Selamat Tinggal Moscow (Episod 1)

DSC_0048

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam, hampir enam tahun saya menetap di sini. Dari tahun pertama sehingga ke hari ini, ada banyak perkara telah terjadi. Ada yang baik, ada juga yang buruk. Tapi kesemua pengalaman inilah yang menjadikan saya yang sekarang.

Mungkin ramai yang berfikir seronok hidup di perantauan. Bagi saya, tiada yang lebih indah dan baik melainkan negara sendiri. Biar busuk nama kita dicaci di bumi sendiri, hati kita tetap sayang dengan segalanya yang ada di sana. Cuma satu yang saya lihat bagus untuk perkembangan diri seorang remaja. Bila berjauhan dengan keluarga, saya belajar membentuk diri secara berdikari tanpa diatur oleh orang lain. Membesar menjadi diri sendiri dan membuat pertimbangan baik buruk segalanya berteraskan penilaian peribadi. Semua ini menjadikan diri seseorang itu lebih matang dan bertanggung jawab terhadap taklifan yang dipikulnya.

Mungkin kalau hidup di negara lain, jawapan kawan-kawan adalah sangat menyeronokkan. Tapi bagi kami di Rusia ini, ada banyak halangan yang telah kami tempuhi. Dari segi bahasa, masyarakat setempat yang kurang mesra, korupsi dari segi ekonomi dan gaya hidup masyarakatnya yang menjadikan kami semua keras dan teguh. Ditambah pula dengan pandangan negatif mereka yang tertutup mindanya. Kata mereka: Apa guna datang ke bekas negara Komunis begini. Tapi bagi saya dan kawan-kawan, kami suka akan semua ini. Ini semua adalah cabaran yang membentuk kami menjadi kami yang cekal dan kuat.

Ketika pertama kali tiba di sini, Duta Besar Malaysia ke Moscow ketika itu, Dato’ Kamarudin pernah berkata begini: Entah apalah dosa kamu semua di kehidupan yang lalu sampai dihantar ke Rusia ini. Jadi, boleh bayangkan apakah persepsi kalian apabila dikatakan begini? Tapi Dato’ dan isterilah sebenar-benar emak ayah untuk tiga tahun pertama saya di sini. Mereka sangat menjaga kebajikan pelajar-pelajar waktu itu sementelah bilangan kami semua tidaklah seramai mana.

Ketika membuat persediaan di INTEC pula, Miss Penny pernah berkata bergini: Kalau kamu semua dapat survive hidup di Rusia, campaklah kamu semua ke mana saja lepas ni. Kamu pasti boleh survive. Pendapat saya tentang hal ini: Sangat betul! Keadaan hidup kami dalam suasana yang begini menjadikan kami semua ‘kuat’. Bersiap sedia untuk berhadapan dengan yang terburuk dalam apa jua situasi. Inilah Rusia.

Ketika di tahun pertama, segalanya serba-serbi baru. Saya belajar menyesuaikan diri dengan sistem belajar dan masyarakat di sini. Ini yang paling utama. Ketika itu hidup kami semua susah. Hidup di Moscow yang mahal ini hanya berbekalkan USD200 saja sebulan. Kata emak dan ayah, walau apapun jadi, kena telefon rumah setiap minggu. Tidak cukup duit, emak dan ayah akan masukkan. Tapi tak tahulah bagaimana kami berjimat dulu-dulu, kami boleh hidup hanya berbekalkan USD200 itu. Makan ala kadar saja. Tiada erti nak bermewah makan besar di luar. Paling-paling habis, kami makan di Pikaso dan Sinbad. Itu saja.

Tahun dua pula merupakan tahun yang paling santai antara semua. Hanya ada dua subjek utama. Tapi disebabkan tahun itu saya sedang mengalami kebejatan emosi, saya alihkan perhatian saya hanya pada buku-buku. Percaya atau tidak, saya khatam buku rujukan Ganong untuk Physiology itu. Hidup saya hanya dengan buku dan studi saya. Bila senggang, saya menulis sajak. Pada tahun itulah saya banyak menghasilkan karya. Dan bila sudah letih belajar, saya akan bermain Puzzle Word di laptop saya bersama Amnah, teman sebilik saya (junior di KISAS dulu).

Dalam tempoh enam tahun ini, tahun yang paling menyeksakan bagi saya ialah ketika di tahun tiga. Saya terpaksa tiga kali berpindah randah. Saya tidak pernah ceritakan secara terperinci apa yang terjadi dulu kerana takut emak dan ayah akan risau. Saya rasa, kalau mereka tahu apa sebenarnya yang terjadi, mereka sendiri pun tidak sanggup hendak biarkan saya terus di sini. Jadi sampai ke hari ini, mereka masih tidak tahu dengan sejelasnya apa yang telah saya dan dua orang lagi kawan lalui. Waktu itu saya serumah bersama Farah dan Shima. Susah payah hidup kami kongsi bersama. Walaupun kami hanya serumah selama enam bulan, tapi tempoh inilah yang terlalu banyak mengajar saya tentang kedewasaan. Namun segala peristiwa inilah yang menjodohkan saya dengan teman serumah yang ada sekarang: Fareena, Fatini, Wanie, Diba dan Emy. Tiga tahun lebih kami semua tinggal bersama. Dan saya sayang mereka seperti saudara kandung saya sendiri.

Tahun keempat pula merupakan tahun adaptasi bahasa yang terhebat terpaksa saya lalui. Saya baru saja masuk ke tahun klinikal dan peralihan bahasa perantara daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Rusia agak menyusahkan kami semua. Saya rasa otak saya terbalik. Sampaikan, bila saya menelefon keluarga, saya akan duduk di dapur dan mesti akan menangis memberitahu emak tentang masalah ini. Tapi kena bertahan. Sudah separuh jalan pun. Tiga tahun sudah selesai. Tinggal tiga tahun saja lagi untuk tamat. Mahu tak mahu, terpaksa bekerja keras sungguhlah pada ketika itu. Kamus Russian-English memang menjadi teman terbaik. Habis lunyai kamus saya tu. Tidur malam hanya sekitar dua ke tiga jam. Kelas dari pagi sampai petang. Di sebelah malam, wajib mengulang kaji dan membuat nota peribadi dengan baik. Persediaan ke kelas juga perlu dibuat. Memang penat. Memang menyeksakan.

Ketika berada di tahun lima pula, saya sangat kerap sakit. Dalam masa setahun, tiga kali saya mendapat pneumonia (paru-paru berair). Keadaan saya sangat teruk. Housemates sayalah yang menjaga saya. Terutamanya Fareena. Sangat banyak yang telah dibantunya. Juga Wanie yang kerap menemani saya ke hospital. Tapi Allah tak bagi ujian kalau kita tak mampu menghadapinya. Alhamdulillah. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan final exam tahun itu. Segalanya seperti yang dihajatkan.

Dan dalam tempoh enam tahun ini, tahun enam adalah tahun yang menentukan saya ini menjadi manusia atau apa. Tahun ini mengajar saya serba-serbi tentang erti hidup, persahabatan, kasih-sayang dan persaudaraan. Tahun akhir ini juga membuatkan saya banyak berfikir, jalan hidup yang manakah menjadi pilihan saya. Serius, saya menjadi seorang yang sangat banyak berfikir. Kalau saya diam, maksudnya saya sedang berfikir. Sedang dalam keramaian pun, saya boleh duduk diam saja kerana berfikir. Apabila melihat manusia di sekeliling saya, saya akan bertanya kepada diri sendiri, saya mahu jadi manusia yang bagaimana. Corak hidup yang bagaimana mahu saya lakar untuk diri saya. Saya boleh kekal dengan apa yang saya ada. Dan saya boleh berubah kalau saya mahukannya. Semuanya terpulang kepada saya.

Satu perempat daripada kehidupan saya selama 24 tahun ini dihabiskan di sini. Moscow ialah rumah saya sejak enam tahun lalu. Rumah yang telah membesarkan saya untuk menjadi dewasa. Rumah yang memberi saya jiwa. Rumah tempat saya menumpang kasih dalam kembara ini. Juga rumah tempat saya mendapat kawan dan saudara. Dan kini tiba masanya untuk saya meninggalkan rumah ini. Untuk kembali ke tanah bonda. Dalam hati, sebak terasa semakin dalam dan rasa sayangkan tanah ini semakin menebal.

Terima kasih Moscow kerana menjadi guru terbaik dalam mengajar saya erti kehidupan. Terima kasih Moscow kerana memberi kesempatan untuk saya belajar menjadi seorang insan. Terima kasih Moscow kerana mengenalkan saya kepada siapa kawan, siapa lawan. Terima kasih Moscow kerana sudi menumpangkan saya bermukim di sini, memberi pengalaman dan menghadiahkan saya kekuatan dan kejayaan.

Cinta dan rindu buat tanah ini akan sentiasa di hati. Kerana Moscow itu rumah yang penuh kenangan. Yang punya tempat istimewa di hati ini.

Nota: Kalau makan di luar, saya selalu memilih untuk makan blinni. Sejenis pancake. Russian pancake. 6 tahun di sini mengajar perut saya untuk menjadi Russian.

Posted on July 10th, 2009 by Sarah  |  31 Comments »

Dari Moscow Dengan Cinta (vii)

Assalamualaikum wbt

Sehari sebelum Dyana dan Farhana bersama keluarga mereka tiba untuk melawat Moscow, saya keluar besama Shema, Krin, Baiz, Siti beserta Kak Yan dan dua orang anaknya, Adam dan Damia, juga adik Kak Yan, Tina. Destinasi kami ialah ke Exhibition of Achievment of the National Economy. Saya rasa mesti orang Moscow sendiri pun tak tahu apakah ini, kan. Jangan risau. Kita rasa pelik sebab ini namanya dalam Bahasa Inggeris. Kalau saya sebut VDNKh, mesti tahu, kan? Hehe. Ya. Nama lainnya ialah VDNKh, sempena akronim daripada nama penuhnya dalam Bahasa Rusia.

DSC_0381

Ia merupakan sebuah taman terbuka yang menempatkan banyak rumah-rumah dagangan, pavillion, teater, Muzium Astronaut dan pameran terbuka kapal selam dan alatan tentera laut di bahagian belakangnya. Taman ini dipenuhi dengan air pancut dan taman bunga buatan yang membawa tema-tema tertentu.

DSC_0393

DSC_0415

DSC_0447

DSC_0463

Kebetulan hari sangat panas pada hari itu. Saya pun sudah tidak ingat apa lagi yang saya buat di sana selain berjalan-jalan dan bermain dengan Damia. Serius penat berlari-lari dengan dia. Balik saja malam tu, terus saya tidur. Tak sempat mandi dah. Penat yang teramat sangat. Huhu.

DSC_0534

DSC_0545

Setelah semua tetamu yang datang balik, saya mula menguruskan rumah. Saya kemas segala apa yang patut dan seterusnya mengasingkan apa yang patut untuk disedekahkan. Jadi, pada hari Ahad lepas, saya memang sudah lapang dari segala kerja. Petang Ahad itu, saya bersama Auyun, Faiz, Aizat dan Nazlin pergi menonton sesuatu. Tonton apa? Alif tendang wau, sarkas daaa….

DSC_0014

DSC_0015

Mesti ada yang kata, apa kerja pergi tengok sarkas. Hoho. Kamu silap besar. Rusia sangat terkenal dengan sarkasnya yang unik dan gah. Zolotoi Buff. Inilah nama pasukan sarkas yang masyhur itu. Bila saya menyebut sarkas, mesti tergambar dalam fikiran masing-masing ada haiwan lompat-lompat buat persembahan, ada silap mata, ada badut buat lawak bodoh, ada singa jinak, ada harimau buat-buat comel. Hahaha. Silap. Silap. Russian Circus menawarkan lebih daripada itu! Tepuk tangan. Tepuk tangan.

DSC_0030

Kali pertama saya menonton sarkas ialah ketika di tahun pertama. Dan kali ini adalah yang kedua kalinya. Kebetulan ada antara kami berlima ini yang belum pernah menonton sarkas di sini sebelum ini, jadi kami layankan saja untuk pergi menonton pada hari itu.

DSC_0060

Istimewanya Moscow ini, mereka mempunyai sebuah bangunan khas untuk persembahan sarkas. Letaknya di Prospekt Vernadskava. Persembahan hanya berlangsung tiga kali seminggu. Dalam bangunan itu, pentasnya boleh berubah-berubah. Ada enam jenis pentas yang disediakan. Ada lantai lampu, papan, kolam air, kandang haiwan, ais dan lantai biasa. Lantai akan bertukar-tukar mengikut sesi dan keperluan persembahan.

DSC_0024

Persembahan sarkasnya berbentuk muzikal-akrobatik. Zolotoi Buff menggabungkan ramai peserta dari negara-negara yang berbeza untuk membuat persembahan. Kebetulan ketika kami pergi itu, ia merupakan hari Ahad pertama untuk cuti sekolah musim panas kali ini. Persembahannya sangat istimewa. Dimulakan dengan persembahan dari Kenya yang sangat hebat ber-paranawe dan melompat-lompat ni. Juga ada persembahan dari Latvia, menari-nari dengan kotak-kotak yang bagaikan melekat-lekat di tangan. Dalam banyak-banyak persembahan, saya paling suka persembahan daripada Rusia. Mereka menggunakan teknik glow in the dark beserta pancaran laser untuk melakonkan pekerjaan seorang Astronaut di angkasa lepas. Hebat sungguh. Teruja saya dibuatnya. Terbang sana. Terbang sini. Tercampak sana. Tercampak sini. Fuh. Gambar agak blur. Tapi masih boleh nampak orang yang bergayutan itu dan suasana dewan depenuhi dengan pantulan glow in the dark saja. Sampaikan, baju kami semua pun jadi glow in the dark. Teknik apakah? Huhu. Sebenarnya mana boleh ambil gambar pun. Tapi kedudukan saya strategik. Saya bahan saja ambil gambar dari awal sampailah ke sudah. Huhu.

DSC_0049

Saya juga suka akan persembahan daripada Azerbaijan. Tariannya memang dramatik sungguh. Bila si penari lelaki membuat terjunan bebas (free fall) dan akhirnya kakinya melekat pada tali yang disediakan, berderau darah saya dibuatnya. Tapi serius. Memang hebat. Dahsyat sungguh Zolotoi Buff ini. Mereka mengumpulkan yang terbaik saja untuk setiap persembahan mereka.

DSC_0066

DSC_0067

DSC_0069

Dan pada hari Selasa lepas, saya keluar lagi. Dari pagi sehingga ke petang. Pergi cruising di Sungai Moscow dan melawat ke Gorky Park, taman tema tertua di Rusia. Kali ini saya tidak bermain apapun di Gorky Park. Cuma berjalan-jalan saja di dalamnya. Paling habis pun saya naik beca air di tasiknya. Itu saja. Kali pertama ke sana dulu, saya datang dengan Abang Khairil. Haa. Waktu tu saya banyak main. Seharian menjadi budak kecil bersama Abang Khairil. Huhuhu.

DSC_0146

DSC_0188

DSC_0268

DSC_0404

DSC_0360

DSC_0461

Inilah saja kisah pengembaraan saya menjelajah Moscow. Ikutkan ada lagi tempat-tempat lain yang saya pergi tapi tidak larat pula hendak cerita. Jadi saya kongsikan tempat-tempat utama sajalah ya dalam siri Dari Moscow Dengan Cinta di Dunia Sarah ini. πŸ˜‰

Aik aik aik. Tiba-tiba terasa sedih pula.

Nota: Hari ini hari Jumaat terakhir di Moscow. πŸ˜₯

Posted on July 10th, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Kami Bertemu Di Tanah Tsar

Assalamualaikum wbt

Kita undur sedikit masa kita ke hari kedua saya di St. Petersburg. Sedang kami semua menaiki hydrofoil menuju ke Peterhof, saya mendapat mesej. Pendek saja. Bunyinya:

Hi. I’m having a great time in Berlin. Will be in Moscow on the 24th at 5.10 pm (DME Airport). Hope you can make it.

Rasa hendak luruh jantung membaca mesej itu. Sebetulnya, ini kali pertama saya mendapat mesej daripada orang itu. Memang saya memiliki nombornya tapi tidak pernah berhubung melalui telefon sebelum ini. Saya membalas:

At last, glad to hear from you but never expected you will be here in 2 days time. I’ll be arriving at DME Airport from St. Pete on the same day at 4 pm. I can’t promise to be there. So sorry. I’ve guests waiting for me that day. Anything, just let me know once you’ve landed ok.

Sebetulnya, sebaik mendarat di Domodedovo Airport, saya agak pening kerana tidak cukup tidur. Sebaik saya menghidupkan semula telefon bimbit, saya mendapat mesej daripada Smoque (groupmate saya) menyatakan emak ayah Dyana dan Farhana telah sampai dan sedang menunggu saya di aras dua. Smoque kebetulan saja terserempak dengan mereka ketika hendak menjemput abang kepada Farah yang tiba dengan pesawat yang sama dengan mereka semua.

Saya bergegas mengambil beg dan kemudian mencari mereka semua. Sebaik selesai menguruskan tiket penerbangan domestik mereka ke Volgograd dan menghantar mereka ke hotel, saya terus menaiki shuttle van hotel tersebut ke Domodedovo Airport semula. Semuanya perlu cepat. Saya sudah terlambat untuk ketibaan yang satu lagi.

Auyun, Faiz, Nazlin, Aizat dan emak ayahnya telahpun balik. Beg saya juga diserahkan kepada mereka saja kerana mereka menaiki van yang disewa khas untuk ke hostel kami. Saya memeriksa telefon. Kosong. Tiada mesej. Saya terus menuju ke balai ketibaan. Saya memeriksa jadual penerbangan di skrin yang banyak tertera di situ. Penerbangan Lufthansa dari Frankfurt telah pun tiba. Saya sangat berdebar-debar pada waktu itu. Jadi saya meninjau dari jauh saja kerana tidak berani mendekati pintu penumpang keluar di balai ketibaan. Memang kelihatan ramai orang keluar di situ. Saya tidak pasti penumpang dari manakah itu. Tiba-tiba saya mendapat mesej.

I couldn’t make it. Sorry. Harapnya you tak tunggu since you have guests.

Alahai… Tak jadi ke. Saya sudah mengeluh seorang diri di situ. Penat-penat saya berkejar untuk menyempatkan diri saya dengan ketibaan yang ini pula, tiba-tiba baru hendak beritahu hal itu. Dalam hati saya tertanya-tanya juga kenapa tidak jadi? Terlepas flight kah? Tukar tarikh atau apa? Memang kusutlah kepala saya berfikir waktu itu. Dan yang paling utama, saya rasa kecewa. Terus saya balas begini:

Laa… Yeke. It’s ok. I wasn’t really waiting for you anyway. Hehe. So, when is your flight? Let me know the flight details ok. (Ada unsur-unsur menipu dalam mesej saya ni. Padahal memang saya tengah tunggu pun. Hahaha. Cover baik punya!)

Saya pandang sekali imbas ke pintu keluar itu dan kemudian saya terus berpusing untuk menuju ke arah aerotrain saja. Saya memang penat dan dengan perasaan kecewa ini, saya betul-betul rasa hendak balik dan tidur.

Tapi sebelum itu, saya ke kedai di dalam lapangan terbang itu untuk membeli air. Saya sangat haus berkejar ke sana ke mari. Selesai membayar 91 Rubles untuk sebotol Nestea (Sumpah mahal Ya Rabbi! Saya tak bazirkan walau setitis pun air tu sebab sayang mahal sangat. Huhu), saya terus berjalan arah laluan menuju aerotrain. Saya melintasi semula pintu balai ketibaan yang sedang sesak dengan pemandu teksi yang sedang menawarkan khidmat.

Tiba-tiba saya mendapat mesej. Dari dia. Katanya:

It was a joke. I thought you noticed me. But you didn’t. Sad.

OH MY GOD.

Dia tipu rupanya. Mana saya sangka yang mesej itu tadi hanya main-main. Saya mula gelabah. Saya pandang kiri kanan. Saya pusing belakang. Ramai sangat orang. Dengan pening kepalanya lagi. Saya memang tak cam sesiapa pun di sekeliling saya. Saya mendekati pintu keluar itu, tiada muka yang saya cam. Saya bergerak ke arah pemandu teksi yang ramai di situ. Tiba-tiba ada suara menyapa.

“Sarah.”

Saya memandang ke kanan. Ada seseorang yang berbeg galas belakang warna hitam, kemeja kuning cair dengan jaket hitam dan menarik sebuah beg berdiri di tepi saya. Dia tersenyum saja. Saya terkejut yang amat sangat ketika itu. Rasa macam tak percaya pun iya. Saya yang seperti sedang malu-malu, gelabah dan masih tidak percaya dengan mesej melawak tadi, terus terpaku saja di situ. Hendak senyum, tak boleh senyum. Hendak menyapa semula, tak terkeluar suara. Orang itu tidak lain tidak bukan ialah anak muda yang gigih, yang pernah saya ceritakan suatu masa dulu.

Saya berjalan mendekatinya. Perkara pertama yang saya suarakan bila yakin yang suara saya boleh didengarinya ialah:

“Aishh. Kalau tahu yang saya kena pranked tadi, tak kuasa dah nak tunggu ni.”

Dia ketawa-ketawa saja. Dan membalas:

“Eleh. Tapi sebenarnya memang tunggu pun. Dalam mesej sedap-sedap je kata tak tunggu.”

Huuuuuu. Saya dikenakannya semula. Siapa suruh menipu kan. Hehe. Akhirnya saya sudah mula rasa santai dan hilang segala rasa gelabah. Saya pun bertanya:

“Pukul berapa sampai tadi? Memang cam saya dari awal-awal tadi ke?”

“5.20 lebih kurang. I nampak you jalan dari situ tadi,” sambil menunjuk ke arah pintu keluar-masuk.

“Oh… Memang pun. Tadi saya pergi hantar guests yang saya bagitahu hari tu kat hotel. Dekat je. Tu sebab saya ingatkan tak sempat nak jumpa. Kena tipu pulak lepas tu. Sabar jelah.”

“I thought you noticed me. I was there,” sambil menunjuk ke arah tiang di hadapan pintu yang saya masuk tadi.

Agaknya, saya memang kalut ketika itu. Serius saya tidak sedarpun ada orang berdiri di situ. Dalam kepala saya ketika itu ialah mungkin dia sudah berlepas ke hotel atau ke bahagian penerbangan domestik kerana ketika saya tiba di balai ketibaan, jam sudah menunjukkan pukul 6.25 petang.

Maka, di situlah pertemuan empat mata antara kami. Setelah setahun lebih menjadi kawan email, inilah kali pertama kami bertemu secara rasmi. Saya terasa sangat kekok. Tak tipu. Saya sangat kekok dengan segalanya. Nak bercakap pun jadi tak reti. Nak berjalan pun rasa serba salah. Nak pandang pun rasa takut. Dengan jarak umur yang wujud antara kami dan statusnya yang layak untuk dihormati, saya terasa sangat kekok. Tapi melihatkannya yang cuba menghidupkan suasana, saya mula dapat menyesuaikan diri dengannya.

Dia dalam perjalanan menuju ke St. Petersburg (seperti yang saya ceritakan dulu). Penerbangannya menggunakan Aeroflot Shuttle Moscow-St. Petersburg adalah pada pukul 10.15 malam (Ke 10.45 malam ye? Saya dah lupa).

“Kita ada masa lagi kan? Jom minum dulu. There’s a lot to catch up.”

Saya membawanya ke aras dua. Ke Shokolodnitsa. Kami duduk berbual di sana selama sejam lebih. Kemudian saya membawanya untuk check in di aras satu dan selepas itu saya pun balik. Memang tidak lama mana kami sempat berjumpa tetapi tempoh sejam lebih itu terasa sangat lama bagi saya. Ada banyak perkara yang sempat kami bualkan. Dan ada banyak rahsia serta insiden-insiden yang tak tersangka telah terjadi selama ini.

Dalam tempoh sejam lebih itu, dia sempat mempelajari beberapa frasa-frasa mudah dalam Bahasa Rusia. Antaranya terima kasih, maafkan saya, hai, selamat pagi, selamat malam dan selamat tinggal.

Ketika dalam perjalanan balik, saya termenung panjang. Saya terbayang-bayang semula pertemuan secara tidak sengaja setahun yang lalu. Tiba-tiba saya mendapat mesej. Comel sungguh mesej itu. :p

Privet Sarah. Spasiba for everything. Prastitye menya for the prank. πŸ™‚

Pada pagi hari konvokesyen saya, saya menerima mesej ucapan tahniah daripadanya. Juga satu lagi mesej yang tertulis: DE

Pada 1 Julai pula, saya menerima satu lagi mesej yang hanya tertulis: AL

Bila saya tanya apa itu, dia kata itu teka-teki. Dan saya kena mencari jawapannya. Aduhai. Jadi kawan-kawan, marilah tolong saya menyelesaikan teka-teki yang tak cukup sifat ini. πŸ˜†

Kamus:

Privet = Hai, Spasiba = Terima kasih, Prastitye menya = Maafkan saya

Nota 1: Inilah kisahnya. Saya tak reti nak ceritakan macam mana. Dia seorang yang berhemah. Dia suka tersenyum. Dia tinggi. Dan dia kacak. πŸ˜‰

Nota 2: Jangan tanya saya mana gambarnya. Saya kan tengah gelabah dan berdebar-debar. Takkan saya sempat terfikir nak keluarkan kamera pula kot. :mrgreen:

Posted on July 7th, 2009 by Sarah  |  84 Comments »

Hari Graduasi

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. Saya dengan rasminya telah tamat belajar dari Moscow Medical Academy. Majlis konvokesyen berjalan lancar pada pagi tadi. Hari inilah yang ditunggu-tunggu oleh saya sejak tiba di sini enam tahun yang lalu. Segalanya telah selesai. Belajar telah tamat. Ijazah telah diterima. Sumpah pun sudah diangkat. Alhamdulillah. Saya kini dengan rasminya sudah bergelar Dr. Sarah Shukor.

Emak, ayah, inilah hadiah Ngah untuk emak dan ayah.

dsc_0102

Nota 1: Pakai make up adalah sangat menyusahkan. Pakai heels pula adalah sangat menyakitkan. Saya kahwin nanti tak nak pakai make up dengan heels boleh tak? Muahaha.

Nota 2: Saya akan kemaskinikan cerita percutian di Saint Petersburg dan graduasi dalam entri berikutnya.

Nota 3: Malam ini saya akan menghadap internet sepuas-puasnya!

Nota 4: Encik Anggur, terima kasih sebab menghadiri graduasi saya siang tadi. (^_~)

Posted on June 26th, 2009 by Sarah  |  104 Comments »

Dari Moscow Dengan Cinta (v)

Assalamualaikum wbt

Dua, tiga hari kebelakangan ini saya memang tidak lekat di rumah langsung. Bangun pagi, bersiap, sarapan ala kadar dan terus keluar. Balik ke rumah bila sudah mencecah pukul 9 malam. Tapi di sini masih cerah lagi waktu itu. Kali ini saya keluar bersama bersama dengan emak ayah kawan-kawan yang datang ke sini. Spesifiknya emak ayah kepada Aizat dan Azam. Kami membawa mereka berjalan-jalan. Jadi saya juga mengambil kesempatan ini untuk menawafi Kremlin buat kali terakhir.

s1

Semuanya seperti dimurahkan rezeki oleh Allah. Pada hari pertama, kami semua berkesempatan melihat sesi pertukaran penjaga api di Eternal Flame. Sesi ini berlaku setiap satu jam. Saya sendiri belum pernah melihat dengan mata sendiri upacara ini. Kali ini tanpa perlu menunggu, semuanya bagaikan kebetulan. Mungkin rezeki emak ayah kawan-kawan yang datang dari jauh ni. Ketika di Volgograd dulu pun saya kebetulan saja sempat mengikuti upacara pertukaran penjaga api di Eternal Flame di sana.

s2

Pada hari kedua pula, ketika berada di lapangan Kremlin sekali lagi untuk menuju ke pintu masuk, dari jauh saya terlihat kelibat orang Malaysia. Saya cam orang itu. Mahu tahu siapa? Azraie Abdul Haq. Dulu merupakan peserta Akademi Al-Quran. Juga dua orang ustaz yang lain.

s3

Ketika di dalam kawasan kubu Kremlin pula, sekali lagi, memang rezeki emak ayah kawan-kawan ini, mereka berkesempatan menyaksikan perarakan mingguan oleh Kadet Di Raja Kremlin (Hahaha. Saya pakai bedal je istilah ni. Nama yang tepatnya saya tak pasti. Mana ada Raja dah sekarang ni. Nak ada Kadet Di Raja buat apanya : mrgreen: )yang hanya berlangsung pada hari Sabtu jam 12 tengahari. Kami tiba di sana tepat jam 11.30 pagi. Tanpa menunggu lama, kami semua sudahpun dapat menyaksikannya. Dan sekali lagi, saya bersama emak Azam dapat menyusup nun di hadapan pentas utama. Bukanlah pentas sangat tapi tempat yang paling tengah-tengah di barisan hadapan sekali. Rezeki orang rendah-rendah kot kan. πŸ˜‰

dsc_0205

Tapi, sepanjang dua hari ini, hujan turun agak kerap dan lebat. Habis basah. Dah rasa nak demam dah ni. Ok. Saya tak boleh menulis lama-lama. Sekejap lagi, saya bersama kawan-kawan dan emak ayah Aizat dan Azam akan berlepas ke Saint Petersburg. Kali pertama saya ke sana ketika di tahun dua. Disebabkan Kota Petersburg sangat menarik, saya berhajat untuk ke sana sekali lagi. Jumpa lagi!

dsc_0282

dsc_0302

dsc_0311

Nota: Saya rasa bersalah sangatΒ  sebab masih tak sempat balas komen dan semua email/mesej yang ditinggalkan untuk saya. Jadual saya sangat padat sekarang ni πŸ™

Posted on June 21st, 2009 by Sarah  |  34 Comments »