Assalamualaikum wbt
Diam tak diam, hampir enam tahun saya menetap di sini. Dari tahun pertama sehingga ke hari ini, ada banyak perkara telah terjadi. Ada yang baik, ada juga yang buruk. Tapi kesemua pengalaman inilah yang menjadikan saya yang sekarang.
Mungkin ramai yang berfikir seronok hidup di perantauan. Bagi saya, tiada yang lebih indah dan baik melainkan negara sendiri. Biar busuk nama kita dicaci di bumi sendiri, hati kita tetap sayang dengan segalanya yang ada di sana. Cuma satu yang saya lihat bagus untuk perkembangan diri seorang remaja. Bila berjauhan dengan keluarga, saya belajar membentuk diri secara berdikari tanpa diatur oleh orang lain. Membesar menjadi diri sendiri dan membuat pertimbangan baik buruk segalanya berteraskan penilaian peribadi. Semua ini menjadikan diri seseorang itu lebih matang dan bertanggung jawab terhadap taklifan yang dipikulnya.
Mungkin kalau hidup di negara lain, jawapan kawan-kawan adalah sangat menyeronokkan. Tapi bagi kami di Rusia ini, ada banyak halangan yang telah kami tempuhi. Dari segi bahasa, masyarakat setempat yang kurang mesra, korupsi dari segi ekonomi dan gaya hidup masyarakatnya yang menjadikan kami semua keras dan teguh. Ditambah pula dengan pandangan negatif mereka yang tertutup mindanya. Kata mereka: Apa guna datang ke bekas negara Komunis begini. Tapi bagi saya dan kawan-kawan, kami suka akan semua ini. Ini semua adalah cabaran yang membentuk kami menjadi kami yang cekal dan kuat.
Ketika pertama kali tiba di sini, Duta Besar Malaysia ke Moscow ketika itu, Dato’ Kamarudin pernah berkata begini: Entah apalah dosa kamu semua di kehidupan yang lalu sampai dihantar ke Rusia ini. Jadi, boleh bayangkan apakah persepsi kalian apabila dikatakan begini? Tapi Dato’ dan isterilah sebenar-benar emak ayah untuk tiga tahun pertama saya di sini. Mereka sangat menjaga kebajikan pelajar-pelajar waktu itu sementelah bilangan kami semua tidaklah seramai mana.
Ketika membuat persediaan di INTEC pula, Miss Penny pernah berkata bergini: Kalau kamu semua dapat survive hidup di Rusia, campaklah kamu semua ke mana saja lepas ni. Kamu pasti boleh survive. Pendapat saya tentang hal ini: Sangat betul! Keadaan hidup kami dalam suasana yang begini menjadikan kami semua ‘kuat’. Bersiap sedia untuk berhadapan dengan yang terburuk dalam apa jua situasi. Inilah Rusia.
Ketika di tahun pertama, segalanya serba-serbi baru. Saya belajar menyesuaikan diri dengan sistem belajar dan masyarakat di sini. Ini yang paling utama. Ketika itu hidup kami semua susah. Hidup di Moscow yang mahal ini hanya berbekalkan USD200 saja sebulan. Kata emak dan ayah, walau apapun jadi, kena telefon rumah setiap minggu. Tidak cukup duit, emak dan ayah akan masukkan. Tapi tak tahulah bagaimana kami berjimat dulu-dulu, kami boleh hidup hanya berbekalkan USD200 itu. Makan ala kadar saja. Tiada erti nak bermewah makan besar di luar. Paling-paling habis, kami makan di Pikaso dan Sinbad. Itu saja.
Tahun dua pula merupakan tahun yang paling santai antara semua. Hanya ada dua subjek utama. Tapi disebabkan tahun itu saya sedang mengalami kebejatan emosi, saya alihkan perhatian saya hanya pada buku-buku. Percaya atau tidak, saya khatam buku rujukan Ganong untuk Physiology itu. Hidup saya hanya dengan buku dan studi saya. Bila senggang, saya menulis sajak. Pada tahun itulah saya banyak menghasilkan karya. Dan bila sudah letih belajar, saya akan bermain Puzzle Word di laptop saya bersama Amnah, teman sebilik saya (junior di KISAS dulu).
Dalam tempoh enam tahun ini, tahun yang paling menyeksakan bagi saya ialah ketika di tahun tiga. Saya terpaksa tiga kali berpindah randah. Saya tidak pernah ceritakan secara terperinci apa yang terjadi dulu kerana takut emak dan ayah akan risau. Saya rasa, kalau mereka tahu apa sebenarnya yang terjadi, mereka sendiri pun tidak sanggup hendak biarkan saya terus di sini. Jadi sampai ke hari ini, mereka masih tidak tahu dengan sejelasnya apa yang telah saya dan dua orang lagi kawan lalui. Waktu itu saya serumah bersama Farah dan Shima. Susah payah hidup kami kongsi bersama. Walaupun kami hanya serumah selama enam bulan, tapi tempoh inilah yang terlalu banyak mengajar saya tentang kedewasaan. Namun segala peristiwa inilah yang menjodohkan saya dengan teman serumah yang ada sekarang: Fareena, Fatini, Wanie, Diba dan Emy. Tiga tahun lebih kami semua tinggal bersama. Dan saya sayang mereka seperti saudara kandung saya sendiri.
Tahun keempat pula merupakan tahun adaptasi bahasa yang terhebat terpaksa saya lalui. Saya baru saja masuk ke tahun klinikal dan peralihan bahasa perantara daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Rusia agak menyusahkan kami semua. Saya rasa otak saya terbalik. Sampaikan, bila saya menelefon keluarga, saya akan duduk di dapur dan mesti akan menangis memberitahu emak tentang masalah ini. Tapi kena bertahan. Sudah separuh jalan pun. Tiga tahun sudah selesai. Tinggal tiga tahun saja lagi untuk tamat. Mahu tak mahu, terpaksa bekerja keras sungguhlah pada ketika itu. Kamus Russian-English memang menjadi teman terbaik. Habis lunyai kamus saya tu. Tidur malam hanya sekitar dua ke tiga jam. Kelas dari pagi sampai petang. Di sebelah malam, wajib mengulang kaji dan membuat nota peribadi dengan baik. Persediaan ke kelas juga perlu dibuat. Memang penat. Memang menyeksakan.
Ketika berada di tahun lima pula, saya sangat kerap sakit. Dalam masa setahun, tiga kali saya mendapat pneumonia (paru-paru berair). Keadaan saya sangat teruk. Housemates sayalah yang menjaga saya. Terutamanya Fareena. Sangat banyak yang telah dibantunya. Juga Wanie yang kerap menemani saya ke hospital. Tapi Allah tak bagi ujian kalau kita tak mampu menghadapinya. Alhamdulillah. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan final exam tahun itu. Segalanya seperti yang dihajatkan.
Dan dalam tempoh enam tahun ini, tahun enam adalah tahun yang menentukan saya ini menjadi manusia atau apa. Tahun ini mengajar saya serba-serbi tentang erti hidup, persahabatan, kasih-sayang dan persaudaraan. Tahun akhir ini juga membuatkan saya banyak berfikir, jalan hidup yang manakah menjadi pilihan saya. Serius, saya menjadi seorang yang sangat banyak berfikir. Kalau saya diam, maksudnya saya sedang berfikir. Sedang dalam keramaian pun, saya boleh duduk diam saja kerana berfikir. Apabila melihat manusia di sekeliling saya, saya akan bertanya kepada diri sendiri, saya mahu jadi manusia yang bagaimana. Corak hidup yang bagaimana mahu saya lakar untuk diri saya. Saya boleh kekal dengan apa yang saya ada. Dan saya boleh berubah kalau saya mahukannya. Semuanya terpulang kepada saya.
Satu perempat daripada kehidupan saya selama 24 tahun ini dihabiskan di sini. Moscow ialah rumah saya sejak enam tahun lalu. Rumah yang telah membesarkan saya untuk menjadi dewasa. Rumah yang memberi saya jiwa. Rumah tempat saya menumpang kasih dalam kembara ini. Juga rumah tempat saya mendapat kawan dan saudara. Dan kini tiba masanya untuk saya meninggalkan rumah ini. Untuk kembali ke tanah bonda. Dalam hati, sebak terasa semakin dalam dan rasa sayangkan tanah ini semakin menebal.
Terima kasih Moscow kerana menjadi guru terbaik dalam mengajar saya erti kehidupan. Terima kasih Moscow kerana memberi kesempatan untuk saya belajar menjadi seorang insan. Terima kasih Moscow kerana mengenalkan saya kepada siapa kawan, siapa lawan. Terima kasih Moscow kerana sudi menumpangkan saya bermukim di sini, memberi pengalaman dan menghadiahkan saya kekuatan dan kejayaan.
Cinta dan rindu buat tanah ini akan sentiasa di hati. Kerana Moscow itu rumah yang penuh kenangan. Yang punya tempat istimewa di hati ini.
Nota: Kalau makan di luar, saya selalu memilih untuk makan blinni. Sejenis pancake. Russian pancake. 6 tahun di sini mengajar perut saya untuk menjadi Russian.