Assalamualaikum wbt
Di saat saya menulis entri ini, jam baru menunjukkan pukul 8.04 pagi. Di luar masih Subuh gelap. Sejuk sungguh hari ini. Angin kuat. Salji sudah mula menjadi ais di jalanan. Sudah beberapa hari salji tidak turun dengan lebat. Dan di saat ini, saya bersendirian di bilik. Juga di rumah. Dan saya akan bersendirian selama dua minggu mendatang.
Wanie telah selamat berangkat ke Korea pada hari Selasa lalu. Diba dan Emy pula telah bertolak menuju ke Itali pada hari semalam dan sekejap tadi, Fatt dan Pena baru saja berlepas menuju ke Swiss. Banyak tempat yang akan dikunjungi Diba-Emy dan Fatt-Pena. Saya? Saya masih mempunyai rutin hospital dan cuti musim sejuk saya masih belum bermula. Maka tinggallah saya seorang diri di rumah.
Ok. Entri ini sila baca dengan nada ceria. Seronok sebenarnya tinggal seorang di rumah. Tiada apa yang menyedihkan pun. Saya boleh studi sambil mendengar apa yang saya mahu tanpa perlu memakai earphone. Seronok, kan? Haha. Saya tak payah memasak. Untuk diri sendiri pun saya tak rasa saya akan makan sangat kalau tiada orang. Selagi ada roti, saya tiada masalah untuk hidup. Haha. Lagipun tak seronok makan seorang. Kalau saya masak, nanti saya yang hidang dan saya yang makan. Macam apa saja kan. Jadi, baik tak payah masak.
Saya teringat filem Taken yang kami serumah tonton bersama kira-kira sebulan setengah yang lepas. Sebaik habis menonton, mereka saling menasihati sesama mereka kerana mereka semua juga bakal bercuti ke beberapa buah negara dalam kelompok kecil. Dalam filem itu, ia berkisar tentang sindiket penculikan remaja perempuan yang mengembara dan disalurkan ke sindiket dadah dan pelacuran. Memang menyeramkan jika cuba membayangkan keadaan diri sendiri berada dalam situasi tu.
Tapi sekarang ni, sebaik saja rumah sudah kosong, perkara pertama yang saya terfikir sebaik mengunci pintu dapur tadi ialah, saya yang tidak ke mana-mana inipun boleh berhadapan dengan perkara-perkara yang sama. Duduk seorang, di negara asing juga kan, awal pagi gelap lagi sudah keluar ke hospital seorang diri. Kalau saya hendak diculik atau apa saja, boleh terjadi dalam sekelip mata. Sampai mungkin tiada yang sedar pun. Lagi dahsyat.
Lepas itu, saya boleh diseludup ke Siberia sana. Dihantar menggunakan keretapi gedek-gedek naik di bahagian kargo bersama ayam itik. Entah saya jadi apa di sana. Entah dadah apa yang diberikan kepada saya. Entah aktiviti apa yang terpaksa saya lakukan tanpa sedar. Entah masih sempurna atau tidak aurat saya. Entah kehilangan saya disedari orang atau tidak. Entah saya akan ditemui semula atau tidak.
Ok. Seram. Ini cuma imaginasi otak saya yang sangat mudah membayangkan sesuatu secara berlebihan. Takut, kan? Ok. Jangan takut. Saya tak takut pada manusia. Pintu rumah sentiasa berkunci. Segala pintu. Lampu bilik sebelah juga saya akan buka bila malam. Biar orang rasa seperti ada orang di dalamnya. Lampu bilik saya juga saya pasti akan biarkan terbuka siang malam. Haha. Nampak sangat akan tidur tak tutup lampu. Saya takut satu saja. Janganlah tiba-tiba bekalan eletrik terputus. Saya nak lari ke mana pun saya tak tahu. Seram saya duduk gelap-gelap. Nak tahu sebab apa? Sebab saya dengan mudah akan membayangkan bentuk-bentuk yang saya nampak dalam cahaya samar sebagai sesuatu. Ok. Seram. Haha.
Merepek apalah saya pagi-pagi buta ni. Bangunan hostel ini sunyi saja sekarang. Majoriti yang tinggal hanya pelajar-pelajar tahun 6. Tapi mereka nun jauh di tingkat atas. Saya seorang saja di tingkat 2 ini. Tapi di sekeliling rumah saya ada beberapa buah rumah para jejaka Arab kumis nipis badan sasa. Kalau saya butuh pertolongan, saya kira saya boleh menjerit saja.
“Ya Fahri. Fahri. Ana ihtajuka!” Hah. Mengarut apa dah saya ni. Siap ada Fahri pula. Pakai hentam saja ni. Jangan percaya ayat saya tu. Saya sudah lupa apa perkataan yang betul. Kalau ikut logik akal, maksud ihtajuka tu ialah berhajatkanmu. Hah. Tak pasal-pasal nanti saya hilang sebab kena bawa kahwin lari pula. Lagi naya! Haha.
Tengoklah. Mungkin kalau saya jemu, rajinlah saya menulis. Kalau tidak, memang saya berhibernasi dengan buku-buku sajalah. Dapat bayangkan meja studi saya sekarang bagaimana keadaannya? Penuh dengan alak solek pengantin! Hah. Tipu. Penuh dengan segala nota sebab malam tadi tertidur tanpa kemas meja. Inilah gara-gara melayankan sangat lagu Hindustan lama zaman Bobby tu. Mengantuk!
Nota: Kamu tak rasa tertipukah dengan tajuk entri kali ini? Haha. Satu-kosong!