Selamat Datang Adik Izz

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah thummalhamdulillah. Diam tak diam, sudah 17 hari saya selamat melahirkan anak kedua kami. Pada 7 Mei 2014 tepat jam 10.21 pagi, lahirlah anak lelaki kedua kami. Ya. Anak lelaki lagi!

Bersalin kali ini dirasakan terlalu cepat dan mudah. Alhamdulillah sangat. Masuk ke labor room pada pukul 5.30 pagi. Air ketuban dipecahkan pada pukul 6.15 pagi dengan bukaan jalan 4 cm. Selesai saya solat Subuh, suami saya dibenarkan masuk untuk menemani di dalam bilik itu. Dalam pada menunggu tempoh review seterusnya pada pukul 10.15 pagi, saya dan suami masing-masing sempat menghabiskan 3 kali bacaan Yaasin. Sekitar jam 9.30 pagi, kadar contraction sudah 5 in 10 tanpa memerlukan sebarang augmentation. Alhamdulillah lagi. Tapi waktu itu, saya sudah tidak mampu untuk menghabiskan bacaan surah Yusuf. Saya menyuruh suami saya menghabiskannya. Dan saya juga dah macam ulat keadaannya kerana terlalu sakitnya belakang terutama di bahagian lower back.

wpid-img_20140508_191657.jpg

Saya meminta suami saya mengurut-urut di bahagian lower back itu. Saya tahu, mesti lenguh habis tangan suami saya yang bukan sekadar mengurut, tapi menekan-nekan dengan kuat di bahagian itu untuk membantu mengurangkan rasa sakit. 9Terima kasih, Abang! Saya tahu, masanya sudah hampir tapi saya menahan suami daripada memanggil staf yang bertugas di bilik itu untuk masuk.

Contraction sudah terlalu kuat. 5 in 10 itu ibaratnya, dalam masa 10 minit, selang seminit contraction datang dengan durasi selama 1 minit. Fuh. A good contraction I must say. Doa Nabi Yunus tak lekang saya baca. Saya berharap semoga dipermudahkan dan selamat semuanya tidak lama lagi.

Dalam pada saya melayankan contraction kuat yang datang saban minit itu, sempat saya menogak habis air zamzam yang dibawa dan makan satu bar coklat Kitkat. Huhu. Kurma saya dah telan sebanyak-banyaknya waktu di luar labor room tadi lagi. Untuk mendapatkan instant energy, coklat yang berada di dalam poket suami itu yang saya bedal. Haha.

Tepat pukul 10.10 pagi, saya meminta suami memanggilkan staf yang menjaga saya. Ketika itu, dia berada di bilik sebelah untuk membantu satu kes yang baru masuk di sana. Sebaik JM itu tiba (terika kasih JM Siti Hajar), dia terus meminta HO bertugas pagi itu (terima kasih Dr. Farhana) untuk membuat review sekali harung kerana sudah pukul 10.15 pagi. Untung nasib, kalau sudah fully, boleh terus dipersiapkan untuk posisi bersalin.

Alhamdulillah, ketika adik HO itu memeriksa, os sudah fully. Betul kata hati saya. Sebab dengan kadar contraction yang sekuat itu, rasa bearing down yang sangat jelas dan keadaan saya yang dah terasa hendak meneran sangat, saya yakin os sudah fully. Saya membetulkan posisi kaki. Suami membantu menampung kepala saya supaya teknik bernafas dan meneran saya betul. Alhamdulillah. Dengan hanya 3 kali push, anak lelaki kami selamat dilahirkan tepat jam 10.21 pagi itu. Sangat sekejap. Sangat mudah. Dan sakit pun terus hilang.

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.

IMG_20140509_062949

Dia terus menangis nyaring, diletakkan di atas perut saya dan perlahan-lahan dia bergerak ke arah dada untuk mendapatkan posisi yang selesa baginya. Suami saya mencium dahi saya. Ucapnya: Alhamdulillah. Terima kasih sayang lahirkan baby untuk abang lagi.

Saya terus-terusan mencium dahi, pipi dan bibir anak itu. Syahdunya! Kali ni saya menangis sangat-sangat di saat mendengar suara tangisan anak itu buat kali pertama. Syahdunya lain macam sikit kali ni. T____T

Berat baby juga bagus. 3.1 kg. Sedikit kecil berbanding Izz Zamani dulu. Hehe. Dan syukur Alhamdulillah, selepas bersalin, saya diberikan kekuatan dan kesegaran yang luar biasa. 2 jam selepas bersalin, saya sudah berjalan merata dan berbekalkan kesegaran itulah, saya bertenaga untuk setiap 2 jam menggagahkan diri pergi ke SCN untuk melihat dan menyusukan anak saya. Dia perlu dimasukkan ke SCN bukan kerana ada masalah ketika lahir tapi kerana saya yang ada GBS ketika mengandung kali ini (tahu ketika saya di admit untuk premature contraction pada minggu ke-35 dulu. No wonder dapat premature contraction. Haih…). Jadi untuk mengelakkan bayi mendapat jangkitan kuman seperti Meningitis angkara GBS ketika umurnya 2 minggu ke 30 hari, maka antibiotik sebagai prophylaxis perlu diberikan.

wpid-img_20140507_153559.jpg

Malam pertama itu, walaupun ditegah oleh staff nurse daripada turun ke SCN terlalu kerap kerana khuatir saya pengsan atau apa, saya tetap turun juga ke sana. Saya nekad hendak menyusukan anak. Biarlah saya yang bersusah-payah daripada anak saya terpaksa diberikan top up feeding kerana saya masih belum dapat meninggalkan EBM mengikut jumlah yang diminta. Saya bertegas betul dengan jururawat di postnatal ward petang itu. Dia suruh saya pam susu. Masalahnya hari pertama colostrum tidak akan terus keluar sebanyak yang diminta per feeding. Tak logik kot. Sudahnya saya yang bagi syarahan kat dia semula. Saya kata, kalau anak minum on demand, tak perlunya sebanyak itu untuk mengenyangkannya. Dan lagi kerap ada stimulation hisapan daripada anak, lagi cepat dan banyak susu akan terhasil.

wpid-img_20140511_125917.jpg

Sudahnya, jururawat itu membenarkan juga saya turun mengikut kekerapan yang saya mahu tapi dengan syarat, perlu ditolak dengan kerusi roda. Hai la. Merasalah diri ini menaiki kerusi roda macam orang sakit tenat. Haha. Dan saya menyeludup suami saya tidur di bilik saya pada malam itu sebab kami sama-sama nekad untuk turun sekerapnya untuk menyusukan anak di SCN. Suami saya siap buat reminder di telefonnya supaya kami tidak terlepas waktu. Sebab jika tidak, nanti anak kami terpaksa disusukan dengan top up feeding yang disediakan dulu kerana tiada EBM yang ditinggalkan. Terharu betul saya. Pukul 5 pm, 8 pm, 10 pm, 12 pm, 2 am, 4 am, 6 am dan seterusnya pagi esoknya pukul 8.30 am suami menolak saya dengan kerusi roda menuju ke SCN. Memang tak cukup tidur. Memang penat. Tapi demi anak saya, saya sanggup. Saya tak mahu dia diberikan dengan top up feeding. Kami suami isteri nekad. Terima kasih Abang sebab memahami isteri Abang yang keras kepala ni dan sebab bertegas mahukan yang terbaik untuk anak kita.

Pada hari ketujuh yang lalu, kami memberikannya nama, mentahnik dan mencukur rambutnya.

Insya Allah, nama diberi ialah Izz Zaid Mishary Bin Ahmad Thaariq.

Izz ; Kekuatan.
Zayd ; Sempena nama sahabat nabi, Zayd Ibn Harithah, yang thiqqah dan gagah berjuang di medan perang, yang disebutkan namanya dalam Al-Quran, juga digelar sebagai Al-Habib (The lover) oleh Rasulullah.
Mishary ; Sempena nama Imam Sheikh Mishary Rashid Alafasy yang selalu mengimamkan solat-solat utama dan sunnat di Masjid Kabir Kuwait dan Masjid Nabawi Madinah, yang hafaz Quran dan terkenal dengan kelunakan suaranya.

Terima kasih kepada emak dan ayah saya yang banyak menjaga saya sebelum saya bersalin. Emak dan ayah siap memandu menghantarkan saya ke Lipis untuk menguruskan hal-hal pertukaran dan perpindahan pada 5 Mei itu. Kemudian dengan gagahnya, ditemani emak saya, saya memandu kereta kedua kami untuk dibawa balik ke Temerloh (kerana satu kereta ditinggalkan di Lipis pada malam saya dirujuk ke Hospital Temerloh dengan ambulan), kerana emak dan ayah sehabis mungkin cuba memenuhi apa yang saya hajatkan untuk makan. Juga kepada suami yang mengambil cuti semata-mata untuk menemani saya menghadiri temujanji di Klinik Pakar pada 6 Mei lepas, satu-satunya follow up yang sempat suami saya turut serta untuk mengandung kali ini T___T, kemudian bersusah-payah mencarikan air kelapa segar untuk saya. Juga adik-adik saya Adam dan Aiman yang banyak membantu menjagakan Izz Zamani ketika saya sudah sarat dan selepas bersalin ini. Juga untuk ummi dan baba yang sentiasa mendoakan saya dari jauh. Terima kaaih juga untuk staf di dewan bersalin Hospital Temerloh yang superb tiptop servis mereka, daripada HOD Dr. Carol, Dr. Melati (pakar), MOs, HOs, Staff Nurse, JM, PPK, juga staf di postnatal ward yang banyak bersabar dengan saya yang degil ni (the worst patients are doctors themselves, hihihi), juga staf di SCN terutamanya Dr. Nordin (MO paeds, kawan lama saya) yang banyak memberikan input kepada saya, all the best in Master!) dan kesemua staf di sana. Jasamu dikenang.

Izz Zayd Mishary, semoga membesar sehebat dan seindah namamu, anak.

IMG-20140514-WA0002

Selamat datang ke dunia.
Selamat menjadi sebahagian daripada kasih dan cinta kita sekeluarga.

-Mama, Ayah & Abang Izz Zamani-

Posted on May 23rd, 2014 by Sarah  |  58 Comments »

Memerdekakan Diri

Assalamualaikum wbt

Sebelum Izz hendak tidur semalam, dia menyuruh saya menelefon ayahnya. Sebaik selesai si ayah mengucapkan selamat malam dan mengingatkan Izz untuk membaca doa-doa rutin bersama saya, lalu telefon pun dipadamkan.

Izz: Ok mama. Sleep.
Mama: Jom sleep. Jom baca doa sama-sama.
Izz: Esok ayah alik?
Mama: Insya Allah ayah balik lepas kelas. Izz kenalah doa banyak-banyak ok.
Izz: Angun pagi. Bersolat. Izz doa.
Mama: *Terdiam*

Terdiam kerana sangat terharu rupa-rupanya motivasi sebelum tidur setiap hari yang saya selalu sebutkan padanya perihal esok pagi perlu bangun untuk solat Subuh, bukan ke sekolah atau aktiviti yang lain, terpahat dalam memorinya. Lalu kami membaca susunan doa-doa yang menjadi rutin sebelum tidur kami, memperbaharui syahadah, melafazkan zikir Ya Latif dan Izz memeluk lengan kiri saya lalu terus tidur.

Kadang-kadang ada banyak perkara menyedihkan boleh terjadi dalam hidup kita. Kita berbuat baik dengan orang, orang salah anggap dengan kita. Kita berbaik sangka dengan orang, orang pula fikir kita talam dua muka. Kita ambil berat dengan orang, orang kata kita buang tabiat pula. Kita mendoakan yang baik-baik untuk orang dengan seikhlasnya, tapi orang kata kita menunjuk-nunjuk pula.

Terlalu payah sifir hidup ini bila kita fikir apa yang orang fikirkan tentang kita. Jadilah orang yang berjaya memerdekakan diri daripada apa yang difikirkan oleh orang lain. Kerana di penghujung hari, apa yang dilihat Allah pada kitalah yang paling penting, bukannya apa yang dinilai dan dilihat manusia.

Kita tak hidup dek puji. Kita tak mati dek keji.

Dan bagi saya, dengan melayan fitrah anak kecil yang masih suci jiwanya adalah salah satu cara untuk kembali menginsafi diri. Kerana dia mengajar saya untuk melihat apa yang penting di mata Allah. Bukan mata manusia. Semuanya kembali kepada sesusuk objek itu; hati.

image

Sesi baca doa dengan Izz tatkala saya yang jauh daripadanya.

Posted on May 4th, 2014 by Sarah  |  9 Comments »

Kenangan Persediaan Ketika Mengandung Dan Berpantang

Assalamualaikum wbt

Hari ni saya nak mengimbas semula pengalaman membuat persiapan bersalin dan tempoh berpantang ketika mengandung dan melahirkan Izz dulu. Seingat saya, kami berdua mula membeli kelengkapan bayi dan keperluan untuk berpantang itu ketika saya sedang bercuti sebelum berpindah ke Hospital Kuala Lipis. Sebelum mula membeli, kami sudah membuat tinjauan dan seterusnya menyediakan senarai barang yang menjadi kewajipan, keperluan tapi bukannya kemahuan.

Waktu itu usia kandungan baru mencecah 25 minggu. Tapi kami membuat perancangan awal dan persediaan secara sedikit demi sedikit pun dibuat awal. Bukan apa. Nanti bila sudah berpindah ke Lipis, saya di sana, suami di Putrajaya. Entah bila lagi dapat keluar untuk membelek barang bersama-sama. Jadi bila ada saja masa ketika cuti itu, kami ronda kedai-kedai yang telah disenaraikan untuk mencari apa yang telah kami senarai pendekkan.

Saya tak mahu cerita sangat tentang persiapan fizikal. Sebab saya rasa hampir semua orang pun sama saja keperluan asas yang disediakan untuk menyambut kelahiran bayi. Bagi yang tak tahu, rajin-rajinkanlah untuk membaca daripada pelbagai sumber yang boleh didapati dewasa ini. Yang saya nak kongsikan di sini ialah persiapan mental dan rohani. Sebab ini jauh lebih penting untuk menyambut generasi muttaqin yang baru lahir.

Sebenarnya, sewaktu masih dalam tempoh mabuk yang teruk dulu, saya ada menonton satu kisah di Wanita Hari Ini (WHI). Saya menonton dengan emak pada ketika itu. Tentang seorang budak lelaki yang buta tapi dalam proses menghafaz Al-Quran. Umurnya kalau tidak silap saya sekitar sepuluh tahun. Dia hanya disedari buta oleh ibu bapanya ketika berumur 2 atau 3 bulan (kalau tak silap saya) kerana ibunya mendapati dia tidak respon kepada warna-warna dan objek-objek yang berada di depannya. Setelah rawatan lanjut dibuat, memang sah, anak itu adalah insan intimewa yang dilahirkan buta sejak lahir lagi.

Kisah itu sangat meninggalkan kesan di hati saya. Kalau hampir semua ibu mengandung terpsiko memikirkan bagaimanakah rupa dan fizikal anak yang bakal lahir, jujur saya katakan, saya lebih terpsiko memikirkan kesempurnaan pancaindera anak yang bakal dilahirkan.

Jadi, sebagai manusia biasa, kepada Allah jualah tempat saya meminta. Setiap hari saya akan membaca doa sihat tubuh badan. Tapi saya akan menggantikan kata nama dalam doa saya kepada ‘kami’. Bererti, saya juga mendoakan kesihatan badan, pendengaran dan penglihatan untuk anak saya. Saya juga memanjangkan doa saya itu dengan menambah doa untuk kesihatan akal, lisan dan juga hati.

“Allahumma ‘afina bi badanina, Allahumma ‘afina fi sam’ina, Allahumma ‘afina fi basorina, Allahumma ‘afina fi ‘aqlina, Allahumma ‘afina fi lisanina, Allahumma ‘afina fi qulubina”

Alhamdulillah. Sehingga ke hari ini, saya masih membacakan doa ini untuk Izz saban hari sebelum tidur. Juga saya niatkan untuk kesihatan tubuh badan adik baby dalam kandungan ini.

Saya akui, saya memang tak mempunyai kehidupan sosial seperti orang lain. Ada masa nak pergi shopping, keluar makan dengan kawan-kawan, release tension pergi tengok wayang. Saya tak ada masa untuk semua itu. Jadual kerja saya ketat. Dan naluri saya sendiri pun bukan ke arah itu. Wayang pun tak pernah masuk lagi sehingga saat ini. Jadi, saya ada banyak masa di rumah bersama emak pada waktu itu. Saya selalu merengek memberitahu emak yang saya stress dengan kerja di saat tengah mabuk tak tentu hala dulu.

Jadi, emak menasihatkan, balik kerja terus mandi air suam supaya segar, solat, kemudian terus mengaji. Memang setiap hari saya akan mengaji. Tapi sejak emak menasihatkan saya begitu, saya menggandakan bacaan saya sehinggakan kadang tu tertidur sambil memegang Quran kecil di tangan. Bila sudah duduk sendirian di Lipis pula, lagilah banyak masa yang saya ada untuk mengaji. Saya tidak melompat-lompat membaca surah-surah terpilih seperti yang sesetengah orang amalkan. Saya baca keseluruhan Al-Quran. Selepas khatam dua kali, saya amalkan surah Yasin sehingga cukup 40 kali sebelum saya bersalin dulu.

Amalan kesihatan pula? Tiada apa yang istimewa. Di peringkat awal kehamilan, saya memang makan folic acid dengan doa dan ikhtiar untuk mengelakkan anak mendapat kecacatan saraf terutamanya Spina Bifida. Itu ikhtiarnyalah. Saya juga mengambil Obimin untuk membantu menaikkan jumlah hemoglobin di samping mengamalkan buah delima sebagai buah rutin saya.

Tapi masa mengandung memang saya kuat gilalah makan buah. Hari-hari makan buah. Tak pernah putus stok buah di rumah. Setiap pagi saya akan makan madu, kismis dan kurma. Tapi saya ni memilih sikit. Nak kurma yang lembap saja. Jenis kering saya tak lalu nak makan. Huhu. Untuk perut pula saya sapukan dengan minyak zaitun. Langsung tak guna minyak-minyak atau losyen-losyen moden atau body butter yang ada di pasaran. Dengan mengamalkan minyak zaitun dilumurkan di kulit, Alhamdulillah tiada sebarang stretch mark pun di kawasan perut sepanjang mengandungkan Izz. Murah pun murah. Efektif pun efektif. Sunnah pun sunnah. Hehe.

Lagi, saya terpsiko tentang 5Ps yang perlu untuk memastikan kelahiran normal yang selamat, dengan izin Allah. Ni kalau tanya budak-budak medik ni, kalau tak tahu 5Ps ni memang nak kena ni. Haha. Power (produced by uterine contraction), Passanger (the fetal size), Passage (women’s pelvic bony structure), Practitioner (the midwife/HO/MO/Specialist involved during the delivery), Preparation (mental, physical, knowledge, any pain reliever to assist as emotional stabilizer during delivery).

Haaa. Jadi 5 perkara ni memang saya selalu fikirkan. Siap buat estimation CPD (cephalopelvic dispropotionate) ke atas diri sendiri sebab sedar diri ini adalah pendek. Muahaha. Dan Alhamdulillah, dengan izin Allah semuanya lancar dan kelahiran Izz adalah secara normal.

Apa yang saya buat ketika berpantang? Ini bahagian yang paling menarik. Definisi berpantang bagi saya ialah tempoh mengembalikan diri ke status asal fisiologi badan kita ke fasa sebelum hamil. Sebab fisiologi orang mengandung dan tak mengandung banyaaaaaaaaak sangat bezanya. Yang paling asas boleh saya ceritakan ialah jumlah cecair dalam badan dan komposisi hemoglobin/hematocrite juga berbeza. Ini yang asas. Ada banyak lagi perubahan fisiologi yang lain.

Perghhh. Saya akui, dalam tempoh mengandung memang otak saya laju dan sentiasa memikirkan perubahan-perubahan fisiologi yang terjadi pada badan saya. Selalu saya beri lecture percuma subjek fisiologi kepada suami untuk membolehkan dia sama-sama faham apa yang terjadi pada orang mengandung. Kenapa tidur mengiring ke kiri lebih baik, kenapa kena cukup air, kenapa kena cukup paras hemoglobin, kenapa senang rasa susah nafas, rasa se’eh perut dan lain-lain. Bila dia faham itu semua, dia akan lebih berpada-pada dan sama-sama saling mengingatkan tentang apa yang perlu dilakukan. Nasiblah ye abang dapat isteri suka bab fisio ni. Haha.

Jadi, dalam tempoh berpantang tu, badan kita dalam proses nak kembali ke level asal sebelum mengandung dulu. Ia proses yang mengambil masa. Paling kurang 4 ke 6 minggu. Jadi dalam tempoh seminggu yang pertama, saya memang ikut betul proses berpantang secara tradisional yang boleh membantu menyegarkan kembali badan saya.

Saya bertangas, bertungku, mandi serom dan berurut. Pakai bengkung je saya culas. Panas. Saya malas. Haha. Err… Bertangas tu apa? Haaa. Bertangas tu kita baring/duduk berselubung dengan kain dan dari bahagian bawah tempat kita baring/duduk tu ada bara api yang memberikan haba panas untuk memanaskan badan. Saya tak ada set khas apapun. Cuma memang kebetulan di beranda belakang rumah emak ayah saya, ada sebuah katil lama yang diletakkan di situ. Masih elok sebenarnya. Boleh dibuat baring-baring lagi (tiada tilamlah). Jadi ayah sediakan katil itu sebagai tempat baring, dialas dengan 2 helai (kot) kain batik untuk mengelakkan melecur kepanasan. Di bahagian bawah katil itu diletakkan sebuah dapur arang mudah alih yang bentuknya macam baldi itu tapi diperbuat daripada tanah liat. Kamu semua boleh bayangkan ke? Huhu. Takpe. Layan jelah ye cerita ni. Jadi, ayah akan membakar arang di dalam tempat bakar tu, bila dah menjadi bara, baru saya akan naik untuk baring di atas katil itu. Mula-mula tu memang macam ulatlah kejap. Tak tahan rasa panas. Tapi bila sudah hari kedua, waaaaa, selesanya rasa. Suam-suam panas. Badan rasa selesa sangat! Yummeh! Waktu saya lihat kakak saya bertangan selepas melahirkan anak sulungnya, saya pernah terfikir lecehnya nak kena bertangas bagai ni. Mesti panas. Tetapi rupa-rupanya, bertangas adalah syurgaaaaaa gitu!

Bertungku pula dikakukan serentak sambil-sambil berbaring ketika bertangas tu. Masa-masa lain saya tidak bertungku dengan batu sungai yang dibakar tu sebab malas nak bakar sendiri batu tu. Jadi saya hanya guna warm pad atau tungku elektrik saja untuk disendal di bahagian-bahagian badan. Dengan bertungku, proses pengecutan rahim lebih cepat, proses aliran keluar lochia (darah nifas) lebih lancar dan perut pun kempis. Hehe. Tu sebab saya malas berbengkung. Hahaha. Alasan!

Mandi serom tu pula apa? Mandi serom ni ialah air mandian campuran hampir 20 jenis daun-daun herba yang mudah saja didapati di kawasan kampung. Saya dulu bab mandi serom ni diuruskan oleh emak saudara saya. Dia pergi carikan daun-daun tu semua (antaranya daun mengkudu, serai wangi) dan dimasakkan dalam air panas. Ayah yang tolong masakkan air daun-daun tu sebelum ayah pergi kerja. Selepas air itu suam, saya dimandikan dan daun-daun itu semua dilumur-lumur dan digosok-gosokkan pada badan saya. Apa rasanya? Masya Allah segar gila tau! Memang sangat segar. Badan rasa panas dan proses pengeluaran susu pun jauh lebih lancar. Memang secara teorinya jika badan kita panas saja, susu akan lebih mudah untuk dikeluarkan dan tidak menyebabkan bengkak susu yang menyakitkan. Lancar dan laju saja susu keluar. Sebagai mak-mak, memang seronoklah bila susu laju je keluar. Huhu.

Dari segi pemakanan, memang emak ada menyediakan makanan orang berpantang secara tradiosional tu macam yang berasaskan banyak bawang putih dan lada hitam. Memang sedap! (Sebab saya ni hantu segala jenis lauk berasaskan lada hitam sejak kecil lagi). Tapi emak tak menolak segala jenis menu yang tinggi protein untuk membantu proses baik pulih luka selepas bersalin. Keju semua saya bedal. See. Mak saya moden jugalah. Hehe. Cuma saya memang tak makan yang pedas bertumis lada sebab nak elakkan sakit perut dan nak elakkan anak juga dapat kesan daripada pemakanan saya. Makan ikan haruan atau minum patinya tak? Saya cuba makan tapi allergik. Jadi saya tak makan. Huhu. Lagipun, saya pun tak jumpa informasi yang boleh memberi penjelasan secara klinikal apa yang menyebabkan ikan haruan ni dikatakan bagus. Setakat yang saya tahu, protein ikan haruan boleh menyebabkan parut luka (sama ada bekas jahitan episiotomy atau pembedahan di kulit perut) menjadi keloid yang tebal. Juga ada risiko boleh menyebabkan adhesion (lapisan dalam abdomen melekat-lekat) bagi yang melalui pembedahan. Wallahu a’lam.

Buah-buahan pula memang tak ada pantang larang. Saya makan semua buah untuk melancarkan penghadaman. Tapi emak dah pesan awal-awal, elakkan buah yang boleh buat saya rasa sakit badan. Setelah dieksperimentasi, saya dapati badan saya tak sesuai dengan tembikai dan saya memang tak sentuh langsung nangka sebab saya tahu saya boleh muntah jika makan nangka.

Bila badan segar dan bertenaga, saya boleh melakukan banyak aktiviti sendiri. Pada hari kedua selepas bersalin, saya mandikan anak sendiri. Boleh berlunjur memandikan Izz tanpa dibantu. Saya rasa segar. Memang ada hikmah menggunakan khidmat labor epidural ketika bersalin. Saya segar sejak selepas bersalin sehinggalah bila sudah pulang ke rumah keesokannya tu. Ditambah pula dengan penjagaan ketika berpantang secara tradisional yang bagi saya sangat membantu untuk menyegarkan kembali badan.

Orang tua-tua kata, jangan minum air banyak sangat ketika berpantang. Nanti badan kembang. Badan kembang, berat susah nak turun. Huk huk huk. Saya tak berpegang pada nasihat itu. Malah emak juga mengatakan tidak kepada petua itu. Dalam pantanglah kita kena minum air dengan banyak untuk memastikan susu dapat dihasilkan dengan cukup. Tak ada air atau kurang air dalam badan, susu takkan terhasil dengan baik. Jadi memang kena minum air. Tapi jangan minum aislah ye. Sakit badan nanti. T______T

Jadi perkongsian pengalaman ini sekadar sebagai satu garis panduan kepada kawan-kawan perempuan semua, yang kita kena ada ilmu dengan setiap apa yang kita pilih untuk dibuat atau diamalkan. Sama ada ketika mengandung atau berpantang. Jangan ikut dan buat membuta tuli saja. Kena tahu kenapa dan apa kesannya. Kena faham apa kebaikan dan keburukannya. Bab penyusuan lebih-lebih lagi. Kena ada ilmu. Kena timba ilmu. Cari, baca dan tanya. Jangan tunggu untuk disuap saja. Dah nak jadi mak-mak ni tak bolehlah malas. Suami pun sama. Kena banyak membaca untuk mengumpul ilmu.

Kalau setakat di mulut kata nak menyusukan anak dengan susu ibu tapi tak membuat persediaan mental dan fizikal serta niat di hati yang tak kuat gitu, memang inilah antara punca yang boleh menggagalkan penyusuan selama dua tahun seperti yang disarankan dalam Al-Quran. Kita kena ada ilmu dulu sebelum nak buat sesuatu tu. Bila ada ilmu, kita lebih bersedia untuk menempuh apa saja cabaran dan jika ada masalah mendatang, kita tahu bagaimana nak tanganinya.

Niat dan kesungguhan tu kena selari dan kuat. Kalau ada niat tapi kesungguhan cuma ala kadar, tetap tak boleh jadi juga. Suami kena beri sokongan dan doa yang berterusan untuk isteri. Kalau isteri yang bekerja, lagilah besar cabarannya. Jadi sokongan daripada suami sangatlah penting sebenarnya.

Saya tidak katakan yang ibu-ibu yang terpaksa memberikan susu formula sepenuhnya atau campur susu ibu dan di top up dengan susu formula adalah tidak bagus. Rezeki setiap daripada kita memang berbeza. Tapi sebelum terpaksa memberikan susu formula, marilah kita cuba sehabis baik dulu, seoptimum mungkin dulu, untuk menyusukan anak-anak kita dengan susu ibu. Gagal pada anak yang pertama tak bermakna kita tidak boleh mencuba dan berusaha untuk anak yang seterusnya. Kan?

Sekian karangan hari ini. Berjumpa lagi di karangan yang lain jika kertas kajang masih ada. Ngeeeee~ ^______^

Posted on April 30th, 2014 by Sarah  |  17 Comments »

Adik Izz

Assalamualaikum wbt

Kalau ikutkan, hampir tiada cerita tentang pengalaman mengandungkan anak kedua di blog ini. Hanya pernah sekali saya menyebut tentang anak kedua ini. Kasihan dia ye. Mama tak pernah cerita pasal dia di blog. Maafkan mama ye, adik. Mama sangat sibuk kali ni.

Hakikatnya, pengalaman mengandungkan anak kedua ini jauh lebih membuktikan anak ini juga kuat. Sekuat Izz dulu. Malah lebih banyak ujian yang kami sama-sama tempuhi.

Di awal-awal kehamilan, macam biasalah, saya punya hyperemesis tu sangatlah teruk. Sampai muntah darah berkoyan-koyan. Tapi kerja tetap kerja. Tak ada istilah MC apa bagai. Di OT, pasang IV drip untuk diri sendiri di sisi pesakit yang sedang dibius. Memang lembik habis badan. Di ICU pula, pernah saya terbaring di salah satu katil pesakit yang kosong dan menerima drip untuk hydrate diri sendiri. Bila sudah segar sikit, tiba-tiba pada malam yang sama suami memberitahu Izz tergeliat tangannya ketika bermain dengan ayahnya di rumah. Dalam pada lembik yang amat tu, saya menggagahkan diri ke bangunan lama hospital, bawa Izz untuk diperiksa di Kecemasan. Esoknya di rumah, saya ambil off pagi untuk memastikan Izz sudah kurang sakit, tiada fracture dan saya sendiri boleh berehat dulu sebelum meneruskan kerja.

Ya. Jabatan saya ni ada tiga orang MO saja waktu tu. Kawan seorang lagi pun mengandung. Kami bertiga memang tak menang tangan kalau ICU penuh dan kes OT penuh juga. Memang boleh menangis bila terlalu stress dengan kerja.

Dan seperti dulu juga, setiap kali muntah-muntah dengan teruk, muka saya akan dipenuhi petichae. Bintik-bintik pecah darah di seluruh muka. Memang muka tak siaplah kiranya. Kusam. Serabai. Tapi saya tak kisah. Lantakkan saja muka buruk. Huhuhu.

Episod muntah-muntah ni berlanjutan sehingga 20 minggu lebih. Yang paling terseksa ialah setiap kali hari yang oncall sebab bercampur dengan tekanan perasaan terpaksa meninggalkan Izz dengan suami di rumah atau kerana memikirkan Izz yang terpaksa tidur di rumah pengasuhnya jika di hujung minggu. Memang tak terkata stressnya. Saya stress sebab bilamana saya meletakkan diri saya di posisi Izz, saya merasakan Izz seakan kekurangan kasih sayang. Bila hujung minggu, ayahnya pergi kelas dan dia di rumah orang sebab mamanya pula oncall. Bukankah macam kanak-kanak terbiar saja bunyinya? T_____________T

Dan bila oncall di hujung minggu tu, memang lagi terasa kepenatannya sebab saya memang lintang-pukang bergegas menyiapkan sarapan dan lauk untuk Izz bagi dibekalkan ke rumah pengasuh dia. Petang-petang jika keadaan di ICU terkawal dan tiada kes OT, saya memang bergegas ke rumah pengasuh untuk melihat Izz. Biar sekejap dapat melihat dia, tapi saya tak mahu dia rasa dia dipinggirkan sepenuhnya. T____________T

Begitulah rutin saya. Lintang-pukang di rumah uruskan makan minum Izz sebelum ke rumah pengasuh, tunggang-langgang di OT dan ICU bersama pesakit, pergi-balik dengan pecutan F1 antara hospital dan rumah pengasuh Izz untuk melihat dia dan bila malam pula main cak-cak dengan hantu di bilik oncall. Eh???

Dan setiap senja Ahad, suami saya akan pulang dengan menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur. Saya akan membawa Izz pergi menjemputnya di terminal bas. Sebab itulah sampai sekarang ni pun, kalau Izz ternampak bas ekspres, dia akan menyebut: Ayah naik bas. Pergi belajar.

Syahdu hati…. T________T

Dalam tempoh mengandung kali ni juga, saya sangat banyak menempuh perjalanan jauh. Ada sesetengah tu sebab nak balik kampung atau pergi ke destinasi rutin bulanan kami yang lain. Tapi, banyak juga destinasi sampingan yang saya terpaksa pergi walaupun hati tersangatlah berat untuk ke sana. Sebab terpaksa berjauhan dengan anak. Saya tak sanggup. Tapi terpaksa. Dah tu nak buat macam mana.

Solusinya, contohnya ketika mewakili Hospital Kuala Lipis ke Konvensyen KIK peringkat Negeri Pahang tahun lalu di Bukit Gambang Resort, sebenarnya pengurusan hospital tak meluluskan untuk claim hotel di sana. Lantakkan. Saya usung juga suami dan anak sekali. Mahal pun mahallah. Saya tak sanggup tinggal anak berhari-hari semata-mata kerana terpaksa melibatkan diri dengan KIK ni. Sudahlah kita bersusah-payah menjayakan projek KIK itu, bila terpilih ke peringkat negeri, nak claim apapun tak boleh. Kedekut betul, dowh. *bak kata orang muda sekarang*. Walaupun ketika di sana saya memang sedang muntah-muntah dahsyat, Alhamdulillah setidak-tidaknya penyertaan sulung kami di sana membuahkan hasil. Dapat tempat kelima keseluruhan bagi kategori teknikal. Dan lebih puas hati sebab suami dan anak ada sekali di sisi.

Lagi contoh lain, bilamana saya terpaksa menghadiri cramped course persediaan untuk pengajian peringkat sarjana di Kuala Terengganu hujung bulan November dulu. Yang tu memang remuk-redam hati sebab 5 hari terpaksa meninggalkan Izz. 2 setengah hari di rumah pengasuhnya. Lagi 2 hari setengah di rumah emak ayah saya di Temerloh. Kebetulan waktu itu suami saya juga sedang sibuk dengan exam. Dia hanya dapat menghantar saya ke sana, kemudian balik ke KL dengan kapar terbang, kemudian balik ke Lipis dengan bas ekspres, kemudian emak ayah saya menjemput mereka berdua di Lipis untuk dibawa pulang ke Temerloh, seterusnya suami saya menaiki bas ekspres ke Kuala Terengganu untuk menjemput saya dan memandu pulang ke Temerloh untuk menjemput Izz, dan terus ke Kuala Lipis pada malam yang sama. Sebaik Izz melihat kami berdua tiba di perkarangan rumah emak, dia berlari sambil menjerit: Mama ayah!!!!

Menangis terus saya dan dan tu juga… T____T

Sebenarnya ada sedikit isu tentang sambung belajar ni. Hakikatnya hakikatnya hakikatnya, saya sangat berbelah bahagi untuk memohon master pada tahun lalu. Ada banyak faktor yang saya pertimbangkan. Suami masih belum habis pengajiannya, saya mengandung, keterbatasan waktu dengan keluarga, kesibukan yang pasti akan mengoyak mencarik jiwa dan terpaksa mengharungi semula stress zaman belajar dulu-dulu kala.

Saya yakin saya orang yang memang akan bersungguh-sungguh dalam apa yang saya lakukan andai kata terpilih ke program master tersebut. Macam saya yang dulu-dulu. Yang jenis pulun sampai habis. Tapi saya juga yakin, saya pasti akan mengorbankan sesuatu. Apalagi kalau bukan kualiti bersama keluarga. Dari segi masa, pengurusan anak-anak dan saya was-was bolehkah saya menjayakan penyusuan untuk anak kedua cukup sehingga dua tahun dengan keterbatasan waktu yang super dahsyat jika sedang membuat master nanti. Sudahlah oncall macam biasa, kena study lagi. Oh-hoi. Tak sanggup nak dibayangkan.

Tapi, saya teruskan juga permohonan master untuk Anestesiologi dan Rawatan Kritikal. Cita-cita nak jadi pakar tu memang sangat ada. Tapi waktu saya memohon program sarjana tu bukanlah atas sebab cita-cita saya. Tapi lebih kepada kerana saya tak tahan dengan desakan daripada konsultan saya dulu. HAHAHAHAHA. Jadi, untuk mengelakkan diri daripada dileter 24 jam, dipaksa dikerah untuk mengisi dan menghantar cepat-cepat borang permohonan, maka saya pun terpaksa buat semua itu untuk menenangkan jiwa. HAHAHAHA. Sedangkan hati tak rela pun. Harap-harap konsultan saya tak baca blog saya ni. Begitu juga dengan pakar-pakar saya yang lain. Muahaha.

Iyalah. Kalau dapat master, program akan bermula pada 1 Jun 2014. Due date bersalin pada 17 Mei 2014. Tak sanggup saya membayangkan saya hanya sempat betul-betul fokus pada anak kedua ini selama 2 minggu saja. 2 minggu tu terlalu kejap! Stok EBM lagi. Kualiti kesihatan diri sendiri lagi. Kualiti masa dengan anak-anak lagi. Kasihan suami pula yang terpaksa menanggung segala bebanan nanti. Dia pun mesti stress juga kalau tak kena gaya nanti.

Jadi, atas persetujuan bersama suami, saya isi juga borang permohonan, studi apa yang mampu untuk exam di Kuala Terengganu dan entrance exam di Kuala Lumpur, ikut saja apa yang konsultan saya harapkan tapi kalau tak dapat master ni, saya takkan kecewa walau sedikit pun. Malah gembira! Malah bahagia! Malah suami pun sebenarnya mengharapkan saya tak berjaya dulu untuk percubaan kali ini! Dan segalanya menjadi kenyataan! Sebaik keputusan saringan master peringkat kedua telah keluar, saya tidak berjaya untuk ke peringkat seterusnya. Dan saya sangat berterima kasih dengan Tuhan kerana menggagalkan saya untuk kali ini. Sebab saya ada banyak tanggung jawab lain yang lebih penting untuk saya laksanakan dulu. Sebab saya tahu kegagalan ini sangat bermakna dan besar hikmahnya buat saya dan keluarga.

Waa. Panjang dah entri ni. Tapi tak terasa nak berhenti lagi. Jadi mari sambung sikit lagi.

Dalam pada suami saya sedang bertungkus- lumus dengan semester akhir untuk pengajiannya di UPM ni, Alhamdulillah ada rezeki datang bergolek untuk kami sekeluarga. Dia telah ditawarkan bekerja dalam bidang yang sangat handy dan dekat di hatinya. Kerana bidangnya adalah 100% berkaitan remote sensing dan GIS yang sangat diminatinya. Dia bersetuju. Saya menyokong. Lalu bermulalah episod kehidupan baru untuk kami sekeluarga.

Suami saya akan memulakan kerjanya di Subang Jaya. Usia kandungan pula sudah 30 minggu lebih. Dia tidak sampai hati meninggalkan Izz dengan saya kerana natural kerja saya yang ada oncall dan terpaksa mengurus Izz seorang diri dalam keadaan sarat pasti memenatkan. Tambahan pula, sejak Izz berumur 2 tahun, kami sepakat mula menghantar Izz ke taska untuk memberinya lebih pendedahan hidup berkawan, berkomunikasi dan membuat aktiviti yang lebih educational di sana. Kebetulan pula taska itu tidak boleh menerima jagaan di waktu malam atas sebab-sebab tertentu.

Jadi, Izz pun dibawa tinggal bersama suami saya di rumah mertua di Putrajaya. Dia ke taska pada siang hari dan selebihnya Izz diuruskan oleh ayahnya setelah balik dari kerja.

Saya? Saya memang remuk-redam bermandian air mata hampir setiap hari sebab terlalu rindukan Izz. Terlalu rindu. Suami selalu memujuk: Tak apalah. Abang jaga Izz. Sayang jaga baby. Tak lama lagi kita duduk sama-sama dah.

Kadang-kadang terpujuklah juga sebab saya tahu Izz berada dalam jagaan tangan-tangan yang baik di sana. Ada ayah dia, atuk, nenek, mokde, paksu ketika di rumah dan ada teacher yang sangat berkarisma ketika di taska. Taska Izz juga sangat best. Ada pelbagai aktiviti untuk peringkat umur dia. Berkebun, lawatan ke Farm in the City, camping di MPOB dan banyak lagi. Banyak skil baru yang menyerlah pada Izz. Terutamanya dari segi komunikasi dan interaksi dengan kawan-kawan. Izz jauh lebih petah dan pandai menggunakan akal kritis. Terima kasih saya ucapkan kepada guru-gurunya di taska tersebut.

Dalam pada hidup berjauhan ini, di saat saya kembali tinggal seorang di Lipis, saya kembali muntah-muntah dengan teruknya. Setiap kali balik kerja memang melepeklah saya sebab terlalu lembik. Kalau hari oncall, terpaksa jugalah menggagahkan diri memandu di temgah malam untuk ke hospital kembali jika ada kes. Dan hampir setiap hujung minggu saya akan memandu ke Putrajaya untuk bertemu Izz dan suami. Pernah pada satu hari, suami saya kata dia hendak membawa Izz balik ke Lipis pada sebelah malamnya untuk bertemu saya. Tapi pada tengahari Jumaat itu, saya menerima panggilan telefon daripada ummi yang memberitahu Izz kurang makan di taska, badan agak dedar dan telahan ummi ialah, Izz rindukan saya.

Saya yang ketika itu baru saja selesai membeli barang keperluan untuk membuat mee goreng basah seperti yang di request oleh suami untuk dimakan bilamana dia sampai malam itu, terus menukar plan. Saya singgah di rumah, capai beg baju yang sentiasa tersedia untuk dibawa ke mana-mana dan terus memandu pulang ke Putrajaya. Penat memang tak terkata sebab saya postcall ketika itu. Saya bercakap dengan baby, kita kena bertahan, kena kuat untuk teruskan juga perjalanan itu sebab Abang Izz rindukan kita. Alhamdulillah. Di sepanjang perjalanan, adik baby tak meragam apapun dalam perut. Tak ada perut mengeras-ngeras pun. Saya selesa memandu. Walaupun hari hujan lebat yang amat sangat ketika di Bukit Tinggi, Genting Sempah sehinggalah masuk ke MRR2. Jam tak usah katalah. Tersengguk-sengguk kereta bergerak.

Sebenarnya saya masih trauma memandu dalam hujan lebat. Sebab kemalangan dulu terjadi ketika hujan lebat. Tapi apa lagi pilihan yang saya ada. Saya nak jumpa anak saya. Saya nekad nak menjemput sendiri Izz petang itu di taska. Supaya saya boleh bertemu dengan teacher di sana juga untuk bertanyakan tentang Izz. Alhamdulillah, lebih kurang 5.40 petang, saya tiba di sana. Sebaik Izz terlihatkan saya, dia datang memeluk dan berbisik “mama” di telinga saya.

Menangis terus saya di situ. T_____T

image

Dan hujung minggu itu kami habiskan bersama-sama. Bila tiba hari Ahad, selepas suami saya bertolak menuju ke kelas pada sebelah tengahari, saya pun menidurkan Izz. Selepas dipeluk cium sepuasnya, saya pun bertolak pulang ke Lipis. Ini rutin hujung minggu saya. Buat beberapa ketika. Sehinggalah pada satu hari, ketika sedang bekerja di OT, saya merasakan contraction. Semakin lama semakin regular. Pakar O&G mengarahkan saya untuk membuat CTG segera. Waktu itu saya baru hendak mencecah 35 minggu. Masih belum term lagi.

CTG reactive dan toco menunjukkan memang saya ada contraction. Masih mild. 1 in 10 saja. Tapi saya terpaksa ditahan di wad untuk tocolysis. Teringat Izz dulu pun saya mengalami prematyre contraction. Jauh lebih awal dan teruk. Alhamdulillah kali ini labor tidak progress dan os masih close. Tocolysis berjaya dan keesokannya saya dibenarkan pulang. Sepanjang dimasukkan ke wad, saya sendirian menguruskan diri sendiri dan baby. Memang di dalam kereta saya telah sediakan beg mama dan baby untuk ke hospital. Jadi saya hanya turun ke parking di basement hospital untuk mengeluarkan beg saya, beli sedikit bekalan makan minum untuk duduk di wad dan kemudian masuk ke wad dengan sendiri. Tiada yang meneman atau melawat. Sebab saya taknak susahkan suami dan keluarga saya. Saya tahu saya boleh uruskan semuanya sendiri. Sebab suami saya sendiri pun ada Izz untuk diuruskan dan emak ayah pula ada adik yang masih bersekolah untuk diuruskan.

Sebaik dibenarkan pulang dengan MC rehat seminggu, saya memandu sendiri balik ke rumah. Jiran saya ingatkan saya tak balik rumah sebab oncall tapi sebenarnya saya admitted. Senja itu saya bergerak pulang ke rumah emak ayah di Temerloh. Sampai sudah malam. Sudah sangat keletihan. Dan keesokannya suami saya sampai dengan membawa Izz bersama. Suami perlu outstation ke Sabah selama seminggu. Izz saya minta ditinggalkan dengan saya. Sebab saya hendak meluangkan masa bersamanya. Sepulangnya suami dari Sabah, barulah kami dapat berkumpul bertiga. Itupun cuma sehari saja. Pagi Ahad suami dan Izz telah bertolak balik kerana dia ada kelas di sebelah tengaharinya dan saya kembali ke Lipis kerana cuti telah tamat.

Dalam pada hidup berdua saja dengan adik baby yang sangat baik dalam kandungan, sepertimana Izz dulu, saya sempat mengkhatamkan dua kali Al-Quran. Saya teringat dulu pernah mengadu pada suami yang sangat banyak masa dihabiskan di hospital dengan kerja sehingga sangat kurang masa mengaji untuk anak kedua ini. Sampai pernah menangislah pada suami kerana isu ini. Rasa kurang pengisian rohani untuk adik baby dan diri sendiri. Rupanya, bila hiduo berasingan, Allah pulangkan semula peluang itu. Allah bagi masa banyak sangat pada mama untuk mengaji dengan adik baby, tau. Bravo adik baby! Allahummarhamna bil Quran!

Dan sebaik telah term saja usia kandungan, pada hari yang suami dan Izz ada balik ke Lipis (kerana suami saya tak bagi dah saya memandu jauh-jauh), saya merasakan baby kurang gerak. Reduced fetal movement. Memang pada hari Jumaat yang lepas di saat hanya tinggal dua orang MO saja di jabatan saya, kami super duper busy sehinggakan kami berdua bekerja sehingga ke tengah malam. Walaupun sudah mula reduced fetal movement pada malam itu, saya sedapkan hati dengan teori bahawa mungkin saya terlalu penat dan perlukan rehat.

Tapi keesokannya pada hari Sabtu, adik baby langsung tak gerak. Dari pagi sehinggalah ke petang. Selepas Asar, saya bertanyakan pendapat kawan-kawan O&G. Mereka suruh saya ke labor room stat untuk dibuat CTG dan scan. Pada mulanya CTG nampak sleeping pattern. Tapi selepas stimulation dan positioning dibuat, Alhamdulillah CTG sudah reactive. Saya dinasihatkan untuk masuk wad kerana memerlukan pantauan ke atas jantung bayi. Tapi dasar doktor keras kepala kan. Sebenarnya saya berat hati untuk masuk wad sebab suami dan Izz baru saja semalam tiba di Lipis. Tak puas lagi hadap muka mereka. Saya beri jaminan boleh datang bila-bila maaa aaja untuk repeat CTG. Pakar mengiziznkan memandangkan jarak rumah saya yang hanya 5 minit dari hospital.

Pada pukul 10 malam, saya kena ke labor room semula untuk pemeriksaan CTG. Tapi kali ini nasib tak menyebelahi saya. Keadaan jantung adik baby tidak reactive. Dah buat positioning dan stimulation pun masih suspicious lagi. Kebetulan tiada pakar Anesthesiologi yang cover pada hujung minggu kerana pakar kami yang betul sedang cuti bersalin. Dengan pasrah, saya terpaksa dirujuk ke HoSHAS kerana fetal distress.

Izz masuk ke labor room bersama ayahnya untuk menyerahkan barang-barang saya. Izz naik ke atas katil dan memeluk saya. Saya menerangkan kepadanya bahawa keadaan adik baby tidak stabil. Jantung adik baby nampak lemah. Jadi mama dan adik baby oerlu dihantar dengan ambulan ke HoSHAS dengan segera. Izz mengangguk dan berkata “okay”.

Tapi saya masih sangat sedih. Kerana baru sekejap saya bertemu mereka, saya pula yang perlu di admit. Keadaan masih 50-50 sama ada memerlukan pembedahan atau tidak di sana nanti. Dan saya juga rasa bersalah kerana kalau ikutkan, pada Ahad tengahari itu tiba giliran suami saya untuk membuat presentation thesisnya.

Dr. Maw, Pakar O&G di Lipis yang sangat keibuan itu memeluk saya. Dia menenangkan saya. Lagi cepat dapat dirujuk dan diteruskan dengan apa-apa intervention yang diperlukan segera, suami saya pun boleh cepat-cepat bergegas ke UPM untuk urusannya. Saya rasa sedikit terpujuk dan tenang. Suami saya pula berkata, dia sudah emailkan kepada pejabat dekan dan pensyarahnya berkaitan hal kecemasan yang terjadi dan meminta tarikh untuk presentation itu ditukarkan. Alhamdulillah. Maka saya pun berangkat dengan menaiki ambulans dan suami serta Izz menurut menggunakan kereta.

Sebaik tiba di HoSHAS, CTG pada mulanya masih tidak reactive. Tapi saya diberi peluang untuk makan dulu dan di hydrate dengan drip. Saya pun apa lagi. Bedal makan kurma yang ada sepaket penuh dalam beg saya ketika itu. Apabila CTG dibuat semula, Alhamdulillah sudah menunjukkan adanya acceleration dan saya tidak perlu menjalani pembedahan kecemasan caeserian section di awal pagi itu. Saya dimasukkan ke wad dan dipantau. CTG dibuat secara regular dan strick fetal kick chart. Alhamdulillah pada siang Ahad itu adik baby sudah aktif semula dan CTG juga sudah reactive.

Sebentar tadi ada satu CTG yang kurang memuaskan. Sleeping pattern. Tapi selepas diteliti oleh pakar bertugas yang suatu ketika dulu menjadi pakar idola hati saya di O&G, Dr. Jalilah, beliau membenarkan saya balik dulu, tapi masih perlu datang untuk membuat daily CTG di labor room. Lega sungguh rasa hati. Alhamdulillah.

Adik baby, setakat ni, inilah yang telah kita sama-sama lalui. Ada banyak lagi sebenarnya. Tapi mama dah tak boleh nak ingat semuanya. Tapi adik baby memang sangat baiklah. Mama pun tak ada mengidam apapun semasa mengandung kali ni. Senang ayah nak jaga kita. Haha.

Insya Allah saya mengharapkan proses bersalin kali ini juga akan dipermudahkan Allah. Dan saya berniat, berazam dan bertekad untuk menyusukan anak kedua ini dengan susu ibu sehingga genap 2 tahun seperti Izz dulu, insya Allah. Semoga Allah permudahkan segalanya!

Dan untuk yang terakhirnya, demi suami dan anak-anak tersayang, saya telah memohon pertukaran keluar daripada hospital ini. Dan pertukaran ini adalah satu perubahan besar yang akan mengubah hala tuju hidup dan kerjaya saya tapi saya yakin ia adalah yang terbaik untuk keluarga kecil kami ini.

Biarlah apa orang kata dengan perubahan yang saya buat itu. Yang pasti suami saya redha dan saya yakin pengorbanan itu yang terbaik untuk kami semua insya Allah.

image

Habis dah cerita. Nak tunggu ayah jemput keluar dari hospital dah. ^____^

Posted on April 28th, 2014 by Sarah  |  27 Comments »

Dilema

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam dah terlalu lama blog ni ditinggalkan rupanya. Kalau ikutkan saya yang memang suka menyimpan kenangan dalam bentuk tulisan, hari-hari pun saya nak update blog. Hari-hari pun nak menulis sesuatu di sini.

Tapi naluri hati saya sebagai isteri dan ibu menidakkan semua tu. Balik saja dari kerja, tumpuan utama saya ialah keluarga. Yakni suami dan anak. Saya dah tak kisah dah hal-hal lain. Saya memang kisahkan urusan keluarga kecil kami ni saja.

Kalau hari yang oncall, saya tak tipu yang saya boleh menangis di OT atau ICU teringatkan anak di rumah. Kasihan pada suami yang terpaksa menggalas tanggung jawab di rumah menggantikan saya. Saya rasa loser. Kalah. Sebab kalau boleh saya nak laksanakan sendiri semua tugas saya.

Tapi hakikatnya tidak boleh begitu. Kerana saya juga seorang doktor yang ada tanggung jawab terhadap pesakit-pesakit saya.

Isu ini memang menjadi dilema besar untuk saya. Besar sangat. Sehinggakan memang dilema inilah yang menjadi asbab utama untuk saya mudah tertekan lalu menangis bila oncall. Rindukan anak di rumah. Kasihankan suami. Sadis anak terpaksa tidur di rumah pengasuh jika oncall di hujung minggu kerana suami tiada. Rasa tidak lengkap menunaikan tanggung jawab untuk dua orang insan itu.

Stress sebenarnya bila ada keterikatan yang terpaksa dipecah dua antara keluarga dan kerjaya. Membuak-buak sebenarnya rasa hendak berhenti, duduk rumah jaga anak dan suami dan kemudian memulakan perniagaan sendiri. Tapi bukan semudah tu saya boleh buat begini. Sebab saya ada banyak tanggung jawab buat masa ini.

Cukup dulu untuk hari ini. Ini percubaan saya menggunakan WordPress for Android. Satu applikasi yang saya harap boleh memudahkan saya untuk lebih kerap dapat menulis di sini. Di dunia saya. Sebab saya lega apabila dapat menulis di sini. Dan supaya saya ingat segala nota-nota perjalanan susah-senang hidup saya dan keluarga dalam membentuk sebuah kehidupan yang kami mahu. Sebelum pulang ke pangkuan ilahi.

image

Izz

Nota: Ada lagi ke pembaca di sini? Hmm…

Posted on April 24th, 2014 by Sarah  |  12 Comments »