Author Archive

Entry Terima Kasih Hari Ahad

Assalamualaikum wbt

Ini entry tanda penghargaan. Buat semua yang mengingati hari lahir saya semalam. Atas ucapan-ucapan yang saya terima melalui panggilan telefon, SMS, pesanan di YM, komen di entry lalu, testi di Friendster, mesej di Facebook, entry istimewa daripada beberapa kenalan, gambar yang disusun atur sebagai ucapan dan ucapan langsung dari teman-teman di sini. Terima kasih tidak terhingga.

Alkisahnya, sepanjang siang semalam (Sabtu), internet di rumah kami tidak berfungsi. Kebetulan sehari sebelum itu, saya dan Wanie ke pejabat Stream.ru (internet privoder yang kami gunakan) untuk mendapatkan semula username dan password kami yang telah hilang. Bila terjaga dari tidur pagi semalam, internet sudah tidak boleh digunakan. Mungkin auto reset dari sana. Lagi 3 hari baru saya boleh online semula. Sedihnya!

Tiada kek istimewa kali ini. Saya yang mahukan begitu sungguhpun Wanie berkeras mahu membelinya. Saya hanya teringin makan cheese cupcake dan briosh coklat yang dibeli di kedai roti Perancis berdekatan rumah. Terasa sedikit istimewa hanya apabila Faisal menyanyikan lagu Happy Birthday buat saya. Sambil makan kek itu, saya dan Wanie menonton sebuah filem lama, The Truman Show.

(Melihat jam)

Malam semalam, saya hanya tidur selepas selesai solat Subuh. Sangat teruk kan. Sudah jadi burung hantu pula saya. Di tengah malam itu, saya online bersama adik-adik saya menggunakan YM (Sorry! Saya invi pada yang lain pada waktu itu :p ). Seronok mendengar keriuhan rumah di pagi Sabtu. Emak goreng nugget saja tapi riuhnya mereka waktu sarapan itu seperti sedang kenduri! Semuanya berebut-rebut mahu mengucapkan selamat hari lahir. Semuanya ada di rumah kecuali saya.

(Melihat jam)

Saya berpuasa semalam dan Wanie bermurah hati memasakkan juadah berbuka. Nasi goreng ayam saja. Tapi sudah cukup baik kerana pada hari Jumaat, saya berbuka di luar hanya dengan sepotong pizza.

(Melihat jam)

Disebabkan terlalu terdesak untuk menggunakan internet, saya ke bilik kawan. Sekadar menjenguk blog sebentar. Itu saja. Kemudian berbincang tentang pelbagai isu dengannya.

(Melihat jam)

Selepas solat Maghrib dan berbuka, saya dan Wanie yang terlalu jemu. Lalu kami sebulat suara bersetuju untuk menonton kartun, Cinderella 3. Sangat takde kerja, kan? Habis saja kartun, kami mengantuk. Terlalu jemu. Sedih! Sebelum tidur, saya melihat jam dan kami bertaruh. Jeng jeng jeng. 10 minit terakhir. 5 minit terakhir. 3 minit terakhir. Dan akhirnya 19 haribulan berlalu sudah di Malaysia dan digantikan dengan hari baru. Di sini tepat jam 7 petang. Pada mulanya saya diam. Tapi lepas itu kami dua-dua ketawa. Ok. Tak mahu cerita panjang. Kamu semua tekalah sendiri apa yang saya repekkan itu. Hehe.

Terjaga dari tidur pada jam 10.30 malam. Kami keluar ke kedai untuk membayar bil telefon (yang sebenarnya tidak tertunggak pun) di mesin top up. Berlari-lari kami kerana sudah jam 11.40 malam pada waktu itu dan pak guard hanya memberi masa 5 minit saja untuk keluar dari pintu utama bangunan ini (itupun setelah saya membuat muka kasihan padanya. Huh. Skema betul pak guard itu). Tiba di rumah, hari baru sudah hampir menjelma. Dan ya. Saya dan Wanie telah menang dalam pertaruhan kami!

Saya ada sesuatu ingin dikongsikan. Ini adalah hasil kreatif Uncle KS yang pakar dalam bermain nombor. Saya ambil ini dari blog Pakcik Sabtu. Tanpa pengetahuan saya, ada juga yang mengkaji tarikh lahir saya ya. Terima kasih.

190108 jika di campurkan 1+9+0+1+0+8 = 19, 19 dicampurkan 1+9 = 10, 10 dicampurkan 1+0 = 1 (angka satu membawa maksud masih seorang yakni masih single (still available).

19185 dicampurkan 1+9+1+8+5 = 24, dicampurkan 24+22(umur) = 46, 46 dicampurkan 4+6 = 10, 10 dicampurkan 1+0= 1 (dua kali kira masih satu, confirm single lagi).

19185 dicampurkan 1+9+1+8+5 = 24, 24 dicampurkan 2+4 = 6 (mengikut firasat saya, tuan badan suka bakal pasangannya 6 tahun lebih tua dari umurnya, iaitu pemuda berumur 28 tahun, siapa gerangannya) (sekarang 29 lah sebab umur saya sekarang sudah 23).

Kira-kira ini sangat menarik. Memang saya sukakan nombor satu! Saya disahkan masih single sebanyak dua kali. Jadi maksudnya apa? Ok. Ada sesiapa umurnya 29? Huhuhu. Tapi saya rasa yang 6 tahun lagi tua ni sedikit kurang tepat la KS. Kasilah yang muda sikit kot ye pun 🙂 Hihi.

Dan yang terakhir, terima kasih buat Cikgu Jawe dan Abang Khairil atas entry istimewa daripada mereka berdua. Dan gambar ini adalah hasil sentuhan Abang Khairil. Setiap tahun, pasti ada koleksi gambar daripadanya. Pandai mencuri ni ye. Huhu.

Terima kasih semua kerana mewarnai ulangtahun kelahiran saya yang ke-23 ini. Semoga kita semua berada dalam rahmat dan redha-Nya.

Nota 1: Saya update ni dari rumah Dr. K, seorang junior di sini. Terima kasih Dr. K kasi KS dan Wanie guna kat sini!

Nota 2: Jangan salah faham dengan pertaruhan itu. Saya maksudkan dengan main agak-agak je.

Nota 3: Ini kali pertama saya menerima lebih daripada 100 ucapan hari lahir. Terima kasih semua! Terharu betul saya tahun ni.

Nota 4: Entry berikutnya akan lambat sedikit. Saya akan sedikit sibuk selepas ini 🙂 Jaga diri ye kamu semua.

Posted on January 20th, 2008 by Sarah  |  44 Comments »

Di Hari Sabtu Ini

Terima kasih emak ayah
Atas hadiah namaku Sarah
Segala urusanku menjadi mudah
Kau beri namaku beserta hikmah
Kepada keluarga membawa rahmah

Terima kasih emak ayah
Atas kasih yang limpah ruah
Didikan yang tak sudah-sudah
Dan sanggup bersusah payah
Demi ilmu dan sebuah kehidupan
Kudoakan kalian jannah sebagai ganjaran

Emak
Terima kasih atas susah payah melahirkan
Ayah
Terima kasih atas penat lelah membesarkan

Assalamualaikum wbt

Tepat jam 7 pm waktu Moscow semalam, saya berada di pasar pada waktu itu. Saya menerima panggilan telefon dari Malaysia. Puas mahu dicamkan suara itu. Sangat tidak jelas. Selepas seketika talian dihujung sana beralih kepada suara seorang wanita. Eh, emak rupanya! Kata emak, tadi tu ayah yang bercakap. Ayah batuk. Ayah tiada suara. Tapi mahu menelefon saya juga. Terharu.

Emak berkias. Katanya, sudah jam 12 am di Malaysia. Ya. Tepat. Emak lantas mengucapkan Selamat Hari Lahir buat saya. Kata emak, emak mewakili semua di rumah. Kata emak lagi: You are now 23. Dah besar dah. All the best in your study. All the best in your life. Lalu saya pohon mahu bercakap pula dengan ayah. Suara ayah sangat susah unuk didengari Saya sebak. Teruknya ayah batuk. Saya bertambah sebak. Kata emak, sejak dua hari lepas ayah batuk. Sekarang Temerloh agak sejuk. Suara saya tersekat-sekat apabila bercakap dengan ayah. Ulas butirnya pun sukar untuk difahami. Emak, ayah, Ngah sayangkan emak dan ayah. Terima kasih atas didikan selama 23 tahun ini. Saya sandar sebentar di tepi kedai kebab. Mengesat air mata kasih buat emak dan ayah.

“Wahai Tuhanku, kau kasihanilah kedua ibu bapaku seperti mana mereka mengasihiku sewaktu aku kecil”

“Wahai Tuhanku, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.”

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung pada-Mu dari kekafiran dan kefakiran, dan aku berlindung pada-Mu dari azab kubur. Tidak ada Tuhan melainkan Engkau.”

Saya sudah 23. Saya sudah semakin seasoned pada umur, tapi tidak pada jiwa 🙂 Semoga saya semakin matang dalam menjalani kehidupan dan diberikan kekuatan untuk beribadah dengan sempurna. Amin 🙂

Nota: Terima kasih Faisal Ramli (my groupmate) yang menyanyikan lagu Happy Birthday secara solo buat saya tadi (tepat jam 12 am tadi) dan Shazwani Adnan yang menemani saya sepanjang cuti ini 🙂

_____________________________________________________________

Hari buat SAYA:

80) The real art of conversation is not only to say the right thing at the right place but to leave unsaid the wrong thing at the tempting moment.

Posted on January 19th, 2008 by Sarah  |  50 Comments »

Memahami Fitrah Lelaki

Assalamualaikum wbt

Kebelakangan ini, banyak kali pula saya mendengar perbincangan rakan-rakan apa sebenarnya yang dinilai oleh seorang lelaki pada seorang perempuan. Kecantikannyakah yang diutamakan, kepandaiannyakah, atau figura fizikalkah yang menarik perhatian?

Ada seorang kawan pula mengatakan, jika untuk dijadikan isteri, biarlah pandai memasak. Kalau masih tidak lulus, perlu dihantar mengikuti kursus. Tapi emak saudara saya dulu pernah mengatakan bahawa seorang perempuan itu apabila telah bergelar isteri, dia dengan sendirinya akan mula belajar untuk lebih pandai memasak. Sebabnya, dia pasti hendak menyediakan makanan yang terbaik untuk keluarganya. Air tangan isteri, terkandung kasih sayang katanya.

Bagaimana pula pandangan luaran? Secara umum maksud saya. Adakah wajah nombor satu, diikuti potongan badannya, perwatakan dan seterusnya baru kebijaksanaan? Agamanya pula di mana? Akhlaknya pula bagaimana? Dan apa sebenarnya yang dilhat oleh orang lelaki apabila memandang seorang perempuan? Uh, bingung.

Selalu dikatakan, lelaki sukar untuk memahami perempuan. Emosi yang tidak menentulah, cemburu tidak bertempatlah dan lain-lain. Sedarkah mereka, fikiran lelaki juga adalah agak rumit untuk difahami. Kadang kala, mereka ini tidak dapat membaca apa yang seorang perempuan mahukan pula sedangkan sifir kehidupan Adam dan Hawa ini mudah sebenarnya jika persefahaman dijadikan asas. Serumit manapun untuk memahami seorang perempuan itu pada waktu-waktu tertentu, ada caranya untuk atau mengendalikan hati mereka.

Atau, adakah lelaki yang ada sengaja buat-buat tidak faham?

“Sabda Rasulullah s.a.w : Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya. Boleh jadi kecantikan iu akan membinasakannya. Dan janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya. Kerana mungkin kekayaan itu akan merosakkannya. Kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang miskin bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih sempurna.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Nota 1: Selamat Hari Lahir ke-73 buat Tok Halimah Yusof. Semoga Tok dikurniakan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur sampai sempat tengok Ngah dan Nisa kerja ya. Seronok dapat borak-borak dengan Tok tadi. Rindu Tok!

Nota 2: Sabtu ini 10 Muharam 1429 H. Jom puasa ye semua 🙂 Bestnya di Malaysia boleh makan bubur asyura. Saya suka bubur asyura manis. Bestnya!

_____________________________________________________________


Hari buat dia:

79) Doa kepada mereka yang berkata ‘Aku menyayangimu kerana Allah (Uhibbuka/ki fillah)’ : Semoga Allah menyayangimu kerana engkau menyayangiku kerana-Nya.

Posted on January 17th, 2008 by Sarah  |  45 Comments »

Cuti-cuti Moscow

Assalamualaikum wbt

Beberapa hari lepas, emak saya bersungut mahu membaca perjalanan cuti saya. Tapi jujur saya katakan, minggu pertama cuti dipenuhi dengan aktiviti di luar, ke Mega-Ashan-Ikea, meredah Moscow dalam suhu serendah -17’C dan bermacam-macam lagi. Tapi minggu lalu saya hanya terperap di rumah. Berhibernasi. Tapi bukan tidur. Beraktiviti dengan novel dan memasak saja. Jadi, takkan saya hendak menjawab pada emak bahawa saya berhibernasi dengan jayanya sebagai orang Eskimo di rumah sedangkan anaknya ini tidak boleh duduk diam sebenarnya. Jadi semalam petang, selesai solat Asar, saya nekad untuk bercuti-cuti Moscow. Destinasinya adalah Park Pobedy (Victory Park). Letaknya di barat laut Moscow yang sebenarnya tidak berapa jauh dari kawasan hostel ini. (Klik gambar untuk imej yang lebih besar)

Teman saya hari ini adalah Wanie. Kebetulan Wanie masih belum pernah berjalan secara menyeluruh di taman itu memandangkan keluasannya adalah sekitar 4 km persegi. Kami tiba di sana sekitar jam 3.45pm dan sudah mulai senja. Taman ini adalah signifikan kepada kejayaan Russia dalam Perang Dunia Kedua (1941-1945) ketika menentang tentera Jerman yang melaungkan semangat Fasism pada ketika itu. Terdapat 3 monumen penting di sini. Pertamanya adalah sebuah muzium perang yang menceritakan kronologi perang tersebut yang menyaksikan kemenangan besar Russia dengan teknik pengunduran ke Stalingrad (nama lama bagi Volgograd). Di hadapan muzium ini tegak berdiri sebuah tugu peringatan yang mencatatkan nama-nama bandar di Russia yang terlibat dalam perang 5 tahun ini. Ketika kami sampai, matahari sudah condong ke barat. Suhu pada hari ini hanyalah 1’C ke -1’C sahaja. Sangat nyaman. Tidak sejuk langsung. Ini menambahkan semangat kami untuk meneruskan perjalanan kami.

Monumen kedua dan ketiga yang terdapat di situ ialah memorial masjid dan gereja Kristian Orthodox. Memorial ini adalah tanda pernghargaan Kerajaan Russia buat tentera-tenteranya yang terkorban dalam perang tersebut di mana mereka ini terdiri daripada tentera Muslim dan Kristian. Kedua-dua buah memorial ini sedarhana saja saiznya tapi amat bermakna. Selain daripada ketiga-tiga buah monumen utama ini, terdapat beberapa buah tapak pameran teknologi-teknologi tinggalan perang yang dikelaskan kepada tentera darat, air dan udara. Tinggalan perang yang terbakar dan rosak teruk akibat dibom juga turut dipamerkan secara terbuka di tanah lapang. Malah, keretapi pertama yang digunakan untuk mengangkut barang-barang keperluan perang masih cantik dan kelihatan antik sekali. Saiznya cukup besar. Saya terbayangkan cerita Tom Sawyer apabila pertama kali melihat keretapi itu empat tahun lalu. Selain itu, pengunjung dapat melihat monumen-monumen menarik hasil sentuhan artistik yang didirikan di sekitar taman ini yang mempunyai maksud tersendiri.

Bagi kami di Moscow, suhu setakat -1’C itu adalah sangat nyaman dan tidak sejuk. Kami hairan kenapa musim sejuk pada tahun ini seperti malu-malu untuk beraksi. Saya masih ingat. 2 tahun yang lalu, musim sejuk adalah sangat dahsyat sehingga pernah mencecah -42’C di pertengahan bulan Januari. Ketika tiba di bahagian belakang muzium perang itu, kami lihat ada salji. Agak pelik pada mulanya kerana sudah hampir dua minggu salji tidak turun dengan lebat. Gambar bangunan itu pula adalah muzium tersebut yang berbentuk semi bulatan sebenarnya. Memandangkan saya hanya menggunakan Sony Cybershot W55 saja, jadi tidak dapatlah saya mengambil gambarnya secara penuh pada jarak yang dekat. Terlalu besar. Lainlah kalau saya punya Nikon D80! 🙂

Gambar helikopter ini adalah salah sebuah teknologi perang di tapak pameran tentera udara. Sangat banyak jet-jet pejuang yang bermacam-macam model termasuklah juga jet serang hendap. Saya tidak masuk ke tapak pameran ini (pernah masuk 4 tahun sudah) jadi saya pun menyerang hendap mengambil gambar dari luar saja. Sebenarnya, kami berdua sedang menuju ke masjid yang saya ceritakan tadi untuk menunaikan solat Maghrib. Kebetulan, Wanie masih belum pernah ke masjid ini. Untuk pengetahuan semua, masjid ini kecil saja. Seperti English cottage saja saiznya. Tapi sistemnya canggih. Untuk masuk ke tandas dan tempat mengambil wudhuk, penggunakan kad sentuh diperlukan. Kad ini boleh didapati dari kaunter kecil di dalam masjid. Mungkin ini untuk mengelakkan pembaziran air dan elektrik di dalam tandas jika tiada sesiapa menggunakannya. Di atas ialah gambar di dalam masjid. Sayangnya, tidak terlalu jelas pula. Chandeliar di tengah ruang masjid berbentuk bulan sabit.

Inilah masjid tersebut dari luar. Bercahaya dan jelas kelihatan daripada Minskaya Street yang terletak betul-betul bersebelahan dengan masjid ini. Minskaya Street merupakan antara jalan utama di Moscow yang kemudiannya menghubungkan pengguna jalan raya ke Kutuzovsky Street, sebuah jalan yang sibuk menuju ke Pusat Bandar dan juga ke Lebuh Raya Lingkaran Ketiga (3-oe Kolso). Gambar seterusnya adalah antara monumen yang terdapat di taman tersebut. Simbolik lambang kemenangan yang diperjuangkan oleh barisan tentera darat, udara, air dan pasukan perubatan yang saling bekerja sama. Di puncak monumen ini terdapat lambang UN yang saya tidak jelas apa signifikannya. Nanti saya kaji ya.
Selepas itu, saya dan Wanie menuju ke Kievsky Mall untuk mengisi perut. Saya tersangat lapar. Tidak menjamah walau apapun sejak pagi melainkan secawan nescafe. Kami tiba semula ke rumah pada jam 9.30 malam setelah menghabiskan masa berehat-rehat di food court selepas makan. Kaki tersangat letih untuk terus bergerak balik. Apa tidaknya. Kami telah berjaya menawafi taman yang luas itu!

Buat emak, anak emak ni sihat-sihat aje di sini 🙂 Sampaikan salam Ngah buat Tok Halimah dan ucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-73 buat Tok hari esok ya!

Posted on January 16th, 2008 by Sarah  |  43 Comments »

Monolog Bersama Iman (Finale)

Episod lepas: i-viii
Episod lepas:
ix
Episod lepas:
x

“Ok, ok. Gini. Dulu ada seorang laki ni. Dia ni askar. Simpan hati pada seorang perempuan nilah. Cantik. Baik budi, agama, hormat orang tua. Ya, baik-baiklah dia tu. Satu hari, si laki ni nak melamar perempuan ni. Tapi dia dengar yang perempuan tu dapat sambung belajar di sebuah sekolah tinggi. Yalah. Dia pun tak mahulah kacau dulu masa depan budak tu. Lepas tu, satu hari laki ni pulak dikerah ke medan perang. Zaman darurat-darurat lagilah waktu tu. Kena pergi berperang pulak untuk satu tempoh yang dia pun tak tahulah sampai bila.”

“Ni cerita betul ke Man?” Aku mencelah.

“Betul ke tak, itu lain kira, Sar. Dengar’in dulu sampai sudahnya.” Iman menyuruhku bersabar dahulu. Aku kembali membuat muka tekun.

“Sebelum pergi ke medan perang, laki ni janji dengan diri sendiri, habis perang, dia akan melamar perempuan ni. Dia tak mahu terlepas lagi dah. Dia dah lama tunggu. Jadi habis perang, itulah niatnya.” Aku terangguk-angguk mendengar dan membayangkan.

“Takdir Allah, dalam perang tu, laki ni terkena periuk api. Dia terselamat tapi kaki dia kena potong sebelah sebab hancur. Yalah. Periuk api. Dahsyatlah kan. Dia kena hantar balik ke kampung dia semula dan khidmat dia dengan tentera hapus sudahlah. Udah cacat kan. Sudah terkecuali daripada peranglah.” Iman berhenti seketika.

“Sejak dia duduk di kampung semula, dia dengar cerita perempuan yang tadi udah habis belajarnya di sekolah tinggi. Dia lagi amat gembiralah bila tahu tapi jadi sedih sebab dia sudah cacat. Dia rasa, budak perempuan ni mesti enggak mahu sama orang cacat gaya dia. Udahlah cacat, apa mahu dikasi makan pakai nanti, kan. Dia lagi rendah dirilah dengan diri dia yang kurang tu. Jadi, dia solat-solat minta petunjuk. Petunjuknya baik tapi dia tetap enggak mahu terus’in niat dia tu.”

“Alahai, pulak dah.” Aku menyampuk mengekspresikan rasa terkilanku.

“Sampailah satu sore, adiknya pulang dan khabar’in dia yang perempuan ni akan menikah esoknya tu. Keluarga laki ni dijemput ke walimah kecil-kecil tu. Ya, luluhlah hati laki ni. Tapi dia kuatkan semangat. Dia khabar’in hatinya, ni hikmah dia tidak melamar tempoh hari. Kerana barangkali perempuan ni udah ada calonnya. Ya, itulah laki ni fikir’in.”

“Esoknya, laki ni dan keluarga dia kunjunglah sebentar ke walimah tu. Laki ni dah redha yang memang perempuan itu bukan jodoh untuk dia. Tapi bila dia lihat siapa si suaminya, laki tu jadi sangat terkejut dan menyesal banget enggak ikut’in petunjuk yang dia dapat. Dia nyesal, Sar. Nyesal banget! Dia lalu nangis di bahu adik dia, Sar.” Iman berhenti di situ.

“Kenapa? Kenapa dia nangis? Dia sayang lagi ke pada perempuan tu?” Aku tertanya-tanya dengan sangat. Aku tahu pasti ada sesuatu yang diluar jangkaan akal lelaki itu.

“Sar, calon suami perempuan ni kudung dua-dua kakinya, Sar. Dua-dua belah! Dia duduk atas kerusi roda, Sar. Dia parah dalam accident mobil, Sar. Dan waktu perempuan ni nampak laki ni tadi datang ke walimah dia dan dia nampak laki ni merah matanya, perempuan tu pun tunduk dan menangis. Kamu tahu, Sar. Sebenarnya, perempuan ni memang hajat’in laki ni jugak. Cuma dia tunggu udah terlalu lama dan laki ni pulak udah give up sebab dia cacat. Udahnya, bapaknya terima aja pinangan orang yang baik agamanya untuk anaknya tu, Sar.” Lirih Iman menyudahkan ceritanya itu.

Aku diam saja. Aku agak terkejut dengan kesudahannya. Dan yang lebih penting, aku tidak dapat mengelaskan pada kedudukan siapakah Iman mahu meletakkan aku dalam cerita ini. Tapi yang pasti, aku tidak sedikitpun memberikan komen. Aku diam saja. Aku berfikir dengan dalam. Selepas seketika, aku bersuara.

“Man, saya yang mana satu awak maksudkan? Si askar ke, perempuannya ke, atau suami yang kudung tu?” Aku diam sekejap. “Kalau saya ada dalam tempat perempuan tu, saya akan bagitahu ayah saya terus terang saya tunggu orang lain. Bukannya seorang perempuan tak boleh menyatakan hajat. Tapi kena betul caranya kan.” Aku melepaskan keluhan di hujung ayat. Aku sedang kuat berimaginasi, cuba meletakkan diriku dalam ketiga-tiga watak.

“Kamu si askar kudung sebelah tulah, Sar. Cepat sangat deh kamu rasa kurang. Sedangkan kurangnya sikit aja. Kalo laki tu fikir’in dalam-dalam, ikut petunjuk solatnya tu, cuba dulu sebelum terus give up walau dia tu kudung, perempuan tu udah jadi isteri dia dah. Tapi yalah. Cepat sangat rasa diri tak cukup itu ini.”

“Kamu Sar, janganlah rasa kurang itu ini dari si Annas. Janganlah banding’in dia alim, warak, beriman semua tu. Dia lihat kamu perfect untuk dia. Dia tak pandang yang lain. Di mata dia, abang dia, aku, kamu udah cukup sifatnya. Usamah setuju loh Annas mahu nikah’in kamu. Susah tu mahu abangnya tu kasi green light, Sar. Rendah-rendah gaya ni cukuplah tu untuk Annas. Paras bahu dia apa, Sar.” Iman ketawa.

“Iman! Sempat lagi tu dia ni. Ish. Iman, saya sungguh-sungguh tak nak dan kalau boleh tak nak tahu dari awal pun pasal ni. Susah Man. Saya ni nampak je macam ni tapi saya tak tipikal macam tu. Saya bukan nak kata ni style orang yang tipikal ke, konservatif ke, apa ke. Tapi cuma sebab saya rasa ni belum masanya. Dan kalaulah tadi awak kata saya duduk dalam tempat askar kudung tu, saya nampak ada satu benda yang tak sama. Saya belajar lagi. Askar tu dah kerja. Sedangkan askar tu sendiri pun sanggup tunggu perempuan tu habis belajar dulu baru dia nak melamar. Saya fikir pasal banyak benda, Man. Tapi paling senang nak cakap, saya fokus dengan title student lagi ni. Sungguh saya tak nak, Man.” Aku meletakkan kata putus dengan mengkiaskan tanggung jawab sebagai pelajar menjadi alasan.

“Dan saya rasa, mak ayah saya pun tak nak berjauhan dengan saya sampai ke Syria nun. Jauh tu, Man. Dan saya sendiri tak terfikir pun pasal kahwin-kahwin semua ni sekarang. Please, Man. Cakaplah elok-elok pada Annas ye. Please…”, aku memujuk Iman supaya memahami situasiku. Aku sebenarnya tahu di mana pendirian Iman dalam hal ini. Bukan sehari akan mengenali dia. Bukan sedikit rahsia dia yang aku ketahui. Tapi aku tahu Iman juga rasa bertanggung jawab untuk menyampaikan yang terbaik bagi pihak Annas.

“Sar, kamu kenal aku kan. Aku faham sangat deh. Aku pun takut sebenarnya mahu ngomong sama kamu. Aku takut lepas ni kamu enggak percaya sama aku lagi. Tapi udah kebetulan Annas minta aku nolong dia. Usamah pun kata please sama aku. Jadi aku cubalah. Sar, aku sekarang jelas banget apa kamu fikir. Aku faham tu. Tapi untuk kata tak nak pada dia, aku rasa baik kamu kukuhkan alasan dengan istikharah, Sar.”

“Maksud awak macam mana tu?” Aku membalas.

“Aku akan tanya lagi sekali keputusan ni lagi tiga hari. Kamu dahulu’in dengan istikharah. Lalu nanti aku tanya’in lagi sekali, kamu bagi jawapan ikut istikharah. Aku yakin, kamu buat keputusan ni kerana kamu rasa Allah ada rancang yang terbaik untuk kamu, Sar. So, mesti Allah tu maha adil untuk kamu, Sar. Mesti istikharah tu sebelahi kamu nanti. Yakinlah tu, Sar. So, nanti kalau aku khabar’in Annas yang kamu nolak dia, kamu ada alasan yang baik yang datangnya dari Dia kan”, sudahi Iman sambil jari telunjuknya lurus menunjukkan ke atas sana. Aku mengangguk. Faham dan jelas. Dan terharu kerana Iman memahamiku dan cuba untuk meletakkan penolakkan itu nanti dalam keadaan yang murni. Terima kasih, Iman. Pendapatmu benar-benar pendapat seorang yang bergelar sahabat!

“Terima kasih, Man. Terima kasih.” Aku sudah tidak tahu apa untuk dikata.

“Loh, jangan nangis pulak Sar. Aku tak tolong apa-apapun ni. Aku pun lagi tersepit ni. Tak ditolong, Annas tu kawan aku. Yang di sini tak dipertimbangkan, kamu sahabat aku, Sar. Dulu, kamu yang banyak nolong aku. Ni aku nolong mana yang dapat aja. Udah-udah. Kamu jangan riso la, Sar. Ni Iman ni.”

“Iman dut!” Aku laju mencelah untuk menceriakan semula suasana. Dut. Singkatan kepada perkataan gendut yang aku namakan padanya kerana satu masa dulu di depan pegawai-pegawai Kedutaan Besar Indonesia, dia pernah memalukan aku dengan memanggil Sarah mut. Mut itu singkatan perkataan imut. Yang maksudnya comel seperti budak-budak. Bising seketika majlis berbuka puasa itu gara-gara kecohnya mulut Iman. Iman Al-Wahdy yang sentiasa disenangi ramai walau di mana dia berada.

“Ok, Sar. Aku pulang dululah. Kamu udah-udah fikir’in pasal ni. Serahnya pada Allah. Dia lagi tahu kamu. Kok tapi kalo udah solatnya tunjuk yang baik-baik, nikah ajalah, Sar. Aku untung makan nasi walimah kat sini nanti.” Iman tergelak. Gelak yang cukup besar. Agak bengang juga aku dengan kesimpulan mudahnya itu.

“Heh, apalah dia ni. Ada ke macam tu pulak. Huh, takde maknanya, Man. Ni sarah ni. Tak nak maksudnya tetap tak nak, ok.” Aku menegangkan muka. Kononnya aku geram dengannya.

“Yalah, yalah. Aku joking la, Sar. Ok, aku pulang dululah, Sar. Lapar ni. Nanti kamu masak, tak dapat punyalah hari ni.

“Man, kalau hari ni turn saya masak, dah lama saya kasi sikit. Tapi hari ni turn housemate saya masak. Diorang ada potluck kejap lagi. Lain kali ye. Ni janji ni.” Aku mengangkat tangan kanan tanda berikrar.

“Ok. Deal ya, Sar. Aku tunggu. Haha. Makan free aku nanti. Baguslah gini, Sar.” Iman terus gelak.

“Iya, iya. Saya ingat ni. Nanti dah masak nanti, saya roger awak suruh datang ambik kat sini ok.”

“Ok, beres. Oklah. Aku balik dulu. Tenang ya. Aku tau apa doa kamu tu, Sar. Aku doa’in sama. Balik deh. Assalamualaikum.”

“Terima kasih, Man!” Aku sungguh-sungguh memaksudkan ucapanku itu. Dan salamnya kusambut perlahan. Pintu kubuka dan melangkah masuk bersama tabung derma itu menuju ke bilikku. Dari pintu dapur yang sedikit terbuka, bau masakan yang harum menusuk hidung membuatkan perutku berbunyi-bunyi.

Di bilik, aku lihat Fareena sedang menghadap buku. Menyalin nota barangkali. Aku menghampiri. “Pena, KS ada cerita nak kongsi ni. Kamu free?”

Seperti biasa, Fareenalah orang pertama yang akan kukongsikan kisah-kisah hidupku.

“Free je. Ni tengah salin note Russian Class je. Esokkan saya ada Russian je.” Fareena kelihatan bersungguh. Aku duduk di atas katilnya sambil meletakkan tabung di atas riba. Aku mencari punca cerita yang terbaik, supaya Fareena tidak pelik dan tiada siapa akan terpekik. Dengan suara yang perlahan dan penuh hati-hati, aku menceritakan segalanya pada Fareena.

“KS!!!!” Jerit Fareena. “Jangan, KS! Saya tak nak KS kahwin dengan dia. Just not yet. It is not you! Orang Arab pulak tu. Jangan, KS!” Fareena setegas-tegasnya mahu aku menolak.

“Iya, iya. KS memang tak nak pun. Kamu ni pun. Kasilah KS cerita sampai habis dulu. Ni dah jerit dulu. Nanti yang lain dengar, matilah KS. Aisshh….”, aku bersungut semula sambil menepuk lembut lututnya. Selesai aku menceritakan keputusanku dan Fareena yang berpuas hati dengan cadangan bernas Iman, aku melangkah ke tandas untuk berwudhuk.

Aku menunaikan solat Isyak diikuti istikharah. Aku berdoa, tiga kali dalam masa tiga hari sudah mencukupi untuk meyakinkanku dengan keputusanku ini, Insya Allah. Selesai menyimpan telekung ke dalam almari, aku menuju ke katil. Jam sudah hampir ke pukul 9.55. Di luar bilik kedengaran suara adik-adik rumahku sedang bersiap-siap untuk majlis potluck mereka. Aku masih belum makan apa-apa hari ini. Tapi badanku terlalu letih.

Aku wajib tidur sekarang. Jam 2 nanti aku perlu bangun untuk studi. Aku wajib. Subuh akan menjelang jam 4.15 pagi nanti. Musim sejuk memang begini. Waktu solat jauh bezanya dengan waktu lazim kita di Malaysia. Sebelum naik ke atas katil, aku menyusun buku-buku yang hendak kubaca apabila bangun nanti. Dua buah buku rujukan Surgery dan Therapy. Cycle Surgery dan Therapy akan bermula pada hari esok.

Perut terasa sangat lapar. Tapi aku nekad untuk terus tidur. Katil kunaiki, dan lampu kupadam. Dalam gelap bilik, aku memandang langit menerusi tingkap.

“Terima kasih Tuhan atas nikmat persahabatan yang kau berikan padaku dan terima kasih Tuhan atas nikmat ujian yang Kau berikan ini. Dengan ujian ini, aku mohon Kau tambahkan nikmat iman ke atasku. Dan aku mohon monolog iman hatiku ini benar dan keputusanku datangnya diiringi redha-Mu. Amin…”

Tamat

………………………………………………………………………………………………………….

Nota: Inilah kisahnya Monolog Bersama Iman. Saya minta maaf atas gaya penulisan dan penyampaian yang tidak baik. Saya bukan penulis amatur apatah lagi profesional. Saya memang ada menulis beberapa buah cerpen tapi ini kali pertama saya berkongsi secara maya. Saya tidak tahu apa pendapat kamu semua bila sudah membaca hingga ke penyudahnya. Mungkin ada yang kata, tidak nampak pengajarannya pun. Tidak nampak kemuncaknya di mana pun. Tidak nampak apa-apa signifikasinya pun. Saya minta maaf atas segala kekurangan dan kejemuan yang saya bawa di sini. Terima kasih kerana tetap sudi membaca dan memberi komentar. Jika ada yang kurang bersetuju dengan gaya penulisan, bahasa, tindakan atau kesimpulan yang saya buat dalam cerita ini, sudi-sudilah menegur saya. Saya terbuka dan boleh menerima teguran.

Nota appresiasi: Terima kasih Iman Al-Wahdy, Abang Khairil Idham (K.I), Emy, Fatt, Wanie, Diba dan Pena yang mewarnai hidup saya pada hari itu. Dan menjadi sumber saya menulis. Buat Annas, terima kasih kerana melihat diri ini istimewa. Dan maaf kerana terpaksa menolak keistimewaan itu. Maaf dengan sangat.

Nota gembira: Yeay~ Akhirnya hutang saya terlah terbayar. Alhamdulillah. Nak buat nescafe panaslah untuk raikan. Hehe. Ada yang mahu minum dengan saya? 🙂 Mari kita lihat siapa yang akan mengomen dulu kali ini *kenyit mata sikit!*

Posted on January 14th, 2008 by Sarah  |  39 Comments »