Archive for the ‘Family’ Category

Anak Era 80-an

Assalamualaikum wbt

Jika ada yang menanyakan saya perihal lagu-lagu terkini di Malaysia, saya angkat bendera putih awal-awal lagi. Baik nasyid atau lagu, saya biasanya ketinggalan dari segala segi. Biasanya, sekali saya sudah suka sesuatu lagu, saya setia menyukainya sehinggalah saya rasa betul-betul muak. Seperti sekarang ini, saya tidak tahu perkembangan lagu-lagu termasuklah nasyid yang menjadi pujaan ramai. Tentang artisnya apatah lagi. Sebab itu saya masih melayan lagu-lagu dan nasyid-nasyid lama sehingga ke hari ini.

Sewaktu kecil dulu, zaman saya dan Kaklong betul-betul kecil, ketika kami diberikan mikrofon untuk bermain-main di rumah, saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh tahu lagu Isabella dan Fantasia Bulan Madu. Rock kapak habis ketika itu. Mungkin pengaruh daripada ramai dua pupu kami yang lelaki yang tinggal dengan neneknya (Tok Cik) di sebelah rumah Tok. Dari Abang Zani, Abang Jay, Abang Tilah, Abang Erry, Abang Mizi dan mungkin juga arwah Chik Joe. Mereka muda remaja dan sudah bersekolah menengah. Mungkin Abang Erry dan Mizi saja yang besar sikit saja daripada kami. Jadi, pengaruh abang-abang yang lain itulah yang menyebabkan kami terdedah dengan zaman rock kapak yang sedang mengganas ketika itu (pertengahan 80-an).

Sewaktu sekolah rendah, ketika saya dan Kaklong masih belum dipisahkan di bilik tidur yang berasingan, kami ada sebuah radio di dalam bilik. Saya dalam darjah 5 dan Kaklong pula darjah 6. Waktu itu, rancangan Pilihan Bersama di radio muzik yang ke udara dari jam 9 hingga 12 malam sangat kami nanti-nantikan. Kami sanggup teliti dan catit apa lagu-lagu yang telah dipilih oleh pendengar ruangan itu. Ketika itu, Kaklong sangat meminati kumpulan Exist. Waktu itu, Ezad baru saja masuk menjadi vokalis utama Exist menggantikan Mamat. Saya pula sangat gilakan kumpulan Umbrella. Aduhai. Bila sudah besar begini, baru saya terfikir, apalah yang istimewa sangat dengan kumpulan itu sehingga saya begitu gilakan mereka. Kebetulan ketika itu, di sekolah kami ada regu lawan mulut yang meminati kumpulan lain. Mimi adik kepada Kak Tikah, kawan baik Kaklong, dan juga Che’ Yah, adik Kak Piah, rakan sekelas Kaklong dan Kak Tikah. Mereka berdua sangat meminati kumpulan Slam. Jadi setiap kali berkumpul untuk latihan bola jaring pada setiap petang Selasa, pasti ada sesi berbalah mulut (orang Temerloh sebut bertaki) untuk memenangkan kumpulan masing-masing.

Ketika itu, apabila menjelangnya hujung minggu, saya akan sibuk mendengar rancangan Carta Mingguan di setiap stesyen radio yang saya dapat dengari dari rumah. Antaranya ialah Radio Muzik, Radio Malaysia Pahang, Radio Malaysia Negeri Sembilan, Radio Malaysia Kuala Lumpur, Time Highway Radio dan Best 104. Waktu itu masih belum ada Hot.fm dan yang seangkatan dengannya. Kalau boleh, saya hendak tahu di kedudukan manakah lagu-lagu kumpulan Umbrella berada pada minggu itu dan sebolehnya juga saya hendak tahu lagu-lagu manakah yang berjaya menjada juara carta. Ha! Sampai begitu sekali. Antara lagu-lagu hit kumpulan Umbrella ialah Ramalanku Benar Belaka, Bukalah Hatimu, Maruah, Retak Jangan Relai dan Rindu. Saingan hebat pada waktu itu semestinya lagu-lagu dari kumpulan Ukays yang tak pernah luput dek masa, tak lekang dek zaman. Lagu Sebak, Sesak, Seksa, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dan Kekasihku Di Menara adalah antara yang terhangat di corong-corong radio. Lagu-lagu Exist pula seperti Masih Terserlah Ayumu, Diammu Gunung Berapi, Alasanmu dan Anugerah. Fuh. Macam tidak percaya saya masih mengingati semua ini. Tak dilupakan juga kumpulan-kumpulan lain yang menjadi tumpuan saya seperti Fotograf (Luka Seribu Rindu), Scan (Kau Dipaksa Aku Terpaksa), Eye (Namamu Kini Menjadi Sebutanku), Arrow (Aku Tak Marah, Terimalah Sayang Cintaku Seadanya) dan juga Lestari (Mahligaimu Dari Air Mataku). Ha. Tajuk lagu masa itu semuanya panjang-panjang. Kalau boleh, satu ayat dalam lagu nak dijadikan tajuknya. Hehe.

Saya masih ingat lagi, pada tahun itu, saya memenangi Pertandingan Bercerita Peringkat Daerah. Hadiah tempat pertama pada waktu itu termasuklah wang saguhati sebanyak RM50. Tidak banyak manapun. Tapi dengan duit itulah, saya belikan hadiah hari lahir buat Kaklong berupa kaset Exist album Anugerah (1996) dan juga kaset Umbrella album Seribu Rahmat untuk diri saya sendiri. Hahaha. Nak minta pada ayah? Uh. Jangan harap. Ayah menentang kami mendengar lagu-lagu ini semua. Kaklong pada ketika itu sangat berani membeli majalah hiburan. Kena seludup masuk majalah itu melalui tingkap bilik untuk mengelakkan emak atau ayah nampak. Tapi seingat saya, pernah juga ditangkap oleh emak kerana membeli Mangga tapi Kaklong beralasan baik kononnya hendak membaca kisah adik Siti Musliha yang mendapat laporan eksklusif di dalamnya. Maka terselamatlah majalah yang itu daripada ayah sebab emak pun tumpang membaca cerita itu. Yang lain-lain? Hahaha. Walaupun telah disorokkan di dalam laci di dalam almari baju kami, ayah datang kutip, koyak-koyakkan dan dicampak bertaburan di perdu pohon manggis di tepi laman rumah. Hendak menangis pun sudah tidak berguna. Siapa suruh kami buat apa yang ayah larang. Kaklong memang kecewa betul waktu itu. Mana tidaknya. Duit untuk membeli majalah itu (ketika itu berharga RM3.50) disimpan daripada duit belanja.

Inilah zaman meningkat remaja kami dua beradik. Nasiblah kami berdua saja perempuan. Kalaulah saya ada adik perempuan, apalah agaknya kecenderungan muzik adik saya itu. Kalau dikisahkan adik-adik lelaki saya pula, si Adnan lebih meminati lagu-lagu seperti Redline95, Domino Effect dan Apple Trees. Bila masuk adik-adik yang lain, lagu-lagu Indonesia lebih menjadi minat mereka. Terutamanya Adlan dan Adam. Dari Sheila On 7 hinggalah Nidji dan macam-macam lagi. Zaman saya dan Kaklong dulu masih tiada radio IKIM.fm. Selepas tamat SPM baru saya menghabiskan masa dengan IKIM saja. Sebetulnya, zaman muzik-muzik saya ni hanya sekitar darjah 5 dan 6 saja. Masuk saja ke tingkatan 1, saya sudah tinggalkan semua ini. lebih matang. Dengar pun setakat dengar saja. Lebih-lebih lagi bila Kaklong sudah ke asrama, saya tiada teman untuk bercerita tentang kumpulan-kumpulan ini semua. Zaman rock kapak jiwang-jiwang dah lama ditinggalkan. Legasi nasyid mula mengambil tempat sekitar saya tingkatan 3 (sebab abang kepada Zaiti kawan saya ialah anggota In-Team), maka bertukarlah aliran muzik remaja pada waktu itu. Tapi jiwang tak ingat dunia juga! Kasih Kekasih-lah, Impian Kasih-lah, Nur Kasih-lah, dan segala kasih-kasih yang lainlah. Aduhai. Bila tamat SPM pula, UNIC mula menyengat dengan lagu CUDIPT dan Hanya Tuhan Yang Tahu. Masya Allah. Nasyid pun boleh tahan jiwangnya ya. Hehe.

Sebenarnya, emak dan ayah saya sangat tegas dalam bab-bab hiburan ini. Kami tidak boleh menonton rancangan Muzik-muzik dan Melodi dulu-dulu. Anugerah Skrin dan anugerah-anugerah yang lain pun tidak boleh juga. Kadang-kadang, kami berkeras cuba juga membuka TV walaupun ayah telah padamkan suisnya tapi tak lama selepas itu, ayah keluar dari bilik dan memadamkan TV semula. Ini bentuk didikan yang kami terima. Tapi saya berterima kasih kepada emak dan ayah, terutamanya ayah, kerana sangat bertegas dengan kami dalam memilih hiburan. Sejak Raihan muncul, era kegemilangan nasyid pun bermula. Tapi saya dan adik beradik lebih meminati Hijjaz kerana banyak nasyid yang Hijjaz nyanyikan mengimbau kenangan kami ketika sekolah rendah dulu, ketika kami popular dalam pasukan nasyid sekolah. Huhu. Dan bila munculnya Firdaus dan Mirwana, emak pun menyukai mereka dan kami pun terikut-ikutlah. Saya tak menyesal dengan didikan emak dan ayah. Bagi saya, sememangnya dunia hiburan ini jika tidak diletakkan satu garis pemisah boleh menyebabkan seorang remaja itu hanyut dan melupakan banyak perkara. Antaranya tentang perkara fardhu, adab pergaulan, batas aurat, terabai pelajaran sehingga menjejaskan masa depan dan melalaikan.

Ha. Entri ini menjadi bukti bahawa saya anak era 80-an. Ada yang segeng dengan saya? Sila tersenyum sendiri =)

Posted on November 19th, 2008 by Sarah  |  26 Comments »

Sebulan

Assalamualaikum wbt

Hari ini genap sebulan insiden barang-barang saya dicuri. Ini bermakna, genaplah sebulan saya mendapat sumber kewangan penuh daripada emak dan ayah saya.

Sewaktu mula-mula dihantar ke sini dulu, pelajar-pelajar tajaan JPA dan MARA hanya menerima 200 USD untuk perbelanjaan sebulan. Saya pernah ceritakan di sebuah entri khas dulu tentang hal ini. Kisah bagaimana kami hidup cukup-cukup makan saja dengan duit yang ada. Itu 5 tahun dulu di mana kos hidup tidaklah setinggi sekarang.

Tapi setakat ini, sepanjang sebulan saya bergantung sepenuhnya kepada bank emak ayah saya yang punya, saya hanya membelanjakan RM600 saja dan masih lagi berbaki. Serius. Saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh hidup dalam keadaan begini. Tapi hakikatnya, saya bukan jenis orang yang makan di luar. Atau kalau diajak pun buat masa ini, saya lebih selesa menolak. Jangan harap saya hendak membazirkan duit saya sesuka hati. Saya pun bukannya jenis yang sukakan makanan ringan atau makanan sampingan seperti biskut dan kudapan yang lain. Bila teringin sangat saja baru saya beli. Untuk sarapan, siapa yang mengikuti blog saya sejak dari dulu lagi akan mengenali tabiat saya yang suka bersarapan dengan roti kosong dicelupkan ke dalam nescafe panas. Makan nasi sekali saja sehari. Lain-lain waktu, saya jarang mengunyah. Rusia ini lain. Musim sejuknya lebih lama daripada musim-musim yang lain. Kalau banyak makan, kadar glycogenolysis lebih rendah daripada kadar glycogenesis. Nanti makin gemuk pula kalau tidak diiringi senaman yang cukup.

Tadi sedang saya menjamah nasi, baru saya sedar ayah ada menghantar mesej. Tanya ayah: Duit ada lagi ka? Saya jawab: Ada berlebih lagi ni. Boleh guna hingga Jumaat depan. Dalam hati saya berkira-kira, kalau tidak berbelanja, memang boleh bertahan sehingga Jumaat depan. Tapi tadi saya singgah membeli ayam dan sayur kerana hari ini giliran saya memasak. Saya beli ayam seberat 1.3 kg. Harganya ialah 170 rubles! Sekitar RM24! Kebetulan ada Rodo dan Maryam bersama saya di kedai itu tadi. Makcik kedai memberitahu kami bahawa pada hari esok dan Isnin, harga ayam akan naik lagi. Hmm. Apalah nasib kami di sini. Harga melambung-lambung naik. Yang paling pasti, setiap kali masuk tahun baru, tarif baru untuk segala benda akan bermula. setiap tahun begini. Harga barang naik. Begitu juga harga top up kad metro, pas bas bulanan dan segala yang lain.

Kadang-kala, bila kita dalam kesempitan kewangan dan terpaksa berjimat semaksimumnya, barulah kita betul-betul menghargai susah-payah ibu bapa kita membesarkan kita selama ni. Seperti situasi saya sekarang, saya rasa tak sanggup hendak meminta pada emak ayah. Kalau sudah terpaksa sangat, barulah saya minta. Kasihan emak dengan ayah. Anaknya dah besar panjang ini pun masih perlu ditampung macam adik-adik lagi 🙁

Kalau saya sambung senarai saya tentang times that my parents stood up for me mesti saya akan menangis. Satu hari nanti saya pasti akan sambung. Ada banyak lagi yang saya hendak kenang semula susah-payah emak dan ayah sepanjang membesarkan saya.

Nota: Kesimpulannya, Moscow ini sangat mahal. Ya. Maha mahal.

Posted on November 15th, 2008 by Sarah  |  8 Comments »

Saya Sibuk, Adi Lagi Sibuk

Assalamualaikum wbt

Sangat sibuk buat 2 minggu ini. Saya perlu habiskan ulangkaji subjek Pediatrics. Saya tak mahu sia-siakan posting kali ini. Posting kali ini mencabar. Moga-moga kanak-kanak di hospital itu sukakan saya yang kecil molek ini. Huhaha. Tapi, sesibuk-sibuk saya, ada seorang budak itu jauh lebih sibuk daripada saya.

Buat Adi, selamat menduduki SPM. Didoakan yang baik-baik saja untuk awak ya. Oh ye. Adi ini adik saya yang paling lucu. Amat sengal orangnya. Tapi sangat bertanggung jawab dan berakhlak. Semoga Adi tidak membaca entri ini bila dia pulang nanti. Risiko dia mengembang adalah tinggi. Semalam emak dan ayah ada menelefon saya ketika mereka melawat Adi di sekolahnya. Sempat saya berbual dan mendengar kesengalan dia. Adi ada impian selepas tamat SPM ini. Adi, Ngah doakan awak berjaya.


Nota: Saya pernah ditanyakan satu teka-teki oleh seorang kawan sewaktu menghadiri Program Homestay sewaktu balik cuti lalu. Bila balik rumah, saya tanyakan semula soalan itu pada Adi. Menurut Adi, suatu masa dulu dia pernah memberikan teka-teki itu kepada saya. Bila diimbau kembali, ya, memang dia pernah menanyakan saya soalan itu. Teka-tekinya berbunyi: Kenapa orang gali kubur tak pakai seluar dalam. Ha ha. Siapa berani jawab. Sila, sila.

Erm, masa seperti sangat mencemburui saya sekarang ni. Demi masa sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Moga kita tergolong bersama mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran, yang sentiasa memanfaatkan masa mereka.

Posted on November 11th, 2008 by Sarah  |  14 Comments »

And So I Love You!

Assalamualaikum wbt

Sometimes, the best person that can make we smile is not the closest person that we see almost everyday, we talk to almost every time we want to and we share almost every story that we feel like to.

That is just it. These days, I seldom go online with my violent brother, Adnan. I do not on my YM on weekdays and for him, he is super busy with his work. So we just left each others some short offline messages whenever we need some opinions on somethings.

But today, he really rocked my day. I was almost dying in bored spending the whole day IN MY ROOM and only spoke a few sentences with my housemates whose apparently having their discussion on their winter trip. I tried finishing the last novel I got in hand but failed due to boredom that really kills me. I texted Nan and told him how bored I was. He replied with simple answers. 3 SMS with 3 simple answers (Serius makan hati waktu tu). Ayah doesn’t really entertain us via SMS. Emak is now having her camping in Dusun Eco Resort with the 2 kiddos. Kaklong didn’t reply my SMS at all. I did not text Lan, Adi neither Adam. I know they are a credit-saver type.

But then, when Nan reached his house, he buzz-ed me (sorry, I purposely invi to all except my family). Ok we chatted about everything around us. The best part was the latest gossips that run in the family! About Nisa, about he himself, about his job, about his plan coming here for my graduation (insya Allah) and about everything!

Yeah. Thank you Nan. One thing about this fella. When he hurts my feeling in any way, he always knows how to tackle me back. I mean, if he did say something that I rather not paying attention to in his SMS, he would catch thing back while chatting with him.

Hishh… Nan, seriously, I love you!

You are no longer a violent kid. You’re just the way you are. A successful charming young man. You are always dear to my heart.

p/s: Sorry Nan. Ngah don’t have any latest pic of you. I think this one should be ok for you. Otherwise I’ll put something fishy up here. Huhu~

Note: For the second night, I’ll hit bed very early. Blame the boredom. (=_=)

Posted on November 9th, 2008 by Sarah  |  7 Comments »

Tentang Ayam

Assalamualaikum wbt

Bila bercerita tentang ayam, saya mesti teringatkan sepupu saya yang seorang ni. Shafiq namanya. Waktu dia masih kecil, sekitar 6-7 tahun, Mak De dan keluarga yang tinggal di Dungun balik bercuti di Lebak. Macam biasa, Tok mesti akan sembelih ayam kampungnya untuk dimasak lauk istimewa. Waktu Ayah Tam hendak sembelihkan ayam itu, Shafiq yang berada di situ untuk melihat proses itu menangis dengan kuatnya. Katanya:

“Tok bunuh ayam! Uwaa… Tok bunuh ayam!” Dan berterusanlah tangisannya hampir setengah jam lagi selepas itu. Aduhai Shafiq. Kalau tak disembelih ayam itu, mana nak dapat makan dagingnya tu untuk dibuat lauk. Waktu balik cuti Julai lalu, saya ada bertemu Shafiq. Dah besar panjang dah. Bila saya ingatkan dia kisah ini, dia tersenyum malu. Hehe. Nampaknya, inilah modal untuk mengusik dia satu hari nanti.

Satu lagi kisah berkaitan ayam ialah si Azizi adik saya tu. Kalau ada nasi basi atau sisa nasi semalam yang hendak dibuang, biasanya kami akan buangkan di tepi reban ayam Tok. Bagi ayam makan. Jadi, kami akan suruh saja si kecil dua orang tu yang pergi membuangnya. Satu hari, saya terdengar emak menyuruh Azizi pergi membuang nasi basi itu. Emak katakan: Nah, nasik ni untuk ayam Tok. Azizi pun berjalanlah ke rumah Tok sambil melaung:

“Tok, ni mak sedekah nasik untuk ayam Tok!” Hahaha. Saya yang berada di ruang tamu ketika itu memang gelak tergolek-golek. Macam manalah dia boleh terfikir nak cakap macam tu pula!

Lagi satu kisah berkaitan ayam ialah tentang Imran, anak Mak Andak. Waktu tu dia dalam darjah 3. Saya melayannya duduk di pintu dapur melihat ayam Tok berkumpul apabila Tok memanggil mereka dengan panggilan khas. Tiba-tiba Imran berkata:

“Lajunya ayam tok mengunyah.” Huhu. Punyalah dia tak tahu perkataan yang sepatutnya ialah mematuk. Bila Mak Andak ada menulis sesuatu tentang Imran di blognya, Mak Andak pun beritahu yang Imran ni pernah tak tahu apa itu petani. Mak aih.

Nota: Happy birthday Farah (my groupmate, November 7th). Jangan blur dah eh! (^_^)p

Posted on November 8th, 2008 by Sarah  |  7 Comments »