Khayal
Seharian saya duduk di rumah. Saya membelek buku-buku dan majalah-majalah pengantin milik Kaklong. Walaupun jemu jugalah berseorangan, tapi rasa terisi. Banyak maklumat dan ilmu baru yang saya perolehi. Spesifiknya tentang persiapan perkahwinan. Terlalu banyak rupanya yang perlu dipersiapkan sebelum berkahwin.
Kebetulan dalam majalah PENGANTIN Julai 2008, ada disediakan senarai semak yang boleh membantu bakal pengantin membuat persediaan. Terkejut juga saya kerana ada yang perlu dibuat seawal 8 ke 9 bulan sebelum majlisnya.
Teringat saya sekitar awal Mei lalu, saya ada online bersama Faaiqah, sahabat saya si cantik manis yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Dalam pada bercerita tentang persiapan exam, sempat saya menanyakan tentang persiapan perkahwinannya. Maka, tergatallah mulut saya bertanya tentang belanja yang diperuntukkan untuk majlis tersebut.
Menurut Faaiqah, untuk pakaian, fotografi dan hantaran, sudah hampir RM5000. Saya yakin, bagi orang lain, mungkin ada yang jauh lebih tinggi dari ini. Untuk kenduri nanti, hampir RM15 ribu kalau tidak silap. Banyak lagi info yang Faaiqah kongsikan. Waktu itu baru saya sedar bahawa saya tidak tahu apa-apa langsung tentang persiapan perkahwinan. Beberapa hari selepas itu, saya bawa berbincang dengan teman sebilik. Dia juga bersetuju jumlah ini adalah standard masa ini. Malah, kalau tidak pandai membuat anggaran, perbelanjaan akan jauh lebih tinggi daripada ini. Bagi pihak lelaki, mereka perlu memikirkan tentang wang hantaran pula. Ini pun satu perkara yang penting.
Jadi siang tadi, saya tegarkan juga mata menatap majalah-majalah tersebut. Paling kurang, saya dapat melihat fesyen-fesyen busana pengantin yang terkini dan sesuai untuk penampilan wanita bertudung. Juga persediaan barang hantaran. Ini yang paling kurang. Yang paling banyak yang saya serap ialah info tentang merangka majlis secara keseluruhan. Dahsyat rupanya. Terlalu banyak yang perlu difikirkan. Dari senarai jemputan, memilih kad, memilih tema dan baju pengantin, memilih cincin, menyediakan hantaran dan seribu satu macam yang lain. Oh terlupa. Juga mengikuti kursus perkahwinan dan membuat persiapan diri dan lain-lain yang perlu. Mandi lulurlah. Mandi susulah. Entah apa-apa lagi entah.
Saya lihat, sekarang sudah menjadi trend membuat lawan web untuk membuat jemputan secara virtual bagi pasangan pengantin. Menarik juga ya. Teringin juga satu hari nanti mahu membuat lawan web sebegitu juga. Hehe. Dan saya juga sempat meninjau-ninjau blog persendirian milik mereka yang bakal berkahwin. Asyik bercerita tentang persiapan dan bermacam-macam lagi. Teraca lucu pula apabila membayangkan suatu hari nanti blog saya pula yang seperti mereka. Cerita tentang baju pengantinlah, persiapan hantaranlah, berinailah, sesi fotografi pra-majlislah dan perasaan berdebar-debar serta bahagia amat yang mereka rasai. Ok. Tak boleh berangan banyak. Khayal nanti.
Sebenarnya seronok membelek-belek majalah begini. Yang menjadikan tak menariknya ialah KHAYAL! Lama betul saya memerap dalam bilik hari ini. Sehinggakan Mak Tam mengunci pintu rumah dari luar tengahari tadi kerana menyangka saya tiada di rumah. Dan petang tadi saya menyambung membelek-belek lagi. Kaklong ada banyak koleksi majalah-majalah ini kerana Kaklong berminat dalam seni hiasan barang hantaran. Berguna juga ada majalah-majalah ini. Sekurang-kurangnya tidaklah saya kosong idea tentang perkara ini dan sedikit sebanyak dapat membantu untuk membuat persiapan nanti.
Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya.”
Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu.”
Amaran: Azwan, sila jangan tag saya tau. Nanti saya nangis. Huhu~