Assalamualaikum wbt
Sudah berhari-hari blog ini terbiar. Apa nak jadilah dengan saya ni. Tak bersyukur betul. Allah tarik nikmat nanti, baru tahu peritnya hidup tidak mempunyai blog. Huhuhu.
Apa yang buat saya hendak menulis ni pun setelah mendapat peringatan secara tidak langsung. Tadi saya cuba membuka Imeem saya seperti biasa. Tidak boleh pula. Adakah kerana sudah berminggu-minggu saya tidak membukanya? Cuak saya. Blog pun sudah berhari-hari tak dibuka ni. Nanti jadi macam Imeem pula. Boleh terkena tonic-clonic seizure agaknya kalau tidak boleh menulis di sini lagi. ๐
Ada banyak perkara yang terjadi dalam seminggu ini. Seperti biasa, hujung minggu saya tidak pernahnya kosong dan lapang. Sentiasa penuh dan meletihkan. Terlebih dahulu, pada hari Jumaat malam, saya terpaksa membatalkan usrah bersama adik-adik usrah saya kerana ada hal yang perlu saya uruskan (Mereka baca blog ni, kena terangkan elok-elok ni. Hehe). Bermula dengan hari Sabtu tengahari, saya menghadiri ceramah Fiqh Perubatan yang dikupas oleh Ustaz Muhammad Bin Abdullah Al-Amin. Saya sangat hendak kongsikan ilmu yang saya dapat di sini. Ilmu feqah dalam bidang perubatan bukan setakat untuk pengamal perubatan saja sebaliknya melibatkan semua orang kerana secara fitrahnya, kita yang bergelar manusia ini pasti ada masanya akan sakit dan memerlukan rawatan. Insya Allah, bila saya lapang nanti, saya akan kongsikan.
Seterusnya pada hari Ahad, di sebelah pagi saya menghadiri usrah seperti biasa. Sesi bersama rakan-rakan usrah saya adalah peruntukan masa yang paling menggembirakan dalam kitaran tujuh hari seminggu. Walaupun berjumpa tidak lama mana, tapi kesan dan ilmu yang diperolehi itu betul-betul dapat mendidik dan melentur hati. Aishh. Kenapalah hati saya ni keras dan pejal sangat. Nasib baik Allah campakkan saya hidup di kalangan kawan-kawan yang baik budi dan hati. Sumpah saya akan menyesal jika saya tidak mendampingi minyak wangi yang berkualiti ini.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kawan yang soleh ibarat penjual minyak wangi. Apabila dia tidak memberi minyak wangi, kamu akan tetap mencium keharumannya. Sedangkan kawan yang buruk ibarat tukang besi. Sungguhpun kamu tidak dijilat oleh apinya, kamu akan tetap akan terkena asapnya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Balik saja ke bilik, saya terus menyelak buku sekejap. Sempat membaca satu kes saja. Tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan dari kawan saya nun di London sana. Oh. Terlamalah pula berbual. Kemudian, saya terus berkejar bersiap untuk menemankan Wanie ke pemilihan pemain untuk pasukan pingpong universiti. Dulu saya ada ceritakan tentang tanggung jawab saya untuk Intervarsity Game tahun ini kan? Dan ingat tak saya ceritakan bahawa saya meletak jawatan untuk dua jawatan saya baru-baru ini? Ya. Salah satunya ialah jawatan dalam pasukan pingpong universiti. Saya betul-betul berat hati hendak ke sana sebagai pemain lagi. Jadi saya pun meletak jawatan.
Jadi, ketika menemankan Wanie ke sana, saya membantu ketua pasukan, Ron, untuk proses pemilihan pasukan wanita. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Empat orang pemain telahpun dipilih termasuklah Wanie. Anet, salah seorang teman sepasukan dulu terlewat sampai dan tidak dapat mengikuti sesi pemilihan. Tapi di penghujung hari itu, Ron memaklumkan, dua orang junior yang terpilih itu tidak dapat bermain pula. Mereka menarik diri. Saya mengetengahkan nama Anet untuk dimasukkan ke dalam pasukan. Tetapi Ron meminta saya mempertimbangkan semula keputusan saya kerana sudah tidak ada orang lain yang hendak bermain. Lalu, keputusan muktamad pada hari Isnin lepas, saya terpaksa mewakili universiti sekali lagi ke Intervarsity Game di Volgograd. Waduh. Gawat nampaknya. Waktu itu nanti, hanya tinggal kira-kira sebulan seminggu saja sebelum final exam. FINAL OF THE FINALS!
Tadi saya melihat jam. Sudah lebih daripada 30 minit saya menghadap blog ini. Saya dah melanggar peraturan ni. Tapi untuk kali ni, saya memaafkan diri saya. Huhu. Pengecualian bersifat sesuka hati di Dunia Sarah. ๐ Ok. Nak sambung menulis lagi ni. Melepas gian Mensyukuri nikmat. ๐
Biasanya, saya membawa buku Case Files saya ke mana-mana saja saya pergi. Pantang ada masa lapang, saya akan buka dan baca. Kadang kala, sempat juga saya jadikan alas lapik kepala untuk tidur di meja sewaktu rehat ketika di hospital. Sejuk rasa pipi bila berbantalkan kulit buku itu. Haha. Yang ini jangan ikut. Kurang asam betul siapa yang mengikut perangai kurang asam saya ni. Saya menukar kebiasaan dengan membawa buku Kisah Hidup 25 Nabi Dan Rasul pula. Tapi sempat dibaca sekejap saja ketika di dalam metro. Selebihnya, ketika ada masa lapang di hospital, ketika di dalam bas atau tram serta ketika dalam perjalanan balik, saya terasa kosong bila tidak ada buku Case Files itu untuk dibelek-belek.
Kononnya, saya meninggalkan buku itu kerana tidak puas langsung berehat pada hujung minggu yang lalu. Jadi, saya sengaja tidak membawanya kerana hendak melepaskan diri daripada ‘beban otak’ mendiagnos kes-kes yang ada di dalamnya. Sayangnya, saya rasa kehilangan dan kekosongan pula bila tidak membaca buku itu. Jadi, hari Isnin lepas, saya menekun di bilik menyambung bacaan saya. Aishh. Nak cerita pasal buku ni je pun sudah menggunakan dua perenggan. Entah apa-apalah saya ni.
Sebelum berhenti, sukalah kiranya saya mengumumkan bahawa saya kini sudah jatuh cinta. Dengan seseorang. Yang sempurna. Di mata. Dan hati saya. Akif Zamani. Watak dalam drama Dari Mata Arisa. Ya Rabbi. Saya terlalu sukakan drama ini. Janganlah ada yang berani nak kutuk. Saya akan pancarkan cahaya laser saya dengan kadar radiasi yang tertinggi sehingga kulit dan hati anda akan melepuh. Hahaha. ๐
Maaflah. Tak berfaedah pun entri kali ini. Sekadar tak mahu nikmat dibazirkan saja. Nanti ada senggang masa selepas selesai Pemilihan Ketua Wanita baru, Insya Allah saya akan menulis lagi. Eceh. Geli saya menyebutnya. Tadi ada kawan saya menghantar mesej. Mengkhabarkan kemenangan Khairy Jamaluddin. Apalah nasib UMNO di masa depan ya? Hehe.
Eh, saya sebenarnya terkejut menerima mesej itu. Sudah lama tuan pengirim tu tidak menghantar mesej. Nanti-nanti kirimlah lagi. Boleh menambah koleksi saya. Saya pun boleh tersenyum juga. Awak pun senyumlah juga, ya. Hehe. Oh, ok ok. Saya mengarut saja ni. Simpan keris. Jangan dihunus ya.
Baiklah. Pergilah kembali ke tempat kalian. Buat kerja baik-baik. Saya pun hendak kembali ke tempat saya semula. Tinggal dulu semua. Semoga kita semua menjadi orang yang tertawa dalam redha-Nya.
“Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang yang ketawa dan menangis.” (An-Najm 53 : 43)
Nota 1: Bila saya mengarut, memang mengarut sungguh. Maafkan saya.
Nota 2: -Encik Akif, terima kasih. -Untuk? -Sebab tolong saya tadi. -Oh. Biasa je. Lagipun saya tak suka orang kacau tunang saya. —> Masya Allah. Berkali-kali kot saya ulang episod 14!