Menjadi Bunga Yang Tenang

Assalamualaikum wbt

Saya belajar sesuatu yang baru tentang manusia. Kita adalah lebih cantik apabila tersenyum. Dan dengan senyuman boleh melembutkan jiwa yang keras. Juga menenangkan hati yang gelisah. Terima kasih kepada semua yang tersenyum kepada saya selama ini kerana senyuman kamu semua telah memulihkan jiwa saya.

Senyuman terbesar telah saya peroleh daripada:

1) Surah An-Nur. Kaklong dan sepupu saya, Hidayah, menasihati saya supaya membaca surah ini. Bukan setakat tersenyum di muka, tapi juga di jiwa.

2) Emak memanggil saya Bunga. Kata emak, ini nama klasik dari emak untuk saya. Saya tersenyum setiap kali mendapat mesej daripada emak sejak beberapa hari ini. Saya memanggil emak pula sebagai Emak Bunga. Juga akan saya gelar sebagai Emak Melati kerana nama Kaklong pula adalah Melati.

3) Ayah menelefon dan sebaik mendengar suara saya, ayah berkata: “Alah, takde apalah tu. Jangan fikir berapa lama lagi nak exam. Fikir tak lama dah nak balik.” Kenapa cool sangat ayah ni, ya?

4) Dan kata-kata semangat yang saya terima daripada kamu semua. Saya bukan patah semangat. Saya cuma hilang punca buat seketika. Saya kongsikan semula nasihat yang telah saya terima. Kalau terasa seperti hilang punca, bacalah Al-Quran dan atur tidur dengan sebaiknya. Hidup akan tenang dan tersusun.

Allah sayang saya. Allah sayang kita semua. Dia tidak akan menyeksa kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Ya. Allah sayang kita semua!

Hai kawan-kawan. Nama saya Bunga. Bunga Orked. Semoga semuanya sihat dan berada dalam rahmat Allah. Dan semoga hidup kamu semua ceria dan indah seperti sekuntum bunga.

Nota 1: Ingatlah. Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. (Ar-Ra’d : 28)

Nota 2: Kita akan rasa sangat best (entahlah, tak reti nak terangkan dengan jelas perasaan tu) bila kita dapat menolong kawan kita. Kan? 😉

Posted on May 28th, 2009 by Sarah  |  35 Comments »

Tekanan

Assalamualaikum wbt

Tinggal sepuluh hari lagi untuk State Exam. Semakin belajar, terasa semakin banyak yang tidak tahu. Semakin rasa banyak yang tidak tahu, semakin rasa buntu. Semakin rasa buntu, semakin rasa tertekan. Semakin rasa tertekan, semakin rasa tidak boleh belajar. Semakin rasa tidak boleh belajar, semakin rasa hendak menjerit saja. Rantaiannya tak sudah-sudah. Titik akhirnya sama ada dua: gila atau mati. Adoi!

Minggu ini minggu terakhir saya bergelar pelajar. Tamat kelas Jumaat ini, tiada lagi sesi di hospital bersama para doktor, tiada lagi bertemu pesakit, tiada lagi mendengar sungutan makcik yang menjaga cloak roam atau apa-apa sajalah yang boleh menghilangkan mood di pagi hari.

Dalam situasi tak berapa nak boleh belajar sangat ni, kepala sangat mudah sakit. Perkara-perkara yang pantang saya lihat depan mata pun sangat mudah untuk membuatkan saya naik angin. Lantai bilik air basah, saya mulalah membebel seorang. Atas rak dapur berselerak pun saya membebel seorang. Selipar yang digunakan di dalam rumah yang berselerak pun boleh buat saya rasa nak membebel seorang. Makin tidak tenang rasanya. Dalam pada bebel-bebel tu, saya buatkan juga apa yang patut. Kalau di rumah, tanyalah mak ayah saya. Sayalah yang paling kuat membebel bab-bab kekemasan, kebersihan dan segala benda alah ni. Lepas saya dah puas membebel, siaplah saya kena sound semula dengan ayah saya: Kalau tak nak buat, sudah. Jangan bising. Jadi, baik saya bising-bising dulu, lepas tu saya buat juga. Ye dak. Terlepas sikit tekanan ini.

Di saat ini, satu perkara saja yang berlegar di kepala saya. Saya rasa hendak tidur lama-lama untuk menghilangkan tekanan. Dan saya tak rasa hendak bercakap dengan sesiapa. Memang dalam seminggu dua kebelakangan ini, saya sangat jarang bercakap. Saya hidup dalam dunia saya saja. Sekali dua, air mata pun sangat mudah mengalir.

Jika formula tekanan ialah begini:

 p = \frac{dF_\perp}{dA} \,

Di mana  F_\perp \, ialah daya yang berserenjang dengan permukaan dan  A \, pula ialah luas permukaan, maka saya sifatkan tekanan yang sedang saya rasakan ini adalah di tahap yang paling maksimum kerana di seluruh permukaan badan saya ini dapat dirasakan tujahan daya yang berserenjang dengannya. Kalau ada yang tak faham pun, buat-buat faham sajalah. Ini teori sewaktu belajar Fizik tingkatan 5 dulu. Mesti Puan Norasiah sayang saya sebab saya ingat lagi. Hahaha.

Saya serius ni. Tekanan sedang sangat tinggi. Bersifat tujahan dari luar dan luapan dari dalam kepala. Antara dua perkara yang saya terasa hendak buat itu, saya amat jelas, perkara yang pertama itu adalah mustahil untuk saya buat buat masa ini. Kalau saya buat juga, itu namanya tak sedar diri exam tinggal lagi SEPULUH hari.

Nota: Arghhhhhh….! Saya tidak mahu cuak. Saya mahu tenang!

Posted on May 26th, 2009 by Sarah  |  28 Comments »

Jatuh Cinta

Assalamualaikum wbt

Di sini jam sudah menunjukkan pukul 8.15 malam. Tapi hari masih lagi cerah. Sayangnya, sepanjang hari ini hujan turun dan angin kuat berpusu-pusu di luar. Semalam pun hujan. Saya basah kuyup meredah hujan balik dari hospital tengahari semalam.

Alhamdulillah. Dua, tiga hari ini terasa sangat berkualiti. Dapat fokus dengan studi dan sakit perut pun sudah reda. Habit saya, sambil belajar saya akan mendengar Imeem yang memutarkan lagu secara rambang. Saya akan mulakan dengan sebuah lagu yang saya terasa mahu dengar dan seterusnya auto suggest akan memilihkan lagu-lagu yang berkaitan untuk dimainkan selepas itu. Sekejap tadi, saya memulakan dengan lagu (Jangan gelak. Saya memang suka/tahu lagu-lagu lama lebih daripada lagu-lagu baru) Masih Terserlah Ayumu nyanyian Exist. Selepas itu berkumandang pula lagu Di sana Menanti Di sini Menunggu nyanyian Ukays. Nostalgia sungguh lagu-lagu ini. Saya tergerak hati hendak melihat komen-komen yang ditinggalkan untuk lagu Ukays ini. Dan saya menjumpai ini. Saya memang ketawa seorang diri membacanya. Sarah oh Sarah.

Bagaimana anda tahu bahawa anda telah jatuh cinta:

1. Anda tidak akan marah terlalu lama dan akan berusaha untuk mengawal kemarahan anda terhadapnya.
Komen Sarah: Rasanya betul kot. Tapi sayangnya, kadang-kala, masing-masing terlalu ego untuk mengalah.

2. Anda akan sentiasa merindui dia.
Komen Sarah: Hihi. Mungkin kot. Tapi bukanlah 24/7.

3. Apabila berjalan dengan dia, anda akan berjalan dengan perlahan.

4. Anda akan tersipu-sipu malu apabila bersama dengannya.

5. Apabila anda berfikir tentang dirinya, jantung anda akan berdegup pantas.
Komen Sarah: Tidaklah sampai berdegup pantas kot. Tapi terasa dia begitu dekat walaupun hakikatnya jauh.

6. Hanya dengan mendengar suaranya, anda akan tersenyum tanpa sebab.
Komen Sarah: Err… Betul!

7. Apabila anda melihat dia, anda tidak akan peduli orang di sekeliling anda. Anda cuma melihat dia seorang.

8. Anda akan mula mendengar lagu yang berirama balada.
Komen Sarah: Adakah ini dalam erti kata lainnya dimaksudkan sebagai jiwang? Tapi lagu-lagu yang bercirikan rock tak berapa masuklah dengan jiwa saya. Oh. Alasan!

9. Dia sentiasa di fikiran anda.
Komen Sarah: Kalaupun bukan setiap saat (Haram tu. Lalai daripada mengingati Allah), tapi setiap hari mesti akan ada teringat.

10. Anda akan sentiasa terhidu baunya.

11. Anda menyedari bahawa anda akan tersenyum apabila memikirkan tentang diri dia.
Komen Sarah: Kalau saya kata betul, macam mana?

12. Anda akan lakukan apa sahaja untuk dirinya.

13. Apabila anda membaca ini, pada masa yang sama, ada seseorang di dalam fikiran anda.
Komen Sarah: Erm… Tiada komen untuk ini. *lariiiiiiii kuat-kuat, jauh-jauh*

Kenapa ada fakta yang saya batalkan? Kerana bagi saya, fakta-fakta itu tidak masuk akal dan tidak kena dengan jiwa saya. Mungkin untuk sesetengah daripada kamu, fakta yang telah dibatalkan itu logik dan menepati citarasa. Terpulang. Cuma bagi saya, err, tiada kerja untuk saya merindui baunya mahupun tidak mempedulikan orang lain di sekeliling saya. Kalau ada DSAI berhampiran kami, saya mesti akan lebih peduli ke arah DSAI. Hahaha. Eh, gelak pula. Saya serius ni.

Saya yakin, mesti ada yang tersenyum sendirian dan cuba mengaitkan fakta-fakta ini dengan diri masing-masing. Menurut satu kajian psikologi, jatuh cinta adalah satu unsur positif yang boleh mengundang beribu-ribu lagi unsur positif untuk seseorang itu. Jadi, jangan sia-siakan rasa cinta yang ada. Jatuhkan ia pada seseorang yang boleh mengundang sesuatu yang positif untuk kamu. Bukannya pada seseorang yang boleh menebarkan cas negatif kepada kamu.

Tapi pokok pangkalnya, jangan diundang sesuatu yang menjauhkan kita dari mengingati Allah. Kalau bercinta sampai lupa Tuhan, lupa halal haram, itu bukan cinta. Itu nafsu.

Selingan 1: Pegang tangan dengan bukan muhrim tu haram. Ingat tau. Haram. Cubit sikit-sikit pun tak boleh.

Selingan 2: Dengan kekasih mana boleh buka aurat. Dia bukan suami/isteri kita lagi. Cinta bukan syarat yang menghalalkan segalanya. Kalau nak juga, kahwinlah. Habis cerita. Tapi jangan pula kahwin sebab nak halalkan segalanya saja. Kahwin tu satu lagi babnya dalam hidup kita yang menuntut tanggung jawab dan persefahaman.

Alamak. Saya ni sudah jadi seperti Ustazah Bahiyah pula. Tapi,  memang mengingatkan sesama kita ni adalah tanggung jawab setiap Muslim. Semoga diri kita terpelihara daripada maksiat yang kita tidak sedar atau dilalaikan oleh syaitan. 🙂

Nota 1: Saya masih belum memenuhi semua kriteria di atas. Jadi saya bukan dalam kategori sudah jatuh cinta. Amaran ni, jangan buat kesimpulan awal. Saya tak suka. 😆

Nota 2: Kalau saya jatuh cinta, saya tidak suka unsur-unsur tidak matang seperti cemburu dan merajuk teruk-teruk. Menyampah pula tengok orang merajuk entah apa-apa. Huhu. Saya mahu dia percayakan saya seperti mana saya percayakan dia. (Lagu tema: Sila dengar lagu di sidebar) 😎

Nota 3: Saya rindu pada komuniti Plurk saya terutamanya Kak Izzah, Along Riena, Falin, Sufi, Adikbucuk, Ainul, Arina dan Syazwana.

Posted on May 24th, 2009 by Sarah  |  60 Comments »

Dari Moscow Dengan Cinta (iv)

Assalamualaikum wbt

Enam hari tidak menulis di sini. Kali ini tidak gian langsung. Tiada apa yang hendak digiankan buat masa ini. Dalam otak serabut dengan pelbagai benda lain. Sehinggakan, kalau ditanya dengan tiba-tiba, saya boleh termangu-mangu sekejap sebab sedang memikirkan hal lain. Mungkin jawapan kes yang sedang saya selesaikan. Mungkin sedang cuba mengingati rawatan untuk beberapa penyakit. Mungkin juga sedang peras ugut diri  sendiri dalam diam kerana tidak dapat memberikan jawapan kes yang dibuat tadi dengan baik. Bila tengah merungut dalam hati seorang diri, ditegur pula dek orang lain, tidakkah termangu-mangu jadinya? Oh lupa. Orang sekarang sebut ‘blur’.

Gambar rambang untuk minggu ini berlatarbelakangkan Victory Park (Park Pobedy). Taman ini dibina sempena memperingati Perang Dunia Kedua yang berlaku antara tahun 1941-1945. Masih ingat soalan saya tentang stesyen metro manakah yang terdalam sekali di Moscow? Jawapannya ialah  Stesyen Park Pobedy. Eceh, dah tak surprise dah pun. Namapun tengah bercerita tentang Park Pobedy ini, kan. Takkanlah jawapannya Stesyen Central Park, New York pula kan.

Read the rest of this entry »

Posted on May 22nd, 2009 by Sarah  |  44 Comments »

Terima Kasih Guru

Assalamualaikum wbt

Rasanya sudah banyak kali saya ceritakan tentang bumi Moscow yang panas membahang sejak sebulan yang lepas. Tetapi, sejak seminggu yang lalu, hampir setiap hari kami berhujan. Sampai basah-basah kasut, kecut-kecut jari kaki berendam dalam hujan. Dan pada hari ini, suhu di sini hanyalah 7’C. Sejuknya pagi tadi seperti di permulaan musim sejuk!

Sepatutnya saya hendak menulis entri ini semalam. Tetapi kepenatan yang teramat sangat malam tadi. Pukul 11.30 malam, rumah kami sudah sunyi sepi. Semuanya sudah tidur.

Saya hendak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru buat emak saya, Kaklong saya, Mak Long Radziah, Mak De Aida, Ayah De, Pak Ngah Ajib, Nadia Yuna, Lina, Cikgu Jawe, Bro. Fisol dan Kak Mai serta semua bekas guru saya di Pusat Pengajian Al-Mukmin Temerloh, SMA Al-Khairiah Temerloh, KISAS Klang, PASUM, Intec Shah Alam dan doktor-doktor saya di I.M Sechenov Moscow Medical Academy. Demi Allah, jasa kalian sebagai guru hanya Allah yang dapat membalasnya.

Bila menyebut tentang sambutan hari guru, saya mesti akan teringat akan Ayah Su dan Mak Su saya. Ini sepupu emak saya. Mereka ni pasangan guru. Dulu, saya dan Kaklong suka betul menyanyikan lagu-lagu berunsur patriotik di rumah. Tak kira masa. Sama ada itu memang musim perayaan atau tidak. Kira macam lagu cinta kamilah, kan. Ewah. Padahal yang kami nyanyikan itu ialah lagu Kami Guru Malaysia ke, Bahtera Merdeka ke, atau lagu-lagu negeri Pahang yang memang menarik. Eh, yang bukan orang Pahang pun angguk sekalilah ya. Nanti saya promosikan lagu-lagu tu. Serius tak tipu. Menarik.

Berbalik kepada cerita Ayah Su dan Mak Su. Ada satu petang tu, Ayah Su balik ke rumah kakaknya yang terletak di atas bukit yang sama dengan rumah saya. Ayah Su berjalan-jalan ke kawasan pokok kelapa di belakang rumah Mak Tam. Dari kawasan pokok kelapa itu, boleh terus memandang ke ruang tamu rumah saya. Waktu itu, saya dan Kaklong sedang menyanyi-nyanyi lagu Kami Guru Malaysia dengan suara ala-ala suprano gitu. Jangan bayangkan. Memang buruk! Hahaha. Kami siap membuat gaya ala-ala penyanyi popular pula tu. Memang amat buruklah. Tu sebab saya kata tak payah bayangkan.

Tiba-tiba, Ayah Su melaung dari jauh. Katanya: Wah wah wah. Nanti sambutan hari guru kat sekolah Ayah Su, bolehlah Kaklong dan Kak Ngah nyanyi kior lagu ni ye. Suara ada dah tu. (Zaman tu masih belum ada AF atau apa. Tapi cara Ayah Su mengomen macam juri lah pula.)

Kami yang di dalam rumah waktu tu, berlari menyorok di tepi almari buku. Pertamanya kerana kami tak bertudung waktu itu. Tahukah anda, dengan ayah saudara yang bukan adik beradik kandung emak atau ayah adalah wajib kita menutup aurat (An-Nur : 31). Ok. Selingan saja tu. Saling mengingatkan untuk diri sendiri dan kawan-kawan kalau terlupa. Hehe. Kedunya kerana kami malu betul waktu tu. Buat suara poyo tak ingat dunia macam sedang buat konsert solo mengelilingi Malaysia. Dalam bahasa lainnya, kami memang tengah perasan betullah waktu tu.

Elok saja Ayah Su berlalu, kami pun terkekek-kekek tergelak bedua. Tapi memang tak tipu. Lagu hari guru tu memang dah menjadi sebahagian daripada lagu yang kami selalu nyanyikan. Sampai tua pun takkan lupa, insya Allah. Itu saja sebenarnya. Macam kosong saja ceritanya. Entah di mana klimaks cerita pun saya tak tahu. Haha. Layankan sajalah.

Sebenarnya, pagi tadi, group saya memulakan posting pendek kami yang kedua akhir. Oh. Satu saja lagi tinggal lepas ni sebelum menamtkan zaman bujang kami. Hahaha. Zaman pelajarlah. Kami semua bujang-bujang lagi. Jadi pagi tadi, dalam sejuk-sejuk tu, terpaksalah juga kami semua ke hospital. Orang lain sedap-sedap berehat di rumah, kami kena ke hospital. Separuh masa pertama di dalam auditorium yang menggabungkan tiga buah kumpulan, dengan cuaca sejuk, mendung dan lampu chandilier yang samar-samar cantik menghiasi dewan, saya dengan tidak sengajanya telah membuat sesi beratib sengguk-sengguk di kerusi saya secara solo. Hahaha. Saya tertidur! Yang lagi dahsyat, Faisal ambil gambar saya dan hantar menggunakan MMS!

Sebagai pelajar, secara fitrahnya, bila kita membuat silap kita mesti akan rasa bersalah. Ini fitrah. Siapa tidak rasa itu, dia kurang ada nilai yang fitrah. Saya rasa bersalah pada doktor saya itu. Semangat dia bercakap di depan tu. Tapi memang tak dapat dinafikan, gaya doktor tu agak psiko. Sudahlah kami membincangkan tentang psikatri dan psikologi. Memang, erm, tak reti nak kata macam mana. Hoho. Sengguk-sengguk tu tak lama manalah. Dalam pada tersengguk tu, sempat lagi saya menulis nota. Tulis tak payah nak katalah. Siap ada sampan lagi. Entah mana datang sampan tu pun saya tak tahu. Ops. Saya baru tengok semula nota saya tadi. Sebatang pokok pun ada! Aaaaa. Tahap dewa apakah saya tidur pagi tadi!!! *Madam, rotan Sarah. Dia tidur sampai mimpi-mimpi!*

Oklah. Cukup dulu untuk hari ini. Sebenarnya entri ni nak mengucapkan Selamat Hari Guru saja. Tapi berjela ceritanya. Dan keduanya sebab nak cakap alasan lambat menulis entri ini kerana kesibukan pada hari semalam dan kelas sampai tengahari di hari Sabtu yang murni ini. Balik tadi, singgah beli ayam panggang halal di depan hostel yang murah lagi lazat, makan, studi, studi, studi dan tertidur selama sejam. Bangun tidur, kena urus baju-baju pula, kemas itu ini. Mana nak ada masa lapang untuk mengetuk-ngetuk papan kekunci di depan mata ni.

Selamat Hari Guru buat semua yang bergelar pendidik! Jasa kalian hanya Allah saja yang dapat membalasnya. Thank you very much, Dr. Gulyaev. I miss you! (Hahaha, tak memasal!)

Nota 1: Bila kita terbuat salah dengan guru kita, kita mesti risau tentang keberkatan ilmu, kan. Moga-moga tiada apa yang menjadi halangan antara kita dan guru-guru kita. Semoga berkat semua ilmu yang sampai kepada kita, insya Allah.

Nota 2: Hari Ahad pun akan penuh lagi.

Nota 3: Saya nak hantar MMS kepada Faisal untuk membalas MMS tadi. Comel Ya Rabbi! 1, 2, 3! :mrgreen:

Posted on May 16th, 2009 by Sarah  |  38 Comments »