Jangan Terkejut Lagi
Assalamualaikum wbt
Ucap tama untuk hari ini, selamat hari lahir untuk roommate saya, Fatt. Dah 22 tahun dah umurnya. Semoga dimurahkan rezeki dalam segalanya. Malam tadi kami serumah masak-masak dan menjemput kawan-kawan yang dah balik dari bercuti datang ke rumah. Buat ringkas saja.Kawan-kawan rapat saja.
Yang seronoknya, bila bertemu dengan junior-junior saya ni, banyaklah cerita yang keluar. Paling lucu, bila saya dan Wani Mohammad bersidang berdua atas katil bercerita itu ini sehingga hampir 1 pagi. Topik perbualan kami punyalah luas. Bermula dengan cerita haiwan peliharaan kucing-kucing di rumah, melompat ke cerita haiwan yang menggelikan lipas, katak pisang semua tu, terus ke cerita ular lidi, ular kapak masuk rumah, cerita macam mana kucing masing-masing mati pula, melompat pula ke cerita rumah hendak dimasuki pencuri zaman dulu-dulu dan diakhiri dengan cerita budak-budak minum ubat batuk.
Lengkap satu kitar dunia, barulah kami tiba ke topik yang boleh memberikan kesimpulan dan peringatan yang baik untuk kami. Cuba bayangkan kalau kami berhenti setakat cerita katak pisang melompat dari lubang jamban ke atas, apa faedahnya yang kami dapat ye? Nasib baik waktu kawan-kawan serumah Wani ni nak berangkat balik, kami dah tiba ke cerita ketagih minum ubat batuk tu. Ada juga pengajarannya. Hehe.
Selesai semuanya, kami mengemas meja, rumah dan dapur. Masya Allah. Banyaknya lipas bila musim sejuk ni. Serius. Esok servis racun lipas tu akan datang ke rumah untuk menyembur racun. Keadaan di sini pelik. Lipas memang banyak tapi kecil-kecil saja saiznya. Kalau nak dibandingkan dengan lipas Malaysia yang besar dan boleh terbang tu, memang jauh panggang dari api jawabnya. Lipas sini kalau ditemukan dengan lipas Malaysia memang akan merasakan kompleks inferioriti yang tinggi. Jadi tadi kami mengosongkan dapur kami kerana servis itu akan datang pagi esok dan demi kebersihan dan keselamatan pinggan mangkuk periuk kuali kami, semuanya kami pindahkan ke ruang tengah rumah.
Selepas selesai urusan pindah randah, saya mengambil pewangi rumah dan dengan sengajanya saya gunakan sebagai penyembur serangga. Haha. Berlonggok mati lipas kecil-kecil tu. Serba guna juga rupanya penyembur ni. Harum semerbak dapur saya. Selesai menyapu, masuk ke bilik dan terus hendak tidur. Tapi Fatt, Mily dan Sha baru hendak mula menekun menonton filem Rogue. Kisah buaya ganas yang telah membaham ramai orang. Saya tak berhajat hendak turut serta. Jadi saya duduk menyandar di katil hendak menyambung membaca buku The Last Tsar itu. Tapi posisi itu membolehkan saya melihat skrin laptop Fatt.
Kemudian saya baring. Dari celah kerusi dan meja belajar saya, saya dapat melihat skrin juga. Bila saya paling ke arah bertertangan, memang tidak dapat melihat apa-apa tapi suara memang jelaslah kedengaran kan. Sampaikan, saya yang dah baring tu pun dapat menerangkan apa yang terjadi kepada mereka yang menonton! Sudahnya, saya capai cermin mata, duduk di atas katil dan menonton dari jauh.
Ya Rabbi. Rasa nak tercabut anak tekak saya menonton filem itu. Asyik terkejut itu, terkejut ini. Saya yang paling jauh dari skrin. 3 meter kot jaraknya. Tapi saya yang paling selalu terkejut. Dah namapun penakut kan. Kena sergah sikit dek buaya besar tu, saya dah menjerit dah. Bila ada satu babak ni, saya dah mula ada semangat untuk menonton dari dekat (tapi saya tanggalkan pula cermin mata saya). Hahaha. Jadi saya menyelit di tepi Sha. Tiba-tiba, waktu itulah buayanya muncul. Saya terus cabut duduk di meja saya. Menonton dari jauh lagi baik untuk saya kot. Haha.
Jalan ceritanya kira baguslah juga. Cuma pelik kenapalah bantuan keselamatan lambat sangat tiba. Macam tak logik saja. Kalau dah namanya safari air, patutnya sebarang kehilangan dikesan dengan segera jika bot tidak pulang pada waktunya, kan. Ok ok. Saya bukan hendak buat review pun kat sini.
Tapi sekarang yang saya perlukan ialah air masak dan ubat batuk (Eh, ubat batuk? Baru tadi dapat pengajaran. Tapi saya bukan nak tonggak minum sampai ketagih tu. Hehe). Tekak sakit. Harap nanti saya kahwin dengan orang yang tak berapa nak berani macam saya juga. Jadi tidaklah dia ajak saya tengok cerita seram, hantu atau yang memerlukan kuasa tekak untuk menjerit ni. Menjerit dan terkejut (dan ketakutan) pada masa yang sama adalah sangat memenatkan.
Nota: Belajar tanpa terikat dengan jadual kelas adalah sangat santai. Cepat betul masuk. Alhamdulillah 😉

