Assalamualaikum wbt
Saya tertidur dalam keadaan nota O&G masih di tangan. Saya rasa, saya terlena sekitar jam 2.15 pagi. Masih terlalu awal berbanding biasa untuk saya tidur. Sebenarnya saya sedang menunggu jam mencecah 2.30 pagi supaya saya boleh menelefon rumah tanpa rasa bersalah mengejutkan mereka semua di pagi hari. Tapi tertidur pula. Nantilah baru menelefon. Saya tahu, mereka semua tahu saya selamat dan sihat.
Malam tadi saya membaca tentang rawatan kanser yang diterima oleh perempuan mengandung. Dalam pada itulah saya sempat berangan teringatkan cycle Oncology yang saya lalui pada bulan Oktober lalu. Di sepanjang cycle itu, kami tidak berapa dihiraukan oleh doktor kami, Dr. Sergei. Maksud saya, banyak yang terpaksa kami usahakan sendiri (bagi yang hendak berusaha). Apapun, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Saya banyak membaca di rumah dan membuat nota peribadi untuk mengatasi semula kekurangan yang ada ini.
Bila tiba di hari terakhir cycle ini, kami dikehendaki membentangkan kes kami. Sebenarnya ada dua kes yang saya uruskan. Colorectal Cancer with liver metastasis dan Cholangioma with total obstruction of bile duct. Tapi ketika membentangkan kes, saya hanya perlu membentangkan kes Colorectal Cancer saja. Selesai saja saya bercakap, doktor yang mengendalikan sesi hari itu, Dr. Alexei (doktor ini mengendalikan hampir 90% sesi bersama kumpulan saya di sepanjang cycle), memberikan saya excellent mark dengan komen: “Penerangan awak memang penerangan budak otlichny cuma satu saja. Awak bercakap terlalu laju.”” Oh, doktor. Saya tahu tu. Saya bercakap sama laju macam saya berjalan. Huhu.
Selepas itu, doktor sebenar kumpulan saya masuk. Dr. Alexei menjelaskan serba sedikit prestasi kami ketika membentangkan kes tadi dan selama cycle itu berlangsung kepada Dr. Sergei. Hampir satu kelas lepas untuk cycle ini tapi masih ada beberapa orang yang tersangkut. Kami yang sudah lepas diarahkan untuk ke bahagian belakang kelas, meninggalkan beberapa yang masih sangkut di bahagian depan kelas untuk disoal lebih lanjut.
Saya sudah lega sebab sudah lepas. Ketika Dr. Sergei menanyakan beberapa soalan tambahan kepada yang masih belum lepas, dia tidak membenarkan kami yang di belakang kelas memberikan sebarang jawapan. Doktor ini garang. Susah hendak melihat dia tersenyum. Saya yang duduk di hujung meja panjang bertentangan dengannya pun rasa kecut perut. Tapi entah macam mana, pada satu soalan yang ditanyakanya kepada yang masih belum lepas, dia mengangkat muka bertanya kepada kami yang lain pula. Disebabkan saya berada paling bertentangan dengannya, terpaksalah saya menahan muka supaya tidak tunduk semula. Jatuhlah air muka, kan. Nanti dia ingat saya hendak mengelak daripada menjawab pula (ini adalah perkara normal bagi pelajar medik: kecut perut).
Dr. Sergei tenung saya, saya tenung dia. Disebabkan yang lain masih diam, saya pun menjawablah soalan yang diajukannya. Ini terpaksa sebenarnya. Tiba-tiba dia tidak puas hati dengan hanya penerangan lisan. Dipanggilnya pula saya ke depan untuk melukiskan apa yang saya terangkan tadi. Bukan pasal apa sangat pun. Tentang segala drainage procedures berkaitan abscess (nanah) atau sebarang pathway obstruction (saluran tersumbat) di portal-biliary tree saja. Nak juga kena lukis-lukis. Saya kecut perut sebenarnya. Tapi saya terus ke depan. Saya lukiskan pada kertas yang sedang dipegangnya. Sebaik siap tiga jaluran yang saya lakarkan, terus dia berkata: Maladyets!
Saya pun melangkah semula ke tempat saya. Dalam hati waktu itu ada dua perkara yang saya rasakan. Pertama: Kenapalah kesemua rakan skumpulan saya diam. Dah saya yang terpaksa menjawab untuk menyelamatkan keadaan. Kedua: Aik, saya rasa apa yang saya jawab itu mudah saja (sebenarnya) tapi dapat juga pangkat maladyets itu.
Kesimpulannya, untuk menjadi pelajar perubatan ini kena ada dua perkara. Pertama ialah keyakinan untuk menyuarakan jawapan. Betul salah itu perkara kedua. Selalunya memang terpaksa betullah, kan. Hehe. Kedua ialah persediaan yang cukup. Yang boleh saya katakan, sepanjang hari itu, bermula dengan Dr. Alexei dan kemudian diikuti pula terjahan soalan-soalan daripada Dr. Sergei, semua jawapan yang saya berikan adalah berdasarkan persediaan yang saya buat sendiri ketika di rumah. Kalau nak tunggu setakat apa yang disuap, saya tak rasa saya boleh bergraduasi dari sini.
Boleh tak kalau saya nak perasan sikit? Sebenarnya sejak dari awal cycle lagi, saya rasa Dr. Alexei memang lebihkan saya dalam segala hal. Huhu. Tapi saya bukan menjambukan diri, ok. Prinsip saya, sekali doktor mula beri perhatian kepada saya, saya akan buktikan bahawa tanggapan pertamanya tidak salah. Saya akan cuba memberikan yang terbaik supaya doktor itu sendiri puas hati dengan tanggapan pertamanya terhadap saya dulu. Ya. Terbukti saya ini ego.
Otlichny – Excellent
Maladyets – Brilliant
Nota 1: Dr. Alexei adalah sangat comel (baca: kacak). Dia juga berkaca mata. Ketika bercakap dan tersenyum, matanya akan mengecil. Menambahkan kecomelannya (baca: kekacakannya). Ketika saya ke Dean’s Office pada bulan November lepas, saya terserempak dengannya. Oh, dia masih mengingati saya! (bunga-bunga dalam hati, kupu-kupu dalam perut)
Nota 2: Kisah ini ada siri berikutnya.