Setapak Demi Setapak
Assalamualaikum wbt
Kelmarin saya menyelongkar akaun Friendster saya. Rupanya, saya ni memang selalu ketinggalan zaman dengan mesej daripada kawan-kawan. Ada banyak juga mesej berbentuk peribadi dan bukannya jenis yang sesedap hati memanjangkan mesej yang entah apa-apa. Selepas membersihkan kotak inbox, saya tergerak hati untuk menjenguk blog pertama saya yang bertapak di atas platform Friendster.
Saya melihat tarikh entri pertama saya. 16 Mei 2005. Lama dah tu. Hampir empat tahun. Saya baca semula beberapa entri di situ. Baru saya sedar, konsep saya yang suka meletakkan nota 1, 2, 3 dan seterusnya itu sudah lama bermula. Aktiviti membelek blog lama ini saya lakukan ketika senggang rehat dua malam lepas.
Semalam pula, saya mengambil keputusan untuk terus menutup blog lama Dunia Sarah itu daripada umum. Berkira-kira seminit dua. Kemudian terus saja saya lancarkan niat itu. Wow. Ada sedikit sedih. Tapi ada juga sedikit lega. Sedih kerana hubungan dua hala dengan kawan-kawan di blog lama sudah terputus 100% (jika mereka masih belum menjumpai blog ini). Lega kerana saya tak perlu berfikir tentang kebarangkalian ada tangan-tangan yang masih tak tahu menghormati erti privasi orang lain dengan sengaja meninggalkan URL blog baru ini di entri terakhir itu dan hanya bergelar anonymous saja. Pening ya nak berurusan dengan karenah manusia.
Dan siang tadi, pulang saja dari hospital, saya dan Fatt menekun di meja masing-masing dengan misi yang sama. Qadha’ internet. Muehehe. Kalau hari-hari lain masing-masing menekun dengan buku masing-masing, hari ni kita enjoy. Eceh. Macam slot drama Puteri pula. Gedik je.
Jadi, misi saya siang tadi ialah menghapuskan blog pertama saya di Friendster itu. Puas saya mencari di mana letaknya setting untuk blog itu. Akhirnya jumpa juga dan terus saya hapuskan blog itu. Kali ini tiada rasa terkilan pun. Ke semua entri lama di sana saya telah pindahkan ke blogspot saya sejak mula menulis di sana lagi. Kiranya kenangan menulis sebagai kanak-kanak pada umur 20 tahun masih tersimpan rapi.
Saya dah tutup blog lama saya kepada umum. Blog di Friendster pula dah dihapuskan untuk selamanya. Sekarang tinggal blog ini saja. Langkah seterusnya yang akan saya ambil ialah untuk memberitahu kepada kawan-kawan di blog lama tentang blog ini. Tapi buat masa ini, biar tutup dulu blog itu. Tunggulah esok atau Ahad nanti baru saya buka semula dan beritahu tentang hal ini.
Kenapa saya terfikir untuk mengambil keputusan ini kerana saya tersentuh dengan komen-komen yang ditinggalkan. Ada 81 komen kesemuanya. Orang kata apa, cair sekejap hati ni. Saya tahu isu seperti di blog lama mungkin akan timbul lagi. Dalam hidup, kita takkan selamanya dapat memuaskan hati setiap orang. Setiap orang ada cara berfikir yang tersendiri. Ada pendapat dan pendirian yang tersendiri. Jadi, untuk kali ini kalau ada apa-apa yang terjadi lagi, pendirian saya macam yang dah biasa saya sebutkan, menjadi pengabai. Pengabai tegar. Ignorance is bliss. Huhu.
Ok. Saya hendak kongsikan sebuah nasyid. Sudah sangat teramat lama Ya Allah Ya Rabbul Izzati (melampau metaforanya) saya mencari nasyid ini. Kebetulan salah seorang pembaca yang meninggalkan komen di entri lepas memiliki nasyid ini. Dulu, bila saya cari untuk muat turun, saya tak pernah jumpa. Nama penyanyinya pun saya tak tahu, macam mana nak jumpa kan. Bila dia hantarkan saya nasyid ini lewat email tadi, saya terus muat naikkan di Imeem saya. Tapi di Imeem saya, nasyid ini bukan versi penuh. Tapi bila dengar di WMP, penuh pula. Ajaib rasanya. Jadi saya ambil saja yang telah dimuatnaikkan oleh orang lain. Nasyid Rinduku nyanyian BPM. Apa-apapun, terima kasih Syazana. KS memang dah lama sangat teramat lama Ya Allah Ya Rabbul Izzati mencari nasyid ni. Tak sangka kamu membaca blog ni rupanya. Terima kasih sekali lagi.
Nota: Dua tahun sudah saya ada memenangi pertandingan sajak sempena Maulidul Rasul. Tajuknya Rindu Dengan Sangat. Sumber inspirasi yang membuak-buakkan rasa rindu dan syahdu cinta buat Rasulullah ialah nasyid ini.