Menjadi Penakut

Assalamualaikum wbt

Selepas Isyak tadi, kami sekeluarga duduk berehat-rehat di meja makan sambil minum kopi. Pada mulanya hanya emak dan ayah yang duduk berbual. Saya datang ke dapur dengan muncung panjang. Saya bercerita kepada mereka bahawa dua orang kawan saya sudahpun mendapat tempat posting mereka. Sekarang ini pun mereka sedang mengikuti kursus induksi sebelum mula berkhidmat minggu hadapan.

Menurut kawan-kawan saya ini, mereka mendapat pilihan pertama masing-masing. Seorang di Kuala Lumpur, seorang lagi di Penang. Saya memberitahu emak dan ayah, kalau saya dapat di Temerloh, takutnya saya hendak balik malam-malam. Saya takut hendak keluar dari kereta untuk membuka pagar di bawah bukit. Saya takut kena serang di situ. Takut ditegur oleh sesuatu pun iya juga. Ya. Saya memang penakut orangnya.

Tambahan pula, kalau balik di tengah-tengah malam, bila sudah dibuka pagar yang di bawah bukit itu, bila sudah naik, nanti terpaksa turun dengan berjalan kaki sedikit untuk menutup semula pagar. Kalau mengikut cadangan emak suatu ketika dulu, nanti hendak dipasangkan alat kawalan jauh saja. Biar selamat. Tak perlu keluar dari kereta di waktu malam. Tapi tadi ayah menyuarakan pendapatnya.

Kata ayah, nanti ayah akan buatkan pagar masuk baru menggunakan laluan jalan ke rumah belakang (jiran). Jalan masuk ke rumah belakang itu melalui kebun buah di tanah sebelah rumah kami. Jadi, pagar itu akan membolehkan kereta terus masuk ke halaman belakang rumah kami atau Tok. Begitulah cadangan ayah. Oh. Saya sangat bersetuju dengan cadangan itu. Setidak-tidaknya, bila saya keluar hendak membuka pagar, saya sudah boleh melihat rumah dari jarak yang dekat. Tidak perlu takut-takut hendak membuka dan menutup pagar lagi. Begitulah angannya.

Seketika kemudian, adik-adik saya yang bertiga itu datang menempek di meja makan juga. Mereka hendak mendengar apa yang sedang kami bertiga bincangkan. Tiba-tiba, ayah makin rancak bercerita. Mungkin sengaja hendak melihat apa reaksi kami empat beradik.

“Ayah pulak, kalau balik malam-malam, berhenti kat bawah nak bukak pagar je, ada ditegur macam ni: Baru balik, Kor? Tengok-tengok Ayah We Sat.”

Meremang bulu roma saya. “Ayaaaaaah… Kenapa cerita macam ni!”, saya menjerit sebab sudah mula terbayangkan segalanya. “Aaaaaa… Kenapa boleh ada macam tu pulak. Ni yang lagi takut ni.”

Ayah We Sat yang dimaksudkan oleh ayah saya ialah arwah datuk saudara saya, Aki We Sat. Rumahnya terletak di tanah sebelah rumah Tok, dipisahkan oleh pagar dan kebun buah. Sudah lama arwah meninggal dunia. Itu sebabnya saya geram bila ayah saya membuka cerita itu dengan tiba-tiba tadi. Kemudian ayah menambah lagi.

“Laa… Macam tu la dulu-dulu. Petang-petang ayah balik kerja, macam tu la dia tegur ayah. Jadi ni dah balik malam, dia tegur malam-malam pulak. Siap berkumpul ramai-ramai macam dulu-dulu. Ada arwah Tok Abah dengan Ayah Chu Mat Ali. Duduk la berborak kat perhentian bas bawah bukit tu.”

“Aaaaaaaaaaa… Apa ayah cerita time macam ni nih… Aaaaaaaa…”, siapa lagi yang menjerit. Mestilah saya. Hahaha. Manalah saya tak menjerit geram dengan ayah. Sengaja sungguh dia nak cerita semua ni di waktu malam-malam begini. Sudahlah tu, dibuatnya saya betul-betul kena balik waktu malam nanti, memang semua ini amat mencuakkan saya. Adik-adik saya semuanya sudah diam dan nampak cuak. Semuanya tahu, nama-nama yang disebutkan itu sudah lama meninggalkan dunia ini.

“Laaa. Ayah tak habis cakap lagi. Ni semua ayah terbayang je. Ayah rasa, kalau-kalau la ada yang nak tegur ayah, macam nilah kot keadaannya. Duduk ramai-ramai bersidang, lepas tu tegur “Baru balik, Kor?” pada ayah. Hahahhaa.” Ayah tergelak besar. Macam apa sajalah ayah ni! Habis kami semua tergelak besar. Tapi, bagi saya yang memang penakut ini, saya seram mendengar lawak tak best ayah tu. Kemudian ayah menyambung ceritanya lagi.

“Pernah suatu hari dulu, ayah pergi rumah ke rumah Ayah Aji Sudin.” Saya berdebar semula. Aki Aji Sudin ini pun sudah arwah. Saya memang dah bersiap sedia hendak ketuk-ketuk tangan ayah. Kemudian ayah menyambung, “Sampai kat rumah dia, ayah tanya Ayah Aji ke mana, isteri dia jawab “Kair”. Ayah pun patah balik rumah semulalah. Entah kat mana Kair tu. Kot jauh, jenuh pulak nak tunggu Ayah Aji balik. Sekali bila ayah sampai rumah, Tok tanya ayah jumpa tak Ayah Aji. Ayah jawab dia Kair. Tok tanya semula kenapa ayah tak tunggu je di rumahnya. Ayah jawab, ingatkan jauh tempat tu. Tok tergelak. Rupa-rupanya Kair yang ayah faham tu sebenarnya ialah ‘ke air’! Loghat sinilah tu. Ke sungai! Ayah patah balik pergi rumah dia. Tengok dia elok je baru naik dari sungai. Tuala bersidai lagi atas bahu.”

Maka gamatlah kami berlima tergelak mendengar cerita ayah. Maklum sajalah. Ayah ni orang Temerloh celup. Dulu-dulu manalah dia cekap sangat dengan loghat-loghat tempatan ni. Selepas selesai semua tergelak, ayah menyambung cerita. Saya berdebar semula. Mungkin kali ini baru sampai ke babak seramnya.

“Ayah Aji ada cerita. Dulu dia dengan arwah Ustaz Osman, ayah mufti Rahman ni, jalan kaki sampai ke jalan keretapi belakang sana nun. Malam waktu tu.”

Saya sudah mula terasa seram kembali. Hari tu ketika di Penang, ayah baru saja bercerita tentang gajah jadian di laluan keretapi menuju ke Perak. Bukit Berapit atau apa entah nama tempat itu. Saya mula membayangkan arah tuju cerita hampir sama saja.

“Bila sudah tengah malam kat kawasan jalan keretapi tu, tiba-tiba arwah Ustaz Osman ni menggeletar. Dia pegangnya bahu Ayah Aji. Waktu Ayah Aji cerita semula ni, Ayah Aji kata macam ni: Tu mufti tu yang takut-takut tu. Kita yang lagi kurang beriman ni macam mana?”

Fuh. Tujuan ayah saya bercerita panjang meleret sampai ke hujung dunia ni sebenarnya dia hendak mengingatkan kami semua supaya janganlah takut akan hantu syaitan semua ni. Selagi kita masih ada rasa takut pada benda lain, iman kita masih belum kuat. Kita kena perbetulkan semula. Kaji semula siapa yang kita imani. Siapa yang kita takuti. Itulah dia pengajaran yang hendak ayah bicarakan.

Jadi kawan-kawan, mari kita kaji semula diri. Perbetulkan semula konsep takut kita kalau ada lagi yang tahap penakut macam saya ni. Hehe. Saya tahu memang ada. Cuma tak nak mengaku terang-teranganya saja. Bila dalam gelap, terbayang macam-macam, terus istighfar macam apa aja. Langsir dalam bilik bergoyang ada bunyi sikit-sikit pun dah cuak. Ternampak kelibat tepi pintu dapur pun dah berpeluh dahi ketiak. Mari kita menjadi penakut hanya pada Yang Satu. Hanya Allah. Dan Allah itu tidak boleh disekutukan.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Katakanlah (Muhammad), “Dia Allah yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya.” (112:1-4)

Nota 1: Selamat hari lahir untuk Yasir Tamizi. Berkat selamat dalam segalanya untuk awak ya. Semoga umur dirahmati, rezeki dilipatgandakan, jodoh ditemukan, urusan dipermudahkan. 😉

Nota 2: Handphone saya mula menunjukkan gejala kerosakan. Kasihanilah saya. Saya masih berstatuskan seorang penganggur tercomel terhormat. :|

Posted on August 11th, 2009 by Sarah  |  23 Comments »

Balik Kampung

Assalamualaikum wbt

Petang Jumaat yang lepas, saya pulang ke Penang bersama emak, ayah dan dua orang adik. Sebenarnya, sejak saya sampai hampir sebulan yang lalu, ini kali pertama saya balik ke kampung untuk bertemu keluarga di sana. Sebetulnya, pada hari Sabtu lalu, seorang sepupu saya melangsungkan perkahwinan. Itu yang digagahkan juga pulang walaupun terapit dengan macam-macam hal lain.

Sekitar pukul 11 pagi Sabtu itu, kami bertolak ke rumah Tok Nab di Penaga, berkumpul dengan saudara-saudara yang lain dan kemudian baru bertolak ke dewan tempat majlis berlangsung. Dewan itu tidak jauh dari rumah Tok. Sepupu yang berkahwin ini ialah anak kepada adik ayah saya, Makcik Zakiah. Kesemua adik beradik ayah berkumpul di situ pada hari itu. Sebetulnya ada ramai sepupu-sepupu sebelah Penang yang masih belum pernah saya jumpa atau kenal rapat. Tapi di majlis itu, saya berkesempatan mengenali mereka semua. Sepupu-sepupu yang sudah lama terpisah, sepupu-sepupu yang sudah lama tidak saya jumpa.

Kerja saya pada hari itu ialah menguruskan meja makan pengantin dan mengosongkan meja makan tetamu yang sudah beredar. Pada mulanya itu sajalah kerjanya. Lagipun saya ni ikut saja apa yang Mak Lang saya dan kakak-kakak saudara saya suruh buat. Sekali, bila pengantin lelaki tiba, saya telah disuruh menjadi pengacara majlis pula. Alamak! Saya memang menolak habis-habisan. Alasan saya: Sat lagi oghang pelik. Sarah cakap tak bunyi utagha sangat. Malu la sat lagi. Tapi Mak Lang, Paksu dan Kak Rini saya cakap: Hang bedai ja. Hahahaha. Maka, tak semena-mena, budak comot ini telah menjadi pengacara majlis perkahwinan sepupunya yang comel lotey itu. Eh, ini sungguh betul. Sepupu saya yang kahwin tu sangat cantik orangnya!

Apa-apapun, tahniah saya ucapkan buat sepupu saya, Nurul Hidayah Arifin dan pasangannya Muhammad. Kak Sarah doakan awak berdua bahagia selamanya dan dalam redha Allah sampai ke syurga ya. Hidup dalam rukun harmoni ok.

Dan bila dah berada dalam kenduri kahwin begini, soalan yang tak lekang dari mulut emak-emak saudara ialah: Hang bila lagi? Takkan takdak calon kot. Jawapan saya senang saja: Tu Kaklong tak lepas lagi tu. Hahaha. Padahal Kaklong nun jauh di Sarawak. Sesedap hati saja saya jual nama Kaklong. Tapi alasan yang paling kerap saya guna dan bagi saya jauh lebih realistik dan logik ialah: Laa… Sarah baru habis mengaji ja ni. Kasi chance la nak gheja, nak pegang duit sendiri dulu. Haa… Kan lagi harmoni sikit jawapan macam ni. Tapi bila difikir-fikirkan, memang level yang atas-atas semuanya sudah berkahwin. Kak Nija dah ada tiga orang anak. Kak Linda pun sama. Kak Rini pun dah ada anak. Along Hafiz pun baru saja dapat anak bulan lepas. Sekarang tinggal Jijan, Kaklong, Maya, saya dan Nan yang berada dalam kategori umur yang seterusnya. Habislah semua pun mesti asyik menujah ke arah kami saja. Tukar soalan lain boleh tak? Tak rocklah asyik tanya pasal kahwin aje. Kalau ada jodoh, sampai masanya semua orang pun kahwin. Ye dak?

Eh, mesti kamu semua nak tengok gambar kan? Hahaha. Ni satu lagi halnya. Saya tertinggal beg kamera saya di Pahang. Bengang sungguh saya dengan si Azizi dan Aiman yang pada mulanya berebut-berebut mahu mengangkat beg sandang kamera untuk dimasukkan ke dalam kereta. Sudahnya, tiada siapapun di antara mereka yang mengangkatnya. Jadi, tiadalah gambar walau sekepingpun di majlis itu. Nantilah saya minta anak saudara saya kirimkan gambarnya. Atau mungkin tag-tag di Facebook saja. Lagi mudah. Kalau saya rajin, nanti saya tulis entri baru untuk letak gambar di sekitar majlis saja. Hehe.

Sebaik saja pengantin beredar ke meja makan beradap, saya terus cabut lari dari majlis. Waktu itu sudah hampir pukul 3 petang. Saya mahu ke Butterworth pula. Ayah yang menghantar saya ke sana. Seorang kawan yang sama belajar di Moscow dulu melangsungkan perkahwinan pada hari yang sama. Tahniah diucapkan buat Norhidayah Mohd Suhimi dan Abd. Mustaqim Abd. Isham. Akhirnya bersatu juga awak berdua ya.

dyh-mus

Elok saja saya sampai di dewan itu, sesi fotografi bersama kawan-kawan baru hendak bermula. Kebetulan, memang agak ramai batch saya yang menghadiri majlis Hidayah dan Mustaqim. Terus saya bertemu pengantin, bergambar sikit-sikit dan kemudian terus balik. Ayah sedang menunggu di luar. Ada saudara sedang menunggu di rumah Tok Yam. Kena balik awal.

Jadi malam itu memang terdampar kepenatanlah saya. Tapi, hari Sabtu itu memang rekod sungguh. Dari pagi sampailah ke tengah malam saya tidak berhenti makan. Segala macam benda saya sumbat. Subhanallah. Saya ni berperut empat seperti lembukah? Ya Rabbi… Tu pun nasib baik tak sempat pekena Mee Udang Kepala Batas! Hohohoho liao!

Dan selamat hari lahir untuk Kaklong (9 Ogos) dan adik saya Adi (10 Ogos). Kami semua di sini mendoakan yang terbaik untuk awak berdua. Tak sabar tunggu awak berdua balik!

Nota 1: Tapi saya tak sempat jamah makanan pun di kedua-dua kenduri. Sibuk buat kerja.

Nota 2: Saya bertemu semula dengan sepupu saya, Haniff, anak Mak Lang Zaitun dan Pak Lang Zaid. Kali terakhir bertemu Haniff ketika itu dia berada dalam tingkatan 4. Itu kira-kira 6 tahun lalu. Selama ini kami hanya berhubung melalui internet saja. Mak aih. Kacak sungguh dia sekarang. Kan Anip kan. Segan akak dibuatnya. Hehe. :mrgreen:

Nota 3: Ehem. Budak silat itu sungguh kacak dan hebat. Suka suka. Abang janggut sejemput bertali pinggang kuning. 😆 😆 😆

Nota 4: Balik kampung raya nanti, saya nak buktikan saya sudah kurus semula ok. :evil:

Posted on August 10th, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Surat Untuk Emak

Assalamualaikum wbt

Buat emak yang Bunga sayangi,

Emak sihat? Bunga doakan, emak sihat-sihat saja di samping ahli keluarga yang lainnya. Apalah yang emak sedang buat di rumah tu ya? Bunga sedang terbayang-bayang wajah emak sedang melipat pakaian di depan TV.

Seingat Bunga, ini kali keempat Bunga menulis surat untuk emak. Kali pertama dan kedua dulu dalam bentuk kad. Kali ketiga pula dalam bentuk entri di blog lama Bunga. Untuk kali ini, sengaja Bunga memilih untuk menulis surat di blog lagi. Emak Bunga ni kan canggih. Hari-hari memantau aktiviti anak-anak di blog. Habislah Bunga kalau emak tahu banyak rahsia Bunga.

Emak, maaf sangat Bunga pinta. Sudah beberapa hari Bunga tidak menelefon emak dan ayah. Emak pun tahu kenapa, kan. Lagi dua hari, Bunga akan menduduki peperiksaan yang terakhir sekali untuk pengajian Bunga di sini. Terima kasih sebab emak rajin hantar mesej pagi-pagi untuk mengejut Bunga bangun tidur tepat pukul 4 pagi waktu sini. Agaknya, mesti emak sedang menyediakan sarapan untuk adik-adik waktu itu, kan.

Emak, Bunga hendak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir untuk emak. Bunga doakan emak sihat tubuh badan dan tetap ceria melayan kerenah kami adik beradik yang bermacam-macam ragam ini. Bunga dah tak sabar hendak balik Malaysia. Bunga hendak duduk dekat dengan emak, dengan ayah. Bunga dah jenuh hidup berjauhan dengan emak dan ayah sejak zaman remaja. Bunga hendak jaga emak dan ayah pula. Bunga berdoa semoga Allah memanjangkan umur emak dan merahmati hidup emak di dunia dan akhirat.

Kalaulah emak tahu apa Bunga rasa sekarang ni, mesti emak tergelak. Bunga dah tak sabar hendak makan Mi Basah stail emak. Juga Kari Portugis emak yang istimewa itu. Nanti Bunga balik, kita makan besar ya. Kalau yang lain dah jemu pun, tak apa. Bunga boleh habiskan! Betul ni. Bunga rindukan masakan emak yang sedap-sedap belaka tu.

Emak tunggu Bunga balik ya. Selamat Hari Lahir untuk Emak. Bunga sayang emak!

Bunga Sarah

Nota 1: Lagu Fly Me To The Moon ini untuk emak! Tapi bukan versi Frank Sinatra la. Disebabkan Ngah minat sangat Jason Mraz, kali ni emak dengar yang Jason Mraz nyanyilah ye. Hihik. 😉

Nota 2: Ini entri autopost.

Posted on June 9th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Hari Untuk Ayah

Assalamualaikum wbt

“He rushed me to doctor
When I was sick
He gave me watercolor
When I was six
He cheered my sport
When I was twelve
He supported my debate
When I was a teen
He said yes
When I said I’m flying
And he prays a lot
For my best doing”

Dulu waktu tadika, ayah saya yang menghantar saya dengan motor Yamaha merah besarnya. Seronok sungguh waktu itu dapat naik motor dengan ayah setiap hari. Waktu sudah berpindah ke tadika berhampiran rumah, ayahlah yang menemankan saya ketika saya meraung tak ingat dunia di muka pintu tadika itu. Buat malu muka emak ayah betul budak ni.

Waktu sekolah rendah, bila ayah ada kelapangan petang-petang, ayah akan bawa kami ronda kebun getah menaiki motor. Ayah tunjuk jalan-jalan kampung yang kami tak pernah sampai. Redah kawasan Kampung Baru. Tengok anak sungai dalam hutan di kawasan menuju ke Kelab Golf Di Raja dekat dengan rumah tu.

Waktu sekolah menengah, ini zaman pemberontakan. Entah sawan mana menghasut, masing-masing hendak ikut kepala sendiri. Degil betul saya waktu itu. Tingkatan dua rasanya waktu tu. Padan muka kena marah dek ayah. Nasib baik ayah sangat penyabar. Tapi ayahlah pemberi semangat nombor satu untuk saya sebagai pembahas sekolah. Ketika saya di KISAS, kalau saya tidak dapat pulang ke rumah di hujung bulan kerana terikat dengan latihan dan pertandingan, emak dan ayah yang akan datang melawat saya. Bila ada pertandingan peringkat akhir di mana-mana, mereka akan datang juga. Yang paling saya ingat, ketika pasukan bahas kami hendak ke Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (HKSBP) di SMS Dungun, ayah saya dan bapa kepada dua orang lagi rakan sepasukan menyumbangkan duit untuk pasukan kami. Oh. Terima kasih yang tak terhingga, ayah.

“I tell him everything
To share my feeling
I keep away worry
So he will be happy
I sketch my dreams
He said just follow your stream
I say him thank you
He laughs and grins too”

Waktu habis SPM, kalau tak kerana ayah, saya takkan masuk ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) (saya sempat matrikulasi selama dua bulan di sana). Dulu saya keras kepala tak mahu isi borang matriks. Hahaha. Akhirnya saya buat perjanjian dengan ayah. Saya kalah dalam perjanjian itu. Maka tercampaklah saya di UM. Dan saya bersyukur kerana sempat berada di UM.

Waktu di sini, suka duka semuanya saya kongsi dengan emak dan ayah. Saya lemah semangat, ayahlah yang beri nasihat. Saya murung, ayahlah yang buatkan lawak. Ayah memang sangat cool. Ayah sentiasa positif ketika saya berhadapan dengan masalah. Satu sifat ayah yang saya suka ialah sentiasa tahu untuk membuat kami ketawa walaupun 1001 masalah sedang melanda. Nasihat ayah memang penenang jiwa.

I told him that he is handsome
He replied he knows that he is warm
I asked why he now has belly
He said because he now is happy
I pointed to his gray hair
He smiled and said I’ll leave you one day”

Atas segala jasa dan pengorbanan ayah, walau janggut ayah dah beruban banyak, walau ayah tak sekacak dulu, walau ayah dah semakin tua, walau ayah dah ada lupa banyak cerita-cerita lama, Ngah tetap sayang ayah banyak sangat! Semoga Allah merahmati ayah selamanya. Selamat hari lahir yang ke-49 daripada kami semua.

“He is my hero
He is my life
I love him so
Very-very much”

Saya hanya ada seorang ayah. Dan ayah saya bernama Mohd Shukor Hj. Mahamud.

ayah

Nota 1: Sedang menulis entri ni untuk didrafkan, ayah menelefon dari Malaysia. Oh. Sweet. Sweet. p/s: Ayah memang beruban di janggut tapi tidak di rambut. Silalah cemburu pakcik-pakcik sekelian. Hehehehe. :mrgreen:

Nota 2: Saya bersifat serius di sini. Ada tak pembaca blog ini yang bernama Hafizan?

Posted on May 14th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Selamat Hari Lahir Wanie

wanie

Pada pagi-pagi yang menyinsing
pada malam-malam yang hening
adalah kau matahari
adalah kau bulan bersemi
juga seluruh detik masa
antara keduanya.

Aku takkan mampu
membawa satu tamsilan.
Atau menggubah sesuatu
untuk kubuat bandingan.
Kalau itulah kejayaanku
maka itulah kejahilanku
kerana mencipta kau yang kedua
tak tertanding pada kau yang sedia.

Kerana kau lembut budi, sopan diri,
senyum manis, luhur terpuji.
Kerana kau berani berdiri, teguh sendiri,
diam bernyawa, riuh berjiwa.
Kerana kau keharumanku yang indah
kerana kau sahabat yang setia.

Assalamualaikum wbt

Saya tak perlu menghurai panjang. Sajak ini menceritakan segalanya. Betapa ‘kau’ itu istimewa orangnya. Mustahil ada taranya. Hanya satu dalam dunia. Selamat hari lahir yang ke-22 buat Wanie. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan segala yang terbaik buat kamu.

KS selalu berangan, kalaulah KS sebaya kamu, mesti lebih seronok meniti hari-hari di sini bersama-sama. Kita boleh ke kelas bersama, berpasangan dalam pingpong untuk tempoh yang lebih lama, berkongsi nota, berbincang isu semasa, bermuzakarah agama dan yang paling berharga mencari erti hidup bersama-sama. Mesti ada hikmahnya kenapa Allah temukan kita dengan dua tahun beza. Supaya kita lebih menghargai setiap detik yang ada dan supaya kita lebih sayang sesama kita. 🙂

Selamat hari lahir Wanie!

Nota: Selamat datang kepada yang baru menemui blog ini. Sepuluh jari disusun sekali lagi. (Masih kena ucap ni selagi penemuan tak sudah-sudah ni masih terjadi) 😀

Posted on January 26th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »