Amal Dan Niat

Assalamualaikum wbt

“Daripada Umar R.A katanya, Rasulullah S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya tiap-tiap suatu perkara itu bergantung kepada niat. Bagi seseorang itu apa yang telah diniatkannya. Jika hijrahnya adalah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Jika hijrahnya adalah kerana dunia atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah berdasarkan apa yang diniatkannya.”

2010 akan berlalu. Sekejap sungguh saya rasakan tahun ini. Memang seperti sebulan sahaja tempohnya. Biasanya saya memasang niat dan azam setiap kali Maal Hijrah dan hanya azam-azam berbentuk kerjaya dan perancangan peribadi yang saya tetapkan mengikut kalendar Masihi. Tapi disebabkan memang tidak sempat hendak menulis ketika Maal Hijrah yang lalu, saya rangkumkan muhasabah diri 2010 di sini beserta niat dan azam untuk 1432 Hijrah dan 2011. Semoga Allah redha.

Alhamdulillah, dari segi kerjaya, saya semakin stabil. Saya akui masih ada kekurangan di beberapa aspek tapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian saya pada tahun ini. Sepanjang 2010, saya sempat berada di Jabatan Orthopedic, Paediatric dan O&G. Orthopedic bukanlah bidang pilihan saya. Memang tak minatlah. Tapi saya bersyukur sebab telah melaluinya dengan, saya kira, agak baik. Cuma mungkin bidang tugasnya tidak sesuai untuk yang saya bertubuh kecil, saya tidak terfikir hendak menyambung dalam bidang ini. Saya masih teringat pengalaman oncall dan membuat prosedur Above Knee Amputation (AKA) untuk seorang pesakit yang beratnya 125 kg. Sebaiknya kakinya diputuskan di bahagian peha dan saya perlu mengangkat bahagian yang telah dipotong itu untuk diletakkan ke tepi, masya Allah. Senak saya dibuatnya. Berat Ya Rabbi. Hampir-hampir saja bahagian itu terlepas daripada tangan saya kerana terlalu berat. Saya rasa beratnya lagi sikit hampir menyamai berat saya. Saya rasa mesti berkerut muka saya ketika itu.Saya harap selepas ini saya tidak perlu melalui pengalaman sebegitu lagi. :roll:

Jabatan Paediatric pula sangat memenatkan. Menguji ketahanan mental dan fizikal. Pernah dalam sebulan tu saya oncall sebanyak 13 kali. Maksudnya apa? Iya. Setiap selang sehari saya oncall. Emak kata, rumah ini ibarat hotel saja untuk saya. Saya hanya sempat pulang untuk mandi, tidur, keesokan paginya bangun, mandi, keluarkan baju kotor daripada beg oncall, pergi kerja dan oncall, esoknya balik rumah sudah senja, penat, kemudian tidur, dan berulanglah kitaran hidup saya selama sebulan. Itu sekitar bulan Julai kalau tidak silap. Ditambah pula hati sedang bermujahadah, terasa sangat hebat ujian waktu itu. Terasa masa berlalu dengan sangat lambat.

Di Jabatan O&G pula, saya rasakan ketenangan. Mungkin kerana ini bidang yang saya minat. Minat sangat. Walau oncall sibuk yang teramat sangat pun saya tidak kisah kerana saya minat dengan bidang kerja saya. Tapi apakan daya. Kalau kita minat separuh mati sekalipun tapi orang tak nampak minat dan kesungguhan kita ni, tak ke mana juga, kan. Tiba-tiba teringat pengisian usrah beberapa minggu lepas. Topik yang dibincangkan: Allah tak pandang hasilnya. Allah pandang pada usaha kita. Ok. Muhasabah diri semula. Apapun juga nilaian orang terhadap saya, saya dah jadi tak kisah. Yang penting, saya dah usaha yang sebaik mungkin. Walaupun saya agak stress dalam menghadapi hari-hari terakhir di jabatan ini, tapi saya bersyukur kerana walaupun saya masih seorang HO, tapi saya sudah dua kali berpeluang membuat Caesarean Section sepenuhnya dengan dipantau oleh MO saya! Dari skin incision sampailah ke skin closure. Alhamdulillah! Kenapa MO saya bagi saya peluang ini walaupun sebenarnya ini bidang tugas seorang MO? Kerana MO saya tahu saya berniat untuk menyambung dalam O&G. Amin. Semoga dipermudahkan!

Cukup refleksi tentang kerja. Sedikit refleksi tentang keluarga. Alhamdulillah, dalam tahun ini emak dan ayah telah menerima dua orang menantu. Kaklong telahpun mendirikan rumah tangga dengan Abang Hashim di penghujung Mei lalu dan Nan pula baru saja mendirikan rumah tangga dengan Farah di pertengahan Desimber baru-baru ini. Dua rezeki besar untuk keluarga. Saya bersyukur saya tinggal bersama emak ayah di rumah. Setidak-tidaknya, saya dapat meringankan beban mereka, terutamanya emak, ketika hendak membuat persiapan kenduri. Faham-faham sajalah bagaimana persiapan kenduri dijalankan, kan. Saya masih ingat ketika menyiapkan bunga telur untuk majlis Kaklong. Saya membuat bunga telur dan goodie bag di dalam bilik saya. Datang seorang tetangga ke rumah saya kira-kira seminggu sebelum majlis. Dia menjengah ke bilik saya. Tanyanya: Ini ke pengantinnya? Ok. Saya faham, makcik. Makcik tersalah anggap saja. T____T Mentang-mentanglah segala bunga telur dengan pahar-paharnya ada di bilik saya dan penuh dengan goodie bag semua tu, dia ingat saya pula pengantinya. Bukan sekali dua orang ingat begitu. Tapi tak apalah. Yang saya terasa hati ialah apabila ada yang menyangka saya ini kakak kepada Kaklong dan dilabel sebagai “kakak pengantin ni doktor, dia tak kawin lagi” oleh beberapa orang. Mungkin ramai. Lantaklah. Bukan isu besar. Kan saya dah kata, berkahwin bukan dalam agenda saya untuk tahun 2010. Hehe. Tapi sungguh. Saya seronok dapat memudahkan kerja-kerja persiapan perkahwinan Kaklong dan Nan. Oh. Kalau saya kahwin nanti, agak-agak mereka ada masa tak nak tolong saya pula? Entah-entah dua-dua sudah sangat sibuk dengan anak-anak. Hehe. Ok. Tinggalkan topik ini. =)

Jadi, kesimpulannya, untuk tahun 2010 ini, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah. Sekali lagi, Allah makbulkan segala niat, azam dan target saya. Alhamdulillah. Saya berniat mahu buat yang terbaik dalam kerjaya, dipermudahkan untuk melalui ujian dan susah payah sepanjang zaman HO ini, semakin stabil ekonomi dan juga emosi, solat seawal yang boleh walau sedang sibuk yang macam mana sekalipun dan juga belajar untuk kembali membuka hati. Semuanya Allah makbulkan. Kurnia-Mu sungguh di luar jangkauan.

Jadi, untuk tahun 2011 dan 1432 Hijrah ini, saya tidak mahu meletakkan target yang terlalu tinggi. Cukup sekadar lebih baik daripada tahun 2010. Atau dalam erti kata lainnya, naik setapak lagi. Saya berdoa agar dapat menamatkan housemanship saya dengan baik tepat pada masanya September nanti sekaligus dapat bertukar status daripada seorang HO kepada seorang MO. Dan kalau diizinkan-Nya, saya berharap agar dapat dipindahkan ke hospital sekitar Selangor atau Kuala Lumpur. Kenapa? Itu kita cerita kemudian ya =) Saya berharap jalan saya dipermudahkan untuk menyambung dalam bidang yang saya minati.

Kalau tahun lepas, saya berniat agar dapat solat di awal waktu walau sibuk yang macam mana sekalipun, tahun ni saya mahu naik tarafkan lagi. Kalau boleh bukan sekadar menjaga waktu solat, tapi saya mahu amalan ma’thurat saya istiqamah setiap hari. Malu saya nak mengaku. Sepanjang tahun ni, seminggu tu cuma 3 ke 4 hari saja saya berjaya menamatkan ma’thurat dengan sempurna. Itupun atas sebab hafalan. Kalau tak hafal, entah-entah tak baca langsung saya dibuatnya. Tapi macam mana ya nak menyempatkan diri. Kadang-kadang solat Asar pun terkejar-kejar sebab ada kes-kes menanti. Hmm. Orang malas banyak beralasan, Sarah. Ok ok. Kita kena cuba. Perkara yang dilazimkan di mulut lama kelamaan akan menjadi fasih dan satu kebiasaan, kan.

Seperkara lagi, saya mahu hati saya tetap dan istiqamah dengan usrah dan tarbiah. Tak boleh pandang remeh perkara ni. Dari zaman masih bergelar pelajar lagi saya selalu ingatkan diri saya tentang hal ini. Usrah ni sumber kekuatan dan keluarbiasaan untuk diri saya. Kalau saya down, lepas tu dapat berkumpul dengan teman-teman seusrah, saya rasa semangat saya naik dua kali ganda. Yang sedih-sedih semuanya hilang. Yang kuat-kuat dan bertenaga saja menjadi teman saya pulang. Ini untungnya berusrah. Tak kiralah dulu atau sekarang. Saya rasakan ‘zuuup’ dan nikmat yang sama. Ya Allah. Jangan Kau tarik nikmat hidup dipimpin tarbiah ini. =)

Kalau tahun 2009 dulu menjadi pemisah antara saya yang remaja dan dewasa, saya sifatkan 2010 sebagai tahun yang lebih mematangkan saya sebagai seorang dewasa. Bukan semua orang dewasa itu matang, setuju tak? =)

Dan kalau untuk tahun 2010 saya berdoa supaya dapat belajar untuk membuka hati, boleh tak kalau untuk tahun 2011 ni saya berdoa semoga dapat bergelar isteri? Hehe. No comment. Daa~ ;-)

Selamat tahun baru 1432 Hijrah dan 2011 Masihi.

Nota 1: Ada beberapa azam lagi terpaksa saya pendamkan dulu. Mungkin nanti saya akan coretkan juga. ;-)

Nota 2: Ada banyak tarikh-tarikh penting dalam hidup saya berlaku sepanjang 2010. Terima kasih Ya Allah kerana Kau permudahkan. :smile:

Nota 3: Saya ada satu azam untuk tahun 2012 dah ni. Hebat tak. :mrgreen: Tapi kena realisasikan salah satu daripada azam 2011 ni dulu. Hehe~

Nota 4: Insya Allah ada beberapa perkhabaran yang akan saya update kan untuk sahabat-sahabat semua di sepanjang tahun 2011 ini. Stay tuned~

Stay tuned fi sabilillah~

Posted on December 31st, 2010 by Sarah  |  30 Comments »

Hidup Yang Penuh Fitrah

Assalamualaikum wbt

Sepanjang berada di jabatan ini (O&G), ada banyak insiden lucu telah terjadi. Tapi bila dikenang semula, saya rasa ini asam garam yang perlu diterima untuk men’tarbiah’ pesakit dan juga diri sendiri.

Insiden 1

Saya ditempatkan di dewan bersalin (selepas ini akan ditulis sebagai labor room) bersama empat orang HO yang lain. Ditakdirkan Allah, pada suatu hari, ada seorang pesakit dihantar turun daripada antenatal ward (wad sebelum bersalin) untuk dipecahkan air ketuban (artificial rupture of membrane) (ARM) dan augmentation menggunakan pitocin. Pesakit ini seorang berketurunan India, 23 tahun, mengandung anak pertama dan mempunyai Gestational Diabetes Mellitus on diet control (GDM). Sehari sebelum itu pesakit ini telah dimasukkan ke wad untuk menjalani induction of labor (IOL) dengan belon. Saya difahamkan, ketika di wad pun, tiada siapapun yang dapat memujuknya untuk memberikan kerjasama untuk memasukkan belon untuk IOL. Sehinggalah MO yang ada ketika itu terpaksa memasukkan belon ke saluran peranakan dalam keadaan kakinya tidak diangkat! Owh. Sangat susah. Saya pun tak dapat nak membayangkan betapa keras hati dan degilnya pesakit ini.

Ketika di labor room, pada mulanya ada seorang doktor lain yang melihat pesakit ini untuk di ARM-kan. Tapi doktor itu sudah tidak dapat bersabar lagi kerana terpaksa menunggu sehingga 40 minit untuk mendapatkan kerjasama daripadanya. Sedangkan ada ramai pesakit lain yang perlu diselesaikan di labor room pada hari itu. Sudahnya, saya pergi melihat pesakit tersebut dan selepas memujuknya seketika, dia bersetuju untuk memberikan kerjasama untuk di ARM -kan.

Kusangka panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Cewah =p Tiba-tiba pesakit ini meronta-meronta dan tidak mahu prosedur itu dibuat. Alasannya ialah takut dan tidak mahu sakit. Aduhai. Nak bersalin nanti jauh lebih sakit dik oi. T______________T Kami semua meninggalkannya bersama suami seketika di bilik itu dan beredar menyelesaikan perkara-perkara lain. Selepas sejam lebih berlalu, akhirnya ada seorang HO lelaki berbangsa India berjaya memujuknya. Pesakit itu diberikan peluang untuk memilih doktor mana satukah yang diinginkan untuk meng-ARM-kan dirinya. Dia memilih saya! Adeh =p Maka saya pun memakai sterile gloves dan berdiri di sisi kanannya. Ramai staff nurse berada bersama saya untuk membantu saya memegang pesakit itu sekiranya dia meronta lagi.

Baru saja saya memegang hook yang digunakan untuk ARM, tiba-tiba dia meronta-ronta dengan kuatnya dan kakinya telah menendang perut saya sehingga terperosok saya kebelakang. Senak saya dibuatnya. Dan pada waktu itu jugalah seorang staff nurse yang sudah sangat senior berkhidmat di labor room ini memarahi pesakit itu:

“Awak ni, kita nak tolong bagi permudahkan bersalin, awak pergi sepak-sepak, tendang-tendang orang lain pulak. Tu awak tendang doktor tu. Dia pun mengandung jugak. Kalau apa-apa jadi pada baby dia, awak nak tanggung kat mahkamah?”

Begitulah bunyi bebelan daripada staff tersebut. Err… Yang digaris dan ditebalkan itu adalah penting ya. Huhuhu~ Pesakit itu terdiam. Dia memandang saya dengan muka sedih. Saya pun buat muka sedih juga. Tangan saya mengusap perut. Bukannya sebab saya risaukan kandungan palsu tu. Tapi memang saya sedang kesenakan! Rasa macam pecah usus dibuatnya. Suasana di bilik itu pun agak hening seketika melihatkan pesakit itu yang tiba-tiba saja diam. Mungkin dia takut kerana telah menendang perut saya dengan sekuat hati. Lalu, saya pun memecah keheningan itu.

“Bukan awak sorang yang nak bersalin. Ramai lagi yang dah pernah bersalin. Yang kami dah tolong pecahkan air ketuban untuk percepatkan proses bersalin. Tapi kalau awak tak bagi kerjasama, macam mana baby nak keluar. Kalau sekarang awak kata sakit, baby dah nak keluar nanti jauh lagi sakit. Saya dulu pun pernah bersalin jugak. Saya ni jauh berganda-ganda kecik dari awak. Kalau nak ikutkan, saya lagi takut sebab mungkin baby saya tak boleh keluar. Tapi Tuhan tak cipta kita jadi perempuan kalau kita ni takde  power nak tahan sakit waktu bersalin. Ok. Awak tolong saya, saya tolong awak. Kesian kat baby saya dah kena tendang tadi. Jom cepat.”

Selepas saya memberikan syarahan percuma kepadanya, pesakit itupun memberikan kerjasama untuk ARM walaupun kakinya dikeraskan sehingga tersepit saya di situ. Hehe. Sebaik saja saya keluar dari bilik itu, terkekek-kekek saya bersama-sama staff nurse yang menyaksikan drama itu tadi menahan ketawa di kaunter tengah di labor room. Tak pasa-pasal saja pada hari itu saya sudah bergelar ibu beranak satu yang sedang mengandungkan anak kedua! :lol:

Insiden 2

Seorang perempuan Melayu, 28 tahun, mengandung anak kedua yang mana anak pertamanya lahir melalui Emergency Lower Segment Caesarean Section (EMLSCS) kerana anak sudah lemas (fetal distress). Kali ini dia dimasukkan ke wad untuk di IOL pada usia kandungan 38 minggu kerana mempunyai GDM on insulin. Selepas dimasukkan prostin dos yang pertama, dia menangis kerana katanya dia rasa tidak mampu untuk bersalin secara normal. Katanya, dia tidak ada kekuatan untuk itu. Pada malam itu, dia merayu kepada MO supaya dibenarkan untuk menjalani LSCS sekali lagi. MO itu memberi peluang padanya berbincang dulu dengan suami dan menunggu kata putus pakar pada keesokan paginya.

Pagi tadi ketika saya membuat morning review, saya mengkaunselingnya sekali lagi berkenaan permintaannya dan risiko serta komplikasi yang boleh dihadapinya. Selepas seketika, pesakit itu mula berdialog dengan saya sambil saya menulis review saya pagi tadi.

Pesakit: Doktor dah kawin?
Saya: (Terdiam sekejap) Dah.
Pesakit: Doktor ada anak?
Saya: Ada. Sorang. Baru 6 bulan.
Pesakit: Doktor bersalin secara normal ke?
Saya: Haah. Normal. Kenapa, puan?
Pesakit: Badan doktor jauh lagi kecik dari saya. Mana doktor dapat confident nak pushing, nak tahan sakit lagi?
Saya: Puan, sakit nak bersalin tu fitrah. Sampaikan Nabi kata kita ni berjihad waktu nak bersalin tu. Kalau ditakdirkan kita mati, kita mati syahid time tu tau. Kalaulah perempuan ni diciptakan tak tahan sakit nak bersalin, dari awal dulu lagi Allah cipta biar lelaki yang lahirkan anak. Betul tak? Kita ada doa dan selawat nak permudahkan bersalin. Doa Nabi Yunus tu boleh kata ada kat mana-mana je di labor room tu. Kita usaha, tawakkal. Kalau tak boleh jugak bersalin normal, baru kita operation. Rugi puan tak rasa lagi macam mana bersalin secara normal tu sedangkan puan takde apa-apa masalah pun untuk tak cuba bersalin biasa dulu kali ni.
Pesakit: (Dia tenung saja saya dengan air muka yang cukup sayu)

Selepas melihat pesakit tersebut diam dan memandang saya sebegitu sekali, saya berkata: “Elok je lepas bersalin dan puan dapat dengar baby puan menangis dan diletakkan atas badan puan, hanya Allah je yang tahu betapa bahagianya rasa hati. Segala rasa sakit pun hilang, puan.” Saya senyum dan kemudian berlalu ke katil pesakit seterusnya.

Ketika pakar membuat ward round, selepas dikaunseling semula oleh pakar, pesakit itu meminta masa untuk memikirkan semula permintaannya tadi. Setakat sehingga jam 6 petang tadi, dia masih lagi di wad dan tidak meneruskan permintaannya untuk menjalan LSCS. Esok pagi baru saya akan tahu apakah perkembangan kes itu.

Sebenarnya ada sedikit pengajaran yang hendak saya kongsikan di sini. Setiap kali berdepan dengan insiden-insiden sebegini, saya dapat bezakan pendekatan yang saya berikan kepada pesakit. Untuk yang bukan Islam, cara untuk saya memujuk dan memberikan nasihat kepada mereka agak terhad. Saya tidak dapat menyuruhnya mengamalkan doa itu dan ini. Saya tidak dapat menyuruhnya memperbanyakkan selawat untuk mengurangkan rasa gemuruhnya. Juga tidak dapat mengingatkannya supaya melafazkan syahadah jika sakit sudah semakin kuat dan jika sekiranya perlu untuk dibedah. Ini semua sebahagian daripada tanggungjawab doktor muslim untuk pesakit muslim. Untuk pesakit muslim, selain berikhtiar, saya dapat mengingatkan mereka supaya memperbanyakkan doa dan selawat. Ini tawakkal kita kepada Allah. Bukti pergantungan kita kepada Allah dan bukannya kerana kudrat kitalah hingga kita mampu melahirkan anak. Tanpa kasih sayang Allah, mungkin kita tidak mempunyai kekuatan langsung untuk selamat bersalin.

Kita hanya merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang. Tak salah kan kita berusaha dulu sebelum terus menyerah kalah untuk dibedah (selagi tiada indikasi yang memerlukan pembedahan kecemasan diteruskan). Wallahu a’lam =)

Nota 1: Dah dua kali saya ‘jadi’ wanita beranak satu. :mrgreen:

Nota 2: Cuba tengok dua gambar di atas ni. Tak sejuk ke rasa hati dapat pegang tangan si kecil dan tatap mata mereka yang bersinar tu? :smile:

Nota 3: Photos credit to Mr. Photographer pujaan. ;-)

Posted on December 28th, 2010 by Sarah  |  34 Comments »

Kronologi Bergambar

Assalamualaikum wbt

Memang malam ni terasa hendak menulis dan menulis lagi. Tadi sebaik saja elok dari pitam (saya tak berapa sihat sebenarnya ni), keterujaan untuk menulis tu datang membuak-buak. Bukan setakat blog yang saya tulis, diari dan buku kecil untuk mengemaskankinikan hal-hal peribadi pun saya tambah macam-macam lagi. Itupun setelah bermacam-macam input diberikan oleh emak pada petang tadi.

Tapi kali ni saya hendak berkongsi gambar-gambar sejak di posting Orthopedic sehingga yang terkini. Cerita sikit-sikit saja. Hehe. Ketika di Orthopedic, ada satu peristiwa pelik berlaku. Petunjuknya ada di entri ini. Hehe. Dan sejak hari itu, saya sentiasa menjadi bahan usikan pakar saya, Miss Nur, bila isu ini berbangkit di kalangan kami. Ketika di posting ini, saya sangat suka dengan team yang ada bersama-sama ketika itu. Mungkin kerana kami sudah saling mengenali sejak dari posting yang sebelumnya dan mempunyai cara kerja yang hampir sekepala. Jadi, team ketika itu sangat best.

Kemudian, saya bertukar ke posting Paediatric. Bersama kanak-kanak dan bayi-bayi memang sangat serasi dengan jiwa saya. Yang tak serasinya ialah beban kerja yang tak sudah-sudah. Saya oncall dengan sangat banyak dalam sebulan. Oncall pula adalah secara selang sehari (every other day -EOD-). Memang rasa hidup tak terurus langsung. Terseksa jiwa rasanya. Tapi di sinilah saya belajar erti bertahan dan bersabar secara maksimum.

Empat bulan berada di jabatan itu, saya mengenali Adam. Sejak dia lahir saya melihatnya di depan mata sehinggalah dia diambil oleh keluarga angkat. Memang sebak tidak terkata ketika hari dia dibawa pulang oleh keluarga angkatnya itu.

Saya juga mengenali Iskhandar yang dijangkiti Kawasaki’s Disease yang melibatkan komplikasi Ventricular Aneurysm di jantungnya. Saya yang mengiringinya ke IJN dan dia kini sudah kembali aktif seperti sebelumnya. Melihatkan perkembangan positif pesakit-pesakit di depan mata terutamanya bayi-bayi dan kanak-kanak yang masih belum masuk ke fasa nakal (=p) adalah sangat membahagiakan.

Ketika ditempatkan di unit SCN dan NICU, ketika oncall dan perlu mengambil darah bayi sekitar jam tiga, empat pagi, saya suka berselawat dengan mereka. Tak kisahlah bangsa apapun bayi itu. Fitrahnya mereka adalah Islam. Saya pun rasa tenang dan tidak tertekan dengan puluhan bayi yang perlu diambil darah mereka pagi-pagi tu. Dan di penghujung posting Paediatric, berat saya hanyalah 46.3 kg sahaja. Huuu… Dan hari terakhir saya di situ, saya pergi ke wad yang paling saya suka, Melor 1. Lama saya bertugas secara solo di situ. Jadi saya agak rapat dengan kakitangan wad itu berbanding wad kanak-kanak yang lain. Sebelum balik, seorang staff nurse bertanya: Doktor, bila nak update blog? Dah lama tertinggal macam tu je. Aduh! Ada staff yang mengikuti blog ini rupanya. Err… Boleh tak taknak update terus kalau macam tu? Hehe :razz:

Dan yang terkini, saya berada di Obstetric and Gynecology (O&G). Di sinilah saya bertemu jiwa saya. Kalau ada rezeki, saya mahu buat O&G lepas ni. Boleh tak, awak? Hehe. Kalau orang lain paling tidak suka oncall di Labour Room, bagi saya, saya paling suka oncall di sini. Kalau boleh saya tak mahu oncall di bahagian antenatal, postnatal atau gynecology. Huhu. Tapi, yang menjadikan keberadaan di bahagian-bahagian tertentu itu seronok atau tidak turut dipengaruhi oleh team pada waktu itu. Hehe.

Tambahan pula, sepupu saya, Nisa, pun berada dalam posting yang sama pada masa ini. Sebelum ini kami sama-sama di Paediatric. Sekarang kami sama-sama di O&G. Bersamanya, saya memang merasakan kelainan. Saya ada sumber semangat dan tempat mengadu. ;-)

Dan, bila saja ada masa terluang, paling kurang sebulan sekali, saya mesti akan meluangkan masa bersama kawan baik saya, Wahida Saedan. Ingat tak dulu kami berdua pernah berdiskusi secara serius tentang masa depan dan memuncakkan harapan dalam doa? Hehe. Itu sesi bulanan kami tu. Bertemu di mana-mana dan menceritakan perkembangan terkini masing-masing secara terperinci. Cewah~ Alhamdulillah. Kerana adanya Wahida, saya masih lagi ada kawan untuk keluar bersama di bandar kecil yang tenang ini. Aktiviti bulanan kami yang wajib juga ialah memenuhi jemputan kahwin kawan-kawan lama dulu bersama-sama. T___T

Nota: Selalu berangan nanti dah kawin boleh keluar jalan-jalan dengan suami pula. :mrgreen:

Posted on December 8th, 2010 by Sarah  |  18 Comments »

Hari Ke-5

Assalamualaikum wbt

Mungkin Tuhan sedang berbisik kepada saya, jalan yang payah itu memang perlukan mujahadah tapi membawa kepada sesuatu yang lebih indah. Saya patut buang semua sedih pilu ni sebab dengan melalui susah-payah, kita lebih rapat dan kenal siapa Allah =)

Ok. Sedikit cerita di wad. Hari tu saya hendak mengambil darah seorang pesakit ni. Umurnya lapan tahun. Berbangsa India. Dia baru tiga hari di extubate kerana mengalami bronchopneumonia with bronchospasm with underlying poorly control bronchiol asthma.

Untuk mengelakkan dia meronta atau menangis dengan kuat, saya meralitkan dia dengan mengajaknya mengira bersama saya. Oh ya. Dia bersekolah di sekolah Tamil.

“Satu, dua, tiga, ……. sebelas, dua belas, …….. lapan belas, sembilan belas, SEPULUH BELAS!”

Oh. Saya menahan gelak. Saya betulkan kesilapannya tadi. Di menyambung lagi:

“Dua puluh satu, dua puluh dua, …….. dua puluh sembilan, TIGA PULUH BELAS!”

Hihi. Saya tersenyum juga akhirnya. Begitulah kiraannya sampai ke enam puluh belas. Gandaan belas itu tetap tidak ditinggalkannya.

Kesimpulan yang hendak saya berikan, nampaknya masih ramai rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu yang tidak menguasai asas yang mudah-mudah ini. Dan keduanya, bekerja dengan kanak-kanak ini kadang-kadang memang menceriakan hidup kita =)

Nota: Saya dan sepupu saya, Nisa, kini bekerja di jabatan yang sama. Dan malam ini, dia oncall bersama saya. Ceria betul saya sekarang. Saya sudah ada kawan! ^____~

Posted on July 28th, 2010 by Sarah  |  5 Comments »

Semalaman Di Kecemasan

Assalamualaikum wbt

Senja semalam punyalah rasa sunyi menikam jiwa. Err… Ayat yang agak penuh propaganda bunyinya. Memang sunyi sungguh waktu itu. Tapi kalau dirasionalkan semula, waktu Maghrib begitu, syaitan memang penuh di keliling kita menyuntik-nyuntik hati agar kita terasa asing dari rahmat Tuhan. Padahal tidak sama sekali. Rahmat dan nikmat Tuhan untuk kita tidak pernah tiada.

Sebaik sebelum Maghrib, emak saudara saya yang tinggal berhampiran meminta saya datang ke rumahnya untuk melihat-lihatkan anaknya yang tidak sihat. Saya ke sana. Periksa punya periksa, saya membuat kesimpulan anaknya itu mengalami Urosepsis. Abdomen dah distended. Inguinal region dia dah bengkak. But no sign of herniation pun. Kencing pun dah jadi pyuria. Massive pula tu. Tracking down from the inguinal region, ada fluctuant area di peha kiri. Ah, sudah. Ini mesti kes intraabdominal abscess ni.

Sekitar November 2009, adik saudara saya ni pernah kemalangan. Dia mengalami intraperitoneal hemorrhage complicated with minimal bladder and sigmoid colon contusion. Juga ada pelvic diathesis and right pubic rami fracture. Sekitar Mac lepas, dia ada dimasukkan ke wad semula kerana chronic urinary tract infection (UTI). Saya terus mengajaknya untuk ke hospital. Pasti akan dimasukkan ke wad punyalah.

Hendak dipendekkan cerita, melangutlah saya menunggu di kecemasan malam tadi sehingga jam 1 pagi. Kebetulan saya membawa sepupu saya Hidayah untuk menemani saya. Sekitar 1.15 pagi barulah kami bertolak pulang. Sudahnya, permulaan cuti yang saya rasakan cukup sunyi bertukar menjadi slot di unit kecemasan pula.

Tapi ada sedikit ralat di hati. Saya menyebabkan seseorang ternanti-nanti kepulangan saya ke rumah. Telefon saya pula habis bateri ketika di hospital. Tidak dapat menghubunginya. Dan apabila saya tiba di rumah, tanpa sempat menyapanya, saya terus tertidur. Kasihannya dia menunggu.

Tapi tak apa. Saya ada 96 jam lagi khas untuknya.

Nota 1: Ini entry pertama yang bercampur-campur bahasa. Dan maaf saya tak terangkan istilah-istilah perubatan yang saya gunakan di atas. Agak malas  sebenarnya ni. :razz:

Nota 2: Sedang berusaha untuk menjadi yang sentiasa menggembirakan yang lain.

Posted on July 9th, 2010 by Sarah  |  6 Comments »