Katil Nombor 17

Assalamualaikum wbt

Wah. Tajuknya macam cerita seram saja. Jangan risau. Takkan tegak bulu roma membaca kisah ini. Ini cuma kisah berkaitan bekas pesakit saya di Temerloh dulu. Kisah yang bila dikenang kembali, boleh bergenang air mata saya.

Sebenarnya sudah lama saya hendak berkongsi kisah ini dengan semua. Tapi sungguh, saya tiada kesempatan. Kisahnya terjadi sekitar Februari hingga April yang lalu. Alang, seorang lelaki berketurunan Orang Asli yang berumur di awal 30-an. Alang dimasukkan ke wad surgical lelaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sebaik pulang dari kerja di pusat penebangan balak. Kemalangan itu berlaku sekitar jam 2 pagi.

Setelah diresusitasi di Jabatan Kecemasan, dia telah dihantar naik ke wad dalam keadaan intubated. Maksudnya, dia bernafas menggunakan alat bantu pernafasan (ventilator). Dia tiba di wad sekitar jam 7 pagi di saat para HO sedang sibuk membuat review pagi di wad. Dia mengalami intracranial bleed (ICB) dan beberapa kecederaan yang lain. Namun disebabkan ICU penuh, dia tidak dapat dipantau secara rapi di sana, sebaliknya hanya dimasukkan ke wad biasa saja.

Saya masih ingat, pada pagi itu, kawan saya, Michelle, yang oncall. Di Jabatan Pembedahan Am (Surgical), HO yang oncall perlu membuat review di acute cubicle, kubikal yang menempatkan pesakit-pesakit tenat yang memerlukan pantauan penuh dan rapi. Kelam-kabut Michelle hendak memastikan semua pesakit di kubikal itu habis di review semuanya termasuk kes baru yang tiba-tiba saja sampai di pagi hari itu. Sebaik saja pakar tiba pada jam 8 pagi itu, semuanya bertumpu di katil Alang, untuk mendengar apa kisahnya si Alang ini dimasukkan ke wad dalam keadaan begitu.

Ketika itu, Alang berada dalam keadaan yang agak menggelupur (restless) walaupun intubated kerana tiada sedation diberikan sepenuhnya kepada Alang. Pakar yang sedang membuat round terus menghubungi Pakar Bius oncall pada hari itu dan cuba mendapatkan sebuah katil di ICU untuknya. Setelah berbincang itu dan ini, akhirnya Alang berjaya ditempatkan di ICU. Saya telah diarahkan untuk memindahkannya ke sana bersama beberapa orang jururawat yang lain.

Hampir tiga minggu lamanya Alang berada di ICU. Banyak yang terjadi di sana. Pada suatu hari, ketika sedang makan di pantri wad, Michelle bertanya kepada saya tentang keadaan Alang di ICU. Saya juga tidak berapa pasti akan keadaannya kerana sepanjang dua minggu itu, saya hanya bertugas dan oncall di wad surgical lelaki saja. Tiba-tiba pada petang itu, kami mendapat tahu bahawa Alang akan dipindahkan ke wad semula. Kebiasaannya, kes-kes yang dipindahkan keluar daripada ICU disebabkan pesakit sudah beransuh pulih. Jadi besar kemungkinan Alang juga begitu.

Ketika dia tiba semula ke wad, keadaannya masih intubated tetapi sudah sedar dan menurut kata. Cuma keadaan paru-parunya pula yang mengalami komplikasi. Maka, dia sekali lagi ditempatkan di acute cubicle, katil nombor 17. Saya oncall pada hari itu. Jadi saya pergi terus ke katilnya untuk mendapatkan cerita penuh segala perkembangan Alang ketika berada di ICU. Saya perlu tahu semua itu kerana jika ada apa-apa yang terjadi, sayalah yang bertanggung jawab kerana sayalah yang oncall. Sekitar jam 7 malam itu, saya perlu mengambil darahnya. Saya pergi mendapatkannya dan memaklumkannya bahawa saya perlu mencucuknya untuk mengambil darah.

Alang kelihatan seakan-akan menjeling saya. Saya tahu, dia tidak mahu dicucuk. Dia kelihatan agak marah tapi dia tidak dapat berkomunikasi menggunakan suaranya. Saya memujuknya dengan menyatakan saya berjanji hanya akan mencucuknya sekali saja. Akhirnya dia seakan-akan pasrah saja. Sejak hari itu, kesemua HO yang oncall sudah kenal dengan perangai Alang. Kami terpaksa memujuknya dulu sebelum mengambil darah supaya dia tidak agresif.

Kadang kala saya lihat ada seorang dua ahli keluarganya yang datang melawat. Faham-faham sajalah. Mereka Orang Asli. Hidup susah. Bukan senang-senang mereka hendak mendapatkan pengangkutan untuk datang ke hospital. Pada suatu hari, saya berkesempatan bertemu dengan isteri Alang. Saya berbual-bual dengannya. Katanya, mereka mempunyai dua orang anak. Kedua-duanya perempuan. Isterinya tidak bekerja. Hanya Alang seoranglah yang menanggung mereka sekeluarga dan juga ibu bapa mereka. Sedih saya mendengarnya. Menurut isteri Alang, hendak tak hendak, Alang perlu sembuh kerana ada ramai yang bergantung kepadanya.

Pada ketika itu, saya memandang Alang. Alang hanya membalas semula pandangan saya itu dengan sayu. Dalam hati saya berkata: Agaknya, Alang dapat bertahan sehingga ke hari ini sebab dia tahu dia ada banyak tanggung jawab. Serius. Saya rasa sangat syahdu pada ketika itu.

Sebetulnya, ada banyak perkara yang terjadi kepada Alang sepanjang dia berada di wad. Dia pernah asystole (jantung berhenti berdenyut) sebanyak dua kali, dimasukkan-dikeluarkan-dimasukkan semula ke ICU beberapa kali dan mengalami komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru yang teruk. Disebabkan itu, Alang terpaksa menjalani chest physiotherapy yang kerap dalam masa sehari untuk membantu mengeluarkan kahak dan lendir daripada paru-parunya.

Tapi, ahli fisioterapi hanya datang sekali saja dalam masa sehari itu. Selebihnya, Alang bergantung kepada doktor dan jururawat untuk melakukannya. Semua ini berlaku sebelum saya mula cuti kahwin pada Mac yang lalu. Ketika itu, saya terlalu banyak oncall secara selang sehari untuk memastikan cuti kahwin saya diluluskan. Jadi, pendek katanya, saya menghabiskan terlalu banyak masa menjaga Alang dan mengikuti perkembangannya dari hari ke hari. Saya masih ingat akan kata-kata pakar saya pada satu malam yang saya oncall: “Please do aggressive and intensive chest physio for him.”

Haaa. Saya pun apa lagi. Sejak hari itu, saya sangat kerap melalukan chest physio kepadanya. Tahu tak bagaimana chest physio dilakukan? Saya perlu mengetuk-ngetuk dada Alang di bahagian depan dan belakang menggunakan tangan dan diikuti dengan menyedut kahaknya menggunakan suction tube yang dimasukkan melalui tiub di tekaknya. Saya tahu Alang kesakitan dan sudah tidak larat diperlakukan begitu setiap hari. Tapi apakan daya. Ini yang terbaik untuk memastikan kahak Alang dapat dikeluarkan dengan kerap bagi mengelakkan keadaan paru-parunya teruk kembali.

Pernah Alang mengeluarkan bunyi-bunyi yang menyayat hati ketika saya sedang membuat chest physio ke atasnya. Saya sedih. Siapa yang tidak kasihan, kan. Tapi saya memang terpaksa. Tapi saya katakan pada Alang: “Alang, awak kena kuat. Awak kena sihat. Kesian kat isteri dan anak-anak awak yang tunggu awak tu kan.” Dengan berkata-kata begitu, Alang pasti akan memberi kerjasama. Bukan sekali dua saya melihat air matanya meleleh menahan segala kesakitan dicucuk, diketuk-ketuk dadanya dan dimasukkan suction tube ke tekaknya. Terlalu banyak kali!

Sehinggalah pada suatu hari, saya oncall lagi pada hari itu. Ketika hendak membuat chest physio ke atasnya, saya berbual-bual dulu dengannya walaupun dia tidak boleh membalas walau sepatahpun apa yang saya ucapkan. Saya cuma mengambil inisiatif berbual begitu untuk mendapatkan kerjasamanya dan pada masa yang sama, inilah cara untuk mendapatkan kepercayaannya supaya membenarkan saya membuat segala prosedur itu. Ketika sedang menyediakan suction tube dan membuka suction, saya berkata: “Alang, kalau awak dah sihat nanti, saya belanja awak nasi ayam, tau.” Tiada respon daripada Alang. Cuma dia tidak menghalang saya memasukkan tiub itu ke tekaknya.

Selepas itu, saya mula bercuti kahwin selama seminggu. Sebaik kembali bekerja selepas bercuti, saya bertugas di wad surgical perempuan pula. Oncall pun hanya di sana saja. Kemudian, saya terlibat dalam kemalangan pula dan bercuti selama lima hari pula. Sebaik kembali bertugas, Michelle memberitahu saya, Alang sudah di extubated (dikeluarkan tiub pernafasan daripada tekaknya) dan tidak perlu menggunakan ventilator lagi. Saya oncall pula pada hari itu. Jadi saya tidak sempat hendak pergi melihatnya di wad lelaki.

Dua hari selepas itu, saya oncall di wad kanak-kanak dan periferi untuk kes-kes surgical. Sekitar jam 6 petang, saya singgah sebentar di wad lelaki. Semata-mata untuk melawat Alang. Menurut Michelle, Alang telah dipindahkan ke subacute cubicle. Ketika diberi arahan oleh pakar untuk memindahkannya ke kubikal yang kurang tenat ini, kesemua staf di wad itu bertepuk tangan. Semuanya gembira kerana Alang sudah terlalu lama dirawat sebagai pesakit yang tenat di acute cubicle. Ibaratnya, dialah Tok Batin di wad itu! Mana tidaknya, dia sudah berada di katil nombor 17 itu sejak bulan Februari lagi. Sudah hampir 3 bulan dia berada di sana!

Ketika saya sampai, saya terus menuju ke katil barunya. Seorang jururawat sedang membuat dressing ke atasnya. Saya terus ke hadapan katilnya. Wah! Terkejut saya melihatnya. Dia sedang duduk di atas katilnya sambil tersengih lebar melihat saya. Jururawat itu bertanya dengan nada berseloroh kepada Alang: “Ha. Kenal ke siapa ni, Alang?” “Kawan”, jawab Alang sambil tersenyum lebar lagi. Tergelak besar saya dan jururawat itu.

Saya berbual-bual sedikit dengannya. Suara Alang serak-serak kasar kerana terlalu lama dia menggunakan tiub pernafasan di tekaknya. Kecederaan pada peti suaranya pasti tidak dapat dielakkan. Saya terharu melihat keadaan Alang yang sudah pulih sebegitu sekali. Dia betul-betul seorang yang bersemangat tinggi. Saya rasa, keadaan hidup dan tanggung jawab yang dipikulnya yang menyebabkannya betul-betul kuat semangat untuk pulih. Saya rasa, kalaulah tiada sesiapa di situ, mungkin saya akan ketawa sambil menangis. Alang adalah pesakit yang saya jaga hampir 3 bulan lamanya!

Sebelum saya berlalu pergi, Alang menegur saya: “Mana nasi ayam?”

Hahahaha. Kali ini saya betul-betul tergelak besar! Alang oh Alang. Awak memang seorang pejuang!

Salam Maal Hijrah 1433 Hijrah. Marilah kita berhijrah menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Mari kita membentuk diri kita menjadi pejuang!

Nota 1: Terlalu sibuk dalam masa 2 minggu ini. Tak sempat nak update blog. :roll:

Nota 2: Terima kasih kepada semua yang sudi singgah di blog ini. ;-)

Nota 3: Kepada adik-adik jurusan perubatan yang ramai bertanya tentang studi dan dunia pekerjaan, saya akan cari masa untuk menjawab soalan adik-adik semua dalam satu entri nanti ya. ;-)

Posted on November 27th, 2011 by Sarah  |  30 Comments »

Cerita Raya Kami

Assalamualaikum wbt

Terasa berkurun lama tidak menjenguk ke sini. Kali ni memang betul-betul tak jenguk. Tak sempat dan tak larat. Macam-macam yang terjadi sejak sebelum raya dulu. Apa-apapun, Alhamdulillah. Saya redha saja dengan semuanya. Atau dalam ayat lainnya, layankan sajalah Labu. :mrgreen:

Alhamdulillah, selepas sempurna sebulan bepuasa dengan penuh susah-payah dan diselang-seli dengan episod kelembikan, Aidilfitri tahun ini saya dan suami sambut secara sederhana di dalam kereta. Dalam kereta? Iya. betul. Kami terlalu banyak mengembara ke sana-sini pada hari raya lepas sehinggakan tidak terasa sangat suasana raya itu sebenarnya. Hehe.

Sehari sebelum raya, saya dan suami bertolak pulang ke Temerloh dari Putrajaya. Sebelum itu, saya menghabiskan masa selama 3 hari di rumah mertua saya di sana. Kiranya, inilah kali pertama saya merasai suasana balik kampung untuk berhari raya. Hihi. Dulu-dulu, saya biasanya akan pulang ke Pulau Pinang untuk berhari raya sama ada beberapa lebih awal atau pada hari raya kedua. Jadi suasananya lain. Tapi perjalanan balik kampung ke Temerloh yang diiringi lagu-lagu raya yang bermacam-macam itu sekejap saja sempat saya hayati. Sebaik saja melepasi Tol Gombak, saya mulai lembik. Jadi, saya hanya tidur di sepanjang perjalanan. Celik saja mata, kami sudahpun berada di Tol Temerloh. Balik kampunglah sangat, kan. Hehe.

Petang itu, kami sekeluarga berbuka beramai-ramai. Kali ini, Abang Hashim, Nan dan Farah tidak ada. Abang Hashim bekerja di hari raya pertama. Jadi dia terkandas di Penang sana. Nan dan Farah pula hanya pulang ke Temerloh pada petang raya pertama. Malam itu, adik-adik saya ke masjid untuk solat sunat Tasbih. Tinggallah saya, Kaklong dan emak di rumah membuat serba sedikit lagi persiapan untuk raya.

Di awal pagi raya tahun ini, rutin saya berubah. Dulu-dulu, setiap kali menjelang raya, saya atau Kaklong akan sibuk memastikan baju raya adik-adik sudah siap bergosok kemas untuk mereka ke masjid. Tapi tahun ini memang berbeza. Adik-adik semua sudah besar. Semuanya menguruskan baju mereka sendiri, cari butang baju melayu sendiri, pakai sampin sendiri dan siap menolong menghidangkan juadah pagi raya untuk makan bersama sebelum ke masjid. Ya Allah. Sudah besar semua adik saya rupanya. Kakakmu ini tiba-tiba terharu. :roll:

Rutin pagi raya saya kali ini tertumpu ke arah suami pula. Saya menyiapkan baju melayunya, butang bajunya, sampinnya dan terasa sangat syahdu di saat bersalaman dengan suami di pagi raya. Lebih syahdu saat dia mengucup dahi saya. Dalam hati berkata: Wow. Dah beraya berdua dah tahun ni. Hehe.

Gambar raya yang kelabu asap sebab guna handphone saja. Hehe.

Selepas bersalaman, emak, ayah, suami dan adik-adik semuanya ke masjid untuk solat raya. Saya memang tak larat untuk bergerak merata waktu itu. Jadi, tahun ini saya tidak ke masjid. Saya menemani Kaklong yang sibuk dengan anaknya, Anis, di pagi raya. Tapi pagi raya itu, Anis boleh pula tidur saja sepanjang pagi sehinggakan masa mandi pun tutup mata. Bertuahnyalah budak ni.

Kaklong dan Anis tanpa Abang Hashim di sisi. Sob sob sob.

Sebaik suami sampai dari masjid, kami ke rumah tok dan dua buah rumah saudara lagi di atas bukit ini. Sebelum Zohor tiba, kami sudah bersiap-siaap untuk bertolak balik kampung lagi. Kali ini, destinasi kami ialah Batu Pahat, kampung sebelah emak mertua saya. Keluarga mertua saya menyambut raya pertama di sana. Kami ikut jalan belakang melalui Bahau-Gemas-Segamat-Yong Peng. Agak banyak kereta tapi tidaklah sampai sesak. Tapi kami mengambil masa hampir 4 jam di dalam kereta untuk tiba ke sana. Sampai saja di Batu Pahat, kami terus menuju ke rumah datuk saudara kerana ahli keluarga yang lain sedang berkumpul di sana. Sebenarnya, inilah kali pertama dalam hidup saya ke Batu Pahat. Setelah siap makan malam di sana, barulah kami semua bertolak balik ke rumah Atuk di Kampung Parit Haji Sidek, betul-betul di belakang BP Mall di sana. Hehe. Kampung Atuk di tengah bandar rupanya. :grin:

Malam itu saya memang pengsan terus. Penat yang teramat sangat. Kebesokannya, sebelum Subuh lagi, satu rumah sudah riuh. Yang lelaki semuanya ke masjid. Tinggal kami yang perempuan saja solat Subuh di rumah. Saya siap mandi air telaga yang sangat dingin lagi di awal pagi itu. Sangat segar!

Selepas bersarapan, saya dan suami mengikut umi dan baba beraya ke rumah saudara-mara yang belum pernah menemui pengantin tak berapa nak baru ni. Hehe. Yang seronoknya, saya masih dapat duit raya! Hihi. Padahal dah nak dapat anak dah pun. Hihihi. Banyak juga rumah wak-wak yang kami ziarahi. Insya Allah, saya akan cuba mengingati mereka satu persatu. Oh ya. Keluarga di sebelah Johor ini berketurunan Jawa. Atuk saya juga merupakan seorang pembuat dan penjual tempe secara tradisional. Tempenya sangatlah sedap. Saya dan suami kalau makan sambal goreng di rumah Atuk, memang bertambah-bertambah macam tak cukup pinggan. Hehe.

Suami saya dengan muka tak siapnya. Huhu~

Sebelum Asar, kami sudah bersiap-siap untuk pulang ke Temerloh. Apakan daya, saya sudah mula bekerja pada hari raya ketiga. Tapi Masya Allah. Perjalanan pulang mengambil masa sehingga 7 jam! Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya di kawasan Jempol. Memang punah mood. Saya memang tak tahan dengan kesesakan jalan raya. Saya hanya diam saja di dalam kereta. Ditambah dengan sakit pinggang dan merajuk dengan suami, ehem-ehem, jadi saya hanya diam saja di dalam kereta. Hehe. Cerita pasal merajuk ni kemudianlah ya. :mrgreen:

Sudah hampir tengah malam, barulah kami tiba di Temerloh. Kami membawa bekal tempe segar hasil air tangan Atuk. Selepas mengemas beg ala kadar, saya menyiapkan baju untuk kerja keesokannya dan kemudian terus tidur. Keesokannya, di saat seisi rumah masih lagi tidur, saya sudahpun bertolak ke hospital. Seperti biasa, selepas saja raya, hospital bagaikan sedang mengadakan rumah terbuka dengan meriah. ICU penuh. Wad-wad medikal, ortho dan surgery juga penuh. Kes-kes kemalangan dengan pendarahan otak (intracranial bleed – ICB) memang tak terkata banyaknya. Majoritinya kes ICB di-intubate. Itu belum lagi kes-kes uncontrolled hypertension, diabetes mellitus dan semput segala bagai ni. Sesak nafas saya bekerja hari itu meronda satu hospital seorang diri melihat perkembangan pesakit-pesakit yang berada di bawah seliaan Unit Anaesthesiologi. :roll:

Petang itu, suami saya menjemput saya sekitar jam 7 petang di hospital dan kami terus bertolak ke Kuantan pula. Mertua saya berada di sana beraya dengan keluarga sebelah Pahang pula. Sebaik sampai sekitar 8 lebih, kami terus makan. Penuh perut dibuatnya. Hehe. Sekitar jam 11 malam, barulah saya dan suami bertolak pulang. Di pertengahan jalan, kami singgah tidur di R&R dan kemudian menyambung perjalanan. Sampai di rumah sekitar jam 2 pagi dan keesokannya, jam 7 pagi saya sudahpun berada di hospital. Penatnya hanya Allah yang tahu.

Dan pada 9 September lalu, itulah hari terakhir saya bertugas sebagai seorang HO. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tamat sudah zaman susah-payah hidup menjadi Pegawai Perubatan Latihan Siswazah. Terima kasih ya Allah kerana segalanya sungguh lancar buat saya. Jadi, pada 10 September lepas, barulah kami berpeluang pulang ke Putrajaya untuk beraya di sana pula. Di sana, barulah kami sempat menghadiri beberapa undangan rumah terbuka juga beberapa walimah kawan-kawan. ;-)

Iya. Beginilah raya kami. Raya di jalanan dan mengembara. Hehe. Kisah pengembaraan kami sebenarnya belum berakhir. Di sinilah sebenarnya bermulanya pengembaraan kami berdua yang lebih jauh dan bermakna.

Kembara apa yang kami tempuhi, nantikan entri seterusnya ya. 😉

Nota 1: Tahun ni tiada gambar raya sekeluarga. Tak sempat bertemu muka dengan kesemua ahli keluarga secara serentak.

Nota 2: Baby sangat behave dalam perut mama dia ni. Tak banyak kerenah sangat sepanjang mengembara ke sana-sini. Alhamdulillah.

Nota 3: Akhirnya, berat badan saya sudah naik selepas raya ni! Yeyeay~

Posted on September 25th, 2011 by Sarah  |  5 Comments »

Kisah Dua Bulan

Assalamualaikum wbt

Allahu Akbar. Sudah hampir dua bulan blog ni tidak dikemaskinikan. Bukan tidak teringat atau teringin untuk menulis. Sangat teringin sebenarnya. Tapi terlalu banyak yang terjadi dalam tempoh dua bulan ni. Komitmen kerja salah satu daripadanya. Ditambah pula dengan keadaan kesihatan saya yang tunggang terbalik. Memang menjadi penyekat keteringinan untuk menulis di sini.

Apapun, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakan pembaca, yang baru ataupun lama, mahupun yang tiba-tiba terjumpa blog ini disebabkan entri yang lepas. Terima kasih atas kiriman doa yang bagi saya sangat bermakna. Terima kasih juga untuk semua yang ada menghantar mesej secara peribadi kepada saya melalui blog ni. Tapi saya minta maaf yang tak terhingga sebab memang tak berkesempatan hendak membalas komen-komen untuk entri yang lalu. Begitu juga dengan mesej dan email yang dikirimkan kepada saya.

Setakat yang saya sedar, entri lepas telah menyebabkan blog saya diserbu ribuan pembaca baru setiap hari. Terima kasih sudi menyinggah di sini. Terkejut saya tengok jumlah ‘like’ untuk entri itu saja sudah mencecah lapan ribu lebih. Trafik blog ni pun mencanak naik dengan mendadaknya. Err… Memang terkejut. Walaupun saya tak sempat hendak membalas email-email dan mesej-mesej peribadi yang dihantar kepada saya, saya masih menyimpan kesemuanya di dalam inbox saya. Saya tak berani janji untuk membalasnya tapi insya Allah saya akan berikan keutamaan kepada adik-adik pelajar perubatan yang ada bertanya beberapa soalan penting berkaitan bidang pekerjaan. Itupun jika masa mengizinkan.

Sedikit perkembangan terkini. Alhamdulillah. Saya telah berjaya menamatkan posting kelima saya di Jabatan Pembedahan Am (Surgical). Saya suka posting Surgical. Walaupun sibuk yang teramat sangat dengan jadual oncall yang padat, menguruskan perkahwinan dan dilanda satu musibah besar sekitar awal April lalu, Alhamdulillah saya berjaya melaluinya dengan baik. Dan Alhamdulillah, kini saya sudahpun berada dalam posting terakhir saya sebagai seorang House Officer (HO). Kini saya di Jabatan Bius (Anesthesiology). Yeay~ Insya Allah. Lebih kurang dua bulan daripada sekarang, saya akan bertukar taraf menjadi seorang Medical Officer (MO). Wah. Macam tak percaya saja saya telahpun bekerja hampir dua tahun di sini. Dan iya, telah dua tahun juga saya meninggalkan bumi Moscow dan seluruh isinya. Ok. Sebak kejap. Rindu Moscow dan suami yang tak balik Temerloh lagi. T___T

Lompat ke cerita seterusnya. Sebenarnya, pada 5 April 2011 yang lalu, saya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya buat pertama kalinya dalam hidup saya. Wuuuuu~ Sedih bila terkenangkan kembali apa yang terjadi. Saya post-call pada ketika itu dan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Lumpur. Hujan turut dengan lebatnya pada senja itu. Ditakdirkan Allah, kereta saya terbabas sebelum tiba di Tol Karak.

Saya masih ingat semuanya. Memandu dengan kelajuan sekitar 70 km sejam saja pada waktu itu, kereta saya tidak dapat dikawal selepas melalui satu kawasan lopak air. Saya terbabas ke kiri, melanggar pembahagi jalan, kemudian berpusing ke kana, melanggar pembahagi jalan yang di tengah-tengah pula dan kemudian berhenti dengan sendiri di tengah-tengah hujan lebat itu. Yang saya ingat, ketika kereta saya mula berpusing dan melanggar pembahagi jalan yang pertama, saya terus menutup mata, membaca syahadah dan hanya membuka mata sebaik kereta telah berhenti berpusing.

Apabila kereta sudah berhenti, saya berkata dalam hati: Eh, saya hidup lagi ke? Itu yang terlintas di benak. Sebaik mata dibuka, saya lihat api sedang marak di bahagian enjin depan. Ah, sudah! Saya cuba membuka pintu kereta. Tidak dapat. Apa lagi, terus saya menendang pintu tersebut dan berlari keluar. Di luar, hujan masih sangat lebat tetapi kebetulan ketika itu tiada kereta lain yang datang menghentam saya. Tapi, dalam kelebatan hujan itulah saya lihat sebuah bas ekspress sedang meluru laju ke arah saya. Disebabkan saya sedar saya mungkin tidak dapat dilihat oleh pemandu itu dalam keadaan hujan lebat tersebut, saya pun melompat-lompat di tengah-tengah jalan itu untuk mengelakkan dilanggar. Bas tersebut kemudian terus meluncur ke kiri sedikit dari laluan asal untuk mengelakkan saya yang berada di laluan asal mereka.

Pada ketika itu juga, ada seorang anak muda yang menunggang motor menuju ke arah Kuantan berhenti di seberang sana jalan. Dia menjerit kepada saya menyuruh saya menjauhi kereta kerana api semakin marak naik di bahagian depan. Saya meyakinkan anak muda itu masih sempat untuk mengeluarkan beberapa barang penting daripada kereta terutamanya handphone, beg tangan dan beg kerja saya yang berisi pen drive yang terkandung di dalamnya slide presentation saya!

Anak muda itu meluru ke tempat duduk sebelah pemandu dan saya menyeluk-nyeluk bawah kerusi pemandu mencari handphone yang jatuh. Sebaik semua yang dikehendaki dikeluarkan dengan cepat, kami terus berlari ke tepi jalan. Dan pada masa itu, kenderaan pertama yang kebetulan lalu dan berhenti di situ ialah kereta bomba! Subhanallah! Kereta bomba itu dalam perjalanan menuju ke Bentong. Mereka memadamkan api dan pemandunya datang bertemu saya. Katanya: Oklah, cik. Tak meletup dah ni insya Allah. Kami gerak dulu. Lalu, mereka pun bergerak semula. Waktu itu, sebuah lagi kenderaan berhenti di bahu jalan. Sebuah Alphard milik sepasang suami isteri yang kelihatan seusia dengan emak ayah saya. Mereka membuka pintu kereta dan menyuruh saya masuk ke dalam dengan kereta untuk berteduh daripada hujan sementara beberapa orang yang lain mula berhenti untuk membantu lalu-lintas. Baik sungguh pasangan suami isteri itu…

Walaupun saya masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang terjadi, tapi saya masih dalam keadaan rasional dan terus menghubungi ayah dan suami saya untuk memaklumkan apa yang terjadi. Saya maklumkan kepada mereka dengan tenang, dengan harapan mereka tidak terkejut. Ayah dan emak terus bertolak dari Temerloh dan suami saya yang ketika itu berada di Genting Sempah menanti ketibaan saya, terus bertolak menuju ke arah Tol Karak, lokasi di mana kereta saya ditarik oleh kereta tunda yang dihubungi sebelum kami semua menuju ke Balai Polis.

Sepanjang menunggu ketibaan suami dan emak ayah, pasangan suami isteri yang menumpangkan saya dan membawa saya ke Tol Karak itu banyak membantu memberikan kata-kata semangat untuk saya. Secara zahirnya, memang saya tiada kecederaan tapi memang saya terketar-ketar kesejukan kerana basah kuyup dan masih gugup dengan apa yang terjadi. Sebaik suami saya sampai di situ, secara tiba-tiba saya berasa lemah. Saya menangis sewaktu dia memeluk saya. Waktu itu baru saya sedar, saya sangat memerlukannya pada ketika itu. T______T Sebaik emak dan ayah pula sampai, kami semua terus menuju ke Balai Polis Karak untuk membuat laporan polis. Kereta saya ditunda ke sebuah bengkel di Mentakab dan saya diberikan cuti kecemasan oleh ketua jabatan saya.

Dalam perjalanan balik ke Temerloh selepas selesai Solat Maghrib di Masjid Karak, saya terasa sakit tengkuk. Susah untuk digerakkan. Suami saya berkeras menyuruh saya ke hospital terlebih dahulu sebelum balik ke rumah. Nak dipendekkan cerita, rupa-rupanya saya patah tengkuk (cervical injury)! Huhu. Subluxation at left inferior facet joints at C3-C4, C6-C7 and possible crack at body of C7. Maka dengan itu, saya terpaksa memakai neck collar selama 6 minggu. Hihi. Tapi Alhamdulillah. Dalam masa 3 minggu saja, tengkuk saya sudah tidak sakit. Padahal saya bukannya compliant sangat pun memakai neck collar tu. :mrgreen:

Itulah yang terjadi. Kereta saya pun baru saja siap dibaiki pada 1 Julai baru-baru ini. Dalam tempoh 3 bulan itu, kebetulan keadaan kesihatan saya sangat tidak menentu. Kadang-kala, saya sampai tidak larat untuk memandu pun. Jadi, adik saya Adi yang sedang bercuti di rumahlah yang menghantar saya ke tempat kerja. Di hujung minggu pula, suami sayalah yang akan menghantar dan menjemput saya. Buat sementara waktu ini (saya agaklah untuk sementara waktu saja), suami saya tidak membenarkan saya memandu jauh. Nak balik Putrajaya pun, dia yang akan balik ke sini menjemput saya, membawa balik ke sana, kemudian menghantar saya balik ke sini semula. T_____T

Baiklah. Saya rasa cukup setakat ini dulu. Sekarang sudahpun pukul 10 malam. Saya akan masuk kerja pada pukul 11 malam hari ini. Oh ya. Dalam tempoh 2 bulan ini juga, Hospital Temerloh telah menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan sistem syif untuk para HO. Disaster rasanya hidup. Sebab apa? Sebab masa tidur jadi tak menentu bergantung kepada syif kerja, tidak boleh memohon cuti untuk tempoh yang lama dan yang lagi penting, disebabkan sudah tiada oncall untuk HO, jadi sudah tiadalah duit claim oncall bulanan. Nangis~

Nota 1: Insya Allah, saya akan kembali aktif menulis kerana saya sudah semakin sihat! 😉

Nota 2: Emak saya sudah bersara dengan rasminya pada 6 Julai 2011. Selamat beristirehat, emak. 😉

Nota 3: Ada banyak lagi nak kongsi sebenarnya. Tunggu entri akan datang pula ya. Wassalam.

Posted on July 8th, 2011 by Sarah  |  35 Comments »

Duit, Infaq Dan Nikah

Assalamualaikum wbt

Tiba-tiba saya teringat suatu insiden di kafe hospital lebih kurang sebulan lebih yang lalu. Ketika itu saya masih di Jabatan O&G. Saya masih lagi bersama Nisa, sepupu saya, di wad antenatal. Jika Nisa ada masa, dia yang akan turun membelikan makanan tengahari untuk saya. Sekiranya dia oncall dan saya pula yang berpeluang turun ke kafe, saya akan membelikan untuknya pula.

Jadi pada suatu hari itu, saya tidak oncall, Nisa oncall dan kami sama-sama kelaparan. Saya menawarkan diri untuk turun ke kafe membelikan makanan untuknya. Seperti biasa, rutin air kami adalah sama. Nescafe ais. Saya memilih sejenis lauk untuknya dan sejenis sayur. Begitu juga saya. Saya bajet, harganya sekitar RM7.50 saja. Tiada masalah tu. Insya Allah memang cukup duit yang saya ada dalam poket. Oh ya. Saya jenis yang tidak membawa dompet ke hospital. Maksud saya, saya tidak akan mengusung dompet di dalam beg mahupun poket sebab sudah serik dicuri orang tahun 2009 dulu. Jadi, saya lagi selesa membawa sejumlah wang yang secukupnya saja di dalam poket. Biasanya kalau saya bawa RM10 di dalam poket, saya boleh bertahan selama tiga hari.

Begitu juga kesnya dengan hari itu. Saya yakin pada hari sebelumnya itu, saya ada memasukkan RM10 ke dalam poket. Jadi sebaik saja sampai di kaunter, harga makanan yang saya beli ialah RM7.50. Saya menyeluk poket. Alamak! Yang ada hanyalah helaian duit seringgit dan beberapa keping duit syiling saja. Terkial-kial saya mengira helai demi helai duit yang ada. Dan jumlah yang saya dapat ialah RM7 sahaja. Sebenarnya orang kafe itu sudah kata tidak mengapalah jika saya tidak cukup duit dulu kerana saya agak rapat dengannya. Tapi saya segan untuk berhutang dengan pihak kafe. Tiba-tiba, orang seterusnya yang beratur di sebelah saya untuk membayar di kaunter itu menegur:

“Eh, Kak Sarah! Takpe. Nah guna duit saya dulu. Tak cukup 50 sen ye?”

Ooo. Rupa-rupanya, itu adalah junior saya ketika bersekolah di Al-Mukmin dulu. Najwa namanya. Kakaknya merupakan rakan sekelas saya sehingga tamat darjah 6 dan tiga tahun bersama-sama di Al-Khairiah. Najwa sedang menjalani latihan praktikal Dietitian di Hospital Temerloh.

“Alamak. Terima kasih banyak-banyak ye, Najwa. Tak sangka jumpa kamu kat kafe ni.”

Begitulah kisahnya. Kesimpulannya, doktor ni bukannya banyak duit pun. Huhu. Cuba tengok saya. Duit pun tak cukup nak bayar makanan di kafe. Cemas-cemas lagi nak kena berhutang dengan orang kafe. Insiden ni sebenarnya mengetuk hati saya seketika. Baru saya tersedar. Allah nak bagi peringatan pada saya, sudah membersihkan harta dengan berinfaq ke belum. Sama ada sedar atau tak, selain zakat, infaq juga merupakan cara kita membersihkan harta, hati dan nafsu kita. Dan yang paling jelas maksudnya, infaq ni dapat membantu meringankan beban saudara seagama kita. Inilah salah satu sumbangan kita di jalan dakwah.

Sebelum berpisah dengan Najwa, dia bertanya:

“Eh, Kak Sarah dah nak kawin ye?”

Saya tersenyum padanya.

“Insya Allah. Jemput datang bulan tiga nanti ye.”

Iya. Insya Allah, saya akan mendirikan rumah tangga kurang sebulan dari sekarang. Kita cerita-cerita di lain entri ya. Mohon didoakan semuanya berjalan lancar ya =)

Nota: Asyik stress je saya di Surgical ni. Oncall selang sehari. Habis hilang seri muka. :mrgreen:

Posted on February 15th, 2011 by Sarah  |  37 Comments »

Kehidupan

Assalamualaikum wbt

1. Selamat pengantin baru buat senior di Al-Mukmin dulu, Kak Tikah dan suami. Juga buat bekas rakan sekelas dan sebilik dengan saya di KISAS yang turut bersama-sama ke Russia dulu, Dyana Nizar dan suami. Dan buat adik sebilik dengan saya di Moscow dulu, Emy dan Firdaus. Barakallahulakum! Semoga perkahwinan kalian menjadi pelengkap agama dan semakin memantapkan lagi diri dan iman masing-masing. 🙂

2. Sejak berada di Jabatan Pembedahan Am ni, kadang-kadang rasa tertekan tu macam tak terkawal. Sampai ada rasa nak menangis. Tapi memang kena bersabar banyak-banyak. Hidup memang tak terurus. Dalam seminggu yang ada tujuh hari tu, saya oncall selang sehari sebanyak empat kali. Tarikh pun saya dah tertukar-tukar. Badan dan otak tak bergerak seiring lagi sebab terlalu penat. Sampai saja rumah bila post call, selesai saja isyak saya mesti sudah tidur. Tapi tekanan tu bukan setakat datang daripada beban kerja yang menimbun. Tapi dari segi layanan kita sebagai manusia. Hmm. Nanti saya kupas dalam entri seterusnya kalau ada masa.

3. Pagi tadi saya menghantar seorang pesakit yang ventilated pulang ke rumahnya untuk di extubate di rumahnya. Pesakit ini sudahpun diisytiharkan brain death. Ahli keluarga ingin membawanya pulang untuk melihat arwah menghembuskan nafas terakhir di rumah. Ketika melihat seorang demi seorang ahli keluarga datang mencium dahi dan pipi arwah, saya yang sedang membuat manual bagging di sisi kepala arwah terasa sangat sebak. Terkebil-kebil mata saya pada waktu itu. Dan selepas semua anak dan ahli keluarga terdekat selesai mencium dahi dan membisikkan syahadah kepada arwah, saya pun melepaskan tiub oksigen daripada tekaknya dan memberhentikan segala jenis infusion pump yang terpasang di badannya. Setengah jam selepas itu, pesakit itu pun meninggal dunia. Saya meninggalkan rumah pesakit itu dengan seribu satu perasaan. Yang paling jelas saya pelajari, mati itu adalah pasti.

Nota: Err… Makin serba tak kena je rasa sekarang ni. ;-)

Posted on February 8th, 2011 by Sarah  |  6 Comments »