Archive for the ‘Temerloh’ Category

Memori Seorang Guru

Assalamualaikum wbt

Terasa hendak berkongsi kisah ketika baru tamat SPM. Ceritanya bermula setelah ayah memberitahu Kak Long dan saya bahawa Guru Besar sekolah rendah di kampung saya itu meminta jasa baik kami berdua mengajar kelas intensif Matematik dan Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar tahun 6 pada setiap hujung minggu.

Ketika itu, Kak Long baru saja tamat matrikulasinya dan sedang menunggu panggilan kemasukan ke universiti. Ketika hari pertama, kami berdua berjalan kaki saja meredah jalan pintas menuju ke sekolah yang hanya terletak bersebelahan dengan rumah (kira-kira 200m dari rumah). Sebaik sampai, saya masih ingat, kerani di pejabat memanggil kami dengan gelaran Anak-anak Encik Shukor. Mungkin dia sendiri keliru mana satu Fatimah, yang mana satu Sarah. Sebetulnya, orang kampung saya yang tidak dapat membezakan kami hanya akan memanggil kami dengan gelaran Siti saja. Sudah cukup bagus jika ada yang tahu yang mana satu Kak Long, yang mana satu Kak Ngah.

Saya sebenarnya hendak mengajar Matematik tetapi Guru Besar menyuruh saya mengajar Bahasa Inggeris dan Kak Long pula mengajar Matematik. Ada dua kelas tahun 6. Jadi saya dan Kak Long akan bergilir. Jika pada waktu pertama saya mengajar Kelas A, Kak Long akan mengajar di Kelas B dan kemudian kami akan bertukar kelas.

Saya sangat kasihan dengan keadaan anak-anak kampung itu. Pendedahan mereka terhadap Bahasa Inggeris sangat kurang dan terbatas. Dalam salah satu sesi bersama mereka, saya masih ingat saya terpaksa mengulang ajar asas Bahasa Inggeris yang termudah. Sedih saya mengenangkan itu. Dan terasa sangat bersyukur kami adik beradik berada dalam keadaan yang jauh lebih baik kerana bersekolah di tempat lain, bukan di kampung.

Apa yang paling tidak boleh saya lupakan ialah di saat beberapa orang pelajar yang nampak macho dan matang bertanya: Ni nak panggil Cik Sarah ke Teacher? Amboi. Sangat berani budak-budak zaman sekarang ye. Saya garang ketika itu. Tapi Kak Long jauh lebih garang. Atas faktor itu, kami dihormati oleh mereka semua dan ada juga yang takutkan kami atas ketegasan kami itu.

Saya masih ingat 3 orang daripada mereka semua. Adib dan pasangan kembar Hasan dan Husin. Adib ini berkawan dengan adik-adik saya. Rumahnya di tepi bukit rumah saya. Sebelum menjadi cikgu intensif di sekolahnya lagi, saya sudah mengenali Adib. Hasan dan Husin pula adalah 2 orang murid yang menyerlah di dalam kelas. Bukan kerana kebijakannya tetapi kerana kenakalannya. Saya kadang-kadang sampai mati kutu apa hendak dibuat pada mereka berdua. Lebih-lebih lagi Hasan. Adiknya Husin kurang agresif berbanding Hasan. Tetapi kini hanya Husin yang tinggal. Hasan telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya kira-kira 2 tahun yang lalu. Menurut adik-adik saya, kini Husin sudah tidak senakal dulu dan lebih sopan tingkahnya.

Saya dan Kak Long mengajar di sana kira-kira 2 bulan saja. Pada hari terakhir kelas, saya mendapat hadiah daripada murid-murid saya. Hadiahnya standard anak-anak kampung saja. Saya mendapat buka nota kecil, beberapa batang pen dan sebuah penanda buku yang dibuat daripada kad manila dan benang panas yang terukir ‘Teacher Sarah’. Saya sangat terharu. Kerana saya disayangi mereka rupanya.

Saya menamatkan khidmat saya di situ setelah mendapat tawaran ke (matrikulasi) Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan Kak Long pula mendapat tawaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya tidak lama di PASUM. 2 bulan setengah saja kerana selepas itu saya mendapat tawaran biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke sini. Dalam tempoh 2 bulan lebih itu, saya agak kerap pulang ke rumah. Selang dua minggu, saya mesti akan pulang. Saya menaiki bas ekspres kerana jarak Temerloh-Kuala Lumpur hanya mengambil masa kurang daripada 2 jam saja. Pada suatu hari, sebaik turun dari bas apabila tiba di rumah (bas harian Syarikat Tanjung Keramat yang melalui Jalan Triang), Adib sedang berada di pondok bas di bawah bukit rumah. Dia duduk di atas basikalnya pada waktu itu. Sebaik ternampakkan saya yang hendak melintas jalan, saya sudah mendengar Adib memberi salam sambil tersengih-sengih kepada saya dengan ucapan: Eh, Teacher. Assalamualaikum Teacher.

Saya menjawab salam. Sebaik sampai berhampiran Adib sebelum saya mendaki naik bukit rumah saya, saya katakan padanya: Panggil Kak Ngah semula pun OK je, Adib. Adib membalas semula: Panggil Teacher lagi best lah. Saya tersenyum saja. Sepanjang perbualan pendek itu, saya melihat Adib menarik-narik hujung seluar tiga sukunya yang menampakkan sedikit lutut. Dia malu pada saya agaknya kerana ketika mengajarnya dulu, saya pernah mengingatkan, dalam menuntut ilmu, Allah jangan kita lupa. Solat kena jaga, aurat kena jaga kalau mahu ilmu kita berkat. Saya tersenyum saja sebelum berlalu. Saya tahu saya tidak perlu menegur lagi kerana reaksinya saja sudah memberitahu bahawa dia sedar akan salahnya itu. Sehingga ke hari ini, Adib kadang-kala berkunjung ke rumah saya kerana dia berkawan dengan adik-adik lelaki saya. Sudah anak teruna dia kini.

Apabila keputusan UPSR tahun itu keluar (2003), saya sudahpun berada di sini. Melalui Sufyan adik saudara saya, saya mendapat tahu bahawa Adib mendapat 4A 1B. Alhamdulillah. B-nya bukan Bahasa Inggeris sebaliknya adalah Sains. Apa-apapun, saya mengucapkan tahniah melalui adik saudara saya saja.

Kini telah 5 tahun berlalu. Kesemua bekas anak murid saya dahulu kini berada dalam tingkatan 5. SPM pula yang menanti mereka. Buat kesemua bekas pelajar tahun 6A dan 6B Sekolah Kebangsaan Lebak, Temerloh sesi 2003, Teacher Sarah ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya dalam SPM pada tahun ini dan juga kehidupan masing-masing. Juga Al-Fatihah buat arwah Hasan.

Kini, saya bukan lagi seorang guru. Saya beralih arah. Jika ada rezeki, satu hari nanti mereka semua akan memanggil saya Dr. Sarah pula, insya Allah. Bagi Kak Long pula, dari seorang lulusan Kimia Tulen, dia kini sedang memenuhi hasratnya untuk menjadi seorang guru. Saya kira, pengalaman pertama kami mengajar di sekolah itu benar-benar meninggalkan kesan dalam dirinya sungguhpun ketika itu, kami berdua mengajar tanpa mendapat sebarang upah. Semoga niat kami berdua membantu anak-anak kampung itu diterima Allah sebagai amal jariah. Walau siapapun saya kini, saya harap mereka semua masih mengingati saya sebagai Teacher Sarah.

Nota: Saya terkenangkan seorang guru Bahasa Inggeris yang paling terkesan dalam hidup saya; Puan Hasanah. Puan Hasanah merupakan seorang sukarelawan yang datang mengajar kelas tambahan Bahasa Inggeris ketika saya sekolah rendah. Saya ada berjumpa dengannya 2 tahun yang lalu ketika membuat praktikal elektif di Hospital Temerloh. Ketika itu, saya bertugas di Bahagian Kecemasan bersama Dr. Min Tyen. Puan Hasanah datang sebagai pesakit luar dan kebetulan bertemu Dr. Min Tyen untuk mendapatkan konsultasinya. Dia terkejut mengetahui saya kini sedang mengikuti kursus perubatan dan terharu kerana saya masih mengingatinya sungguhpun sudah 10 tidak berjumpa. Dua hari berikutnya selepas tamat sesi di hospital, saya terserempak sekali lagi dengannya di sebuah kedai makan. Dan kali ini, Puan Hasanah memeluk erat saya. Dan membekalkan saya sebungkus karipap untuk dibawa pulang.

Posted on January 27th, 2008 by Sarah  |  59 Comments »