Dalam Kenangan
Awal Muharam 1430 Hijrah dan 1 Januari 2009 sudah semakin hampir. Selama ini, jika saya hendak menyasarkan azam baru untuk sesuatu tahun itu, saya ada kriteria saya yang tersendiri. Azam yang berbentuk perubahan positif untuk sifat dan hati sebagai seorang Muslim dan anak, saya sentiasa mengguna pakai kalendar Hijrah sebagai titik permulaan. Saya senaraikan apa yang saya sasarkan dalam tempoh setahun itu. Bagi perubahan dari segi etika diri, cita-cita dalam pelajaran dan pekerjaan juga sasaran dalam setahun mendatang sebagai seorang pelajar, saya menjadikan kalendar Masihi sebagai titik permulaannya.
Kali ini, tahun baru Hijrah dan Masihi tiba pada masa yang hampir sama. Jadi, untuk kali ini saya telah merangkumkan kesemuanya dalam satu senarai. Sebelum saya mula menyenaraikan target saya untuk setahun mendatang ini, saya mengkaji dulu pencapaian saya untuk tempoh setahun ini.
Alhamdulillah, sebelum habis beberapa hari lagi dalam tahun 1429 Hijrah dan 2008 ini, hampir 100% target saya sebagai seorang Muslim dan anak tercapai. Jadi sasaran saya untuk tahun depan semoga apa yang saya telah mulakan akan saya teruskan selamanya dengan penghayatan yang lebih. Bukankah maksud istiqamah itu ialah berterusan dan semakin memperbaiki kualiti pekerjaan kita itu. Jadi, untuk tahun baru ni, saya cuma nak tambah satu. Saya berniat dalam tahun 2009 ni saya sudah boleh memberi duit kepada emak ayah pula. Fuh. Bertahun menunggu hajat ni untuk disuarakan. Akhirnya tiba juga tahun yang dinanti-nanti. Moga saya dan emak ayah saya panjang umur untuk disempurnakan hajat ini. Saya ni umur sudah 23 tapi masih lagi mendapat duit poket dari ayah. Ditanggung serba-serbi lagi. Rasa tak sabar untuk melakukan yang sebaliknya pula.
Sebagai seorang pelajar pula, Alhamdulillah juga saya ucapkan. Pencapaian saya sepanjang tahun 2008 sangat memuaskan hati. Saya mendapat straight excellent dalam 8 subjek ketika final exam yang lalu walaupun dalam keadaan sakit-sakit. Juga medapat testimoni yang baik ketika praktikal dan pengurusan masa yang sangat memuaskan hati saya. Tapi kekurangannya tetap ada. Saya masih belum dapat mengawal emosi dengan baik ketika musim exam dan yang paling utama, saya masih lagi terikat dengan pelbagai tugas. Saya sudah di tahun akhir. Ini yang perlu saya beri perhatian selepas ini.
Jadi, salah satu niat saya pada tahun depan, saya mahu melepaskan segala tugas yang ada dan menjalani kehidupan sebagai pelajar normal yang tidak terikat dengan sebarang tugas luar sama ada persatuan atau penulisan yang lain. Saya mungkin nampak seperti pentingkan diri sendiri. Tapi saya terpaksa. Jadi, saya harap saya ada kekuatan untuk mengatakan tidak kepada pihak-pihak yang berkaitan.
Ada beberapa lagi azam saya untuk tahun baru ini. Yang paling utama ialah tamat belajar tepat pada masanya dengan keputusan yang boleh membanggakan diri sendiri. Setakat ini, keputusan saya cukup boleh buat saya sangat senang hati dan emak ayah saya tersenyum. Tak perlu saya lihat orang lain. Saya akan berpuas hati jika saya dapat mencapai target diri sendiri yang saya buat sejak 5 tahun yang lalu. Serius Ya Allah. Moga-moga Kau permudahkan niatku ini.
Tentang kahwin, sila jangan tanya lagi. Saya belum terfikir lagi sebab saya mahu tunggu computer geek datang melamar dengan ros merahnya. Hahaha.
dan
Selamat Tahun Baru 2009