Archive for the ‘Holiday’ Category

Loghat Temerloh

Assalamualaikum wbt

Malam ini saya berjaga lagi. Tak boleh lelap. Kebetulan tengah dengar playlist lama ni, semuanya lagu orang putus cinta. Sabar ajelah kan. Terus saya tukar mendengar nasyid. Jauh lebih tenang. Tapi ada pula lagu Rapuh dendangan Opick. Tersentuh kembali hati.

Petang tadi seperti biasa duduk-duduk di buaian. Kemudian melihat adik-adik bermain badminton. Sebelum Maghrib, singgah ke rumah Tok. Minum petang di sana. Kemudian Iman merengek mahu didukung keluar sedangkan baru saja masuk ke rumah setelah dibawa berjalan tadi. Mak Tam berkata: Eh, mana boleh dik. Ni dah nak Allah Babat dah ni.

Mendengarkan perkataan Allah Babat, terus dia menggayakan cara orang mengangkat takbir. Dia faham itu tandanya waktu solat. Lalu Tok yang sedang bersiap untuk mengambil wudhuk menyampuk:

“Moh le kite ke semejid. Semayang Maghareb. Lepaih tu makan semekut empat semegi. Minum air merah melenggang.”

Tercengang saya mendengarnya. Masya Allah. Apa yang Tok saya cakapkan ini? Saya faham dua ayat pertama itu saja. Saya tanyakan Tok, apa makna ayat yang penyudah itu. Semekut empat semegi? Air merah melenggang? Saya yakin sepupu saya yang dua orang itu pun tidak faham. Kata Tok, inilah ayat Ayah Long suka sebut dulu-dulu. Maksudnya:

“Jomlah kita ke masjid. Sembahyang Maghrib. Lepas tu makan biskut empat segi (biskut tawar tu lah). Minum air sirap.”

Ya Rabbi. Tak terjangkau dek akal saya. Saya teringat entri tentang Bahasa Pahang yang saya tulis dulu. Ada yang kata kalau beginilah pekatnya loghat Temerloh asli, perlu ada terjemahan jika keluar di TV. Ya. Saya setuju amat. Hehe. Tapi saya suka betul mendengar perbualan orang tua di kampung saya atau di Pekan Sari (Pekan Sehari – pasar hari Ahad). Pekat sungguh loghatnya. Unik tau! Rugi kalau tak faham.

Ayah Long – Abang emak saya. Ayah kepada Nisa, sepupu saya yang paling disayangi. Nisa, sayangnya awak ‘gebar’ pun tak faham dulu waktu kita pergi Cherating kan. Hihik. Awak kena menuntut dengan Abah awak nampaknya ni. Dia sangat pakar bab-bab bahasa ni =)

Ok. Mahu menidurkan diri dulu. Esok pagi perlu ikut ayah ke klinik. Erm… Tak sukanya… Tapi harapnya segalanya dipermudahkan. Dan saya terkilankan satu perkara sebenarnya. Kenapa jadi begitu ye. Hmm…

Posted on June 28th, 2008 by Sarah  |  16 Comments »

Menjadi Nakal

Assalamualaikum wbt

Kelmarin kan saya dikenakan dek Iman dengan memanggil saya Tok. Nak tahu bagaimana saya mengenakannya semula?

Rumah saya di atas bukit. Ada empat buah rumah saja di atas bukit ini. Rumah saya, Tok, Tok Cik dan sebuah rumah emak saudara. Bagi saya dan Kaklong, kami tidak perlu bertudung di atas kawasan rumah kami ini kerana semua lelaki yang ada adalah muhrim. Kebetulan adik saya semua lelaki dan Ayah Tam pula adalah adik emak saya. Kecualilah jika ada adik saudara yang sudah besar di rumah emak saudara di sebelah rumah Tok itu. Kimi namanya. Tapi kebiasaannya Kimi tiada di rumah. Lainlah kalau mahu duduk-duduk di buaian. Wajib bertudung. Dari buai itu, boleh dilihat oleh kenderaan yang lalu-lalang di bawah.

Kebetulan petang semalam saya ke rumah Tok hanya berbaju kurung, tidak bertudung. Apabila hendak balik untuk solat Asar untuk keluar dengan emak, saya lihat ada kereta di hadapan rumah emak saudara di sebelah itu. Rupanya Ayah Su saya ada balik. Sepupu emak. Jadi saya masuk semula ke dalam rumah Tok dan meminjam tudung Hidayah. Ketika itu, Iman sedang berdiri di penghadang pintu tempat saya hendak keluar. Memang menjadi kebiasaan dia akan didukung keluar setiap petang. Sebaik melihat saya bertudung, dia mendepangkan tangan minta didukung.

Saya pun apa lagi. Menghulurkan tangan untuk mendukungnya. Tapi acah saja. Apabila dia hendak mencapai tangan saya, saya menarik semula tangan saya. Dua kali saya buat begitu. Dia mencebik mahu menangis. Ha… Tu lah. Panggil lagi Kak Ngah awak ni Tok. Kan dah tak dapat dukung. Huhuhu.

Sekian dari saya yang nakal :p

Posted on June 27th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Dunia Wanita Dewasa

Assalamualaikum wbt

Dua orang sepupu saya yang menuntut di UiTM Shah Alam masih berada di rumah sekarang ini. Hidayah dan Linda. Sem baru belum bermula lagi. Semalam saya mengajak mereka berdua duduk-duduk di buaian di hadapan rumah Tok. Bercerita itu ini. Macam-macam yang hendak dikemaskinikan dengan mereka. Kami membesar bersama-sama sejak kecil. Mereka berdua ialah anak sulung dan kedua Mak Tam. Kakak-kakak kepada Iman.

Baru bercerita sedikit, Tok Cik saya datang menjengah. Tok Cik adalah kakak Tok saya. Sebaik dia datang, dia sajalah yang bercerita. Bermula dari cerita tentang budak mati lemas di sungai yang baru-baru ini terjadi di Temerloh dan diungkitnyalah satu persatu kes mati lemas di sungai sejak dari yang boleh diingatinya di zaman mudanya dulu. Ya ampun. Bertahanlah kami bertiga melayan Tok Cik bercerita. Hidayah pandai melayan Tok Cik. Ada jugalah dia menyampuk menambah itu ini bila perlu. Saya pula hanya tumpang angguk dan gelak sajalah. Menyampuk sikit-sikit saja. Sebelum azan Maghrib, kami beransur balik. Saya menceritakan pada emak dan ayah tentang Tok Cik tadi. Emak dan ayah pun tumpang ketawa sajalah kerana sudah kenal dengan perangai Tok Cik ini.

Siang tadi, seharian saya duduk di rumah tidak keluar-keluar. Bila emak balik dari sekolah, emak mengajak ke Pasar Tani selepas Asar nanti. Saya katakan, saya mahu ke kedai kasut sekali. Mahu membeli sandal. Saya tidak punya sandal untuk digunakan. Emak bersetuju. Selesai Zohor, saya ke rumah Tok bertemu Hidayah dan Linda. Saya katakan mahu membeli sandal sekejap lagi. Terus laju saja mereka berdua menyarankan saya membeli kasut yang bertumit tinggi. Katanya: Kak Ngah, awak kena jadi macam perempuan sikit. Jalan janganlah ganas-ganas laju-laju sangat. Bila pakai high heels ni, awak akan control sikit. Jalan pun sopan je. Mak Tam yang ada di situ pun bersetuju. Katanya: Alah. Umur dah 23 dah pun. Apalah salahnya bergaya sikit. Untuk diri sendiri. Bukan nak menunjuk-nunjuk ke apa. Bukannya tak tutup aurat kan. Awak kan pakai stokin.

Kemudian Linda menyampuk: Kalau awak tak mula sekarang, nanti awak kekok untuk jadi macam orang dewasa. Saya bertanya pada mereka: Aik. Sekarang ni Ngah tak cukup dewasa lagi ke? Hidayah dan Linda riuh memberikan pendapat tapi pendapat Mak Tam yang lebih saya utamakan: Dewasa tu dewasah dah. Tapi kurang pandai melawa je lagi. Bukannya nak melawa beria-ia. Cukup untuk nampakkan diri awak tu bukan macam budak-budak je. Nampak matang sikit. Nampaknya, ada macam-macam lagi rupanya yang saya perlu baiki tentang diri ini. Saya kena berguru dengan budak dua orang itulah gayanya.

Apabila tiba di kedai kasut, emak menurunkan saya terlebih dahulu kerana emak hendak mencari parking. Sebaik emak masuk, saya berbisik pada emak: Emak, nak beli heels la. Respon emak: Ha. Eloklah. Takdelah nampak rendah sangat. Hahaha. Terkena saya. Saya tunjukkan satu contoh yang menarik minat saya. Emak kata: Macam ni ok lah. Bukannya tinggi tak ingat dunia. Cantik pun cantik.

Hari ini, baru saya dapat melihat persepsi orang lain tentang kasut tumit tinggi. Bagi saya, saya kurang selesa bertumit tinggi. Memang tak reti. Memang cantik melihat orang lain pakai. Tapi saya sendiri tidak tahu apa pentingnya untuk saya pakai. Memang saya rendah saja. Tapi saya tidak rasa berkasut tumit tinggi adalah satu keperluan. Tapi setelah mendengar pendapat emak, emak saudara dan sepupu yang berdua itu, maka tadi saya dengan jayanya telah membeli kasut bertumit tinggi. Lebih tepat adalah sandal bertumit tinggi. Tapi tidaklah tinggi mana. Huhu. Tapi bolehlah buat saya memandang seorang kawan lama yang terserempak di kedai itu seperti gaya orang tinggi memandang orang yang rendah. Oh. Begini perasaannya! Hehehehe.

Apa kaitannya kisah tumit tinggi ini dengan Tok Cik yang di atas tadi? Sebenarnya, setelah membeli kasut itu, saya teringatkan Tok Cik. Tok saya selalu bercerita Tok Cik itu muda-muda dulu sangat cantik. Ramai yang hendak berkahwin dengannya. Sampaikan askar Jepun pun berminat. Dan pada petang semalam ketika mendengar Tok Cik bercerita, dia ada menyebut tentang dia dulu-dulu muda-muda pun pakai kasut bertumit tinggi dan bergincu bibir. Oh. Saya memang gelak besar mendengarkan hal tersebut. Tak sangka sungguh!

Macam manalah saya agaknya bila sudah tua nanti ye. Hehe.

Posted on June 27th, 2008 by Sarah  |  22 Comments »

Bercakap Bahasa Budak

Assalamualaikum wbt

Malam sebelum bertolak balik hari Selasa lepas, saya tidak tidur walau sepicing pun. Sepanjang malam saya mengemas barang, buku-buku di rak dan membasuh baju. Pukul 7 pagi, teksi datang menjemput untuk ke airport. Kami bertujuh pada waktu itu. Yang lucunya, kami semua memakai tema warna yang sama hitam, putih dan biru gelap. Disebabkan kemengantukan yang dahsyat, sebaik kapal terbang berlepas, saya terus lelap. Kebetulan di sebelah saya ialah Akmal, pelajar tahun 2 (junior KISAS). Tak sempat cerita banyak, terus saya terlelap. Begitu juga perjalanan dari Tashkent ke KL. 7 jam setengah rasanya seperti 2 jam lebih saja. Saya tidur saja sepanjang jalan.

Sebaik tiba di KLIA, emak dan ayah masih belum tiba. Saya memaklumkan pada mereka bahawa flight akan tiba sedikit lewat. Sebaliknya tiba tepat pada masanya. Sementara menunggu, sempat lagi saya terlelap. Kisah apa saya kan. Terlalu mengantuk. Saya lelap juga. Sebelum itu, saya sempat berjumpa dengan sahabat baik saya, Faaiqah yang juga baru tiba dari Cairo. Ibunya juga ada bersama datang menjemputnya. Sudah setahun tak bertemu. Berpelukanlah kami di sana. Seri wajah pengantin makin terserlah di wajahnya. Hihi.

Sebaik terjaga dari tidur, saya menegakkan kepala dan terlihat kereta ayah berhenti betul-betul di hadapan arrival hall. Emak yang keluar mencari saya. Saya sudah nampak dari jauh dan terus meluru memeluk emak. Kemudian memeluk ayah pula. Terlepas rindu pada kedua-duanya. Dalam perjalanan pulang, ayah bertanya, nak makan nasi atau mee? Laju saya menjawab: Nasi!

Sempat lagi saya tertidur sebelum berhenti makan nasi di Melawati. Menu saya tengahari itu ialah Nasi Beriyani! Kemudian kami terus menyambung perjalanan ke Temerloh. Dan sepanjang jalan itu saya tidur lagi di tempat duduk belakang. Siap boleh baring lagi tu. Sedar-sedar saja, kami sudah pun menghampiri kawasan rumah. Sebaik tiba di rumah, saya berjalan-jalan di dalam rumah dari ruang tamu ke dapur dan ke ruang tamu semula. Melihat-lihat rumahlah kononnya. Selepas meletakkan barang-barang di dalam bilik, saya membuka peti. Ada buah betik sejuk! Rezeki sungguh. Sebenarnya rumah saya memang tak putus bekalan betik. Ada pokok betik yang sentiasa berbuah. Tapi kena berebut dengan burung. Huhu. Buah yang di bahagian atas, burung yang punya. Buah yang di bahagian bawah, kami yang punya. Huhu. Ini namanya rezeki Allah dikongsi sama rata. Hehe.

Kemudian saya ke rumah Tok. Ingin berjumpa Tok dan yang lain. Tapi Tok masih belum pulang dari masjid. Yang ada Mak Tam dan keluarga. Dah setahun dah budak kecik tu. Seronok betul saya dapat main dengan Iman. Tahun lepas waktu saya balik bercuti, Iman baru saja lahir. Kini sudah setahun. Sudah berjalan jatuh bangun, sudah bising mulut dan sudah pandai menggigit orang. Hoho. Sakit.

Pagi tadi, sekitar jam 7.30am, rumah saya sudah kosong. Semua sudah ke sekolah dan kerja. Kebosananlah saya seorang diri di rumah. Tapi sekitar jam 9 pagi, saya terdengar bunyi tapak kaki Mak Tam datang ke rumah untuk mengambil baju untuk dijemur. Mak Tam membawa Iman sekali. Saya pun apa lagi. Bermain dengan Imanlah di laman rumah. Saya pangku dia di atas riba. Saya menyebut ayam dengan nada menyuruhnya mengulang sebut semula perkataan itu. A-yam. Dia balas: Yam. Saya menyebut pula: Po-kok. Dia membalas: Kok. Aishh. Ada-ada saja budak kecik ni ye. Saya sebut: Mo-tor (ada scooter arwah Chik saya yang meninggal Oktober lalu di garaj hadapan rumah). Dia membalas: Broom. Aik. Melebih pula dia ye. Bila bab motor je, tahu pula dia untuk membuat bunyi.

Bila saya dukung dia masuk ke rumah, kami menonton TV rancangan kartun. Ada itik. Saya menyebut: I-tik. Dia membalas: Tik. Dan selepas itu membuat ulangan: Tik-tik-tik. Haha. Saya tergelak sungguh waktu itu. Selepas itu saya menyebut Kak-Ngah. Nama sayalah tu. Dia diam dan tenung saja muka saya. Kemudian dia membalas: Tok.

Uwa……… Saya bukan Tok la. Saya Kak Ngah. Jauh benar iras muka Tok dengan muka saya yang muda remaja lagi comel dan ceria ini :p Uwaaaaaa…. Jagalah Adik Iman. Esok Kak Ngah kenakan awak semula tau :p

Posted on June 26th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Nota Dari Eropah Timur (ii)

Assalamualaikum wbt

Menyambung kembali catatan percutian yang lalu. Pada hari keempat, kami sudahpun berada di Budapest. Sebaik sampai dari Prague, kami menginap di sebuah hostel yang dikendalikan oleh Viktor. Keramahannya sangat menyelesakan kami kecuali bilik hostel kami yang panas. Hehe. Kami memulakan pengembaraan hari keempat di Budapest dengan mencari tiket bas untuk ke Bratislava pada petangnya. Selesai urusan bas, kami terus menuju ke Castle Hill. Di sinilah letaknya Buda Castle yang gah tersergam di tepian sungai, di atas bukit. Kawasannya teramat luas. Ada dua istana di atas bukit tersebut. Pertama adalah Buda Castle dan yang keduanya ialah istana yang berfungsi sebagai gereja. Dahulu, Hungary mempunyai 2 agama utama iaitu Budha dan Kristian. Kini hanya agama Kristian yang masih kekal dan kebudayaan yang di bawa oleh agama Budha hapus sama sekali selepas perang dunia kedua. Mungkinah ada kaitannya dengan Perang Salib yang berjaya meletakkan agama Kristian sebagai yang teragung di sana? Saya juga kurang pasti tentang ini. Budapest membawa maksud Buda (Pemerintah) dan Pest (Rakyat/Sampah). Kawasan Buda adalah di atas bukit di seberang sungai. Kawasan Pest pula adalah di perlembahan sungai seberang sana. Kedua-dua kawasan ini dihubungkan oleh jambatan.

Cuaca di Budapest teramatlah panas. Saya sampai tidak boleh membuka mata ketika berjalan kerana hari teramatlah terik. Shades saya telah patah ketika di Prague. Jadi, terpaksalah harungi saja cuaca panas itu. Saya membeli sebotol besar air mineral dan dalam sekelip mata hampir habis saya minum. Kami menuruni bukit Buda Hill itu dengan berjalan kaki di bawah panas terik. Kemudian merentas jambatan utama di sana dan terus menuju ke bangunan Parlimennya. Kemudian kami menaiki trolley bus untuk berjalan-jalan di sekitar badan. Tak mampu lagi untuk berjalan kaki untuk ke destinasi yang seterusnya. Kota Budapest tidak banyak bezanya dengan Moscow City. Bangunannya hampir sama cuma bahasanya saja yang berbeza. Kemudian kami mengambil metro menuju ke Pusat Bandar di De’ak Ter dan kemudian menuju ke Feren Ter. Di sana letaknya beberapa lagi tempat yang hendak kami lawati dan kemudian hendak makan tengahari walaupun sudah petang hakikatnya pada waktu itu. Kami hanya ke McD saja. Fillet O Fish sajalah untuk hari itu. Selesai makan, kami ke jalan khas yang menjual cendera mata. Di sebuah kedai di sana, kami memborong sekali harung kerana harganya murah. Tambahan pula, anak makcik kedai itu sangatlah kacak ok. Oh. Dia ada mengajar saya sedikit bahasa tempatan. Tapi yang saya ingat hanya ‘kasenum’ (terima kasih). Huhu. Yang lain saya lupa kerana gabra ketika berbual dengannya. Hahahaha. (Jarang jumpa orang kacak yang berbudi bahasa dan pemalu. Rajin menolong emaknya pula tu. Huhu) :p

Sebelah petangnya, selesai solat Zohor dan Asar, kami menunggu bas untuk ke Bratislava, Slovakia. Dalam bas, kami semua tidur saja kerana kepenatan yang teramat sangat. Kulit juga hitam berkilat kerana lama berpanggang di bawah cahaya matahari. Sebaik sampai di Bratislava, kami ada masalah untuk mengeluarkan duit kerana di Malaysia sudahpun lebih dari jam 12 malam. Kami terpaksa menukar mana-mana duit baki yang sedikit yang kami ada dan kumpul-kumpulkan untuk membayar baki duit hotel yang perlu kami bayar sebentar lagi. Slovakia ini baru saja mendapat kebebasan daripada USSR sekitar tahun 1993. Namun pembangunannya sangat pesat. Saya sukakan bandar modennya. Dan bandar lamanya pula tipikal seperti di Prague. Kecil-kecil dan unik. Kami berjalan kaki menuju ke hotel. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah supermarket untuk membeli stok air. Ya Allah. Harga barangnya seperti di Malaysia saja. Murah! Hendak dibandingkan dengan harga di Moscow, jauhlah perbezaannya. Hehe. Saya borong jus. Semenjak memulakan perjalanan lagi, saya sangat sukakan jus Cappy. Semua jenis jusnya sangat pekat dan sedap. Huhu. Promosi sat :p

Malam itu, kami hanya berehat saja di hostel. Hotel kali ini juga sangat selesa. Harganya murah seperti hostel tapi tahapnya adalah hotel. Sungguh! Kami memang tidur mati sekali lagi malam itu. Keesokannya, kami bergerak agak lambat dari hotel setelah siap bersarapan. Ini kerana kami tahu Bratislava bukanlah bandar yang besar. Kami studi dahulu plan perjalanan kami hari ini sebelum keluar. Destinasi pertama kami ialah ke stesyen keretapi. Kami hendak membeli tiket ke Vienna pada petang itu. Jarak antara Bratislava dan Vienna hanyalah 64km. Perkhidmatan keretapi merentas 2 negara ini sangat kerap dalam sehari. Mencecah 12 kali sehari. Sistem tiketnya juga adalah open tiket, tiada nombor tempat duduk (free seating). Keretapi ekspres yang selesa. Selesai membeli tiket dan memilih untuk bertolak dari Bratislava pada pukul 5 petang, kami kemudiannya menuju ke Bratislavsky Hrad (Bratislavsky Castle). Malangnya, istana itu sedang dalam proses baik pulih sejak awal 2008. Kami hanya berpeluang melihat-lihat dari luar saja. Cukuplah begitu. Seterusnya kami menuju ke beberapa buah istana lain di bawah bukit pula. Kami berjalan kaki di Old Town. Hari sangat panas tapi nasib baik berangin (di Budapest sangat panas dan tak berangin, hangit kami di sana).

Setelah penat berjalan kaki, kami bercadang hendak berjalan-jalan melihat pemandangan dengan tram saja. Sampai di satu stesyen ini, kami turun untuk membuat pertukaran dan kemudian menuju ke Historical Square. Di sini letaknya beberapa monumen penting, bangunan bersejarah yang masih belum kami pergi dan tempat membeli cendera mata. Memandangkan harga barang di Bratislava murah dan ini merupakan destinasi terakhir kami, kami bercadang untuk makan tengahari di sebuah restora tempatan. Dengan hanya 3 Euro (RM15++), kami makan dengan kenyangnya di sebuah restoran tempatan yang menghadap ke Main Tower. Selesai makan, kami pergi membeli cendera mata. Kebetulan pada hari itu, ada ramai pasangan pengantin (orang kaya raya pastinya) yang membuat majlis mereka di Historical Square ini. Selesai membeli barang, kami berjalan-jalan lagi. Tiba-tiba saya terpegun. Ada seseorang yang melintas di sebelah Fatt kelihatan sangat familiar. Wah! Muka orang itu seperti prince charming saya yang telah putus kasih dengan saya itu! Siapa? Farid Kamil lah. Huhu. Sungguh. Memang gaya. Tapi prince charming saya itu lagi tinggilah, kan. Hehe. Selesai semuanya, kami menuju ke Stesyen Keretapi. Perlu solat Zohor dan Asar dulu sebelum keretapi bergerak. Kami hendak sampai awal sedikit di Vienna kerana Fatt dan Pena hendak membeli sesuatu di Stephanplatz.

Di dalam keretapi, semuanya tidur. Saya mengeluarkan buku sajak dan menulis. Pemandangan yang cantik di sepanjang jalan sangat memberikan inspirasi. Di sepanjang perjalanan dari Prague ke Budapest pun begitu juga. Dalam bas ketika itu, 4 buah sajak sekali gus yang saya sempat hasilkan. Sajak ngokngek-ngokngek je lah, kan. Setibanya di Vienna, saya terus menuju ke airport, Fatt dan Pena pula ke City Center. Setibanya di airport, saya terus mengurus diri sementara menunggu mereka tiba. Apabila mereka tiba, kami pergi ke McD untuk makan sedikit sebelum check-in. Malam itu ada perlawanan bola. Kami pastilah menyokong Rusia. Hehe. Kami berkampung di airport beramai-ramai dengan peminat bola yang lain menonton di TV di sebuah restauran yang ada di sana. Hanya apabila masa telah tiba, kami berangkat ke Passport Control.

Di awal pagi Ahad, kami berlepas pulang ke Moscow meninggalka segala kenangan manis sepanjang pengembaraan di Eropah Timur ini. Di dalam kapal terbang, kami semua tidur kepenatan. Kami selamat tiba ke rumah semula pada jam 7.30 pagi waktu Moscow. Berkemas ala kadar dan kemudian sambung tidur semula sehingga jam 11.30. Saya bergegas bangun di saat yang lain masih tidur untuk membasuh baju dan berkemas. Berkemas untuk pulang ke Malaysia pula.

Inilah antara catatan percutian kali ini. Sebenarnya, ada beberapa persamaan antara keempat-empat negara yang kami lawati ini. Kesemuanya mempunyai istana yang terletak di atas bukit di tepian sungai utama negara tersebut yang mana sungai ini memisahkan kawasan pemerintahan di raja dengan kawasan rakyat kebanyakan di seberang sungai yang sebelah satu lagi. Hal inilah yang menyebabkan rakyat menjadi tidak puas hati kerana rakyat tidak dibenarkan mendekati kawasan bukit tempat letaknya istana di raja. terutamanya di Prague. Revolusi yang terjadi pada tahun 1300-an adalah bukti kebencian rakyat terhadap sistem pemerintahan pada waktu itu. Yang lebih tepat, rakyat bencikan kuasa suara yang dipunyai oleh paderi-paderi yang mengetuai gereja-gereja di istana kerana pihak istana sangat mendengar pendapat mereka. Sedangkan pendapat mereka lebih berbentuk untuk menjaga kepentingan masing-masing. Begitu juga dari segi agama. Kenapa agama Islam kurang sampai ke tempat-tempat ini? Kerana adanya suara paderi yang menghalang kemasukan pedangang-pedagang Islam yang datang untuk bertemu pihak di raja pada waktu itu. Satu lagi persamaan nagara-negara di Eropah Timur ini ialah pertalian di raja antara mereka semua. Ini dimulai oleh Maria Theressa dan keturunan kerabatnya yang berkahwin dan dihantar menjadi wakil pemerintahan di hampir kesemua negara di Eropah Timur. Siapa Maria Theressa? Dialah Puteri Kerajaan Austria yang telah melahirkan 16 orang anak yang mana kesemuanya menjadi watak penting dalam revolusi dunia termasuk zaman gelap dan kebangkitan semula (Renaissance).

Sekian dulu Nota dari Eropah Timur kali ini =) Saya nak sambung main dengan baby!

Posted on June 25th, 2008 by Sarah  |  22 Comments »