Archive for the ‘Holiday’ Category

Monolog Saya Dan Nisa

Assalamualaikum wbt

Pada mulanya terasa hendak menulis tentang hal lain. Tapi emosi sedikit terganggu. Maaflah. Tiada perkongsian untuk kali ini. Entri kali ini entri kosong saja. Tadi petang mengikut emak ke butik. Emak belikan saya baju. 2 pasang. Terharu kerana umur dah besar panjang masih dibelikan baju oleh emak. Banyak emak berbelanja untuk saya tadi. Terima kasih emak.

Keduanya, tadi saya berbual lama dengan sepupu saya, Nisa, di telefon. Memang sesi melepas rindu dan mengemaskinikan perkembangan kami berdua. Nisa juga pelajar perubatan. Yang paling melekat di hati ialah persoalan yang kami timbulkan. Kenapalah kami mengambil jurusan ini? Kenapa dulu kami tak terfikirkan jurusan-jurusan lain seperti Sains Marin, Kejuruteraan Elektrik, Security Technology atau lain-lain selepas SPM dulu? (Pengecualian kepada saya. Saya ada terfikirkan jurusan Perundangan. Dalam borang UPU, 2 teratas saja saya isikan dengan Perubatan UIAM. Lagi 6 ruang kosong, saya isikan dengan Perundangan. Saya mahu menjadi peguam. Tapi gara-gara bermain janji dan sumpah, lain pula jadinya. Tak mengapalah. Sudah rezeki saya di takuk saya sekarang. Lagipun, menjadi pengamal perubatan juga adalah salah satu minat dan impian saya.)

Kata putus kami, tak baik dikenangkan semua ini. Kami sudah hampir tamat pun. Saya lagi setahun. Nisa lagi dua tahun insya Allah. Cumanya, di saat kawan-kawan yang lain sudah boleh menanggung diri dan keluarga masing-masing, kami masih lagi ditanggung oleh emak ayah.

Puncanya kami boleh bercerita tentang ini ialah apabila terbuka cerita tentang Ana, adiknya yang kini sedang mengikuti kursus Survival, ada belajar scuba dan macam-macam lagi dalam jurusan yang diikutinya, Sains Marin. Dan kami kagum dengan sepupu kami Hidayah yang cemerlang dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik yang diikutinya sedangkan kehidupannya tidaklah sedahsyat kami berdua. Dan bagi saya pula, saya kagum dengan adik saya Adnan yang mengikuti jurusan Security Technology. Dia telah pun tamat dan kini telahpun berkhidmat di IBM Cyberjaya.

Betullah kata orang. Minat membantu persembahan dan mutu kerja kita. Saya doakan sepupu-sepupu saya semuanya berjaya dalam jurusan yang mereka ikuti. Kerana saya tahu mereka memilih untuk berada di situ kerana minat mereka dan bukannya dipaksa-paksa. Undur diri dulu. Esok terlalu banyak yang hendak dilakukan. Ada sesiapa yang mahu ke Pameran Pengantin di Mid Valley esok? Hehe =)

Nota: Baju itu sudah selesai. Tunggu hari itu pula =) Hihuu~ Buat Saufi, Selamat Hari Lahir. Tu mesti dah bedebar nak kahwin miggu depan kan. Hehe. Semoga dalam redha Allah selalu insya Allah.

Posted on July 5th, 2008 by Sarah  |  21 Comments »

Bertemu Ghodong Lama

Assalamualaikum wbt

Sengaja tidak mahu mengemaskinikan blog pada hari semalam. Hajatnya kerana hendak membetulkan semula waktu tidur malam saya yang tidak menentu sejak balik ke rumah. Tapi lain pula jadinya. Semalaman langsung saya tidak boleh lelap dan di awal pagi, saya ke klinik untuk temu janji bersama doktor. Ada berita baik dan buruk. Ok tak mengapa. Abaikan. Masih hidup Alhamdulillah. Masih sihat secara keseluruhannya.

Klinik yang saya pergi ini ialah klinik rujukan keluarga saya yang telah menjadi kepercayaan kami sejak emak muda remaja. Dan ketika saya teruk terbakar dulu, disebabkan saya dikeluarkan dari hospital lebih awal, di klinik inilah saya menukar dressing untuk luka-luka saya. Auntie Devi yang bertugas sebagai jururawat di klinik tersebut masih sangat mengingati saya sebagai ‘Siti yang dulu hangus’. Tadi apabila bertemunya, dia bising bercerita dengan pembantu baru di situ yang saya ini anak itu Haji Shukor, anak itu Cikgu Noor. Dulu ini budak hangus macam daging bakar. Sekarang ini budak sudah jadi anak dara cantik. Hoho. Mahu gelak. Daging bakar katanya ye. Nasib baik bukan daging salai. Apabila bertemu Doktor Rama, dia gembira bertemu saya semula. Tahun lalu saya memang tidak ada apa-apa urusan yang memerlukan saya ke klinik sewaktu cuti. Jadi tidak bertemulah dengannya. Selepas selesai semuanya, ubat pun sudah diambil, saya tidak dikenakan sebarang bayaran pun. Masuk poket semula RM70. Terkejut juga saya. Kata Auntie Devi: Doktor kata hari ini free. Sekarang kami sudah tua. Nanti awak di hospital, awak pula jaga kami. Saya terharu mendengarkan kata-kata Auntie Devi itu.

Saya menelefon ayah memaklumkan saya hendak balik sendiri saja. Tidak perlu ayah menjemput dan menghantar saya balik. Ayah pun tengah sibuk. Lagi pula, zaman minyak mahal ni, kita ubahlah cara hidup. Naik bas. Murah. Lagipun, bas agak tepat juga masanya di sini. Saya sudah berjanji hendak bertemu dengan adik saudara saya di terminal untuk balik sekali menaiki bas kerana saya tidak biasa. Sebelum terus menuju ke terminal, saya menyinggah ke butik. Perlu mencari baju istimewa. Jumpa. Tapi bukan saiz saya. Semua yang ada hanya M dan L. Saiz S langsung tiada. Saya selalu bermasalah untuk mencari baju siap di butik. Masalah saiz. Nampaknya nanti wajib mengajak emak ke BTM pula. Selesai meninjau-ninjau baju, saya terus mahu pulang. Sedang berjalan kaki menuju ke terminal, sebuah kereta berwarna ungu gelap berhenti di tepi jalan. Saya tidak endahkan. Mungkin orang awam yang hendak menyinggah sebentar. Saya berjalan menundukkan muka kerana hari panas. Tiba-tiba cermin tingkap kereta itu diturunkan dan orang di dalam kereta menjengulkan muka.

Sarah? Sapanya. Saya tenung orang di dalam kereta. Ya Rabbi. Matmie! Rakan sepasukan bahas saya sewaktu di SMA Al-Khairiah dulu! Sebetulnya tahun lalu pun saya ada terserempak dengannya setelah hampir 7 tahun tidak bertembung. Dan tahun lalu kami ada konvoi balik ke Temerloh bersama-sama dari KL. Sekitar awal Mei, saya ada menerima panggilan jauh dari Matmie yang hendak memaklumkan bahawa dia sudah selamat mendirikan rumah tangga dengan Kak Tini. Saya juga kenal akan isterinya. Matmie mengajak pergi minum dulu. Berfikir 2, 3 kali juga. Matmie bersungguh mengajak. Bagi saya, Matmie ini yang setepatnya adalah ghodong saya (baca: rodong -loghat Temerloh yang membawa maksud kawan setempat yang sekepala-) yang memang sangat seronok diajak berborak. Memang ngam habis. Kami ke Kopitiam di Bandar Baru. Minum pagi saja. Oh ya. Matmie ini seorang peguam. Sebelum ke Kopitiam, kami singgah di Mahkamah Temerloh sebentar. Inilah kali pertama saya ke sana selama 23 tahun tinggal di Temerloh. Dan tadi saya terimbau kenangan dulu-dulu betapa saya tersangat hendak menjadi peguam ketika zaman kegemilangan bahas memuncak tinggi. Hehe.

Belum sempat apapun ketika di Kopitiam, Matmie bertanya pasal AP dulu (baca: Abang Pujaan -hohoho-). Saya jawab pendek: Dia dah bertunang dah. Dengan laju terus Matmie menelefon kawannya untuk memastikan hal itu. Ye. Itu berita sahih bukan main-main. Cuma tarikh majlisnya belum ada. Saya senyum saja. Tiada apa yang perlu disedihkan atau apa.

Matmie ini bagus orangnya. Dia faham agama, bercita-cita tinggi, komited dengan tanggung jawab yang dipikul dan saya yakin dia punya masa depan yang cerah dalam bidang guaman ini. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke terminal, dia bertanya: Nak tak saya carikan? Saya tanya: Cari apa? Katanya: Cari calon la. Kata dulu nak lawyer kan. Ni ramai kawan duk tengah mencari ni. Kak Tini pun ada kawan juga. Saya tergelak sekejap. Lalu saya balas: Takpelah Matmie. Tak nak ada kaitan dengan lawyer-lawyer dah. Takut. Hehe. Cukuplah tengok kawan-kawan semua jadi orang hebat-hebat. Bukak firm sendiri. Lagipun orang lawyer-lawyer ni suka lawyer jugak. Takpe aje la. Saya senyum.

AP itu juga seorang peguam. Tunangnya juga bakal peguam. Abang Nizam (hehe) dan isterinya Kak Ina pun pasangan peguam. Matmie dan Kak Tini juga pasangan peguam. Peguam tidak mahu berpasangan dengan doktor. Doktor lelaki pula tidak mahu bersama dengan doktor perempuan. Kalau boleh perlu dielakkan. Begitu juga sesetengah lelaki dengan profession lain yang tidak berminat menjadikan doktor perempuan sebagai isteri. Jadi, tidak pelik jika kita lihat ramai doktor perempuan sekarang ini masih tidak berkahwin walaupun umur sudah lanjut. Ada pengecualian bagi doktor perempuan yang telah bertemu pasangan sejak awal-awal zaman belajar lagi (kan Faiq kan) :p

Saya sudah keluar topik ni. Yang utamanya saya hendak mengetengahkan tentang kata-kata Doktor Rama dan Auntie Devi yang di atas tadi juga kisah bertemu ghodong lama. Seronok. Insya Allah sudah janji mesti bertemu lagi dengan Kak Tini sekali. Banyak yang hendak diceritakan. Buat Kak Maslina Mohamed, pagi tadi saya ke pejabat Akak. Tapi saya dimaklumkan Akak sudah berhenti di situ dan berpindah ke tempat lain. Tiada rezeki bertemu Akak, saya terserempak dengan Matmie pula. Baru saya tahu Akak sudah dipindahkan ke Putrajaya rupanya. Selamat membina kerjaya di sana!

Buat Abang Khairil, selamat bergraduasi! Selamat bergelar Dr. Khairil Idham Ismail! Kami semua menunggu kepulangan Abang Khairil ke Malaysia =)

Posted on July 3rd, 2008 by Sarah  |  26 Comments »

Khayal

Assalamualaikum wbt

Seharian saya duduk di rumah. Saya membelek buku-buku dan majalah-majalah pengantin milik Kaklong. Walaupun jemu jugalah berseorangan, tapi rasa terisi. Banyak maklumat dan ilmu baru yang saya perolehi. Spesifiknya tentang persiapan perkahwinan. Terlalu banyak rupanya yang perlu dipersiapkan sebelum berkahwin.

Kebetulan dalam majalah PENGANTIN Julai 2008, ada disediakan senarai semak yang boleh membantu bakal pengantin membuat persediaan. Terkejut juga saya kerana ada yang perlu dibuat seawal 8 ke 9 bulan sebelum majlisnya.

Teringat saya sekitar awal Mei lalu, saya ada online bersama Faaiqah, sahabat saya si cantik manis yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Dalam pada bercerita tentang persiapan exam, sempat saya menanyakan tentang persiapan perkahwinannya. Maka, tergatallah mulut saya bertanya tentang belanja yang diperuntukkan untuk majlis tersebut.

Menurut Faaiqah, untuk pakaian, fotografi dan hantaran, sudah hampir RM5000. Saya yakin, bagi orang lain, mungkin ada yang jauh lebih tinggi dari ini. Untuk kenduri nanti, hampir RM15 ribu kalau tidak silap. Banyak lagi info yang Faaiqah kongsikan. Waktu itu baru saya sedar bahawa saya tidak tahu apa-apa langsung tentang persiapan perkahwinan. Beberapa hari selepas itu, saya bawa berbincang dengan teman sebilik. Dia juga bersetuju jumlah ini adalah standard masa ini. Malah, kalau tidak pandai membuat anggaran, perbelanjaan akan jauh lebih tinggi daripada ini. Bagi pihak lelaki, mereka perlu memikirkan tentang wang hantaran pula. Ini pun satu perkara yang penting.

Jadi siang tadi, saya tegarkan juga mata menatap majalah-majalah tersebut. Paling kurang, saya dapat melihat fesyen-fesyen busana pengantin yang terkini dan sesuai untuk penampilan wanita bertudung. Juga persediaan barang hantaran. Ini yang paling kurang. Yang paling banyak yang saya serap ialah info tentang merangka majlis secara keseluruhan. Dahsyat rupanya. Terlalu banyak yang perlu difikirkan. Dari senarai jemputan, memilih kad, memilih tema dan baju pengantin, memilih cincin, menyediakan hantaran dan seribu satu macam yang lain. Oh terlupa. Juga mengikuti kursus perkahwinan dan membuat persiapan diri dan lain-lain yang perlu. Mandi lulurlah. Mandi susulah. Entah apa-apa lagi entah.

Saya lihat, sekarang sudah menjadi trend membuat lawan web untuk membuat jemputan secara virtual bagi pasangan pengantin. Menarik juga ya. Teringin juga satu hari nanti mahu membuat lawan web sebegitu juga. Hehe. Dan saya juga sempat meninjau-ninjau blog persendirian milik mereka yang bakal berkahwin. Asyik bercerita tentang persiapan dan bermacam-macam lagi. Teraca lucu pula apabila membayangkan suatu hari nanti blog saya pula yang seperti mereka. Cerita tentang baju pengantinlah, persiapan hantaranlah, berinailah, sesi fotografi pra-majlislah dan perasaan berdebar-debar serta bahagia amat yang mereka rasai. Ok. Tak boleh berangan banyak. Khayal nanti.

Sebenarnya seronok membelek-belek majalah begini. Yang menjadikan tak menariknya ialah KHAYAL! Lama betul saya memerap dalam bilik hari ini. Sehinggakan Mak Tam mengunci pintu rumah dari luar tengahari tadi kerana menyangka saya tiada di rumah. Dan petang tadi saya menyambung membelek-belek lagi. Kaklong ada banyak koleksi majalah-majalah ini kerana Kaklong berminat dalam seni hiasan barang hantaran. Berguna juga ada majalah-majalah ini. Sekurang-kurangnya tidaklah saya kosong idea tentang perkara ini dan sedikit sebanyak dapat membantu untuk membuat persiapan nanti.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya.”

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu.”

Amaran: Azwan, sila jangan tag saya tau. Nanti saya nangis. Huhu~

Posted on July 1st, 2008 by Sarah  |  33 Comments »

Ilmu Hisab

Assalamualaikum wbt

Soalan 1:
Saya bercuti di Malaysia kali ini selama 65 hari (terpaksa belek kalender untuk kira berapa hari :p). Saya telah berada di rumah selama 6 hari dan pada hari yang keenam, saya telah gembira sebanyak 3 kali sehari. Jika sekiranya saya masih berbaki 59 hari lagi dan setiap hari saya akan gembira 3 kali, berapa kalikah saya akan gembira sepanjang cuti ini?

Penyelesaian:
= (59 hari + 1 hari) x 3 kali
= 180 kali

Kesimpulan:
Pulang bercuti kali ini adalah sangat berbaloi dan menggembirakan jika kira-kira ini sama dengan yang dikirakan atau lebih dari itu.

Soalan 2:
Apakah penaakulan mantik yang boleh dikeluarkan daripada soalan 1? Jawapan mestilah mempunyai julat kesalahan kurang daripada 0.05%.

Soalan 3:
Apakah model graf yang mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menerangkan jawapan soalan 1?

Saya seperti merapu saja. Tapi sungguh. Memang gembira. Ok. Nanti siang saya kemas kinikan blog. Sekarang mahu tidur dulu. Mahu bangun menonton EURO 2008 final jam 2.30 pagi nanti. Malam ini saya bertemakan hitam-kuning-putih. Selamat malam Malaya =)

Posted on June 30th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Nostalgia Kecil-kecil Dulu

Assalamualaikum wbt

Sejak malam semalam, selepas makan malam, saya menyelongkar album-album lama untuk melihat semula gambar-gambar sewaktu kecil. Gembiranya hati. Banyak khazanah lama yang saya jumpa. Tapi yang sedihnya, gambar saya sewakti bayi tersangatlah sedikit. Sebenarnya nak je saya kata tiada langsung tapi siang tadi saya meneruskan pencarian gambar-gambar itu, akhirnya saya terjumpalah sekeping dua gambar ketika bayi. Yang banyaknya ialah gambar Kaklong. Saya mengomel-ngomel pada Mak Tam. Banyaknya gambar Kaklong ye. Gambar umur baru berapa hari. Gambar baru pandai meniarap. Gambar baru pandai merangkak. Gambar baru mula menapak. Gambar dengan buah petola yang jauh lebih panjang darinya. Gambar dia pandu lori. Gambar dia menyapu sampah (sapuan yang pertama agaknya) dan bermaca-macam aksi lagilah. Teori yang ada dalam kepala saya ialah: Anak sulung. Rasa berkobar-kobar untuk melihat anak itu membesar semestinya lebih lagi berbanding anak yang seterusnya kan. Tapi memang Kaklong tersangat comel. Saya rasa, jika saya ini orang luar dan terlihatkan Kaklong ketika kecil, saya dengan jujurnya akan mengatakan budak itu comel. Geram saya tengok pipi dan mata Kaklong. Rasa nak cubit-cubit je. Tapi kasihan saya tau. Memang gambar saya sikit sangat sewaktu bayi. Saya jumpa 2 saja. Rasa nak nangis je tau. Huhu.

Pagi tadi emak ke sekolah. Ada mesyuarat agung PIBG. Malam semalam saya tidak tidur sepicing pun. Memang tak boleh lelap. Sudahnya, selepas emak bertolak, saya terus beroperasi mengemas rumah secara besar-besaran. Termasuklah beroperasi di laci album-album lama ini. Dan ini hasilnya yang saya dapat kutip! Bersungguh saya scan gambar-gambar ni semua setelah selesai mengemas =)

Ini gambar saya berumur 2-3 bulan. Cuba lihat pandangan mata Kaklong terhadap bayi kecil molek itu? Bagaikan hendak menerkam bayi tu je kan? Entah-entah, saya menangis dibuat dek Kaklong kot. Huhu~

Ini ketika saya berumur 2 tahun 1 hari :p Yang kecil itu adalah Nan. Cuba lihat apa yang saya sedang lakukan. Kenakalan saya mengacau budak-budak sudah terserlah sejak kecil lagi rupanya. Hakhak =)

Saya seakan masih ingat suasana ini. Sedangkan waktu itu saya baru berumur 2 tahun lebih. Emak siapkan saya dan Kaklong di awal pagi kerana hendak bertolak ke majlis konvo ayah. Terasa bertuah dapat lihat ayah sendiri konvo waktu masih kecil lagi. Hehe. Ada satu gambar yang lain, Kaklong memakai topi konvo ayah dan memegang scroll ijazah itu. Tadi petang, saya tanya emak. Kenapa gambar saya tiada? Kata emak, saya yang tidak mahu. Adui. Rugi betul. Kalau tak, mesti saya ada gambar yang sama macam Kaklong. *ada unsur-unsur cemburu di sini* :p

Ini gambar di pagi raya kedua. Saya masih ingat suasana pagi raya ketika kecil-kecil dulu. Biasanya hari pertama kami berbaju kurung dan hari kedua kami akan dipakaikan sepersalinan mexi atau t-shirt begini. Cuba tengok kasut kami. Ini kasut favourite kami waktu kecil dulu tau. Saya rasa sampai umur 6 tahun saya suka memakai model kasut yang begitu. Dan rambut saya pula. Hahaha. Rambut cendawan! (Farah Ramlee, ni lah yang Kak Ngah cerita mushroom head waktu kecik-kecik tu. Sama macam kamu jugak kan. Hehehe.)

Inilah Nan, Kaklong dan saya. Kami bertiga sempat membesar bersama untuk jangka yang lama sebelum Lan lahir. Jadi, kami bertiga sangat rapat sehingga kini. Biasanya inilah ‘uniform’ kami di pagi raya. Sedondon je 3 beradik. Tudung memang wajib. Muka Kaklong memang tak berubah sehingga kini. Saya pula, hanya mata yang kekal sama sehingga sekarang. Tengok mata pun boleh cam itu saya. Tapi muka saya jauh berubah. Mungkin kerana dulu saya pernah terbakar (1993). Nan pula sejak kecil mukanya macam anak Mat Saleh sesat. Dia terkena genetik itu kot. Tapi semakin membesar, semakin Melayu mukanya. Huhu. (Farah Ramlee, awak sangat untung tau. Nanti anak awak dapat la kot genetik mixed Nan tu. Mesti comel gabungan Ayuni dan Nan. Huhu) :p

Saya dan Kaklong selalu memakai Mexi sewaktu kecil dulu. Jubah yang bercoraklah kiranya. Tok yang jahitkan untuk kami. Seingat saya, saya tidak pernah ada skirt pendek kecuali sehelai yang Tok belikan untuk kesemua cucu perempuannya ketika itu sewaktu pulang dari Mekah. Lain-lain, biasanya saya gemar bermexi dan berseluar track. Ketika ini saya berumur 4 tahun. Lokasi saya dan Kaklong berdiri inilah tempat di mana tumbuhnya Pokok Semarak di depan rumah Tok dan di situlah adanya buai yang selalu saya naiki itu =)

Gambar yang akhir ini, masih ingat saya cerita waktu Hari Graduasi Tadika, saya membaca Al-Quran untuk majlis pembukaan dengan tersekat-sekat seperti radio rosak? Haa…! Inilah gambarnya. Cuba tengok orang kat meja di tepi tu. Jahatnya. Dia gelakkan saya! Nak nangis!!!
Huhu. Entri ini ada berbaur cemburu pada Kaklong kan :p Tidak sebenarnya. Saya tak cemburu langsung. Sebenarnya saya sangat tak sabar menunggu siang kerana hari ini Kaklong akan balik ke rumah! Saya dapat berjumpa dengan my other half ini!!!

Kesimpulan entri ini ialah, saya sangat bulat waktu kecil dulu (~~,)v

Posted on June 29th, 2008 by Sarah  |  21 Comments »