Sepetang Di Ismailovskaya
Bangun awal pagi tadi (terjaga sebelum jam berbunyi), rumah ni gelap gelita. Baru teringat, malam tadi ada litar pintas selepas seterika kami meletup. Biasanya letrik akan kembali ada selepas seketika. Tapi elok selepas rumah gelap, saya terus tidur kerana hari pun dah lewat waktu itu (sudah pukul 2 waktu itu sedangkan kena bangun seawal 6.15am). Selepas berwudhuk, saya terus bergegas menuju ke security untuk memaklumkan hal ini.
Selang 10 minit, letrik kembali ada. Saya mandi, solat subuh dan terus ke dapur masak air untuk bersarapan. Hari ini kelas sampai ke petang. Selepas tamat kelas Infectious Disease pada jam 2.45pm (sepatutnya tamat pada pukul 2.30pm), terpaksa bergegas ke Ismailovskaya pula untuk kelas Philosophy di sana. Kelas bermula pada jam 3.30pm tapi kami tiba ke sana sekitar 3.45pm. Cikgu memahami. Tak mengapa.
Kisahnya, Ismailovskaya ini merupakan bandar di mana letaknya bangunan untuk kelas-kelas tahun pertama. Semua subjek ketika saya di tahun pertama dulu terletak di situ. Sebenarnya, subjek Philosophy ini berubah-ubah lokasi. Sem lalu, kelas saya di Bangunan Dekan. Sem ini di sini pula. Jadi, setelah 4 tahun tidak menjejakkan kaki ke bandar itu, tadi saya dan rakan-rakan seperti orang batak dan jakun meninjau-ninjau perubahan yang ada. Sebenarnya hampir semua pun masih sama. Tiada yang berubah sangat. Kedai pirazhok (pai) masih di tempat yang sama. Begitu juga kedai kuri gril (ayam golek), kiosk ais krim dan hachapuri (ala-ala roti nan tetapi berkeju dan dibakar) pun masih seperti dahulu. Cuma pasar lama tempat saya suka membeli anggur sudah tutup. Banyak kenangan di pasar itu. Pasar itu barangkali sudah digabungkan dengan Yamarka (Pasar Besar) Ismailovskaya yang berhampiran dengan metro.
Banyak kenangan saya di sini. Di jalan raya berhadapan stesyen metrolah menjadi tempat pertama saya memecah rekod jatuh terduduk ketika melintas jalan akibat jalan yang licin. Di bandar itu jugalah mencatit sejarah tangan kanan saya dislocated di bahagian pergelangan tangan. Sebulan berbalut. Ini gara-gara saya dipenyek di dalam trolley bus yang sendat. Juga menyaksikan saya dan Eza (teman sebilik sewaktu di tahun pertama) yang suka melihat merpati-merpati yang ada di sepanjang jalan menuju ke Bioorganic Chemistry Department yang sangat debab dan gebu. Di situ jugalah menyaksikan saya (dan ramai lagi sebenarnya) berlari-lari mengejar bas kalau sudah terlambat untuk ke lecture Physics dan kenangan kumpulan saya, Group 6, yang suka melepak di stalovaya (kantin) yang ada menjual pizza panas berharga 35 ruble saja di luar Main Building of Ismailovskaya.
Tadi ketika berada di dalam trolley bus bersama Eza, kami meninjau-ninjau keluar tingkap. Ibaratnya itu kampung kami yang sudah lama tidak dikunjungi. Dulu kami memanggil bandar itu sebagai Bandar Nenek Tua. Terlalu ramai orang tua. Naik bas pun, berebut dengan nenek-nenek tua (tapi kami tak lah berebut menolak-nolak, tapi mereka ya. Ganas kan?). Tapi kini nenek-nenek sudah tidak seramai dulu. Saya bertanya bersahaja kepada Eza: Mana la perginya nenek-nenek ni ye. Dah kurang dah. Dan dengan bersahaja juga Eza memjawab: Dah kurang sebab dah mati dah kot.
Dan kami tergelak berdua. Dan tadi saya tiba ke rumah pada pukul 6.30pm. Sudah pekat malam. Dan sejuk membungkam.

