Selamat Pagi, Malaysia!

Assalamualaikum wbt

Apa khabar semua? Alhamdulillah saya telah selamat sampai ke Malaysia. Sangat gembira sebaik melihat kelibat ahli keluarga yang menunggu di KLIA. Terlepas rindu di hati. Yang sedihnya ialah ketika berpisah dengan kawan-kawan. Kebetulan, enam orang lagi groupmates saya pulang bersama dalam penerbangan yang sama. Kami bersalaman sesama kami, saling meminta maaf dan berharap semoga akan bertemu lagi suatu hari nanti.

Destinasi pertama mestilah pergi makan. Mee sup Gombak! Tak kira, tak kira. Nanti mahu makan mee basah mak pula. Elok saja sampai di bukit rumah saya, satu kejutan telah menunggu. Fuyyo! Macam tak percaya. Macam pintu gerbang istana saja. Hahaha.

Sebaik ayah memberhentikan kereta di depan rumah, terus saya berlari ke rumah Tok dulu. Tok masih belum tidur. Menunggu saya sampai, katanya. Jumpa Adik Iman. Oh oh. Comelnya budak kecil tu! Kemudian, baru saya balik ke rumah saya. Masuk saja ke ruang tengah dapur, wah, ada kelainan juga. Adik-adik saya kata, itu belum lihat yang lain lagi. Jeng jeng jeng. Apakah yang lain itu ya?

Saya berlari ek bilik. Waaaaaaa~ Bilik saya serba-serbi sudah lain. Cantiknya mummy! Suka, suka, suka. Terkinja-kinja saya seorang diri di situ. Tiba-tiba emak kata: Itu bilik Kaklong. Errrkk. Terhenti sekejap kegembiraan. Saya bertanya: Jadi Ngah dah duduk bilik lain ke? Emak membuka pintu bilik sebelahnya (dalam banyak-banyak bilik rumah saya ni, saya belum pernah duduk bilik yang ini).

Tadaaaaaaa~ Sukanya! Cantik. Cantik. terus saya peluk emak. Terima kasih emak. Hadiah betul ni. Suka, suka, suka! Hihi. Tapi bila saya menjenguk ke ruang tamu, masya Allah, kotak-kotak saya semuanya berlonggok lagi di situ. Terus emak berpesan: Esok kemas kotak-kotak ni. Barang-barang lama zaman SPM dulu pun kemas juga. Mana yang nak lagi, mana yang tak nak. Asingkan elok-elok.

Uhuuu. Ok emak. Esok Ngah kemas. Memandangkan esok rumah akan kosong sebab emak, ayah dan adik-adik akan pergi kerja dan sekolah, maka akan mengemas kotaklah saya jawabnya.

Iyakah akan mengemas kotak? Entah-entah berinternet aje! Huhuhu.

Oh. Sudah merindui Moscow dan segala isinya. Selamat pagi, Malaysia tercinta. Selamat malam, Moskva. Kota cahaya yang sentiasa di hati saya.

Tidur…

Nota: Bila semua nak berkumpul kat rumah ni -__-

Posted on July 13th, 2009 by Sarah  |  33 Comments »

Selamat Tinggal Moscow (Episod 1)

DSC_0048

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam, hampir enam tahun saya menetap di sini. Dari tahun pertama sehingga ke hari ini, ada banyak perkara telah terjadi. Ada yang baik, ada juga yang buruk. Tapi kesemua pengalaman inilah yang menjadikan saya yang sekarang.

Mungkin ramai yang berfikir seronok hidup di perantauan. Bagi saya, tiada yang lebih indah dan baik melainkan negara sendiri. Biar busuk nama kita dicaci di bumi sendiri, hati kita tetap sayang dengan segalanya yang ada di sana. Cuma satu yang saya lihat bagus untuk perkembangan diri seorang remaja. Bila berjauhan dengan keluarga, saya belajar membentuk diri secara berdikari tanpa diatur oleh orang lain. Membesar menjadi diri sendiri dan membuat pertimbangan baik buruk segalanya berteraskan penilaian peribadi. Semua ini menjadikan diri seseorang itu lebih matang dan bertanggung jawab terhadap taklifan yang dipikulnya.

Mungkin kalau hidup di negara lain, jawapan kawan-kawan adalah sangat menyeronokkan. Tapi bagi kami di Rusia ini, ada banyak halangan yang telah kami tempuhi. Dari segi bahasa, masyarakat setempat yang kurang mesra, korupsi dari segi ekonomi dan gaya hidup masyarakatnya yang menjadikan kami semua keras dan teguh. Ditambah pula dengan pandangan negatif mereka yang tertutup mindanya. Kata mereka: Apa guna datang ke bekas negara Komunis begini. Tapi bagi saya dan kawan-kawan, kami suka akan semua ini. Ini semua adalah cabaran yang membentuk kami menjadi kami yang cekal dan kuat.

Ketika pertama kali tiba di sini, Duta Besar Malaysia ke Moscow ketika itu, Dato’ Kamarudin pernah berkata begini: Entah apalah dosa kamu semua di kehidupan yang lalu sampai dihantar ke Rusia ini. Jadi, boleh bayangkan apakah persepsi kalian apabila dikatakan begini? Tapi Dato’ dan isterilah sebenar-benar emak ayah untuk tiga tahun pertama saya di sini. Mereka sangat menjaga kebajikan pelajar-pelajar waktu itu sementelah bilangan kami semua tidaklah seramai mana.

Ketika membuat persediaan di INTEC pula, Miss Penny pernah berkata bergini: Kalau kamu semua dapat survive hidup di Rusia, campaklah kamu semua ke mana saja lepas ni. Kamu pasti boleh survive. Pendapat saya tentang hal ini: Sangat betul! Keadaan hidup kami dalam suasana yang begini menjadikan kami semua ‘kuat’. Bersiap sedia untuk berhadapan dengan yang terburuk dalam apa jua situasi. Inilah Rusia.

Ketika di tahun pertama, segalanya serba-serbi baru. Saya belajar menyesuaikan diri dengan sistem belajar dan masyarakat di sini. Ini yang paling utama. Ketika itu hidup kami semua susah. Hidup di Moscow yang mahal ini hanya berbekalkan USD200 saja sebulan. Kata emak dan ayah, walau apapun jadi, kena telefon rumah setiap minggu. Tidak cukup duit, emak dan ayah akan masukkan. Tapi tak tahulah bagaimana kami berjimat dulu-dulu, kami boleh hidup hanya berbekalkan USD200 itu. Makan ala kadar saja. Tiada erti nak bermewah makan besar di luar. Paling-paling habis, kami makan di Pikaso dan Sinbad. Itu saja.

Tahun dua pula merupakan tahun yang paling santai antara semua. Hanya ada dua subjek utama. Tapi disebabkan tahun itu saya sedang mengalami kebejatan emosi, saya alihkan perhatian saya hanya pada buku-buku. Percaya atau tidak, saya khatam buku rujukan Ganong untuk Physiology itu. Hidup saya hanya dengan buku dan studi saya. Bila senggang, saya menulis sajak. Pada tahun itulah saya banyak menghasilkan karya. Dan bila sudah letih belajar, saya akan bermain Puzzle Word di laptop saya bersama Amnah, teman sebilik saya (junior di KISAS dulu).

Dalam tempoh enam tahun ini, tahun yang paling menyeksakan bagi saya ialah ketika di tahun tiga. Saya terpaksa tiga kali berpindah randah. Saya tidak pernah ceritakan secara terperinci apa yang terjadi dulu kerana takut emak dan ayah akan risau. Saya rasa, kalau mereka tahu apa sebenarnya yang terjadi, mereka sendiri pun tidak sanggup hendak biarkan saya terus di sini. Jadi sampai ke hari ini, mereka masih tidak tahu dengan sejelasnya apa yang telah saya dan dua orang lagi kawan lalui. Waktu itu saya serumah bersama Farah dan Shima. Susah payah hidup kami kongsi bersama. Walaupun kami hanya serumah selama enam bulan, tapi tempoh inilah yang terlalu banyak mengajar saya tentang kedewasaan. Namun segala peristiwa inilah yang menjodohkan saya dengan teman serumah yang ada sekarang: Fareena, Fatini, Wanie, Diba dan Emy. Tiga tahun lebih kami semua tinggal bersama. Dan saya sayang mereka seperti saudara kandung saya sendiri.

Tahun keempat pula merupakan tahun adaptasi bahasa yang terhebat terpaksa saya lalui. Saya baru saja masuk ke tahun klinikal dan peralihan bahasa perantara daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Rusia agak menyusahkan kami semua. Saya rasa otak saya terbalik. Sampaikan, bila saya menelefon keluarga, saya akan duduk di dapur dan mesti akan menangis memberitahu emak tentang masalah ini. Tapi kena bertahan. Sudah separuh jalan pun. Tiga tahun sudah selesai. Tinggal tiga tahun saja lagi untuk tamat. Mahu tak mahu, terpaksa bekerja keras sungguhlah pada ketika itu. Kamus Russian-English memang menjadi teman terbaik. Habis lunyai kamus saya tu. Tidur malam hanya sekitar dua ke tiga jam. Kelas dari pagi sampai petang. Di sebelah malam, wajib mengulang kaji dan membuat nota peribadi dengan baik. Persediaan ke kelas juga perlu dibuat. Memang penat. Memang menyeksakan.

Ketika berada di tahun lima pula, saya sangat kerap sakit. Dalam masa setahun, tiga kali saya mendapat pneumonia (paru-paru berair). Keadaan saya sangat teruk. Housemates sayalah yang menjaga saya. Terutamanya Fareena. Sangat banyak yang telah dibantunya. Juga Wanie yang kerap menemani saya ke hospital. Tapi Allah tak bagi ujian kalau kita tak mampu menghadapinya. Alhamdulillah. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan final exam tahun itu. Segalanya seperti yang dihajatkan.

Dan dalam tempoh enam tahun ini, tahun enam adalah tahun yang menentukan saya ini menjadi manusia atau apa. Tahun ini mengajar saya serba-serbi tentang erti hidup, persahabatan, kasih-sayang dan persaudaraan. Tahun akhir ini juga membuatkan saya banyak berfikir, jalan hidup yang manakah menjadi pilihan saya. Serius, saya menjadi seorang yang sangat banyak berfikir. Kalau saya diam, maksudnya saya sedang berfikir. Sedang dalam keramaian pun, saya boleh duduk diam saja kerana berfikir. Apabila melihat manusia di sekeliling saya, saya akan bertanya kepada diri sendiri, saya mahu jadi manusia yang bagaimana. Corak hidup yang bagaimana mahu saya lakar untuk diri saya. Saya boleh kekal dengan apa yang saya ada. Dan saya boleh berubah kalau saya mahukannya. Semuanya terpulang kepada saya.

Satu perempat daripada kehidupan saya selama 24 tahun ini dihabiskan di sini. Moscow ialah rumah saya sejak enam tahun lalu. Rumah yang telah membesarkan saya untuk menjadi dewasa. Rumah yang memberi saya jiwa. Rumah tempat saya menumpang kasih dalam kembara ini. Juga rumah tempat saya mendapat kawan dan saudara. Dan kini tiba masanya untuk saya meninggalkan rumah ini. Untuk kembali ke tanah bonda. Dalam hati, sebak terasa semakin dalam dan rasa sayangkan tanah ini semakin menebal.

Terima kasih Moscow kerana menjadi guru terbaik dalam mengajar saya erti kehidupan. Terima kasih Moscow kerana memberi kesempatan untuk saya belajar menjadi seorang insan. Terima kasih Moscow kerana mengenalkan saya kepada siapa kawan, siapa lawan. Terima kasih Moscow kerana sudi menumpangkan saya bermukim di sini, memberi pengalaman dan menghadiahkan saya kekuatan dan kejayaan.

Cinta dan rindu buat tanah ini akan sentiasa di hati. Kerana Moscow itu rumah yang penuh kenangan. Yang punya tempat istimewa di hati ini.

Nota: Kalau makan di luar, saya selalu memilih untuk makan blinni. Sejenis pancake. Russian pancake. 6 tahun di sini mengajar perut saya untuk menjadi Russian.

Posted on July 10th, 2009 by Sarah  |  31 Comments »

Jangan

Assalamualaikum wbt

Wahai pembaca-pembacaku sekelian, janganlah membuat spekulasi liar. Sumpah tiada apa-apa yang terjadi. Komen-komen kamu buat saya rasa hendak buang saja kedua-dua entri tentang kawan saya tu.

Ah. Tapi tak guna pun untuk saya huraikan. Untuk kawan-kawan yang betul-betul mengenali saya, kamu semua tahu siapa saya dan bagaimana orangnya saya ini, kan.

Lain kali saya dah tak mahu sambung cerita tentang kawan saya yang seorang ini. Banyak betul kesimpulan yang kamu semua buat. Bila saya baca cerita ini semula, sedikitpun tidak rasa yang berbunga-bunga, indah-indah atau manis-manis. Kawan adalah kawan. Noktah.

Tiada mood pula untuk kemas kinikan cerita saya dua, tiga hari yang lepas. Tunggulah bila mood datang semula, baru saya tuliskan. Sekarang saya sangat ada mood untuk mengemas bilik. Sedih pula bila melihat almari baju saya sudah kosong sekosong-kosongnya, rak buku di tepi tingkap juga sudah kosong dan berkilat. Cuma almari kecil di bawah meja saja yang masih ada beberapa barang di atasnya.

Nota: Sejak dua, tiga hari kebelakangan ini terasa asing dan sepi. Jenuh mencari apa ada dalam kepala dan hati.

Posted on July 8th, 2009 by Sarah  |  33 Comments »

Kami Bertemu Di Tanah Tsar

Assalamualaikum wbt

Kita undur sedikit masa kita ke hari kedua saya di St. Petersburg. Sedang kami semua menaiki hydrofoil menuju ke Peterhof, saya mendapat mesej. Pendek saja. Bunyinya:

Hi. I’m having a great time in Berlin. Will be in Moscow on the 24th at 5.10 pm (DME Airport). Hope you can make it.

Rasa hendak luruh jantung membaca mesej itu. Sebetulnya, ini kali pertama saya mendapat mesej daripada orang itu. Memang saya memiliki nombornya tapi tidak pernah berhubung melalui telefon sebelum ini. Saya membalas:

At last, glad to hear from you but never expected you will be here in 2 days time. I’ll be arriving at DME Airport from St. Pete on the same day at 4 pm. I can’t promise to be there. So sorry. I’ve guests waiting for me that day. Anything, just let me know once you’ve landed ok.

Sebetulnya, sebaik mendarat di Domodedovo Airport, saya agak pening kerana tidak cukup tidur. Sebaik saya menghidupkan semula telefon bimbit, saya mendapat mesej daripada Smoque (groupmate saya) menyatakan emak ayah Dyana dan Farhana telah sampai dan sedang menunggu saya di aras dua. Smoque kebetulan saja terserempak dengan mereka ketika hendak menjemput abang kepada Farah yang tiba dengan pesawat yang sama dengan mereka semua.

Saya bergegas mengambil beg dan kemudian mencari mereka semua. Sebaik selesai menguruskan tiket penerbangan domestik mereka ke Volgograd dan menghantar mereka ke hotel, saya terus menaiki shuttle van hotel tersebut ke Domodedovo Airport semula. Semuanya perlu cepat. Saya sudah terlambat untuk ketibaan yang satu lagi.

Auyun, Faiz, Nazlin, Aizat dan emak ayahnya telahpun balik. Beg saya juga diserahkan kepada mereka saja kerana mereka menaiki van yang disewa khas untuk ke hostel kami. Saya memeriksa telefon. Kosong. Tiada mesej. Saya terus menuju ke balai ketibaan. Saya memeriksa jadual penerbangan di skrin yang banyak tertera di situ. Penerbangan Lufthansa dari Frankfurt telah pun tiba. Saya sangat berdebar-debar pada waktu itu. Jadi saya meninjau dari jauh saja kerana tidak berani mendekati pintu penumpang keluar di balai ketibaan. Memang kelihatan ramai orang keluar di situ. Saya tidak pasti penumpang dari manakah itu. Tiba-tiba saya mendapat mesej.

I couldn’t make it. Sorry. Harapnya you tak tunggu since you have guests.

Alahai… Tak jadi ke. Saya sudah mengeluh seorang diri di situ. Penat-penat saya berkejar untuk menyempatkan diri saya dengan ketibaan yang ini pula, tiba-tiba baru hendak beritahu hal itu. Dalam hati saya tertanya-tanya juga kenapa tidak jadi? Terlepas flight kah? Tukar tarikh atau apa? Memang kusutlah kepala saya berfikir waktu itu. Dan yang paling utama, saya rasa kecewa. Terus saya balas begini:

Laa… Yeke. It’s ok. I wasn’t really waiting for you anyway. Hehe. So, when is your flight? Let me know the flight details ok. (Ada unsur-unsur menipu dalam mesej saya ni. Padahal memang saya tengah tunggu pun. Hahaha. Cover baik punya!)

Saya pandang sekali imbas ke pintu keluar itu dan kemudian saya terus berpusing untuk menuju ke arah aerotrain saja. Saya memang penat dan dengan perasaan kecewa ini, saya betul-betul rasa hendak balik dan tidur.

Tapi sebelum itu, saya ke kedai di dalam lapangan terbang itu untuk membeli air. Saya sangat haus berkejar ke sana ke mari. Selesai membayar 91 Rubles untuk sebotol Nestea (Sumpah mahal Ya Rabbi! Saya tak bazirkan walau setitis pun air tu sebab sayang mahal sangat. Huhu), saya terus berjalan arah laluan menuju aerotrain. Saya melintasi semula pintu balai ketibaan yang sedang sesak dengan pemandu teksi yang sedang menawarkan khidmat.

Tiba-tiba saya mendapat mesej. Dari dia. Katanya:

It was a joke. I thought you noticed me. But you didn’t. Sad.

OH MY GOD.

Dia tipu rupanya. Mana saya sangka yang mesej itu tadi hanya main-main. Saya mula gelabah. Saya pandang kiri kanan. Saya pusing belakang. Ramai sangat orang. Dengan pening kepalanya lagi. Saya memang tak cam sesiapa pun di sekeliling saya. Saya mendekati pintu keluar itu, tiada muka yang saya cam. Saya bergerak ke arah pemandu teksi yang ramai di situ. Tiba-tiba ada suara menyapa.

“Sarah.”

Saya memandang ke kanan. Ada seseorang yang berbeg galas belakang warna hitam, kemeja kuning cair dengan jaket hitam dan menarik sebuah beg berdiri di tepi saya. Dia tersenyum saja. Saya terkejut yang amat sangat ketika itu. Rasa macam tak percaya pun iya. Saya yang seperti sedang malu-malu, gelabah dan masih tidak percaya dengan mesej melawak tadi, terus terpaku saja di situ. Hendak senyum, tak boleh senyum. Hendak menyapa semula, tak terkeluar suara. Orang itu tidak lain tidak bukan ialah anak muda yang gigih, yang pernah saya ceritakan suatu masa dulu.

Saya berjalan mendekatinya. Perkara pertama yang saya suarakan bila yakin yang suara saya boleh didengarinya ialah:

“Aishh. Kalau tahu yang saya kena pranked tadi, tak kuasa dah nak tunggu ni.”

Dia ketawa-ketawa saja. Dan membalas:

“Eleh. Tapi sebenarnya memang tunggu pun. Dalam mesej sedap-sedap je kata tak tunggu.”

Huuuuuu. Saya dikenakannya semula. Siapa suruh menipu kan. Hehe. Akhirnya saya sudah mula rasa santai dan hilang segala rasa gelabah. Saya pun bertanya:

“Pukul berapa sampai tadi? Memang cam saya dari awal-awal tadi ke?”

“5.20 lebih kurang. I nampak you jalan dari situ tadi,” sambil menunjuk ke arah pintu keluar-masuk.

“Oh… Memang pun. Tadi saya pergi hantar guests yang saya bagitahu hari tu kat hotel. Dekat je. Tu sebab saya ingatkan tak sempat nak jumpa. Kena tipu pulak lepas tu. Sabar jelah.”

“I thought you noticed me. I was there,” sambil menunjuk ke arah tiang di hadapan pintu yang saya masuk tadi.

Agaknya, saya memang kalut ketika itu. Serius saya tidak sedarpun ada orang berdiri di situ. Dalam kepala saya ketika itu ialah mungkin dia sudah berlepas ke hotel atau ke bahagian penerbangan domestik kerana ketika saya tiba di balai ketibaan, jam sudah menunjukkan pukul 6.25 petang.

Maka, di situlah pertemuan empat mata antara kami. Setelah setahun lebih menjadi kawan email, inilah kali pertama kami bertemu secara rasmi. Saya terasa sangat kekok. Tak tipu. Saya sangat kekok dengan segalanya. Nak bercakap pun jadi tak reti. Nak berjalan pun rasa serba salah. Nak pandang pun rasa takut. Dengan jarak umur yang wujud antara kami dan statusnya yang layak untuk dihormati, saya terasa sangat kekok. Tapi melihatkannya yang cuba menghidupkan suasana, saya mula dapat menyesuaikan diri dengannya.

Dia dalam perjalanan menuju ke St. Petersburg (seperti yang saya ceritakan dulu). Penerbangannya menggunakan Aeroflot Shuttle Moscow-St. Petersburg adalah pada pukul 10.15 malam (Ke 10.45 malam ye? Saya dah lupa).

“Kita ada masa lagi kan? Jom minum dulu. There’s a lot to catch up.”

Saya membawanya ke aras dua. Ke Shokolodnitsa. Kami duduk berbual di sana selama sejam lebih. Kemudian saya membawanya untuk check in di aras satu dan selepas itu saya pun balik. Memang tidak lama mana kami sempat berjumpa tetapi tempoh sejam lebih itu terasa sangat lama bagi saya. Ada banyak perkara yang sempat kami bualkan. Dan ada banyak rahsia serta insiden-insiden yang tak tersangka telah terjadi selama ini.

Dalam tempoh sejam lebih itu, dia sempat mempelajari beberapa frasa-frasa mudah dalam Bahasa Rusia. Antaranya terima kasih, maafkan saya, hai, selamat pagi, selamat malam dan selamat tinggal.

Ketika dalam perjalanan balik, saya termenung panjang. Saya terbayang-bayang semula pertemuan secara tidak sengaja setahun yang lalu. Tiba-tiba saya mendapat mesej. Comel sungguh mesej itu. :p

Privet Sarah. Spasiba for everything. Prastitye menya for the prank. 🙂

Pada pagi hari konvokesyen saya, saya menerima mesej ucapan tahniah daripadanya. Juga satu lagi mesej yang tertulis: DE

Pada 1 Julai pula, saya menerima satu lagi mesej yang hanya tertulis: AL

Bila saya tanya apa itu, dia kata itu teka-teki. Dan saya kena mencari jawapannya. Aduhai. Jadi kawan-kawan, marilah tolong saya menyelesaikan teka-teki yang tak cukup sifat ini. 😆

Kamus:

Privet = Hai, Spasiba = Terima kasih, Prastitye menya = Maafkan saya

Nota 1: Inilah kisahnya. Saya tak reti nak ceritakan macam mana. Dia seorang yang berhemah. Dia suka tersenyum. Dia tinggi. Dan dia kacak. 😉

Nota 2: Jangan tanya saya mana gambarnya. Saya kan tengah gelabah dan berdebar-debar. Takkan saya sempat terfikir nak keluarkan kamera pula kot. :mrgreen:

Posted on July 7th, 2009 by Sarah  |  84 Comments »

Majlis Konvokesyen

Assalamualaikum wbt

Kali ini cerita tentang Majlis Konvokesyen pada 26 Jun yang lalu pula. Setakat yang dapat saya lihat di Malaysia, konvokesyen adalah majlis yang disambut penuh protokol, formaliti yang ketat, diraikan secara besar-besaran beserta pesta konvo yang berlangsung hampir seminggu di sesebuah pusat pengajian tinggi itu dan hampir seluruh ahli keluarga turut menghadirinya. Ini pada pengamatan saya. Mungkin ada yang lain daripada ini, kan. 😉

Bagi saya, Hari Graduasi saya di sini sederhana saja. Majlis konvokesyen dijalankan di Academy of Russian Scientist and Medical Science di Leninsky Prospekt (Leninsky Avanue). Sebetulnya, beberapa hari sebelum tibanya majlis tersebut, ibu bapa pelajar-pelajar yang akan bergraduasi sudah mula tiba. Tapi bagi kami kelompok pelajar yang tidak mempunyai tetamu, bahang untuk bergraduasi sedikitpun tidak dirasai. Sungguh ni. Kalau orang lain teruja hendak memakai baju baru, kasut baru, serba-serbi baru sempena konkesyen itu, saya sedikitpun tidak rasakan semua itu. Sehinggalah sehari sebelum majlis, kami yang tidak mempunyai tetamu ini keluar minum kopi bersama-sama di Costa Coffee di Stary Arbat. Waktu itu semuanya mula merasakan sedikit sepi. Huhu. Orang kata ala-ala loser gitu. Tapi apa nak dikisahkan. Kami duduk berborak di situ sehingga sebelum Maghrib. Bila balik ke hostel, barulah saya hendak menggosok bajulah, mencuba jubah konvolah, berlatih berjalan memakai kasut tumit tinggi itulah. Huhu.

Dan kami bertukar-tukar bunga sesama kami saja. Uhuu. Yang ini sedih sedikitlah. Auyun bagi Faiz. Faiz bagi Auyun. Nazlin bagi saya. Saya bagi Nazlin. Begitu juga yang lain. Glid, Krin, Baiz, Lutfi dan Faisal. Bunga tukar sesama sendiri saja. Orang lain semuanya ada yang beri. Huhu. Ok sudah, sudah. Cerita-cerita macam ni sepatutnya simpan dalam almari saja. Kurang ceria untuk diceritakan. Hehe.

Sebenarnya, saya tidak banyak gambar pada hari itu. Iyalah. Mana nak menang tangan. Dengan nak jaga barang, nak pegang ijazah, bunga dan poster lagi. Kamera tidak terusik sangat. Kalau adapun, banyak ambilkan gambar kawan-kawan. Tapi gambar sendiri tidak ada. Sedih. Sedih. Huhu. Nasib baik ada Facebook. Ada kawan-kawan yang ambil gambar dan ada terselit saya sekali, terus saya tag untuk dibuat koleksi. Haha. Bagi yang ada keluarga datang bersama, ada jugalah yang membantu kan. :p

Alamak. Entri saya ni macam bunyi orang mengeluh. Apa-apalah kan. Yang penting sudah habis belajar. Ya. Saya sudah habis belajar! Eh, terlupa pula. Di penghujung majlis, Encik Anggur sampai juga ke majlis tersebut. Mana gambar Encik Anggur? Ehem ehem. Private and confidential. Hahaha. Dan saya yakin, kalau Pena, Wanie dan Fatt membaca entri ni, mereka bertiga akan sangat teruja hendak tahu cerita penuh. Pena, Wanie dan Fatt, KS rindu sangat sesi kongsi-kongsi cerita dengan kamu semua!

dsc_0022

Dr. Thines dan Dr. Faisal

dsc_0034

Dr. Hafizy, Dr. Hakimi dan Dr. Farah

dsc_0020

Dr. Farah, Dr. Sarah dan Dr. Thines

dsc_0023

Dr. Davina dan Dr. Hafizy

dsc_0099

Dr. Siti Sarah Mohd Shukor

dsc_0111

Dr. Hafizy, Dr. Wendy, Dr. Faisal dan Dr. Sarah

dsc_0125

Dr. Wendy, Dr. Faisal, Dr. Davina, Dr. Hui Shin dan Dr. Sarah

dsc_0128

Dr. Rajadurai, Dr. Sarah dan Dr. Siva. Siva ni kawan saya dari India yang terbaik sekali. 😉

dsc_0145

Kami!

pur

Inilah antara muka-muka yang tiada tetamu bertandang pada hari itu. Saya bersama Dr. Faizi (Glid) dan Dr. Lutfi yang kebetulan berbaju tona yang sama. Ketika itu kami semua di Restoran Sushi. Semua yang tiada emak ayah berkumpul makan tengahari di situ. Loser amat bunyinya, kan? Hahaha. :mrgreen:

Nota 1: Ini sajalah gambar yang ada. Lain-lain hanya kutip dari kamera orang lain sajalah.

Nota 2: Saya sudah mula merindui semua groupmates saya. Juga student life yang telah menjadi rutin saya selama ini. Rindunya nak sibuk membaca buku dan studi di waktu malam. Huuuuu~

Posted on July 6th, 2009 by Sarah  |  36 Comments »