Dari Moscow Dengan Cinta (ii)
Assalamualaikum wbt
Lima hari tidak menulis di sini, terasa kosong hidup. Tapi sesungguhnya hidup ini amatlah tidak kosong. Macam-macam terjadi dalam tempoh lima hari yang berharga ini. Termasuklah saya telah menjumpai sebuah hoard berisi syiling lama tinggilan Sepanyol. Hahaha. Eh, melebih sudah saya ni.
Semalam petang, dalam perjalanan balik dari hospital, saya bersama Nazlin dan Israfil singgah di Center. Kami dengar cerita, ada kedai menjual nasi dengan kari makanan laut. Semua tengah lapar. Digagahkan juga meredah hari hujan untuk mendapatkan nasi dengan lauk kari yang macam ajaib saja bunyinya ini. Mana pernah jumpa set makanan berlaukkan kari yang rasanya dah ala-ala pajeri nenas yang sangat sedap macam ni, kan. Orang Moscow ni bermimpi sampai ke Kerajaan Melayu Melaka zaman Parameswarakah sampai terbuka hati nak jual lauk kari ni?
Selesai makan, kami lihat di Kremlin sedang ada perarakan memperingati veteran perang sempena Victory Day yang disambut Rusia pada setiap 9 Mei. Upacara-upacara sembah hormat dan menggantungkan kalungan bunga serta perarakan daripada Eternal Flame ke depan Historical Museum sudahpun bermula. Hari hujan renyai. Tapi kami bertiga pergilah menjenguk sekejap ke sana.