Assalamualaikum wbt
Di penghujung tahun empat dulu, saya merujuk kepada Abang Khairil berkaitan permasalahan Paediatric. Saya memberikan beberapa pembayang tentang masalah yang sedang saya fikirkan. Ketika itu, saya masih belum melalui cycle Paediatric jadi saya tidak mempunyai cukup info untuk membuat diagnosis tentang masalah itu. Alang-alang saya ada abang saya yang seorang ini, saya bertanyalah macam-macam padanya. Tapi masih juga tidak dapat membuat kesimpulan penuh tentang masalah itu.
Sebenarnya, ketika saya merujuk kes itu kepadanya, saya tidak menyebut secara jelas, siapakah orang yang dimaksudkan itu, keadaan dia dilahirkan dan beberapa maklumat lain. Tahun lalu, ketika mengikuti cycle Paediatric, saya sangat memberi tumpuan akan subjek ini kerana saya ada misi peribadi yang hendak dipenuhi. Terutamanya ketika semester musim bunga, ketika memilih projek untuk dibentangkan, saya membuat kajian penuh tentang Cerebral Palsy (CP) atau turut disebut sebagai Hypoxic-Ischemic Encephalopathy (HIE).
Saya ada sebab kenapa memilih tajuk ini yang susah dan memerlukan kajian yang meluas. Di dalam buku-buku atau mana-mana literatura rujukan, terminologi yang digunakan adalah berbeza-beza. Tapi saya tetap mahu mengetahui dengan lebih banyak juga. Akhirnya, saya pun membentangkan kes ini di kelas.
Baru-baru ini, emak ada menghantar mesej bertanyakan tentang satu sindrom yang dikhuatirinya ada pada seseorang. Saya menerangkan pada emak, mungkin emak tersilap kerana sindrom itu tidak ada. Jadi, pada petang Sabtu dua minggu lalu, saya menelefon emak hendak mendapatkan penjelasan yang lebih daripada emak tentang perkara yang dikhuatirinya itu. Saya menerangkan dan menenangkan emak, sesungguhnya tiada kematian boleh terjadi dalam hal yang sebegini. Dalam tenang suara emak, emak tetap menyebut perkataan ’emak redha kalau Allah nak ambil nyawa dia satu hari nanti’. Ibu mana yang tidak sedih bila menyebut ayat itu. Sedangkan saya yang mendengar pun sudah mula rasa pedih tekak yang menjadi perlambangan kesebakan yang amat sangat.
Sebenarnya, apa yang menjadi tajuk perbualan kami adalah berkaitan adik saya, Azizi. Berumur 13 tahun. Saya seorang yang jenis akan berfikir dengan sedalam-dalamnya tentang apa yang dipelajari dan akan mengaitkan dengan perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan. Dulu, sejak sebelum menjadi pelajar perubatan, saya selalu terfikir-fikir, apa masalah sebenar adik saya ini. Dia kecil saja orangnya. Sudah banyak kali dia dirujuk ke pakar kanak-kanak dan endocrinologist tetapi keputusannya semua normal.
Tetapi pulang ke Malaysia dua tahun lalu, saya mendapat tahu keputusan CT scan otaknya menunjukkan saiz cerebrum-nya sedikit kecil. Waktu itu, saya tidak mendapat penjelasan lanjut daripada doktor itu yang acuh tidak acuh melayan soalan-soalan daripada saya. Ada sekali tu, saya yang menemankan Azizi ketika dia ada temujanji bersama pakar di hospital. Alang-alang saya ada, jadi saya diberi kepercayaan oleh emak dan ayah untuk mendengar penjelasan daripada doktor itu. Tapi lain pula jadinya. Doktor itu seperti berdalih itu ini, dan akhirnya, tanpa satu penerangan yang memuaskan hati, dia ‘menolak’ adik saya ini untuk temujanji seterusnya di Putrajaya pula.
Saya geram waktu itu. Saya minta dia terangkan tentang beberapa perkara yang bermain di kepala saya sewaktu itu. Apabila saya bertanyakan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan medikal, dia seperti keberatan untuk menjelaskan dengan sepenuhnya. Saya dapat rasa, dia menganggap bahawa saya ini pasti tidak faham kalau dia menerangkan semuanya sekalipun. Kerana bagi dia, saya ini mungkin entah orang mana-mana entah yang datang sekadar menemani adik. Baginya, jika diterangkan semuanya, saya mesti tidak faham juga. Maklum sajalah. Saya berbaju kurung biasa, sandal biasa, tidak bergaya langsung, tidak nampak berilmu pun ketika itu. Lalu dilayannya saya ala kadar saja. Inilah etika kedoktoran yang sangat salah. Tetapi disebabkan doktor itulah, saya sangat mengambil berat akan subjek Paediatric pada tahun lalu. Sebab saya perlukan sesuatu untuk input peribadi saya dan keluarga.
Lalu ketika berbual dengan emak dua minggu lalu, saya menerangkan kepada emak tentang permasalah Azizi. Bagi saya, Azizi tidak mempunyai segala simtom mahupun sindrom yang diterangkan oleh emak. Insya Allah hayat Azizi panjang dan keadaannya sekarang sedikit pun tidak membahayakan. Saya memberitahu emak, pada hemat saya, sewaktu Azizi dilahirkan dulu, dia berkemungkinan besar mengalami HIE kerana dia tidak cukup bulan (premature) ketika dilahirkan dan disebabkan itu dia ada CP yang tidak serius. Hanya minor saja. Emak menyampuk. Kata emak, menurut pakar, itulah yang disebutnya: Minor CP.
Nah. Tepat diagnosis saya. Disebabkan itu saiz cerebrum-nya sedikit kacil daripada normal dan menyebabkan dia mempunyai masalah dengan kaki kirinya dan pertumbuhannya agak lambat. Adik saya ini kecil orangnya. Dia sudah tingkatan 1 (hendak masuk tingkatan 2) tapi ketinggiannya hanya seperti pelajar tahun 5. Tapi dari segi intelektual dan segala fungsi otak yang lain adalah normal. Malah, level hormon pembesarannya juga normal yang berkadaran dengan saiznya sekarang. Erti kata lainnya, tiada apa yang perlu dibimbangkan melainkan fisioterapi yang perlu dilakukan berterusan untuk kakinya itu. Dulu pernah dicadangkan untuk dibuat pembedahan pada kakinya itu tetapi saiz Azizi terlalu kecil ketika itu dan emak ayah agak keberatan. Berkat berdoa di depan Kaabah, sebaik ayah pulang daripada mengerjakan haji, Azizi yang ketika itu sudah hampir berumur 3 tahun (kan emak kan?) sudah pun boleh berlari menyambut kepulangan ayah.
Entah kenapa, tadi saya menelefon emak bertanyakan tentang Azizi lagi. Azizi memang menjadi subjek saya dalam segala hal yang berkaitan dengan bidang saya ini. Saya sangat berminat untuk mengetahui kenapa begitu, kenapa begini, sebab apa terjadi dan lain-lain. Menurut emak, Azizi dilahirkan tidak cukup bulan (premature) ketika kandungan berusia 35 minggu. Beratnya 2.5 kg. Apa yang menyebabkan dia mengalami HIE adalah kerana posisinya ketika dilahirkan ialah songsang. Breech presentation (buttock position). Aduh. Ngeri bila dibayangkan. Sebenarnya, ini adalah salah satu indikasi untuk menjalani Caesarean section. Sudahlah lahir premature, breech presentation pula. Bayi adalah berisiko tinggi mengalami HIE. Bagi kes Chronic HIE yang membawa kepada Major CP, kesannya jelas dan meninggalkan kesan sepanjang hidup kepada bayi itu. Alhamdulillah. Azizi kuat orangnya ketika dilahirkan. Dia tahu dia perlu berjuang untuk terus hidup demi emak dan ayah. Dia sumber kekuatan kami semua ketika itu.
Dengan berada di dalam bidang ini, saya dapat menjawab persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya kepada keluarga saya. Pakar-pakar yang kami temui tidak pernah menerangkan dengan jelas. Saya tidak faham mengapa begini keadaannya. Yang paling saya terkilan, sikap acuh tak acuh doktor yang melayan saya ketika temujanji Azizi dulu. Diskriminasi sifat. Saya mungkin nampak tidak berpelajaran atau apa sajalah ketika itu dengan penampilan saya yang nampak biasa-biasa saja, tapi etika seorang doktor ialah menerangkan kepada pesakitnya atau ahli keluarganya dengan sejelasnya tentang penyakit yang sedang dihadapi dan dari situ, pesakit dan ahli keluarganya menerima pendidikan kesihatan dan info yang jelas.
Segala syukur saya panjatkan kepada Allah kerana Kesayanganku Azizi kini sihat walafiat dan cerdas dalam kehidupannya. Mungkin dia hilang nikmat bermain bola, menunggang basikal dan berlari laju di dunia ini, tapi saya yakin Allah akan pulangkan nikmat yang lebih besar untuknya di syurga nanti. Benar kata orang tua-tua. Budak yang lahir songsang selalunya pandai mengurut. Ternyata jari jemari Azizi sangat sedap ketika megurut. Dia selalu mengurutkan kaki saya yang selalu sakit. Di sebalik setiap kekurangan, Allah adil dengan menganugerahkan kelebihan.
Azizi, lagu Albi Nadak ni Ngah kasi untuk awak ye. Mulut jangan homeh sangat. Stay macho jadi Mr. Kura-kura yang comel bila pakai cermin mata tu. Hehe.
Nota: Tahniah buat Kak Lina dan Abang Nuar atas kelahiran anak kedua mereka pada 5 Disember lalu. Saya yakin, Fahry juga akan kuat seperti Azizi. Fahry juga akan mendapat kembali nikmat kakinya di syurga nanti, insya Allah.