Dari Moscow Dengan Cinta (vi)
Assalamualaikum wbt
Sebaik tiba dari Vladimir, saya sempat berehat dalam sejam saja di rumah. Kemudian saya terus bersiap untuk keluar semula. Hakikatnya, saya tak sempat buat apapun. Tudung pun masih sedia terpakai lagi. Capai jaket dan terus keluar. Kali ini bersama Aizat, Nazlin dan Israfil. Ehhh….. Kenapa dengan lelaki semua ni? Nak kena hambat dengan rotan budak Sarah ni. Dah tu nak buat macam mana. Budak perempuan yang lain sedang bercuti ke Sepanyol. Yang ada lagi seorang pula kurang meminati fotografi.
Kali ini destinasi kami ialah Moscow State University yang kami sebut sebagai MGU di sini. Bangunannya merupakan salah satu daripada Seven Sisters yang terdapat di Moscow ini. Apa itu Seven Sisters? Seven Sisters ini merupakan tujuh buah bangunan yang sama bentuk dan seni binanya yang bertaburan di seluruh Moscow. Fungsi ketujuh-tujuh buah bangunan ini adalah berbeza. Contohnya MGU. Bangunan ini telah menjadi bangunan utama universiti tertua di Rusia ini.
Asalnya, akademi saya juga merupakan fakulti perubatan di universiti tersebut. Tetapi setelah berjaya membentuk sebuah fakulti yang mampu berdiri sendiri dengan bidang kajian yang lebih menjurus ke arah Human Physiology, MGU telah membebaskan fakulti perubatan tersebut dan berdiri di atas kaki sendiri sebagai sebuah akademi. Maka, lahirlah I.M. Sechenov Moscow Medical Academy yang diberi nama sempena Physiologist ternama yang banyak melahirkan teori-teori dan penemuan baru dalam kajiannya tentang Motor Reflex; Ivan Mikhaylovich Sechenov.
Kami berempat turun di Stesyen Vorobyovy Gory (stesyen ini letaknya di atas Sungai Moscow), hanya satu stesyen dari tempat kami tinggal. Bukit kecil di situ terkenal sebagai tempat burung ciak bermandiri ketika berhijrah. Disebabkan itu ia mendapat nama Vorobyovy Gory (The Sparrow Hill). Kami merentas laluan ekologi yang terdapat di situ. Sebenarnya laluan itu berbukit. Tercungap-cungap kami semua untuk sampai ke atas. Dari atas bukit itu, kami dapat melihat dengan jelas Stadium Luzhniki (tempat Manchester United bertemu Chelsea dalam Final UEFA tahun lalu) yang terletak di sebelah hostel kami di sini. Kompleks stadium itu dengan bukit tempat kami berada hanya dipisahkan oleh Sungai Moscow saja.
Di bukit itu, kami menanti ketibaan Zharif (rakan di RSMU) bersama empat orang lagi kawan perempuan yang lain (tetamu yang datang dari Glasgow dan Malaysia). Disebabkan mereka agak lambat, kami berempat memburu matahari terbenam terlebih dulu. Tapi sebenarnya, lokasi terbaik untuk melihat matahari terbenam di Moscow ini ialah di Park Pobedy (Victory Park). Sekitar jam 10.30 malam (hari sudah mula gelap), MGU mula dilimpahi cahaya. Subhanallah, sangat cantik!
Lokasi kami berada ini sebenarnya adalah di bahagian belakang bangunan utama tersebut yang menghadap ke arah sungai. Kalau dari arah depan, agak susah untuk mendapatkan pandangan penuh bangunan itu. Tambahan pula, di belakang bangunan itu ada sebuah kolam yang akan memberikan refleksi terbaik pada waktu malam. Serius, sangat cantik! Sayangnya saya tidak ada tripod. Kami berempat pulang ke hostel pada jam 12 malam! Haha. Janji sempat solat Maghrib di bilik.
Nota: Hari ini hari Khamis terakhir saya di Moscow. π