Mungkin Ini Hal Remeh
Saya masih ingat membaca sebuah buku agama karangan seorang penulis dari Indonesia yang saya pinjam daripada Iman Al-Wahdy (masih ingat akan dia?). Tajuknya: Membezakan tanggung jawab, sifat dan sikap sebagai seorang isteri. Hehe. Kalau dalam bidang perubatan, ini namanya ‘Differential Diagnosis’. Cara nak membuat perbezaan antara perkara-perkara yang hampir sama saja tapi sebenarnya berbeza.
Hendak dijadikan cerita, dalam buku itu ada membincangkan bahawa ada beberapa perkara juga sebenarnya dikongsi bersama antara tanggung jawab, sifat dan sikap sebagai seorang isteri. Dan saya memang tergelak bila baca salah satu daripadanya. Tidak berdengkur. Ini adalah satu tanggung jawab, satu sifat dan satu sikap yang perlu dimiliki oleh seorang isteri. Ada disertakan huraian tentang hal ini dan saya berpuas hati kenapa hal ini diketengahkan dalam agama kita. Tapi waktu membaca itu, saya tidak dapat lihat praktikalnya hal ini dalam masa-masa yang bagaimana. Bagi saya, saya tak berdengkur jadi tak perlulah saya hiraukan sangat tentang fakta itu.
Tapi apabila membaca antologi cerpen (novel) Di atas Sejadah Cinta (hadiah daripada seorang pembaca blog saya), ada sebuah kisah benar yang dicerpenkan, mengisahkan seorang pemuda yang menarik semula lamaranya (atau) memberikan syarat yang jika adanya hal tersebut terjadi, maka lamarannya pada si perempuan ditarik semula. Hal tersebut ialah berdengkur. Dan di dalam cerita ini barulah saya nampak apa praktikalnya dalam kehidupan dengan jelas.
Lelaki tersebut seorang yang alim agama, dihormati dan banyak menghabiskan waktu di siang harinya dengan bekerja dan mengajar agama. Si perempuan dalam kisah ini memang sentiasa mendoakan lelaki ini menjadi suaminya. Dan apabila suatu hari datang lamaran buat perempuan ini daripada lelaki tersebut, teramatlah gembiranya hati si perempuan ini (wardah gitu!). Tetapi tidak berapa lama kemudian, si lelaki menarik balik lamarannya yang disampaikan melalui seorang perantara kerana dia mendapat tahu bahawa si perempuan itu tidurnya berdengkur. Menangis tak sudahlah si perempuan ini. Tetapi setelah dirasionalkan oleh orang tengah dalam urusan lamaran ini, maka jelaslah si perempuan ini kenapa hal tersebut terjadi.
Lelaki tersebut berharap biarlah orang yang menjadi isterinya seorang yang bertanggung jawab terhadap kehidupan siang dan malamnya, sibuk dan rehatnya, mempunyai sifat yang tak mudah diperkatakan orang di kemudian hari dan sikapnya pula santun dari segi manusiawi, bukan sekadar sifat yang boleh dicontohi. Dan masalah yang dimiliki oleh perempuan itu ialah tidur berdengkur yang mana boleh menggugat kesemua kriteria yang disyaratkan oleh lelaki itu.
Lelaki itu juga sebenarnya menginginkan perempuan tersebut menjadi isterinya tetapi jika isterinya itu nanti tidur berdengkur, dia tidak akan punya rehat yang tenang pada sebelah malamnya setelah siangnya dipenuhi dengan kehidupan yang memenatkan. Isterinya itu tidak akan punya satu sifat yang boleh dicontohi dan sikap yang santun dari segi manusiawi (kerana lumrah dan fitrahnya, seorang wanita dipandang indah jika tidak berdengkur).
Lelaki tersebut masih mengharapkan perempuan tersebut boleh menghilangkan dengkurannya kerana dia percaya setiap yang buruk itu boleh diubah. Ya betul. Sikap optimis lelaki tersebut ternyata betul. Perempuan itu pergi mendapatkan khidmat nasihat doktor untuk menyelesaikan masalahnya. Dan ternyata, si perempuan itu berdengkur kerana mempunya masalah salur pernafasan yang sedikit kecil kerana ada sesuatu yang tersumbat (ini adalah permasalah yang memang wujud dalam Ear, Nose and Throat [ENT] Department. Kebiasaannya disebabkan meatus di dalam hidung yang besar atau kelenjar tonsil di dinding belakang mulut [posterior pharynx] membengkak). Semua masalah ini ada cara untuk mengatasinya. Dan akhirnya si perempuan itu dapat menghilangkan dengkurannya itu. Dan pernikahan antara lelaki dan perempuan itu pun berlangsung.
Dari kisah ini, saya mempelajari satu praktikal hidup yang penting. Sebagai perempuan, kita mesti tahu tahu yang mana satukah tanggung jawab, sifat dan sikap supaya kita dapat menjadi yang terbaik untuk suami kita (kelak). Hal-hal ini mungkin tak diajarkan secara terus oleh emak ayah kita (siapalah larat nak kaji kita ni tidur berdengkur ke tak, kan) tapi ini adalah sesuatu yang kita kena tahu sebagai seorang perempuan kerana dengan menjaga hal-hal yang mungkin kita anggap kecil dan remeh ini sebenarnya dapat membawa dan menjaga keharmonian dalam rumah tangga.
Erm. Boleh faham ke apa yang saya cuba sampaikan daripada kisah ini? Maksud saya, sebagai seorang perempuan ni, kita kena sedar yang mana patut kita ambil kisah kerana nanti bila sudah bergelar seorang isteri, takkan kita sampai hati nak tengok suami kita tu tak lena tidur malam sebab terpaksa berhadapan dengan perkara yang mungkin kita dah anggap sebagai habit. Sedangkan, setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya.
Hehe. Alhamdulillah saya tak berdengkur walau penat macam mana sekalipun hari yang dilalui. Saya ada satu petua untuk para wanita yang mengalami masalah ini. Tidur tanpa bantal adalah cara manual untuk membetulkan salur pernafasan. Masalah dengkur dapat dielakkan sedikit demi sedikit. Tapi jika berterusan, sila dapatkan nasihat daripada doktor pakar ENT.
Weh, saya rasa macam orang tua je bila menulis pasal ni. Sila ingat, umur saya adalah 23. Hehehe.
Nota: Bagaimana pula kisahnya jika lelaki berdengkur? Kita mungkin katakan ialah adalah satu kebiasaan. Ya. Seisi dunia mengakui fakta ini. Tidak pelik atau jelik pun melihat hal ini. Tapi, kisahkah mereka tentang isteri mereka pula sama ada terganggu atau tidak tidur mereka disebabkan dengkuran si suami. Para isteri pun ada ada tanggung jawab yang besar dan sama memenatkan seperti para suami juga kan =) Sekadar berkongsi apa yang saya terfikirkan saja. Sesungguhnya tolak ansur dan persefahaman itulah yang lebih penting. Agaknya, ada para isteri yang tak boleh tidur kalau tak dengar suami dia berdengkur kot. Rindu katanya! Huhu =p
Saya berhenti dulu. Sudah mahu ke hospital. Kenapa saya menulis entri ini kerana saya baru berjumpa dengan seorang pesakit lelaki yang mempunyai Kanser Esofagus. Kanser itu telah sedikit menekan salur pernafasannya (trachea). Disebabkan itu, walau dalam keadaan biasa, nafasnya kedengaran seperti berdengkur. Isterinya yang kebetulan turut berada di hospital yang sama akibat serangan Angina Pectoris (sakit jantung) bercerita kepada saya (ini pesakit saya) bahawa dialah yang menguruskan suaminya dari jaganya sampai tidurnya semula. Dan dia tidak boleh hidup tanpa suaminya itu walau penat dan susah macam mana sekalipun untuk dia menguruskan suaminya yang sakit itu. Sangat tersentuh hati saya mendengarkan itu. Kedua-dua mereka sudah berumur 82 dan 84 tahun. Semoga pasangan Parkov ini dalam keadaan yang stabil sekarang.