Pasar Tani

Assalamualaikum wbt

Bukan sengaja saya tidak mengemaskinikan blog. Bukan juga malas hendak membalas komen-komen di entri lalu. Sebetulnya, saya sibuk ke hulu ke hilir di Putrajaya menguruskan prosedur pendaftaran kerja dan kesihatan diri yang tidak memuaskan. Semakin melepeklah saya di rumah ini sebaik pulang dari Putrajaya. Cuma kali ini, saya langsung tidak boleh menjamah makanan. Tekak saya sakit amat.

Semalam emak membawa saya, Azizi dan Aiman ke Pasar Tani. Sampai saja di sana, saya rasakan suasananya seperti di Pasar Ramadhan. Mungkin kerana saya terlihatkan ayam golek kot. Tak sabarnya hendak tunggu Ramadhan tiba. Nanti dapatlah pergi mencari juadah di Pasar Ramadhan. Wuhuu. Sudah enam tahun lebih saya tidak ke Pasar Ramadhan. Syurganya dapat berbuka dengan air tebu dan kacang soya segar. Fuh.

Sedang berjalan-jalan dengan emak dan Aiman (Azizi singgah di satu kedai untuk membeli sesuatu), emak bertemu dengan seorang kawan lamanya. Seorang pesara guru. Emak memperkenalkan saya dan Aiman sebagai anaknya. Lalu, pakcik itu bertanya semula: Sekolah lagi ni? Hahaha. Kembang-kempis saya di situ. Emak pun menjawab semula: Eh, tak dah ni. Ni dah habis belajar dah baru ni. Tunggu kerja pulak. Hahaha. Aiman yang ada di situ pun tersengih-sengih mendengarkan soalan pakcik itu. Emak bercerita, dulu pun Kaklong pernah ditanya soalan yang seumpama itu. Itulah. Nak buat macam mana. Kami dua beradik ni jenis yang renek-renek saja. Hihi.

Sebetulnya, saya ni mengalami sakit tekak yang amat teruk. Tiada batuk. Tiada demam. Cuma saya mengalami tonsilitis, erosion dan ulcer di tekak. Sudah dua hari saya tidak makan nasi. Sudahnya semalam di Pasar Tani, buat pertama kalinya, saya tidak berahi langsung mahu membeli juadah-juadah yang ada. Saya hanya membeli secawan cendol. Emak saya berpuasa. Jadi, saya mengikut emak membeli beberapa juadah berbuka yang lain. Kebetulan di kedai itu ada sesuatu yang membuka selera saya.

Tidak pernah hayat lagi saya membeli benda tu. Bubur nasi! Huuu. Sadisnya rasa. Datang ke Pasar Tani hanya membeli bubur nasi saja. Tapi bubur nasi itu habis sebekas saya makan Maghrib semalam. Nampak sangat yang saya lapar.

Berahi (longat Temerloh) = Berhajat/teringin

Nota 1: Hari ini adik saya Adnan dan Adi balik rumah. Yeay!!!

Nota 2: Kemungkinan besar juga hari ini saya akan bertemu dengan seseorang.

Posted on July 24th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »

Kronik!

Assalamualaikum wbt

Sekarang ni saya jadi seorang yang sangat malas. Malas semalas-malasnya. Sampaikan hendak berjalan ke luar rumah pun saya rasa malas yang teramat sangat. Kalau boleh hendak duduk saja. Tidak mahu berbuat apa-apa yang lain.

Cuba bayangkan kemalasan saya ni. Bayangkan bersungguh-sungguh. Selesai Subuh, saya menghadap internet sebentar. Maklum sajalah. Rumah sudah kosong. Sunyi betul rasanya. Kemudian berhenti online untuk mengemas rumas sekejap. Ini sajalah yang saya betul-betul rajin. Saya tidak suka keadaan yang selerak-selerak. Selebihnya, saya akan duduk membaca novel, melepek di ruang tamu seorang diri. Kalau sudah bosan, saya masuk melepek di dalam bilik pula. Bila bosan lagi, saya keluar ke ruang tamu semula. Ke luar dari pintu rumah? Jangan harap. Saya sangat malas untuk membawa badan yang semakin berat ini.

Di sebelah malamnya, saya akan melepek di depan laptop. Duduk berteleku di ruang tamu. Bila saya menghampiri emak yang menanda kertas soalan, saya akan melepek di sofa dapur pula. Macam tadilah. Emak menyuruh saya mengasingkan sijil-sijil yang hendak saya fotostat itu. Emak suruh pisahkan dengan kertas tidak guna supaya dia ingat apa yang perlu dilakukannya. Tapi saya kata, malasnya hendak bangun untuk mengambil kertas tidak guna di tepi TV. Malas semalas-malasnya untuk bangun.

Kemudian, saya terasa hendak membancuh kopi 3 in 1 Kopiko seperti yang ayah minum. Saja mahu mencuba sedangkan memang saya tahu nanti saya akan mengomen kopi tu tak cukup rasa, sedap lagi kopi bancuh sendiri sebab kopi 3 in 1 memang akan kurang pekat, kurang creamer dan kurang manis. Fuh, panjang betul ayat senafas saya tu. Emak berpesan, jangan dipanaskan semula air yang ada. Masak air lain. Saya merasa badan cerek elektrik itu. Masih panas. Tak kuasa saya hendak masak air lain mahupun memanaskan air yang ada di dalam cerek itu. Guna terus saja. Malas sungguh saya hendak tuangkan dulu air itu ke dalam bekas air masak dan mengisi air lain untuk dimasak. Tap. Terus siap kopi 3 in 1 Kopiko yang memang tak sedap tu. Serius Nescafe yang saya bancuh satu teko petang-petang tu lagi sedap. Hahaha.

Kemudian saya akan sambung melepek di atas lantai menghadap laptop atau membaca novel lagi. Saya rasa otak saya tidak maju langsung sekarang ini. Tiada ilmu baru langsung yang dimuat naik ke dalam kepala. Maklum sajalah. Novel yang saya baca ini novel lama yang dibeli dua tahun lepas. Tapi disebabkan tiada stok baru, saya teruskan jugalah membaca apa yang ada di rumah ini. Lagipun kalau baca novel, ilmu apalah sangat yang dapat dicerna. Ilmu percintaan? Ilmu kekeluargaan? Ilmu rumah tangga? Ilmu suami isteri? Ah ah. Itu semua boleh dipelajari secara natural. Cewah! Hahaha.

Lagi, saya sangat malas untuk beraktiviti yang memerlukan pergerakan aggresif. Adik Iman ajak main kejar-kejar Ultraman laser-laser rasaksa, rasaksa mati, takkan menang kena bahan dek Ultraman, saya dah kalah awal-awal lagi dah. Bukan apa. Saya memang malas hendak berlari. Pulak tu, saya yang jadi rasaksa. Tak aci sungguh, kan. Tahulah badan saya pun dah macam rasaksa hipopotamusorus zaman batu yang besar gedabak. Lagi disuruh berlari-lari mengejar dia. Memang semput saya. Baik tak payah, kan. Sebab akhirnya saya akan mati kena laser juga. Hahaha.

Bila sudah semput berlari dua, tiga pusingan, saya sudah berhenti makan rambutan pula. Bila sudah kenyang, hendak berlari apa lagi. Oh…. Kronik sungguh saya sekarang ni.

Ada lagi. Kalau petang-petang saya hendak bancuhkan air, saya akan menawarkan diri secara murni dengan ayat yang begini: Ok. Siapa nak masakkan air? Nanti Ngah bancuhkan Nescafe. Siapa nak Milo pekat? Cepat. Cepat. Masakkan air cepat. Hahaha. Ayat umpan hati adik-adik (Aiman terutamanya) untuk masakkan air sebab dia suka Milo pekat. Padahal inilah taktik saya untuk menyuruh orang lain masakkan air. Air dah masak baru saya bancuhkan airnya. Taktik kotor betul. Hari tu kami menggembur tanah bersama-sama pun, saya hanya menggembur tanahnya saja. Bab-bab pergi mencari cangkul, pencakar, kereta sorong dan segala barang lain, semuanya Aiman yang uruskan. Bila tangan saya tiba-tiba melepuh (Ok. Yang ini tak tipu. Tangan saya melepuh teruk.), dia juga yang membuat semuanya. Saya hanya memasukkan rumpai-rumpai semua tu ke dalam kereta sorong saja.

Masya Allah. Serius saya sangat malas untuk bergerak sekarang ni. Kronik sangat. Sampaikan, aktiviti membalas mesej yang hanya memerlukan aktiviti jari-jemari saja pun sangat saya malas. Telefon pun entah di mana saja saya letakkan. Sudahlah malas bergerak, makan pula banyak. Yang ni kena istighfar panjang-panjang. Sarapan makan. Tengahari pun makan. Makan malam pun iya juga. Dulu makan nasi sekali sehari. Sekarang, kalau tidak makan malam, saya akan rasa ada yang tidak cukup untuk hari itu. Adik-adik saya tidak makan nasi pun untuk makan malam. Mereka makan roti. Emak saya pun tidak makan nasi untuk makan malam. Ayah pula hanya kadang-kala. Ayah dengan emak sangat menjaga pemakanan. Tapi saya? Ikut sempat saja hendak makan waktu bila.

Macam tadi, saya pelik melihat adik-adik saya tidak mahu makan nasi waktu makan malam. Ada lauk sambal sotong, sayur pucuk masak tempoyak, telur itik masak lemak dan sayur campur. Subhanallah. Sedapnya. Sudahnya hanya saya yang makan seorang diri. Siap jadi tong sampah lagi tu. Menghabiskan semua lauk yang ada sebab orang lain dah tak nak makan.

Jadi mari kita buat perkiraan.

Malas Bergerak + Makan Banyak = Gemuk Gedempol

Saya rasa formula itu sudah cukup sempurna. Tepat setepat-tepatnya. Kalau saya tidak cuba membanteras gejala malas bergerak dan makan banyak ini, saya akan berubah menjadi penguin dalam masa yang terdekat. Jalan kedek-kedek, tengkuk tenggelam, badan bulat, tangan macam tergantung saja pada badan.

Cuma nasib baiknya satu saja. Saya sangat kurang tidur. Kalaulah saya jenis yang kaki tidur, tidak sampai sebulan saya boleh bertukar menjadi Cik Siti Sarah Kembang!

Macam mana nak kurus semula ni????????????? Sesiapa yang duduk di sekitar Temerloh, marilah ajak saya pergi jogging di tasik (tawaran terbuka untuk kawan-kawan perempuan saja). Saya akan bersemangat kalau ada teman. *nangis nangis nangis*

Nota 1: Setiap kali plan hendak pergi jogging waktu petang dengan adik, ada saja halangannya.

Nota 2: Dulu saya akan kurang makan kalau ada yang tegur: Aik, awak nampak macam dah naik je. Tapi sekarang, biar lantaklah apa saja yang orang kata, saya tidak kisah langsung. Pipi tembam ke. Nampak berisi ke. Jadi, apakah motivasi terbaik untuk saya sekarang ni??? Runsing betullah.

Nota 3: Bukanlah maksud saya tidak kurus itu tidak cantik. Tapi ini semua penting untuk kesihatan kita semua. 😥

Posted on July 21st, 2009 by Sarah  |  72 Comments »

Dato’ Bahaman

Assalamualaikum wbt

Ada sesiapa yang menonton Majalah Tiga malam tadi? Malam tadi memang episod terbaiklah. Bukan pasal Tengku Mahkota Johor tu. Tapi kisah Dato’ Bahaman yang disiarkan. Ya. Itu moyang saya. Dan segala yang diceritakan  dalam episod itu adalah benar. Saya ternanti-nanti juga kalau-kalau ada fakta yang kurang benar. Alhamdulillah semuanya benar belaka. Saya hendak menyambung sedikit kisahnya di sini. Mungkin ini kesinabungan yang mungkin tiada siapa pun pernah tahu.

Saya masih ingat Tok saya (Hajjah Halimah Imam Yusof) bercerita kepada saya suatu masa dulu. Sewaktu Orang Tua Peramu yang dipercayai merupakan Dato’ Bahaman yang tinggal di Peramu, Pekan ditemui kembali, semua yang mengenalinya percaya bahawa itulah beliau. Tapi beliau tidak mahu mengakui dirinya adalah Dato’ Bahaman. Tapi kerabatnya, kenalan terdekatnya yang masih hidup tahu bahawa itulah beliau. Ketika Dato’ Bahaman meninggal dunia, seperti yang dilaporkan di dalam Majalah Tiga, tiada siapa pun tahu di manakah beliau dikebumikan.

Tok saya memberitahu, ketika itu, dia dan Tok Abah saya (arwah Kamaruddin Bin Jantan, cucu Dato’ Bahaman) serta beberapa orang lagi saudara telah ke Peramu untuk menuntut jenazah supaya dapat diuruskan dengan sempurna. Tetapi sebaik sampai di sana, orang kampung memberitahu baru sekejap tadi sebuah van datang dan mengambil jenazah orang tua itu untuk diuruskan.

Menurut orang kampung, semua yang datang menaiki van itu memakai jubah hitam. Jubah berkabung istana. Menurut mereka, itu orang istana yang datang mengambilnya. Tetapi persoalannya, mengapa mereka berbuat begitu dan di manakah arwah disemadikan masih belum dapat saya jawab sehingga hari ini.

Sekarang Tok saya sudah kurang ingat akan peristiwa lama. Tok saya menghidap Alzheimer sejak tiga tahun lalu. Dia masih lagi boleh bercerita tentang sejarah lampau tetapi kadang-kala laluan masanya (timeline) berterabur. Kita yang mendengar ni kena pandai-pandai sendirilah untuk menyusun kronologi cerita tersebut.

Bila saya sudah dalam tingkatan 4 dulu, arwah ayah saudara saya, Chik Joe, pernah memberitahu sesuatu tentang rahsia di sebalik kenapa jenazah arwah dilarikan oleh orang istana dan dikebumikan secara rahsia di tempat rahsia. Menurut Chik Joe, hal ini terjadi kerana jika benar itulah Dato’ Bahaman yang sebenar, pihak istana perlu membayar ganti rugi pada jumlah yang besar kepada waris beliau. Ini kerana, beliau sudah tidak lagi menerima bayaran sebagai pembantu Sultan yang menjaga hasil dan tanah di kawasan Sungai Semantan ini walaupun pada ketika itu beliau masih berkhidmat sebagai Orang Kaya Semantan (orang yang menjaga wilayah dan keamanan kawasan Semantan).

Chik Joe pernah mengumpulkan bukti-bukti ini suatu ketika dahulu. Tapi saya kira usahanya terkubur bergitu sahaja kerana Chik Joe meninggal dunia pada usia yang muda dua tahun yang lalu. Namun begitu, beg berisi bahan kajiannya dulu masih ada cuma saya kurang pasti siapa yang menyimpannya kini.

Bagi saya, segalanya masih tersimpan sebagai rahsia. Kenapa pihak istana hendak sangat menyembunyikan hal ini? Bukannya kami hendak menuntut apa-apa. Paling kurang, beritakanlah kepada mana-mana waris beliau yang masih ada (adik beradik arwah Tok Abah saya masih ada yang hidup, Tok Cik Zan di Durian Tawar, Tok Teh di Kuantan, Tok Lang juga di Durian Tawar dan beberapa orang lagi termasuklah dua pupu emak yang diwawancara malam tadi). Harta benda semua ni sedikitpun tidak menjadi isu. Yang menjadi isu, beliau itu tokoh bangsa, negara dan agama. Kalau mati biarlah ada nisannya. Dan biarlah saudara-mara dapat menziarahinya.

Dan kebetulan, dalam bahagian ketiga episod malam tadi di Majalah Tiga, seorang kenalan baik ayah saya diwawancara pula. Uncle Wan. Ini kawan lama zaman persekolahan ayah (pernah saya sebutkan dalam entri Reunion 070707 ini). Petang semalam ayah dimaklumkannya suruh menonton Majalah Tiga malam tadi. Ada dia, katanya. Uncle Wan ini ada signifikannya yang tersendiri untuk saya. Selain Abang Khairil, Uncle Wan lah orangnya yang membuatkan saya semakin berminat dalam bidang fotografi. Mari kita jenguk Flickr-nya. Mantap!

Nota 1: Saya sangat sukakan sejarah. Dulu sayalah yang paling rajin bertanya itu ini kepada Tok tentang perang, Jepun, komunis dan segala cerita yang berlaku di zaman penjajahan.

Nota 2: Dulu saya reti menyanyi lagu Matahari Terbit, lagu Jepun yang dinyanyikan oleh budak sekolah zaman Jepun dahulu. Tok yang ajar. Tapi sekarang sudah lupa. Nantilah akan belajar semula kalau Tok masih ingat.

Nota 3: Kalau arwah Tok Abah pula, dia sangat anti-komunis. Keluarganya ramai yang diseksa komunis dan ayahnya sendiri (Tok Jantan) ditanam hidup-hidup oleh komunis. Dia sendiri juga terpaksa menyorok di dalam sungai, bernafas menggunakan batang keladi yang ditimbulkan di permukaan air, menyorok bawah jeti, perahu dan macam-macam lagi.

Nota 4: Pernah ada yang menghubungi saya secara personal bertanyakan apa hubungan saya dengan Dato’ Bahaman. Jadi inilah jawapannya.

Persoalannya, adakah anak muda zaman sekarang menghargai kemerdekaan yang didapati hasil derita orang lama?

Posted on July 19th, 2009 by Sarah  |  55 Comments »

Otak Budak

Assalamukingkong wbt

Ah-ha! Tahu tak bagaimana untuk menjawab salam yang seumpama itu? Caranya ialah: Waalaikingkongsalam wbt.

Hahaha.

Inilah bunyinya bila Iman memberi salam setiap kali dia masuk ke rumah. Mahu pecah perut dibuatnya. Lebih-lebih lagi di sebelah petang bila dia datang sekadar hendak bermain-main. Entah apa entah bunyinya salam yang dilafazkan.

Tengahari semalam, dia dipakaikan Beju Melayu hijau. Dari jauh saya sudah nampak dia segak berpakaian begitu. Saya melaung bertanya: Ni hensem-hensem ni nak pergi mana ni Dik Man?

Dia terus berkata “Allah babat”, sambil membuat gaya mengangkat takbir. Tahu dia ya orang pergi solat Jumaat pada hari semalam. Dan apabila emak balik ke rumah tengahari semalam, dia terus meluru ke bilik emak. Hendak mengambil bantal peluk. Ingatkan mahu dibuat golek-golek tidur di depan TV. Rupanya untuk dijadikan motor! Apa punya otaklah budak kecil ni. Adeh.

Dan saya akan separuh gila bila diajaknya bermain pusing-pusing sampai pening. Ini permainan zaman sebelum tadika dulu kot!

Oklah. Kita akhiri entri ini dengan salam yang sempurna. Salam itukan salah satu cara kita menzahirkan perdamaian dan mendoakan kesejahteraan ke atas orang lain. Jadi kenalah dilafazkan dengan sebaiknya.

Assalamualaikum wbt.

Nota: Di Temerloh ada dibuka Galeri Tokoh. Macam menarik, kan? Saya hendak pergi satu hari nanti.

Posted on July 18th, 2009 by Sarah  |  24 Comments »

Puteri Lilin

Assalamualailkum wbt

Ikutkan sudah ada entri lain yang siap ditulis. Entri bergambar. Tapi gambar-gambarnya tidak dapat dimuatnaikkan ke blog. Masalah apa entah. Dari malam tadi blog saya tidak menerima gambar-gambar itu. Jadi tiadalah gambarnya. Tiada gambar, tiadalah entrinya, kan.

Baru saya sedar, semalam, seharian saya tidak keluar rumah. Tadi pun saya menjejak tanah kerana pergi menyelamatkan Iman daripada rasaksa. Huhu. Tidaklah. Saya berlari keluar rumah tadipun kerana hendak mengambil cangkul yang sedang dimain oelh Iman. Bahaya tu. Nanti tercangkul kaki sendiri, siapa yang susah. Doctor in the house ini juga yang susah.

Ikutkan hati ada perasaan seperti hendak main tuju selipar saja petang ini. Tapi di atas bukit ni mana ada siapa. Petang-petang adik-adik saya yang bertiga tu lebih suka ke padang bermain bola. Eh, Azizi tidak pergilah. Dia suka duduk rumah. Sebab itu dia putih melepak. Cemburu oh melihat kulit dia. Sudahlah putih. Lembut gebu pula tu. Huhu.

Nampaknya, petang ni duduk dalam bilik main Zuma Deluxe seorang dirilah saya. Tak peliklah Mak Tam saya beri gelaran Puteri Lilin kepada saya bila saya balik ke rumah. Sebab saya selalu terperap di dalam rumah saja. Selipar pun saya tiada. Asyik mengebas selipar Aiman saja. Masalahnya, kalau saya keluar, saya hendak ke mana? Baik duduk dalam rumah, borak-borak dengan emak bila emak balik dari kursus petang nanti dan minum-minum makan kuih di petang hari. Malam nanti tunggu cerita Nur Kasih. Oh tak sabar ni. Kali pertama akan menonton Nur Kasih tepat pada waktunya di TV. Selama ini terpaksa menonton di lawan web TV3 saja. Poyonya awak ni, Sarah. :mrgreen:

Ehhhhhhhh! Baru teringat. Ayah baru saja perbaharui lesen memandu saya. Nampaknya petang ini bolehlah mengajak emak keluar. Muehehe. Air tebu satu! Air kacang soya satu! ABC sspecial satu! Cendul satu! <—- Aik. Tak kembung ke budak ni?

Nota: Gembira bila boleh buat orang lain gembira. 🙂

Posted on July 17th, 2009 by Sarah  |  27 Comments »