Momenti Radosti

Assalamualaikum wbt

Sebenarnya hati saya bercampur-baur ketika menulis entri ini. Pertamanya, kerana jam di saat ini menunjukkan jam 2.03 pagi. Saya tahu saya sudah terlambat untuk satu detik yang bermakna tapi saya tidak sengaja terlepas akan detik itu kerana memberi peluang perkara lain yang saya rasa lebih utama berlaku dahulu. Hari ini 12 Jun. Tarikh penting buat seseorang yang telah lama saya kenal. Maka saya sengaja biarkan detik 12 malam tadi sepi dari sebarang khabar dan ucapan daripada saya kerana saya hendak memberi peluang dia bersama rakan-rakannya buat kali terakhirnya di Moscow ini.

Dialah Khairil Idham Ismail. Seorang senior yang telah saya kenali sejak di bangku sekolah ketika di Klang. Seorang yang saya anggap Abang terbaik yang pernah saya kenali. Seorang yang juga saya anggap sebagai sahabat terbaik yang saya punya di sini. Yang juga mejadi tempat rujukan saya dalam pelbagai masalah. Yang menjadi sifu saya dalam pelbagai bidang. Baik agama, penulisan dan juga fotografi.

Saya rasa sudah ramai daripada rakan-rakan pembaca mengenali Abang Khairil. Saya pernah menulis tentangnya dulu. Tahun ini tahun akhir Abang Khairil di sini. Dia akan bergaduasi pada bulan Julai ini. Akhirnya penantian 6 tahun di sini akan berakhir sudah untuk dirinya. Akan kembali ke tanah air bergelar seorang doktor muda.

Abang Khairil, kalau tahun-tahun sebelum ini saya menjadi orang pertama yang menghubungi Abang Khairil tepat jam 12, maafkan saya kerana kali ini saya tertinggal entah menjadi yang keberapa. Saya sebak sebenarnya. Abang Khairil sudahpun akan tamat di sini. Memang saya terlalu sebak. Jadi di sini, saya hendak kongsikan beberapa kenangan masa gembira yang pernah kita lalu sepanjang 5 tahun sempat bersama di sini.

2003/04
-Kita kembali bertegur sapa setelah hampir 2 tahun perang dingin disebabkan insiden ketika dalam pasukan bahas dulu. Sejak itu, saya sangat hormati Abang Khairil kerana saya silap dengan prasangka yang saya ada dulu-dulu. Ketika saya demam, Abang Khairil titipkan ubat pada Eza. Malu pula saya teringatkan dulu-dulu betapa saya pernah ‘geram sangat’ pada ‘Abang Senget’ ini. Banyak yang telah Abang Khairil tolong saya ketika di tahun pertama di sini. Tanggal 12 jun 2004, sebelum saya pulang bercuti ke Malaysia dan sempena kita selesai final exam dan juga hari lahir Abang Khairil pada hari itu, kita menjadi kanak-kanak riang di Gorky Park. Saya masih ingat setiap permainan yang kita cuba hari itu. Gembira sungguh! Dulu, kita masih ‘kanak-kanak’. Sekarang bila teringat semula, lucu pun ada juga, kan. Tapi sayangnya, gambar kita di sana tiada dalam simpanan saya di sini. Saya kira, semuanya ada disimpan di rumah. Tidak dapat pula saya sorot kembali detik itu.

2004/05
-Tidak banyak yang berlaku di tahun itu. Abang Khairil sibuk sebagai pelajar tahun 3. Kita pun hanya banyak terserempak di Kedutaan apabila ada majlis-majlis rasmi di sana. Saya kira, memori kita untuk tahun itu agak terhad. Melainkan, kita pada tahun itu sama-sama punya masalah besar yang sama. Meraunglah kita dua beradik bersama. Hanya Abang Khairil yang memahami situasi saya pada waktu itu. Dan tanpa saya sedari sebenarnya Abang Khairil sendiri sudah mula berhadapan dengan situasi yang makin meruncing.

2005/06
-Saya tumpang sedih dengan setiap yang terjadi. Pada tahun ini, terlalu banyak yang terjadi baik pada saya mahupun Abang Khairil sendiri. Di saat saya ada masalah rumah, masalah itu ini dan macam-macam lagi, Abang Khairil lah tempat rujukan untuk berbincang. Abang Khairil lah yang faham segala-galanya. Dan saya sebenarnya masih rasa terhutang budi dengan segala pertolongan dan semangat yang Abang Khairil berikan. Tahun itu juga kita mula bergabung tenaga menggerakkan PPIM di universiti masing-masing. Banyak tunjuk-ajar yang saya dapat sepanjang bekerjasama bersama Abang Khairil dan mantan AJK PPIM yang lain. Gambar ini ketika kita sama-sama ber-ice skating bersama Faiz Khaleed, Faiz Pilot dan VJ. Saya ‘roger’ Abang Khairil pada hari itu kerana saya tahu Abang Khairil pasti gembira dapat turut serta. Memang hari itu dipenuhi kegembiraan hingga ke malam, kan.

2006/07
-Abang Khairil sudahpun di tahun 5 pengajian. Semakin sibuk. Saya pula baru mencecah ke tahun klinikal. Dua-dua sibuk. Tapi dalam pada sibuk itulah, ‘kretiviti’ kita menjadi-jadi. Abang Khairil dengan fotografinya. Saya dengan penulisannya. Ada-ada sajalah yang kita lakukan sepanjang tahun itu, kan. Dan jika dulu saya yang banyak menyusahkan Abang Khairil dengan masalah peribadi saya, pada tahun itu, saya simpati pula dengan setiap apa yang terjadi pada Abang Khairil. Kita masing-masing cuba mengalih arah kesedihan yang terjadi dengan menyibukkan diri dengan beraktiviti. PPIM semakin aktif pada tahun itu. Dan saya pula selalu saja mendapat khidmat nasihat dalam penulisan saya daripada Abang Khairil mahupun arwah ayah Abang Khairil yang selalu memberikan motivasi buat saya (Al-Fatihah buat arwah ISBIHA). Gambar ini kenangan kita sewaktu pulang dari Pulau Tioman selepas selesai SUNATON di Endau-Mersing-Tioman dulu. Oh ya. Saya masih ingat ya saya dipaksa rela mendeklamasikan sajak ketika di Mersing. Ada ubi ada batas, ada hari saya mesti akan balas =) Kalau dibangding-bezakan gambar ini dan yang sebelumnya, bagi saya, sangat ketara air muka ‘kanak-kanak’ dan ‘kedewasaan’ kita, kan. Dan terima kasih juga kerana sepanjang cuti tahun lepas, saya sentiasa ada kawan untuk berborak atau apa saja walaupun kita terpaksa membayar bil telefon yang tinggi. Siap menyusun atur untuk ‘berjanji temu’ dengan ‘orang di Kuantan’. Huhu. Lucu pula saya kenangkan. Semuanya sudah jadi kenangan kini =)

2007/08
– Ini tahun akhir Abang Khairil di sini. Dan tahun ini juga kita sangat sibuk dengan hal masing-masing. Tapi bila ada kelapangan, kita pasti akan berhubung bertanya khabar. Sungguhpun bukan setiap hari berhubung terus, tapi saya sentiasa mengikuti perkembangan Abang Khairil di blog Abang Khairil. Ada satu masa, kita sepi seketika. Masing-masing bagaikan terkejar-kejar dengan kesibukan dunia masing-masing. Sehinggakan untuk online bersama bagi membincangkan mutu penulisan masing-masing pun, terpaksa menyusun satu janji temu yang khas. Itu kerja sayalah tu. Mengada sungguh. Tapi memang maaf sangat. Kebetulan tidak ada kredit pada hari tu, terpaksalah saya guna email saja. Mesti Abang Khairil gelak dengan apa saya repekkan waktu itu, kan. Terima kasih sebab sentiasa menjadi yang teramat mengambil berat tentang kesihatan saya. Kadang-kala, bila Abang Khairil ingatkan saya tentang itu ini pasal kesihatan, saya rasa macam saya ini budak kecil saja. Gambar ini adalah satu-satunya gambar raya yang kita pernah ada di sini. Sudah 5 tahun, barulah ada kenangan ya. Ini pun gambar paksa. Seorang ‘muka clown‘ dan seorang lagi ‘ muka euphoria‘. Terima kasih berkunjung ke rumah saya pada raya yang lepas. Saya kira, itulah satu-satunya raya yang sempat Abang Khairil berkunjung ke sini, kan.

Abang Khairil, saya memang tidak banyak gambar kenangan sepanjang 5 tahun kita di sini. Tapi setiap apa yang terjadi saya simpan kemas dalam susunan memori. Saya memang tiada sahabat terbaik lain melainkan Abang Khairil. Yang saya hormati lebih daripada itu. Di saat saya tiada orang lain di sisi, saya sentiasa mendapat sokongan daripada Abang Khairil. Manalah saya dapat balas jasa ini semua. Saya rasa hendak mengalirkan air mata di saat ini kerana teringat semula segala yang telah Abang Khairil bantu saya sepanjang di sini. Sungguhpun bantuan yang datang itu hanya dengan kata-kata semangat melalui panggilan telefon atau mesej. Yang paling saya ingat adalah di malam cuti Women’s Day 3 tahun yang lalu. Ketika saya ditinggalkan keseorangan di rumah saya (bukan rumah sekarang) dalam keadaan demam, Abang Khairil lah satu-satunya yang mengambil berat akan saya pada waktu itu. Di saat teman serumah keluar berhibur. Saya sangat terharu dan sedih teringatkan kisah itu.

Dan pada hari ini, saya seakan sudah hilang kata-kata untuk menyusun kembali kenangan 5 tahun kita di sini, yang menjadikan total tempoh perkenalan kita telah menginjak ke 8 tahun. 8 tahun bukannya sekejap. Kita sudah kenal, lebih daripada kenal. Dan perkenalan kita bukan setakat kita. Kita ada keluarga bahas kita di sekolah dulu yang melengkapkan kita menjadi sebuah keluarga.

Abang Khairil, Selamat Hari Lahir yang ke-24. Semoga Allah permudahkan segalanya buat Abang Khairil. Pulang menjadi doktor muda yang hebat, dikurniakan rezeki yang berkat, dilengkapkan hidup dengan pelbagai nikmat, diberikan keluarga yang sihat, ditemukan jodoh yang menjaga syariat dan dihadiah anak-anak yang menjadi saham di akhirat. Amin. Maafkan saya andai sepanjang saya bergelar adik, saya tidak memberikan yang terbaik setelah menerima yang terbaik. Semoga Allah memelihara Abang Khairil dalam redha-Nya dan membalas segala jasa Abang Khairil selama ini.

Momenti radosti ialah saat-saat yang gembira. Dan bagi saya, saat yang gembira di sini ialah kerana saya mempunyai seorang abang yang sangat baik hati. Yang sentiasa ada walau tak selalu menemani. Yang dengannya saya boleh menjadi diri sendiri. Selamat Hari Lahir Abang Khairil!

Dekat tapi jauh,
Sarah,
16-205 Malaya Piragovskaya,
3.08 am

Posted on June 12th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Sepetang Di Tepi Para

Assalamualaikum wbt

Semalam, hampir seharian saya sendirian di rumah. Ahli rumah yang lain ada exam dan pulang lewat. Paling awal yang pulang adalah Emy dan Diba. Itupun mereka terus tidur selepas pulang. Saya memang sangat bosan kerana rumah sangat sunyi. Saya mengambil kesempatan untuk membuat persiapan intensif untuk exam pada hari esok. Selesai solat Asar, saya menyarung tudung dan memegang sedikit nota di tangan. Gayanya seperti hendak keluar saja kan. Tapi destinasi saya dekat saja. Di tepi tingkap bilik cuma.

Saya menurunkan langsir dan duduk di atas para di tepi tingkap. Sehinggakan, Emy dan Diba tidak tahu ke mana saya menghilang kerana tiada di bilik. Sedangkan, saya tersembunyi di sebalik langsir yang diturunkan. Rumah saya di tingkat dua. Sengaja saya duduk di situ. Boleh membaca sambil mengambil udara petang dan melihat orang lalu-lalang. Ada dua insiden terjadi.

Pertamanya, saya melihat sepasang suami isteri berjalan. Dari jauh, saya rasakan yang sebelah kiri dan mengikat rambut itu adalah si isteri. Bila sudah dekat dan mereka berhenti berbual dengan kawan yang ditemui di tengah jalan, baru saya tersedar rupa-rupanya saya tertukar. Yang berambut maha pendek itu adalah isterinya dan yang berambut panjang dan mengikatnya itu adalah suaminya. Kebetulan, si isteri sedang merokok dan bentuk badannya kurus sekeping seperti lelaki, sekali imbas terus saya rasakan dialah lelaki. Saya tersenyum seorang melihatkan keadaan itu. Saya terfikir, kan Islam itu sempurna. Lelaki dan perempuan dapat dibezakan kerana batas auratnya. Kalau dia bertudung dan cara berpakaian yang berbeza, dari jauhpun sudah boleh tahu yang mana lelaki, yang mana perempuannya.

Keduanya, sedang saya membaca-membaca di atas para di tepi tingkap itu, saya terlihatkan 3 orang anak muda lalu di kawasan luar bangunan. Sumpah, ketiga-tiganya kacak dan bergaya! Saya toleh melihat mereka. Dalam pada saya seakan mengelamun itu, baru saya sedar salah seorang daripada mereka sedang melihat saya di atas itu. Alamak. Saya terperangkap pula. Saya cepat-cepat alih pandangan ke arah nota. Tapi saya sudah tersenyum waktu itu kerana saya sedar lelaki yang memandang itu juga sedang tersenyum. Aduh. Malunya. Mengelamun punya pasal, saya tidak sedar saya telah merenung orang agak lama, dan direnung semula pula. Alah. Saya tahu lelaki itu jauh lebih muda. Jangan tertipu dek rupa dan ketinggian. Kalau itu yang menjadi ukuran, budak 10 tahun pun boleh saya anggap lebih dewasa daripada saya kerana ketinggiannya. Saya rasa, lelaki semalam itu umurnya sekitar 19-20 tahun saja.

Semalam suhu panas. 24’C. Terik sangat. Itu sebabnya saya duduk di tingkap. Bila panas, mata tidak mengantuk bila dengan niat duduk di bawah teriknya. Tapi angin kuat. Dari dalam bilik, saya boleh mendengar angin menderu-deru. Putik kapas pun kelihatan kencang dipikul angin berterbangan di udara. Sepanjang duduk di tepi tingkap semalam, saya dapat dengar bunyi anjing menyalak bermain-main dengan tuannya di luar sana, bunyi angin menderu dan bunyi dedaun berdesir tak henti-henti. Alam ini tak pernahnya sunyi.

Mereka semua sedang berzikir. Berzikir tak henti-henti. Lagu-lagu alam ini indah kerana semuanya melodi zikir. Tapi saya? Selepas Asar tadi duduk di atas sejadah hanya membaca Ma’thurat ringkas dan zikirnya juga sekejap saja. Sungguh, saya rasa malu pada alam dan lagu-lagu zikir mereka…

Melihat jam, sudah pukul 8.45 pm. Hari masih terang-benderang. Saya turun dari para tingkap, menyangkut tudung dalam almari dan kembali ke meja. Saya ambil buku sajak saya. Saya melukis. Gambar laut yang luas terbentang.

Posted on June 10th, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Selamat Hari Lahir Emak

Assalamualaikum wbt

Dulu waktu kecil-kecil, saya selalu bergaduh dengan Kaklong. Maklum sajalah. Dua beradik saja perempuan. Yang lain semuanya lelaki. Dulu kami sebilik. Tapi semakin besar, kami dipisahkan duduk bilik berasingan. Dia di bilik berwarna kuning menghadap laman belakang rumah. Saya di bilik berwarna biru menghadap laman hadapan rumah. Siapa yang memisahkan, itu emak kami. Emak geram agaknya melihat kami asyik bergaduh.

Mentaliti budak kecil, saya selalu rasakan emak berpihak kepada Kaklong. Serba-serbilah. Semuanya saya rasakan emak memandang Kaklong yang betul. Kadang-kadang membawa dirilah saya merajuk dengan emak dan bercerita di buai depan rumah Tok dengan Mak Tam. Tapi apabila sudah semakin besar, di sekolah menengah saya kira pada waktu itu, saya mula nampak dan faham kenapa emak bertegas dengan saya dulu-dulu. Pada waktu itu, Kaklong sudahpun bersekolah di Kuantan dan tinggallah saya satu-satunya anak perempuan di rumah.

Kenapa emak tegas dengan saya kerana saya dulu seorang yang garang. Macam lelaki perangainya. Pemarah pun iya juga. Ganas pula tu. Kalau dengan budak lelaki, jangan harap saya nak kasi can mereka menang. Tapi Kaklong yang sebaliknya. Kaklong lembut. Pandai berjenaka. Sentiasa manis dengan senyuman. Memang 100% bertentangan kami berdua ini. Kaklong pandai mengambil hati orang tua. Kalau bersamanya mengikut Tok ke Pekan Sehari hari Ahad, Kaklong pandai melayan kerenah Tok dan kawan-kawannya.

Sejak itu saya mula faham kenapa emak mendidik saya begitu. Saya sayang emak saya sebab mendidik saya dengan sebaiknya untuk menjadi saya yang sekarang. Saya masih tidak seperti Kaklong tapi inilah saya seadanya. Yang paling berharga, hasil didikan emak, menjadikan saya seorang yang kental jiwa. Sangat kental. Hanya emak yang tahu kenapa saya katakan begini.

Hari ini hari istimewa buat emak saya. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-52 buat emak saya, Hajjah Noor Azimah Kamaruddin. Semoga emak dalam redha Allah sentiasa. Emak, emaklah katalis hidup Ngah. Emak, Ngah sayang emak. Sayang sangat-sangat. Uwaa… Mahu nangis… Rindu sama emak…

Emak (berbaju hijau) bersama Tok Maryam (Penang) dan adik-beradik ayah di rumah Makcik Liza di Alor Setar.

Nota: Selamat hari lahir buat ibu kepada Isa Azzaki juga. Isa, saya ingat lagi yang birthday mak kita sama 😀

Posted on June 9th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Kedekut Demi Berjimat

Assalamualaikum wbt

(Ups… Ini entri panjang. Sila jangan terperangkap. Hikss)

Dalam entri lepas saya ada sebutkan yang saya di sini pun pernah merasai zaman ikat perut. Mungkin tidak seperti keadaan di Malaysia sekarang tapi apa yang saya lalui di sini benar-benar mengajar erti hidup.

Saya merupakan kumpulan kedua yang dihantar JPA ke sini. Kumpulan pertama hanya setahun senior daripada saya dan mereka adalah sebenar-benar pejuang dalam erti kata pengalaman hidup di sini. Setibanya saya di sini dulu, biasiswa sara hidup yang kami perolehi adalah 200USD sebulan. Pada waktu itu, hostel dan yuran pengajian dibayar sepenuhnya oleh JPA. Berbekalkan 200USD sebulan untuk kehidupan kami di Moscow ini adalah cukup makan sahaja. 200USD lebih kurang 6600 Rubles tukarannya dalam matawang tempatan.

Ketika saya sampai di sini, umur saya 18 tahun, masih budak-budak. Manalah pernah sebelum itu saya mengurus perbelanjaan rumah. Tapi bila tiba di sini, semuanya menjadi tanggung jawab yang wajib diuruskan sendiri. Saya dan teman sebilik waktu itu, Eza, hanya berbelanja barang dapur di pasar bandar Yugo Zapadnaya atau di Ashan sahaja (hypermarket yang besar dan murah tapi jauh dari hostel). Demi berjimat, kami tidak akan makan di luar. Kami bergilir memasak setiap hari. Untuk menelefon keluarga pula, Eza mempunyai kenalan warga negara India yang menjalankan servis panggilan jarak jauh. Saya pula lebih senang ke bilik seorang warga Vietnam yang juga menjalankan servis yang sama. Ketika itu, simkad yang saya gunakan ada masalah. Kadar panggilan ataupun SMS yang saya lakukan akan dicaj 2 kali gandi lebih daripada yang lain. Bayangkan saja, di pagi raya, untuk menghubungi keluarga dalam masa 20 minit cuma, saya telah menghabiskan 20USD. Sedangkan kawan-kawan yang lain dapat bercakap selama 50 minit dengan cuma 20USD itu. Maka saya menukar simkad baru dan kekal ke hari ini (Kadar rendahnya masih kekal sehingga hari ini. Sebab itu saya boleh selalu menghubungi keluarga dengan panggilan terus).

Untuk membeli barang dapur, saya dan Eza akan bergilir ke pasar. Biasanya saya akan ke sana pada hari Isnin petang selepas pulang dari kelas. Eza pula akan singgah ke pasar pada hari Khamis petang. Jadi stok makanan kami akan sentiasa cukup. Cukup bulan, kebiasaannya kami memang tidak punya duit lebih. Paling banyak yang pernah ada rasanya sekitar 30USD seorang. Saya menambah nilai telefon sebanyak 10USD sebulan. Tapi bila saya agak lama tidak menghubungi rumah, emak memasukkan duit menyuruh saya supaya menghubungi rumah. Katanya, duit yang dimasukkan untuk perhubungan. Jangan berdiam terlalu lama. Orang di rumah risau. Itulah juga yang terjadi pada Eza. Ibu bapanya juga memasukkan duit untuk membolehkan dia lebih kerap menghubungi rumah.

Pada tahun itu, amat jarang sekali kami makan di luar. Boleh dibilang dengan jari saja. Tapi kalau setakat membeli pai di kiosk di tepi jalan sebelum atau pulang dari kelas, itu lain ceritalah. Dulu, sebiji pai (namanya pirazhok atau sloika di sini) boleh didapati dengan harga 9 Ruble cuma. Sekarang, tiada sejenis makanan pun yang boleh didapati bawah daripada 10 ruble. Semuanya 15 Ruble dan ke atas. Ketika itu, Eza selalu menyuruh saya memegangkan wangnya sekitar 1000 Ruble supaya jika dia sudah kehabisan duit dalam tangan, dia masih mempunyai duit kecemasan dalam simpanan saya. Saya pula lebih suka mengeluarkan duit secukupnya saja. Kalau habis padan muka. Saya tidak akan mengeluarkan duit lagi. Jadi, ini akan membuatkan saya lebih berjimat cermat. Jadi, cubalah bayangkan apa saja yang kami belanjakan untuk barang makan ketika itu. Lauk setiap hari hanya ada dua. Lauknya dan sayurnya. Itu saja. Kebiasaannya ayam. Daging hanya apabila kami menempah menyuruh pelajar lelaki membeli di masjid. Makanan laut jangan cakaplah. Berapa kali saja kami beli di tahun pertama dulu. Kedekut demi untuk berjimat.

Di tahun kedua, saya bertemankan Amnah sebagai rakan sebilik. Junior sejak di KISAS dan kini menjadi junior JPA di sini pula. Saya dengannya masak berasingan. Bukan seperti saya dengan Eza dulu. Ini kerana saya kurang makan nasi pada tahun itu dek kerana pelbagai masalah yang saya hadapi dan membuatkan selera makan saya berkurang. Studi pun gila-gila. Sampaikan saya ambil mudah bab-bab makan. Pada tahun itu, Meor dan Fizzy pula yang menjadi geng saya. Meor juga seperti Eza. Menyuruh saya memegangkan duit kecemasannya. Ketika cuti musim sejuk Januari 2005, duit biasiswa yang sepatutnya masuk pada hujung Januari tidak masuk-masuk. Saya sedikitpun tidak menceritakan hal ini kepada Amnah. Kami sesama pelajar tahun 2 ketika itu bersusah-payah bersama-sama. Kebetulan ketika cuti itu, rakan-rakan dari Volgograd datang ke Moscow untuk bercuti. Masya Allah. Bila hendak keluar dari hostel, kami asyik terfikir, cukupkah duit kalau tiba-tiba mereka ajak makan di luar? Kebetulan pada waktu itu, saya dan Meor yang banyak menguruskan rakan-rakan yang datang ini. Sudahnya, kami ambil keputusan begini. Hanya salah seorang antara kami saja yang akan keluar menemankan rakan-rakan pergi makan dan yang seorang lagi meminjamkan duit kepada yang seorang lagi. Sampai begitu sekali terdesaknya kami pada waktu itu. Tapi sedikitpun kami tidak memberitahu keluarga tentang hal ini. Masing-masing hendak berdikarilah kononnya. Dan setelah undi-mengundi, saya yang dipilih untuk menemankan kawan-kawan keluar. Mereka ada bertanya mana Meor. Saya hanya katakan yang dia tidak sedap badan (kebetulan musim sejuk tahun itu sangat teruk).

Dan di awal Februari, disebabkan duit masih belum masuk lagi dan kami kebanyakannya hanya tinggal beberapa puluh ruble saja dalam tangan. Saya mengambil keputusan memberitahu emak. Emak marahkan saya kenapa tidak memberitahunya dari awal. Emak memasukkan RM1000 untuk saya. Dengan duit yang emak masukkan ini, saya memberi pinjam pada rakan-rakan se-JPA dan MARA yang lain, sedikit seorang untuk digunakan buat sementara waktu ini. Kalau tidak silap, setiap orang mendapat 700 ruble waktu itu. Seminggu lebih selepas itu, barulah duit masuk. Waktu itu baru terasa lepas lelah di dada masing-masing. Setelah kawan-kawan memulangkan semula duit saya, saya ada lebihan simpanan dalam akaun. Di hujung sem itu, mereka merancang untuk berjalan ke Saint Petersburg di barat laut Russia. Emak menyuruh saya menggunakan saja duit yang diberinya dulu untuk berlibur. Terima kasih emak, ayah sebab izinkan saya membelanjakan duit itu untuk tujuan bercuti.

Sebenarnya bukan itu saja. Ketika di tahun 3, juga pernah berlaku lagi. Dan sekarang pula, duit biasiswa kami di sini telah dinaikkan setelah penilaian semula dibuat. 700USD nilainya. Tapi kami perlu membayar hostel (rumah) dengan sendiri. Bukan lagi bawah tanggungan JPA. Jadi daripada nilai yang kami terima, kami perlu memikirkan harga rumah yang perlu dibayar sebanyak 1450USD setahun. Mahal sungguh. Itu untuk 1 kepala. Kalau 6 orang duduk dalam 1 rumah, totalnya adalah hampir 9000USD serumah. Sangatlah mahal. Memang mencekik darah. Baru-baru ini, harga barang makan naik mendadak di sini. Atas usaha kononnya kami hendak memboikot pasar di sebelah rumah ini yang terlalu mahal (kawasan ini hampir dengan City Center, ini pasar terdekat dengan Center), adik-adik rumah saya sanggup keluar membeli barang dapur di sebuah pasaraya (Perekrestok di Kievskaya) yang terpaksa menggunakan bas untuk ke sana semata-mata untuk membeli beras yang berharga 25 ruble sepaket. Beras yang boleh dikatakan tidak berjenamalah kiranya (memang tak berjenama pun). Kerana di pasar berdekatan ini, harga beras Orient (beras yang selalu kami gunakan sebelum ini) telah naik mendadak sehingga 45 ruble sepaket (kira-kira RM7 untuk 900 gram sepaket)! 20 ruble bezanya. Jadi, mereka telah memborong 12 paket sekali gus di pasaraya tersebut.

Sejujurnya, ada banyak lagi kisah kami di sini berpada dalam membeli barang dapur. Semuanya memikirkan tentang ekonomi diri dan perbelanjaan serumah. Oh ya. Ketika saya duduk di luar bersama 2 orang rakan yang lain, saya perlu menguruskan bil elektrik sendiri. Perlu berjimat. Bila hendak tidur, satu rumah kami gelapkan dan hanya membiarkan lampu dapur saja yang menyala. Tambah-tambah pula ketika musim sejuk. Dengan penggunaan pemanas, lampu yang lagi lama (kerana malam lebih panjang) dan laptop yang diguna lama kerana sedang bercuti musim sejuk pada waktu itu, bil elektrik akan melambung jauh lebih tinggi. Apa caranya kami berjimat ketika itu? Tiada siapa boleh membasuh menggunakan mesin basuh, tidak boleh menonton TV jika laptop sedang digunakan dan jika hendak membuka pemanas sendiri, laptop pula tidak boleh digunakan. Kami berjaya mengurangkan perbelanjaan. Pokok pangkalnya, bijak dalam menangani masalah.

Haha. Inilah kisahnya kedekut demi berjimat. Banyak mengajar erti mengurus ekonomi diri dan pengalaman sebeginilah yang sangat berguna untuk masa depan nanti. Kadang-kala bersusah begini lebih membuatkan kita menghargai duit dan lebih cepat matang dalam kehidupan.

Posted on June 7th, 2008 by Sarah  |  35 Comments »

Chak! Saya Kembali!

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah saya masih diberi sedikit kelapangan untuk menulis. Maaf sebab agak lama saya berdiam diri. Bukannya saya merajuk atau apa. Ada banyak benda yang terjadi dalam masa 2 minggu ini.

Pertamanya, saya jatuh sakit sejak 2 minggu lepas. Mulanya saya kira demam biasa. Tapi makin lama makin teruk. Dengan batuk berdarah dan sesak nafasnya, akhirnya saya ambil keputusan untuk ke klinik (walaupun pada keesokan harinya saya ada exam!). Saya sebenarnya seakan dapat mengagak apa sakitnya tapi hanya X-ray yang boleh mengesahkan. Ya. Saya kena jangkitan kuman di paru-paru. Pneumonia. Di samping itu, saya turut mengalami progressive bronchitis (kesan daripada sakit teruk bulan Oktober dulu). Saya pun hairan kenapalah badan saya ni sangat mudah terkena jangkitan. Immuniti badan saya sangat rendah agaknya. Tapi kenapa ye?

Keduanya, saya sedang menjalani final exam autumn semester. Untuk sem ini, saya ada 8 subjek kesemuanya. 2 sudahpun diselesaikan ketika bulan 3 dan 4. Dan secara kolektif, ada 6 subjek yang perlu saya hadapi dalam masa 2 minggu lebih ini. Saya sudahpun selesai 3 lagi exam dalam keadaan sakit yang teruk. Dan kini tinggal lagi 3 subjek. Secara total, 5 subjek telah selesai, tinggal lagi 3 dan yang terdekat adalah pada hari esok. Wah. Sempat pula saya menulis di sini ye. Hihi.

Sebenarnya saya baru saja kembali dari klinik untuk temujanji susulan bersama doktor tadi. Alhamdulillah, secara keseluruhan keadaan saya semakin baik. Tapi belum sepenuhnya. Masih batuk (berdarah kadang-kadang), tidur tidak boleh baring (sesak nafas) jadi saya akan tidur menyandar di katil. Sakit belakang tau. Dah lah sepanjang hari duduk di kerusi untuk studi. Waktu tidur pun kena duduk juga. Sedih je. Makan pun perlu dicatu. Bukan semua benda saya lalu makan. Tekak sakit. Semalam Wanie buat bubur nasi. Wow. Saya makan bertambah 2 kali! Waktu tu dah tengah malam. Tak kira. Saya makan je banyak-banyak. Selesai makan, saya sambung studi tapi tidak lama selepas itu, tersyahid pula. Pukul 3 pagi baru bangun semula untuk menghadap nota. Ubat pula ada 7 jenis semuanya. Hampir setiap hari akan kedengaranlah suara Pena dan Emy mengingatkan saya suruh makan ubat. Huhu. Terasa macam budak kecil saja. Terima kasih Pena dan Emy sebab selalu ingatkan KS. KS tak pernah culas makan ubat tau.

Begitulah kiranya jadual saya kebelakangan ini. Exam dan sakit. Buku dan ubat. Hari-hari pun akan telefon emak. Sempat berbual 2-3 minit pun dah cukup. Tapi kalau ada cerita yang menarik, lamalah pula akan melekat di telefon dengan emak =) Saya minta maaf kepada beberapa pembaca yang secara kebetulan mendapat tahu yang saya sebenarnya ada menulis di blog sajak saya itu tapi tidak memberitahu di blog ini. Saya sengaja buat begitu sebab saya rasa bukan semua pun berminat dengan sajak-sajak semua ni kan. Maaf sangat-sangat. Kalau sesiapa rasa berminat, silalah baca di blog sajak tu.

Oh. Tadi ada sesuatu yang gembira terjadi. Sangat menggembirakan. Tapi saya tak mahu cerita sekarang. Kena tunggu sehingga exam selesai, baru saya akan cerita. Tentang exam pula, Alhamdulillah. Kesemua 5 exam yang telah berlalu berwarna-warni coraknya. Tinggal lagi 3. Doanya, semoga 3 yang baki ini, tiadalah cacat celanya. Apapun, apa yang kita usahakan, itulah rezeki kita. Kan? Macam mana saya urus diri dan studi sepanjang waktu sakit? Jawapannya satu saja. Jangan bertangguh. Mulalah dari awal. Saya selalu syaratkan begitu pada diri saya. Kalau saya tahu exam akan bermula sekitar 1 Jun, saya wajibkan diri saya bermula sebulan sebelum itu. Alhamdulillah saya bermula awal, jadi, ketika ujian sakit Allah datangkan, setidak-tidaknya saya telah membuat persiapan. Hamdallah. Hamdallah. Hamdallah.

Buat kamu semua, terima kasih atas doa yang diberikan. Saya tak balaslah ye komen di entri lepas. Apa-apapun, terima kasih tak terhingga sebab mendoakan kesihatan dan exam saya. Semoga Allah kurniakan yang terbaik untuk kamu semua juga. Oh ye. Isu minyak naik harga di Malaysia. Saya sebenarnya kasihan dengan warga Malaysia. Sungguhpun saya tak merasa kehangatan isu tersebut secara langsung, tapi saya kasihan dengan tanggungjawab yang semakin berat yang perlu dipikul oleh semua. Kuncinya sekarang ialah bijaklah mengurus ekonomi diri dan keluarga. Kalau nak minta diturunkan semula pun, takkanlah mungkin hal itu kan. Lainlah kalau ada demonstrasi besar-besaran 1 negara. Tapi demonstrasi bukanlah jalan penyelesaian. Kalau hendak diikutkan, kami di sini pun pernah berikat perut mengalami krisis harga barang yang naik mendadak. Apa penyelesaian kami waktu tu, tunggu dalam entri seterusnya ye =)

Hmm… Kasihanlah emak dengan ayah yang kena urus minyak untuk berapa biji besi berenjin di rumah tu ye… Dengar khabar, 1 Julai ni tarif elektrik pula akan naik. Oh. Janganlah ayah catu penggunaan internet di rumah nanti. Huhu.

Daa~ Salam.

Posted on June 5th, 2008 by Sarah  |  29 Comments »