Assalamualaikum wbt
Apa khabar semua? Lama pula saya meninggalkan blog kali ini. Memang tidak boleh dielakkan. Terlalu penat. Setiap hari sampai saja ke rumah, badan memang lembik dan kaki memang sakit. Menyebut pasal sakit kaki, saya teringat kisah sewaktu kecil dulu yang betul-betul buat saya sakit kaki dan badan.
Waktu itu saya dalam darjah 2. Kaklong pula dalam darjah 3. Kami mengikuti kelas Al-Quran di sekolah selepas solat Zohor sehingga petang. Kami sekolah swasta. Jadi tiada sesi fardhu ain dan kelas Al-Quran di sebelah petang ini adalah atas pilihan sendiri. Ini sekolah agama. Sebenarnya dalam silibus pendidikan di sebelah pagi sudah ada subjek Al-Quran dan Hafazan tapi saya dan Kaklong masih mengikuti kelas Al-Quran di sebelah petang. Dua pupu kami, Kak Nawwar, pun bersekolah di situ. Sebelah pagi, kami berempat (termasuk adik saya Nan yang berada dalam darjah 1) akan ke sekolah dengan dihantar oleh ayah. Kak Nawwar sekelas dengan Kaklong. Sebelah petangnya, saya, Kaklong dan Kak Nawwar akan dijemput oleh Pakcik Sohaimi, ayah Kak Nawwar. Nan pula tidak mengikuti kelas Al-Quran dan dia akan dijemput balik oleh ayah selepas waktu sekolah.
Pada suatu petang, Kak Nawwar terus balik selepas waktu sekolah dengan dijemput oleh ayahnya kerana emaknya baru bersalin. Mereka terus ke hospital kalau tidak silap saya. Jadi, selepas sudah mengaji, saya dan Kaklong menunggu dalam kawasan sekolah bersama-sama Saddiq, Nabil, arwah Kak Ridzu, Hayat dan beberapa orang lagi. Ramai pada mulanya. Kami bermain galah panjang dan cuit tiang bersama-sama sementara menunggu ibu bapa masing-masing. Tapi lama-kelamaan, hanya tinggal 3 orang saja. Saya, Kaklong dan Saddiq. Tidak lama kemudian, ayah dan emak Saddiq sampai. Ayahnya bertanya, kami akan balik dengan siapa. Kaklong jawabkan, kami akan tunggu ayah. Memang kami yakin ayah akan datang menjemput kerana kami rasa ayah sudah tahu bahawa Pakcik Sohaimi ada hal pada petang itu. Selepas, menemankan kami seketika, mereka pun bertolak pulang. Tinggallah saya dan Kaklong saja dalam kawasan sekolah. Hari hujan pada waktu itu. Jadi kami duduk di bawah atap beranda surau sekolah.
Jam hampir menunjukkan pukul 4.45 petang. Kami cuba menelefon kedai ayah. Waktu itu, ayah saya mempunyai sebuah kedai fotostat yang terletak dalam Kompleks Pejabat Daerah Temerloh (belum Perbandaran lagi). Itulah kedai pertama ayah. Berkali-kali kami cuba menelefon, tapi tiada siapa yang jawab. Akhirnya kami nekad untuk berjalan kaki ke bandar menuju ke kedai ayah. Di pintu surau, ada payung yang ditinggalkan. Kami mengambil payung itu dan mula berjalan berdua keluar dari kawasan sekolah. Rumah kami pula masih belum ada telefon pada waktu itu. Rumah pun masih agak baru jadi telefon bukanlah satu keperluan asas yang diperlukan. Jadi kami memang tiada sumber untuk menghubungi rumah. Saya masih ingat lagi, dalam dompet mengkuang kecil berzip warna oren yang emak belikan ketika berjalan-jalan di Padang Kota dulu, saya ada RM3. Semuanya duit syiling. Ini duit belanja yang dikumpul. Kaklong juga saya rasa ada jumlah yang sama dalam dompetnya. Kami terus berjalan. Jarak antara sekolah ke pusat bandar adalah 3 km. Dan jangan tidak percaya, kami berdua berjaya sampai ke pagar Kompleks tersebut dan di saat itu, hujan sudah reda.
Namun, sebaik kami mendekati pagarnya, jaga mengatakan kawasan kompleks sudah tidak boleh dimasuki. Kami bertanya, ada atau tidak dia terlihatkan ayah kami. Kami berdua tahu, jaga-jaga pastilah mengenali orang yang keluar masuk dengan kenderaan masing-masing setiap hari di situ. Jaga itu mengatakan, ayah sudah lama keluar. Waktu itu, jam sudah menunjukkan hampir pukul 5.30 petang lebih kurang. Saya dan Kaklong memang tidak tahu hendak buat apa pada waktu itu. Kami tidak pernah menaiki bas dan memang tidak tahu untuk menggunakan perkhidmatan bas. Dan sebenarnya, tidak terlintas langsung dalam otak kami untuk menaiki bas pada waktu itu.
Rumah saya letaknya di kawasan kampung. Berdekatan dengan rumah Tok. Rumah yang emak dan ayah bina selepas berpindah dari Perak. Namanya Kampung Tanjung Kerayong. Sebuah kampung kawasan sejarah zaman Tok Bahaman dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Letaknya 9 km dari bandar. Bagi kami, memang tidak jauh sebab dengan menaiki kereta, dalam masa 10-15 minit, kami sudah sampai ke sekolah. Jadi, dengan tidak berfikir panjang, saya dan Kaklong mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang. Jarak 3 km boleh kami lalui dengan mudah, jadi 9 km itu bukanlah apa-apa sangat bagi kami berdua.
Hujan memang sudah reda pada waktu itu. Kami hanya memegang saja payung tadi dan di bahu masing-masing ada beg sekolah dan beg Al-Quran yang kami jinjing. Saya sedikit pun tidak merasa takut atau sedih. Begitu juga Kaklong. Bagi kami, itu bukanlah masalah besar dan kami memang boleh berjalan pulang dengan sendiri. Ketika melewati pondok gerakan Rukun Tetangga di Bukit Angin, saya masih ingat kami menyenaraikan nama-nama kampung yang akan kami lewati di sepanjang Jalan Triang itu. Kampung Pengkalan Manggis, Tengah, Buntut Pulau, Pangsenam, Kuala Kujan, Durian Daun, Tenggoh, Baru, Pengkalan Jaya dan barulah Kampung Tanjung Kerayong. Kami memberikan pendapat masing-masing, jarak antara kampung ke kampung tidaklah jauh. Sebelum Maghrib, kami pasti akan tiba. Kami terus berjalan melewati bawah jambatan Temerloh dan seterusnya melepasi stesyen minyak Esso.
Ketika kami melalui Kampung Pengkalan Manggis, seorang pakcik yang menaiki basikal berhenti di tepi kami. Rupanya Ayah Teh Hasan. Orang kampung kami juga. Dia bekerja sebagai jaga di bandar dan berulang alik menggunakan basikal saja. Dia hidup susah tapi memang rajin bekerja. Dia kenal akan kami sebagai cucu-cucu arwah Cikgu Kamarudin atau cucu-cucu Mak Che. Dia bertanya itu dan ini mengapa kami berjalan kaki. Setelah menjelaskan keadaan sebenar, dia sendiri tidak tahu hendak berbuat apa. Dia kasihan melihat kami berdua hendak berjalan balik tapi dia sendiri tidak punya kenderaan untuk menumpangkan. Tapi dengan tiba-tiba dia ternampak seseorang melintasi kawasan itu dengan menaiki kereta menuju ke arah bandar. Dia melambai-lambaikan tangannya. Orang itu berpusing dan berhenti di depan kami semua.
Rupa-rupanyanya, itu adalah kawan kepada Ayah Teh Hasan. Saya tidak ingat apa namanya. Tapi Ayah Teh Hasan telah menerangkan padanya situasi kami dan dia meminta kawannya itu menghantarkan kami pulang. Kawannya memberitahu Ayah Teh Hasan dia tidak keberatan untuk menghantar kami tapi dia terlebih dahulu perlu pulang ke rumah untuk solat Asar kerana hari semakin senja. Ayah Teh Hasan bersetuju saja. Dan dia memberi jaminan kepada kami berdua jika sekiranya dia sampai dulu ke kampung kami, dia akan ke rumah kami dan memberitahu emak dan ayah di mana kami berada.
Pakcik itu membukakan pintu keretanya. Kereta volvo panjang jenis lama yang sudah uzur. Kami berdua masuk dan pakcik itu dengan ramah bercerita itu dan ini kepada saya dan Kaklong. Pada mulanya saya agak ragu-ragu dan takut. Kalau ikutkan, saya lagi rela berjalan kaki terus tapi ini arahan daripada Ayah Teh Hasan. Jadi, saya ikut sajalah. Tambahan pula, ini kawannya. Saya berdoa dalam hati, harapnya, tiada apa-apa yang terjadi. Pakcik itu memandu keretanya menuju kawasan perumahan di hadapan R&R di tepi jambatan Temerloh (Bukan R&R di lebuhraya sekarang. Dulu, Temerloh ada sebuah lebuhraya yang menjadi jalan utama ke Kuantan). Kami kira, rumahnya di taman perumahan itu tapi kami silap. Rupanya, di belakang taman itu, ada sebuah kampung yang memang saya tidak pernah sampai. Rumah pakcik itu di atas bukit. Kecil saja rumahnya. Rumah papan yang di hadapannya ada sebuah pokok bunga kertas yang besar. Dia menjemput kami masuk dan berehat dulu sementara dia solat Asar. Saya dan Kaklong masuk juga walaupun takut-takut. Isterinya baik menyambut kami. Dia menyuruh kami berehat sebentar di sebuah bilik. Terharu sungguh saya melihat keadaan bilik itu. Hanya ada tilam di atas lantai yang pintu biliknya bagaikan pintu rumah jepun. Tilam itu bergulung dan bantalnya disusun di tepi. Dalam bilik itu juga penuh dengan kotak-kotak berisi kordial buah.
Seketika kemudian, isterinya datang membawa air untuk kami. Air limau kasturi. Sedap kordialnya. Baru kami berdua tahu bahawa pakcik itu pengedar kordial buah. Saya masih ingat muka makcik itu bercerita tentang suaminya. Air mukanya tenang saja. Dan sebenarnya di saat saya menulis ini, saya teringat-ingat perasaan saya menolak pintu bilik itu. Saya sebak sebenarnya sebab rumah itu kecil saja dan saya terbayangkan kesusahan hidup mereka.
Lebih kurang setengah jam di situ, kami mula bergerak untuk dihantar pulang. Kami menyalami tangan makcik itu dan mengucapkan terima kasih banyak-banyak. Di dalam kereta, pakcik itu bertanya tentang emak dan ayah. Namanya apa, kerja di mana dan macam-macam lagi. Pakcik itu memang lembut saja suaranya. Saya masih ingat itu. Ketika melalui Kampung Pangsenam, sebuah kereta Nissan memotong kereta pakcik itu yang sememangnya bergerak perlahan. Saya dan Kaklong berteriak serentak. Itu kereta ayah! Pakcik itu bertanya 2 kali untuk betul-betul mendapatkan kepastian. Kami sungguh-sungguh mengiyakannya. Pakcik itu pun apa lagi. Terus membunyikan hon bertalu-talu dan dalam masa yang sama memecut sedikit keretanya supaya jaraknya dekat dengan kereta di hadapan.
Kereta di hadapan berhenti. Begitu juga dengan kereta yang kami naiki. Betul! Kelihatan emak dan ayah keluar. Kami keluar dan mendapatkan emak. Emak peluk cium kami berdua bersungguh-sungguh. Emak usap-usap belakang kami dua beradik. Ayah pula kelihatan berbual-bual dengan pakcik itu. Tangan saling menggenggam. Dan ayah menepuk-nepuk bahu pakcik itu. Saya tahu, ayah mengucapkan terima kasih dengan bersungguh-sungguh padanya. Saya sudah agak kabur dengan keadaan pada waktu itu. Yang saya ingat, sebelum beredar masuk ke dalam kereta, kami menyalami pakcik itu dan mengucapkan terima kasih. Pakcik itu berlalu ke keretanya dan mengeluarkan dua botol kordial. Dia menghadiahi kami dua botol kordial limau kasturi yang saya dan Kaklong suka tadi.
Sebaik tiba di rumah, hari sudah hampir Maghrib. Selesai mandi dan solat Maghrib, saya masih ingat saya minum susu panas pada malam itu. Emak yang bancuh. Kaki dan badan sakit-sakit dan lenguh-lenguh. Waktu itu barulah kami tahu rupanya ayah tidak tahu bahawa isteri Pakcik Sohaimi bersalin siang tadi dan ayah tidak mendapat sebarang pesan. Jadi, ayah tidak datang menjemput kami di sekolah pada sebelah petang. Tetapi setelah hari sudah hampir pukul 6, emak dan ayah bergegas mencari kami di sekolah dan teramat terkejut kerana kami tiada di sana. Dan sudahnya kami semua bertemu di pertengahan jalan pula.
Begitulah kisahnya. Kisah saya dan Kaklong cuba berjalan kaki pulang ke rumah kerana tidak dijemput. Hampir 5 km juga kami berjalan kaki di usia 8 dan 9 tahun. Sebetulnya selepas insiden itu, hanya sekali saja ada berjumpa semula dengan pakcik itu. Sewaktu bertemu semula dengan pakcik itu, saya sudah di sekolah menengah. Sudah besar. Ketika itu di pekan sehari hari Ahad. Saya sudah lupa mukanya tapi jasanya pada saya dan Kaklong tidak akan saya lupa selama-lamanya.
Saya juga masih ingat raut muka emak yang kebimbangan. Tapi raut muka ayah tidaklah sebimbang mana. Mungkin ayah tahu dan yakin bahawa anak-anak perempuannya yang berdua ini sangat berani dan tidak akan berbuat sesuatu yang membahayakan diri sendiri walaupun pada logiknya, kisah yang berlaku pada kami berdua ini amatlah tidak selamat untuk dilakukan pada zaman ini. Mana tidaknya, silap hari bulan, sudah ke Siam agaknya kami dijual untuk meminta sedekah atau sebagainya. Dan atas keberanian yang terserlah sejak kecil itulah, ayah sentiasa percaya pada kami berdua untuk membuat keputusan dalam apa saja. Terima kasih emak, ayah atas kepercayaan yang kalian berikan.