu saya minum tau. Dan ketika balik berpuasa di Putrajaya pula, umi memasakkan sayur-sayur untuk saya dan baba pula membelikan stok Vitagen untuk saya. Memang bertuah betul saya rasakan.

Tentang mengidam, setakat ini saya belum pernah mengidam apa-apa. Setakat teringin makan itu-ini ketika bulan puasa ni adalah. Tapi ada satu insiden, ketika itu saya di hospital. Saya seperti teringin makan biskut coklat. Balik dari kerja itu, saya singgah membeli susu di kedai. Di tepi kaunter itu saya lihat dia ada menjual biskut raya coklat yang rangup-rangup tu. Sampai ke rumah, saya teringat-ingat akan biskut itu. Bila suami saya balik, saya ada katakan padanya saya teringin nak makan biskut coklat yang rangup-rangup. Tapi pada hari itu kami tidak pergi beli pun sebab ada hal lain yang kami uruskan. Pada hari Isnin selepas suami saya pulang semula ke Putrajaya, pulang dari kerja, saya beli terus 2 bungkus biskut coklat sebab teringin nak makan punya pasal. Ikutkan hati saya nak Famous Amous. Tapi mana nak jumpa di Temerloh ni. Jadi tak bolehlah berkira sangat. Beli sajalah yang lebih kurang. Tapi bila berbuka, hanya 2 keping yang saya jamah. Aduhai. Tekak oh tekak! :mrgreen:

Kini, walaupun kandungan saya sudah mencecah 22 minggu lebih, perut saya masih sangat kecil. Sampaikan ada yang tidak sangka bahawa saya sebenarnya mengandung. Saya masih boleh memakai baju kurung saiz XS saya. Saya boleh memakai seluar jeans dengan jayanya, semua t-shirt saya masih longgar dan ditambah pula dengan tudung labuh yang saya pakai, lagilah orang tidak nampak akan perut saya ni. Hihi. Terasa diri agak comel pula. :lol:

Baiklah. Di kesempatan ini, saya dan suami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin buat semua rakan pembaca di sini. Semoga kemenangan sebulan berpuasa di bulan Ramadhan kali ini diraikan dengan penuh makna oleh semua. Elakkan pembaziran. Jaga aurat walaupun hendak bergaya di hari raya nanti ya. Dan jaga muamalah sesama saudara-mara dan tetamu yang berkunjung nanti. Jangan pakai hentam salam saja semuanya. Rugi saja kita menerima latihan sebulan di bulan Ramadhan tapi tidak betul-betul diamati.

Salam sayang buat semua. Nanti kita sambung cerita-cerita raya pula ya. Oh ya. Dan cerita-cerita patient saya yang tertangguh banyak sangat! Tak sabar nak berkongsi cerita lagi.

Nota 1: Saya puasa penuh tahun ni!Hihi. Ni adalah salah satu daripada azam tahun baru saya sebenarnya. Hihihi.  :mrgreen:

Nota 2: Tahun ni saya akan beraya di Temerloh dahulu dan kemudian pulang ke kampung suami di Batu Pahat. Tak sabar nak makan sambal goreng! :grin:

Nota 3: Sangat tak sabar nak habiskan housemanship saya. Insya Allah, 9 September ini adalah hari terakhir saya bekerja dan selepas itu akan bercuti sebelum memulakan perjalanan hidup sebagai Medical Officer (MO). ;-)

Posted on August 28th, 2011 by Sarah  |  41 Comments »

13 Tahun Mencari Cinta

Assalamualaikum wbt

Sebulan menyepi baru kini saya berpeluang menulis kembali. Sebenarnya entri ini sudah sebulan juga saya siapkan. Tapi sungguh. Saya terlalu sibuk dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan saya untuk kerap menjenguk blog. Saya setakat membaca komen dan mesej yang ditinggalkan oleh kawan-kawan melalui email saja. Selebihnya, sama ada saya oncall di hospital atau saya terlepek kepenatan tak berdaya di rumah. Dan diam tak diam juga, telah genap dua bulan kami berkahwin. Alhamdulillah. Tiada yang tidak indah melainkan yang indah-indah belaka, insya Allah. Setiap hari pun rindu. Bila dapat berjumpa di hujung minggu, Ya Allah, hanya Allah yang tahu betapa baru terasa diri ini sempurna kembali. 😉

Saya yakin ramai yang terkejut kerana tiba-tiba saja saya mengumumkan bahawa saya akan berkahwin. Hehe. Saya sendiri pun macam tak percaya bahawa saya akan berkahwin pada tahun ini. Dan bila sudah selesai akad nikah, rasa macam tak percaya saya sudah pun berkahwin. Dan yang paling kerap ditanya: Kenapa tiba-tiba nak kahwin dan macam mana bertemu dengan suami? Ish ish ish. Terlalu ramai yang bersemangat inkuiri yang tinggi ni. Seperti yang saya janjikan sebelum berkahwin dulu, saya hanya akan menceritakan semuanya selepas sah kami bergelar suami isteri. 🙂

Cerita Versi Sarah

Saya dan suami merupakan teman sekelas dari darjah 4 hingga 6. Iya. Kami kenal sejak sekolah rendah lagi. Dia pelajar yang baru berpindah masuk ke sekolah itu pada tahun 1995. Kami tidak rapat pada mulanya. Sehinggalah tahun 6, barulah kami bertegur sapa. Itupun kerana kami berdua diletakkan oleh ustazah di bilik guru untuk program gempur UPSR. Kawan-kawan yang lain semuanya belajar di dalam dewan. Seingat saya, sejak itu baru kami ada bertegur sapa dan tolong menolong dalam menyiapkan latih tubi UPSR. Masih ingat akan entri Kenangan Dan Angan-angan juga kisah saya terpisah dengan kawan lama saya? Ehem. Itu semua adalah kisah saya dan dia. 😉

Kali terakhir bertemu dengannya ialah pada hari keputusan UPSR diumumkan di penghujung bulan Disember 1997. Hanya kami berdua yang mendapat 5A di sekolah. Tapi, kami langsung tak sempat bertegur sapa selepas mengambil keputusan masing-masing. Memang sekadar di situ. Kemudian dia ke hilir dan saya ke hulu. Saya menyambung tingkatan 1 di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh dan saya sekadar mendengar berita bahawa dia kembali bersekolah di Kuala Lumpur. Sejak itu, kami langsung tidak bertemu lagi.

Saban tahun, saya memang tidak pernah melupakan dia sebagai kawan saya. Pelik juga. Saya ingat terlalu banyak fakta tentang dirinya. Saya ingat tarikh lahirnya, alamat rumahnya, nombor plat kereta ibunya, warna dan jenis kereta ayahnya, nama adik-adiknya juga habitnya ketika tekun menjawab soalan di dalam kelas. Huhu. Kelakar juga bila diingat. :grin:

I have no reason why I remember every single fact about him. 😉

Yang saya ingat, ketika bersekolah di Al-Khairiah, setiap kali saya ada mengenali kawan-kawan baru yang kebetulan mempunyai latar belakang pernah bersekolah di Al-Amin Gombak, saya akan jadi tersentak. Dalam hati mesti berkata: Thaariq kemungkinan bersekolah di sini lagi agaknya. Dan bila sudah agak serasi dengan kawan itu, saya akan bertanya kepada mereka berkemungkinan tak mereka mengenali pelajar bernama Ahmad Thaariq. Huhu. Sadis betul mengenang kembali kisah menjejak dirinya suatu ketika dahulu. Sayangnya, memang tetap tidak berjaya untuk mendapatkan berita terkini tentang dirinya.

Sebaik selepas tamat SPM, saya ditawarkan ke Rusia oleh JPA. Selepas seminggu orientasi, saya mula masuk ke kelas untuk mengikuti kelas Bahasa Rusia. Ketika sesi suaikenal, salah seorang pelajar dalam kelas itu ada menyebut dia dulu bersekolah di Al-Amin Gombak sebelum berpindah ke MRSM Pengkalan Chepa. Dalam hati saya terdetik: Oh, ni sebaya ni. Ada chance dia kenal Thaariq ni. Hehe. Dan apabila bertanya kepada kawan itu, menurutnya, Thaariq telah berpindah sekolah ke Johor selepas tingkatan 2 dan mereka juga sudah tidak berhubung sejak itu. Hati kembali kecewa. Sejujurnya, perasaan saya pada ketika itu ialah kecewa kerana seorang kawan yang baik dengan saya suatu ketika dulu terputus hubungan dengan saya dengan begitu saja. Langsung tidak dapat dikesan di mana dia berada sejak habis UPSR. Saya sungguh terkilan akan hal itu. :sad:

Ketika zaman Friendster sedang memuncak pada tahun 2004, saya cuba mencarinya. Tidak jumpa. Pernah meng-google namanya pada tahun 2005 dan 2006. Tidak juga jumpa. Memang tiada rezeki saya agaknya. Pada masa yang sama saya pernah terfikir, agaknya ingatkah dia pada saya, kawan baik yang sama-sama belajar semeja-guru dengannya dulu? :roll:

Sehinggalah ketika saya sedang dalam hiatus sebelum final exam menjelma ketika di tahun akhir di Moscow dulu. 4 Jun 2009. Itulah tarikhnya. Saya melihat capaian masuk ke blog saya pada waktu itu. Saya lihat, ada seseorang yang menjumpai blog saya dengan menggunakan kata carian ‘Siti Sarah Al-Mukmin’. Langsung, ia membuatkan saya terfikir. Ini semestinya kawan-kawan Al-Mukmin yang meng-google nama saya dan membawanya ke blog saya. Dalam kepala saya ligat memikirkan nama-nama yang berkemungkinan mencari saya semula. Yang pertama saya fikirkan ialah dia, Ahmad Thaariq Bin Mohd Khairudin. 😉

Walaupun ketika itu saya sedang studi untuk final exam yang tinggal beberapa hari saja lagi, saya sempat menekunkan diri saya meng-google namanya pula. PAP! Banyak senarai yang keluar. Aik. Pelik bin ajaib. Dulu bila saya google, tiada satu pun informasi yang ada mengenai dirinya. Tapi pada tahun 2009 itu, berlambak-lambak capaian berkaitan dengan dirinya. Antaranya ialah blog WordPress dan Fotopagesnya. Saya amati Fotopages itu. Pemiliknya seakan-akan Cina. Tapi inikah dia? Agak lain rupanya di dalam gambar di situ. Saya meneliti 1, 2 entri di blognya. Kisah seorang pelajar Master di UTM Skudai. Kursus apa, umur berapa, semuanya tidak saya tahu. Saya was-was itukah dia. Tapi apabila saya lihat ada capaian ke blog adiknya Rafiq yang kini sedang menuntut di Jerman, saya hampir 100% yakin itu adalah dia. 🙂 Saya cuba mencari emailnya untuk cuba menghubunginya secara personal. Tiada. Jadi saya meninggalkan komen di blognya saja:

Salam Thaariq.

I was googling around to look for an old friend of mine named exactly like you. I have this instinct that you are him but I doubt I was wrong. Is there any possibility that you attended primary school in Temerloh, Pahang? SRA Al-Mukmin to be exact (UPSR’97). Looking forward to hear some good news from you soon.

p/s: I’ve tried looking for your email to contact you personally but I couldn’t find any. Sorry to disturb you in this comment box.

Sehari suntuk saya menunggu komen itu direspon. Kecewa saja. Huhu. Tapi keesokannya (5 Jun) adiknya membalas komen saya dengan jawapan yang positif dan tidak lama selepas itu, tuan blog itu pula menjawab segala persoalan saya dengan menghantar email peribadi kepada saya. Sah! itu adalah dia, Ahmad Thaariq, kawan yang telah 12 tahun terputus hubungan dengan saya. Sempatlah kami berbalas 2, 3 email. Kemudian saya menyepi semula kerana perlu studi. Keesokannya, saya pergi menjawab final exam dengan lapang dada dan gembira. Dan saya lulus dengan jayanya. Dan saya ada mengabadikan kenangan menemuinya semula di dalam sebuah entri sebaik final exam selesai. 🙂

Yang saya tahu tentang dia, dia sedang menyambung Ijazah Sarjananya dalam bidang Remote Sensing di UTM Skudai, meminati bidang fotografi dan seorang computer geek! Tiga perkara ini betul-betul membuatkan saya tersenyum seorang pada waktu itu. Masih ingat akan omongan kosong saya suatu ketika dulu? Hehe. 😉

Apabila sudah kembali ke Malaysia, kami hanya kadang-kadang bertegur sapa di Facebook saja. Saya sangat sibuk pada waktu itu. Jadi saya tak berapa layan sangat Facebook segala bagai ni. Huhu. Lagi pula, dia pun bukanlah satu kepentingan pun dalam hidup saya. Sehinggalah seminggu sebelum hari lahir saya pada tahun 2010, ada seseorang datang meminang. Haha. Ini agak lucu. Masih ingat entri ini? Ustaz itu betul-betul buat saya berada dalam dilema. Saya tak mahu tapi apa alasan terbaik saya ya? Hehe. Istikharah punya istikharah, sehinggalah malam hari lahir saya itu, saya mendapat mesej daripada Thaariq. Dia mengucapkan selamat dan memberikan sekeping gambar hadiah buat saya. Gambar pemandangan bintang-bintang yang diambilnya ketika di Dubai. Dia buat saya terfikir. Thaariq itu maksudnya ‘Yang Datang Di Malam Hari’ dan antara lain maksudnya ialah ‘Bintang’. Saya tenung gambar bintang-bintang itu lama-lama. Tiba-tiba hati terdetik. “Kenapa dia satu-satunya yang muncul mengucapkan selamat hari lahir di tengah malam sunyi ini? Apa kaitannya dengan istikharah saya?”


Tapi segalanya masih tidak jelas. Memang tiada apa-apa perubahan dalam hidup saya mahupun dia. Sehinggalah sekitar bulan Februari 2010, ada majlis di sekolah rendah saya dulu. Sebagai bekas pelajar, saya diberikan amanat oleh mudir saya untuk mengumpulkan bekas-bekas pelajar yang telah tamat belajar untuk datang ke sekolah berprogram bersama-sama murid-murid di sana. Saya mengumpulkan beberapa nama dan menghubungi mereka secara peribadi. Saya turut menghubungi Thaariq untuk mendapatkan kata putus kehadirannya. Tapi sebaik berada di talian dengannya, saya jadi serba tak kena. Berderau darah nak bercakap dengannya. Sudahnya, saya bercakap seperti butir peluru yang laju. Haha~

Lebih kurang sebulan selepas itu, saya post-call pada petang itu, tiba-tiba saya menerima panggilan telefon daripadanya. Cuak saya untuk menjawab panggilan. Serba tak kena rasa. Puas berfikir kenapalah dia tiba-tiba menelefon ni. Rupa-rupanya dia meneleon untuk mendapatkan nasihat berkaitan kawan serumahnya yang patah tulang bahu. Kebetulan saya pada waktu itu berada dalam posting Orthopedic. Itu sebabnya dia menelefon saya. Hahaha. Gelabah tak memasal, kan. :mrgreen: Tapi sejurus selepas itu saya lihat dia meng-update status baru di Facebooknya: I just called to say hello =)

And it really means something to me. 😉

Sejak itu, saya lihat dia mula meletakkan status-status berbahasa Rusia di Facebooknya. Pelik juga. Mana dia tahu ayat-ayat ni semua. Ayat-ayat yang dipilihnya manis-manis belaka. Huhu. Kiranya, kalau kamu tidak faham bahasa itu, payahlah untuk kamu tangkap maksudnya. Dalam hati saya terfikir: Aik aik, dia tujukan kepada siapa ni? Cool down, Sarah. Dia main-main je ni. Haha. Waktu itu saya geram juga dengan dia ni. Saja nak memerangkap saya dalam kekeliruan. Sebab setakat yang saya tahu, mana ada siapa dalam rangkaian Facebooknya yang memahami Bahasa Rusia melainkan saya. Aishh. Memang nak kena cepuk dia ni, kan. Hehe. :mrgreen:

Saya pula ketika itu kalau meng-update status di Facebook, saya lebih gemar meletakkan sebaris lirik lagu atau nasyid yang terkesan di hati saya. Tapi pendek kata, semuanya lagu atau nasyid lama yang tidak berapa orang ingat dah. Tapi dengan senangnya dia cam dan merespon di status itu dengan menyambung lirik tersebut. Ajaib juga. Mana dia tahu ni? Dia google ke apa? Huhu. Pada masa yang sama, saya lihat dia acap kali meletakkan status yang berbaur tertekan dan sudah malas dengan program Master-nya. Sedih juga bila melihat seorang kawan yang seperti mengeluh hampir setiap hari tentang hal yang sama. Waktu itu saya tidak berani lagi untuk respon di status-statusnya. Saya kerap ‘diserang’ oleh kawan-kawan rapatnya. Hehe. Jadi saya menghantar SMS kepadanya supaya bertahan dan bersabar sikit lagi untuk menyudahkan apa yang sudah dia mulakan. Tahu sajalah saya ni macam mana, kan. Pantang orang berundur separuh jalan. Saya katakan padanya, pastinya sudah ramai yang menasihatinya dengan perkara yang sama tapi jawabnya: Nop, only you. Ohoo~ Sampai ke hari ini saya masih menyimpan mesej tersebut. :lol:

Kemudian, kami berhubung seketika di YM untuk mengelakkan cakap-cakap pelik daripada kawan-kawan di sekeliling kami. Kami hanya bercakap tentang perkembangan diri masing-masing selepas terpisah dulu, bidang fotografi (dia Canon, saya Nikon) dan juga tarbiah yang kami ikuti. Syukurnya saya. Telahan saya mengenainya memang tidak salah. Saya dapat ‘membaca’ siapa dan bagaimana orangnya pada waktu itu. 😉

Tapi disebabkan saya ini memang tidak suka ber-YM, maka tidaklah lama dan sekerap mana kami online bersama. Saya sibuk. Sekalipun kami online bersama, tiba-tiba saja saya sudah tertidur di tepi laptop saya. Esoknya cuba untuk menebus kembali kesalahan, tetapi tertidur juga sekali lagi. Bukankah kasihan dirinya ditinggalkan begitu saja? Huhu. Memandangkan di penghujung Mei tahun lepas kakak saya bakal mendirikan rumah tangga, sebagai salah seorang junior kepada Kaklong, Thaariq turut dijemput hadir. 30 Mei 2010. Itulah tarikhnya. Dia menghadiri walimah Kaklong.

And I have no reason to say no to what I have seen. 😉

Saya kekok pada mulanya. Nasib baik ketika saya dipanggil oleh sahabat baik saya, Mahfuuzah, bahawa dia telah sampai, dia sedang berada bersama-sama kelompok kawan-kawan Al-Mukmin yang lain. Saya menghampiri mereka dan di situlah saat kami bertemu semula selepas 13 tahun terpisah tanpa khabar berita. Tangan terasa seram sejuk. Aik aik. Kenapakah? Dia pula berpeluh-peluh. Ok, bawah khemah tu memang panas pun. Huhu. Selepas kami semua ex-Al-Mukmin bergambar beramai-ramai bersama pengantin, kebanyakan daripada mereka beransur pulang. Kebetulan waktu itu tetamu sudah pun berkurangan. Sudah mencecah 4 petang. Saya membawa Thaariq duduk di bawah khemah berhampiran kipas.

Kami berbual-bual berkaitan diri masing-masing dan perkembangan terkini. Sangat jelas, pada waktu itu saya langsung tidak mengangkat muka kerana takut dan malu untuk menatap mukanya. Kalau boleh, rasa nak pakai purdah sorok muka sendiri. Saya tidak tahu apa yang bermain di fikirannya pada waktu itu. Saya memberitahu emak dan ayah akan kehadiran Thaariq ke majlis itu. Emak dan ayah masih cam akan dirinya. Dalam ingatan ayah, dia diingati sebagai ‘anak Khairudin’. Hehe. Melihatkan reaksi emak dan ayah, hilang sedikit kecuakan saya berada dengannya di situ. Hampir jam 4.30 petang, saya menghantarnya menuju ke keretanya yang diletakkan di bawah bukit rumah saya. Sebelum berlalu pergi, dia menyerahkan satu token kepada saya. Keychain daripada Dubai tempat gambar bintang-bintang yang dihadiahkan kepada saya dulu. 😉

Malam itu saya sangat penat. Saya terbayang-bayang kejadian di petang kenduri itu. Saya ingat setiap apa yang kami bualkan. Saya ingat riak wajahnya yang tenang. Saya ingat saat-saat saya menemaninya turun bukit untuk menghantarnya ke kereta. Tiba-tiba, telefon saya berbunyi. Saya melihat tiga orang sepupu lagi yang bermalam di bilik saya. Semua sudah tidur. Barulah saya menjawab panggilan tersebut. Iya. Thaariq yang menelefon. Ucapnya satu.

“Saya nak kita bukan sekadar kawan. Tapi dengan syarat…”

Syaratnya membuatkan saya terdiam seketika. Saya pohonkan masa untuk berfikir. Semuanya bagaikan renjatan elektrik. Terkejut saya dibuatnya. Semuanya sekelip mata. Saya terlalu penat ketika itu. Tidak boleh berfikir dengan rasional. Jadi saya tinggalkannya dengan soalan yang tidak berjawab. Keesokannya saya sibuk di majlis bertandang di rumah Abang Hashim. Keesokannya pula saya sudah mula oncall dan kembali sibuk di hospital. Dalam pada sibuk-sibuk itulah, saya bawa berbincang dengan sepupu terapat saya, Nisa. Kebetulan kami bekerja di wad yang sama pada waktu itu. Syaratnya itu munasabah. Dan jika ikhlas niat, semuanya adalah tidak mustahil. Apa syaratnya? Ehem. Biarlah kami saja yang tahu. 😉

Untuk seketika, kami sering juga berbalas mesej. Sehinggalah pertengahan bulan Julai itu, saya rasa serba tidak kena. Saya rasa ini bukan diri saya. Tambahan pula, dia masih lagi terikat dengan program Master-nya dan saya terikat dengan housemanship saya. Kami pernah berbincang serba ringkas tentang hala tuju masa depan. Yang saya lihat, paling cepat satu kata putus dapat dicapai mengambil masa hampir 2 tahun lagi. Langsung saya menghantar mesej kepadanya. Pinta saya hanya satu: Jangan contact saya kalau rasa belum sampai masa untuk kawin. Kalau dah sedia, baru cari saya semula.

Saya nekad berbuat begitu. Saya tidak mahu berhubung secara sia-sia tanpa arah tuju yang betul-betul nyata. Saya tidak mahu maksiat menjadi penambah rasa. Dia bersetuju. Kami sepakat untuk tidak berhubungan. Dan dalam tempoh itu, betapa hanya Allah yang tahu kuatnya mujahadah yang perlu dilalui. Baik saya mahupun dia. Remuk redam jugalah rasa hati ni. Tapi bertahan. Bertahan. Bertahan. Hehe. Dia juga bergitu. Status-status separa pilu kelihatan di Facebook tapi tiada siapa yang tahu apa yang terjadi sebenarnya. Saya pula lebih banyak berkias dalam entri-entri saya di sepanjang bulan Julai dan Ogos tahun lalu. Dan dalam tempoh itu jugalah ada 3 lamaran datang dalam hidup. Aduhai. Penambah perisa betullah. Tapi saya sudah nekad. Saya hanya menunggu dia. Dulu 13 tahun saya boleh menunggu, takkanlah sekadar 2 tahun lagi saya sudah tidak sanggup, kan. 😉

Siapa sangka, sebenarnya apa yang saya nekadkan itu menjadi batu loncatan untuk segalanya. Saya masih ingat, hari itu hari Sabtu, minggu pertama di bulan Septembar, minggu terakhir kita berpuasa. Saya oncall di wad kanak-kanak. Ayah datang sekitar jam 10 malam membawa makanan berbuka untuk saya. Iya. Saya masih belum berbuka dengan makanan berat pada waktu itu. Sekadar minum air dan mengunyah gula-gula Mentos sebiji. Ayah datang bukan sekadar membawa makanan. Tetapi juga sebuah bungkasan pos yang baru tiba pagi tadi di rumah. Di alamatkan kepada saya. Sambil makan saya terus membukanya. Dan kandungan bungkusan kecil itu buat saya berdebar-debar apatah lagi pengirimnya ialah dia.

Buku Aku Terima Nikahnya, karya Ustaz Hasrizal Jamil.

Apabila ayah sudah balik, saya menghubunginya. Saya memaklumkan bahawa saya sudah menerima bungkusan tersebut. Tiba-tiba dia terus menghubungi saya. Dalam teragak-agak, dia memaklumkan bahawa pada Hari Raya ketiga insya Allah dia dan keluarga hendak berziarah ke rumah saya. Saya terdiam di situ. Dalam hati ada dua tanda tanya: Ziarah raya atau ziarah bermakna? Tapi mulut saya tak terluah hendak bertanya. Saya memaklumkan kepada emak dan ayah.

Dipendekkan cerita, pada hari raya ketiga itu, tibalah mereka sekeluarga ke rumah saya. Tahu apa perkara pertama yang diraikan? Pertemua semula dua kawan lama; ayah saya dan juga ayahnya. Subhanallah. Bagaikan telah berjanji, tujuan utama ziarah keluarganya yang agak samar bagi pihak saya bertukar kepada perbincangan tentang pernikahan kami berdua pula. Saya yang turut berada di situ terasa panas muka secara tiba-tiba. Memang sangat terkejut. Ditambah pula dengan usulan supaya kami bertunang dalam masa dua bulan saja, menambahkan keseriauan yang saya rasa. Saya mencuri pandang wajahnya pada waktu itu. Tenang saja. Dalam hati saya berkata: Ish, dia ni. Dia tak ajak pun kawin lagi, tak tanya pun kita lagi, tup tup mak ayah masing-masing dah bincang pasal tunang-nikah. Selepas selesai kata putus dicapai, mereka sekeluarga meneruskan perjalanan pulang ke Batu Pahat. Waktu itu baru saya menghubunginya. Mesej saya berbunyi: Betul ke kita dah nak tunang ni? Tak lama lepas tu terus kawin? Awak tak pernah pun ajak saya kawin? Balasnya: Insya Allah ni yang terbaik untuk kita.

Subuh 1 Oktober 2010, dia melamar saya untuk menjadi isterinya. 😉

Pada mulanya majlis pertunangan dirancang dilaksanakan lebih awal tapi disebabkan dia terpaksa menghadiri konferens di Hanoi, majlis dibawa ke bulan November. Pada 13 November 2010, majlis pertunangan yang sederhana telah berlangsung di rumah saya. Hanya saudara mara rapat saja yang menghadirinya. Tarikh dan majlis perkahwinan turut ditetapkan pada hari itu. Tempohnya 4 bulan saja. Dan apabila sudah bertunang inilah baru kami mula berhubungan semula untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan kami. Jika perlukan perbincangan panjang, kami hanya berhubung melalui email saja. Lebih banyak yang boleh dibincangkan di situ. Dan sejak kami bertemu semula di dunia maya pada 4 Jun 2009 yang lalu sehinggalah kami bernikah pada 12 Mac 2011 yang lalu, kami hanya pernah bertemu muka sebanyak 7 kali, dan semuanya ditemani oleh keluarga atau adik beradik kami. 😉

Cerita Versi Thaariq

Selepas tamat UPSR, dia bersekolah di Al-Amin Gombak. Sejak itu, dia hanya pulang ke Temerloh bila cuti tiba saja. Dia juga mencari-cari saya. Dia tahu di mana letaknya kedai fotostat milik ayah saya dulu. Pernah dia terfikir, hendak pergi mencari saya di sana. Bila dia ke sana, saya tiada pula. Kecewa dia, katanya. Pernah juga dia berangan, ketika berjalan-jalan mencari barang di Pekan Sehari Ahad (lebih dikenali dengan nama Pekan Sari di sini), dia hendak terjumpa dengan saya. Katanya, antara ramai-ramai rakan sekelas dulu, saya yang paling terkesan dalam memorinya. Pernah saja dia terserempak dengan kawan sekelas kami yang lain, tetapi tidak saya.

Ketika zaman Friendster sedang memuncak, rupa-rupanya dia juga pernah mencari saya. Tapi tidak menjumpai apa-apa. Dia juga pernah meng-google nama saya. Tapi tidak jumpa barang satu informasi pun mengenai saya. Kemudian dia pun sudah tidak meneruskan usaha sehinggalah saat saya meninggalkan komen di blognya itu. Saya masih menyimpan email yang dikirimnya. Subhanallah. Tajuknya saja sudah menunjukkan betapa terujanya dia. Hehe. Belum lagi membaca kandungan email-email tersebut. 😉

Sejak berhubung semula di Facebook, dia suka melihat gambar-gambar saya sepanjang di Moscow dulu. Katanya, saya comel. Huhu. Macam kelakar saja bunyinya. :mrgreen: Apa yang buat dia tertarik ialah gambar saya berbaju kurung serba biru ketika menghadiri majlis di Al-Mukmin yang tidak dapat dihadirinya dulu. 😉 Dan dari situ dia mula menggunakan Bahasa Rusia di Facebooknya yang ditirunya bulat-bulat daripada daripada sebuah lawan web. Huhu. Berusaha keras sungguh dia. :lol: Jika saya membalas dengan ayat yang panjang sedikit, mulalah dia tak tahu di mana hendak mencari maksudnya. Comel betul! Yang mendekatkan kami ialah ayatnya: Mnye by khatelos uznat o tebye po bolshe. Ada yang faham maksudnya? 😉

Sewaktu hendak menghadiri walimah Kaklong, rupa-rupanya dia sudah memberitahu uminya bahawa dia hendak melihat saya. Ohoo~ Yang ini saya pun baru sangat tahu. Dan apabila sudah berjumpa sendiri dengan saya, katanya, dia sudah tiada ragu dalam hatinya. Dan apabila melihatkan perbincangan emak ayah dengan umi baba sangat lancar, dia jadi bertambah yakin. Katanya, dia takkan membiarkan 13 tahun menjadi lebih lama. 😉

Dan selepas 13 tahun mencari cinta, di sinilah kami ditemukan semula. Dalam ikatan sebagai suami isteri yang sah, Alhamdulillah.

Cerita Versi Kami

Selepas berkahwin, saya menunjukkan kepadanya sebuah diari lama. Tahun 1997. Sebenarnya bukanlah sebuah diari. Itu buku yang saya kumpul biodata kawan-kawan. Tapi bila sudah tidak digunakan, saya jadikannya untuk mencoret aktiviti harian pula di mukasurat yang masih kosong. Sebenarnya saya pun baru terjumpa semula diari lama ini. Dan saya kongsikan kandungannya dengan suami. Diari itu penuh dengan catatan harian saya bermula daripada 20 November 1997 sehinggalah penghujung Disember 1997. Kisah bagaimana saya takut kehilangan seorang kawan bernama ATMK. Kisah bagaimana saya tercari-cari di mana ATMK.

Dan sejujurnya, selepas tamat SPM, saya ada menulis sebuah buku catatan baru. Dalam buku itu saya ada menyenaraikan 10 wishlists saya untuk masa depan. Tertera dengan jelas di situ, hajat saya yang ke-10 dalam senarai ialah INGIN MENCARI ATMK SEMULA. 😉

Selepas saya bacakan padanya beberapa keratan daripada catatan-catatan yang ada, tiba-tiba muncullah satu kata-kata yang paling tak tahan untuk dibaca, yang telah saya tulis ketika berusia 12 tahun. Tabah adalah akhlak yang mulia. :lol:

Selepas membaca coretan-coretan itu, dia berkata: Ada hikmah Allah temukan kita semula selepas terpisah 13 tahun. Sebab bila kita berjumpa semula, kita sudah bersedia untuk bernikah, bukan setakat berkawan saja. Siapa sangka, Abang akan berkahwin dengan kawan baik Abang sendiri. 😉

Ya. Saya juga tidak menyangka 13 tahun saya mencari cinta saya, rupanya dia ialah kawan baik saya sendiri yang terpisah lamanya.

Terima kasih Ya Allah atas anugerah ini!

Nota 1: Jangan couple sebelum kahwin. Tak best. :grin:

Nota 2: Dapatkan restu ibu bapa. Insya Allah semuanya dipermudahkan. Dan ingat, yang paling utama ialah mengutamakan Allah dalam segala yang kita rancang. Insya Allah segalanya akan dipermudahkan. 😉

Nota 3: Pada hari saya memberitahu nama tunang saya dalam sebuah entri dulu, tiba-tiba blog suami saya dibanjiri oleh new visitors yang meng-google namanya. Haa.. Apa kamu semua dah buat ni? :mrgreen:

Posted on May 13th, 2011 by Sarah  |  167 Comments »

Rahsia Di Sebalik Kisah Abang Pujaan

Assalamualaikum wbt

Saya kira saya sudah terperangkap dengan jawapan saya sendiri pada entri lepas. Macam mana saya boleh terlupa bahawa blog saya ini juga dibaca oleh beberapa budak lelaki batch saya ketika sekolah dulu? Tak pasal-pasal terbongkar cerita lama.

Tetapi saya bukan orang yang masih dibelenggu kenangan. Saya dah berjaya lepasi semua itu walaupun mengambil masa yang sangat lama. Dengan menulis entri ini, maka sahlah bahawa saya ini sebenarnya pernah putus cinta suatu masa dulu. Hahaha.

Kisahnya, bukannya kami mempunyai hubungan menarik seperti pasangan kekasih yang biasa. Kami ini orang yang luar biasa. Segalanya boleh kata bermula kerana usikan dari guru-guru (mungkin) dan saling mengagumi kredibiliti masing-masing ketika di sekolah secara rahsia. Orang kata, mengintai dari jauh sajalah. Tak lebih dari itu. Malah tak pernah disuarakan pada sesiapa pun. Bertegur pun setakat dua kali saja sepanjang dua tahun bermukim di sekolah itu. Tambahan pula, dia adalah senior dua tahun dan merupakan seorang yang berjawatan tinggi di sekolah. Sebab itu timbulnya kisah Abang Pujaan (AP) dulu-dulu.

Segalanya terbongkar ketika saya sedang membuat kursus persediaan di Intec dulu. Di situlah baru mula mengenalinya dengan lebih. Tiadalah lebih sangat pun. Sekadar intro orang kata. Dia minta izin emak ayah untuk berkawan dengan saya. Saya pun sama. Tanya pendapat itu ini terlebih dulu daripada emak. Ok. Orangnya sangat baik. Sempurna akhhlaknya. Susah hendak digambarkan. Dia pelajar jurusan perundangan di UIAM. Sepanjang mengenalinya, saya tak pernah rasa dia ada kekurangan yang boleh mengurangkan hormat saya kepadanya.

Yang saya tahu, dia menyebabkan saya semakin matang dan teguh dengan agama. Percaya tak kami hanya berhubung sekali seminggu? Kan saya sudah katakan. Kami ini lain dari yang lain. Kami pernah bertemu sekali saja sebelum saya ke sini. Itupun ditemani bodyguards yang cukup boleh buat saya rasa malu. Huhu. Kali kedua bertemu adalah di KLIA sebaik sebelum berlepas. Ada keluarga sekali. Tak pernah jumpa berdua saja.

Dan ketika di sini, mungkin ramai yang membuat kesimpulan kenapa berakhir juga hubungan itu kerana jarak jauh yang kami tempuhi. Itu bukan alasan. Boleh saya katakan, jarak bukanlah masalah bagi kami sebaliknya lebih baik begitu. Tapi segala yang terjadi mungkin sudah ditakdirkan untuk terjadi. Maka kekallah kami begitu. Tiada gaduh, tiada selisih, tiba-tiba berakhir. Siapa tak sedih. Membuat keputusan yang sangat menyeksa diri sebegini. Tapi saya yakin, dan dia pun yakin, Allah itu Maha Adil. Dan sejak dari itu, saya lebih mengenali cinta Allah yang saya kurang nikmati selama ini.

Saya mengambil masa empat tahun untuk melupakan semua ini. Jauh di sudut hati, saya menunggu dia sebenarnya. Setia tak saya? Hehe. Saya penuhi hari-hari saya dengan studi. Saya sibukkan diri dari pagi sehingga tengah malam hanya dengan buku-buku dan persatuan. Saya score dalam semua exam semata-mata hendak buktikan bahawa saya tidak terjejas sedikit pun dengan apa yang terjadi. Saya hendak buktikan bahawa saya kuat. Saya bijak mengasingkan emosi dan pelajaran. Apa yang buat saya sedar bahawa cinta manusia tidak akan kekal ialah filem Kiamat Sudah Dekat. Tangis-tangis doa di dalam filem itu mengenalkan saya dengan air mata malu kepada Tuhan. Memang ada sesetengah perkara dalam hidup ini kita tidak perlukan alasan mengapa ianya terjadi. Tapi cukup kita percaya bahawa Allah mahukan ia terjadi dan semestinya ada hikmah di sebalik semua ini.

Sudah. Tidak boleh terlalu detail dan panjang. Cukup ini saja. Yang saya tahu, dia kini sudah bertunang. Alhamdulillah, tunangnya juga saya kenal dan dia sangat cantik orangnya. Cantik sifat dan rupa. Hehe. Tidak tipu. Memang sama padan. Saya tidak rasa ada dendam atau rasa tidak sedap hati atas semua ini. Saya gembira mendengar dia sudah melangkah ke fasa yang satu lagi.

Saya tidak rasa dia mengetahui kewujudan blog saya. Kalaupun dia tahu, saya hendak dia tahu bahawa saya hormati dia sebagai seorang yang sangat berkarisma, teguh agamanya, mulia akhlaknya, sangat menghormati orang tua, pandai membawa diri, sangat bersederhana dan yang paling penting dia sentiasa ada misi dan visi tentang masa depan. Bagi saya nasyid Sebuah Pertemuan menceritakan segalanya tentang dirinya walaupun kini dia dengan dunianya dan saya dengan dunia saya.

-Jangan mengada nak bercinta kalau tak tahu apa itu komitmen.
-Kaji diri dulu, tanggung jawab kita pada Allah sempurna ke tidak? Dan kasih sayang kita pada ibu bapa melimpah ruah ke tidak? Kalau dua perkara ini kita belum ditunaikan, jangan mengada juga nak bercinta.

Nota 1: Entri ini bernada gembira. Jangan baca dengan nada sedih. Kalau terasa seperti sedih, baca semula dengan suasana yang lebih ceria.
Nota 2: Dulu ketika di KISAS saya katakan bahawa saya tidak mahu budak KISAS sendiri. Ironinya Allah temukan saya dengan dia yang saya akui dialah cinta pertama saya. Err. Macam lucu dan geli je sebut dua perkataan tu =p
Nota 3: Saya sukakan orang utara termasuklah Perak Tengah dan Utara. Mungkin kerana saya ada darah utara. Oh, kebetulan sungguh dia itu orang Perak. Rejeki oh rejeki. Harap nanti bertemu rejeki lagi. Oo-lala~ ;D

Oh. Ada update panas. Seorang lagi kawan baik saya ketika di KISAS dulu telah bertunang. Aiyak. Tinggal saya seorang je sekarang. Faiq, Dayah Hassan akan ikut jejak awak dah tak lama lagi. Ni berkat duduk atas pelamin awak la ni. Saya yang pengapit pun idak jugak lagik. Hoho.

Posted on December 19th, 2008 by Sarah  |  63 Comments »

Saya Setia Jika Awak Setia

Assalamualaikum wbt

Kamu bersedia tak jika yang kita sayang pergi meninggalkan kita? Atau, paling tidakpun, dia menunjukkan tanda-tanda hendak meninggalkan kita? Mesti sedihkan. Saya tak punya apa-apa yang lain. Kerja tiada lagi. Harta apatah lagi kan. Jadi, saya sayang apa yang saya ada dan saya mengharapkan kesetian daripada yang sayangi juga.

Tapi, sejak kebelakangan ini, saya mendapat petunjuk bahawa diri saya sudah tidak diperlukan. Atau, adakah sebetulnya saya yang tidak menghargainya? Saya pernahlah menyebut-nyebut tentang nama baru padanya. Nama yang belum pernah didengarinya sebelum ini. Tapi, saya tak sangka dia terasa hati begitu sekali.

Bangun jam 6 pagi tadi, hendak studi, saya mendapat petunjuk jelas. Ya. Dia marahkan saya. Ataukah dia cuma merajuk?Hmm. Dia merajuk agaknya. Atau, hayatnya telah tiba? Apa-apapun, terima kasih ya, awak. Awak dah banyak tolong saya selama 5 tahun ini. 5 tahun kita bersama bukanlah satu jangka masa yang singkat. Saya sayangkan awak, tau.

Jika kita terus bersama, bergandingan berdua sehingga tamat Jun depan, awaklah hadiah terindah dalam hidup saya selama 5 tahun 8 bulan di sini. Awaklah harta terpenting yang saya miliki dan awaklah penjana kualiti diri saya dan masa depan saya.

Erm… Saya mungkin tak pernah buka cerita tentang cinta hati saya ini kan? Tapi saya rasa pernah. Sikit saja dulu. Dia lebih senang tidak diketengahkan kepada umum. Kisah dan gambarnya tersurat di entri ini, nombor 16 yang istimewa itu =)

Posted on October 14th, 2008 by Sarah  |  47 Comments »

Relationship and Marriage

Assalamualaikum wbt

People said, the best model in our life is the closest person who is always be able to be seen and to talk to. The same goes for me. I always have my mother as my role model in order to be a genuine lady and perhaps one day as a good mother as good as she is, insya Allah. As time flies, I learn how to be a quiet person, as in we see and observe more but we talk less. It is all from her. Friends of my father described my mother as a sweet quiet woman yet she contributes a lot for the family as well as in her career as a teacher. I always have my father as my role model in term of how to handle life and to see life beyond its limits. I wonder how he was able to go through all circumstances that came along throughout his journey so far. People who know my father well would say that he is an outspoken person yet always comes along with the problems that he is up to and overcomes it with all his efforts.

26 years has gone by and I have seen they both perfectly run the family through thick and thin. 2 years ago, I learned about love and loyalty from my father. I called back home when I was in a crucial mood of feeling lonely. I hate to remember those days anymore but my point of telling this story is how shocked I was when listening to my father’s reply. I complained to him about my life here was so empty and there was no one that I could really turn to or really trust in. Those were the reason why I felt so at that particular time. I kind of merengek that I was so lonely. I cried to him in addition. But I was shocked when he said:

“Ayah lagi sunyi. Mak hang takdak 2 hari, ayah takdak sapa nak cakap. Ayah takdak kawan. Kalau mak ada, tu la kawan ayah.”

I asked him, where did mom go. He told me that my mother was away to attend a seminar in Genting. Ok. I paused. I should have not complained over things which were only small and simple compared to that kind of feeling lonely when our other half was not with us. I tried hard to put myself in that situation. And I came to a conclusion, loosing a circle of friends is nothing much compared to loosing someone that merely with him or her that we can have our life. Nothing else can beat his or her existence by our side.

And yesterday, I called home again. Actually my father and I have been hiding one thing from my mother regarding my health problem (Ok, don’t take it serious. I’m not gonna die too soon insya Allah). But it turned out that my mother knew it all. I wonder how could she. In the first place, I thought that it is always possible that my father shares the story with her (as he always does) but I did warn him not to tell mom. But then my mother told me she knew about it when she read the messages in my father’s mobile. I toyed her that she spied on ayah, is it. She replied:

“It’s the matter that ayah believes me to open his inbox and read all messages whenever I feel to.”

Nah. There I paused again. And yesterday, I learned about trust and again, love.

I have just bumped in my friend’s blog talking about relationship and marriage and this kind of stuffs. Well as a conclusion, I myself will never hesitate to say that I have learnt a lot about life from my parent. In term of relationship and marriage, who wants it to be ended real soon right. Everyone in this world tight themselves with such commitment because they don’t want to spend their future life alone. Sincerely I don’t want it to happen on me too. Being a perfectionist is not a problem to find a good partner in our life. As we all concerned, we have to find one correct person that understands us best in order to achieve the meaning of a happy and blessed marriage that lasts long.

As what I have learnt so far, lower our ego to compensate our perfectionism with his or her style is a good start. Don’t always think that we are correct and they are not. Instead, try to apply give and take and strengthen our trust and loyalty towards our partner. This way, we can always shot the best in relationship even though we are thousands-miles-few-hours apart. The distance doesn’t matter anymore as long as we keep them good and close in our heart, days and nights. Trust and loyalty must always there to make it work. And the best is always our prayer to Allah, to keep the relationship strong and to ask for His bless here and hereafter.

To my mother, Hajjah Noor Azimah Kamaruddin, Happy Mother’s Day. And to Adik Azizi, my congratulation for the second place in the state level of Tilawah Competition. You are kicking and will pray that you will continue kicking the world, bro!

Posted on May 10th, 2008 by Sarah  |  16 Comments »