29 Disember 2011 : Dunia Baru Kami

Assalamualaikum wbt

Ini adalah sebuah entri tertangguh kisah kelahiran Izz Zamani pada 29 Disember 2011 yang lalu. Disebabkan sudah hampir setahun lamanya, hendak memulakan semula penulisan kali ni terasa agak kekok. Belasah sajalah. Huhu. Insya Allah, saya masih ingat dengan jelas kronologi yang berlaku dulu. Nukilan ini khas untuk kenangan saya dan suami untuk Izz Zamani.

28 Disember 2011

Hari itu, usia kandungan sudah mencecah 39 minggu 3 hari. Saya ada temujanji antenatal check up yang terakhir di Klinik Desa Lebak. Ketika itu saya sudah mula bercuti dan berada di rumah emak ayah saya di Temerloh. Saya memandu sendiri ke sana. Tiada siapa di rumah ketika itu. Kalau ikutkan, jika masih belum bersalin pada due date saya, temujanji seterusnya ialah di KKIA Temerloh pada Isnin berikutnya selepas tahun baru. Sebaik tiba di rumah, saya terus ke rumah Tok yang terletak sedepa saja di depan rumah saya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi kereta menaiki bukit rumah kami. Disebabkan hanya bertudung pendek, saya sedikit berlari masuk ke rumah Tok. Rupa-rupanya, seorang dua pupu saya balik ke rumah ibu saudaranya di sebelah rumah Tok. Termengah-mengah saya kepenatan. Selepas bermain seketika dengan Iman dan Imani, saya pun pulang ke rumah. Terus saya membuka PC dan membuat editan terakhir untuk entri Nota Untuk Anak Mama. Sambil duduk di kerusi, saya makan aiskrim. Haha. Setiap hari pun nak makan aiskrim. Nasib baik tak gemuk sangat masa mengandung. Total berat badan naik 13 kg. Kenaikan yang ideal dari berat badan asal. ;-)

Ketika itulah, saya rasa sakit pinggang mula datang secara merengat-rengat dan terus membawa ke depan. Perut mengeras. Ya. Itulah contraction namanya. Contraction yang pertama saya rasakan pada jam 11.50 pagi. Kata saya dalam hati, kalau contraction sudah regular, barulah saya akan memberitahu emak dan suami. Saya teruskan duduk di depan PC. Semakin lama, contraction semakin kerap. Mula-mula selangnya 20 minit sekali. Jadi, saya ambil keputusan untuk baring di sofa depan TV di ruang rehat dapur. Baring dalam 15 minit, saya rasa lega. Tidaklah sakit mana pun lagi. Contraction pun cuma dalam 15 ke 20 saat setiap kali datang. Dalam hati saya berkata, tak regular lagi ni. Mild saja contraction ketika itu. Jadi saya terus ke PC semula. Sambung mengedit entri itu. Dasar blogger betul, kan? Hahaha. :lol:

Dalam pukul 1 pm begitu, kadar contraction masih sama tapi saya rasakan sakitnya semakin meningkat. Saya ambil keputusan untuk berhenti online. Biasanya, jika hari yang penat oncall atau postcall, saya biasa merasakan contraction sebegitu. Untuk menghilangkannya, saya akan tidur saja. Bangun tidur, biasanya contraction akan hilang. Jadi, saya masuk ke bilik untuk tidur. Hari masih belum Zohor ketika itu.

Saya terbangun lebih kurang pukul 3.30 petang dan bergegas untuk solat Zohor. Waktu tu macam terlupa yang tadi sudah mula sakit-sakit. Ketika sedang solat, saya rasakan contraction masih ada lagi. Huuu. Sakitnya menahan contraction waktu itu. Mungkin posisi ketika itu kot. Selesai solat, saya duduk di depan TV semula. Saya membuat timing untuk mengira jarak masa antara setiap contraction. Sekali dalam masa 10 minit (1:10) selama 25 saat. Saya tersenyum. Hehe. Memang sakit tapi baru 1:10. Kalau primigravida (mengandungkan anak pertama), lambat lagi ni nak buka jalan sepenuhnya. Jadi saya duduk sambil memegang pinggang. Tak lama kemudian, emak sampai daripada menjemput Aiman dan Azizi balik dari sekolah.

Emak melihat saya yang bangun duduk beberapa kali di depan TV. Emak bertanya sama ada saya sudah rasa sakitkah. Saya menyuruh emak cool dulu. Masih terlalu awal untuk ke hospital. Huhu. Emak tu ada pengalaman bersalin 8 orang anak. Sesedap hati saja saya yang suruh emak cool dulu. Saya nekad untuk tidak beritahu suami dulu. Saya banyakkan berehat di dalam bilik saja untuk mengurangkan rasa sakit yang sedang dialami. Kalau saya bagitahu awal-awal, karang lintang-pukang pula dia balik dari Putrajaya nun. Haha~ :mrgreen:

Pukul 7.30 malam, selepas solat Maghrib, suami saya menelefon. Pada mulanya saya rahsiakan dulu. Tak mahu dia kelam kabut hendak balik waktu itu juga sedangkan saya sendiri tahu masih lambat lagi masanya. Saya cuma katakan yang saya penat dan sakit belakang. Pukul 9 malam, contraction semakin kuat. 1:10 selama 30 saat. Ok. Sekarang dah moderate. Saya dah patut bagitahu pada suami. Saya menelefonnya, saya memperincikan apa yang sedang berlaku. Tapi saya tetap meyakinkannya bahawa saya masih boleh bertahan. Terbaringlah saya di bilik seorang diri menahan sakit. Sekitar pukul 10 malam, saya keluar ke ruang TV. Ayah ada di situ. Saya katakan pada ayah, kalau-kalau saya terlalu sakit di tengah-tengah malam itu, saya meminta tolong ayah yang hantarkan ke hospital. Kemudian, saya masuk ke bilik semula untuk cuba tidur. Memang tak boleh nak tutup mata langsung. Sakit makin kuat. Huhuhu. Terbayang-bayang lagi sampai sekarang rasa merengat-rengat tu. Tapi masih moderate. Jadi saya berjalan-jalan di dalam bilik untuk mengurangkan rasa sakit. Bagi saya, terbaring jauh lebih sakit. Bila berjalan, kurang sikit rasanya. Hehe.

29 Disember 2011

Pukul 1 pagi, suami saya menelefon semula. Saya katakan, sakit semakin kuat tapi tidak ada tanda yang turun lagi. Bagi saya, sakitnya saya masih boleh tahan. Dia bertanya sama ada sempat atau tidak dia balik keesokan paginya kerana dia ada hal penting di pejabat sebelum dia mula bercuti panjang. Saya katakan, sangatlah sempat. Hahaha. :lol: Yakin sungguh saya ni kan. Tapi, seketika kemudian saya mula merasakan sakit yang semakin lama dan kuat. Lebih kurang pukul 2 pagi, saya menelefonnya semula. Saya minta dia balik malam itu juga. Contraction semakin kerap dan kuat. 2:10 selama 40 saat. Pukul 2.45 pagi dia menelefon memaklumkan dia sudahpun bertolak dari Putrajaya. Saya cuba juga untuk tidur. Tetap tidak boleh. Jadi, saya ambil keputusan untuk mandi dan kemudian ke dapur membancuh air panas untuk diminum. Dalam pukul 5 pagi, suami saya pun sampai. Kami merancang hanya untuk ke hospital selepas selesai solat Subuh supaya tidak berhutang apa-apa solat sebelum bersalin. Di bilik, suami saya tidur kepenatan, saya pula terbaring memegang pinggang dalam kesakitan. Sakit semakin kuat. 3:10 selama 40 saat.

Sebenarnya saya tidak mahu ke hospital terlalu awal kerana hendak mengelakkan ditahan di wad terlebih dahulu jika jalan masih kurang daripada 4 cm bukaannya. Masuk wad adalah a big No for me:mrgreen: Kalau setakat contraction masih jarang-jarang, atau baru 1:10 mild to moderate, bagi primigravida, jarang sekali bukaannya sudah besar. Jadi, bertahanlah saya di rumah dulu sebelum bergegas hendak ke hospital. Pukul 6.30 pagi, selepas minum dan makan sekadar alas perut yang emak sediakan, kami bertolak ke hospital.

Sebaik tiba di Dewan Bersalin Hospital Temerloh, CTG monitoring dipasang dan kemudian saya di scan. Jantung baby kelihatan sangat reactive tetapi tiba-tiba MO itu berkata: Estimated fetal weight is about 4 kg! (Saya tak berapa percaya pada skill MO tu sebab MO tu masih sangat baru di O+G HoSHAS ketika itu). Saya cuma membalas: Ooo, yeke. Mana mungkin baru 2 minggu lepas saya di scan oleh pakar dan saiz kandungan saya ketika itu adalah borderline IUGR (anak bersaiz kecil dari usia kandungan) tiba-tiba boleh menjadi macrosomia (big baby) pula. Haha. Senyum sajalah kepada MO itu. Dan setelah bukaan jalan diperiksa, sudah 4 cm Dalam hati saya berkata: Yes! Tak payah admit ward dulu. Boleh terus ke labor room! Hehehe. :grin:

Ketika itu baru pukul 7.30 pagi. Kebetulan, labor room penuh. Jadi saya keluar dulu ke ruang menunggu bertemu suami, emak dan ayah. Ketika sedang mengalas perut sedikit dengan roti yang emak bawakan, saya menerima panggilan daripada bekas pakar saya ketika bekerja di Jabatan Bius dulu. Dr. Dalina. Katanya dia dengar cerita saya sudah in labor dan berada di labor room. Saya mengiyakan pertanyaannya. Kemudian, dia menawarkan saya untuk mendapatkan hidmat epidural. Oh. Terima kasih, doktor! Justifikasinya, saya memenuhi syarat untuk menggunakan epidural. Sudah strong contraction dan os baru 4 cm. Kalau os sudah lebih daripada 5 cm, saya sudah tak mahu semuanya.

Sekitar 8 pagi, saya sudah ditempatkan di bilik bersalin nombor 8. Seorang staff nurse yang sudah senior bertugas di situ pada pagi itu. Staff nurse Zakiah namanya. Syukur saya rasakan. Selesai saya dipasang dengan CTG monitoring, Anaesth Team yang diketuai oleh Dr. Darlina datang menemui saya di bilik itu. Selesai mereka menceritakan tentang epidural (mereka serba ringkaskan semuanya sebab saya sendiri pun seorang MO Anaesth. Hehe), saya memberi consent dan epidural pun dipasang. Kemudian terbaringlah saya di katil itu menanti os buka perlahan-lahan.

Oh ya. MO O&G yang oncall pada hari itu ialah kawan saya, Michelle. Sebelum ARM dibuat untuk memecahkan air ketuban, saya memberitahunya bahawa saya mahu menyusukan anak saya secara eksklusif dan berharap supaya tiada formula milk diberikan kepada anak saya. Jika bayi terpaksa admitted sekali pun, saya akan mengepam susu untuknya. Dia memberi jaminan akan hal itu. Ya. Hospital Temerloh adalah Hospital Rakan Bayi dan Mesra Suami. Jadi, selepas ARM selesai, suami saya pun dibenarkan masuk dan menemani saya di situ.

Di saat itu, saya mula terasa mengantuk yang teramat sangat. Mana tidaknya. Saya tidak tidur langsung pada malam sebelumnya. Jadi, selepas epidural dipasang (saya request untuk menggunakan half dose saja supaya masih boleh rasa akan sakit bersalin), baru saya rasa selesa untuk berehat sekejap sebelum bekerja semula untuk meneran nanti. Suami saya duduk di sebelah saya sambil membaca Al-Quran. Dan saya mengikut alunan Surah Yasin yang dibacakannya itu.

2 jam selepas air ketuban dipecahkan CTG tidak menunjukkan variasi yang baik. Saya sudah cuak. Ya Allah. Sehabis boleh, saya memang tidak mahu dibedah. Saya mahu bersalin secara normal. Saya meminta suami mendoakan saya dengan sangat ketika dia keluar untuk solat Zohor sekejap. Ketika CTG tidak cantik itu, puas saya cuba stimulate bayi supaya jantungnya aktif. Saya mendapat oksigen melalui nasal prong, berbaring mengiring ke kiri dan menggosok-gosok perut supaya bayi tidak berada dalam sleeping pattern. Michelle masuk ke bilik saya. Katanya, dia sudah berbincang dengan pakar oncall, Dr. Jalilah. Dr. Jalilah memberi masa lagi 2 jam sebelum keputusan dibuat semula.

Pukul 2.45 petang, Dr. Jalilah dan pasukan O&G masuk ke bilik saya. Os masih kekal 4 cm. Setelah CTG ditelitinya, Dr. Jalilah menyuruh di challenge juga dengan Pitocin untuk membantu augmentation. Tapi tidak lama. Hanya 2 jam maksimum. Dan ketika itu Dr. Jalilah menganggarkan berat bayi antara 3.4 ke 3.6 kg. Memandangkan saiz badan saya yang tidaklah terlalu besar, Dr. Jalilah terus mengarahkan supaya saya diletakkan dalam lithotomy position jika os sudah buka sepenuhnya. Ketika itu, bilik bertentangan dan sebelah saya sudah pun bersalin. Hai la nasib badan. Masuk semuanya serentak. Orang lain dah selesai, saya masih belum progres pun lagi.

Alhamdulillah. Setelah Pitocin dimulakan, CTG nampak samkin reactive. Perut terasa semakin berat ke bawah. Contraction terasa semakin kuat sehingga saya dapat merasainya. Tekak saya terasa sangat kering. Suami saya ada membawa coklat bersamanya ketika itu. Adalah salah sebenarnya jika saya makan waktu itu kerana jika sekiranya perlu menjalani Caeserean Section, lebih selamat jika saya sudah siap sedia berpuasa selama paling kurang 6 jam. Tapi, saya balun juga 1 bar coklat itu. Ayat pujuk saya kepada suami: Ni nak guna sebagai tenaga untuk meneran nanti. Hahaha.  :lol:

Dalam pukul 4.15 pm, saya meminta suami membelikan saya sebarang air jus, asalkan bukan yang jenis bersusu. Jika perlu dibedah sekali pun, saya ada masa lagi. Haha. Orang Anaesth memang selalu fikir jarak selamat makan minum sebelum pembedahan. :razz: Puas saya menunggu dia pergi membeli air. Lamanya! Ketika itu, sudah pun pukul 4.45 pm. Jalan diperiksa semula. Alhamdulillah sudah 6 ke 7 cm! Progres yang baik. Maka, saya diberi masa sejam lagi sebelum keputusan dibuat semula. Waktu itu, saya berdoa dengan sangat semoga segalanya dipermudahkan untuk bersalin secara normal dan anak saya selamat.

Pukul 5.30 pm, barulah suami saya muncul semula. Katanya, dia terpaksa menunggu di luar bilik sekejap ketika prosedur VE. Yang membuatkan dia lambat masuk semula kerana dia ke tandas dahulu kerana sudah terlalu lama sejak pagi dia langsung tidak ke tandas kerana berada di sisi saya. Huuu. Touching. Touching. Kasihan dia terpaksa menahan diri daripada ke tandas kerana menemani saya. Kemudian saya terus menyeluk laju plastik yang dibawanya. Laju saya menghabiskan sekotak air oren. Selepas habis air itu, dengan tenang saya katakan padanya: Abang, tolong panggil staff nurse tadi. Abang cakap kat dia, Sarah dah rasa nak meneran.

Haaaaa! Ambik kau. Terkejut suami saya. Dia kata, kenapa tak beritahu awal-awal. Saya pun jawab. Sebab saya haus dan nak minum air dulu baru ada feel nak meneran dengan penuh semangat. :mrgreen: Ketika staff nurse tersebut memeriksa jalan, memang betul, os sudah fully! Jam tepat pukul 5.50 pm pada waktu itu. Lalu dipanggilnya Michelle. Dan seperti yang dah dirancang sejak sebelum bersalin, sepupu saya sendiri, Nisa, yang akan menyambut anak saya. Tapi saya murah rezeki. Selain Michelle dan Nisa, di situ juga ada Zubaidah junior di Moscow dulu merangkap HO Ortho ketika itu dan juga Ili Safia, salah seorang HO yang saya rapat dengannya. Bersemangat mereka membantu memposisikan saya pada kedudukan lithotomy.

Sebaik berada saja dalam lithotomy position, contraction datang. Terasa sakit yang amat waktu itu kerana lumrahnya epidural tidak betul-betul cover sehingga ke bahagian perineum. Bergenang air mata ni. Waktu itu, suami saya sudah memangku kepala saya untuk memudahkan proses meneran seperti yang saya ajarkan dulu. Waktu sakit itu datang, saya terbayangkan muka emak saya. Ya Allah. Begini sakit yang emak tanggung rupanya. Ketika meneran kali pertama, saya dapat merasa kepala bayi yang menurun ke depan. Dalam hati saya cuba bertenang. Insya Allah, saya boleh buat. Ketika itu, Nisa, Bedah, Michelle, Ili dan staff nurse Zakiah macam pasukan sorak wanita terhebat di alaf ini. Kuat betul mereka bersuara untuk memberi semangat kepada saya. Dulu-dulu selalu buat dekat patient macam tu. Sekarang, diri sendiri yang alaminya. Hehe. :mrgreen:

Suami saya pula berkali-kali menyuruh saya untuk menarik nafas dalam-dalam dan bertenang. Apabila contraction datang lagi, saya pun meneran sekali lagi dengan sehabis daya. Terasa sesuatu yang berat sudah hampir-hampir keluar. Contraction hilang. Saya menunggu lagi. Seminit kemudian, contraction datang lagi dan saya meneran lagi. Tiba-tiba suami saya berkata dengan penuh keterujaan: Wah, sayang! Lebatnya rambut baby. Sikit lagi!

Saya pun apa lagi. Bila dengar saja yang rambut bayi lebat, saya curi nafas sementara contraction masih ada dan terus meneran dengan sekuatnya. Tiba-tiba semua pun berbunyi: Haaaaaa! Keluar dah kepala baby! Dan saya bagaikan putus nafas ketika itu. Leganya rasa ketika itu. Lega sangat. Saya pun terus mengambil nafas dalam-dalam buat kali terakhir dan kemudian meneran sekali lagi untuk mengeluarkan badan bayi pula.

Alhamdulillah. Tepat jam 6.09 petang, lahirlah anak lelaki kami dengan berat 3.26 kg! Bayi yang masih basah berdarah dan bertali pusat itu terus diletakkan di atas dada saya. Subhanallah! Waktu itu, saya terus menangis kerana kini saya sudah bergelar ibu kepada bayi lelaki itu. Terus saya cium rambut anak saya. Suami saya pula memeluk dan mencium dahi saya. Saya tahu dia sangat terkesan melihat proses bersalin itu dan dia sendiri masih terkesima melihat bayi kecil kami yang sangat putih kulitnya itu. Anak kami menangis ketika berada di atas dada saya. Saya syukur dia menangis. Itu tandanya dia dapat bernafas. Alhamdulillah Ya Allah. Alhamdulillah Ya Allah. Kemudian Nisa mengambil bayi untuk dibersihkan sementara memberi ruang untuk placenta keluar dan proses menjahit luka episiotomy.

Tapi, Allah jugalah yang Maha Merancang segalanya. Saya mengalami vaginal wall tear yang teruk. Ada empat luka dengan apex yang jauh ke dalam. Disebabkan saya masih mempunyai epidural, proses repair terus dilakukan di labor room saja tanpa perlu dibawa ke dewan bedah. Hampir 2 jam saya dijahit-jahit untuk menghentikan pendarahan. Saya kehilangan hampir 1 liter darah. Untuk bersalin secara biasa, lebih daripada 500 ml sudah dikira sebagai postpartum hemorrhage (PPH). Ketika dijahit, anak saya diletakkan di dalam cot di bawah warmer bilik yang sama. Disebabkan PPH, saya tidak dimasukkan ke wad biasa postnatal sebaliknya ditahan di HDU labor room untuk pantauan. Hemoglobin selepas bersalin juga terus jatuh menjadi 9. Hampir pukul 9 malam, barulah saya betul-betul dapat berehat. Suami saya membawakan anak saya kepada saya dan saya pun terus menyusukannya.

Hanya Allah yang tahu apa saya rasa ketika itu. Melihat anak kecil itu menyusu, sambil matanya terkatup-katup mengelak silau cahaya, saya rasa sangat syahdu! Sudah sudah menjadi seorang ibu! Lalu saya peluk dia dan saya cium pipi gebunya yang sangat mulus. Suami saya yang berada di sisi katil itu juga turut memeluk kami.

Lalu suami saya berkata: Terima kasih sayang sebab lahirkan anak abang. Terima kasih baby sebab jadi anak ayah dan mama. Saya menangis lagi. Menangis kerana terlalu syahdu dan gembira!

Keesokannya saya dibenarkan untuk dipindahkan ke wad postnatal. Selepas Solat Jumaat, saya dibenarkan pulang ke rumah. Emak, ayah, tok dan adik beradik semuanya menunggu di rumah. Dan sebelah malamnya ummi, baba dan adik-adik ipar saya datang mengjenguk ahli baru keluarga kami.

Alhamdulillah. Pengalaman mengandung dan melahirkan bayi ini telah menginsafkan saya sebagai seorang wanita. Juga telah mengajar saya menjadi lebih tabah dan kuat. Begitu juga dengan suami. Pengalaman melihat saya bersalin di depan matanya adalah sesuatu yang membahagiakan tapi prosedur menjahit itu sangatlah mengerikan baginya. ;-)

Pada hari ketujuh, kami mentahnik, mencukur rambut dan memberikannya nama. Dan pada hari ke-30, kami mengaqiqahkannya dengan seekor kambing. Kenduri kecil dibuat di rumah emak dan ayah. Seminggu selepas itu, satu bahagian lembu pula menjadi pelengkap aqiqahnya yang diarak dalam majlis selawat dan cukur jambul bersama 6 orang lagi bayi-bayi yang baru lahir di kampung saya.

Semoga Izz Zamani membesar dengan sihat, cergas tubuh badan, cerdas akal fikiran, menjadi hamba yang ‘abid, soleh kepada mama ayah, cantik rupa dan akhlaknya, berani mempertahankan agama dan boleh menghafaz Al-Quran suatu hari nanti.

Izz Zamani, terima kasih kerana melengkapkan kehidupan mama dan ayah!

Nota: Saya ambil masa hampir setahun untuk menyudahkan entri ini. Kadang-kadang saya menangis memeluk suami kerana melihat Izz terlalu cepat membesar dan sudah pandai terlalu banyak perkara. Terasa masa berlalu begitu cepat! :cry:

15 Responses to “29 Disember 2011 : Dunia Baru Kami”

  1. Aimi says on :

    May Allah bless your family, Kak Sarah. Sweet sangat cerita akak 😀

    Reply

  2. adibahnabilah says on :

    izz zamani dah besarrrr!! :mrgreen: moga Allah melindungi dan meredhai akak n family… moga jadi keluarga sakinah mawaddah dan warahmah 😛

    Reply

  3. Iman Idrus says on :

    Subhannallah Kak Sarah. I cried. Nesar sungguh pengorbanan seorang ibu. Masya Allah. May Allah bless you, and you family 😉

    Reply

  4. senyuman manis says on :

    bergenang air mata baca entry dr sarah..semoga saya juga diberi peluang untuk bergelar ibu..sebelum tu dipermudahkan untuk bertemu dengan suami yang solah sahabat saya dunia dan syurga..doakan saya ye.. 😀

    Reply

  5. Siti says on :

    KS ambil masa berapa lama untuk sembuh luka tu ye?

    Semoga bahagia hingga ke syurga ya!:)

    Reply

  6. hannan ghazalli says on :

    Salam
    Oh…bercampur baur perasaan bila baca entry ni.saya tak tahu bagaimana keadaan saya bila masa nya dah tiba.rabbi yassir

    Reply

  7. Yus says on :

    Tersentuh.

    Reply

  8. Anonymous says on :

    Assalamualaikum,

    Dr.Sarah,sampaikan salam saya pada Thareq..Bagitahu budak rumah sewa dia dulu..

    Reply

  9. Adenia says on :

    Rinduuu nyaa Izz 🙁 .. Rindu jugak zaman kita semua kecik kecik.. cepatttt nya dah dewasa semuaa 😥

    Reply

  10. hakeem says on :

    what a great story.. crying while reading it..

    Reply

  11. Kak Ijan says on :

    Salam,
    yeay, entry baru.. bernilai sungguh pengalaman Sarah. Semoga sentiasa dirahmati Allah SWT

    Reply

  12. fairuz says on :

    kak sarah. this story of yours, is really sweet and touching. job well done kak sarah. bila izz nak dpt adik lagi ? kekeke.. 🙂

    Reply

  13. Ahmad Fadhil says on :

    Thank u for the sharing

    Reply

  14. haritzer says on :

    dah lama tak baca blog Sarah, since your leave Moscow tgk u pun dah tak menulis, samalah kita. Semoga diberkati Allah selalu.

    Ps : tulisan anda menarik, teruskan menulis, ramai peminat anda mahu melihat tulisan anda 😉

    Reply

  15. domain says on :

    Appreciation to my father who shared with me concerning this webpage, this webpage is in fact awesome.

    Reply

Leave a Reply