Terasa Hati
Assalamualaikum wbt
Kalau empat hari pertama cuti saya bangun awal pagi seperti hendak ke hospital, tapi sejak tiga hari kebelakangan ini saya bangun lambat kerana tidak tidur malam langsung. Saya benci sungguh hendak makan ubat saya. Dunia tidur saya terbalik. Saya langsung tidak boleh tidur di waktu malam. Selepas Subuh, baru saya mulai mengantuk. Bertahan. Bertahan. Stok ubat ini hanya untuk seminggu saja lagi.
Semalam, sudahlah bangun lambat (membuka pekung di dada sungguh penyataan ini), ditambah dengan sakit tengkuk pula. Ya Rabbi. Saya tak boleh nak memusingkan kepala dengan normal. Macam robot jadinya. Ini gara-gara saya tidur berbantal. Ya. Saya tidur berbantal. Pelik sungguhlah kan sebab orang lain boleh sakit tengkuk jika tidur tak berbantal. Saya memang biasa tidur tidak berbantal. Luruskan saja badan dan bantal semua jadi penutup muka saja. Tapi semalam selesai Subuh, terlalu mengantuk, saya naik katil dan tak sempat hendak mengalih bantal dan terus tertidur.
Sepatutnya saya dah berpakat dengan Wanie dan Diba untuk ke Ashan City hendak membeli barang rumah. Sebelum itu mereka ke Dean’s Office. Saya tinggal di rumah. Tapi selesai Asar saya tidak rasa saya larat hendak keluar ke sana. Saya menelefon Wanie membatalkan penyertaan saya. Sebaliknya saya turun ke pasar di sebelah ni untuk membeli sabun basuh baju, jus dan shaurma (kebab ayam) untuk dibuat berbuka. Sebelum itu Emy ada mesej memaklumkan dia makan di luar dan akan lambat untuk balik memasak.
Ketika membeli sabun pun ada kisahnya. Saya ni peliklah. Apa saya ni terlalu kecilkah sehingga orang selalu menganggap saya ni budak-budak? Ok. Bukanlah budak-budak yang macam kanak-kanak tu tapi masih muda dan tak layak untuk membuat banyak hal lagi. Juga saiz saya tidak berkadaran dengan banyak kerja. Saya tidak pernah terasa sebelum ini kalau orang kata saya rendah ke, kecil ke atau apa-apa sajalah kerana jika di Malaysia, ketinggian seperti saya ini adalah normal.
Tapi semalam, ketika hendak membeli sabun basuh paket besar 5 kg, makcik kedai itu membuatkan saya terasa. Pada mulanya saya hendak membeli yang 9 kg, saiz terbesar yang biasa digunakan di rumah saya tapi saya tidak larat hendak membawa balik kerana saya ada membeli dua kotak besar jus. Saya bertanyakan harga padanya dan dia bertanyakan semula pada saya adakah saya yang akan mengangkatnya balik. Tak menjawab soalan sungguh makcik tu. Saya katalah iya. Siapa lagilah yang hendak mengangkatnya kan.
Makcik itu tergelak. Mula-mula kecil-kecil saja dia tergelak. Lepas tu makin menjadi-jadi pula. Sampai saya dah nak balik pun dia ketawa lagi. Siap tutup-tutup mulut lagi nak elak ketawanya pecah besar. Dia kata, saya ni kecil, benda tu berat. Macam mana nak bawa balik. Kerja-kerja macam ni tak sesuai untuk saya ni. Saya terasa sungguh dalam hati. Ada lagilah beberapa perkara yang dia katakan. Saya senyum sajalah. Tapi dalam hati saya terasa sungguh. Selepas membayar, saya menjawab segala hujah-hujah makcik itu tentang ketidaksesuaian kekecilan saya dengan kerja yang saya lakukan dengan berkata: Kak sdelat? (Dah tu, apa boleh saya buat?)
Sebal sungguh hati bila balik ke rumah. Maghrib masuk, saya berbuka dengan syaurma yang dibeli tadi. Minum jus, solat Maghrib dan melayan internet sekejap sementara menunggu Isyak. Sebaik azan saja, saya terus solat dan kemudian naik ke katil. Baru hendak tidur, saya mendapat panggilan daripada emak ayah. Mesti emak ayah sedar betapa saya tak ada mood sangat nak bercakap. Yang lagi ajaib, waktu itu di Malaysia sudah pukul 12.15 malam. Emak ayah pun tidak tidur lagi tapi saya yang di sini sudah hendak tidur. Sedangkan baru pukul 7.15 saja.
Saya terjaga sekitar 1.15 tadi. Saya lapar sebenarnya. Tadi saya berbuka dengan syaurma saja. Tapi ni dah tengah malam pula untuk makan benda berat. Sakit tengkuk berkurangan sedikit tapi masih sangat sengal untuk pusing keliling. Kalau ada mata macam sumpah-sumpah kan seronok. Tak perlu gerakkan tengkuk untuk melihat keliling. Tapi buruk sungguhlah kalau manusia bermata sumpah-sumpah kan. Saya boleh masuk Genius Book of Records kalau sungguh saya ada mata begitu! Eh apa pula. Buku Perkara-perkara Ajaib Di Dunia lah yang tepatnya!
Fahamkah apa yang saya nak cerita dalam entri ni? Saya nak kata saya terasa saja sebenarnya. Saya normal je sebenarnya tapi di sini saya selalu dikatakan kecil sangat dan rendah. Terasa sungguh. Dengan selingan pasal sakit tengkuk, mata sumpah-sumpah semua tu, tu penyeri dan pemanjang entri saja.
Nota 1: Tahukah anda, saya adalah pengamal perubatan yang masih percaya dengan teori angin dalam urat saraf dan segala yang agak tidak logik diterangkan dengan konsep ‘angin’ tu. Haha.
Nota 2: Sebenarnya, bila kita terasa dengan orang, ada doa yang boleh kita lafazkan doa: Alhamdulillahi ‘ala kulli hal (Segala puji bagi Allah atas segalanya) (Al-Albani mentashihkan hadis ini dalam Sahih Al-Jami’ 4/201). Dulu waktu kecil-kecil, bila bergaduh mulut dengan sepupu-sepupu dan diejek itu ini, modalnya nak bagi dia sakit hati ialah dengan menyebut Alhadulillah. Sebab dia tahu orang yang dikeji bila disebutkan Alhamdulillah akan mendapat pahala daripada kejian yang diterimanya (ni Tok yang cerita dulu-dulu).
Sepupu: Awak tu dah lah hitam.
Saya: Alhamdulillah.
Sepupu: Eii. Buruk pulak tu.
Saya: Alhamdulillah.
Sepupu: Rambut pun buruk jugak.
Saya: Alhamdulillah je laaaaa.
Sepupu: Eiii. Maaaaaaaak. Tengok Kak Ngah!
(Ahahaha. Dia bengang sebenarnya!)

